Selasa, 6 April 2010

Hentikan rompakan kroni, tolak penswastaan

Hishamuddin Rais
Jan 28, 093:49pm

Penswastaan ialah satu dasar ekonomi yang dianjur oleh kaum pemodal kapitalis pada tahun 1980-an dahulu. Ia adalah dasar ekonomi yang mula-mula dianjurkan oleh Ronald Reagan dan Margaret Thatcher. Ia merupakan dasar ekonomi kapitalis fahaman kanan yang ekstrem.

Sebelum dasar penswastaan diperkenalkan, banyak negara dalam dunia ini masih memiliki harta-harta dan syarikat-syarikat milik awam. Banyak syarikat yang berjaya ini dimiliki dan dikendalikan oleh kerajaan. Syarikat awam ertinya syarikat yang dimiliki oleh orang ramai.

Kaum pemodal meleleh air liur apabila melihat syarikat-syarikat air, elektrik, pos, telefon, penerbangan, sekolah, hospital dan seribu satu macam syarikat yang dimiliki oleh rakyat. Kaum pemodal tidak dapat menahan nafsu duitan mereka untuk merompak syarikat-syarikat ini.

Syarikat-syarikat milik kerajaan bermula dengan cita-cita untuk memberi khidmat kepada orang ramai. Syarikat-syarikat ini diusahakan bukan atas dasar mencari untung maksimum.

Dalam masa yang sama syarikat-syarikat ini juga berjalan dengan pengendalian yang baik dan profesional. Untung bukan slogan syarikat-syarikat ini. Rugi juga bukan moto syarikat ini.

Khidmat untuk orang ramai ialah syahadah untuk semua syarikat milik kerajaan. Syarikat-syarikat ini berimankan "khidmat terbaik untuk kesejahteraan ramai". Syarikat milik orang ramai didirikan untuk memberi khidmat kepada semua mereka.

Tiba-tiba Dr Mahathir Mohamad melancarkan skim cepat kaya pada tahun 1980-an. Syarikat-syarikat Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, MAS, bekalan air, khidmat pos, hospital, Taman Negara dan jalan raya – semua ini contoh syarikat dan harta orang yang diagih-agihkan olehnya kepada kaum kerabat dan kroninya.

Inilah skim cepat kaya Mahathir yang dijadikan dasar gerombolan United Malays National Organisation. Pada tahun-tahun itu, ketika Mahathir masih di takhta, kita ada mendengar berita Mamat Basikal Buruk jadi taukeh gedung-gedung perniagaan.

Kita mendengar Mat Drebar Lori jadi pemilik empangan terbesar. Kita mendengar Mat Sekolah Tak Tamat menjadi tuan punya syarikat penerbangan. Kita mendengar cerita Mat Tak Pandai Cakap Inggeris menjadi pemilik loji air.

Semua harta dan syarikat yang dimiliki orang ramai telah diambil alih untuk dijadikan milik peribadi. Semuanya dirompak untuk diagihkan kepada kroni.

Cara rompakan ini cukup senang: Para kroni mengajukan cadangan-cadangan dengan kertas kerja kepada Unit Perancangan Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Bunyinya cukup lunak tetapi hakikatnya amat berlainan. Badan perancangan ini juga dirasuah untuk meluluskan rompakan ini. Para birokrat di badan perancangan ini juga mendapat habuan untuk meluluskan rompakan ini. Mereka bersubahat untuk sama-sama merompak.

Hasilnya di zaman Mahathir banyak lanun dan perompak menjadi kaya-raya.

Bayangkan puluhan puluh tahun syarikat dan harta ini cuba dibangunkan sedikit demi sedikit. Syarikat MAS - dari dua buah kapal terbang yang disewa akhirnya menjadi sistem penerbangan antarabangsa.

Bayangkan dari hanya beberapa buah peti pos akhirnya perkhidmatan pos berjaya memberikan khidmat ke seluruh negara.

Cuba fikirkan bagaimana hutan diteroka, jalan raya dan landasan keretapi dibuat.

Berapa bilion ringgit pelaburan telah dicurahkan oleh kerajaan? Berapa banyak masa, tenaga dan berapa banyak nyawa rakyat telah digunakan untuk mendirikan syarikat-syarikat ini?

Dalam sekelip mata sahaja semua harta ini dirompak oleh Mahathir. Harta-harta milik kita semua ini dengan begitu senang diagih-agihkan kepada kaum keluarga dan kroni.

Dasar rompak harta orang ramai inilah yang dipanggil dasar penswastaan. Dasar ini juga dikaitkan dengan apa yang dipanggil dasar globalisasi. Dasar ini membolehkan syarikat-syarikat gergasi antarabangsa datang sama menjarah dan merompak harta negara kita.

