Rabu, 7 April 2010

Saya memilih Bush

Hishamuddin Rais
Nov 1, 04 11:49am

Rolling Stone: If you send troops into Iraq, how will you be able to tell them they're not risking their lives for a mistake?

Kerry: Because I'm going to make it a success, 'cause we're going to win. We're going to do what we need to do to get this job done. And I'm committed to doing that - and I know how to do it.

Dipungut dari: John Kerry - The Rolling Stone Interview, By Jann S Wenner, Rolling Stone Magazine.

“there is no justice in the world today” - e-mail Charlotte untuk Hishamuddin Rais

Jika saya warga New York, saya akan mengundi Bush. Ini akan saya lakukan bukan kerana Tun Mahathir Mohamad memilih Kerry maka saya wajib memilih lawannya. Pandangan saya ini tidak juga ada kena mengena dengan lesen judi yang telah diberikan oleh Tun Mahathir kepada Vincent Tan. Walau apa pun, saya amat menyedari bahawa pandangan saya ini adalah satu pandangan yang paling tidak popular. Satu pandangan yang menungkah arus.

Jika saya bersembang di cafe-cafe di kota Paris, London, San Sebastian, Milan atau di Bogota pasti saya akan dipecilkan. Silap-silap saya akan ditendang keluar oleh tuan empunya cafe. Hampir kesemua 'chattering class', inteligensia, artis dan seniman dari Stockholm ke Semenyih telah mengambil keputusan untuk menghumbankan Bush. Akhbar-akhbar yang berpengaruh di kota-kota Eropah kesemuanya telah menyebelahi Kerry.

Dari Canton ke Casablanca dari Moscow ke Montreal dari Bombay ke Bangsar; Bush Jr. sedang dilihat sebagai orang jahat. Sentimen anti-Bush dan pro-Kerry kelihatan bagitu ampuh sekali. Tetapi kenapa saya masih berdegil tidak menyebelahi 'orang baik si Kerry ini' ?

Begini: Semasa saya belajar di London dahulu, saya telah dapat mengenali hati dan perasaan teman-teman sedarjah dengan saya. Ini kerana darjah kami tidak ramai - cuma 12 orang. Selama tiga tahun kami yang 12 orang ini telah mundar-mandir ke hulu ke hilir bersama-sama.

Ilmu yang kami pelajari ini mewajibkan kami membantu sesama sendiri – justeru kami menjadi begitu intim. Saya bukan hanya dapat mengenali kecekapan kawan-kawan saya dalam gaya penulisan skrip mereka; malah saya juga mengetahui siapa yang tidur dengan siapa.

Semasa kami menjadi anak mahasiswa, yang menjadi Perdana Menteri kami ialah Margaret Thatcher dari parti konservatif. Perdana menteri inilah yang memulakan dasar penswastaan yang hari ini kita lihat bagaimana dasar ini telah berjaya memporak-peranda banyak negara di dunia ketiga, termasuk Malaysia. Sementara itu di Amerika pula, bekas pelakon Hollywood gred B Tuan Ronald Reagan sedang menjadi presiden. Bayangkan betapa kanannya suasana pemikiran ketika itu.

Kesedaran politik

Teman-teman kelas filem ini saya semuanya dari Generasi X. Generasi pasca perang Vietnam/pasca Punk, yang langsung tidak ingin mengambil tahu hal-hal di luar kuliah. Apa yang mereka hitungkan hanyalah membuat jaringan seluas mungkin dengan elite budaya kota London dengan harapan akan memecah pintu untuk memasuki dunia filem. Kesedaran politik kawan-kawan saya ini adalah zero, nil, sifar, zilch dan kosong. Ini menjadikan saya pelajar dari dunia ketiga ketika itu begitu keseorangan. Saya dianggap spesis yang tidak voque dan telah ketinggalan zaman.

Di antara kawan sedarjah saya ialah Charlotte – ini bukan nama sebenar. Kami menjadi kawan yang rapat. Si manis Charlotte ini untuk saya adalah contoh terbaik dari Generasi X. Kenapa tidak, dalam dunia filem kota London Charlotte telah berjaya. Setelah habis belajar dia terus menjadi penyunting filem. Bekerja di Paris dan di New York untuk team produksi Ismail Merchant. Charlotte mengenali 'who and who' dalam dunia filem kota London kerana itu dia amat jarang menganggur.

Dari segi kesedaran politik, kawan baik saya ini tidak memiliki apa-apa pandangan. Charlotte amat bijak memandang Prada dari mengetahui Pravda, lebih kenal dengan Gucci dari Gramsci dan lebih tahu siapa Jean Paul Gaultier dari siapa dia Jean Paul Sartre.

Dua kali Charlotte datang melawat saya di Kuala Lumpur. Dan entah berapa orang Mamat-Mamat Melayu yang telah ditidurinya. Kekasih akhimya di Malaysia ini seorang anak muda di Pulau Perhentian. Ini hanya seorang yang saya ketahui. Entah berapa orang pula kekasih yang ditinggalkan di Langkawi dan Pulau Pinang.
Tetapi semua ini telah berubah. Surat akhir dari Charlotte amat memeranjatkan saya. Untuk pertama kalinya Charlotte telah turun ke Hyde Park untuk sama-sama menunjuk perasaan bersama hampir satu juta warga kota London apabila Tony Blair ingin melancarkan perang ke atas Iraq. Charlotte juga telah menerangkan bagaimana dia telah hilang kepercayaan terhadap pemimpin politik hari ini.

