Selasa, 6 April 2010

Konsumerisme - rukun iman kapitalis

Hishamuddin Rais
Mei 8, 09 11:57am

Hari ini dasar globalisasi yang diajukan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia telah berjaya menjadikan kapitalisme satu sistem ekonomi yang mencakupi seluruh dunia.

Dari Chile ke China, dari Bhutan ke Batang Berjuntai, dari Tokyo ke Taiping, dari Normandy ke Nepal – semua negara dan ceruk sedang menggunakan sistem kapitalisme sebagai satu cara hidup.

Cara hidup di sini ertinya budaya harian yang digunakan oleh warga untuk menjalankan kehidupan. Budaya dan cara hidup ini diikat dengan nilai. Kapitalisme telah melahirkan nilai untuk dijadikan rujukan oleh warga dunia.

Sistem kapitalisme telah berjaya menyebarkan nilai-nilai baru untuk umat manusia. Nilai ini berperanan besar untuk memperkukuhkan dan mengembangkan lagi kapitalisme.

Nilai-nilai ini dirancang dan disusun. Kajian dibuat secara ilmiah tentang apakah nilai yang wajib dibentuk. Pakar-pakar akan memastikan nilai-nilai yang dimunculkan ini hanya akan selari dengan nilai dan hukum perjalanan sistem kapitalisme.

Daulah memerlukan nilai-nilai ini untuk memastikan yang kuasa di tangan tidak akan tergelincir lepas. Melalui nilai dan pandangan dunia, daulah dapat memastian hegemoni daulah dapat diteruskan.

Penyebar nilai yang nombor wahid ialah media – akhbar, majalah dan tv. Pada awalnya akhbar menjalankan peranan yang amat positif. Jika kita melihat kembali peranan akhbar di negara kita ini, maka kita akan melihat bagaimana akhbar harian telah menjana pemikiran orang ramai.

Gerakan nasionalisme di Tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan tidak akan ampuh tanpa peranan akhbar.

Globalisasi , penswastaan dan pasaran terbuka telah mengalih semua ini. Dasar pasaran terbuka yang dipaksakan ke atas negara-negara Dunia Ketiga telah membuka jalan untuk taikun media antarabangsa melabur dan membeli akhbar dan media tempatan.

Hari ini media di dunia ini sedang dimonopoli tidak lebih daripada 10 buah syarikat – antaranya Time Warner Inc, The Walt Disney Corporation, The News Corporation Ltd., Sony Corporation, General Electric Co., Viacom, Inc. dan Bertelsmann AG.

Dari sini muncul satu susuk yang menjadi raja segala raja-raja – Rupert Murdoch.

Syarikat-syarikat media ini berlegar-legar macam helang lapar untuk mencari mangsa baru. Di mana sahaja ada pasaran dibuka, maka mereka akan datang melabur untuk mempengaruhi bentuk berita yang akan disebarkan kepada umum.

Justeru – kita tidak perlu hairan kenapa Isreal yang memiliki lebih daripada 200 biji bom nuklear tidak pernah dipersoalkan oleh saluran media ini.

Kita juga tidak perlu hairan kenapa Iran yang hanya membuat loji nuklear untuk menjana elektrik saban hari digodam oleh media ini seolah-olah minggu depan Iran akan meledakkan bom nuklearnya.

Memiliki dan mengawal media bertujuan untuk menenggelamkan isu yang fundamental. Mengetepikan isu dan agenda yang rapat di hati warga. Melalui kawalan dan saringan, media bergelumang dan bertungkus lumus menimbulkan isu sampingan yang remeh lagi temeh.

Justeru dari hari ke hari pengisian media di seluruh dunia semakin cetek. Umat manusia hari ini ditaburkan dengan cerita-cerita remeh, gosip-gosip tentang artis, aktor, pemain bola, kaki-kaki glamour, ratu cantik atau para model.

Telah wujud kesepaduan di antara media cetak dengan media elektronik. Kita tidak perlu pergi jauh untuk memahami semua ini. Lihat sahaja apa bentuk nilai yang sedang disebarkan oleh media kita sendiri.

Contohnya: Dari kaca tv kita melihat seorang aktor ciput yang tergedik-gedik. Esoknya kita akan diberitahu siapa kekasih baru aktor ini. Dan lusa kita akan membaca bahawa aktor ciput telah berkahwin dengan seorang Datuk Tua.

Kemudian kita terbaca aktor ciput ini minta cerai. Kisah "minta cerai" ini akan menjadi sensasi sehingga berita 5,000 warga yang dibuang kerja dilihat sebagai berita sampingan.

Berita remeh cerai-berai artis ciput ini dijual untuk ditakrif lebih penting daripada apa yang terjadi dan ke mana perginya P Subramaniam atau apa yang akan dihadapi oleh warga yang akan hilang pekerjaan?

Berita-berita remeh seperti ini memang dirancang untuk mengambuskan isu nasional yang lebih bermakna. Pemikiran warga sengaja dibantut dan dibonsaikan dengan berita remeh, cetek dan lagi superfisial.

Media inilah yang sedang melahirkan nilai untuk menjadi rujukan kita bersama. Taktik yang dijalankan - sebelum kita sanggup menerima nilai ini, otak dan fikrah kita perlu dicetekkan dengan berita-berita remeh.

Apabila warga menjadi lali, suka melopong depan tv, malas membaca dan kurang cerdik, maka dengan senang warga akan disuapkan dengan nilai konsumer.

Nilai konsumer adalah segala nilai dalam budaya kapitalis. Budaya konsumer inilah yang dirancang secara rapi oleh kaum pemodal. Kaum pemodal antarabangsa ingin warga dunia terus membeli barangan dan produk-produk baru yang mereka buat. Inilah tugas penyebaran nilai konsumer.

Beli, beli dan terus membeli adalah rukun iman dan syarat utama untuk memastikan sistem kapitalis ini terus bergerak. Jika para konsumer berhenti membeli, maka dengan sendirinya kilang akan terhenti. Untuk memastikan komplot ini terus berjaya, maka warga perlu tunduk, menyembah dan menghayati nilai konsumer.

Produk-produk baru akan memasuki pasaran. Lepas satu, satu lagi objek baru akan muncul. Semua produk ini perlu dibeli untuk memastikan enjin kapitalisme terus bergerak.

Lihatlah, saban tahun kilang kereta akan mengeluarkan model dan bentuk baru. Komputer akan diisikan dengan perisian yang baru. Pakaian akan diperagakan dengan model yang baru.

Semua ini dirancang secara bersepadu di antara media elektronik, media cetak dan iklan – untuk melahirkan nilai konsumer.

Kita sebagai warga akan ditembak dari kiri dan kanan. Di rumah, mata kita ditembak oleh kaca tv. Dalam kereta, telinga kita ditembak oleh radio. Di jalan raya, mata kita dibom oleh papan iklan. Semuanya untuk melemahkan diri kita agar kita sama-sama menyembah produk-produk dan membelinya.

Hari ini kapitalisma telah berjaya menanamkan nilai aku-mesti-beli dan aku-mesti- memiliki. Jika kita memiliki produk yang dijajakan, maka kita termasuk dalam golongan umat yang berjaya. Sesiapa yang tidak memiliki produk, ertinya susuk ini golongan yang gagal.

Dalam budaya kapitalisme, nilai kejayaan diukur dengan pemilikan. Lebih banyak produk yang kita miliki, maka lebih tinggi taraf kita di mata umum.

Budaya konsumer seolah-olah berjanji memberi warga kebebasan memilih. Kalau kita ke gedung membeli belah, kita ada kebebasan untuk memilih berpuluh jenis kopi. Apakah benar kita sebagai warga memiliki kebebasan untuk memilih?

Tidak. Dalam budaya konsumer kapitalis, pilihan itu hanya satu ilusi. Yang kita pilih hanya logo luaran. Dalam kapitalisme, warga tidak banyak pilihan – semua pilihan akan menjurus kepada orang yang sama dan tuan pemodal yang sama.

Tidak percaya? Cuba fikirkan apakah kita ada pilihan apabila berhadapan dengan Star, Sin Chew, Utusan, NST , RTM, TV3, TV9, atau Astro?

Kita hanya berilusi bahawa kita ada kebebasan memilih (media) tetapi sebenarnya semua pemiliknya orang-orang dari kumpulan yang sama.

Hegemoni budaya kapitalisme ini sedang memerangkap kita semua. Warga Asia, Afrika dan Latin Amerika termasuk Eropah dan Amerika Syarikat semua sedang terjerat oleh budaya ini.

Budaya ini sedang membantut dan membonsaikan fikrah kita. Justeru kita wajib mencari jalan keluar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan