Isnin, 29 Mac 2010

Mahathir, Kassim dan sosialisme

Mendapat perhatian para pembaca ketika ini ialah buku Kassim Ahmad berjudul Mencari Jalan Pulang Daripada Sosialisme Kepada Islam dengan kata pengantarnya pula oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Oleh mantan Perdana Menteri disebut antara lainnya bahawa “seseorang insan akan melalui tiga fasa hidup dalam pegangan politik mereka, semasa muda mereka agak radikal dan mirip kepada pemikiran dan ideologi kiri. Apabila menempuh umur pertengahan pandangan dan pegangan mereka lebih mencerminkan centralist dan kecuali. Apabila sudah berumur mereka lebih suka mendokong sikap dan pandangan puak kanan atau konservatif.

“Saudara Kassim sudah melalui ketigatiga fasa ini. Bab yang awal lebih kepada ideologi terutama ideologi sosialis tetapi bab-bab yang terakhir banyak berbincang berkenaan agama iaitu agama Islam.”

Dr. Mahathir selanjutnya mengucap tahniah “kepada saudara Kassim, yang pada satu masa adalah musuh politik saya, kerana dapat mengulas pemikiran dan dasar berkenaan negara yang dicintainya dengan begitu jelas di samping menceritakan riwayat hidup dirinya.”

Kassim sendiri menjelaskan beberapa peristiwa dalam kehidupannya seperti “mengapa saya keluar dari PSRM (Parti Sosialis Rakyat Malaysia) yang saya pimpin selama 18 tahun dan kemudian memasuki UMNO”. Suatu lagi ialah debat “anti-hadis” yang tercetus berikutan dengan buku saya, Hadis - Satu Penilaian Semula” menyebabkan ia dicap “anti-hadis.”

Turut diceritakan ialah peristiwa setelah beliau menarik diri dari PSRM. “Ramai dalam parti saya dan gerakan kiri yang terkejut dan sedih dengan keputusan saya keluar dari parti. Penulis dan penyair Usman Awang (Tongkat Warrant), sahabat baik dari kami semua, menelefon saya dan bertanya:

“Dengan mengeraskan hati saya, saya jawab dengan kata-kata Hamlet dalam drama Shakespeare I have to be cruel in order to be kind. Maksud saya, kapal sosialis yang kita layari itu akan tenggelam. Lebih baik kita bersedia untuk meninggalkannya.”

Panggilan telefon dari Usman Awang itu dua kali disebut dalam memoir Kassim.

Beliau menulis kisah mengenai dirinya kembali kepada “jalan lurus” Islam dan menolak “jalan-jalan yang menyeleweng” falsafah liberalisme, falsafah Marxisme dan teokrasi.

Lalu disebut mengenai pembacaan buku-buku yang mengkritik sosialisme dan komunisme seperti buku The God That Failed (1950), iaitu “cerita enam orang bekas komunis tentang pengalaman mereka dalam gerakan komunis.”

Pada bab bertajuk Quran Datang Semula beliau menulis: “Ada banyak ajaran dalam dunia ini. Liberalisme, komunisme dan teokrasi – inilah tiga ajaran besar selain Islam. Ketiga-tiga ini menyeleweng daripada jalan yang lurus, yang ditunjuk dalam Quran.

“Inilah falsafah hidup yang saya cari dalam kehidupan saya. Saya mengambil masa 36 tahun, dikira daripada umur 17 tahun, untuk mencapai matlamat itu. Saya memberitahu anak-anak saya “ayah menjumpai Islam yang sebenar setelah belajar selama 36 tahun,”

Beberapa buah sajak oleh Kassim, 75, dipeturunkan, termasuk Pengembara Dalam Perjalanan (1978) berbunyi:

Aku seorang pengembara

di dalam perjalanan pulang

seperti matahari, gunung, lautan, pokok dan bintang

memilih jalan lurus

di antara jalan-jalan menyimpang

untuk pulang

Sebuah lagi buku yang menyentuh pertembungan masa lampau di antara Dr. Mahathir dan Kassim ialah Surat Daripada Dr. Mahathir oleh Zainuddin Maidin (Zam), mantan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu dan kemudian Menteri Penerangan. Pada satu bahagian Zam menulis:

“Dr. Mahathir sebenarnya tidak pernah percaya kepada sosialisme sebagai jalan ke arah memberikan persamaan kemakmuran kepada rakyat. Sejak awal lagi beliau percaya kepada kapitalisme dan kepada ekonomi pasaran bebas.

Dalam banyak ucapan dan tulisannya pada awal tahun 60-an Dr. Mahathir mengemukakan pandangannya bahawa orang sosialis dan komunis berjuang memperkecilkan kek dan kemudian cuba membahagiakan kek yang kecil itu kepada semua orang dengan sama rata. Tetapi, katanya kapitalisme membesarkan kek dan membahagi-bahagikannya.

Pada tahun 1971, Zam menulis lagi, apabila dikemukakan kepadanya tentang kepercayaan Kassim Ahmad bahawa pemimpin Vietnam Utara, Ho Chi Minh boleh menjadi contoh seorang pemimpin sosialis yang baik di Asia, Dr. Mahathir berkata: “Belum tentu. Dia masih belum berkuasa, kalau sudah berkuasa, dia akan berubah.”

Perkara ini timbul ekoran daripada satu forum di Universiti Sains Pulau Pinang di mana Kassim Ahmad semasa menjawab satu pertanyaan telah berkata: “Jika Sukarno tidak boleh diambil sebagai contoh kenapa tidak ambil Ho Chi Minh sebagai contoh pemimpin sosialis yang baik.” Demikian catitan Zam.

Pelbagai gambar disiarkan dalam buku Kassim, termasuk lawatan ke makam Karl Marx di London, gambar semasa ditahan di bawah ISA pada 3 November 1976, gambar pembebasan dan tahanan pada 30 Julai 1981 dan gambar bersama Saddam Hussein.

Akhir kata dari bukunya: “Selamat tinggal kepada dunia lama dan selamat datang kepada dunia baru, sebuah dunia yang adil, selamat dan bahagia untuk semua pasti akan lahir. Ini sunnatullah. Tetapi ia mesti berlaku dengan aktiviti kita.

Kitalah yang perlu bertindak, mengikut ajaran Tuhan dalam Quran, untuk membina dunia baru ini.”

ARKIB : 08/03/2009

Tiada ulasan:

Catat Ulasan