Rabu, 7 April 2010

Paspot dan sempadan

Hishamuddin Rais
Mac 11,05 7:50pm

Sometimes I wonder whether the world is being run by smart people who are putting us on or by imbeciles who really mean it. - Mark Twain 1835 -1910

"Aku nak kongsi pengalaman. Satu hari aku dan bapakku pergi ke Pekan Nenas (bp) pusat tahanan pendatang asing coz kawan ayah aku orang Indon. Tapi dia dah tinggal kat Malaysia lebih 8 tahun. Adik dan abangnya semua dah dapat pasport Malaysia kecuali dia...masa aku sampai kat pagar pusat tahanan pendatang asing, pengawal itu tak kasi masuk. Tapi ayah aku berkeras dan kami dibiarkan masuk dengan alasan-alasan tertentu. Semasa berbual-bual, member ayah aku cerita masa dalam tahanan, semua tahan disuruh berbogel dan hanya memakai seluar kecik dan semua disuruh tidur mencangkung (ganaz siot-ed).

Aku kesian kat dalam lokap tu ader pepijat. Setiap empat jam polis yang mengawal akan berganti. Setiap kali berganti polis akan mengira tahanan dan disuruh berdiri, sesiapa lambat akan dilempang. Member ayah aku cerita lagi, dia dah merasa pelempang polis k*p*r*t tu. Aku tambah geram dan berjam-jam mencangkong lepas tu suruh diri, kaki mesti kejang macam mana nak diri (ntah!ed) cuba suruh polis b**st**d tu cangkong berjam-jam lepas tu diri boleh ke??? tambah geram aku bila dia cerita polis jual berus gigi, sabun dengan mahal sekali. Nak guna telepon pon sekali dail RM15 coz polis b*st**d semua tu nak cari duit lebih. Ada saudara mara tahanan yang kirim makan dan minuman seperti biskut, air kotak etc.. polis ambil dan bagi member dia yang lain dan duit yang dikirim jangan citelah. Paham sendiri la... dia cite pompuan yang muda-muda di jadikan alat permainan bila malam mereka akan dibawa ke bilik polis polis. aku terlalu geram!"

(Dipungut dari tulisan asal - Harta kemewahan adalah punca oleh Faqih fanzine Melankolik issue Experimental - malankolikzine@yahoo.com)

Pertama kali saya mendengar berita bahawa Jalan Chow Kit telah diambil alih oleh orang Indonesia pada awal tahun 80'an. Ketika itu saya telah hampir sepuluh tahun meninggalkan Malaysia. Berita ini disurahkan oleh seorang anak mahasiswa Melayu yang saya temui di London. Anak mahasiswa ini berkesah dengan bagitu bangga sekali. Menurut anak mahasiswa ini apa yang sedang berlaku ada satu Agenda Melayu - strateji kerajaan - untuk memperbanyakkan Melayu. Kemudian saya terdengar pula bagaimana strateji yang sama telah dilakukan di Sabah. Kali ini rakyat Filipina pula dibawa masuk ke Sabah untuk meramaikan 'Orang Islam ' dan mengurangkan 'Orang Kristian'.

Si perawai tahun 80'an ini terbukti telah membawa 'hadith' saheh. Bila saya sampai ke Chow Kit pada tahun 1995 dahulu, memang saya dapati jalan ini telah bertukar rupa. Gerai-gerai buah-buahan tidak lagi dikendalikan oleh orang Cina. Demograpi penduduk di kota Kuala Lumpur telah berubah. Pekara yang sama juga telah berlaku di Sabah.

Agenda apa?

Apakah sebenarnya di belakang Agenda Melayu dan Agenda Islam ini. Apakah betul ini satu agenda atau satu cara kerajaan untuk mengabui mata orang ramai dan mengolah persetujuan untuk terus menyokong kerajaan 'melayu' yang sedia ada. Saya tidak dapat menerima kedua-dua agenda ini. Dari analisa dan apa yang saya lihat kedua-dua agenda tidak memiliki apa-apa asas yang tepat. Ianya hanya mitos dan dongeng yang selalu didendangkan untuk mendodoikan orang ramai.

Mari kita sama-sama perhatikan apa yang terjadi kepada kaum buruh yang sedang diburu untuk dihantar pulang ke negara masing-masing. Dalam pemburuan “pendatang haram” ini agenda Melayu dan agenda Islam tidak muncul. Yang jelas kelihatan ialah kekuatan modal dan keuntungan. Kerana itu saya tidak pernah tertarik hati atau terperangkap dengan umpan kulitan hujah agenda Melayu dan Islam ini.

Modal dan keuntungan sebenarnya tidak memiliki agama atau bangsa. Modal terikat rapat dengan untung. Dimana ada untung disitu modal akan sampai. Hakikat ini tidak diterangkan sejelas mungkin kepada umum; malah ianya terus uba disurukkan, dikaburkan dan disalahfahamkan. Manusia telah bergerak dan berpindah pindah dari satu kawasan ke wilayah yang lain bukan satu fenomena yang baru. Manusia beralih, berpindah dan membina wilayah baru kerana keperluan ekonomi.

Saya tidak mahu menjadikan satu tarikh sebagai patukan untuk membuktikan bahawa kumpulan ini lebih berhak dari kumpulan yang itu. Bangsa ini lebih berhak dari bangsa yang baru datang. Atau yang datang lebih awal maka mereka memiliki hak yang lebih. Yang datang kemudian mereka menjadi 'pendatang'.

Secara jujur tanyalah pada diri kita sendiri, tahun mana, tarikh mana yang seharusnya kita jadikan patukkan. Perjanjian Anglo-Thai 1902 /1906 memisahkan 4 wilayah di Selatan Siam. Perjanjian Anglo-Dutch 1824 memisahkan semenanjung dari keseluruhan kepulauan Melayu. Malaysia membawa masuk Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia. Pada tahun 1965 terpisahnya pula Singapura dari Semenanjung Tanah Melayu. Sebenarnya semua ini adalah konstruk politik yang dilakukan untuk kepentingan modal.

Kaum pemodal melakukan konstruk politik dan sosial ini untuk mengaut keuntungan yang maksima. Apa yang kita kenali hari ini sebagai Indonesia, Malaysia, Brunai, Singapura, Filipina sebenarnya dalah konstruk politik dan sosial oleh kaum pemodal British, Belanda dan Sepanyol. Bagitu juga sampainya orang Cina dan orang India ke Tanah Melayu ini. Mereka dibawa masuk kerana kepentingan kaum pemodal ini. Agama dan bangsa tidak pernah timbul didalam perhitungan semua perjanjian-perjanjian ini.

Kita tidak perlu berijazah dari Sorbonne untuk menjadi marxist agar dapat memahami bahawa sistem ekonomi kapitalis berasaskan dua pekara - pertama modal dan kedua buruh. Modal dan buruh adalah asas keuntungan untuk kaum kapitalis. Lebih murah bayaran untuk kaum buruh bermakna lebih besar keuntungan yang akan diraih oleh tuan empunya modal. Keuntungan itu adalah hasil dari lebihan tenaga buruh yang bekerja membuat sesuatu. Ini adalah hukum asas ekonomi kapitalis. Hukum ini tidak ada sangkutan dengan bangsa dan agama. Islam ke, Majusi ke, Hindu ke, Kristian ke atau Yahudi ke - kalau mereka kaum pemodal maka yang mereka hitungkan hanyalah keuntungan maksima.

Manakala kaum buruh akan terus bergerak dan berpindah ke mana sahaja apabila modal wujud. Dalam masa yang sama modal juga akan datang jika buruh senang dapat ditemui. Dalam sistem ekonomi kapitalis modal dan buruh ini tidak dapat dipisahkan. Semasa ekonomi Eropah mengembang selepas perang dunia kedua, buruh-buruh dan tenaga murah dari kawasan-kawasan miskin di Asia, Afrika dan Latin Amerika telah menerbus masuk ke kota-kota besar di Eropah. Apabila melonjaknya harga minyak di kawasan Timur Tengah selepas Perang Ramadzan Arab/Isreal 1973, buruh-buruh yang sama telah berduyun-duyun mara ke Timur Tengah.

Semasa kaum buruh Turki dijemput datang ke German tidak ada ditimbulkan tuhan mana yang disembah oleh buruh-buruh ini. Ketika buruh Filipina memasuki Kuwait mereka tidak ditanya sama boleh menucap dua kalimah shahadat atau tidak. Apa yang diperlukan ialah tenaga dari tulang empat kerat untuk memburuh dengan setia dansedia menerima pembayaran yang paling minima.

Buruh bermasaalah?

Hukum yang sama juga terjadi di Malaysia di dua dekad kebelakangn ini. Apabila modal antarabangsa beralih ke Asia Tenggara satelah tamatnya Perang Vietnam maka kaum buruh pun mula beralih ke kawasan ini. Modal yang mencurah masuk untuk pembangunan infrastruktur dan pertanian amat memerlukan buruh murah sebanyak mungkin. Modal yang wujud ini telah menjadi pelita yang menarik datang pelbagai bentuk 'kelkatu' ekonomi yang ingin datang menjual tenaga batang tubuh mereka.

Lima atau enam tahun dahulu, walau pun ada berita-berita jenayah yang dilakukan oleh 'pendatang' ini, sikap kita terhadap mereka tidak sejelik yang berlaku hari ini. Hari ini mereka diburu, diperlakukan dengan kasar, ditahan, ditangkap dan jika boleh rotan. Kini pendatang baru ini dilihat sebagai “orang lain” yang dikaitkan dengan “masaalah”. Betulkah kaum buruh ini masaalah.

Saya menolak hujah yang mengasosiasikan mereka dengan masalaah. Kaum buruh yang hari ini kita anggap masaalah inilah yang telah bertanggungjawab membangunkan Malaysia yang sedia wujud hari ini. Keselesaan yang kita nikmati hari ini berasaskan kepada tenaga murah mereka. Harga upah murah telah memastikan kaum pemodal kita dapat meraih keuntungan yang maksima.

Melalui pusingan modal ini jugalah maka ekonomi kita dapat terus bergerak dan berkembang. Hanya mereka yang munafik dan buta hati sahaja yang akan menuduh bahawa ''pendatang haram'' telah tidak membawa apa-apa nikmat kepada kita kecuali masaalah. Harus kita sama-sama akui bahawa selama ini ''pendatang haram” ini sebenarnya telah menjadi satu industri yang amat lumayan. Ramai individu menjadi kaya raya kerana mencampuri dan mengambil bahagian dalam industri ''pendatang haram” ini.

Umum mengetahui bahawa ahli-ahli politik dan menteri yang berkuasa telah memiliki lesen untuk membawa masuk bakal 'pendatang haram' ini. Tanpa kerja sama dan 'payong keselamatan' dari para politikus tidak mungkin industri 'pendatang haram' berkembang biak. Cukong-cukong binaan mendapat keuntungan lumayan dari tenaga 'pendatang haram' ini. Semua projek dan gedung-gedung besar yang wujud ditahun-tahun kebelakangan ini adalah hasil pemburuhan 'pendatang haram'. Sebut sahaja - KLIA, Litar Formula 1, KL Sentral, Bangunan Berkembar Petronas, Putrajaya - adalah sumbangan tenaga kerja buruh haram ini.

Pernahkah terlintas dihati kecil kita , semasa menghirup kopi di Starbuck di KLCC, untuk bertanya berapa ramai agaknya orang Indon yang mati semasa membuat KLCC ini. Berapa ramai agaknya Bangla yang terjatuh nahas ketika membuat Stadium Bukit Jalil. Berapa ramai pula buruh Myamar yang tewas, cedera semasa membina taman-taman perumahan dinegara kita ini. Soalan-soalan ini bukan agenda Melayu atau agenda Islam ianya agenda manusia.

Cukung-cukung pembinaan amat gembira dengan wujudnya sistem ''pendatang haram” ini. Jika para buruh ini berkerja dengan halal maka mungkin mereka akan memiliki hak-hak buruh dan boleh menuntut untuk menubuhkan kesatuan sekerja. Jika ini berlaku maka besar kemungkinan keuntungan para pemodal akan merundum.

Pernahkah kita mendengar tuan-tuan punya projek binaan diburu oleh Rela kerana gagal membayar wang KWSP. Tuan syarikat kilang dicari kerana tidak memberi cuti tahunan kepada pekerjanya. Dan berapa jam sehari 'pendatang haram' ini bekerja. Sesudah sebulan memburuh berapa hari pula mereka dibenarkan bercuti. Bagaimana dengan cuti tahunan mereka - wujud atau tidak. Hak ubatan mereka. Dan apakah kita tahu berapa upah seorang pelayan perempuan Indon yang bekerja di restaurant Cina itu. Dimana mereka menginap. Berapa pula sewa bilik mereka. Berapa ramai mereka tinggal dalam sebuah rumah. Berapa pula agaknya bayaran untuk seorang Bangla yang bekerja diladang-ladang kelapa sawit itu. Adakah tempat tinggal mereka sesuai untuk kehidupan manusia. Dalam soal seperti ini sering keMelayuan kita dan keIslaman kita terbang keluar tingkap.

Industri membuat duit

Untuk saya langkah yang diambil oleh kerajaan sekarang adalah satu langkah yang salah. Kenapa harus ''pendatang haram'' ini di tangkap, dipenjara dan dihantar pulang. Kenapa tidak di resmikan sahaja status mereka. Berapa bayak masa dan wang rinngit yang telah digunakan untuk membuat pekara bodoh dan tidak masuk akal ini. Saya katakan bodoh kerana sesudah mereka dihantar pulang, mereka dijemput pula datang sekali lagi. Tujuan dihantar pulang hanyalah untuk mereka boleg datang sekali lagi ' secara resmi'.

Nah, sebenarnya, proses 'merasmikan' pendatang haram ini juga sedang dijadikan satu industri baru dimana para politikus dari Indonesia dan politikus dari Malaysia dan kuncu-kuncu mereka akan dapat membuat duit.

Tidak ada apa bezanya dalam perasmian ini selain dari membeli kertas. Penjualan kertas 'resmi' inilah yang sedang diusahakan oleh kerajaan Malaysia dengan kerjasama kerajaan Indonesia.

Saya beranggapan sademikian kerana apakah sesudah diresmikan, kaum buruh ini akan mendapat gaji manima. Apakah mereka akan dapat mencarum dalam KWSP. Apakah mereka berhak untuk mendirikan syarikat dan kesatuan buruh. Saya yakin semua ini tidak wujud dan tidak pernah dirancang. Apa yang dirancangkan hanyalah 'meresmi' penjulan kertas.

Saya sedar, setiap kali diwujudkan akta baru atau undang-undang baru ini bererti satu industri baru pula yang akan muncul. Kroni-kroni baru akan mencadangkan sistem baru, pegawai-peawai yang baru pula akan mula menjalankan aktiviti-aktiviti gelap untuk menangguk duit. Pegawai-pegawai polis yang baru pula yang wajib disogok. Setiap undang-undang atau akta yang diwartakan akan menjadi lukah kepada politikus-politikus dan pegawai-pegawai yang korup.

Kerana itu jika ada Bangla atau Indon yang datang menyuruk di kampong saya, saya tidak akan melaporkan mereka kepada sesiapa pun. Ini bukan bermakna saya tidak mahu mengikut undang-undang. Tetapi undang-undang yang zalim dan tidak masuk akal tidak perlu di sokong atau dihormati Jangan menganggap saya ini tidak patriotik dan tidak cintakan tanah air. Itu tidak benar. Yang saheh ialah saya tidak ingin untuk hanya menjadi orang Melayu dan orang Islam. Nilai ini terlalu terlalu sempit untuk saya.

Saya juga tidak berminat untuk berbangga menjadi rakyat Malaysia. Ini tidak mempunyai apa-apa nilai tambahan. Saya bercita-cita untuk menjadi insan manusia dan warga dunia.

Untuk saya dunia ini adalah milik anak semua bangsa. Kita sebagai manusia hanya 'transit/singgah' untuk beberapa ketika sahaja diatas dunia ini. Kenapa kita mesti bagitu anggkuh untuk mengatakan yang aku sampai dulu maka aku mempunyai hak yang lebih dari kamu. Atau kerana aku menggunakan bahasa ini atau beragama itu maka yang ini hak aku dan yang itu bukan hak kamu. Sempadan dan pasport hanyalah konstruk sosial yang cuba memisahkan kita sesama kita dari menemui kemanusiaan kita.

Minyak dah habislah!

Hishamuddin Rais
Okt 8,04 12:00pm

"Pegawai Perhubungan Awam kementerian, Nik Suzana Nik Shapik berkata, berdasarkan pemantauan, mendapati barang-barang yang mengalami kenaikan secara mendadak ialah cili, tomato, ikan, sayur-sayuran dan beberapa barangan lain. Bagaimanapun beliau berkata, kenaikan itu berlaku disebabkan bekalan barangan pasar amat terhad sekali berikutan musim hujan."
(laporan Utusan Melayu 7 October 2004)

Kali ini air hujan pula telah dituduh sebagai penyebab kenaikan harga barangan. Mengikut kenyataan ini pesta kenaikan harga barangan tidak ada sangkut paut dengan naiknya harga minyak petrol. Alhamdulilah. Tetapi kenyataan ini tidak memiliki apa-apa asas ekonomi. Untuk saya kenyataan-kenyataan seperti ini hanya datang dari mulut seorang insan yang telah dibebalkan fikrahnya. Justeru, kita semua wajib bersimpati dengan pegawai yang terpaksa bersuara kerana menurut perintah ketua politiknya.

Sabar dan tunggulah tidak lama lagi pasti akan muncul pula tuduhan-tuduhan baru mengenai kenaikan harga barangan terutama di musim perayaan. Para pengguna akan dituduh sebagai kurang arif semasa membeli belah, pembeli dan pengguna dicap sebagai boros, ada pula si pembeli yang dituduh tidak pandai memilih kedai atau si pembeli ini tidak berhemah.

Manakala ada si penjual yang akan dituduh sebagai tidak patriotik kerana hanya berminat untuk mencari untung. Si penjual akan dituduh sebagai kumpulan yang hanya mementingkan diri sendiri. Atau menangguk di air keruh.

Kemudian kita akan melihat di tv atau membaca di akhbar bagaimana pihak penguatkuasa harga akan menangkap dua atau tiga orang taukeh di pasar basah Jalan Chow Kit atau di Pasar Borong Selayang. Sandiwara Tangkap Tukeh Pasar ini telah dipentaskan saban tahun. Kadang-kadang Taukeh Sayur, kadang-kadang Taukeh Telor dan ada kalanya Taukeh Daging akan ditangkap untuk disaman. Pementasan drama seperti ini bertujuan untuk membuktikan bahawa kerajaan kita sedang melakukan sesuatu yang amat positif untuk melawan kenaikan harga barang.

Lebih murah dari Sweden

Awas! Ada subtek yang tersirat dalam sandiwara ini. Berita seperti ini khusus ditujukan kepada Orang Melayu bahawa 'yang jahat naikkan harga ini' ialah taukeh Cina. Yang menjadi mangsa ialah Orang Melayu. Dan yang dituduh tidak menjalankan tugas dengan betul ialah seorang menteri - yang juga Orang Melayu.

Biasanya sandiwara barang naik harga ini akan disadurkan pula dengan pantun dan seloka meminta orang ramai a.k.a rakyat bersyukur dan berterima kasih kerana harga petai, cincalok dan budu di Pasar Chow Kit masih lebih murah jika dibandingkan dengan harga makanan di negara seperti Sweden, Switzerland atau Denmark.

Kenyataan-kenyataan ngok seperti ini adalah sebahagian dari kerja-kerja bodoh yang ingin membodohkan rakyat dalam usaha untuk meredakan kemarahan orang ramai apabila harga barang-barang melambung naik berikutan dengan kenaikan harga minyak petrol.

Kenyataan bebal dari sang menteri ini dikusut dan dibebalkan lagi oleh kenyataan (baca: tuduhan) dari politikus parti pembangkang. Saya melihat kenyataan dan tindak balas dari pihak pembangkang ini amat tidak bijak.

Kenyataan mereka tidak membawa apa-apa pembaharuan dari segi pemikiran untuk memahami apa yang sebenarnya sedang berlaku vis a vis kenaikkan harga minyak.

Kekeringan minyak

Ada satu hakikat yang cuba disorokan dari pengetahuan orang ramai atau gagal diselidiki oleh pihak pembangkang. Hakikat ini ialah tentang kekurangan minyak mentah dalam dunia hari ini. Ini adalah perkara yang wajib kita terima dan hadapi. Ini ialah satu hakikat yang tidak boleh kita hindari sama ada kita dari pihak kerajaan atau pun dari pihak pembangkang.

Pada tahun 1950 Dr M King Hubbert seorang geopsisik dari syarikat Shell telah membuat kajian tentang minyak mentah. Kajian yang dikenali hari ini sebagai Hubbert Peak Oil telah menunjukkan bahawa pengeluaran minyak dalam dunia ini akan sempai ke kemuncaknya pada tahun 70'an, kemudian ianya akan mendatar. Pada tahun 2000 pengeluaran minyak mentah dalam dunia akan mula menurun.

Semasa kajian ini dikeluarkan 50 tahun dahulu tidak ramai ahli-ahli saintis dan pakar ekonomi yang menerima pandangan Dr Hubbert ini. Tuan punya syarikat-syarikat minyak telah memperlekehkan kajian ini. Tetapi dihari ini konsep dan teori Peak Oil semakin diyakini dan dilihat kebenarannya.

Bukti-bukti dan data-data terbaru tentang pengeluaran minyak mentah semakin kuat untuk membuktikan keutuhan dan kesahehan teori Hubbert Peak Oil ini.

Sebagai contoh lihat sahaja data minyak mentah yang dikeluarkan di telaga minyak Amerika Syarikat sendiri. Pada tahun 1960 Amerika berjaya mengeluarkan 47 billion tong setahun. Tahun 1970 pengeluaran menurun ke 35 billion tong setahun. Pada tahun 1980 ianya menurun lagi ke 24 billion tong setahun. Pada tahun 1996 Amerika hanya berjaya mengeluarkan 14 billion tong setahun.

Hari ini Amerika telah menjadi negara pengimport minyak mentah yang terbesar sekali dalam dunia. Pada tahun 1980 Amerika mengimport 37 peratus dari semua keperluan minyak mentahnya. Pada tahun 1990 ianya bertambah menjadi 42 peratus. Pada tahun 2002 Amerika perlu mengimport 55 peratus dari keperluannya.

Sebanyak 2/5 dari minyak mentah ini datang dari negara-negara OPEC dan 1/5 datang dari Negara-negara Teluk. Amerika hari ini hanya ada memiliki 22-24 billion tong minyak simpanan yang masih belum digali.

Hari ini Amerika memerlukan 19.7 juta tong minyak sehari. Sebanyak 45 peratus dari jumlah ini akan diminum oleh kereta. Hanya 19 peratus sahaja yang digunakan sebagai bahan bakar. Semua ini adalah data dan statistik yang dikeluarkan oleh kerajaan Amerika sendiri. Data-data ini boleh didapati dimana sahaja kerana dianggap tidak akan memerbahyakan keselamatan pertahanan negara.

Keperluan negara lain

Mungkin masih ada data-data yang lebih lengkap, lebih terperinci tetapi tidak mungkin dibukakan kepada umum demi keselamatan Amerika. Mungkin.

Contoh yang saya paparkan ini hanyalah dari Amerika Syarikat - negara pengimport dan dalam masa yang sama juga negara pengeluar minyak. Bagaimana pula dengan negara-negara lain?

Dua tahun yang lalu Cina telah menjadi negara kedua sesudah Amerika sebagai pengimport minyak mentah. Sebanyak mana pula minyak yang ingin diminum oleh Cina yang kini menjadi negara pengimpot kereta yang terbanyak di dunia. Bagaimana pula dengan India yang sedang pesat membangun tetapi tidak memiliki telaga minyak.

Sementara itu di Britain, sumber minyak dari telaga Laut Utara akan kering dalam masa 15 tahun sahaja lagi. Kini, hanya Russia, Saudi Arabia dan Iraq yang masih banyak memiliki simpanan minyak mentah yang belum digali.

Sebanyak mana minyak mentah yang masih wujud dibumi masih terus dipertikaikan. Ada yang mengatakan dunia masih memiliki lebih dari 1900 billion tong dan ada yang mengagakkan masih wujud 2000 bilion tong.

Walau apa pun statistik dan data yang dipaparkan satu pekara yang wajib ketika terima dan sedari bahawa minyak akan habis. Ini adalah kenyataan yang tidak dapat dielakkan. Lebih awal kita menerima kenyataan ini lebih awal kita bersedia. Dan tidak perlu para menteri kita bergebang dan berbohong dikaca tv atau mengarahkan pegawai mereka untuk menuduh hujan dan katak bila harga minyak naik.

Perhatikan dengan teliti berita-berita di BBC, CNN , CNBC, Bloomberg atau laporan-laporan agensi akhbar luar negara - apabila mereka melaporkan berita tentang kenaikan harga minyak. Media-media ini akan menjemput pakar-pakar ekonomi minyak atau pengarah syarikat-syarikat minyak untuk ditemubual.

Semua temubual atau laporan berita akan cuba mengkaitkan kenaikan dengan faktor luaran.

Seperti si pegawai yang menuduh hujan sebagai penyebab kenaikan harga barang - para CEO dari Shell, Esso atau Exxon akan menuduh ketidak setabilan Teluk Parsi sebagai satu sebab. Atau serangan gerila Iraq yang membakar loji dan paip minyak di Basrah dijadikan sebab. Ribut taufan yang melanggar Mexico juga dituduh sebagai penyebab kenaikan harga minyak. Atau serangan gerombolan al-Qaeda di Saudi Arabia.

Soalan cepu emas

Tidak pernah si wartawan bertanya atau menimbulkan soalan cepu emas yang paling penting - apakah minyak masih banyak dalam dunia ini ? Untuk saya inilah soalan yang hakiki. Minyak mentah bukan seperti minyak kelapa sawit yang boleh terus menerus dikeluarkan. Minyak mentah sama seperti arang batu, bijih timah atau emas yang pengeluaranya pasti akan habis.

Sistem ekonomi kapitalis yang menjana gaya hidup kita hari ini telah memastikan yang dunia kita akan terus kehausan minyak. Permintaan akan terus meningkat dari tahun ke tahun, sementara pengeluaran akan terus susut. Persoalan sekarang bukan 50 atau 150 dolar satu tong tetapi apakah akan ada lagi minyak yang hendak dijual.

Saya tidak akan merasa hairan jika harga minyak akan meningkat hingga ke 200 dolar untuk satu tong. Ini tidak mustahil. Tahun hadapan harga minyak pasti akan meningkat lagi - mungkin sekali atau mungkin dua tiga kali. Ini akan diikuti pula dengan kenaikan kos hidup. Kali ini harga barangan pasti akan melambung lagi. Siapa pula yang akan disalahkan oleh para menteri kita kali ini?

Apa yang cuba saya nyatakan ini kelihatan agak pisimistik dan suram. Tetapi kenyataan saya ini berdasarkan kepada asas-asas yang kukuh dan bukan kerana air hujan. Rintik-rintik perebutan minyak ini semakin jelas dapat dilihat.

Penaklokan Iraq oleh tentera Amerika adalah satu contoh yang paling ketara. Ini diikuti pula dengan penempatan kem-kem soldadu Amerika di Afghanistan dan di selatan Russia. Semua ini dilakukan untuk memastikan yang telaga-telaga minyak ini akan terus mengalir ke Amerika.

Tertangkapnya Mark Thatcher, anak bekas Perdana Menteri Britain di Afrika Selatan juga disebabkan oleh minyak. Pergolakan di Darfur, Sudan, Chad, Nigeria - semuanya berpunca dari minyak. Lihat bagaimana penjelmaan Kolonel Ghadaffi dari budak jahat yang dikutuk dunia kini menjadi seorang negarawan. Apakah penjelmaan ini akan berlaku jika Libya tidak memiliki minyak?

Sementara itu, Rumah Putih pula untuk pertama kalinya sedang dikendalikan oleh orang-orang minyak. Orang-orang minyak semakin banyak kelihatan berkeliaran diruang-ruang kuasa. Orang minyak bukan hanya George W Bush dan Dick Cheney atau kaum kerabat Saud tetapi termasuk juga Hamid Karzai yang akan menjadi presiden Afghanistan tidak lama lagi.

Penghujung jalan

Tanda-tanda dan riak-riak perang minyak global telah muncul. Minyak akan terus menjadi pencetus masaalah dunia hari ini. Lebih hebat dan lebih ganas dari pertelingkahan Haji Hadi dengan Haji Mahathir Muhamad yang berebutkan minyak di Terengganu. Untuk ini saya berharap kita tidak akan terlupa tentang kereta Volkwagen yang tidak memerlukan air yang dibuat khas oleh Hitler untuk melintasi bumi Arab kerana mencari minyak.

Rasa saya, gaya hidup kita hari ini telah sampai ke tahap akhirnya. Gaya hidup yang membawa ledakan kereta ke jalan raya telah sampai ke jalan penghujung. Kereta terus menjadi penelan minyak yang paling rakus. Tidak lama lagi kereta akan dilihat sebagai satu beban yang amat berat. Bumi manusia ini tidak lagi memiliki kesanggupan untuk menampung gaya hidup yang bersandarkan bahan minyak mentah yang semakin pupus.

Susutnya minyak di dunia hari ini akan memaksa kita semua berfikir untuk mencari jalan lain untuk membuat tenaga. Angin, matahari, atau air mungkin akan mengambil alih kuasa minyak. Minyak yang kita miliki hari ini wajib kita gunakan dengan sebaik mungkin. Satu ketika, dalam jangka waktu yang tidak lama, kita tidak akan memilikinya lagi.

Dengan ini saya menolak kenyataan-kenyataan bebal, cakap-cakap kosong dan hujah-hujah tidak masuk akal tentang harga minyak dan kenaikan barangan harian. Sampai masanya para politikus kita wajib menggunakan barang yang tersimpan diantara dua telinga mereka. Kenaikan harga barang kerana meningkatnya harga minyak akan dilihat sebagai satu beban oleh orang ramai a.k.a rakyat.

Masaalah seperti ini memerlukan pemikiran yang stratejik. Ini bukan masaalah yang boleh disandiwarakan melalui Utusan Malaysia atau RTM.

Telah sampai masanya untuk para menteri memberhentikan langkah-langkah dan cakap-cakap bodoh mereka kerana semua ini tidak akan dapat menyelesaikan masaalah kenaikan harga minyak.

Kenaikan harga minyak dalam negara ini bukan hanya masaalah Umno dengan Pas atau Barisan Nasional dengan Barisan Alternatif. Nyatakan kepada orang ramai bahawa harga minyak naik kerana minyak telah habis. Buka ruang demokrasi seluas mungkin untuk mengajak rakyat berfikir bahawa gaya hidup yang dibawa oleh sistem kapitalis dalam empire globalnya kini telah menemui jalan buntu. Kita perlu mengubah cara hidup kita.

Jika ada yang masih berdegil dalam kebebalan maka jangan terperanjat jika satu ketika nanti mereka akan terperanjat kerana ternampak Kancil dan Rusa berkarat tersadai bersepah-sepah di jalan raya kerana kehausan minyak. Ketika itu nanti barulah kita akan sama-sama bersyukur kerana ada katak yang memanggil hujan turun.

Pepsi dan Coke atau Tengkorak dan Tulang

Hishamuddin Rais
Okt 22, 04 6:06pm

Mungkin ramai yang akan menolak apa yang saya tulis ini sebagai satu dongeng. Atau menuduh saya sebagai pengamal dan pengikut mazhab teori konspirasi. Tetapi untuk saya semua yang berjalan di dalam dunia ini adalah hasil dari perancangan a.k.a konspirasi. Semua perkara yang diinginkan berlaku, hanya akan berlaku jika dirancang/disusun/diatur.

Kalau saya bersama tiga orang kawan ingin ke panggung menonton, maka kami akan membuat temujanji, mencari panggung dan memilih genre filem apa yang ingin kami tonton. Apa yang telah saya lakukan ini sebenarnya satu konspirasi atau perancangan. Ianya bukan satu kesalahan tetapi kebiasaan harian.

Kerana itu konspirasi adalah satu konsep yang wujud dan dianggap satu yang sah disegi undang-undang. Di bidang perhakiman dan kepolisian, kita akan bertemu bab tentang konsep konspirasi dalam cara untuk membuktikan pertuduhan. Si anu dituduh berkonspirasi untuk membunuh si polan. Atau si polan dituduh berkonspirasi untuk melakukan rompakan.

Contoh terbaik ialah dalam kes Eric Chia. Dia dituduh berkonspirasi untuk menipu Pewaja. Pihak pendakwa sedang cuba membuktikan konspirasi ini dengan nombor akaun bank, surat menyurat, nota-nota jual-beli dan dan dan. Tarikh surat keluar masuk akan diteliti. Panggilan telefon dari si anu dan si anu akan ditanyakan apa isinya. Siapa bertemu siapa dan apa cakap mereka akan dijadikan bahan bukti.

Semua ini adalah untuk membuktikan wujudnya satu konspirasi/rancangan yang tersusun untuk menipu Pewaja. Ini kerana kemustahilan untuk seorang Bai Jaga yang bersenjatakan senapang patah di syarikat Pewaja akan terserempak dengan seorang Tan Sri yang sedang memasukkan berbilion-bilon ringgit ke dalam sakunya.

Konsep dan perkataan konspirasi ini menjadi suram kerana ianya sering disabitkan dengan perbuatan jahat. John F Kennedy dibunuh kerana dia menentang pembikinan senjata nuklear di Isreal. Mussadegh Perdana Menteri Iran yang nasionalis dijatuhkan oleh konspirasi CIA. Umno dinaikkan ke atas tahta kerana kospirasi tuan-tuanpunya lombong bijih timah dan ladang getah di Malaya.

Mengumpul kuasa

Anwar Ibrahim dipadamkan cita-cita politiknya melalui konspirasi Mahathir Mohamad. Dan lihat bagaimana 'senjata pemusnah' milik Saddam Hussein telah dijadikan sebab musabab untuk menghalalkan tentera Anglo-Amerika menakluk Iraq. Dan bagaimana hari ini kita semua sedar bahawa semua ini berlaku kerana wujudnya konspirasi oleh syarikat-syarikat minyak.

Tujuan konspirasi untuk saya amat jelas - untuk mengumpul kuasa. Siapa yang memiliki kuasa maka dialah yang akan memiliki kekayaan dan punca-punca ekonomi. Kekayaan akan memastikan kuasa yang dipegang akan berterusan. Bagi saya perkara kuasa dan ekonomi ini amat banal dan membosankan kerana bab ini telah diselongkar luas oleh kaum marxis dari pelbagai mazhab.

Apa yang paling menarik perhatian saya ialah siapa di belakang konspirasi ini. Bagaimana kospirasi ini bergerak, menyusun dan mengembangkan pengaruhnya. Dan bagaimana konspirasi ini telah berjaya menakut-nakutkan dan memperbodoh-bodohkan orang ramai sehinggakan konspirasi ini bergerak tanpa disedari.

Untuk satu konspirasi berlaku, perlu wujud kumpulan, pasukan atau satu badan yang memiliki satu teras cita-cita. Sama seperti cerita saya ingin ke panggung wayang bersama kawan-kawan. Jika saya ke panggung seorang diri, ianya bukan konspirasi. Ianya membuktikan saya telah menjadi insan sepi yang gagal mencari teman. Konspirasi bukan kerja perseorangan.

Pada ketika ini wujud satu kumpulan kongsi gelap yang paling berkuasa sekali dalam dunia ini. Kongsi gelap ini lebih hebat dari kumpulan triad 14K yang berpengkalan di Hong Kong. Lebih luas pengaruhnya dari semua kumpulan mafia di Amerika dan di Itali. Lebih licik perjalanannya dari kumpulan penyuludup cocaine Colombia. Lebih tersusun organisasinya dari Kumpulan Tiga Line yang telah menobatkan Abdullah Badawi sebagai 'ayahanda'. Lebih 'sharp' pakaian mereka dari pemain jazz dari New Orleans.

Kongsi gelap yang saya maksudkan ini ialah Skull and Bones - Tengkorak dan Tulang. Tolong jangan ketawa, ini bukan lawak. Betul - memang betul nama dan simbol mereka adalah tanda yang terpampang di bendera lanun yang sering kita lihat dalam komik, kartun dan filem. Malah telah bagitu liciknya kongsi gelap ini bergerak sehinggakan kita sendiri tidak menyedari kenapa tengkorak dan lanun kita terima pakai sebagai simbol lanun.

Rakan niaga

Dan jangan pula terperanjat bila saya katakan bahawa sarang utama tempat kongsi gelap ini bertelur dan menetas ialah di Yale – satu-satunya universiti yang paling aristrokratik di Amerika. Kongsi gelap ini berasal dari lagenda Yunani tentang Dewa Eluja yang akan turun kembali ke dunia ini. Ahli-ahli kongsi gelap ini hanya menunggu dan menyedia suasana untuk menyambut ketibaan dewa ini.

Dari Yunani, kongsi gelap ini telah mengembang ke Jerman. Pada tahun 1832 William Huntington Russels, semasa belajar di Jerman, telah tertarik dan mencampuri kumpulan kongsi gelap masonik ini. Apabila pulang ke Amerika, Russels telah membuka satu cawangan kongsi gelap yang sama dan diberi nama Skull and Bones di Universiti Yale. Ini terjadi lebih dari seratus tahun dahulu.

Keluarga Russels menjadi kaya-raya kerana perniagaan candu ke China pada tahun 1830-an. Russels and Company kemudian menjadi rakan niaga dengan keluarga Ford. Keluarga Ford pula adalah rakan niaga kepada moyang John Kerry. Syarikat Russels-lah yang telah menaburkan dana untuk kongsi gelap ini bertapak, berkembang dan beroperasi.

Sesiapa yang pernah ke Yale pasti akan melihat satu bangunan yang tersergam di tengah-tengah kampus. Bangunan setinggi 54 kaki ini dipanggil Tomb/Makam. Bukan semua pelajar Yale yang akan dapat mengetahui apa yang tersimpan dalam makam ini. Hanya 15 pelajar tahun akhir sahaja yang akan dijemput untuk menjadi ahli kongsi gelap ini.

Lima belas pelajar yang akan dijemput ini semuanya telah ditapis oleh ahli-ahli yang terdahulu. Ada tiga kriteria selain dari asal usul keluarga yang membolehkan ahli baru diterima. Pertama mereka terdidik dari sekolah berasrama penuh. Kedua memiliki ketrampilan dan cintakan sukan luar. Dan ketiga ingin memasuki pasukan bersenjata dan cintakan perang.

Ahli-ahli kongsi gelap ini cukup merahsiakan apa yang berlaku di dalam Makam ini. Hanya desas-desus yang didengari bahawa di dalam Makam ini terdapat satu tengkorak dan tulang yang dipuja oleh ahli-ahlinya.

Calon presiden

Cara dan bagaimana pemujaan ini dilakukan tidak pula diketahui. Banyak siasatan dan kajian telah dilakukan keatas kongsi gelap ini. Tetapi hingga ke hari ini tidak ada seorang pun ahlinya yang telah membocorkan rahsia apa sebenarnya 'terjadi' di dalam Makam ini.

Pada akhir bulan September lalu untuk pertama kalinya sebuah stesen radio di dunia ini telah membuat satu rancangan khusus tentang Skull and Bones. Simon Cox dari Radio 4 BBC London telah menyelidik kongsi gelap ini kerana inilah pertama kalinya dua orang Bonesman - Bush dan Kerry - sedang bertanding untuk merebut jawatan presiden.

Memang banyak buku dan kajian yang telah dibuat tentang kongsi gelap ini tetapi untuk didengari melalui radio ke seluruh dunia, inilah kali yang pertama semenjak kongsi gelap ini muncul di Amerika. Pengaruh kongsi gelap ini ke atas politik Amerika tidak dapat dinafikan. Pengaruh yang sama juga yang sedang mengariskan arus dan arah politik dunia hari ini.

Cuba bayangkan tiga dari empat presiden Amerika yang lalu adalah dari anggota kongsi gelap ini. Pada tahun 2004 ini pula Skull and Bones sedang dalam suasana “win win situation”. Siapa sahaja yang menang, pingat terakhir akan dimiliki oleh kongsi gelap ini. Semenjak lebih dari 100 tahun ini, Skull and Bones telah lama bersarang dan mengembangkan pengaruh dalam pelbagai institusi dan lembaga di Amerika. Di lembaga kehakiman, di bidang perniagaan, di media, malah ramai ahli kongress dan dewan senate adalah anggota kongsi gelap ini.

Sarang yang paling diminati oleh ahli-ahli kongsi gelap ini ialah dalam pasukan tentera dan di bidang risikan. Kerana itu Papa Bush adalah bekas soldadu Amerika di perang dunia kedua dan akhirnya menjadi pengarah CIA. Bush dan Kerry juga adalah anggota veteran perang Vietnam.

Pengaruh kongsi gelap ini semakin jelas apabila George W Bush tinggal di Rumah Putih. Beliau telah melantik 11 anggota kabinetnya dari Skull and Bones. Evan Griffith Galbraith; penasihat misi Amerika ke Nato, William Henry Donaldson, pengerusi Securities and Exchange Commission; George Herbert Walker III, duta Amerika ke Hungary; Jack Edwin McGregor, lembaga penasihat St. Lawrence Seaway Development Corp.; Victor Henderson Ashe, ahli lembaga pengarah Federal National Mortgage Association; Roy Leslie Austin, duta Amerika ke Trinidad and Tobago; Robert Davis McCallum Jr., pemangku ketua hakim; Rex Cowdry, pengarah bersama National Economic Council Rumah Putih; Edward McNally Sr., ahli majlis penasihat kepada presiden di Jabatan Homeland Security; David Batshaw Wiseman, hakim di Justice Department's Civil Division; dan James Emanuel Boasberg, pembantu hakim di Superior Court Wilayah Columbia.

Ikatan kesetiaan

Saya ingin bertanya bukankah Amerika memiliki 250 juta penduduk? Apakah kesemua mereka bebal dan tidak memiliki fikrah untuk mengendalikan arah dan garis politik Rumah Putih? Bila soalan ini saya timbulkan maka tidak dapat tidak jawapannya yang akan timbul dalam benak saya ialah - apakah ini satu konspirasi?

Ahli-ahli kongsi gelap ini telah diikat kesetiaan mereka semasa di Yale. Mengikut laporan Radio 4 BBC ini , apabila pelajar itu telah dijemput dan bersedia untuk menjadi ahli maka dia akan dibawa masuk ke dalam Makam. Di dalam Makam ini mereka akan menjalankan ritual melakukan pembunuhan yang diakhiri dengan satu jeritan maut. Skull and Bones mengajar ahli-ahlinya untuk mengamalkan ritual setan yang bererti mati dan mati yang bererti maut.

Menurut laporan radio ini, demi untuk mengikat setiakawan, ahli-ahli yang baru masuk akan berdiri selama tiga jam dan akan menceritakan semua kesah-kesah seksual dan berahi mereka. Perkembangan seksual dan berahi ahli-ahli ini akan didengari secara terbuka saban minggu apabila mereka berkumpul. Kisah-kisah sulit inilah yang dianggap mengikat kesetiaan mereka.

Bagi saya, apa yang mengikat setiakawan kuat kongsi gelap ini ialah kepentingan ekonomi dan kepentingan kelas mereka. Ahli-ahli Skull and Bones akan dipastikan mendapat tempat dan kedudukan yang istimewa melalui jaringan yang telah lama terpasang. Mereka akan membantu sesama sendiri. Peluang perniagaan dan peluang pekerjaan akan dibuka seluas mungkin untuk anggota mereka.

Sebenarnya anggota kongsi gelap ini tidak ramai. Ianya tidak akan melebihi dari 800 orang dalam satu masa. Sebagai kumpulan kongsi gelap mereka telah menggunakan berbagai tanda untuk mengenal satu sama lain. Pada satu ketika dahulu ucapan untuk mengenalkan diri ialah - do you know General Russels? Mungkin ayat ini telah diganti kerana ianya telah dibocorkan di pelbagai
tempat oleh kumpulan-kumpulan yang menentang mereka.

Bagi saya, jika satu kumpulan anak-anak mahasisawa dalam kampus yang ingin bertelanjang bogel dan bergolek-golek sama sendiri sambil menjerit-jerit - maut..maut..maut - bukanlah satu yang merisaukan. Atau jika mereka ingin memanggil diri mereka ayahanda, bonda, adinda atau kekanda - rasanya perbualan seperti ini tidak lebih dari satu jenaka bangsawan.

Tetapi Skull and Bones memiliki falsafah dan agenda yang tidak semestinya kita setujui. Ini juga bagi saya bukan sesuatu yang salah kerana saya sendiri adalah pengamal mazhab hidup yang ingin merayakan kepelbagian.

Kacau-bilau

Apa yang merbahaya kepada kita semua ialah anggota kongsi gelap ini telah dan sedang berkumpul, bersarang, bertelur dan menetas di Rumah Putih. Sebagai anggota kongsi gelap pastilah kesetiaan mereka kepada kumpulan dan agenda mereka.

Sejarah telah membuktikan bagaimana agenda dan falsafah kongsi gelap ini telah merbahayakan dunia. Di sini samalah seperti kes konspirasi menipu Perwaja oleh Eric Chia - apa yang kita lihat dan baca hanya babak-babak dan tanda-tanda yang cuba membuktikan bahawa kongsi gelap Skull and Bones ini telah dan sedang berkonspirasi.

Pada tahun 1898 presiden William McKinley telah diberi tekanan oleh kongsi gelap ini dan akhirnya belaiu terpaksa melakukan apa yang dipanggil 'perang untuk membebaskan Cuba' dari Raja Sepanyol. Perang pembebasan Cuba ini berakhir dengan penaklukan Filipana. Tidakkah bunyinya seakan-akan sama dengan apa yang terjadi kepada Kuwait pada tahun 1991 dan berakhir dengan penaklukan Iraq pada tahun 2002?

Salah satu dari ajaran kongsi gelap ini ialah melakukan 'constructive chaos - kacau-bilau yang diatur '. Bila keadaan kacau-bilau ini muncul, maka akan muncullah anggota kongsi gelap ini untuk menyelamatkan keadaan. Dalam keadaan kacau-bilau ini, mereka juga akan meraih laba dan keuntungan.

Perang dan cintakan perang adalah ajaran asas kongsi gelap ini. Dengan perang akan muncul agenda 'kacau-bilau yang diatur' dan anggota Skull and Bones akan menjadi pahlawan untuk menyelamatkan dunia. Mereka juga mempercayai bahawa diri mereka dan semua ahli Skull and Bones telah ditugaskan oleh tuhan untuk mengendalikan perjalanan dunia hari ini.

Mereka adalah insan terpilih yang mempunyai misi untuk menyelamatkan dunia. Semasa perang dunia yang kedua, mereka amat aktif. Cadangan dari kongsi gelap inilah yang telah melahirkan bom atom yang meledakkan Nagasaki dan Hiroshima. Semasa Perang Dingin, anggota Skull and Bones cukup aktif dalam bidang risikan untuk melawan USSR.

Nama keluarga

Anggota Skull and Bones ini sebenarnya adalah kumpulan elit ekonomi dan politik Amerika. Mereka menjalan dan menggariskan dasar kerajaan Amerika untuk kepentingan ekonomi dan kelas mereka. Megikut kajian, hari ini wujud di antara 20 ke 30 keluarga elit Amerika yang menganggotai kongsi gelap ini. Mereka adalah gulungan WASP - White Anglo Saxon Protestant - yang datang awal dari England untuk membuka tanah baru di Amerika.

Nama nama seperti Whitney, Lord, Phelps Wadsworth, Allen, Bundy, Adams, Stimson, Taft, Gilman dan Perkins adalah sebahagian dari elit politik dan ekonomi Amerika yang datang paling awal ke Amerika dan berkait rapat dengan Skull and Bones. Kumpulan kedua menjadi kaya-raya pada kurun ke 18 dan 19 walaupun mereka bukan pendatang awal. Nama-nama keluarga ini adalah Harriman, Rockefeller, Payne, Davison, Pillsbury dan Weyerhauser. Semua ini memiliki hubungan yang rapat dan setia dengan Skull and Bones.

Kesetiaan kepada kongsi gelap ini sedang dibuktikan oleh John Kerry. Isteri pertama John Kerry ialah adik kepada seorang anggota Skull and Bones. Isteri kedua John Kerry ialah janda kepada seorang anggota Skull and Bones. Kongsi gelap kelihatan ini berpusing-pusing sesama sendiri.

Bagi saya siapa yang akan menduduki Rumah Putih sesudah pilihanraya pada 2 November 2004 tidaklah penting. Saya merasakan amat susah untuk membezakan Coco Cola dengan Pepsi Cola. Bagitu jugalah susahnya jika saya ingin membezakan dasar politik Bush dengan Kerry. Dunia sekarang jika mengikut ajaran Skull and Bones adalah dalam keadaan kacau-bilau yang diatur.

Elite politik dan ekonomi Amerika dari kongsi gelap Skull and Bones sedang tersenyum puas kerana siapa saja yang akan menang semuanya akan masuk ke kantong mereka. Betul ke apa yang saya labonkan ini? Tetapi bagaimana pula dengan calon Presiden ketiga Tuan Ralph Nader? Beliau berdarah Arab dan bukan WASP dan sedang berjuang untuk kebaikan rakyat di dunia. Ha ha ha, jangan terperanjat kerana kawan baik dan peguam kepada Tok Arab kita ini ialah Donald Etra.

Tuan Etra ini adalah kawan baik dan rakan niaga George W Bush. Kalau setakat kawan baik sahaja saya tidak akan menulis tentang konspirasi tetapi Donald Etra juga adalah ahli kongsi gelap Skull and Bones yang telah direkrut pada tahun 1968. Terperanjat!

Saya memilih Bush

Hishamuddin Rais
Nov 1, 04 11:49am

Rolling Stone: If you send troops into Iraq, how will you be able to tell them they're not risking their lives for a mistake?

Kerry: Because I'm going to make it a success, 'cause we're going to win. We're going to do what we need to do to get this job done. And I'm committed to doing that - and I know how to do it.

Dipungut dari: John Kerry - The Rolling Stone Interview, By Jann S Wenner, Rolling Stone Magazine.

“there is no justice in the world today” - e-mail Charlotte untuk Hishamuddin Rais

Jika saya warga New York, saya akan mengundi Bush. Ini akan saya lakukan bukan kerana Tun Mahathir Mohamad memilih Kerry maka saya wajib memilih lawannya. Pandangan saya ini tidak juga ada kena mengena dengan lesen judi yang telah diberikan oleh Tun Mahathir kepada Vincent Tan. Walau apa pun, saya amat menyedari bahawa pandangan saya ini adalah satu pandangan yang paling tidak popular. Satu pandangan yang menungkah arus.

Jika saya bersembang di cafe-cafe di kota Paris, London, San Sebastian, Milan atau di Bogota pasti saya akan dipecilkan. Silap-silap saya akan ditendang keluar oleh tuan empunya cafe. Hampir kesemua 'chattering class', inteligensia, artis dan seniman dari Stockholm ke Semenyih telah mengambil keputusan untuk menghumbankan Bush. Akhbar-akhbar yang berpengaruh di kota-kota Eropah kesemuanya telah menyebelahi Kerry.

Dari Canton ke Casablanca dari Moscow ke Montreal dari Bombay ke Bangsar; Bush Jr. sedang dilihat sebagai orang jahat. Sentimen anti-Bush dan pro-Kerry kelihatan bagitu ampuh sekali. Tetapi kenapa saya masih berdegil tidak menyebelahi 'orang baik si Kerry ini' ?

Begini: Semasa saya belajar di London dahulu, saya telah dapat mengenali hati dan perasaan teman-teman sedarjah dengan saya. Ini kerana darjah kami tidak ramai - cuma 12 orang. Selama tiga tahun kami yang 12 orang ini telah mundar-mandir ke hulu ke hilir bersama-sama.

Ilmu yang kami pelajari ini mewajibkan kami membantu sesama sendiri – justeru kami menjadi begitu intim. Saya bukan hanya dapat mengenali kecekapan kawan-kawan saya dalam gaya penulisan skrip mereka; malah saya juga mengetahui siapa yang tidur dengan siapa.

Semasa kami menjadi anak mahasiswa, yang menjadi Perdana Menteri kami ialah Margaret Thatcher dari parti konservatif. Perdana menteri inilah yang memulakan dasar penswastaan yang hari ini kita lihat bagaimana dasar ini telah berjaya memporak-peranda banyak negara di dunia ketiga, termasuk Malaysia. Sementara itu di Amerika pula, bekas pelakon Hollywood gred B Tuan Ronald Reagan sedang menjadi presiden. Bayangkan betapa kanannya suasana pemikiran ketika itu.

Kesedaran politik

Teman-teman kelas filem ini saya semuanya dari Generasi X. Generasi pasca perang Vietnam/pasca Punk, yang langsung tidak ingin mengambil tahu hal-hal di luar kuliah. Apa yang mereka hitungkan hanyalah membuat jaringan seluas mungkin dengan elite budaya kota London dengan harapan akan memecah pintu untuk memasuki dunia filem. Kesedaran politik kawan-kawan saya ini adalah zero, nil, sifar, zilch dan kosong. Ini menjadikan saya pelajar dari dunia ketiga ketika itu begitu keseorangan. Saya dianggap spesis yang tidak voque dan telah ketinggalan zaman.

Di antara kawan sedarjah saya ialah Charlotte – ini bukan nama sebenar. Kami menjadi kawan yang rapat. Si manis Charlotte ini untuk saya adalah contoh terbaik dari Generasi X. Kenapa tidak, dalam dunia filem kota London Charlotte telah berjaya. Setelah habis belajar dia terus menjadi penyunting filem. Bekerja di Paris dan di New York untuk team produksi Ismail Merchant. Charlotte mengenali 'who and who' dalam dunia filem kota London kerana itu dia amat jarang menganggur.

Dari segi kesedaran politik, kawan baik saya ini tidak memiliki apa-apa pandangan. Charlotte amat bijak memandang Prada dari mengetahui Pravda, lebih kenal dengan Gucci dari Gramsci dan lebih tahu siapa Jean Paul Gaultier dari siapa dia Jean Paul Sartre.

Dua kali Charlotte datang melawat saya di Kuala Lumpur. Dan entah berapa orang Mamat-Mamat Melayu yang telah ditidurinya. Kekasih akhimya di Malaysia ini seorang anak muda di Pulau Perhentian. Ini hanya seorang yang saya ketahui. Entah berapa orang pula kekasih yang ditinggalkan di Langkawi dan Pulau Pinang.
Tetapi semua ini telah berubah. Surat akhir dari Charlotte amat memeranjatkan saya. Untuk pertama kalinya Charlotte telah turun ke Hyde Park untuk sama-sama menunjuk perasaan bersama hampir satu juta warga kota London apabila Tony Blair ingin melancarkan perang ke atas Iraq. Charlotte juga telah menerangkan bagaimana dia telah hilang kepercayaan terhadap pemimpin politik hari ini.

Syabas! Inilah kesedaran politik massa yang selama ini saya tunggu-tunggukan. Tanpa selebaran propaganda Socialist Workers Party, tanpa mendengar radio haram dari Brixton, tanpa memasuki mana-mana parti politik kawan saya Charlotte Green telah disedarkan politiknya oleh dasar dan garis politik George Bush Jr.

Generasi X

Bayangkan hari ini berapa ramai agaknya orang-orang seperti Charlotte Green di seluruh dunia ini. Keselesaan hidup mereka telah digelodak oleh dasar politik neo konservatif kabal zionist di Rumah Putih. Bukan politik kiri yang menyedarkan mereka tetapi dasar ektrem kanan kabal zionist telah menusuk sanubari kemanusiaan mereka. Hari ini kemanusiaan orang-orang seperti Charlotte Green ini sedang diuji.

Untuk saya Charlotte Green adalah tangga patukan dan rakaman suhu kesedaran politik untuk umat manusia di seluruh dunia. Jika kawan saya dari Generasi X ini telah berani dan turut sama berdemonstrasi dan meninggal zon-zon selamat mereka, maka ini saya baca sebagai satu petanda yang amat sihat.

Saya mahukan Bush Jr terus menginap di Rumah Putih untuk empat tahun lagi. Bayangkan apa yang akan terjadi. Hari ini Bush Jr. sedang mengacau dan mengelodak hampir semua ruang yang dahulunya dianggap sebagai zon selamat. Masyarakat Amerika kini terbelah dua – penyokong Bush atau pembenci Bush. Untuk saya, ini adalah kesedaran politik awalan yang pada satu ketika nanti, melalui proses realiti harian, pasti akan menimbulkan kesedaran politik yang lebih kukuh. Hanya dasar Bush Jr yang berkeupayaan untuk membawa lonjakan kesedaran politik seperti ini.

Contohnya, dalam dasar alam sekitar pentabiran, Bush telah menolak dan tidak mahu menanda tangani Perjanjian Koyoto. Penolakan Bush ini telah memeranjatkan bukan hanya di kalangan kelas menengah malah kelas elite politik Amerika juga telah merasa marah kerana pencemaran alam ini akan merundumkan tahap keselesaan hidup mereka. Bush Jr juga bercita-cita untuk membuka hutan dara kawasan Alaska untuk mencari gali minyak. Kawasan hijau Alaska ini adalah contoh kebanggaan para enviromentalis – bayangkan kemarahan mereka.

Dari segi ekonomi dasar, Bush Jr bukan hanya tidak berjaya membawa penambahan pekerjaan, malah semakin ramai rakyat Amerika yang kehilangan pekerjaan. Kejayaan Bill Clinton menambah tenaga kerja kini sedang digagalkan oleh Bush. Pentabiran Bush Jr ini tanpa berselindung telah menurunkan cukai untuk yang kaya dan menaikkan cukai untuk yang kurang berada.

Langkah Bush membuka pentas perang di Iraq mugkin dilihat sebagai satu yang tidak masuk akal. Tetapi ini lah sebenarnya hukum dan syarat-syarat untuk menegakkan sebuah empayar. Dari zaman berzaman – dari empire Rom ke empayar Mogul ke empayar Great Britain dan ke empayar Hitler – perang akan pecah. Perang dilakukan untuk merebut punca-punca ekonomi. Apa yang sedang dilakukan oleh Bush adalah berlandaskan hukum ekonomi kapitalis dalam usaha mengembangkan empayar.

Perang Vietnam

Saya tidak memiliki illusi tentang Kerry atau Parti Democrats. Sila lakukan sedikit selidikan dan perhatikan dengan rapi parti manakah yang membuka pentas perang. Perang Korea dan Vietnam di mula oleh Parti Democrats. Perang Vietnam bermula dan berkembang di era John F Kennedy dari Parti Democrats. Presiden Nixon dari Republicans hanya menjadi penyambung.

Bahaya tentang pengaruh 'military-industrial-complex' yang meresap masuk secara licin tersusun untuk mempengaruhi dasar kenegaraan Amerika, telah ditimbulkan secara serius bukan oleh Parti Democrats tetapi oleh Presiden Dwight D Eisenhower seorang Republicans.

Sesudah 9/11, Hillary Clinton dan Jo Lieberman telah membuat satu surat yang ditandatangani oleh semua Senator dari Parti Democtars yang menuduh dasar Bush terhadap Timur Tengah adalah lembik. Manakala Susan Rice telah menuduh dasar Bush terhadap Iran tidak cukup keras. Susan Rice ialah penasihat John Kerry. Dasar 'unilateral use of power' bukan bermula terhambur dari mulut Bush Jr tetapi dari Madeleine Albright, ahli kabinet pentabiran Bill Clinton.

Saya rasa rakyat Arab dan umat Islam tidak perlu menyimpan angan-angan bahawa John Kerry akan membawa apa-apa perubahan yang hakiki di Timur Tengah. Keadaan di Palestin akan berterusan, tidak mengira siapa yang mendiami Rumah Putih. Sokongan Amerika terhadap regim zionist Isreal tidak akan berubah. Malah dari segi strategi jangka panjang dasar John Kerry dan Parti Democrats wajib dilihat lebih bahaya.

Dasar kanan Republicans amat jelas untuk difahami tetapi dasar Kerry agak licik. John Kerry cuba membawa imej dan pendekatan baru untuk menyelamatkan tentera Amerika yang telah terperusuk ke dalam lumpur perang di Iraq. Walhal, dasar empayar Amerika untuk menakluk telaga minyak di negara-negara Arab tidak memiliki apa-apa perbezaan.

Saya bukan peniaga perang. Tetapi saya sedar empayar Amerika ini hanya akan dapat ditundukkan jika lebih banyak pentas perang terbuka. Seperti empayar Rom – koloni-koloni wajib bangun untuk mematahkan kuasa Ceaser. Pentas yang paling mustahak dibuka ialah di Amerika sendiri. Suasana anti-perang di tahun-tahun 60-an dahulu wajib dimunculkan kembali. Suasana ini hanya akan berlaku jika Bush Jr meneruskan dasar memerangi rakyat Arab dan rakyat dunia.

Empayar Amerika

Hari ini di Iraq ada 140,000 soldadu Amerika dari pelbagai ketumbukan. Sebenarnya jumlah ini tidak mencukupi untuk menundukkan penentangan rakyat Iraq. Paksaan untuk khidmat tentera seperti di zaman perang Vietnam dahulu akan berlaku sekali lagi. Anak-anak muda akan dijadikan umpan perang. Jika ini berlaku, maka anak-anak muda di Amerika akan bangun memberontak. Mereka akan meninggalkan Britney Spears, Beyonce, N'Sync dan menyambut seruan Bruce Springsteen atau Willie Nelson untuk turun kembali ke jalan-jalanraya.

Pertentangan dan kontradiksi di antara kuasa empayar Amerika dan rakyat dunia wajib ditajamkan. Malah, kenyataan awal Bush Jr - either you are with us or against us - adalah satu kenyataan yang amat jujur dari hati seorang Ceaser. Perkataan 'crusade - perang salib' yang digunakan oleh Bush Jr sesudah 9/11 itu adalah niat sebenarnya empayar Amerika. Hanya Bush Jr yang berani berkata lurus tanpa menyorok-nyorokan niat busuknya.

Saya mengalu-alukan Bush untuk terus mengelodakkan dan mengeruhkan lagi suasana politik dunia. Kuasa unipolar empayar Amerika Syarikat di bawah Bush pasti akan mendapat saingan. Kesatuan Eropah dengan 25 negara mungkin tidak memiliki kekuatan tentera seperti empayar Amerika tetapi kuasa Euronya semakin kuat dan pasti akan memberi tentangan yang hebat terhadap hegemoni dollar.

Hari ini, saya sering terbaca perkataan kapitalisma, imperialisma Amerika, neo konservatif, empayar dan kabal zionist. Bagi saya, perkataan dan konsep-konsep ini bukan satu yang asing. Ini perkataan dan konsep yang menjadi asas perjuangan anak-anak muda di zaman era perang Vietnam. Saya senyum gembira apabila membaca Parti Pas juga telah pandai menggunakan konsep imperialisma. Dan minggu ini saya terbaca juga bagaiman Abim telah cuba menunjukkan peranan CIA dalam krisis di Pattani di selatan Siam. Semua ini adalah hasil kerja politik Bush.

Jika Bush Jr menang pasti suku sakat, kaum kerabat dan tali-tali barut empayar Amerika yang berselirat ini akan menjadi agak cuak untuk merapati Rumah Putih. Mereka tidak ingin dituduh sebagai lembu Amerika. Syeikh-syeikh Arab, ditaktor di Afrika, jeneral di Amerika Latin, suku sakat Saud dan pemimpin yang dunia ketiga yang menyimpan sentimen pro-Amerika, pasti akan berhati-hati. Individu dan parti-pati politik pasti akan berfikir seratus kali untuk bersekongkol dengan puluhan Yayasan dan badan NGO seperti Heritage Foundations – yayasan-yayasan yang menjadi 'muka indah' kabal zionist di Rumah Putih.

Generasi X yang pada satu ketika dahulu diperlekehkan pandangan dunia mereka, kini telah menjadi barisan hadapan dalam penentangan terhadap empayar Amerika. Zaman hedonisma mereka telah berakhir. Rock mereka kini adalah rock untuk menumpas hegemoni Amerika. Kini mereka telah sebaris dalam gerakan anti-globalisasi dan anti perang.

Saya berterima kasih kepada Presiden George W Bush kerana telah berjaya menyedarkan kawan baik saya Charlotte Green. Dari seorang gadis manis yang sesat budaya dalam kota London, kini telah sanggup bangun berjuang. Sebagai tanda terima kasih, saya mempersilakan George W Bush untuk terus menginap di Rumah Putih. Naga besar dari laut seberang akan dikalahkan ular lidi tempatan.
Hishamuddin Rais
Jan 7, 05 1:42pm

Di Malaysia ini ada dua perkataan/konsep yang amat selalu digunakan oleh para wartawan. Perkataan/konsep ini digunakan khusus dalam media cetak dan media elektronik yang berbahasa Melayu. Saya tidak tahu sama ada perkataan/konsep yang sama digunakan juga di akhbar Tamil atau Mandarin. Saya tidak berkeupayaan untuk membaca akhbar-akhbar tersebut. Dua perkataan/konsep ini ialah: unik dan bersejarah.

Setiap hari ada sahaja laporan berita di akhbar yang menyebutkan tentang satu sejarah telah dibuat. Perdana Menteri membuat ‘tele-conferencing’ dilapor sebagai sejarah. Filem Melayu yang memiliki lamanweb, ini satu sejarah. Menteri membuat tali gasing satu lagi yang bersejarah. Menteri melakukan dua lawatan; ke kandang lembu dan ke kandang kambing, menjadi sejarah yang menggemparkan. Perdana Menteri tersepak tunggul satu lagi sejarah. Sebuah kumpulan rap membuat rakaman di Los Angles, beeb, ini memang sejarah.

Kemudian si malaun yang sama akan melaporkan pula bahawa di Malaysia ini ada orang Melayu, ada orang Cina, ada orang India - ini adalah unik. Di Malaysia ada sambutan Hari Raya, ada sambutan Dewali, ada sambutan Krismas - ini dianggap unik.

Di Malaysia ada tombong kelapa, ini juga satu yang unik. Di Malaysia kita ada radio, ada leterik, ada pokok kelapa - ini juga unik. Di Malaysia ada sasterawan wanita yang menulis buku tebal, ini menjadi unik. Malaysia mengeluarkan kereta dan ada lebuhraya - wow ini laaaaaagi unik.

Di awal tahun 2005 ini, saya ingin mengimbau kembali tentang berita-berita sejarah yang telah dilaporkan oleh media kita. Saya juga ingin mengingatkan kembali orang ramai tentang beberapa perkara-perkara unik yang seharusnya terus terpahat dalam ingatan kolektif kita bersama.

Beberapa tahun kebelakang ini orang ramai selalu terbaca tentang laporan yang telah dibuat kepada pihak polis. Laporan polis telah menjadi satu genre politik yang telah diteroka oleh parti pembangkang.

Kes Sharifah Aini

Laporan-laporan polis ini telah digunakan sebagai agenda politik untuk menekan dan memperlekeh parti yang memerintah. Tetapi akhir-akhir ini, pihak artis juga telah menggunakan laporan polis bukan untuk menentang musuh tetapi untuk memperlihatkan kesucian hati nuraini mereka.

1. Apa telah jadi dengan laporan polis dari biduan tersohor Sharifah Aini terhadap cubaan untuk membunuh Kak Pah. Ini satu laporan polis yang amat serius. Penyanyi montok bersuara merdu ini telah disuntik lengannya di hadapan bangunan Sri Pentas - ibu pejabat stesen TV3. Sebagai peminat setia Sharifah Aini, saya merasa tersentak kerana cara percubaan membunuh ini
mengingatkan saya kepada teknik KGB.

Di zaman perang dingin dahulu, agensi perisik Russia ini telah membunuh beberapa musuh politik USSR melalui teknik suntikan. Dari laporan akhbar, pembaca telah diberitahu bahawa ada seorang Amoi yang telah datang membantu Kak Pah semasa Kah Pah jatuh ke dalam longkang. Siapa Amoi ini ? Apa peranan Amoi ini? Apakah Amoi ini seorang ejen KGB? Apa telah terjadi kepada laporan tuan doktor yang telah dibayar RM10,000 untuk mengkaji selidik 'ubatan' yang telah meresapi kulit licin penyanyi kesayangan saya ini.

Pihak polis telah beberapa kali membuat janji untuk menghebahkan hasil siasatan mereka. Saya dan puluhan peminat setia Kak Pah masih tertunggu-tunggu laporan polis ini. Polis berbohong atau Kak Pah yang semakin subur ini temberang?

2. Jangan terlupa dan sila ingat kembali tentang Enam Kotak Ezam. Apa pula yang terjadi dengan Kotak Ezam yang telah menggelorakan suasana politik negara empat tahun dahulu. Ezam Muhamad Nor, ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat telah dihadapkan ke mahkamah kerana kes kotak ini. Di mana kotak ini sekarang ?

Adakah ianya tertanam di Kamunting atau tersimpan dalam peti besi di penjara Kajang? Siapa yang sedang menyimpannya? Kenapa pihak polis tidak gian terhadap kotak-kotak ini ? Apa hubungan kotak Ezam ini dengan rambut palsu Sami Veloo? Apa yang masih tersimpan didalam Enam Kotak Ezam ini?

Kebakaran Dewan Tunku Canselor

3. Inchek Keeyvas pemimpin parti Pok Pak Pek (PPP) telah telah membuat kenyataan akhbar bahawa beliau mengetahui rahsia kebakaran Dewan Tunku Canselor pada tahun 2001 lalu. Yang berhormat ini telah bertegang-tegang leher mengatakan dia memiliki maklumat tentang 'orang jahat' yang bertanggungjawab membakar DTC.

Pada hemat saya, maklumat ini wajib disampaikan kepada pihak polis kerana ada unsur-unsur sabotaj terhadap keselamatan negara. Ini kerana turut terbakar sama di DTC ialah semua manuskrip dan tulisan ilmiah Datuk Seri Paduka Profesor Diraja Ungku Aziz yang telah lama terkumpul. Bukankah kebakaran ini sama seperti terbakarnya kapal La Fleur yang telah memusnahkan manuskrip klasik Melayu yang telah dipungut oleh Raffles di Melaka.

Terbakarnya manuskrip klasik Melayu ini telah dilihat oleh para sasterawan Melayu sebagai sebab utama yang telah menumpulkan kreativiti fikrah mereka. Apakah kebakaran DTC ini juga satu sabotaj yang akan menyebabkan fikrah Melayu akan terbantut lagi selama 100 tahun? Siapa pembakar DTC ini? Apa yang ingin disorokkan oleh Keeyvas? Kenapa polis tidak memanggil YB ini untuk mendapatkan maklumat penting ini?

4. Apa pula telah terjadi dengan Dinar Emas yang telah dilaporkan dengan meluas oleh media kita sebagai satu langkah ekonomi yang unik lagi bersejarah. Saya sebagai pengumpul emas dan berlian ingin mengetahui siapa pemegang mohor-mohor Dinar Emas ini. Saya yang semakin tidak bagitu yakin terhadap kertas ringgit Malaysia ingin menukarkan segala ringgit saya kepada Dinar Emas. Hingga ke hari ini saya telah gagal melakukannya. Saya ingin bertanya di bank mana saya dapat mencari emas ini. Dan kenapa Dinar Emas ini tidak dapat saya temui di Jalan Masjid India atau di Jalan Tambi Abdullah?

5. Saya, sebagai pembuat filem merasa amat berbangga apabila Datuk Jin Shamsuddin telah dilantik sebagai senator. Ini satu sejarah yang unik. Penganugerahan ini adalah contoh bahawa filem kita, wajah kita, telah di murtabatkan ke saentero dunia. Tetapi apa terjadi dengan filem Pasir Salak Senator Jin sendiri? Bukankah telah beberapa kali filem Pasir Salak dianggap
bersejarah dan unik? Saya telah membaca satu temuramah bagaimana Datuk Jin telah menempah pakaian dan senjata purba untuk filem ini.

Apakah kapal dan perahu-perahu yang dibuat sebagai prop untuk filem ini masih wujud. Saya bertanya kerana prop-prop ini sedang berlabuh di Sungai Perak semasa kita dilanggar tsunami. Jika perahu-perahu itu terselamat dari tsunami kenapakah ianya tidak kita gunakan untuk menghantar kain baju dan roti bantal kepada mangsa tsunami di Aceh?

Mister Khan!

6. Siapakah dia insan yang bernama Tahir. Akhbar kita telah melaporkan yang Tahir ini adalah satu nama yang unik lagi bersejarah. Tetapi apakah hubungan Tahir dengan Kak Endoon. Benarklah Tahir ini telah juga meminang anak Kak Endoon tetapi ditolak. Dan bagaimana pula hubungan Tahir dengan ahli perniagaan global yang bernama Kameluddin a.k.a Mister Khan?

Apa perniagaan si Tahir di Sri Lanka? Apakah kaum keluarga si Tahir terselamat dari serangan tsunami? Kenapa pula si Tahir ini ditahan dibawah ISA dan ditempatkan di Kamunting? Apakah Tahir telah dihantar ke Kamunting untuk menyiram kebun sayor saya di Blok 2B yang telah saya wakafkan kepada si Al-Maunah?

7. Kalau kita peminat stesen Astro, pasti setiap malam kita akan berpeluang melihat filem-filem Amerika tentang pembunuhan. Naratif filem ini juga akan membongkar teknik dan kerja-kerja penyiasatan polis Amerika yang akhirnya akan membawa si pembunuh ke mahkamah keadilan. Pejahat dan polis di Amerika hebat sekali, tetapi tidak seunik jenayah yang berlaku di Malaysia.

Di Malaysia ada beberapa kes bunuh yang masih belum selesai dan orang ramai masih tertunggu-tunggu. Siapa pembunuh Mustakizah - gadis comel pemilik kedai video di Melaka? Siapa pula yang membunuh Norjan? Dan siapa dia ' mystery-man' yang telah membunuh Norita. Ke mana perginya telefon bimbit Norita? Kenapa pihak polis tidak mencari 'mystery-man' ini. Apakah mystery man ini telah bercucu dan wajib dipanggil datuk? Rakyat Malaysia sedang menunggu pasukan Gerak Khas RTM untuk menyelesaikan kes-kes ini.

8. Ingat 18? Lapan Belas? Apa dia lapan belas ini? Ini adalah angka jumlah perasuah yang akan dihadapkan ke mahkamah keadilan. Antara mereka yang akan ditahan dan akan dibawa ke mahkamah termasuk seorang menteri dan beberapa perasuah ternama. Ini bukan angka dari saya. Saya hanya menyambungkan kenyataan yang telah dibuat oleh Rais Yatim. Rais Yatim ini bukan pendatang haram dari Bukit Tinggi tetapi seorang menteri dalam kabinet kerajaan hari ini: ertinya beliau memiliki maklumat saheh.

Tetapi hingga ke hari ini ke mana hilangnya 18 perasuah ini? Apakah kerana nama Ling Liong Sik, Sami Vellu, Rafidah Aziz, Karpal Singh, Lim Kit Siang, Dr Wan Azizah dan dan Syed Husin Ali termasuk dalam senarai 18 orang ini, maka kes 18 ini disenyapkan? Saya membuat anggapan ini berdasarkan kenyataan Rais yang cukup jelas - BPR tidak memilih bulu, pangkat atau parti. Tetapi kenapa hingga ke hari ini masih tidak ada apa-apa tangkapan dibuat. Orang ramai masih ternanti-nanti untuk melihat nama dan muka 18 perasuah ini. Apakah akhirnya angka 18 ini akan menjadi angka warisan untuk diturunkan ke anak cucu cicit dari kementerian Rais Yatim?

Di mana kereta antik Bufari

9. Kita ada Kancil. Kita ada Rusa. Kita ada Kelisa. Tetapi apa telah terjadi dengan Bufari? Apa terjadi dengan kereta yang unik lagi bersejarah ini? Ke mana menghilangnya kereta ini. Bukankah semasa kereta Bufari dilancarkan, media kita bukan main heboh terloncat terhambur menerangkan kepada umum betapa uniknya negara Malaysia – bukan sahaja negara ini ada api elektrik tetapi Malaysia berupaya untuk membuat kereta antik.

10. Saya juga sering tertanya-tanya di manakah perginya Aishah. Si Dia ini ialah gadis yang telah bertukar agama - dari pemeluk agama Nabi Muhamad kini menjadi pemeluk agama Nabi Isa. Aishah telah bertukar nabi. Aishah telah memilih nabi yang lebih awal. Sebenarnya, saya pernah terlihat dan terbaca poster-poster yang mengiklankan gambar gadis cun ini. Saya ingin bertanya apa pula terjadi dengan kes 'bergaduh' di antara keluarga Aishah dengan keluarga bakal suami Aishah. Jawapannya masih saya nanti-nantikan.

11. Hingga ke hari in, saya tertanya-tanya - anak Datuk manakah yang 'tersangkut' dalam kes bunuh di Sri Hartamas. Ini kes pembunuhan yang besar. Dari apa yang saya baca anak Datuk ini telah dibawa ke balai polis Brickfields. Saya tinggal tidak berapa jauh dari balai polis ini. Setiap hari saya akan melintas di hadapan balai ini. Sayangnya ketika anak Datuk ini dibawa ke dalam balai, mata saya sedang tertumpu kepada tingkap belakang bilik lokap balai.