Apakah kita lupa syarikat Air Kelantan pada satu masa dahulu sebahagian besarnya adalah milik Thames Water dari United Kingdom?

Tidakkah kita berasa takut apabila air yang kita minum ini tuan empunyanya ialah orang luar? Tidakkah kita berasa gerun apabila hospital kita adalah milik Singapura, Britain atau Amerika Syarikat?

Tidakkah kita terganggu apabila syarikat telefon kita kini dimiliki oleh Jepun, Korea Selatan dan Australia?

Dasar penswastaan telah berjalan lebih 20 tahun. Porak-peranda hasil pelaksanaan dasar ini sedang kita lihat. Sekolah dan universiti bukan lagi gudang ilmu untuk mendidik warga bangsa tetapi menjadi gedung "menipu" untuk membuat duit.

Hospital yang dulunya milik kita bersama kini apabila kita jatuh sakit kita pula kena bayar. Kita diberi ubat yang "tidak bermutu" tetapi jika hendakkan ubat yang bermutu – sila bayar.

Jika tidak ada duit, maka jawabnya kita dapat rawatan lekeh atau tidak ada rawatan langsung.

Lihat pula berapa banyak jalan raya sedang dihalang dengan tol. Air dan api dinaikan tarifnya saban tahun. Telefon terus melonjak sewanya. Untung, untung dan untung dijadikan akidah syarikat-syarikat swasta ini.

Dahulu - ketika semua syarikat ini dimiliki oleh orang ramai – jika dapat untung, keuntungan ini akan dimasukkan ke dalam dana negara. Apabila syarikat ini diswastakan, apabila ada untung, maka untung ini masuk ke dalam poket tuan pemilik saham syarikat ini.

Inilah bezanya antara syarikat milik kerajaan dengan syarikat yang diswastakan.

Minggu lalu Najib Razak telah cuba melakukan tindakan seumpamanya. Najib sedang membuka jaringan kroni-kroni baru. Sime Darby kroni pertama Najib. Jika diselidik dan dihalusi, maka pasti akan kita ketemui bahawa Najib dan kaum kerabatnya mungkin ada memiliki kepentingan.

Sime Darby ingin merompak Institut Jantung Negara melalui penswastaan. Ia telah dipersetujui oleh Najib. Dia sendiri membuat kenyataan - dia tidak akan menghalang niat Sime Darby.

Lihat dengan licik Najib telah "membocorkan" berita rancangan ini sesudah Parlimen ditutup untuk bercuti satu bulan. Najib tidak mahu projek penswastaan (baca: rompakan) IJN ini dibincangkan di Parlimen. Pasti perancangan ini telah lama berjalan secara senyap-senyap.

Pasti ada rundingan yang telah dibuat. Kenapa projek penswastaan ini tidak diberitahu secara telus kepada wakil rakyat di Parlimen? Kenapa dengan tiba-tiba Najib bersetuju? Mana dia dasar ketelusan yang selalu diuar-uarkan oleh gerombolan United Malays National Organisation?

Semua perjanjian penswastaan dibuat dalam gelap. Hingga ke hari ini kita – orang ramai – masih belum dapat membaca perjanjian antara kerajaan dengan syarikat pemegang konsesi lebuh raya. Perjanjian syarikat ini telah dibuat dengan kerajaan.

Ertinya perjanjian ini dibuat dengan kita semua. Kerajaan itu ialah orang ramai. Orang ramai ialah kita semua kerana kita yang melantik kerajaan. Kalau kita melantik kerajaan, kenapa kita tidak boleh mengetahui apa yang dijanjikan?

Justeru, dasar penswastaan ini wajib dihentikan. Dasar ini membawa mudarat kepada orang ramai. Tugas kerajaan bukan untuk mengayakan kroni dan kaum kerabat.

Tugas kerajaan yang berjiwa rakyat ialah mendahulukan kepentingan ramai daripada kepentingan kroni dan anak bini. Tugas utama kerajaan ialah untuk memastikan rakyat terbanyak hidup selesa dengan pembahagian dan agihan ekonomi yang adil.

Rakyat wajib berwaspada dengan dasar penswastaan. Orang ramai perlu membuka mata dan berjaga-jaga kerana perompak-perompak harta orang ramai ini masih berkeliaran.

Selagi mereka berkuasa, rompakan harta rakyat akan berterusan. Untuk ini kita tidak ada pilihan – hentikan dasar ini dan mereka ini kita nyahkan daripada tampuk kuasa.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan