Selasa, 30 Mac 2010

MAHASISWA SEBAGAI GOLONGAN NON-PARTISAN

(SUMBANGAN ARTIKEL UNTUK SUARA KAMPUS GABUNGAN YANG TELAH DITOLAK ATAS SEBAB-SEBAB KESELAMATAN.NAMUN ATAS DASAR ILMU SAYA TERBITKAN DI SINI DENGAN BEBERAPA SUNTINGAN BUAT RENUNGAN SAHABAT2 PEJUANG YANG SAYA KASIHI..SELAMAT MENJAMU MINDA!)

Oleh MOHD DZUL KHAIRI MOHD NOOR

Tuntasnya, saya melihat senario kelembapan atau biasanya dinyatakan oleh Syed Hussein al-Attas sebagai bebalisme kian mewarnai dunia pemikiran mahasiswa. Kewujudan virus ini tersebar sepantas angin yang bertiup kencang dan secara tiba-tiba udara itu meruap panas melingkari kecerdasan dan ketangkasan berfikir. Kata Hisyamudin Rais yang dahulunya saya tidak bersetuju, kewujudan bebalisme yang menjadi budaya secara automatik ini, ia berpunca daripada kepartian yang mempergunakan semangat dan keberanian mahasiswa, dalam proses membonekan pemikiran anak muda yang cerdas dan menguntungkan kepentingan peribadi mereka.

Lalu yang cerdas menjadi perlahan. Yang pantas menjadi lembap. Yang canggih-manggih menjadi jumud dan rigid. Yang elit sudah kekampungan. Yang lantang malu-malu kucing. Kerana parti sudah mendominasi mereka. Lalu tercerna dalam pemikiran mereka, parti merah itu, parti kelabu ini, pilihan hati mereka. Natijah yang berbekas dan berparut ialah, kampus kian gersang daripada igauan idealisme dan ketangkasan aktivisme. Hasil yang dipungut ialah, tiada lagi laungan mahasiswa jurubicara ummah melainkan suara parti adanya.

Saya telah berbicara dengan beberapa yang mempunyai pelbagai bentuk dan jalur pemikiran; pemikiran yang pelbagai dan bersimpang siur. Ada yang bersetuju dengan teori mahasiswa sebagai sebuah kumpulan berkecuali dan kumpulan pendesak (pressure group), atau dalam istilah yang sinonim dengan perjuangan mereka seperti watch-dog, rebellion group (kumpulan pemberontak), check and balance, non-partisan dan juga student power. Istilah sebegini cukup mewarnai gerakan mahasiswa sehingga menjadikan mereka sentiasa terjulang dengan idealisme mereka yang sentiasa memuncak dan melimpah.

Namun tidak kurang yang tidak bersetuju. Bagi mereka, mahasiswa mesti ada tunjangnya dan tunjang itu adalah parti politik. Pemikiran sebegini secara peribadi saya agak merencatkan dan membejatkan. Apabila kumpulan mahasiswa yang dianggap muda dari sudut usia dan pemikiran dikongkong dengan pemikiran tua dan diikat dengan tali kepartian, maka kewujudan mahasiswa boleh dikatakan tidak lagi relevan. Saya berpegang dengan satu falsafah, apabila terdapat dua perkara yang sama, maka salah satu daripadanya adalah tidak relevan.

Seorang penulis Perancis memperkenalkan satu istilah yang menerbitkan gelora yang tidak tertahan. Istilah itu ialah ecstasy (ekstasi). Ekstasi merujuk kepada satu puncak kehidupan yang paling terutama dan kemuncak, sehingga tiada lagi kegelisahan dan keresahan yang bertandang. Biasa anak muda berada di tahap ekstasi, sehingga mereka tidak pernah gusar dan gentar dengan sebarang ancaman yang wujud. Saya memiliki ramai sahabat yang telah didakwa dalam mahkamah university malah disumbat ke dalam lokap untuk proses penyiasatan, namun ia tidak pernah menghalang mereka daripada paksi perjuangan lantaran sifat kemudaan mereka berada dalam tahap ekstasi.

Seorang penulis yang lain memperkenalkan teori The Tipping Point. Ia ibarat, air yang telah dipenuhkan ke dalam gelas, apabila ditambah air akan melimpah. Maka teori limpahan itu adalah teori The Tipping Point. Generasi mahasiswa terdahulu merupakan The Tipping Point yang telah memainkan peranan yang sangat penting dalam masyarakat. Bahkan mungkin kumpulan mahasiswa dalam tiga empat tahun yang lepas. Kewujudan kumpulan berakidah sosialis, Food Not Bomb menjadikan perjuangan membantu orang-orang yang tidak berdaya dan miskin sebagai fokus mereka. Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang menghimpunkan kumpulan yang pelbagai bangkit menentang segala korupsi kerajaan. Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) lebih memfokuskan kepada latihan petugas gerakan Islam dan memperjuangkan isu-isu sensiviti umat Islam.

Menjadi satu kerugian apabila kumpulan anak muda ini bersifat taqlid dan mengikut. Saya ada menulis beberapa artikel, menyatakan kerugian apabila kita hanya mengikut teori yang diperkenalkan oleh Hassan al-Banna dan Syed Qutb tanpa penapisan dan penganalisisan yang bersifat semasa dan kondisi. Hampir semua memperakui kemampuan dan upaya al-Banna, namun kita tidak menafikan bahawa beliau merupakan seorang tokoh yang lahir pada abad ke-20, di Mesir, namun beliau tidak mengetahui keadaan dan suasana negara lain termasuklah Malaysia dengan baik dan terperinci.

Maka yang menyokong teori Qutubisme tanpa analisis adalah merugikan. Yang hanya menjadikan penulisan Fathi Yakan sebagai kiblat adalah merugikan. Yang hanya berpandukan Abul A’la al-Maududi sebagai logo juga merugikan. Saya menegaskan, mereka hidup pada zaman mereka dan di tempat mereka sedangkan kita juga ada tempat dan situasi kita yang tersendiri. Jika mereka membentuk suasana mereka dengan pemikiran yang sesuai dengan kondisi mereka, maka mengapa kita tidak membentuk kondisi kita dengan pemikiran dan upaya kita?Dunia idealisme tidak pernah tertutup daripada ruang ijtihad. Apabila Nabi saw menggali parit dalam menghadapi tentera bersekutu, maka adalah tidak cerdik jika kita masih ingin menggali parit dalam menghadapi tentera Amerika.

Saya baru dihubungi oleh seseorang. Beliau bertanyakan saya, “Apakah yang lebih penting, membentuk pemikiran yang jitu atau tarbiah dan akademik?” Saya menjawab balik, tarbiah dan akademik adalah asas dan tunjang sedangkan pemikiran itu adalah buah. Mahasiswa dalam konteks ini mesti sentiasa bersedia untuk menerima pemikiran yang berbeza. Tidak boleh bagi mahasiswa untuk terus menolak pemikiran Fazlur Rahman atau Ali Abdul Raziq dengan hanya mendengar kupasan orang yang menolak, sebaliknya kita mesti bersedia untuk membaca dimensi pemikiran mereka dan cuba menilai seadilnya. Bukan hanya kita terus menolak tanpa berfikir.

Di Malaysia wujud kumpulan Sosialis, Institut Kajian Dasar yang lebih kepada kapitalis, Malaysia Think Tank London dan banyak lagi. Kumpulan ini telah mengetengahkan pelbagai pemikiran yang aneh-aneh dan mencabar, namun mahasiswa mahasiswa mesti bersedia untuk mendengar dan menganalisis pemikiran mereka. Saya suka menyebut, apabila Fazlur Rahman mengatakan Jibril bukan malaikat, maka tugas kita bukanlah terus menghentam dan membangkang sebaliknya harus menganalisis dan mencungkil. Apa, mengapa dan bagaimana? Di Mesir, saya tidak tahu.

Nah, saya ingin bertanya dan melemparkan persoalan demi persoalan. Apakah kepimpinan mahasiswa Mesir bersuara dalam isu-isu nasional yang sedang melanda negara kita seperti isu Kartika Sari, atau isu royalti minyak di Kelantan? Apakah perbincangan yang wujud di Mesir hanya melibatkan soal keilmuan atau wujud perbincangan yang melibatkan isu-isu nasional yang membina negara?Ini bukan soal kritikan namun pertanyaan. Atau persoalan. Sekiranya lepasan Al-Azhar hanya bercita-cita untuk menjadi guru J-Qaf yang mengajar Quran dan Jawi, maka bagi saya ia hanya merugikan. Sebaiknya, mereka harus bercita-cita untuk merubah Malaysia dan sistem pendidikan negara termasuklah membetulkan ulama-ulama yang telah memperalatkan jawatan mereka. Mereka harus menjadi agen perubah, bukan hanya guru quran yang mendapat gaji bulanan.

MOHD DZUL KHAIRI MOHD NOOR ADALAH MANTAN PRESIDEN GABUNGAN MAHASISWA ISLAM SE-MALAYSIA (GAMIS)DAN KETUA PEMUDA PERSATUAN ULAMA MALAYSIA. KINI SEDANG MENJAWAT SEBAGAI PENGARAH URUSAN YOUTH CENTRE FOR POLITICAL EDUCATION.
www.islamon9.com

Isnin, 29 Mac 2010

Kepentingan memoir untuk seorang wartawan

PARA wartawan berjaya kerana mereka kerap bertanya apakah kemudian nanti akan menulis memoir. Ini kerana interaksi mereka dengan pelbagai punca berita atau informasi.
Antara mereka - para menteri, tokoh-tokoh pembangkang, tokoh korporat, tahanan politik, ketua demonstrasi haram.

Tidak semua menjawab "ya" kerana ada yang memilih kenangan lampau masing-masing dan merahsiakan sesuatu yang boleh menjejaskan status diri sendiri.

Dalam pada itu ada pemberita - dipanggil kuli tinta di Indonesia - yang sesekali menulis mengenai sesuatu pengalaman dirinya. Contohnya seorang wartawan Poland, bernama Ryszard Kapuscinsky yang bertahun-tahun lamanya bertugas di negara-negara benua Afrika sebelum dan selepas mencapai kemerdekaan. Umpamanya, kisah nyaris maut dipatuk ular senduk setelah sesat ketika mencari berita dengan temannya. Setelah gagal mencari jalan keluar dari hutan mereka akhirnya menjumpai dua pondok usang dan di dalamnya papan tempat tidur. Kapuscinsky terus baring kerana terlalu letih lalu merokok. "Rasanya tak begitu sedap dan saya pun memandang ke arah tangan yang terlentok atas tanah. Tiba-tiba ketika hendak memadam rokok saya lihat seekor ular di bawah katil. Kerana terkejut saya biarkan rokok dan asapnya berkepul-kepul di atas kepala ular itu.

Ular itu akhirnya mati dihentak dengan kotak tin oleh rakannya Leo, seorang warga Greece dan pemberita beberapa buah akhbar. "Saya tidak pula berasa gembira melihat darah ular itu. Saya berasa sedih kerana jantung ular itu tiada berdenyut lagi. Kisahnya diberi tajuk The Cobra's Heart.

Lebih bahaya ialah manusia seperti dicatat oleh seorang penulis kulit hitam, bernama Don Mattera dalam makalahnya bertajuk "Sepucuk surat terbuka kepada orang kulit putih Afrika Selatan." Sedutan dari warkahnya itu:

"Saya menulis surat terbuka ini kerana kerajaan anda telah menafikan hak saya untuk meluahkan perasaan. Segala tulisan saya telah diharamkan dan tiada satu boleh disiarkan. Adakah sesiapa di antara anda yang bertanya pada kerajaan kenapa saya dilarang menghadiri majlis ulang tahun hari jadi anak perempuan saya? Kenapa saya diperintah menunggu di luar ketika anak lelaki saya menerima hadiah? Kenapa saya mesti memohon kepada majistret untuk menghadiri pengkebumian seorang yang dikasihi atau kawan ataupun pemimpin?

Pernahkah anda kulit putih mengalami rasa ngeri manakala rumah diserbu oleh polis rahsia? Betapa malunya saya manakala mereka menghentak pintu dan riuh rendah menyelongkar rumah, menarik selimut anak-anak yang sedang tidur? Pernahkah juga seorang budak lelaki kulit putih berumur 10 tahun berlari kaki ayam ke arah kereta polis dan menangis ketika ayahnya ditangkap untuk dibawa ke lokap balai polis? Anak saya telah mengalaminya...." Demikian antara pengalaman Mattera dalam masa pemerintahan dasar aparteid.

Tidak kurang sedihnya ialah catatan Fawaz Turki, penulis Palestin. "Di mana saja dalam masyarakat Palestin, sang penulis dipanggil kateb el shaab, pejuang rakyat. Ia menghadapi ancaman tahanan, penjara, penyiksaan dan pembuangan dari tempat tinggal. Segala karya sastera termasuk puisi yang singkat atau makalah mesti diserahkan kepada para pegawai tentera untuk disemak dan diluluskan."

Mengejutkan ialah satu lagi catatan: Sebuah puisi mengenai kasih tiada terhingga kepada seorang wanita tidak disiarkan kerana para pegawai tentera Israel mendakwa wanita yang dimaksudkan itu ialah Palestin. Pada suatu masa lalu pelukis Palestin yang terkenal Sulaiman Mansor mengadakan pameran lukisan di Tebing Barat. Antara lukisan ialah sekuntum bunga mawar warna merah, hijau, hitam dan putih iaitu warna bendera Palestin. Pamerannya ditutup, lukisan-lukisan dirampas dan Mansor sendiri diheret ke penjara." Ertinya para penulis Palestin sentiasa diawasi. Catatan Fawaz ialah antara sumbangan para penulis termasuk dari Barat dalam buku berjudul penulis dan hak-hak asasi manusia terbitan Amerika.

Antara mereka pujangga Susan Sontag, Nadine Gordimer (novelis Afrika Selatan), Joy Kogawa dari Kanada yang menulis mengenai "musuh dalam selimut." Menjadi persoalan ialah peranan para penulis supaya menyedarkan kesemua pihak mengenai situasi yang mengizinkan keadaan tidak adil, penindasan dan kezaliman.

Mencetus pelbagai pertanyaan ialah pendapat penulis dari Kanada, George Woodcock: "Seorang teman saya ialah pembikin filem dari Iran yang meninggalkan negaranya. Beliau telah menerbit sebuah filem yang bagus mengenai tahwil. Filemnya diharamkan oleh kerajaan Shah Iran kerana dianggap subversif.'' Dari Amerika Selatan Eduardo Galeano mengingatkan: "Saya tidak sependapat dengan penulis-penulis yang menganggap diri mereka lebih istimewa dari manusia biasa. Kita para penulis bukan umpama dewa-dewa. Sastera adalah satu cara bertindak."

Pembicaraan mengenai hak-hak asasi manusia bersambung di mana saja, termasuk oleh kuli tinta dan jika menang memang wajar dicatat dalam memoir.

ARKIB : 10/05/2009

Menilai nasib umat Islam

ADAKALA ulang tahun peristiwa bersejarah mengulangi tuntutan maaf. Demikian halnya pada 9 April lalu yang dilaporkan antara lainnya oleh akhbar Times, London. Tajuk beritanya Moors want an apology after 400 years: Expulsion “first ethnic cleansing of Europe.”

Moors ialah panggilan bagi orang Islam di Sepanyol yang mereka perintah selama hampir tujuh abad hingga tewas kepada bala tentera Raja Ferdinand dan Permaisuri Isabella pada tahun 1492. Warga Moors itu berasal dari Maghribi.

Laporan bermula mengenai sikap Sepanyol masih keberatan untuk memohon maaf kerana apa yang berlaku di masa lampau. Cerita bersambung: “Empat ratus tahun dulu hari ini (9 April) Raja Philip menandatangani perintah untuk mengusir 300,000 Moriscos – masih serba sedikit Islam - yang dulu Islam. Selama lima tahun berikutnya beratus ribu orang mati setelah diusir dari rumah mereka di Sepanyol ke Afrika Utara ketika memuncaknya tindakan Inquisition pihak Sepanyol.”

Menurut laporan tersebut sebilangan penulis Islam dan aktivis Sepanyol serta Maghribi berpendapat bahawa telah tiba masanya pihak berkuasa Sepanyol memohon maaf. Ulang tahun peristiwa masa lampau itu menandakan kesekian kali hubungan tidak begitu mesra di antara Sepanyol zaman moden dengan pihak Maghribi atau warga Islam umumnya.

Selepas kemenangan Ferdinand dan Isabella “beratus ribu warga Islam yang terus bermastautin di Sepanyol dipaksa masuk agama Kristian tetapi ramai yang terus menggunakan nama-nama Islam dan mengamalkan cara hidup Islam.

Menurut para sejarawan beratus mati manakala dipaksa pindah ke Afrika Utara selama lima tahun berikutnya setelah Raja Philip mengeluarkan perintah menghalau mereka pada 9 April 1609. Demikian berapa catatan masa lampau. Seperti juga disebut semasa pemerintahan Islam di selatan Sepanyol tidak adapun kaum lain, Kristian atau Yahudi, dipaksa masuk agama Islam.

Jatuhnya pemerintahan ialah kerana perpecahan di kalangan orang Islam sendiri, umpamanya di antara Boabdil dengan lagi Grenada. Pemberontakan berlaku di kalangan rakyat terhadap Boabdil kerana berunding menyerah kalah kepada Ferdinand dan Isabella.

Menurut yang punya cerita Boabdil kemudian berundur dari wilayah pemerintahannya. Ia singgah di lereng sebuah bukit yang kemudian diberi nama The Last Singh Of The Moors lalu menangis.

Ibunya yang marah dengan sikap beralahnya lalu menyindir: “Kau menangis seperti perempuan kerana tidak mempertahankan sesuatu seperti seorang lelaki.”

Boabdil mati dalam satu pertempuran lain di Afrika Utara. Mengenai dirinya dikatakan: “Beliau mati dalam satu perjuangan lain, tetapi takut mati dalam perjuangan diri sendiri.”

Mengenai negeri al-Andalus yang pada beberapa ketika begitu indah ialah cerita berikut: “Ketika Tuhan mengisi kekosongan di bumi al-Andalus, lima permohonan diajukan - langit terang benderang, lautan indah yang penuh dengan ikan, pokok-pokok dengan pelbagai buah-buahan, para wanita yang cantik dan sebuah kerajaan yang adil. Kesemua, kecuali yang terakhir dikurniai oleh Tuhan. Sebabnya, manakala yang lain-lain itu dikurniai serta juga kerajaan yang adil, maka Andalusia mungkin menyaingi syurga.

Kisah ini dibawa oleh seorang penulis Barat. Tajuknya: The Rise and Fall of Paradise: When Arabs and Jews built a kingdom in Spain.

Dari Andalusia yang permai lahirnya muzik flamenco, kerana adanya campur-aduk muzik Sepanyol dan Arab. Seperti kemudian dicatat: Flamenco lahir ketika Arab, Yahudi dan Kristian bermesra satu sama lain.

Dalam keadaan masa kini bilangan warga Islam telah merebak di beberapa negara Eropah: 1.6 juta di Britain, satu juta di Itali, 4 hingga 5 juta di Perancis (kira-kira 7 peratus daripada jumlah penduduk).

Di Britain sebuah pertubuhan hak asasi Islam di London menyebut tentang 344 tindakan ganas anti-Islam selepas peristiwa 11 September 2001. Di Itali beberapa tokoh politik, termasuk Perdana Menteri Silvio Berlusconi melafaz kenyataan anti-Islam. Ada yang berkata pendatang Islam “bahaya” bagi negara Itali.

Di Perancis pula wanita Islam bertudung menjadi masalah. Hal yang sama juga berlaku di negeri Jerman.

Apakah akan berlaku lain-lain hal terhadap warga Islam. Apakah juga nanti akan wujud sesuatu yang menyamai Alhambra di Sepanyol?

ARKIB : 03/05/2009

Rundingan dengan negara jiran bukan mudah

WAJAR mendapat perhatian segala pihak ialah kajian pelbagai dimensi hubungan antara Malaysia dan Singapura oleh para ilmuan dalam buku berjudul Across The Causeway.

Antara yang dicatat ialah sebuah kenyataan Menteri Perdagangan Singapura, George Yeo suatu masa lalu: This is a relationship which is inseparable, Malaysia and Singapore are like Siamese twins. Occasionally we get close to each other and annoy each other. We say you go your way and I go my way. We try and we cannot go very far because we share a common umbilical cord.

Ringkasnya, hubungan kita tidak boleh dipisahkan. Kita seperti kembar Siam. Kita punyai tali perut yang sama.

Kenyataan tersebut dipetik oleh Profesor Dr. Mahani Zainal Abidin, Ketua Pengarah ISIS dan buku berkenaan diterbit oleh Institut Kajian Asia Tenggara, Singapura. Laporan bermula manakala British dulu memerintah Semenanjung Tanah Melayu dan ekonomi negeri-negeri Melayu dan Negeri-negeri Selat bergantung antara satu sama lain. Singapura menjadi kaya-raya kerana perdagangan getah dan bijih timah dari Malaysia dan dagangan tersebut membiayai perkembangan pedalaman Tanah Melayu.

Sejak perpisahan pada tahun 1965, Malaysia dan Singapura mencapai kemajuan ekonomi dan persaingan berlaku selanjutnya. Muncul kemudiannya ialah isu-isu seperti bekalan air ke Singapura, simpanan wang para pekerja Malaysia dalam Central Provident Fund Singapura penggunaan ruang udara Malaysia oleh pesawat angkatan udara Singapura dan pembinaan jambatan untuk menggantikan tembok yang menghubung kedua-dua negara. Isu-isu tersebut juga menyentuh bidang politik.

Namun pentingnya Malaysia dalam jurusan dagangan Singapura terus meningkat tahun demi tahun. Sejak tahun 2000, Malaysia mengatasi Amerika Syarikat sebagai rakan kongsi niaga Singapura. Eksport bahan makanan ke Singapura meningkat dari AS$31.95 juta pada tahun 1970 hingga AS$564.47 juta pada tahun 2003. Walaupun Singapura di belakang Amerika, Jepun dan Taiwan dalam nilai pelaburan, bilangan syarikat Singapura yang melabur di Malaysia meningkat hingga 3,028 buah berbanding 812 buah syarikat Amerika.

Malaysia juga paling popular bagi warga Singapura membeli hartanah. Pembelian rumah-rumah, keanggotaan pelbagai kelab golf tertumpu di selatan Semenanjung Malaysia kerana berhampiran dengan Singapura.

Menjadi isu rumit ialah bekalan air. Jumlah bekalan air dari Malaysia kira-kira 72 peratus keperluan Singapura, iaitu bagi rumah-rumah dan urusan-urusan dagangan. Dan ia juga diperlukan bagi kapal-kapal yang berlabuh di Singapura.

Bilangan para pelancong Singapura berupa majoriti pengunjung ke Malaysia. Pada tahun 2003, bilangan mereka 56 peratus. Ramai datang setiap hari ke Johor Bharu untuk makanan dan membeli pelbagai keperluan rumah. Pelbagai tempat bercuti bergantung kepada kunjungan warga Singapura.

Menurut Prof. Mahani fasa pertama perhubungan ekonomi antara Malaysia dan Singapura dari 1965 hingga lewat 1980-an berupa perkongsian Singapura juga mengambil sebilangan ramai para pekerja dari Malaysia.

Pada hakikatnya Malaysia memberi sumbangan kepada kepesatan ekonomi Singapura manakala Singapura pula mengadakan pelbagai kemudahan untuk dagangan Malaysia dan meluaskan pasaran domestiknya.

Ekonomi global

Menurut Prof. Mahani hala tuju hubungan antara Malaysia dan Singapura akan ditentukan oleh kepimpinan politik kedua-dua negara, antara lainnya. Ekonomi kedua-duanya banyak persamaan dan perkembangannya bergantung kepada ekonomi global. Kedua-duanya menghadapi saingan dari China dari segi pelaburan dan proses perkilangan yang murah.

Beliau juga menyentuh potensi antara Singapura, Selatan Malaysia dan kepulauan Riau kerana mempunyai sebilangan ramai para pekerja, tanah dan pelbagai kemudahan. Juga disebut sebagai inisiatif baru Malaysia ialah Iskandar Development Region (IDR) di selatan Johor berhampiran pantai Singapura. Menurutnya lagi syarikat-syarikat asing, termasuk di Singapura boleh melabur dalam urusan hartanah, industri perkilangan dan perkhidmatan-perkhidmatan pelajaran serta kesihatan.

Antara penarikan utama ialah luasnya tanah di wilayah itu berbanding dengan di Singapura. Andainya Singapura memindahkan kegiatan-kegiatan perkilangan dan pelbagai perkhidmatan ke wilayah IDR itu, maka ia akan menjadi bukti hubungan seimbang dua hala antara Malaysia-Singapura.

Beliau menegaskan bahawa Malaysia dan Singapura perlu sedar bahawa mereka menghadapi masa depan yang sama dan perkongsian hendaknya menggantikan pertandingan antara kedua-dua. Demikian saranan Prof. Mahani. Timbul kembali kini ialah isu jambatan bengkok atau lurus antara Malaysia dan Singapura yang dahulu terbantut. Lalu ada pihak bertanya apakah ia memberi faedah kepada kedua-dua pihak.

Sebagai contoh ialah Perjanjian Kerjasama Pertahanan antara Indonesia dan Singapura yang mengambil masa lima tahun dirundingkan dan akhirnya ditandatangani pada tahun 2007. Masalah berbangkit kemudiannya daripada kalangan Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia. Akibatnya perjanjian berkenaan tidak dilaksanakan. Rencana mengenai hal ini disiarkan dalam Jakarta Globe pada 24 Mac. Ertinya juga rundingan-rundingan antara jiran bukan perkara mudah.

ARKIB : 26/04/2009

Sejarah tidak boleh dipadamkan

KEBIASAAN zaman moden yang memprojek nilai-nilai dewasa ini ke masa lampau adalah salah, demikian menurut tokoh sejarah. Pepatah Cina pula mengingatkan: Mata tidak boleh melihat bulu mata sendiri.
Kerana, muncul kini ialah desakan supaya dipadam sebahagian pelajaran sejarah di sekolah untuk memenuhi tuntutan perkauman. Awang Selamat dalam pojoknya minggu lalu menulis: "Nampaknya sejarah negara mahu ditulis semula mengikut apa yang dimahukan dan bukannya berdasarkan fakta. Maka makin jelas bahawa bukan sahaja sisa kekuatan politik Melayu yang ada ini mahu dikuburkan malah sejarahnya juga mahu dinafikan''.

Pelbagai mimpi sesetengah gambong-gambong politik ada kalanya seperti disebut dalam dunia politik Inggeris merciless, vengeful - kejam, berdendam. Pelbagai perkara yang telah dipersetujui secara muafakat mahu digunting begitu saja untuk mencapai kuasa bagi diri sendiri.

Memberi pelajaran dengan itu ialah aspek-aspek sejarah dalam Monograph Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society yang menyambut ulang tahunnya yang ke-130 (1877-2007). Antara yang memberi sumbangan ialah Profesor-profesor Nicholas Tarling, Cheah Boon Kheng, Wang Gungwu, Ken Tregonning dan John Gullick. Prof. Cheah, antara lain menulis mengenai kontroversi politik yang tercetus manakala Alex Josey, seorang bekas wartawan British menyatakan bahawa orang Melayu tiada sejarah selain dari menjadi perompak lanun. Beliau membuat kesimpulan itu setelah membaca buku Dr. Tarling, Piracy and Politics in the Malay World (1963).

Lalu Prof. Cheah segera pergi ke toko buku berhampiran untuk membeli suatu naskhah. Setelah membacanya beliau berpendapat bahawa Alex Josey telah tersalah baca atau sengaja memutar tulisan Tarling, ketika itu di Universiti Queensland, Australia.

Walhal, buku Tarling cuba menunjukkan betapa pihak British, "membesar- besarkan peristiwa-peristiwa perompak lanun dan menggunakan istilah itu untuk mengisahkan lain-lain perompak dan keganasan yang dihadapinya".

Jawatan

Prof. Cheah menyebut mengenai Malaysianisasi pelbagai jawatan akademik lewat dilaksanakan dan hanya dipenuhi setelah Dasar Ekonomi Baru berlaku pada tahun 1970 di bawah pimpinan Perdana Menteri Kedua, Tun Abdul Razak.

Dasar Ekonomi Baru itu mewujudkan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia.

Selanjutnya dicatat syarahan Prof. Tregonning di Singapura pada tahun 1958 yang mengkritik para sejarawan Barat, seperti R.O Windstedt dan D.G.E Hall kerana bersikap Europe-Centric. Lalu beliau menyeru para pelajar di Singapura dan Malaysia: "Asia, bukan orang Eropah di Asia, mestilah menjadi tema kita."

Prof. Cheah sendiri pula bukan saja membuat penyelidikan mengenai nasib para petani, tetapi juga menulis sejarah Melayu pra-penjajahan, nasionalisme dan hubungan antara pelbagai kaum.

Prof. Wang Gungwu pula menyentuh sejarah Melaka menjadi tanah jajahan Portugis dan Batavia tanah jajahan Belanda, lalu menambah: "Ini tidak bererti bahawa orang Melayu dan Jawa tidak mempunyai empayar sendiri. Empayar mereka atau sebahagian darinya terus hidup berkurun-kurun lamanya".

Sejarawan Yong Ching Fatt menulis mengenai kepimpinan China di Malaya semasa pemerintahan British. Antara yang disebut ialah peranan Kuomintang China pimpinan Jeneral Chiang Kai-Shak dan asal-usul gerakan komunis di Malaya. Lantas beliau menulis:

"Komunisme China dan Komunisme Malaya lahir dari luar dan untuk terus hidup mereka terpaksa menyesuaikan diri dengan keadaan di Malaya."

Menurutnya lagi, pihak British berjaya membendung gerakan komunis melalui tindakan undang-undang, kegiatan pihak Special Branch, kegiatan anti-komunis dan kekuatan tentera. Gerakan Komunis juga gagal kerana tiada sokongan daripada orang Melayu yang berjiwa kebangsaan. Seperti diakui sejarah Malaysia bukan hanya mengenai pemerintahan raja-raja, penjajahan-penjajahan Portugis, Belanda dan British serta golongan atasan atau elit, tetapi juga menyentuh social history.

Antara yang diceritakan ialah nasib penarik beca Melayu di Kota Bharu, Kelantan tahun 1960an-1980an sebagai "orang tengah para pelacur". Hal ini ditulis oleh Haryati dan Hamidi Abd Hamid.

Maklumat diperolehi daripada pemandu-pemandu beca daripada para pelacur dan daripada sumber-sumber rasmi, termasuk pejabat Menteri Besar, polis dan penasihat undang-undang.

Lalu dicatat bahawa kira-kira 7,000 keluarga bergantung kepada penarik beca, iaitu yang termiskin sekali di Kelantan. Sebilangan memiliki beca sendiri dan sejumlah besar menyewa daripada peniaga-peniaga China. Sewa tiap satu RM1.20 hingga RM1.40 sen sehari. Pendapatan pula RM3.50 hingga RM4.50 sehari.

Wajar dicatat dari negara asing ialah sejarah Zimbabwe di Afrika yang dulu bernama Rhodesia pemerintahan kulit putih yang minoriti. Tanah-tanah begitu luas dimiliki oleh pendatang-pendatang kulit putih yang menjajah hinggalah akhirnya Zimbabwe milik kulit hitam yang majoriti mencapai kemerdekaan.

Sebelumnya ialah sejarah Afrika Selatan begitu lama dijajah oleh pendatang kulit putih dengan dasar apartheid. Akhirnya dasar menindas itu ditamatkan dan majoriti kulit hitam mencapai kebebasan. Presiden kulit hitam yang pertama Nelson Mandela puluhan tahun meringkuk dalam penjara.

Orang Melayu yang dijajah mencapai kemerdekaan melalui perjuangan UMNO dan kerjasama pihak MCA dan MIC. Dari Perikatan lahir Barisan Nasional pimpinan Tun Razak. Masakan ini boleh dipadam? Demikian juga kedaulatan bahasa, Dasar Ekonomi Baru yang menebus peminggiran orang Melayu. Dan dari Malaya merdeka lahir Malaysia bahtera negara terus belayar.

ARKIB : 19/04/2009

Nasib penduduk minoriti Islam

JARANG dilaporkan ialah keadaan golongan minoriti Islam di mana juga negara. Mendapat perhatian kerana itu ialah terbitan Islam in Southeast Asia yang menyentuh hal tersebut. Penulisnya Profesor Hussin Mutalib dari National University of Singapore yang menulis mengenai Islam di Tenggara Asia.

Laporan bermula mengenai bilangan umat Islam di dunia kini kira-kira 1.3 bilion dan 60 peratus dari mereka bermastautin di benua Asia. Dijelaskan lagi: “Kira-kira 250 juta warga Islam tinggal di Asia Tenggara. Orang Islam di rantau ini mungkin golongan minoriti dalam dunia, tetapi mereka berperanan mengatur destini masa depan Islam iaitu bukan pinggiran atau tersisih.

“Indonesia negara Islam yang terbesar sekali dalam dunia, Malaysia negeri Islam yang dinamis dan moden, manakala Brunei salah sebuah yang terkaya sekali. Selain dari ketiga negeri majoriti Islam itu ialah golongan minoriti Islam di rantau ini, termasuk Thailand, Filipina dan Singapura serta lain-lain minoriti Islam di Indochina, tiap satu dengan keperibadian, aspirasi dan cabaran-

cabaran mereka.” Demikian dijelaskan.

Menurut bancian tahun 2000, 15 peratus penduduk Singapura beragama Islam, iaitu 14 peratus etnik Melayu (450,000 dari jumlah penduduk empat juta) satu peratus lagi ialah daripada kaum lain seperti Arab dan India.

Majoriti penduduk Republik Singapura ialah Cina 77 peratus dan etnik India tujuh peratus. Menurut Profesor Hussin, bilangan orang Cina memeluk agama Islam meningkat, tetapi jumlahnya masih kecil.

Nasib Melayu Singapura, dianggap berubah pada tahun 1963 manakala Singapura menyertai Malaysia dan dengan itu menjadi sebahagian daripada etnik majoriti Malaysia. Menjelang dua tahun keadaan berubah manakala Singapura berpisah dan Melayu Singapura kembali menjadi golongan minoriti.

Juga dicatat betapa perubahan yang berlaku. Berbanding keadaan sebelum merdeka, orang Islam Singapura tinggal dalam perumahan lebih baik dan lebih ramai para pelajar Islam mendapat pelajaran lebih baik. Lebih ramai Melayu kini termasuk dalam golongan “kelas menengah.”

Sejak 1966, hal ehwal Islam tertakluk kepada undang-undang Pentadbiran Islam yang membolehkan penubuhan Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan pentadbiran masjid-masjid serta madrasah-

madrasah. Urusan-urusan menunaikan fardu haji dan wakaf juga disusun. “Dengan bantuan orang ramai Islam yang menderma wang kepada MUIS melalui potongan gaji bulanan dan zakat, maka MUIS telah menjadi badan yang ditadbir secara profesional dengan wang berjuta dolar.

Juga disebut ialah tindakan kerajaan Singapura menghindarkan sikap pelampau perkauman dan keagamaan. Ketika memuncak kemarahan umut Islam seluruh dunia dan anti Denmark kerana lukisan-lukisan kartun Nabi, maka Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengecam kartun-kartun tersebut kerana tidak sensitif kepada perasaan orang Islam, dua blogger Internet didakwa di bawah Akta Hasutan kerana menulis ulasan-ulasan anti-Melayu dan seorang lagi disoal oleh pihak polis kerana kartun-kartun anti-Kristian.

Menurut Profesor Hussin lagi, isu-isu yang dihadapi oleh minoriti Islam di Thailand dan Filipina lebih kurang sama. Bilangan warga Islam kira-kira lima hingga tujuh peratus sahaja daripada jumlah penduduk.

Islam merebak ke Filipina sekitar abad ke-14 melalui ahli-ahli perniagaan Arab dan para pendakwah. Menurut Profesor Hussin, penjajahan Sepanyol dan Amerika – mengubah sejarah Filipina, termasuk kedudukan dan peranan Islam di Filipina.

Di negara-negara Indochina pula warga Islam di Myanmar (Burma) cuma lima peratus, empat peratus di Kemboja dan hanya satu peratus di Vietnam serta Laos.

Muncul di Myanmar dengan jumlah penduduk 50 juta ialah masalah kaum Rohingya Islam. Sejak 1980-an lebih 250,000 telah melarikan diri ke Bangladesh.

Bilangan warga Islam di Vietnam pula kira-kira 800,000 orang (kurang dari satu peratus jumlah penduduk) Keadaan mereka tidak begitu jelas kerana tiada penyelidikan mengenai mereka dilakukan.

Bilangan warga Islam di Kemboja empat peratus daripada jumlah penduduk kira- kira 14 juta. Kerajaan Kemboja pernah memberi panggilan “Khmer Islam” kepada golongan Cham. Di wilayah Kampung Cham di tebing Sungai Mekong, 34 peratus penduduk beragama Islam.

Semoga nasib golongan minoriti Islam berkenaan mendapat perhatian lain-lain warga Islam yang telah mencapai kemajuan dan kemakmuran. Pun ada yang dihalau, tiada menerima zakat, tiada peluang naik haji atau rumah-rumah mereka dimusnahkan. Yang menjadi masalah bukan di Semenanjung Gaza sahaja.

ARKIB : 12/04/2009

Peralihan kuasa secara aman damai

MALAYSIA bertuah kerana kepimpinan seorang demi seorang Perdana Menteri yang begitu berjasa kepada negara dan rakyat sejak merdeka. Demikian pernah dinyatakan dengan tegas oleh Allahyarham Tan Sri Harun Hashim.
Ini diulangi beliau dalam bukunya The Benchmark mengenai sistem kerajaan yang stabil dengan pilihan raya setiap lima tahun dan peralihan kuasa dari sesebuah kerajaan kepada yang berikutnya dengan aman damai. “Bila tiba waktunya Tunku Abdul Rahman bersara secara teratur, maka mengambil alih ialah Tun Abdul Razak, timbalannya selama 15 tahun. Manakala Tun Razak meninggal dunia, mengambil alih ialah Tun Hussein Onn.

“Dan manakala Tun Hussein meletakkan jawatan kerana sebab-sebab kesihatan, beliau diganti oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad... angin perubahan akan berlaku lagi di Malaysia, tetapi janganlah hendaknya ia angin yang membawa anarki dan huru-hara,” beliau menambah dalam makalah pada akhir tahun 1998.

Hal ini diulangi kemudian pada tahun 2004 oleh Hng Hung Yong, editor akhbar bahasa Inggeris dalam bukunya 5 Men & Ideas: Building National Identity lalu menyebat nama Datuk Onn Jaafar, Tunku, Tun Razak, Tun Hussein dan Tun Dr. Mahathir.

Jasa Datuk Onn ialah kerana mengembeling keperibadian Melayu, Tunku kerana memupuk penerimaan budaya masyarakat pelbagai kaum. Tun Razak kerana ekuiti ekonomi sebagai syarat utama perpaduan nasional, Tun Hussein kerana pemerintahan undang-undang dan Dr. Mahathir kerana dimensi antarabangsa keperibadian nasional.

Mereka memikul tanggungjawab yang menuntut jawapan. Pertama Datuk Onn (1946-51), Tunku (1951-70), Tun Razak (1970-76), Tun Hussein (1976-81) dan Dr. Mahathir (1981-2003). Tokoh berikut pula ialah Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjadi Perdana Menteri pada 31 Oktober 2003.

Lantas perhimpunan agung lalu membuka lembaran baru sejarah dengan memilih Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Lalu bergambarlah beliau pada hari akhir perhimpunan dengan Abdullah dan Dr. Mahathir. Gambar mereka penuh kesejahteraan bersama sebilangan pemimpin lain tentunya kelak menyerikan dewan perhimpunan UMNO.

Seperti dicatat adanya oleh penulis Baharom Mahusin dalam reaksinya, peralihan kuasa saat-saat perlu disambut dan “detik-detik menyuntik semangat menyemarakkan penyatuan baru Malaysia.”

Mendapat perhatian semua pihak betapa pemilihan terbuka dan bebas para pemimpin baru berlaku, iaitu yang seumpamanya tiada berlaku dalam parti-parti lain. Muncul Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden baru: Datuk Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin dan Datuk Mohd. Shafie Apdal. Sebaliknya tewas beberapa orang menteri kerajaan dan empat orang Menteri Besar.

Kini giliran Najib menjadi Perdana Menteri ke-6. Beliau telah pun mengumumkan langkah-langkah yang akan diambil untuk, antara lainnya meminda perlembagaan parti.

Berlaku di luar di samping itu ialah gesaan Pengerusi DAP Karpal Singh supaya Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng supaya membatalkan larangan ke atas Utusan Malaysia dan New Straits Times dari menghadiri majlis-majlis anjuran kerajaan negeri.

Menurutnya tidaklah wajar melarang akhbar-akhbar dan sepatutnya bersedia menerima kritikan. “Kita mendukung kebebasan akhbar,” beliau menambah.

Menurutnya lagi kenyataan Datuk Nik Aziz berhubung kempen memulaukan akhbar-akhbar arus perdana bertentangan dengan prinsip kebebasan akhbar.

Seorang pemberita akhbar Cina menyampaikan kepada tukang catat ini dua pantun yang menurutnya popular dahulu di kalangan orang Melayu dan Baba peranakan, berbunyi:

Berapa tinggi pokok pisang
tinggi lagi asapan api
berapa tinggi Gunung Ledang
tinggi lagi harapan hati.

Dua tiga kucing berlari
mana sama kucing belang
dua tiga dapat dicari
mana sama tuan seorang.

Pesanan selanjut pula nasihat Allahyarham Harun Hashim dalam satu lagi tulisannya mengenai UMNO. “Orang Melayu semula jadi baik hati dan liberal. Namun, awas peribahasa Melayu “diberi betis hendak paha” jangan ambil kesempatan murah hati mereka. Selepas lebih 50 tahun, sebab-sebab penubuhan UMNO tetap sahih dan demikianlah halnya tahun demi tahun kemudian nanti.”

ARKIB : 05/04/2009

Mahathir, Kassim dan sosialisme

Mendapat perhatian para pembaca ketika ini ialah buku Kassim Ahmad berjudul Mencari Jalan Pulang Daripada Sosialisme Kepada Islam dengan kata pengantarnya pula oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Oleh mantan Perdana Menteri disebut antara lainnya bahawa “seseorang insan akan melalui tiga fasa hidup dalam pegangan politik mereka, semasa muda mereka agak radikal dan mirip kepada pemikiran dan ideologi kiri. Apabila menempuh umur pertengahan pandangan dan pegangan mereka lebih mencerminkan centralist dan kecuali. Apabila sudah berumur mereka lebih suka mendokong sikap dan pandangan puak kanan atau konservatif.

“Saudara Kassim sudah melalui ketigatiga fasa ini. Bab yang awal lebih kepada ideologi terutama ideologi sosialis tetapi bab-bab yang terakhir banyak berbincang berkenaan agama iaitu agama Islam.”

Dr. Mahathir selanjutnya mengucap tahniah “kepada saudara Kassim, yang pada satu masa adalah musuh politik saya, kerana dapat mengulas pemikiran dan dasar berkenaan negara yang dicintainya dengan begitu jelas di samping menceritakan riwayat hidup dirinya.”

Kassim sendiri menjelaskan beberapa peristiwa dalam kehidupannya seperti “mengapa saya keluar dari PSRM (Parti Sosialis Rakyat Malaysia) yang saya pimpin selama 18 tahun dan kemudian memasuki UMNO”. Suatu lagi ialah debat “anti-hadis” yang tercetus berikutan dengan buku saya, Hadis - Satu Penilaian Semula” menyebabkan ia dicap “anti-hadis.”

Turut diceritakan ialah peristiwa setelah beliau menarik diri dari PSRM. “Ramai dalam parti saya dan gerakan kiri yang terkejut dan sedih dengan keputusan saya keluar dari parti. Penulis dan penyair Usman Awang (Tongkat Warrant), sahabat baik dari kami semua, menelefon saya dan bertanya:

“Dengan mengeraskan hati saya, saya jawab dengan kata-kata Hamlet dalam drama Shakespeare I have to be cruel in order to be kind. Maksud saya, kapal sosialis yang kita layari itu akan tenggelam. Lebih baik kita bersedia untuk meninggalkannya.”

Panggilan telefon dari Usman Awang itu dua kali disebut dalam memoir Kassim.

Beliau menulis kisah mengenai dirinya kembali kepada “jalan lurus” Islam dan menolak “jalan-jalan yang menyeleweng” falsafah liberalisme, falsafah Marxisme dan teokrasi.

Lalu disebut mengenai pembacaan buku-buku yang mengkritik sosialisme dan komunisme seperti buku The God That Failed (1950), iaitu “cerita enam orang bekas komunis tentang pengalaman mereka dalam gerakan komunis.”

Pada bab bertajuk Quran Datang Semula beliau menulis: “Ada banyak ajaran dalam dunia ini. Liberalisme, komunisme dan teokrasi – inilah tiga ajaran besar selain Islam. Ketiga-tiga ini menyeleweng daripada jalan yang lurus, yang ditunjuk dalam Quran.

“Inilah falsafah hidup yang saya cari dalam kehidupan saya. Saya mengambil masa 36 tahun, dikira daripada umur 17 tahun, untuk mencapai matlamat itu. Saya memberitahu anak-anak saya “ayah menjumpai Islam yang sebenar setelah belajar selama 36 tahun,”

Beberapa buah sajak oleh Kassim, 75, dipeturunkan, termasuk Pengembara Dalam Perjalanan (1978) berbunyi:

Aku seorang pengembara

di dalam perjalanan pulang

seperti matahari, gunung, lautan, pokok dan bintang

memilih jalan lurus

di antara jalan-jalan menyimpang

untuk pulang

Sebuah lagi buku yang menyentuh pertembungan masa lampau di antara Dr. Mahathir dan Kassim ialah Surat Daripada Dr. Mahathir oleh Zainuddin Maidin (Zam), mantan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu dan kemudian Menteri Penerangan. Pada satu bahagian Zam menulis:

“Dr. Mahathir sebenarnya tidak pernah percaya kepada sosialisme sebagai jalan ke arah memberikan persamaan kemakmuran kepada rakyat. Sejak awal lagi beliau percaya kepada kapitalisme dan kepada ekonomi pasaran bebas.

Dalam banyak ucapan dan tulisannya pada awal tahun 60-an Dr. Mahathir mengemukakan pandangannya bahawa orang sosialis dan komunis berjuang memperkecilkan kek dan kemudian cuba membahagiakan kek yang kecil itu kepada semua orang dengan sama rata. Tetapi, katanya kapitalisme membesarkan kek dan membahagi-bahagikannya.

Pada tahun 1971, Zam menulis lagi, apabila dikemukakan kepadanya tentang kepercayaan Kassim Ahmad bahawa pemimpin Vietnam Utara, Ho Chi Minh boleh menjadi contoh seorang pemimpin sosialis yang baik di Asia, Dr. Mahathir berkata: “Belum tentu. Dia masih belum berkuasa, kalau sudah berkuasa, dia akan berubah.”

Perkara ini timbul ekoran daripada satu forum di Universiti Sains Pulau Pinang di mana Kassim Ahmad semasa menjawab satu pertanyaan telah berkata: “Jika Sukarno tidak boleh diambil sebagai contoh kenapa tidak ambil Ho Chi Minh sebagai contoh pemimpin sosialis yang baik.” Demikian catitan Zam.

Pelbagai gambar disiarkan dalam buku Kassim, termasuk lawatan ke makam Karl Marx di London, gambar semasa ditahan di bawah ISA pada 3 November 1976, gambar pembebasan dan tahanan pada 30 Julai 1981 dan gambar bersama Saddam Hussein.

Akhir kata dari bukunya: “Selamat tinggal kepada dunia lama dan selamat datang kepada dunia baru, sebuah dunia yang adil, selamat dan bahagia untuk semua pasti akan lahir. Ini sunnatullah. Tetapi ia mesti berlaku dengan aktiviti kita.

Kitalah yang perlu bertindak, mengikut ajaran Tuhan dalam Quran, untuk membina dunia baru ini.”

ARKIB : 08/03/2009

Antara penyeksaan dan prasangka

Mengatur majlis dialog antara agama diakui bukan sesuatu yang mudah. Mencetus pertelingkahan bukan hanya perbezaan dan prasangka tetapi juga perhitungan politik dan kekuasaan.

Mengeruhkan suasana ialah pihak luar yang kenyataan mereka dilaporkan oleh media. Antaranya ialah seperti dicatat oleh The Islamic Texts Society (UK) dalam buku terbitannya, iaitu pandangan penulis pojok akhbar Times, London bernama Jonathan Meades.

Beliau menyatakan bantahannya kerana para tahanan di penjara Guantanamo telah diberi Quran dengan percuma untuk bacaan. Meades menyifatkannya seperti menghadiahkan buku karangan Hitler, Mein Kampf kepada para pemimpin Nazi Jerman yang menunggu perbicaraan di Nuremberg setelah tewas perang. Menulis dalam akhbar Times isu 26 Januari 2002, Meades juga membantah kerana para tahanan mendapat kebenaran untuk menunaikan solat. “Ia berupa ukuran sikap lemah kita manakala membenarkan bekas-bekas al-Qaeda di Guantanamo itu bersembahyang dan masing-masing dihadiahkan senaskah Quran.”

Kenyataan tersebut didedahkan dalam buku berjudul The Other in the Light of One: The Universality of the Quran and the Interfaith Dialogue oleh Dr. Reza Shah- Kazemi. Beliau menyebut betapa sejak beberapa tahun lalu Islam menyelami jiwa pelbagai pihak melalui unsur-unsur yang seumpama tidak pernah berlaku.

Lantas dijelaskan bahawa Quran menjadi kitab suci bagi lebih satu bilion umat Islam di seluruh dunia.

Menurut Dr. Shah-Kazemi lagi, kedahagaan kepada sastera Islam telah meningkat seperti dinyatakan oleh Jeremy Rifkin, Presiden Yayasan Ekonomi di Washington: “Sebagaimana yang ramai lagi, maka saya membaca hal-hal berkaitan agama Islam. Tujuh dari 15 buku paling laris dalam senarai akhbar New York Times adalah tertumpu kepada agama Islam.

“Quran menjadi kita paling laris sekali. Seluruh dunia menjadi seperti bilik darjah manakala kita cuba menyelami peristiwa tragedi 11 September.”

Dr. Shah-Kazemi menambah bahawa dalam Islam adalah pelbagai budaya, tradisi, pandangan dan sikap. Tumpuan mesej Islam ialah perpaduan umat.

Sikap Meades berbeza dari bekas Perdana Menteri British, Tony Blair yang kini membawa kitab injil dan juga Quran ke sana-sini dalam mengendalikan pelbagai urusannya. Beliau kerap menjelaskan kepada para hadirin beragama Kristian bahawa Islam menghormati Nabi Isa.

Kenyataannya itu disebut dalam temuramah dengan majalah New York pada 5 Januari lalu. Beliau telah menyertai Mazhab Katolik selepas bersara daripada jawatan Perdana Menteri, iaitu mazhab pilihan isterinya dari dulu lagi.

Wajar dicatat dalam konteks ini ialah buku berjudul The Documents of Vatican II berikutan beberapa persidangan para pemimpin Mazhab Katolik pada tahun 1963-1965. Antara dokumen yang diluluskan dan penjelasan mengenainya ialah sikap Katolik terhadap orang Islam: “Mengenai orang Islam, maka gereja menghormati mereka. Mereka mengasihi Tuhan yang satu, abadi dan belas kasihan serta maha berkuasa.”

Selanjutnya dinyatakan: “Walaupun mereka tidak mengakui Jesus sebagai Tuhan mereka menghormatinya sebagai nabi.”

Menjadi tanda tanya bagi Meades yang anti-Islam ialah sikapnya mengenai penyeksaan demi penyeksaan yang telah berlaku di penjara Guantanamo. Ramai tahanan meringkuk di penjara tersebut hingga selama tujuh tahun tanpa perlindungan undang-undang antarabangsa atau perlembagaan Amerika. Mereka tidak diberi kesempatan adil untuk membuktikan bahawa mereka tidak bersalah.

Hal ini dilaporkan oleh akhbar Honolulu Advertiser, antara lainnya. Lalu diumumkan keputusan Presiden Barack Obama bahawa penjara Guantanamo akan ditutup dalam masa setahun.

Obama mengumumkan keputusannya pada hari kedua ia menjadi Presiden Amerika. Jelas bahawa beliau mahu menebus kehormatan negaranya setelah bertalu-talu pihak media Amerika sendiri mendedahkan pelbagai tindakan kejam yang telah dilakukan ke atas para tahanan. Hal-hal tersebut juga berlaku di penjara Abu Gharib di Iraq.

Antara yang berlaku ialah yang dipanggil waterboarding dan rendition. yang pertama dilakukan ke atas tahanan yang dipaksa baring atas papan. Tiga helai tuala kemudian di atas mukanya. Ia selanjutnya diletak di bawah paip air yang mencurah-curah ke atas hidungnya hingga hampir lemas.

Rendition pula bererti tahanan-tahanan dihantar dengan kapal terbang ke negara lain untuk diseksa. Cara lain juga disebut oleh akhbar Honolulu Advertiser dalam laporan, serta janji Presiden Obama melarang penyeksaan-penyeksaan kejam seumpama itu.

Kepada Meades dengan prasangkanya terhadap Islam ditujukan sebuah kenyataan Harold Bloom, sarjana sastera keturunan Yahudi di Amerika mengenai Nabi Muhamad SAW. “Tiada orang lain dalam sejarah manusia menyampaikan kepada kita firman Tuhan. Kita tidak boleh bersantai manakala membaca Quran atau melafaz ayat-ayatnya sama ada bersendirian atau bersama orang-orang lain.”

ARKIB : 01/03/2009

Orang miskin AS jadi mangsa

Ada gambar bernilai seribu perkataan, demikian peribahasa Cina. Suatu contoh ialah gambar ini yang disiarkan dalam terbitan terbaru majalah Vanity Fair mengenai kegawatan ekonomi Amerika Syarikat (AS) dewasa ini hingga merebak ke beberapa negara lain yang terpaksa mengadakan program rangsangan.
Pada bahagian atas ialah gambar iklan yang pernah disiarkan oleh pelbagai akhbar dan majalah AS beberapa waktu dulu yang menunjukkan suatu keluarga kulit putih yang berada dalam kereta mereka. padanya ditulis There's no way like the American Way.

Gambar di bahagian bawah menunjukkan sebilangan warga kulit hitam "berbaris untuk menerima bantuan makanan dan bekalan air di bandar Louisville, Kentucky pada tahun 1937." Rencana mengenai kegawatan ekonomi dewasa ini di Amerika menyatakan betapa sebab ia merebak, antara lainnya:

Inflasi telah meningkat hingga enam peratus, iaitu paling tinggi dalam tempoh 17 tahun. Pengangguran meningkat hingga enam peratus dan tiada pengambilan pekerja baru di peringkat swasta hingga hampir setahun.

Harga rumah cepat sekali menurun dan banyak yang dilelong kerana pinjaman bank tidak dapat dibayar. Beberapa buah bank mengisytiharkan kerugian, iaitu beberapa bulan setelah para pegawai atasan menerima bonus lumayan.

Bekas Presiden Bush mewarisi kelebihan bajet berjumlah AS$128 bilion dari Presiden Bill Clinton. Pada tahun 2008 hutang negara meningkat hingga AS$10 trillion . Di samping itu Amerika terpaksa membelanjakan wang begitu banyak untuk peperangan di Iraq dan Afghanistan.

Berjuta warga Amerika telah kehilangan rumah kerana tidak mampu membayar balik pinjaman. Apa yang berlaku pada keseluruhannya ialah seperti seorang ditimpa pelbagai penyakit kerana merokok, terlalu banyak minum arak, terlalu banyak makan, kurang riadah menjaga kesihatan dan lain-lain lagi. Lalu disebut bahawa yang merbahaya ketika ini ialah kita terus mendengar pandangan orang-orang yang sama di Wall Street dan pakar-pakar ekonomi sedangkan mereka itulah yang menjerumuskan kita.

Sesuatu yang aneh sekali ialah manakala individu-individu yang kaya melalui spekulasi di pasaran saham dan jual beli hartanah membayar cukai lebih rendah dari yang dibayar oleh golongan menengah yang bergantung kepada gaji mereka saja dan bekerja 50 jam setiap minggu kerja.

Menghalau yang miskin kerana tidak membayar pinjaman bank bukan hanya suatu tragedi, tetapi juga tidak bererti. Rumah mereka terbengkalai manakala mereka pindah ke tempat lain. Para pegawai bank sepatutnya sedar betapa bank sendiri kerugian kerana rumah-rumah yang kosong jatuh harga.

Parti Republikan yang berkuasa selama lapan tahun sering menganjurkan potongan cukai, terutama bagi orang kaya untuk mengatasi kepincangan ekonomi. Sebaliknya pemotongan cukai pada tahun 2001 dan 2003 telah mencetuskan krisis ekonomi. Demikian antara sebab-sebab berlakunya kegawatan ekonomi Amerika semasa pentadbiran Presiden Bush selama lapan tahun.

Akhirnya pada minggu lalu Kongres Amerika-Dewan Perwakilan dan Dewan-Senat telah meluluskan rangsangan ekonomi berjumlah AS$787 bilion setelah Presiden Barrack Obama mendesak ia diluluskan segera.

Kali pertama Amerika mengalami krisis ekonomi yang dipanggil Wall Street Crash di New York ialah pada tahun 1929 hingga membawa akibat kepada negara-negara lain.

Bagi tukang catat ini ialah beberapa laporan yang ditulis oleh Lee Siew Yee (Tan Sri), bekas Ketua Pengarang New Straits Times, mengenai akibatnya di Malaya waktu itu. Beliau menulis:

"Seseorang yang melalui negeri Perak akan melihat di kiri - kanan jalan raya beratus keluarga penoreh getah yang telah dihalau dari tempat tinggal mereka di ladang-ladang getah yang tidak lagi ditoreh."

Mereka bertenggek di tepi jalan, dikelilingi periuk, belanga dan barang-barang kepunyaan mereka. Jauh dari jalan-jalan raya pula, iaitu tidak kelihatan kepada yang lalu lintas ialah ramai lagi yang menderita kerana kemiskinan. Mereka ialah keluarga-keluarga para pekebun kecil. Pokok-pokok getah mereka tidak lagi ditoreh kerana tidak ada yang membeli keping-keping getah mereka.

Tiada yang melaporkan nasib malang mereka itu. Pada waktu itu tiada siapa menyiasat dan melaporkan secara mendalam keadaan mereka." Demikian catatan Lee Siew Yee.

Mereka yang diusir dari estet-estet getah ialah penoreh-penoreh India. Pekebun-pekebun kecil getah pula ialah orang Melayu. Jelas bahawa pada ketika itu tiada akhbar yang menyampaikan laporan kepada para pembaca, kepada orang ramai dan kepada para pegawai penjajahan Inggeris yang memerintah.

Jelas juga bahawa waktu dahulu sesetengah akhbar lebih cenderong perhatian mereka kepada hal-hal yang berlaku di bandar, bukan kepada apa yang berlaku di kampung-kampung atau daerah-daerah pendalaman.

Menjadi tanda tanya: Setakat mana sensitiviti para pemberita dan wartawan dulu dan kini?

ARKIB : 22/02/2009

Catatan dari buku Surat Dr. Mahathir

POLITICAL Euphoria. Istilah dari kancah politik dunia Barat menurut kenangan pembaca ketika membaca buku berjudul Surat Dr. Mahathir oleh Zainuddin Maidin, bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu. Kerana kegirangan politik yang seumpama juga berlaku dalam masa interaksi mereka.

Hubungan di antara kedua meliputi pelbagai bidang. Ada kalanya akrab kerana pandangan politik yang sejurusan.

Pertemuan pertama mereka berlaku puluhan tahun lampau ketika Zam tinggal “di perkampungan haram Seberang Kereta Api Sungai Korok, lebih sebatu dari Bandar Alor Setar, di sebuah rumah buruk, sebuah keluarga miskin sedang menghadap lelaki tua yang sedang uzur.“ ”Ibunya segera menyuruhnya memanggil doktor dan ia terus berlari ke bandar. Dicatat seterusnya:

“Doktor, datuk saya sakit teruk,

“Di mana?

“Di Seberang Kereta Api Sungai Korok, masuk ikut lorong Sekolah Najat sehingga ke penghujung jalan dan terpaksa jalan kaki ke rumah saya kerana kereta tidak boleh masuk.

“Baiklah, pulang dahulu, nanti saya datang.”

Tidak lama kemudian doktor pun datang. Dia tidak bercakap banyak, hanya memeriksa dan memberikan ubat kepada pesakit. Apabila ditanya tentang bayarannya, doktor berkata: “Berapa yang ada berilah.” Ibu memberikannya dua ringgit dan doktor mengambilnya lalu pulang.

Peristiwa yang dialami lebih 30 tahun dahulu itu meninggalkan kesan yang mendalam di jiwa saya hingga ke hari ini. Pada masa itu, doktor tidak mengenali saya dan saya pun tidak pernah menemuinya. Ketika itu saya masih belajar di Maktab Mahmud Alor Setar. Langkah saya ke kliniknya semata-mata didorong oleh cerita dari mulut ke mulut tentang seorang doktor yang baik di Bandar Alor Setar, Dr. Mahathir Mohamad, Demikian catatan pertama Zam.

Di waktu itu Dr. Mahathir memiliki kereta “paling besar di bandar Alor Setar iaitu kereta Pontiac yang menyaingi kereta besar beberapa orang doktor bukan Melayu,” Zam menambah.

Diceritakan selanjutnya ialah beberapa peristiwa semasa Dr. Mahathir 22 tahun menjadi Perdana Menteri dan lebih 60 tahun dalam arena politik negara. Zam sendiri menjadi pemberita Utusan Melayu hingga menyandang jawatan ketua pengarang. Dengan itu interaksi mereka berlanjutan.

Oleh Zam disebut bahawa watak kewartawanan sukar dipisahkan daripada dirinya. “Maka itu adalah tepat sekali deskripsi yang dibuat oleh Dr. Mahathir dalam majlis pelancaran buku tulisan saya. Tun Razak: Jejak Bertapak Seorang Patriot bahawa “Zam adalah kawan saya tetapi kawan yang adakalanya menyukar.”

Lalu Zam mengulangi kenyataan Dr. Mahathir dalam satu majlis Kelab Akhbar Malaysia pada akhir 1980-an ketika Zam menjadi presiden, iaitu kritik terhadap sikap media selalu mendakwa bersuara bagi pihak rakyat. “Tuan-tuan tidak dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya, bagaimanakah tuan-tuan boleh mendakwa bercakap bagi pihak rakyat?”

Zam kemudian menjawab dalam ucapannya: “Kami dipilih oleh rakyat setiap hari, orang ramai membeli akhbar setiap hari, selagi akhbar laku, maka selagi itu kami percaya bahawa kami dipilih oleh rakyat, apabila pasaran akhbar meningkat, bererti semakin ramai rakyat yang memilih kami, suara kami semakin kuat dan semakin sah apabila pasaran semakin tinggi.”

Lain hal berlaku, Zam menyambung cerita: “Apabila saya disingkirkan daripada jawatan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan pada akhir 1992, kerana isu bahasa, saya telah menemui Dr. Mahathir bukan untuk meminta disambung kerja tetapi untuk mengetahui sendiri apakah benar beliau sendiri yang mahu menyingkirkan saya. Dr. Mahathir menyatakan: “Zam, saya tak boleh buat apa-apa lagi, semua Majlis Kerja Tertinggi telah menghentam you, saya berpuas hati.”

Penyingkiran itu “tidak terus memisahkan saya daripada Dr. Mahathir,” Zam menambah.

Juga dicatat ialah “kerajinan” Dr. Mahathir menulis surat kepada Zam ketika beliau masih berada di Alor Setar dan Zam menjadi wartawan di Kuala Lumpur dan semasa menjadi wakil Utusan di London ketika Dr. Mahathir menjadi Menteri Pelajaran dalam tahun 1975-1976.

Bab Surat Daripada Dr. Mahathir menyebut antara hasil interaksi kedua. “Memahami caranya berfikir dan bertindak selama beberapa tahun terutama ketika beliau berada dalam krisis politik memudahkan saya mengendalikan Utusan Melayu dan Utusan Malaysia ketika saya menjadi Ketua Pengarangnya dari tahun 1982-1992 dan semasa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.

Surat daripada Dr. Mahathir berupa tambahan kepada buku berjudul Mahathir Di Sebalik Tabir dan pelbagai peristiwa mengenai persaraan beliau. Pada suatu ketika Zam menulis: “Saya menangis seorang diri di bilik kerja di rumah,” ketika mengenang kembali pelbagai peristiwa.

Dari asal anak miskin beliau menjadi wartawan, mendapat fellowship Universiti Michigan, menjadi Ketua Pengarang akhbar dan kemudian menjadi Senator, Setiausaha Parlimen, Timbalan Menteri dan Menteri Penerangan. Juga dicatat ialah penghargaan kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, seperti ditulis: “Saya amat menghargai Dr. Mahathir yang mengenang jasa saya kepadanya. Beliau membalas budi kepada saya sebagai wartawan. Sementara Abdullah rakan sejawat saya yang mempunyai latar belakang hampir sama dengan saya telah melihat potensi mengekalkan saya, mengesahkan pengiktirafan yang diberikan oleh Dr. Mahathir kepada saya dengan mengangkat saya menjadi menteri penuh.”

Zam mencatat antara lain nasihat Dr. Mahathir kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika itu dalam UMNO: “Dalam politik yang penting sekali ialah acceptability dan intelligence adalah yang kedua.”

Surat dari Dr. Mahathir kepada Zam di London pada 29 November 1975: “Coret-coret dari London masih saya baca tetapi tidak begitu menarik pada masa-masa yang lampau ini. Nampak saudara begitu tertarik dengan adat resam British Yes, what do you want, love? Dan sebagainya.” Dan lain-lain surat.

ARKIB : 15/02/2009

Mengimbas jasa Tun Dr. Ismail

Antara yang dilupai oleh sesetengah aktivis politik dan tidak begitu diketahui oleh pihak-pihak lain ialah pidato bersejarah Tun Dr. Ismail (1915-1973) ketika Malaya menjadi anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 17 September 1957. Pada waktu itu beliau menjadi diplomat pertama Malaya ke PBB dan Duta Besar Malaya yang pertama ke Amerika Syarikat.
Oleh beliau adanya telah ditegaskan, "Kami di Malaya mempunyai tiga kaum utama: orang Melayu, Cina dan India, yang hidup bersama generasi demi generasi dengan aman damai dan harmoni. Perbezaan agama dan latar belakang -budaya, perbezaan status ekonomi dan sosial tidakpun menjadi rintangan untuk mewujudkan perpaduan nasional ketiga kaum itu.

Keinginan utama kami ialah mempunyai hak dan tuah untuk hidup sebagai bangsa yang merdeka dan bersatu-padu di kalangan bangsa-bangsa yang bebas di seluruh dunia. Pencapaian cita-cita itu melalui cara-cara aman, damai dan berperlembagaan, melalui rundingan-rundingan persahabatan dan semangat kompromi adalah hasil keteguhan moral semulajadi ketiga kaum itu yang hidup di Malaya di waktu itu."

Demikian antara catatan buku berjudul Malaya's First Year At The United Nations: As Reflected in Dr. Ismail's Reports Home to Tunku Abdul Rahman (terbitan Institut Pengajian Asia Tenggara, Singapura 2009). Kandungannya disusun oleh Taufik Ismail dan Ooi Kee Beng.

Dr. Ismail dilantik menyandang kedua jawatan itu oleh Tunku dengan fahaman bahawa kedua pelantikan adalah untuk kira-kira setahun sahaja. Beliau menyertai UMNO pada tahun 1951 selepas perletakan jawatan Dato' Onn Jaafar dan Tunku menjadi Presiden UMNO.

Pada permulaan pidatonya di PBB beliau menjelaskan: "Saya berucap pada hari ini dalam sebesar-besarnya perhimpunan agung pelbagai bangsa ini sebagai wakil sebuah negara kecil yang mempunyai 6 juta rakyat saja dalam suatu wilayah yang besar cuma 50,000 batu persegi." Malaya menjadi ahli Bangsa-Bangsa Bersatu yang ke-82.

Mendapat perhatian semua pihak ialah Dr. Ismail berpakaian kebangsaan Melayu lengkap dengan tengkolok dan sebilah keris di pinggangnya, itu kali pertama sesuatu senjata dipakai dalam Perhimpunan Agung Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau berucap sekali lagi dalam debat PBB pada 25 September 1957 mengenai pelbagai masalah yang timbul di Afrika, Timur Tengah dan negara-negara Asia akibat penjajahan.

Tegasnya, penaklukan pihak penjajah menyebabkan negara-negara yang dijajah itu digunakan sebagai gadaian dalam persaingan ideologi yang berlaku ketika itu.

Lalu beliau melafaz sebuah peribahasa Melayu, "Gajah berjuang, rumput juga yang berasa." dengan terjemahan bahasa Inggeris when elephants clash, it is the grass that is destroyed.

Dalam satu persidangan PBB pada 26 September 1958 pula Dr. Ismail menyatakan rasa kesal mengenai nasib Algeria masih dijajah oleh Perancis. "Rakyat Algeria berhak menikmati kebebasan dan kemerdekaan," beliau menambah.

Juga disebut ialah nasib sedih kulit hitam di Afrika Selatan yang dikuasai oleh rejem kulit putih dengan dasar Apartheid. Demikian seterusnya nasib negara-negara Arab di bawah telunjuk pihak-pihak penjajah.

Pada tahun 1964 setelah menang sekali lagi dalam pilihan raya kawasan Johor Timur, Dr. Ismail dilantik menjadi Menteri Dalam Negeri. Pada bulan September beliau mengetuai ketua delegasi Malaysia dalam debat Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai pencerobohan Indonesia, diwaktu konfrantasi.

Pada tahun 1970 beliau berlepas ke London untuk menjalani rawatan sakit jantung selama sembilan minggu. Namun, di waktu ketiadaannya itulah Presiden Suharto yang melawat Malaysia mengurniakan pingat kehormatan Republik Indonesia kepada Dr. Ismail.

Pada bulan September, Perdana Menteri baru, Tun Abdul Razak melantik beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri. Dr. Ismail kemudian berlepas ke New York untuk sambutan ulangtahun ke-25 Bangsa-Bangsa Bersatu.

Beliau meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 di rumahnya di Jalan Maxwell (dinamakan semula Jalan Tun Dr. Ismail kemudiannya) dan dikebumikan di Makam Negara.

Sebuah lagi buku mengenai diri beliau ialah Bukan Kerana Pangkat oleh Ooi Kee Beng. Turut dicatat ialah kata-kata pendahuluan oleh K. Kesavapany, Pengarah Institut Pengajian Asia Tenggara, Singapura. Bagi beliau Tun Dr, Ismail terkenal "sebagai insan yang berprinsip."

Menurutnya lagi Tun Dr. Ismail berdiri sebagai "tunggak ketabahan" di bawah kepimpinan dua Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman dan Tun Razak. Beliau menambah. "Tun Ismail bukan ahli politik dalam erti kata yang lazim. Dia lebih merupakan pentadbir yang cekap, yang sudah sewajarnya menjadi orang kanan dan harapan Tunku dan Tun Razak. Tun Ismail manusia yang berprinsip, jujur dan paling utama, tegas membezakan mana yang betul dan mana yang salah."

Semoga Tuhan mencucuri rahmat ke atas rohnya. Al-Fatihah.


ARKIB : 08/02/2009

Saluran bahasa Parsi cetus persoalan

KENAPA gerangan BBC London melancarkan mulai 14 Januari lalu siaran televisyen dalam bahasa Parsi, iaitu kira-kira lima bulan menjelang pilihan raya Presiden Iran?

Telah pun mengadakan siaran bahasa Parsi ialah Suara Amerika. Di samping itu lebih 10 program sama dari empat tempat lain, kebanyakannya di Los Angeles. Menjadi tanda tanya lanjut: Kenapa kuasa-kuasa Barat mengadakan siaran dalam pelbagai bahasa negara-negara yang pernah mereka jajah dan takluki dahulu?

Persoalan mengenai agenda politik timbul setelah tersiar berita mengenainya dalam akhbar Times dan Financial Times, London. Lalu dilaporkan reaksi dari Teheran. Seorang Menteri Iran yang bertanggungjawab mengenai aspek perisikan, Gholam Hussein Mohsen Ejei berkata: “Agensi-agensi perisikan asing boleh menggunakan pelbagai kemudahan kewartawanan untuk kegiatan-kegiatan mereka, dan ini mungkin meningkat menjelang pilihan raya Presiden kelak.”

Kerajaan British telah mengadakan peruntukan sejumlah 15 juta Pound (1 Pound = RM6) untuk siaran baru BBC itu yang telah pun melantik kira-kira 100 petugas dari Iran. Tetapi pihak berkuasa Iran melarang pembukaan pejabat di Teheran.

Ketua Perkhidmatan BBC bagi Negara-negara Asia dan persisiran Pasifik, Behrouz Afagh memberitahu bahawa pihaknya tidak akan berat sebelah dalam laporan-laporannya dan pegawai-pegawai Iran boleh menyatakan pandangan mereka. Namun, beliau mengakui kesulitan membuat liputan mengenai Iran dari London.

Saluran bahasa Parsi akan diadakan selama lapan jam tiap hari, termasuk program muzik, seni dan budaya, sains, teknologi, sukan dan kegiatan belia.

Juga dijelaskan bahawa matlamat siaran bahasa Parsi itu ialah untuk memupuk dialog, bukan untuk tujuan “menukar rejim pemerintah”. Kerana ia hanya satu dari siaran 32 bahasa BBC London termasuk bahasa Arab.

Dalam masa itu dijelaskan juga bahawa bahasa Parsi menjadi bahawa utama di Iran, Afghanistan dan Tajikistan di bahagian Asia Tengah.

Pihak berkuasa Iran dikatakan tidak begitu bimbang dengan pelbagai program oleh pendatang asing dan kadang-kala menyiarkan filem yang mengkritik kerajaan. Tetapi siaran warta berita oleh saluran-saluran berita yang dibiayai oleh kerajaan-kerajaan asing mencetus keraguan.

Lantas akhbar Inggeris memetik kenyataan jurucakap persatuan kebebasan akhbar, Mashallah Shamsolvaezin “Regim Iran bimbang bahawa orang ramai akan bertukar sikap iaitu mengenepikan saluran-saluran berita nasional untuk mengikuti warta-berita televisyen luar negeri pula,”

Dalam konteks menjalin hubungan akrab lain hal dilakukan oleh para menteri atau orang politik. Menteri Luar British, David Milibank bermalam bersama Rahul Ghandhi di sebuah kampung di India. Keduanya makan malam bersama (makan tangan) hidangan India dan tidur atas katil (charpoy).

Milibank, 43 tahun, lulusan Universiti Oxford manakala Rahul, 38 tahun, lulusan Universiti Cambridge telah disebut-sebut sebagai bakal Perdana Menteri negara masing-masing. Ayahnya Rahul mati dibunuh oleh pelampau Hindu dalam satu peristiwa dan demikian juga nenek perempuannya, Indira Gandhi.

Lain hal juga dilakukan oleh pihak keagamaan. Sebuah pertubuhan bernama Christian Aid mengadakan bantuan di Timur Tengah sejak 50 tahun lalu “tanpa mengira agama warga yang dibantu.”

Dalam keadaan dewasa ini ia mengutip derma untuk membantu ribuan mangsa perang di Genting Gaza. Wang derma sebanyak 23 pound diberi kepada tiap seorang untuk rawatan doktor dan 41 pound untuk bahan-bahan makanan bagi tiap keluarga lima orang untuk seminggu.

Iklan Christian Aid dalam akhbar-akhbar merayu bantuan wang untuk mangsa perang. Ertinya kutipan derma bukan dilakukan di Malaysia dan lain-lain negara Islam sahaja.

Berupa saluran utama berita-berita perang di Gaza selama tiga minggu ialah Al Jazeera, milik kerajaan Qatar. Ia satu-satunya saluran berita televisyen asing mengirim secara langsung warta berita dari Gaza, dan menewaskan CNN serta BBC.

Seperti berulang dilaporkan oleh semua pihak selama tiga minggu pencerobohan di Gaza pihak berkuasa Israel melarang semua wartawan asing masuk ke Gaza.

Antara yang mengirim berita melalui al Jazeera ialah Ayman Mohyedin, 28 tahun, warga Amerika keturunan Mesir dan Palestin. Menurut laporan akhbar Inggeris mengenainya, Al Jazeera menyalurkan berita dalam 105 buah negara, termasuk Israel. Ertinya laporan beliau berbeza dari laporan televisyen Israel.

Mohyeldin menyatakan rasa kesal kerana tidak dapat menembusi pasaran Amerika. Antara sebab ialah permusuhan pentadbiran bekas Presiden Bush. Akibatnya siaran berita Al Jazeera terbatas kepada beberapa buah wilayah saja di Amerika. “Laporan kami tidak sampai kepada rakyat secara menyeluruh dan berkesan.” beliau memberitahu.

Kerana terus berada di Gaza waktu perang itu Mohyeldin dan rakan-rakannya menyaksikan sendiri kesan-kesan tembakan meriam dan pengeboman ke atas hospital-hospital, rumah-rumah dan sekolah-sekolah tempat perlindungan warga Palestin yang terpaksa pindah dan mencari tempat-tempat yang selamat.

Tiada pun kenyataan maaf dari Israel mengenai serangan bertalu-talu ke atas orang awam dan bangunan-bangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Apakah kerana itu wartawan-wartawan asing, termasuk dari negara-negara Barat dulu dilarang masuk wilayah Gaza? Termasuk BBC yang kemudian dikecam oleh kerajaan British dan aktivis kerana berkeras dengan pendiriannya tidak mahu menyiarkan rayuan bantuan kecemasan bagi penduduk Gaza.

ARKIB : 01/02/2009

Sejarah bukan sekadar nostalgia

BAGI para pembaca akhbar Melayu pelancaran wajah baru Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia berupa kesinambungan peranan akhbar-akhbar Melayu keseluruhannya dari zaman penjajah. Perjuangan membela tanah air, bangsa, agama, bahasa berterusan melalui kesilihbergantian para petugas.

Pelbagai keadaan berubah termasuk beradanya dewasa ini internet dan para penulis yang dipanggil bloggers serta wujudnya ciitizen juornalism tanpa berpandu kepada kod etika kewartawanan. Berikutan itu politik negara boleh berkecamuk.

Perubahan juga berlaku pada pihak-pihak lain. Pada tahun 1922, umpamanya, akhbar Straits Times dipanggil “Colonial thunderer” sebagaimana akhbar Times di London diberi gelaran “Thunderer” kerana mewakili pihak atasan yang berkuasa.

Lalu pada awal 1950-an editor-editor warga Inggeris mengkritik kesatuan wartawan Singapura (Singapore Union of Journalists) kerana mengirim memorandum kepada Suruhanjaya Perlembagaan Rendel. Memorandum tersebut dianggap sebagai tindak-tanduk politik yang negatif. Tidak ada perkataan merdeka bagi editor-editor asing itu.

Majlis pelancaran wajah baru Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia minggu lalu mengenangkan kembali sambutan Ulang Tahun ke-40 Kumpulan Utusan Melayu pada 29 Mei 1970. Antara yang dicatat ketika itu:

“Bagi sesebuah akhbar yang mencapai umur itu bererti ia lebih “tua” dari manusia biasa, dan lebih tua dari sesiapa juga yang bertugas dengannya. Ini ialah kerana akhbar itu bukan sekadar mengalami peristiwa individu tetapi juga pengalaman satu bangsa, apatah lagi di Malaysia bangsa Malaysia itu terdiri dari pelbagai kaum, pelbagai agama atau kepercayaan dan pelbagai budaya.

Kalau dulu Utusan Melayu turut di barisan depan memperjuangkan kemerdekaan maka pada ketika ini Utusan Melayu mesti di barisan depan juga untuk mengisi kemerdekaan itu demi kesejahteraan negara dan rakyat. Jelas bahawa para petugas Utusan adalah menjadi “agen perubahan”. Mereka bukan hanya tukang catat instant history tetapi juga mengambil peranan aktif dalam edaran sejarah bangsa dan negara yang meliputi bidang politik, agama, bahasa dan budaya, ekonomi dan sosial.” Demikian catatan waktu umur 40 tahun.

Pilihan raya demi pilihan raya diadakan hingga pada bulan Mac tahun lalu yang membawa beberapa perubahan. Akhbar-akhbar Utusan diboikot di Perak, Selangor dan Pulau Pinang setelah dikuasai oleh pihak opisisi.

Namun, akhbar Mingguan Malaysia masih di tahap pertama pengedaran akhbar apa juga bahasa. Kesetiaan dan simpati para pembaca Utusan dihargai.

Beberapa isu dibicarakan secara bebas dan terbuka oleh akhbar-akhbar pelbagai bahasa, termasuk kemungkinan menubuh parti-parti politik bukan perkauman. Juga dibangkitkan ialah hal-hal bersangkutan dengan kontrak sosial yang dulu telah pun dipersetujui.

Pernah disebut bahawa politik adalah sejarah, dan sejarah adalah politik. Dalam pada itu ada wartawan yang bertindak sebagai gembong politik. Dan ada pula gembong politik menjadi wartawan.

Satu dua kisah dari waktu lampau berupa permulaan dalam hal ini. Pertama, peranan Boestamam yang diterima bekerja oleh akhbar majlis di Kuala Lumpur. Gajinya RM25 sebulan, sama seperti gaji di akhbar Warta Kinta di Ipoh. Sebagaimana diketahui beliau kemudian bergiat dalam dunia politik hingga menjadi pemimpin Parti Rakyat.

Seorang lagi ialah Ibrahim Yaakub yang berkhidmat dengan Utusan Melayu dan kemudian menjadi tuan punya akhbar Warta Malaya, kepunyaan saudagar Arab di Singapura. Ini berlaku sebelum tentera Jepun menyerang dan menakluki Malaya dan Singapura.

Ibrahim Yaakob kemudian menawar gaji RM60 sebulan kepada Boestamam sebagai penulis khas Warta Malaya.

Boestamam dalam bukunya Memoir Seorang Penulis menulis betapa Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman pernah berkata padanya dalam bahasa Inggeris: If you fins you cannot work anymore, just tell me, and we will part as friends. Kerana keduanya dari parti-parti politik yang bersaing. Boestmam kemudian berkhidmat dengan Utusan Melayu dengan gaji RM600 ringgit sebulan.

Jelas bahawa sejarah bukan nostalgia dan kepada yang ingin menjadi editor diberi nasihat: Jangan menjadi editor jika tidak boleh ditegur sapa. Apatah lagi jika dalam sesebuah akhbar terdapat para petugas yang berbeza sikap politik mereka.

Ada kalanya juga jaringan konspirasi politik menjadi perangkap. Namun, semua mahu terus jadi wartawan. Kesilihbergantian terus berlaku.

ARKIB : 25/01/2009

Gaza ulangi nasib Lebanon

Sebuah buku yang dikirim pada 24 Mei, 1983 oleh Rosnah Majid, penulis rencana pengarang Utusan Malaysia, ketika dulu berada di San Francisco, dibaca kembali oleh tukang catat ini setelah hari demi hari mengikuti laporan pelbagai tragedi di Genting Gaza.
The Longest War: Israel in Lebanon (Vintage Books, New York) demikian tajuk buku bahasa Inggeris itu yang diterjemah dari bahasa Sepanyol. Ia ditulis oleh Jacobo Timerman, yang telah bermastautin di Tel Aviv, Israel. Ia dibaca sekali lagi untuk mengetahui setakat mana pencerobohan di Lebanon berulang kini di Gaza.

Buku tersebut ditujukan kepada Major Giora Harnik dari tentera Israel yang mati dalam minggu pertama pertempuran di Lebanon. Walhal ia aktivis Gerakan Keamanan di Israel dan "ia menentang peperangan dalam mana ia membunuh dan kemudian mati."

Timerman menambah, "saya berharap buku ini akan menolong kita sekalian. Tetapi saya tidak begitu pasti. Kerana kita warga Israel kekeliruan dan berasa takut. Malah ibu Giora Harnik menulis: Kalau kita mahu berperikemanusiaan, adil dan menjadi anggota masyarakat yang tidak berlaku curang, maka kita mesti pastikan bahawa pedang kita bersih dan hanya dihunus untuk mempertahankan diri.

Berikut antara pelbagai catatan Timerman juga wartawan, mengenai mengenai perang yang dilancarkan oleh Israel ke atas Lebanon: "General Ariel Sharon melancarkan serangan mulai jam 11 pagi Ahad 6 Jun, 1982. Bagi saya perang bermula enam belas jam sebelumnya itu kerana anak sulung saya Daniel telah dikerah untuk berkhidmat dalam pasukan tentera.

"Warga Israel tidak berasa sebenarnya bahawa mereka dalam kancah peperangan manakala angkatan udara mengebom pangkalan-pangkalan Arab. Ini kerana kesemua kapal terbang itu selalu, hampir selalu, kembali ke pangkalan.

"Permulaan peperangan itu tidak begitu rumit. Pada hari pertama kami agak bosan dengan berita-berita. Pada hari kedua pula berita-berita kemenangan, pada hari ketiga kami cuba mempastikan apa yang sebenarnya berlaku. Bagi kami warga Israel, tiada kanak-kanak Lebanon yang mati dan rumah-rumah mereka tidakpun dimusnahkan.

"Bau mayat bukan sesuatu yang baru bagi warga Israel. Beribu-ribu askar maut dalam peperangan sejak 35 tahun lalu. Tetapi bau mayat wanita dan kanak-kanak yang mati di jalan raya dan rumah-rumah mereka berbeza. Para wartawan berkata mereka tidak dapat menghilangkan bau itu. Lantas kemudian ketika para keluarga bertemu semula, sementara menunggu anak-anak balik dari taman kanak-kanak, maka orang-orang dewasa yang berbaris di luar bank dan golongan menengah Israel mula berbincang mengenai bau mayat.

"Kebanyakan warga Israel berasa tersinggung bila melihat pelbagai peristiwa Holocaust dieksploitasi oleh mereka yang berhijrah ke negara lain. Mereka berasa malu bahawa tragedi Holocaust telah menjadi seperti agama bagi orang-orang yahudi di Amerika. Ada para penulis, editor, birokrat dan para akademik sering menggunakan perkataan shoa, iaitu istilah Holocaust dalam bahasa Yahudi. Lantas diejek: There's no business like shoa business. (Holocaust oleh Nazi Jerman mengorban enam juta warga Yahudi).

Ditewaskan

"Warga Israel tahu bahawa ia tidak boleh ditewaskan di mana juga di Timur Tengah. Ia tidak bimbang keselamatan dirinya. Ia lebih takut tiada keseimbangan akhlak dan jiwa raga sendiri. Kerana itu ia perlukan kedamaian di rantaunya. Ia tidak mahu dipaksa membunuh sekali lagi sebagaimana ia telah pun membunuh orang-orang awam di Lebanon.

"Banyak hal berlaku bagi kali pertama. Bagi kali pertama Israel menyerang negara jiran tanpa diserang lebih dulu, bagi kali pertama ia melakukan provokasi untuk menghalalkan perang yang dilancar. Bagi kali pertama Israel membinasakan bandar-bandar. Tyre, Sidon, Damur, Beirut.

"Pada malam kelmarin saya menyertai rapat raksasa gerakan Peace Now in Tel Aviv. Seramai 100,000 warga Israel menggesa Israel berundur dari Lebanon dan berunding pada hari itu juga dengan pihak Palestin, walau siapa juga wakil mereka, untuk mewujudkan sebuah negara bebas di Tebing Barat.

"Operasi peperangan sepatutnya hanya antara 48 hingga 72 jam saja, tapi 960 jam telah berlalu. Sepatutnya tidak lebih dari 30 askar Israel mati. Tapi setakat ini hampir 300 askar dan pegawai tentera Israel telah dikebumikan.

"Saya menerima sepucuk surat dari New York, dua mayat berbunyi; Israel mesti insaf bahawa ia tidak akan menikmati keamanan atau menamatkan keganasan tanpa memberi hak menentukan nasib sendiri kepada warga Palestin. Ia mesti mengakui nasionalisme Palestin, iaitu sama sahnya dengan nasionalisme Yahudi.

"Maka kita kini masuk minggu ke-8 perang di Lebanon. Pelbagai hal berlaku kemudiannya pada permulaan bulan ketiga. Hari ini, 5 Ogos, 1982 kerajaan mengumumkan bahawa 19 orang askar telah mati di Barat Beirut dalam peperangan yang dikatakan telah pun tamat.

"Pada hari Ahad 19 September, 1982 tiada akhbar-akhbar terbit di Israel. Sejak semalam manakala tersebar laporan-laporan mengenai pembunuhan beramai-ramai warga Palestin di Beirut, hanya BBC London menyiarkan laporan." Demikian antara catatan Temerman dalam bukunya The Longest War.

Betapa pula pencerobohan Israel di Gaza? Berapa ramai lagi akan menjadi korban, termasuk wanita dan kanak-kanak?

ARKIB : 18/01/2009

Menyingkap Intifada pejuang Palestin

Palestin adalah tanah air rakyat Arab Palestin, ia sebahagian dari perpaduan tanah air Arab dan rakyat Palestin adalah sebahagian dari bangsa Arab.

Fasal 1 - Perisytiharan kebangsaan Palestin yang diluluskan oleh PLO (Pertubuhan Pembebasan Palestin) pada tahun 1964 dan dipinda pada tahun 1968.

Setakat manakah nanti Intifada Ketiga sebagai kebangkitan membela pembunuhan lebih 300 warga Palestin akibat serangan-serangan bom dan peluru-peluru berpandu tentera Israel di Genting Gaza sejak sambutan Maal Hijrah?

Pertanyaan timbul kerana tiada perpaduan di antara Hamas dan Fatah. Kembali dalam ingatan ialah pengalaman masa lalu seperti dihuraikan oleh Baruch Kimmerling, Sarjana Hebrew University di Jerusalem. Lalu dicatat olehnya peranan bekas Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon yang kini dalam keadaan koma tidak sedarkan diri selama dua tahun. Hal ini telah dilaporkan oleh akhbar Times London pada 4 Januari 2008. Antara kandungan makalah Kimmerling:

* Intifada pertama bermula pada 9 Disember 1987 manakala berlaku berkali-kali demonstrasi dan peristiwa lempar batu oleh para pemuda Palestin ke arah tentera Israel. Akhirnya tentangan mereka diatasi, tetapi tiada siapa yang mengaku menang sama ada Israel atau rakyat Palestin.

* Intifada kedua menyaksikan pertentangan bersenjata pada bulan September 2000 manakala ternyata kepada rakyat Palestin bahawa Perjanjian Oslo tahun 1993 tidak melahirkan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat.

* Pada 25 Februari, 1994 seorang pelampau agama Yahudi bernama Baruch Goldstain (dari Amerika Syarikat) melakukan serangan berani mati di suatu tempat di Baitulmaqdis. Seramai 29 orang Islam yang sedang menunaikan solat mati ditembak dan ramai lagi cedera.

Setelah berkabung selama 40 hari, Hamas dan beberapa kumpulan lain melancarkan serangan balas ke atas orang-orang awam Israel. Itu kali pertama berlakunya serangan berani mati atau “mati syahid’ untuk warga Palestin.

Sharon kemudian melancarkan rancangan yang diberi istilah politicide terhadap rakyat Palestin, iaitu proses tindakan berpadu ketenteraan, politik, diplomasi dan psikologi. Tujuannya ialah untuk menghapuskan wujudnya warga Palestin dari segi sosial, politik dan ekonomi.

Antara rancangan ialah menarik keluar 9,500 penduduk Yahudi dari Genting Gaza. Sebagai ganti Sharon meminta Presiden Bush dan Parti Likud Israel supaya mengekalkan perkampungan-perkampungan terbesar di Tebing Barat yang diduduki oleh lebih 300,000 orang Yahudi.

Dalam melaksanakan rancangan itu Sharon terus menguasai Gaza sepenuhnya dari tiga segi iaitu darat, laut dan udara. Kerana hal-hal yang seumpama timbul pertanyaan: Di mana sebenarnya sempadan Israel dan Palestin?

Prof. Kimmerling sebelumnya menulis satu kenyataan berjudul J’Accuse dan antara lain mengenang kembali peristiwa Sabra dan Shatila pada 17 September 1982. Dalam serangan bertubi-tubi selama 24 jam hampir 500 orang Palestin di barat Beirut, Lebanon mati dibunuh. Antara mereka ialah wanita dan kanak-kanak.

peperangan

Kenyataannya itu menuduh pelbagai pihak, termasuk Sharon, pucuk pimpinan tentera, media elektronik, akhbar-akhbar dan para intelektual di Israel serta Amerika. Beliau menambah: “Pembunuhan-pembunuhan di Sabra dan Shatila tiada apa-apa bila dibandingkan dengan apa yang telah berlaku di masa lalu dan apa yang akan berlaku di masa depan kelak kepada kita kaum Yahudi dan Arab dalam peperangan antara kaum kini. Saya menyalahkan diri sendiri kerana mengetahui segalanya, tetapi sedikit pun tidak menangis dan saya terus membisu.”

Akhbar Times London pada 4 Januari 2008 melaporkan harapan beberapa sahabat Ariel Sharon yang masih dalam keadaan koma selama dua tahun. Mereka berharap beliau akan dapat bangun kembali. Antara mereka ialah cerita-cerita mengenai beberapa pesakit tiba-tiba sembuh walhal para doktor mereka telah putus asa.

Lalu disebut bahawa kiranya Sharon pulih nanti, maka dua pertiga rakyat Israel akan mengundi memilihnya walaupun tidak pasti betapa pendirian politik atau kesihatan beliau sebenarnya.

Seorang lagi sarjana, Avnar Cohen, menulis mengenai senjata nuklear: “Semua pihak mengetahui bahawa Israel adalah negara bersenjata nuklear. Ia negara keenam dalam dunia memilikinya dan yang pertama sekali di Timur Tengah setelah hampir 40 tahun, larangan oleh kuasa-kuasa besar bersabit dasar non-proliferation tidak pun menyentuh realiti Israel itu.

Dalam keadaan sekarang Perhatian tertumpu kepada keadaan di Gaza dengan penduduk berjumlah 1.5 juta. Seramai 33 peratus dari mereka menganggur dan 51 peratus hidup dalam kemiskinan. Sementara itu di Tebing Barat dengan 2.5 juta penduduk seramai 19 peratus menganggur dan 24 peratus miskin.

Allahyarham Mahmoud Darwish, pujangga Palestin pernah menulis sajak berjudul I come from there. Antara kandungannya:

Aku berasal dari sana lahir sebagai insan dan aku ada ibu serta rumah banyak jendela aku ada adik-beradik dan kawan-kawan pun pernah menghuni penjara bertingkap dingin aku pelajari segala kata-kata supaya boleh mengingkarinya aku pelajari semua kata-kata untuk memilih yang satu: Tanah airku.

ARKIB : 04/01/2009

Sabtu, 27 Mac 2010

Perihal Kematangan

Matang jika dirujuk kepada tumbuhan - ia bermaksud sudah boleh dituai contohnya : padi, gandum. Boleh di tebang contohnya : meranti, merbau, jati, merbah. Boleh dipetik buahnya kerana sudah masak seperti : rambutan, mempelam dan jambu.

Matang jika dirujuk kepada binatang - contohnya : sudah sampai umurnya untuk disembelih bagi tujuan korban seperti kerbau, lembu, unta (unta berumur 5 tahun lebih, kambing 2 tahun lebih).

Di dalam buku Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka edisi keempat : kematangan dirujuk kepada manusia ia menggambarkan insan yang sudah mencapai kesempurnaan fikiran.

Begitulah takrifan kematangan berbeza apabila merujuk kepada objek yang digunakan. Apatah lagi apabila dinilai dari sudut manusiawi ia lebih subjektif.

Mengapa Perlu Kematangan?


Untuk menjadi matang, luaskanlah pergaulan dengan manusia. Di situ kita akan melihat kepelbagaian pendapat, fikiran, budaya, tatacara hidup, adat, bahasa dan sebagainya. Kematangan tidak datang dengan hanya duduk di dalam bilik atau hanya berteori dengan akal sendiri, atau hanya pandai bercakap sahaja di pentas, seminar, dewan kuliah, ceramah tanpa turun ke lapangan umat dan merasai sendiri erti kehidupan.

Orang yang matang banyak benar fikirnya, sebab sudah merasai jatuh dan bangunnya dalam hidup. Ia sudah merasai manisnya gula dan masinnya garam di dalam buku kehidupan. Sudah terfikir apa yang boleh dan tidak boleh di dalam pergaulan. Adakah baik dan buruk kesannya. Sebab itu katanya banyak berkias. Jika menegur ia menyindir. Jika terlalu marah ia menjadi diam dari biasa.

Orang yang matang tidak berfikir untuk diri sendiri sahaja. Tetapi dilihat apa natijahnya kepada orang lain. Untung dan rugi dikirakan, besar atau sedikit mudaratnya, disesuaikan pula dengan suasana, keadaan dan zaman.

Dari Abu Hurairah radiyaLlahu 'anhu katanya :
Telah bersabda RasuluLLah sallaLLahu 'alaihi wasallam : Daripada keelokan Islam seseorang ialah meninggalkan barang yang tidak berguna kepadanya " Hadith hasan riwayat Tirmidzi

Islam mengajar kita untuk meninggalkan perbuatan yang sia-sia yang menghabiskan umur dan masa secara percuma. Kehidupan perlu diisikan dengan perkara yang dapat memberi manfaat kerana orang yang matang bukan sahaja berfikir untuk waktu sekarang, tetapi sehingga di alam akhirat sana.

Budaya Kita Tidak Sama

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi ALLah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya ALLah Maha Mengetahui lagi Maha Mendalam Pengetahuan- Nya (akan keadaan dan amalan kamu) (Surah al Hujarat ayat 13)

Orang Asli (yang masih belum sangat terdedah dengan kehidupan moden) menghabiskan masa bersama keluarga, ada kalanya turun ke hutan mencari rotan, menanam ubi kayu dan padi huma. Kadang-kadang meletakkan bubu, jorannya dari buluh agar dapat ditangkap ikan tengas. Sifatnya pemalu, sensitif dan berpegang pada janji. Janganlah kampung mereka dicerobohi tanpa hak, tentu disumpit penceroboh tersebut. Tentu sahaja berbeza bahasa, budaya dan loghat mereka kerana di tanahair kita sahaja terdapat 3 kumpulan etnik Orang Asli yang mempunyai pelbagai suku kaum iaitu Negrito, Senoi dan Melayu- Proto.

Orang Jawa tidak sama dengan Orang Jawa Halus dan Jawa Kasar, Bugis, Banjar. Begitulah dengan mereka yang tinggal di negeri dan negara lain. Bahasa dan loghatnya tidak sama. Mungkin sahaja ada perkataan yang sama sebutan tetapi berbeza erti dan penerimaan. Ada yang menyukai masakan manis, pedas dan sebagainya.

Bahasa di SMS tiada nada tinggi dan rendahnya (hanya dapat dilihat tulisan besar dan kecil, titik, koma dan yang berkaitan) berbanding bahasa percakapan.

Ilmu, Akhlaq dan Kematangan

Lihatlah, adab remaja dan diri di zaman ini. Masih adakah santunnya kepada orang yang lebih tua apabila bercakap? Masih rajinkah memberi salam dan senyum? Ilmu semakin tinggi adakah menjadikan diri semakin menunduk atau mendongak langit? lalu berjalan dengan sombong dan bongkak sedangkan siapalah jika diperkirakan hakikat diri, siapalah diri kita sebenarnya di hadapan ALlah berbanding orang lain (yang lebih tinggi ilmu dan taqwanya).

Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya ALlah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri (Surah Luqman 18)


Lihatlah, di zaman ini terdapat juga insan yang berani menuduh tanpa bukti, tidak diselidiki benarkah tuduhannya kepada orang atau golongan yang lain. Tidak memikirkan kesan dari percakapannya dan perbuatannya.

Mungkin agaknya ia lupa apa yang disuruh ALlah :

Surah Al-Hujuraat ayat 6, yang bermaksud:
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan".
ALLahu ALlah...

Matang Dalam Membuat Keputusan

Ada juga yang suka berfikiran singkat, keputusan hendak segera tanpa ditimbang buruk dan baiknya. Ada juga apabila yang sudah memegang jawatan atau urusan yang penting segalanya hendak baharu. Tidak pula membuat kaji selidik, bertanyakan dengan orang yang lebih tahu, tidak mahu bermesyuarat agar setiap tindakan dapat diteliti dengan lebih mendalam. Katanya zaman dahulu biarkan berlalu, sekarang adalah zaman kita, pendekatan perlu berubah mengikut masa. Bahkan lebih dari itu terus dihapuskan sahaja tatacara dan budaya walaupun ia adalah baik untuk masa hadapan. Lihat sahaja hukuman rotan kepada anak murid. Keputusan guru diharamkan dari merotan dan diserahkan kepada 'tiga tangan' iaitu guru disiplin, guru penolong kanan dan pengetua.

Segala masalah berkaitan akhlaq pelajar diserah bulat-bulat kepada kaunselor sekolah. Akibatnya ramailah pelajar yang semakin kurang ajarnya. Semakin hilang hormatnya dengan guru apatah lagi didukungi oleh ibu dan ayah yang tidak boleh anaknya 'dijentik sedikit' walaupun tujuannya untuk mendidik dan membetuli sikap yang salah. Padahal dalam menyelesaikan masalah pelajar ada masanya diperlukan rotan untuk mendidik. Ada masanya perlu dinasihati, ada masanya perlu juga dikuarantin. Setiap satunya mempunyai kekuatan tersendiri. Alangkah baiknya jika ketiga-tiga ini digabungkan agar lebih efektif.

Pelajar merokok, berapa ramai yang 'makan nasihat' dengan diberi kaunseling? Pelajar yang mencuri, mengaibkan guru, dan kesalahan yang berat berapa kerat yang mengubah diri hanya dengan menghadiri sesi kaunseling semata-mata. Sedangkan apabila dilihat dalam Islam sendiri hukuman rotan itu wujud (contoh dalam hukuman zina lelaki dan wanita yang belum berkahwin serta minum arak) antara lain untuk memberi rasa insaf, gerun dan untuk mencegah bukan sahaja kepada diri pelaku kesalahan malahan untuk orang yang menyaksikannya.

Dan kini, akibatnya masyarakat juga sendiri yang merasa bahangnya.

Begitulah.. serba sedikit perihal kematangan.. Apa ruginya jika kita berfikir berkali-kali, belajar memahami, bertanya dahulu sebelum bertindak?

(Dipetik dari blog)

Khamis, 25 Mac 2010

Tunggu Saya Di Syurga!

Saya bertemunya pada akhir musim panas yang lalu, dalam satu rombongan pelajar tahun akhir universiti kami. Dia seorang pemuda yang tampan bergaya, sangat bijak tetapi bersikap sederhana. Dia yang mula-mula merapati saya, ketika saya sedang bersendirian memerhati kawan-kawan bermabuk-mabukan dalam parti penutup.

Saya Ayman dari Rafah.


Saya Iman, dari Rafah juga.


Oh, jadi kita sama. Kenapa saya tak kenal awak?


Dia girang dapat mengenali saya. Kami banyak fikiran yang sama. Walaupun dia bakal graduan kejuruteraan perisian dan saya pula sains politik, namun kami serasi dalam satu ideologi-bumi Palestin kami.

Serasi, meskipun saya Muslimah dan dia Masihi.

Selepas percutian itu kami berpisah. Saya terus pulang ke Rafah sebaik selesai urusan akhir di universiti dan dia pula mahu meneruskan musafir ilmunya. Belum mahu pulang selagi tidak dapat mencipta program seperti Windows, katanya. Namun kami terus berhubungan di dunia maya. Dia, bagai diprogramkan, setiap minggu akan meninggalkan berita di kotak mel elektronik saya dan saya, bagai diprogram juga, akan terus membalas beritanya dengan cerita saya pula.

Begitupun, bual kami hanya seputar kerjaya, pengalaman dan masalah yang dihadapi sehari-hari. Langsung tidak menyentuh peribadi dan keluarga, jauh sekali jurang agama yang membatasi kami. Saya dan dia, berhubungan dengan selesa bagai kembar yang sedia mengenali.

Tapi di sebalik itu Ayman tidak tahu, saya menjadi apa di sini. Dia tidak tahu saya sudah berjilbab, tidak seperti saya yang mempamerkan rambut coklat ketika di Harvard dulu. Dia tidak tahu, keluarga saya siapa di Rafah ini. Hingga satu pagi Jumaat yang damai, kiriman mesej dari Ayman menjentik naluri saya.

Iman, saya cintakan awak. Saya mahu lamar awak jadi sayap kiri saya.

Ah.......awak bergurau ya? Jangan main-main dengan saya.

Ya, saya tahu saya tidak boleh bermain-main dengan awak, jadi saya serius.

Saye terkedu dan membiarkan mesej akhirnya tanpa jawapan. Saya bagai disentak bangun dari lena yang nyenyak. Benar, saya juga mencintainya walaupun tidak sedar bilakah perasaan itu tumbuh. Tetapi mana mungkin kami bersatu. Takkan, kecuali dia kembali ke pengkuan fitrah.

Puas bermenung akhirnya saya menepuk dahi.

Sayalah yang silap terlalu memesrai Ayman. Sayalah yang silap membiarkan diri menggoda pemuda Masihi itu. Tapi, keterlanjuran batin ini bukanlah untuk dikesali. Mengapa tidak saya jadikan peluang menarik Ayman kembali kepada deen sebenar?
Dia yang saya kenali, seorang Masihi yang taat. Tidak merokok. Jauh sekali menyentuh khamar. Dia menghormati Saidina Rasulullah SAW. Mudah-mudahan di tangan saya, dia akan masuk bernaung di bawah panji Baginda di hari kiamat.

Dalam mesej-mesej selepas itu saya mula menyentuh perihal pegangan kami. Reaksinya mengecewakan. Dia tidak peduli hal prinsip dan pegangan. Yang penting dia percayakan Allah, dan saya juga begitu. Soal dia, bukankah Islam membenarkan perkahwinan Muslim dengan Ahli Kitab? Jawab saya ya, Islam membenarkan perkahwinan Muslim dengan Ahli Kitab. Tapi bukan Muslimah! Kemudian perlahan-lahan hubungan kami menjadi hambar dan akhirnya terputus ketika saya disibukkan dengan peperangan yang meletus di Semenanjung Gaza.

Selepas Almarhum Dr.Nizar sekeluarga terbunuh dalam letupan bom di rumah mereka, ayah menyuruh abang dan saya berpindah ke tempat lain. Abang yang telah masak dengan tarbiyah di dalam sayap bersenjata HAMAS segera patuh tanpa soal jawab. Ayah adalah ayah tetapi di medan juang, ayah tetap adalah ketua. Tidak bagi saya yang sedikit emosi, ayah adalah ayah di mana sahaja.

Ayah, saya tak rela ayah ayah bunuh diri di sini.

Ayah yang tenang, mengesat air mata saya.

Buah hati ayah, adakah seorang pemimpin akan meniggalkan rakyatnya berjuang sendirian?

Ayah,perjuangan masih panjang. Kami perlukan ayah.

Ya sayang, perjuangan perlukan ayah bertahan di sini.

Empat hari selepas itu saya dengar berita, Dr. Fakhruddin Hasyimi ketua diplomatik HAMAS wafat dalam serangan bom pesawat.

Satu petang di bilik kawalan kubu kami, ketika saya sedang menyelidik maklumat risikan yang dipintas dari pesawat pengintip Israel, abang datang menyapa saya. Katanya mahu melihat-lihat keadaan saya, adakah saya tertekan dengan pemergian ayah?

Ah, abang…..adakah saya akan merasa tertekan dengan berita gembira? Ayah dan ibu sudah bersatu di alam sana, bukankah itu berita gembira?

Abang tersenyum kepada saya. Senyuman bermakna yang sukar ditebak.

Kamu akan bernikah, dik.

Saya menggeleng. Hati saya sudah mati untuk dunia ini.

Adakah kamu redha menghadap Allah sendirian sedangkan sahabat Rasulullah pun minta dinikahkan di saat-saat akhir hayatnya?

Abang saya, mujahid muda ini entah bila dia sempat membaca sirah? Saya selalu dikalahkannya!

Baiklah, jadi abang mahu menyerahkan saya kepada siapa?

Seorang yang bijak seperti kamu, dik. Orang yang mencipta program yang kamu sedang gunakan itu.

Saya melihat abang pergi dengan mata berbinar. Ah, mengapa saya teringatkan Ayman?

Malam itu separuh lesu saya mengetik papan kekunci komputer, mahu mengirim seruan dakwah terakhir buat Ayman. Mudah-mudahan hatinya akan terbuka suatu hari nanti meskipun dia tidak menjadi milik saya.

Sahabatku, Allah yamg maha penyayang telah berfirman : "katakanlah ( hai Muhammad) Wahai ahli kitab, marilah kita menuju kepada satu kalimat yang sama antara kita, bahawa kita tidak menyembah selain Allah dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu pun, dan bahawa kita tidak menjadikan satu sama lain tuhan-tuhan selain Allah. Jika mereka berpaling, maka katakanlah : Saksikanlah, bahawa kami adalah orang-orang yang berserah diri" –Ali Imran, 64
Ayman, saya akan bernikah. Doakan kebahagiaan saya.

Sehingga malam sebelum pernikahan, saya tidak menerima sebarang balasan dari Ayman. Saya redha kerana matlamat saya bukanlah menerima balasannya. Besoknya dalam hening subuh Jumaat, saya telah sah menjadi isteri kepada Muhammad, lelaki yang mendapat siqah abang. Suami yang belum saya kenali. Selepas majlis pernikahan, abang datang kepada saya menyerahkan telefon bimbitnya.

Dik, suamimu masih di sempadan. Dia akan kembali seminggu lagi. Sementara itu kamu guna telefon abang untuk hubunginya. Ini talian rahsia yang dicipta oleh Muhammad. Kamu tak akan dijejaki.

Saya mengucapkan terima kasih kepada abang lalu membiarkan telefon itu terbaring sepi di atas meja. Biarpun tanpa suami di sisi, saya tetap bahagia melayari hari perkahwinan bersama laptop dan kod-kod rahsia yang tidak difahami. Ya, kelak Muhammad pulang dia perlu menolong saya melakukan semua ini.

Tiba-tiba isyarat peti mel saya berkelip-kelip. Saya kaget melihat mesej dari Ayman. Tidak dapat meneka reaksinya terhadap mesej saya tempohari.

Allah telah berfirman maksudnya: "Katakanlah ( hai Muhammad ) kami beriman kepada Allah dan kepada apa yang diturunkan kepada kami dan apa yang diturunkan kepada Ibrahim, Ismail, Ishaq, Ya'qub dan anak cucunya, dan apa yang diberikan Allah kepada Musa, Isa dan para nabi dari tuhan mereka. Kami tidak membezakan seorang pun di antara mereka dan hanya kepadaNya kami berserah diri". –Ali Imran, 84.
Iman sayangku, saya doakan kebahagiaan kita.

Muhammad.

Nafas saya tersekat di kerongkong. Tasbih bergema di dalam dada bagai pantulan suara muazzin di Masjid Ibrahim. Ya Allah, ya Allah… ya Allah…..

Bilakah Ayman sudah menjadi Muhammad?

Saya gopoh mendail nombor Muhammad di telefon abang. Tidak lama menunggu, panggilan saya berjawab.

Assalamualaikum, sayang.

Berjurai air mata saya mendengar suaranya di talian. Dia, Ayman yang saya kasihi kerana Allah sedang berbisik di telinga saya sebagai Muslim, sebagai suami! Ya Allah, wahai tuhanku yang penyayang, terima kasih……..

Saya tersenyum-senyum di peraduan membayangkan wajah suami. Ceritanya menemani saya semalaman, membuat saya tidak mampu untuk lena. Dia pulang tiba-tiba, rupanya melarikan diri dari profesor yang telah menghidu projek perisian rahsianya. Perisian itu dicipta untuk HAMAS, kerana HAMAS yang dirasakan benar-benar ikhlas melindungi tanah suci. Namun dia tidak dapat pulang ke Rafah setelah menjadi orang buruan. Akhirnya tersadai kebingungan di Kaherah. Sebetulnya meminta perlindungan di rumah Allah, di Jami' al-Azhar.

Satu malam dalam pelarian dia mimpi bertemu Rasulullah. Dia mengucap syahadah dan berbai'ah dengan Baginda. Besoknya dia bangun dengan hati secerah langit sahara. Dia faham bahawa Allah telah memilihnya, lantas kepada syeikh yang mengimami subuh dinyatakan keIslaman. Dia juga menukar namanya kepada Muhammad, demi syukurnya dapat menjadi umat baginda.

Selepas itu dia pulang ketika peperangan dengan menyamar sebagai paramedik. Dia bergabung dengan HAMAS di Rafah dan sempat bertemu almarhum ayah. Ayah menyerahkannya kepada abang lalu dia mendapat tugasan pertamanya, memasang system perhubungan rahsia di sempadan.

Juga dengan bangga dia bercerita bagaimana dia dapat mengecam saya anak Dr. Fakhruddin Hasyimi hanya pada kali pertama bersua muka dengan almarhum ayah. Ah, suami saya yang genius itu, rupanya lebih banyak berahsia dari saya!

Pagi ketujuh pernikahan, saya masih bergelumang dengan kod-kod celaru tetapi kali ini bukan di kubu. Saya menunggu pengantin saya di rumah. Muhammad akan sampai sebentar lagi. Debar rindu dalam dada saya sembunyikan dengan bersibuk-sibuk di depan komputer. Tidak perlu angau membuang masa, jika sudah jodoh takkan kemana.

Namun sehingga petang, suami saya tak kunjung tiba. Saya berselawat dalam hati buat menepis fikiran yang buruk-buruk. Saya arif. Di zon perang ini, jangan harapkan seseorang itu pulang bila dia sudah melangkah keluar kerana mehnah itu menunggu kami di mana-mana. Tetapi tolong ya Allah, jangan hari ini. Jangan pada pertemuan semula saya dan Muhammad yang dikasihi.

Saya dail telefonnya, tidak bersambung. Akhirnya ketika mundar-mandir di tengah bilik, abang datang membawa saya keluar. Ketika itu saya sudah tahu berita apa yang menanti saya di luar sana.

Ya Allah, apa jua yang engkau takdirkan, hamba redha.

Sepanjang perjalanan ke hospital, saya membisu dan hanya mengulang kembali pesan almarhum ayah lapan tahun lalu, ketika saya menangisi pemergian ibu.

Anakku, kehilangan itu pengorbanan kita kepada tanah suci ini. Bagaimana kamu boleh menangisi satu kehilangan, sedangkan kelak kamu akan berhadapan dengan lebih banyak kehilangan di depan matamu?

Di perkarangan hospital, saya memandang sayu kepada jenazah saudara-saudara Muslim saya yang diletak bersusun, semuanya terkorban dalam serangan di Masjid Ibadur Rahman zohor tadi. Menurut abang, suami saya sedang diselamatkan di dalam. Tetapi apabila masuk ke dalam, suasana hospital kecil itu lebih ribut kerana ramainya mangsa yang cedera. Tepi-tepi korridor penuh dengan mangsa yang cedera parah dan tipis peluang untuk hidup, terpaksa diketepikan oleh paramedik demi menyelamatkan mangsa yang lebih berpeluang cerah.

Saya melangkah berhati- hati mengikut abang yang dituntun seorang atendan hospital. Kemudian kami berhenti di hadapan seorang pemuda yang terbaring di atas lantai. Tubuhnya yang ditembusi peluru sedang bernafas nyawa-nyawa ikan.

Saya segera mengecam, itu Ayman saya. Muhammad suami saya. Alangkah hibanya, dia terlantar kesejukan di sini menanti detik kepulangan. Sekuat hati saya tahankan suara yang mahu meraung, saya bersimpuh memangku kepalanya. Muhammad membuka mata dan dengan senyum tampan, dia mengucap salam kepada saya. Terketar saya menjawab lalu dahinya saya cium.

Saya ingin sekali berbicara dengannya namun saya tidak mahu dia pergi ketika melayani saya. Lantas saya capai tangannya. Kami saling bergenggaman menzikirkan syahadah, menyulam kenangan terakhir bersama dengan ikrar Ratu Balqis saat diislamkan olah Nabi Sulaiman.

Sesungguhnya aku menyerah diri bersama Sulaiman kepada Allah, tuhan sekelian alam…..

Perlahan-lahan genggamannya terlerai. Muhammad pergi jua di pangkuan saya, isterinya yang melepaskan penuh rela. Namun, demi melihat wajahnya yang tenang dalam senyuman, meleleh jua air mata di pipi. Saya rindukannya. Rindukan suaranya. Rindukan kemesraanya. Terlalu. Dan perpisahan sementara ini akan lebih membuat saya dibelenggu rindu. Namun apa pun jua ya Allah, saya redha.

Membara jiwa saya melihat jenazah Muhammad dibawa pergi. Abang menarik saya bangkit lalu didakapnya saya erat-erat. Dalam kerut tangis saya tersenyum kepadanya.

Abang, alangkah bahagianya hari ini…..Allah memberi hadiah perkahwinan kepada saya.

Tiada yang lebih mahal dari hadiah ini, menjadi isteri kepada as-Syahid.

Tiada yang lebih menggembirakan selain melihat Muhammad pergi sebagai Muslim, mati dalam berbakti kepada bumi Isra' yang mulia ini…

Tunggu saya Muhammad, kita berbulan madu di syurga!