Saya lakukan ini setiap hari kerana mungkin ada banduan yang cuba menerbus lari dari tingkap belakang. Saya khuwatir si banduan akan terjatuh ke dalam Sungai Kelang (ini pernah dilaporkan berlaku) dan akhirnya mati dikunyah ikan. Kerana terlalu ralet memandang tingkap, saya gagal untuk mengetahui anak Datuk mana yang terlibat dalam kes bunuh ini.

12. Apa pula yang telah berlaku kepada stesen TV MetroVision. Bukan main gah pelancarannya. Seorang kerabat dari Negeri Sembilan telah sudi mencemar duli untuk melancarkan stesen ini. Tiba-tiba ianya hilang ghaib entah ke mana. Hari pelancarannya dilaporkan sebagai hari yang bersejarah lagi unik kerana media Malaysia telah mara ke hadapan . Bagaimana pula dengan MegaTV? Satu ketika dahulu bukan main heboh sekali.

Bila muncul stesen ini, ianya diberitakan sebagai satu stesen yang unik untuk warga kota Kuala Lumpur. Mega TV ertinya TV besar. Hingga ke hari ini, orang ramai tidak tahu apa yang telah terjadi kepada TV besar kita ini. Mungkin TV yang terlalu mega ini telah digintil begitu halus sekali sehinggakan ianya menjadi debu.

13. Kebelakangan ini kita banyak terbaca cerita dan kisah-kisah terlampau yang dijadikan induk berita terutama di akhbar tabloid. Saya teringat dengan gambar hari lahir Linda Raffar dan Edry Kru. Sebagai seorang graduan dari fakulti fotografi Universiti Westminster London, saya telah dipanggil oleh beberapa peminat gambar untuk menganalisa gambar-gambar ini dari segi semiotik. Saya mengakui bahawa gambar-gambar ini unik, berkualiti dan mungkin setaraf dengan gambar hitam putih Ansel Adams yang telah diambil hampir 100 tahun dahulu.

Kes Linda Raffar

Tiba-tiba saya diterperanjatkan apabila saya terbaca bahawa gambar ini sebenarnya adalah gambar fitnah yang telah menggunakan teknik penindihan imej. Linda Raffar telah menafikan bahawa model dalam gambar itu bukan beliau. Linda Raffar telah membuat laporan polis untuk mencari siapakah sebenarnya model tersebut. Hingga ke hari ini semua peminat Linda Raffar dan Edry Kru masih ternanti-nanti hasil laporan polis ini.

14. Bolehkah kita semua mengingatkan kembali tentang kes di Bukit Jenalik di Sauk. Ini kisah tiga buah kereta Pajero yang telah berjaya melarikan tiga tan senjata dalam masa 15 minit. Hebat. Saya tidak mempertikaikan jumlah senjata yang dicuri tetapi saya masih ingin bertanya apakah yang telah terjadi kepada si Cina penjual durian yang terperangkap dalam kawasan kumpulan Al-Maunah ini.

Akhbar-akhbar telah melaporkan dengan panjang lebar bahawa ada seorang Cina penjual durian yang kelihatan masuk ke dalam kawasan Bukit Jenalik. Ke mana Cina ini menghilang? Apakah dia telah menjadi mangsa ular sawa? Kalau mati mana kuburnya? Siapa wartawan yang melaporkan berita Cina ini?

Empat belas pekara yang saya paparkan di atas semuanya saya pungut dari laporan media cetak dan media eletronik arus perdana. Bukan calang-calang rujukan saya. Ada kenyataan menteri, ada kenyataan Yang Berhormat, ada kenyataan Ketua Polis Negara, ada kenyataan Pak Imam. Jadi, jangan menjadi kurang sopan dan menuduh saya memungut perkara-perkara ini dari Laman
Mahazalim, Laman Reformasi atau Forum Gerak. Berita-berita ini adalah berita saheh, unik dan bersejarah.

Walau apa pun, saya terpaksa akur dan menerima hakikat bahawa media penyampai maklumat di Malaysia ini memang unik sekali. Maklumat yang sering disampaikan terputus-putus di tengah jalan - ini satu keunikan. Tidak ada siasatan lanjutan. Tiada sumber saheh yang boleh mempertahankan sumber berita. Budaya berita tergantung ini adalah keunikan cara dan acuan kita menyebar berita. Empat belas perkara yang saya paparkan itu semuanya tergantung - tidak diketahui lagi hujung dan pangkalnya. Goyang-goyang tetapi tidak keluar.

Sebenarnya inilah tahap media kita (terutama media Melayu) yang sedang bertungkus lumus untuk membebalkan fikrah bangsa. Untuk tahun 2005 ini, saya menjemput semua warga bersama-sama mencatatkan berita-berita yang dilaporkan bersejarah. Mari kita bersama-sama mengira berapa pula perkara yang akan dianggap unik pada tahun 2005 ini. Tahun hadapan kita sama-sama lihat apakah akan ada si malaun yang membuat berita unik lagi bersejarah seperti kucing di Malaysia Boleh mengayuh basikal.

Tanyalah pada ortopedik moral...

Hishamuddin Rais
Feb 25,05 12:57pm

Pada pagi Hari Kekasih (Feb 14) yang lalu, saya terserempak dengan seorang anak muda di perhentian SKR (sistem keretapi ringan) di Pasar Seni. Di saku belakang seluar anak muda ini terselit sebatang bunga ros yang terbungkus indah dalam balutan plastik kaca putih.

Kami sama-sama menunggu keretapi. Saya ingin ke Bangsar dan saya tidak mengetahui ke mana pula arah tuju anak muda ini. Saya tersenyum apabila ternampak kuntum bunga ini. Pastilah ianya akan dihadiahkan kepada si kekasih sebagai tanda cinta.

Saya gembira kerana saya sendiri yang kekurangan cinta, telah bertemu dengan seorang anak muda yang sedang bercinta. Dalam perjalanan itu, saya bayangkan betapa nikmatnya dunia percintaan.

Alangkah indahnya jika saya dapat mengalami kembali alam putih bersih tanpa cakaran pengetahuan tentang berahi seksual. Saya mengelamun tetapi belum sampai ke tahap mengenepikan hubungan seksual seperti Boy George yang 'memilih secawan teh daripada bercumbu berahi '.

Pada sebelah petang, saya ketawa terbahak-bahak apabila ada klip berita yang menggambarkan polis di sebuah kota negara Arab sedang mengejar anak-anak muda kerana mereka membawa kuntuman bunga pada Hari Kekasih.

Saya pecah perut ketawa kerana dalam kota Arab ini sering berlaku rompakan dan pembunuhan, tetapi para pegawai polisnya lebih selesa membuang masa untuk berkejaran memburu anak-anak muda yang membawa bunga. Jika ini bukan perangai Pak Pandir, pastilah ini perangai Pak Bengong.

Kemudian saya terbaca tentang para ortopedik moral yang telah menjalankan operasi di sebuah kelab malam. Kisah ortopedik moral ini menjadi bertambah lucu apabila kesah ini terus merapati diri saya.

Panggilan di awal pagi

Dua hari setelah tangkapan berlaku, saya bertemu dengan kenalan baik saya yang memiliki seorang anak gadis. Mengikut si ayah, anak gadisnya telah menerima panggilan di awal pagi meminta si anak datang untuk ikatjamin beberapa kenalannya.

Rupa-rupanya para ortopedik moral ini telah memiliki bilik kurungan yang khusus di mana para banduan yang bergetah lagi cun, telah ditahan. Dari apa yang saya difahamkan, para banduan yang comel lote ini telah dipotret, diukur dan ditimbang.

Apabila ini disurahkan, maka saya teringatkan perkara yang sama juga telah dilakukan kepada para penjenayah dan tahanan ISA. Apakah anak-anak gadis yang ranggi lagi bergetah ini, sedang mengancam keselamatan negara.

Apa yang menjadi lucu ialah cerita si ayah yang bersurah tentang bagaimana anak gadisnya di awal pagi telah kelam kabut mencari sepasang baju kurung dan kain tudung dan bergegas memandu ke rumah kurungan para ortopedik moral. Si ayah dan saya ketawa kerana anaknya memakai baju kurung; jika memakai pakaian yang lain, besar kemungkinan anaknya juga akan diberkas sama.

Kisah ortopedik moral ini bukan sesuatu yang baru. Semasa saya di Universiti Malaya pada tahun 1971 dahulu , telah wujud proto-ortopedik moral. Cuma ketika itu, ruang demokrasi kaum mahasiswa tidaklah sesempit hari ini. Lembaga kemahasiswaan masih wujud bebas. Ertinya, langkah-langkah para proto-ortopedik moral ketika itu dapat dihujah secara terbuka dan ditangkis secara demokratis.

Di luar kampus pula, parti-parti politik ketika itu belum dihinggapi oleh sawan siapa yang lebih alim dari siapa. Agenda politik ketika itu jelas memperjuangkan hak petani miskin, hak para peneroka bandar dan hak kaum buruh.

Agenda menentang rasuah pula adalah agenda induk mahasiswa dan anak-anak muda ketika itu. Suasana menentang kuasa imperial Anglo-Amerika yang sedang menceroboh di Vietnam juga sedang ampuh.

Agenda moral

Ketika ini agenda moral dijadikan tempat berlindung oleh para mahasiswa yang tidak turun bersama ombak rakyat. Mahasiswa proto-ortopedik moral ini memakai jubah hijau untuk melindungi keengganan mereka untuk bersama rakyat tertindas.

Dalam masa yang sama, mereka agak malu dan segan untuk bersama kuasa pemerintah yang terbukti sedang mengamalkan rasuah, penyalahangunaan kuasa dan zalim. Sesekali para proto-otopedik moral ini akan melaung-laungkan juga isu bahasa sebagai semboyan moral untuk mereka berkumpul agar mereka dapat dikenali oleh para pemimpin kerajaan.

Apabila diajak bersama bangun mendobrak kaum penindas, kuasa pemerintah atau menggalang gerakan anti-imperialis, maka jubah moralnya tercabut lucut. Para proto-ortopedik moral ini rupa-rupanya memakai seluar dalam berjenama 'hidup Melayu.'

Kemunculan para ortopedik moral ini mempunyai pensejarahan yang panjang. Tidak dapat tidak, ianya ada kaitan dengan strategi kuasa imperial Anglo-Amerika yang pada satu ketika di era Perang Dingin, telah menggunakan pandangan agama kanan yang ortodok untuk melawan arus kebangkitan rakyat yang sedang menentang kuasa imperialis.

Di Timur Tengah, di Indonesia, di Pakistan dan di Iran, Islam telah digunakan untuk menumpaskan kebangkitan rakyat. Kajilah secara ilmiah tentang keintiman hubungan kuasa imperial Anglo-Amerika dengan keluarga Saud yang bertanggungjawab menabur dana kepada pelbagai bentuk gerakan Islam jumud di negara-negara yang penduduknya beragama Islam.

Di Amerika Latin, pandangan Kristian yang jumud lagi ortodok, telah dijadikan tembok untuk mempertahan dan menghalalkan kuasa ditaktor para junta tentera dari Chile, Panama, Uruguay, Paraguay hingga ke Argentina.

Kuasa imperial Amerikalah yang menjadi pusat pengeraman pandangan kanan yang telah menetaskan para ortopedik moral ini. Dari perhitungan kaum zionis dan imperialis, secara jangka panjang adalah lebih selamat jika yang ditentang oleh rakyat hanyalah manifestasi moral dan bukan penentangan terhadap kuasa, modal dan asas ekonomi yang didukung oleh kaum pemodal antarabangsa.

Kumpulan terpinggir

Tindak-tanduk dan kritikan para ortopedik moral ini hanya ditujukan kepada pinggiran kulitan kuasa. Apa yang mereka lawan hanyalah manifestasi dan fenomena. Mereka tidak berkeupayaan untuk menentang modal yang melahirkan kuasa itu sendiri. Malah apa yang mereka semboyankan sering mengalihkan pandangan umum dari agenda induk kepada agenda yang remeh lagi temeh.

Mari kita teliti aktiviti-aktiviti para ortopedik moral ini. Yang sering menjadi mangsa dan diancam oleh mereka hanya kumpulan-kumpulan yang paling lemah dalam masyarakat kita. Kumpulan Mak Nyah, Mat Pondan, Mat Gian, Mat Gay, Mat Rempit, Minah Karan, Mak Janda dan anak-anak muda.

Kumpulan ini adalah yang terpinggir, tertekan, dan terkebawah ukuran ekonomi mereka. Kumpulan ini juga sentiasa disewelkan oleh pandangan masyarakat umum. Mereka dilihat sebagai ' others/ orang lain' – yang bukan sebahagian daripada kita.

Perkara awal wahid yang diheboh hebahkan oleh ortopedik moral ini ialah hubungan seksual dan keberahian kumpulan tertindas ini. Para ortopedik moral ini terlalu obses dengan cita-cita untuk membetulkan tulang rangka moral kumpulan-kumpulan ini.

Mereka sanggup membawa lampu picit dan mengintai-intai untuk memastikan kumpulan yang tidak berdana lumayan ini tidak akan dapat merasai nikmat berahi jantina tubuh badan mereka.

Saya tidak dapat melihat bagaimana seorang Minah Cun yang bergetah dan Mat Ranggi yang segak duduk berdua-duaan di sebuah warong di Bangsar, akan menjadikan harga ikan di Pasar Borong Selayang naik mendadak. Atau seorang Mat Duda Kerinchi yang cuba mengurat dan merapati seorang Minah Janda Gombak, akan menjatuhkan harga pasaran kelapa sawit negara.

Saya tidak dapat melihat logik atau rasional akaliah yang menunjukkan bahawa aktiviti individu ini akan membawa mudarat kepada orang ramai. Burung punai saya adalah milik peribadi. Kita tidak seharusnya menswastakan harta peribadi kita.

Mengapa pakaian sahaja?

Keberahian kita adalah hak kita dan ini adalah asas wujudiah setiap insan. Senjata sulit saya bukan lagi menjadi senjata sulit jika ianya dimiliki oleh orang ramai atau dimiliki oleh daulah. Saya rasa bukan tugas daulah untuk mengawal ke mana burung punai saya ingin melayang.

Kepada anak muda yang mungkin satu ketika nanti cuba dibedah oleh para ortopedik moral ini, saya ada satu ingatan. Sila tanyakan kepada mereka kenapa hanya pakaian sahaja yang mahu dijaga. Kenapa mereka tidak ambil berat tentang bil telefon, sewa bilik, duit yuran kolej, cukai jalan, bil makanan, duit poket dan duit percutian ke Istanbul?

Nyatakan kepada para ortopedik ini agar mereka juga akan menjaga dan mengambil berat semua hal-hal ini. Dan, jangan hanya ingin mengambil tahu jenis pakaian anak-anak muda ini ketika mereka berlibur dan mengoncangkan punggung.

Kepada yang dituduh berkhalwat dan jika dipaksa kahwin, cuba tanya kepada ortopedik moral ini apakah mereka sudi menyediakan duit untuk kenduri nikah kahwin. Apakah mereka telah menyediakan rumah yang siap sedia dengan tilam empok dunlopilo untuk pasangan yag baru bernikah.

Dan tanya pula apakah mereka juga akan membelikan tiket AirAsia untuk berbulan madu ke Phuket. Dan bila anak lahir nanti, adakah mereka akan sama-sama menyusukan anak itu.

Jika ruang demokrasi di negara kita ini luas terbuka, saya akan meminta ahli sains masyarakat dan para psikologis bertanya kepada para otopedik moral ini, kenapa mereka hanya ingin menjaga perjalanan 'anu' kita sahaja. Kenapa mereka merasa risau dan gundah gelana jika 'anu' kita merayau-rayau bebas ke hulu ke hilir.

Apa sebabnya mereka cuba menghalang kita merayakan keberahian kita dan tidak menghalang tanah yang runtuh-rantah. Tidak peduli hutan yang digondoli. Tidak peduli kereta yang menyesak nafas.

Kalau para ortopedik moral ini memiliki kesedaran moral insaniah, pasti mereka akan memberi perhatian kepada semua hal. Kekuataan moral adalah kepedulian pada mereka yang ditindas. Inilah sekuntum bunga sebagai tanda kasih kepada manusia.

Kegagalan mentor agama

Fathi Aris Omar
Jun 20,05 1:06pm

“…it is clothes that wear us and not we them; we may make them take the mould of arm or breast; but they mould our hearts, our brains, our tongues to their liking.” – Virginia Woolf dalam Orlando (1956: 188)

Rupa-rupanya Islam melarang, atau setidak-tidaknya pernah mengingatkan, agar umat Islam tidak meninggalkan di belakang mereka zuriat yang lemah. Dan rupa-rupanya gerakan-gerakan Islam menjadi sarang tempat membiak zuriat aktivis muda dakwah yang lemah longlai.

Seperti al-Quran menganjurkan budaya fikir dan dialog yang berlanjutan, supaya setiap jiwa itu mandiri dengan fikiran masing-masing, tetapi kesan di sebalik saranan kitab suci ini pula yang berkembang biak dalam gerakan-gerakan dakwah. Agama menjadi tempat melemahkan akal.

Islam itu dikatakan satu sistem yang lengkap dan sejagat, tetapi tiba-tiba mitos lain muncul dalam penghayatannya – dunia yang kompleks dan penuh simpang-siur tidak digali dan difahami sepenuhnya untuk membolehkan idealisme agama diterapkan atas manusia dan kemanusiaannya.

‘Sibghatullah wa man ahsanu minallahi sibghat’ tiba-tiba hilang konteks manusiawi dan tenaga sosial, di tangan gerakan Islam Malaysia ia menjadi khayalan (kalaupun bukan utopia).

Yang muncul aktif di permukaan wacana awam sekadar agama yang telah disekularkan – agama tanpa dinamika sosial dan kemanusiaan. Sedangkan sekularisme itu ditentang habi-habisan! Di sini Islam terbelah dua: ‘Islam sebagai idealisme’ slogan dan ‘Islam sebagai ideologi’ gerakan politik.

Semakin laris nama Islam dan nama Tuhan dikumandangkan, semakin goyang kaki para penutur idealismenya. Islam dan Tuhan dipakai sekadar jubah diri untuk berkhayal dan bermalas-malasan.

Semua keburukan tersembunyi ini, ke manakah kesan buruknya berakhir? Semuanya dianut dan dihayati oleh anak-anak muda – orang yang ditarik ke medan dakwah dan amal Islami tanpa latihan dan ‘persenjataan’ ilmu.

Dalam bahasa Hishamuddin Rais, gejala penuh paradoks seumpama perjalanan gerakan Islam di negara ini (sejak 1970-an) – seumpama enam pelakon mencari pengarah – mungkin dianggap absurd sekali! Keabsurdan agama inilah yang saya ingin sampaikan di sini.

Mungkin benar kata Dr Siddiq Fadzil, sewaktu menjawat presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) pada 1980-an, bahawa aktivis Islam terlalu banyak dan lama pula dengan “perisytiharan-perisytiharan niat”.

Ternyata niat membuka sekolah-sekolah Islam atau sistem indoktrinasi dakwah Abim, Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan PAS itu hanya melahirkan generasi muda yang tidak kompeten dan gagal berdaya saing.

Dr M dan putung rokok

Anak-anak muda yang mahu berfikiran maju terpaksa keluar dari kelompok-kelompok ini dan mengkritik ke arah pusat kelemahan itu bagi menajamkan akal sendiri, bukan lagi bersama sistem indoktrinasi dakwah yang sudah merosakkan itu.

Dr Mahathir Mohamad, sewaktu menjadi perdana menteri, pernah dilaporkan suka meronda-ronda kota Kuala Lumpur dengan sebuah buku catatan kecil. Buku catatan inilah yang akan dijadikan, antaranya, bahan-bahan untuk dibawa ke mesyuarat kabinet.

Suatu hari, begitulah kita dikhabarkan, bekas perdana menteri ini tidak senang dengan puntung rokok yang bersepah-sepah mencemarkan bandaraya. Lucunya, syarikat anak beliau sendiri Alam Flora di antara pihak yang ditugaskan untuk mengendalikan sampah di Kuala Lumpur!

Cerita ulasan Dr Mahathir ini mengingatkan saya pada artikel-artikel yang ditulis oleh Dr Haron Din, Dr Dzulkifli Ahmad, Dr Lo’ Lo’ Mohamad Ghazali, Dr Danial Zainal Abidin, Dr Shafie Abu Bakar, Dr Siddiq Fadzil dan Khalid Jaafar.

Orang-orang tua gerakan Islam ini – dalam isu ‘Islam Liberal’ – menjadi seumpama rungutan Dr Mahathir pada puntung-puntung rokok di Kuala Lumpur dalam mesyuarat kabinet! Orang-orang tua terpaksa berkerja keras apabila anak-anaknya gagal menjalankan tugas dengan berkesan. Padahal, bukankah anak itu mangsa sosialisasi bapanya?

Tulisan-tulisan setaraf pelajar STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia) terpaksa disediakan oleh pemimpin-pemimpin besar ini (yang dinyatakan namanya di atas). Sementara kerja anak-anak muda aktivis agama pula mengecam dan mencela musuh-musuh politik yang berseberangan ideologi dengan wacana agama mereka (khususnya di Internet), bukan membahaskan isu-isu dengan ungkapan dan debat teori yang mendalam.

Kenapa dan bagaimana muncul gejala seumpama ini?

Anak-anak muda kehilangan jejak, mereka tidak bertemu model baru wacana atau tingkat tinggi pengolahan idea dan sisi-sisi beragam kerana ‘wacana siling’ (seperti juga ‘harga siling’) yang ditetapkan terlalu rendah. Maka, mereka tidak dapat melangkaui tingkat kerendahan mutu yang sedia yang dibekalkan oleh tokoh-tokoh dan mentor-mentor yang dihormati mereka (seperti nama-nama itu).
Anak-anak muda dakwah ini sekadar ‘terinterpellasi’ (meminjam maksud Louis Althusser) dengan tempurung wacana awam kita yang terlalu kecil – tidak bersesuaian dengan piawaian mutu debat intelektualisme sejagat. Proses interpellasi ini sudah lama bersarang dalam sistem indoktrinasi kelompok-kelompok dakwah, misalnya usrah, tamrin dan bahan-bahan bacaan, kira-kira lebih 20 tahun lalu.

Sewaktu saya mengkritik sistem tarbiah ini pada tahun 1992 dan 1993, proses pendidikan dan indoktrinasi dakwah ini sudah terlalu buruk untuk generasi saya yang lebih muda 15 atau 20 tahun daripada penggerak awal kebangkitan Islam 1970-an.

Kuasa sosial yang dominan

Saya (sekadar contoh peribadi) terpaksa meraba-raba sendirian dalam kegelapan wacana dan bimbingan ilmu di negara kita mencari J├╝rgen Habermas, Pierre Bourdieu, Nawal Saadawi, Roland Barthes, Antonio Gramsci, Jacques Derrida, Michel Foucault, Immanuel Kant, Karl Popper dan Jean Paul Sartre – satu pencarian yang mematahkan tulang belakang.

Satu bentuk kemiskinan akal dan kegersangan bahasa yang saya saksikan sendiri bertempek-tempek pada generasi aktivis (dan juga bukan aktivis) kini yang berusia 20-an sekarang, yang mendorong saya kemudiannya meragui generasi mentor gerakan agama (usia 50-an atau 60-an sekarang) dalam bab ‘Cinta anak muda’ buku saya Patah Balek: Catatan terpenting reformasi.

Anak-anak muda kita menjadi korban di tangan gerakan-gerakan dakwah selepas terkorban di bawah rekayasa sosio-budaya-politik bangsa dan negara (juga secara serius bermula pada wal 1970-an dan disempurnakan sepanjang 22 tahun pentadbiran Dr Mahathir).

Gerakan dakwah yang yakin pada ketulenan agamanya tiba-tiba tidak ada daya tahan tetapi turut terjerumus di bawah dampak-dampak buruk rekayasa nasional ini. Islam yang diusrahkan oleh gerakan-gerakan Islam kita rupa-rupanya tidak rintang (resistant) mendepani kemelut ini, sebaliknya turut larut dan hanyut di bawahnya. Jika begitu, di mana istimewanya ‘agama suci’ anda itu?

Rekayasa bangsa ini membodohkan kami orang muda dari segenap penjuru. Tidak cukup pendidikan dan media massa yang diperkudakan pemerintah (ideological state apparatuses, kata Althusser), semua kuasa sosial yang dominan seperti gerakan pembangkang, jemaah Islam dan ‘Gerakan Reformasi’ itu rupa-rupanya sekadar ‘mengata dulang, paku serpih’!

Hari ini, setelah bertahun-tahun membacanya, dapatlah saya faham sebenarnya apa yang tersirat di sebalik pergelutan intelektual Syed Hussein Alatas sewaktu beliau menyusun Intelektual Masyarakat Membangun (1970-an) atau Dr Chandra Muzaffar dengan Islamic Resurgence in Malaysia (1980-an) – dua buku ini awal-awal lagi mengisyaratkan kecelakaan sosial kita sedang lalui saat ini.

Tetapi hal ini tidak disedari kita bersama kerana perbandingan piawai (ukuran subjektif) mentor-mentor ini bukanlah dunia sejagat tetapi diri mereka sendiri di negara ini dan rakan-rakan mereka di bawah tempurung Malaysia yang sempit.

Mereka diam-diam menyembunyikan rahsia bahawa takungan pemikiran mereka sebenarnya tidak mendalam – jika air idea di sumur ini digunakan lebih meluas, apabila semakin tersebarnya pengaruh gerakan agama, maka akan keringlah takungannya.

Jika mentor-mentor agama ini pernah berfikir dan merumus isu gaya 1970-an dan 1980-an begitu, maka artikel-artikel seumpama itulah yang muncul sekarang, dalam kecaman mereka pada label ‘Islam liberal’, lebih 20 tahun kemudian! Takungan ilmu mereka kecil dan cetek.

Sebab itu, soal liberalisme, debat demokrasi dan teori hak asasi tidak dibahaskan seperti mesin memerah tebu – di mana kita beramai-ramai mengecapi manisnya dan dapat menyisih hampas-hampas.

Takungan pemikiran dan ilmu

Proses pemerahan akal dan penyisihan kebernasan yang tidak selesai inilah yang memaksa persoalan debat moral ditukar topik kepada taktik kotor penglabelan ‘Islam liberal’. Rupa-rupanya ia sejenis konspirasi besar! Konspirasi untuk menyembunyikan takungan pemikiran dan ilmu yang semakin kering di pusat gerakan agamawan!

Kata Ulil Abshar-Abdalla, sewaktu melancarkan buku ‘Islam, negara dan civil society: Gerakan dan pemikiran Islam kontemporer’, semakin luas agama tersebar, semakin dangkal kefahaman agama penganutnya. Gejala inilah yang membiak di negara kita dalam rentang waktu lebih 30 tahun itu.

Tidak muncul satu pun ungkapan atau kosa kata baru dalam wacana-wacana terkini politik kita – misalnya catallaxy, anchorage, deliberative democracy, interpellative power, symbolic order, language-object, subjectivity, textuality of self, polyvalence of discourses, signification, aesthetic objectification, hermeneutics, atau politics of meanings – yang menggambarkan kemasukan idea-idea halus, cair, semasa, ruwet dan perinci daripada label-label besar (seperti papan iklan billboard) liberalisme, demokrasi, hak asasi manusia dan moraliti pada sisi faham sekular-liberal tersebut.

Kita tertindih di bawah label-label besar yang asalnya kita usung beramai-ramai – faham liberal, syariat, demokrasi, keruntuhan akhlak, hak asasi manusia, Islam dan moraliti. Jadi, persaingan wacananya sekadar mencipta saiz billboard pihak manakah yang lebih besar dan memukau pemandu di jalanan – Islam atau demokrasi? Apa yang kita namakan ‘wacana’ rupa-rupanya sekadar sound byte dan footage iklan!

Apabila mentor-mentor agama ini mencengkam nadi orang muda di bawah imej diri mereka sendiri dan menabur indoktrinasi-indoktrinasi, akhirnya orang muda mati! Anak-anak muda bergelimpangan dalam kegelapan, satu demi satu rebah berjatuhan, sewaktu ada usaha mendidik, mengusrahkan dan ‘mencerahkan’ mereka. Anak muda kehilangan punca dalam simpang-siur wacana yang beragam. Ada nada cemas, takut dan gelisah pada diri mereka – tetapi puncanya apa?

Generasi mentor ini menjadikan anak muda bidak-bidak catur atau sekadar guinea pig di makmal-makmal wacana politik agama kita – tidak ubah dasar-dasar pendidikan kita yang tidak tentu hala mengikut keseronokan menterinya.

Akhirnya yang tertinggal sekadar kata-kata W. S. Rendra ini: bila daya hidup orang tua sudah melemah, dan mentalnya sudah mandul, maka dia akan bersikap eksploitatif dan oportunis kepada anaknya. Dia akan merampas kemandirian hidup anaknya dengan kepentingan menopang hidupnya yang ‘kehilangan kemampuan untuk tumbuh dan berkembang.’ (Penyair dan Kritik Sosial, hal. 53-54)

Gerakan Islam umumnya sedang menuju zaman malap, zaman merebaknya rasa tidak selamat, dan ingin lari ke dalam diri, gemar bersandar pada wacana tradisi kerana sudah hilang daya saing intelektual untuk menyahut cabaran zaman.

Jika muncul dua atau tiga kali lagi ‘serangan pemikiran’ ala isu anti-kawalan moral baru-baru ini, pastilah kita akan nampak sifat-sifat liar, kaget, resah, beremosi dan keras manusia-manusia yang terdesak ini. Mereka tidak siap secara mental dan psikologi sewaktu isu-isu ini bermunculan.

Amaran: Sesiapa sahaja yang ingin bermain api wacana dengan idealisme agama, seperti Sisters-in-Islam (SIS), penulis-penulis kritis dan jawatankuasa penggubal Suruhanjaya Antara-Agama (IFC), beringat-ingat tentang satu perkara ini – tentang tidak siapnya gerakan-gerakan Islam untuk mendepani zaman yang berubah pantas kerana kegagalan menyelami zeitgeist. Mereka mudah meracau-racau, melatah dan mengamuk. Awas!

Mari kita merdeka ketawa

Hishamuddin Rais
Sep 9,05 2:24pm

Apabila saya melihatkan gelagat Hishammuddin Hussein, ketua pemuda Pekembar, saya tersenyum lebar. Pekembar ini sebenarnya ialah nama Melayu untuk United Malay National Organisation. Satu ketika dahulu, inilah nama parti ini. Tup tup nama ini hilang dari tetuang udara (1) hingga ke hari ini.

Saya hanya ingin bertanya, ketika si Mamat ini menghunus keris puakanya itu apakah si Mamat ini tidak terfikir kenapa nama parti yang dipimpinnya ini dalam bahasa Mat Salleh – bahasa penjajah. Mengikut adat resam, ini telah melanggar ajaran Ketuanan Melayu.

Kemudian bila saya terbaca polemik pemuda Pekembar ini dengan Ronnie Liu Tin Khiew dari Parti Tindakan Demokratik tentang hal merdeka, sekali lagi saya tersenyum. Jangan hairan, PTD ini bukan nama parti baru. Ini nama Democratic Action Party yang telah saya sunatkan agar parti ini dapat diuji ke-Malaysianannya.

Juga, biarlah parti ini membuktikan bahawa ianya bukan pro-Mat Salleh atau pro-Lee Kuan Yew. Kalau nama pun ada bunyi-bunyi Mat Salleh, macam mana hendak menegakkan Malaysian Malaysia.

Bagi parti-parti lain seperti MIC atau MCA, itu kita biarkan mereka dengan nama Mat Salleh mereka kerana mengikut surah yang saya dengar, wakil dari parti-parti ini telah pergi berbincang – berbuih-buih mulut melawan British – di London pada tahun 1956 untuk menuntut...oopps – memohon merdeka.

Bila masuk cerita merdeka ini, saya lagi tersenyum dan lagi ketawa. Sebenarnya, kes merdeka tanahair kita ini, telah menjadi sewel lagi menyewelkan. Ada beberapa perkara yang telah menyewelkan kes kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu ini.

Jangan salah anggap, saya menulis ini bukan kerana saya tidak patriotik. Memang betul saya tidak pernah dan tidak akan mengibarkan bendera Malaysia. Ini bukan kerana saya tidak cintakan Malaysia, tetapi saya tidak dapat menghayati simbol-simbol yang dipaksakan ke susuk saya.

Ketika di Kamunting

Di Kamunting dahulu, saya dan Tian Chua telah dipaksa berdiri menyanyikan lagu Terang Bulan...opps – lagu Negaraku – ketika bedera (bendera apa ha?) dinaikkan. Yang lawaknya, ketika kami berdua tegak berdiri menyanyikan lagu Negaraku ini, si Cik Gu (2) yang menjaga saya itu, tidak pula tegak berdiri.

Rasa saya, tidak ada sesiapa pun yang berakal waras, akan tegak berdiri, kecuali mereka yang telah menandatangani surat akujanji di Universiti Sintok. Inipun kerana cari makan dan tidak dapat menjadi pensyarah di tempat lain.

Arkian, saya wajib bersurah tentang kesewelan yang telah berlaku terhadap perayaan hari kemerdekaan ini. Ini bukan kerana saya ingin membela Parti Tindakan Demokratik (walaupun saya tahu Ronnie itu budak baik), tetapi saya ingin menunjukkan beberapa fakta-fakta ilmiah untuk kita sama-sama tersenyum simpuldi minggu pasca pesta merdeka.

Mari kita lihat kes merdeka ini satu persatu secara jujur. Jujur yang saya minta ini adalah kejujuran yang lebih jujur daripada kejujuran ahli-ahli parti Pakembar setelah mereka menerima duit saku dari waris saya, Isa Samad.

Pertama – lagu Negaraku itu bukan lagu buatan anak jati Persekutuan Tanah Melayu. Lagu ini diciplak dari Tanah Seberang. Nama asal lagu ini ialah Terang Bulan. Di zaman Konfrontasi (3) dulu, lagu ini sering dimainkan di Radio Republik Indonesia sebagai meperlekehkan Tunku Abdul Rahman kerana Tunku dianggap sebagai talibarut Mat Salleh.

Ini fakta yang bukan saya buat-buat. Jika tidak percaya, sila tanya Megawati. Ayahanda Mega ini seorang Jawa bernama Sukarno yang amat Romeo. Si Sukarno ini sering ‘menibai’ Tunku yang dianggapnya boneka British dalam pidato-pidatonya yang maha hebat.

Sejarah lagu Negaraku

Kepada ahli-ahli muda Pakembar yang telah mula belajar Matematik dan Sains dalam bahasa Mat Salleh, sila cari bahan sejarah untuk membaca sejarah lagu Negaraku ini. Kita tidak perlu ugut mengugut. Tidak perlu tuduh orang lain tidak patriotik. Kita tengok muka kita dahulu. Tanya diri kita sendiri, kenapa nama parti aku ini United Malay National Organisation, walhal aku ini dengan keris terhunus, sedang menjaga ketuanan Melayu.

Kedua – lihat pula beberapa percubaan telah dilakukan untuk mengalih rentak lagu Negaraku ini. Awal dahulu, dari lagu Terang Bulan dialih rentak untuk menjadi lagu Negaraku. Kemudian rentaknya beralih pula di zaman Dr Mahathir Mohamad. Bila Mahathir pencen, lagu Negaraku ini dialih sekali lagi.

Pelik binti hairan kenapa wartawan Utusan Melayu tidak melaporkan ini sebagai satu detik bersejarah. Bagi saya, babak bersejarah ini wajib dimasukkan ke dalam Malaysian Guiness Book of Records ataupun World Guiness Book of Record. Malah, ini mungkin kali pertama dalam dunia ini, lagu kebangsaan sebuah negara berkali-kali berubah-ubah tanpa berlakunya revolusi.

Ketiga – di pekan Kuala Klawang Jelebu, ada panggung wayang bernama Ruby Theater. Di sinilah tempat saya menonton filem satu ketika yang lama dahulu. Saya masih ingat lagi, pada tahun 1957/58 dan mungkin hingga ke awal 1960an, ada dimainkan lagu Negaraku ini dalam panggung wayang apabila sahaja filem selesai ditayangkan.

Seingat saya, tidak ramai orang yang berdiri apabila lagu ini dimainkan. Apakah orang kampung saya tidak hormat kepada Negaraku atau mereka telah dicucuk oleh jarum Sukarno. Ini saya tidak bagitu pasti.

Di zaman itu, lagu Negaraku ini juga dimainkan di waktu perhimpunan mingguan di sekolah. Kalau di sekolah Melayu, pada pagi Ahad. Kalau di sekolah Inggeris, di pagi Isnin. Seingat saya, hanya di hari perhimpunan ini sahaja, anak-anak murid tegak berdiri. Sebenarnya anak-anak sekolah ini tidak ada pilihan. Kalau sudah besar menjadi Mat Rempit disunatkan sekali lagi pun, mereka tidak akan tegak berdiri mendengarnya. Ini mungkin kerana lagu ini tidak dimainkan oleh XPDC.

Kita jangan silap faham dan menuduh mereka ini tidak cintakan Malaysia. Cintakan Malaysia bukan bermakna kita wajib tegak berdiri dengan lagu Terang Bulan...oppps – Negaraku.

Jalur Gemilang

Keempat – pada tahun ini, ada beberapa menteri membuat heboh kerana rakyat tidak mengibarkan bendera di bulan kemerdekaan. Tidak memasang bendera ini dianggap tidak patriotik – mengikut menteri ini. Ini betul-betul kes sewel. Mari kita berlaku jujur dan perhatikan betul-betul rupa bentuk bendera ini. Apa.. Apa...apa namanya – Jalur Gemilang. Nama ini pun baru diperkenalkan.

Dulu, pada tahun 1957, namanya Bendera Malaysia. Entah bila agaknya nama Jalur Gemilang ini tiba-tiba muncul. Mungkin kerana wujudnya Mykad. Bendera ini wajib memiliki nama resmi untuk mendaftar, kalau tidak Mykad untuk bendera ini, tidak akan dikeluarkan.

Kelima – perhatikan baik-baik. Hanya orang yang rabun sahaja yang tidak tahu bahawa bendera ini adalah tiruan totok dari bendera Star Spangled Banner. Si Mamat yang mereka bendera ini tidak memiliki nilai pensejarahan dari segi warna dan tatasusila warga-warga Persekutuan Tanah
Melayu.

Ini betul-betul kes mental. Mamat ini pakai balun sahaja – asalkan siap. Hasilnya, bendera Malaysia yang wujud hari ini, hanyalah bendera Amerika Syarikat tanpa bintang-bintang. Saya sendiri, jika ada rumah, tidak akan memasang bendera ini di halaman rumah saya. Silap-silap hari bulan, jika bendera dipasang di hadapan rumah, ramai pula anak Bangla datang beratur meminta visa kerana mereka menyangka rumah saya telah menjadi kedutaan Amerika.

Kesamaan rupa bendera Malaysia dengan bendera Amerika telah diakui sendiri oleh presiden parti United Malay National Organisation. Arkian, tidak perlulah menuduh saya tidak cintakan Malaysia.

Sayugia diingati, setiap bendera yang menjadi simbol atau ikon sesebuah negara memiliki sejarah. Mazhab Syiah mengambil warna hitam, kerana inilah warna bendera Nabi Muhamad ketika berperang. Lihat negara-negara Arab, semuanya memilki bendera yang memiliki ciri-ciri Arab yang sama.

Sesunguhnya, saya akan tersenyum dan tidak hairan apabila mengetahui bagaimana semakin ramai warga yang tidak mahu bendera ini berkibar di hadapan rumah mereka.

Pahlawan Melayu

Keenam – bila dibuka cerita bendera dan sejarah perjuangan negara kita, maka saya rasa lebih baik dikaji kembali warna dan corak bendera yang dikibarkan oleh Tun Fatimah semasa melawan Portugis. Atau bendera-bendera yang dikibarkan oleh Datuk Bahaman, Mat Kilau atau Datuk Maharaja Lela semasa pahlawan-pahlawan ini mengangkat senjata melawan British.

Kalau saya cadangakan bendera Rakyat Malaya Anti-Jepun atau bendera Rakyat Malaya Anti-Tentera British, nanti saya akan dituduh pro-komunis, tidak sedar diri, tidak berterima kasih, tidak insaf, tidak bartaubat atau tidak patriotik. Walhal mamat-mamat dari Parti Komunis inilah yang berjuangan angkat senjata melawan penjajah.

Untuk menyelesaikan kekalutan dalam hal bendera ini, saya rasa, kita wajib mengikut arus pensejarahan. Pada hemat saya, lebih baik kita ambil warna dan corak yang ada pertalian dengan sejarah perjuangan yang telah berjaya membawa kita ke mercu kemerdekaan. Dengan ini, saya mempunyai satu cadangan.

Baru-baru ini, saya telah membaca bahawa Tan Cheng Lock, Sambanthan dan Tunku Abdul Rahman telah bertegang leher dan berbuih-buih mulut bertengkar dengan British pada tahun 1956 kerana menuntut...maaf...memohon merdeka. Ketika berada di London, pastilah mereka merasa perubahan udara.

Selalunya, apabila udara berubah, kita akan diserang selsema. Tentulah jaguh-jaguh kita ini ada persiapan membawa saputangan kalau-kalau diserang selsema. Apatah lagi, pada tahun 1956 dahulu, kabus London lebih memualkan dari jerebu kita.

Arkian, kenapa kita tidak mengambil warna dan corak saputangan jaguh-jaguh ini sebagai lambang kemerdekaan kita. Saputangan ini adalah senjata yang telah menyelamatkan para pejuang ini dari diserang oleh selsema yang mungkin virusnya sengaja ditabur oleh polis rahsia British, MI6. Warna dan corak saputangan mereka ini kita jadikan ikon bendera negara kita. Ini lebih tepat, lebih patriotik dan lebih tinggi nilai sejarahnya.

Saputangan, tuala Good Morning

Shahdan rakyat saentero negeri pun telah diberitahu bahawa mereka bertiga inilah yang telah berbuih-buih mulut berbincang hangat di London untuk menjadikan kita merdeka. Kalau mereka tidak memiliki saputangan, rasa saya corak dan warna tuala mandi mereka pun boleh diambil kira sebagai unsur-unsur yang memiliki nilai sejarah. Kecuali kalau mereka memakai tuala
Good Morning. Ini agak menyulitkan.

Hatta, untuk menyempurnakan minggu pasca pesta merdeka ini, dan untuk terus kita sama-sama tersenyum gembira sebagai warga merdeka, saya akan mencatatkan satu tulisan di sini. Tulisan ini dalam tulisan jawi yang saya pungut dari Kitab Permulaan Mengarang. Kitab jawi ini secara tidak sengaja saya temui dalam bentuk asalnya. Kitab ini ditulis olih Ibrahim Haji Abdul Salam dan dicetak oleh Muhamadiat Press, Parit Jamil, Muar Johor.

Kitab jawi ini dicetak pada tahun 1939. Ini bererti United Malay National Organisation, MIC, MCA dan Democratic Action Party, masih belum wujud lagi. Hanya Parti Komunis Malaya dan parti Kesatuan Melayu Malaya sahaja yang telah wujud berjuang untuk memerdekakan Persekutuan Tanah Melayu dari penjajah British.

Sama-samalah kita melihat kembali rupa bentuk masyarakat kita sebelum kita bertegang leher dan bersilat lidah tentang merdeka. Hendaknya, dapatlah tulisan dari kitab ini membawa ilmu atau kita dapat tersenyum darinya

Orang Melayu, Orang China dan Orang India. Bahawa di antara bangsa-bangsa yang banyak mendiami di Semenanjung Tanah Melayu adalah ketiga-tiga bangsa yang tersebut itu yang terlebih banyak bilangannya dan tersangat berbeza hal keadaannya di antara satu dengan lainnya.

Bermula adalah orang-orang Melayu itu, yaitu sebenar anak bumi Semenanjung ini, maka adalah hal mereka itu dengan sederhana dan tiada memberatkan mencari kekayaan dan ketinggian atau kemuliaan, maka kebanyakan mereka itu berkebun dan bercucuk tanam dan memakan gaji dengan kerajaan dan jarang sekali berniaga. Ada pun agama mereka itu Islam tetapi mereka itu selalu mengikut teladan bangsa-bangsa lain dengan tiada siasat pada kebangsaannya.

Shahdan orang-oarang China itu datangnya daripada bahagian timur benua China, maka mereka itu sangat berlainan dengan bangsa-bangsa lain kerana adatnya suka berlenging (tiada berbaju) dan makan di tengah orang ramai mencangkung dan menggunakan sepit, akan tetapi mereka itu suatu bangsa yang cerdik dan rajin dalam serba serbi pekerjaan, baik berniaga atau berkebun atau pun memakan gaji, maka kebanyakan daripada orang-orang kaya yang terbilang di Tanah Melayu ini daripada bangsa-bangsa China dan yang melarat miskin pun daripada bangsa itu juga adanya.

Ada pun orang-orang India itu datangnya dari India dan Ceylon, maka kedatangan mereka itu semata-mata kerana hendak makan gaji tetapi ada juga yang berniaga dan kebanyakan daripada peguam-peguam (lawyer) di Tanah Melayu daripada bangsa ini. Maka banyak daripada mereka itu yang menjadi kuli-kuli kerja raya dan kuli-kuli bandaran dan penoreh-penoreh getah tetapi banyak juga yang menjawat pekerjaan pegawai-pegawai kerajaan di Negeri-Negeri Selat dan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Shahdan tiada memilih mereka itu pekerjaan asalkan ada gajinya dan mereka itu sangat ingat kepada kaum-kaum yang tertinggal di negerinya, maka pada tiap-tiap kali dapat wang, dikirimkan ke negerinya kepada ibu bapanya atau saudara-saudara dagingnya.

Merdeka tahun 2005 ini untuk saya amat meriah kerana untuk pertamakalinya wacana merdeka itu terbuka dengan luasnya. Hegemoni Pekembar yang menganggap mereka sahaja yang berjuang untuk merdeka, telah retak. Nama-nama nasionalis dan pejuang-pejuang kemerdekaan yang dahulunya tidak diketahui umum, kini tersebar luas.

Saya rasa, tahun hadapan pesta menyambut medeka akan lebih hebat. Ketua pemuda parti Pekembar akan menghunus keris puakanya, sambil berlengging dengan seluar sampaknya. Dia akan melaung dan menjerit-jerit meminta 30 peratus saham Bumiputera kerana pemimpin parti mereka yang telah berjuang bersenjatakan saputangan semasa bertengar dengan British di London pada tahun 1956 dahulu. Demikianlah seadanya.

Nota:

1. Tetuang udara – radio
2. Cik Gu – warder penjara
3. Konfrontasi – 1962-1966