Syabas! Inilah kesedaran politik massa yang selama ini saya tunggu-tunggukan. Tanpa selebaran propaganda Socialist Workers Party, tanpa mendengar radio haram dari Brixton, tanpa memasuki mana-mana parti politik kawan saya Charlotte Green telah disedarkan politiknya oleh dasar dan garis politik George Bush Jr.

Generasi X

Bayangkan hari ini berapa ramai agaknya orang-orang seperti Charlotte Green di seluruh dunia ini. Keselesaan hidup mereka telah digelodak oleh dasar politik neo konservatif kabal zionist di Rumah Putih. Bukan politik kiri yang menyedarkan mereka tetapi dasar ektrem kanan kabal zionist telah menusuk sanubari kemanusiaan mereka. Hari ini kemanusiaan orang-orang seperti Charlotte Green ini sedang diuji.

Untuk saya Charlotte Green adalah tangga patukan dan rakaman suhu kesedaran politik untuk umat manusia di seluruh dunia. Jika kawan saya dari Generasi X ini telah berani dan turut sama berdemonstrasi dan meninggal zon-zon selamat mereka, maka ini saya baca sebagai satu petanda yang amat sihat.

Saya mahukan Bush Jr terus menginap di Rumah Putih untuk empat tahun lagi. Bayangkan apa yang akan terjadi. Hari ini Bush Jr. sedang mengacau dan mengelodak hampir semua ruang yang dahulunya dianggap sebagai zon selamat. Masyarakat Amerika kini terbelah dua – penyokong Bush atau pembenci Bush. Untuk saya, ini adalah kesedaran politik awalan yang pada satu ketika nanti, melalui proses realiti harian, pasti akan menimbulkan kesedaran politik yang lebih kukuh. Hanya dasar Bush Jr yang berkeupayaan untuk membawa lonjakan kesedaran politik seperti ini.

Contohnya, dalam dasar alam sekitar pentabiran, Bush telah menolak dan tidak mahu menanda tangani Perjanjian Koyoto. Penolakan Bush ini telah memeranjatkan bukan hanya di kalangan kelas menengah malah kelas elite politik Amerika juga telah merasa marah kerana pencemaran alam ini akan merundumkan tahap keselesaan hidup mereka. Bush Jr juga bercita-cita untuk membuka hutan dara kawasan Alaska untuk mencari gali minyak. Kawasan hijau Alaska ini adalah contoh kebanggaan para enviromentalis – bayangkan kemarahan mereka.

Dari segi ekonomi dasar, Bush Jr bukan hanya tidak berjaya membawa penambahan pekerjaan, malah semakin ramai rakyat Amerika yang kehilangan pekerjaan. Kejayaan Bill Clinton menambah tenaga kerja kini sedang digagalkan oleh Bush. Pentabiran Bush Jr ini tanpa berselindung telah menurunkan cukai untuk yang kaya dan menaikkan cukai untuk yang kurang berada.

Langkah Bush membuka pentas perang di Iraq mugkin dilihat sebagai satu yang tidak masuk akal. Tetapi ini lah sebenarnya hukum dan syarat-syarat untuk menegakkan sebuah empayar. Dari zaman berzaman – dari empire Rom ke empayar Mogul ke empayar Great Britain dan ke empayar Hitler – perang akan pecah. Perang dilakukan untuk merebut punca-punca ekonomi. Apa yang sedang dilakukan oleh Bush adalah berlandaskan hukum ekonomi kapitalis dalam usaha mengembangkan empayar.

Perang Vietnam

Saya tidak memiliki illusi tentang Kerry atau Parti Democrats. Sila lakukan sedikit selidikan dan perhatikan dengan rapi parti manakah yang membuka pentas perang. Perang Korea dan Vietnam di mula oleh Parti Democrats. Perang Vietnam bermula dan berkembang di era John F Kennedy dari Parti Democrats. Presiden Nixon dari Republicans hanya menjadi penyambung.

Bahaya tentang pengaruh 'military-industrial-complex' yang meresap masuk secara licin tersusun untuk mempengaruhi dasar kenegaraan Amerika, telah ditimbulkan secara serius bukan oleh Parti Democrats tetapi oleh Presiden Dwight D Eisenhower seorang Republicans.

Sesudah 9/11, Hillary Clinton dan Jo Lieberman telah membuat satu surat yang ditandatangani oleh semua Senator dari Parti Democtars yang menuduh dasar Bush terhadap Timur Tengah adalah lembik. Manakala Susan Rice telah menuduh dasar Bush terhadap Iran tidak cukup keras. Susan Rice ialah penasihat John Kerry. Dasar 'unilateral use of power' bukan bermula terhambur dari mulut Bush Jr tetapi dari Madeleine Albright, ahli kabinet pentabiran Bill Clinton.

Saya rasa rakyat Arab dan umat Islam tidak perlu menyimpan angan-angan bahawa John Kerry akan membawa apa-apa perubahan yang hakiki di Timur Tengah. Keadaan di Palestin akan berterusan, tidak mengira siapa yang mendiami Rumah Putih. Sokongan Amerika terhadap regim zionist Isreal tidak akan berubah. Malah dari segi strategi jangka panjang dasar John Kerry dan Parti Democrats wajib dilihat lebih bahaya.

Dasar kanan Republicans amat jelas untuk difahami tetapi dasar Kerry agak licik. John Kerry cuba membawa imej dan pendekatan baru untuk menyelamatkan tentera Amerika yang telah terperusuk ke dalam lumpur perang di Iraq. Walhal, dasar empayar Amerika untuk menakluk telaga minyak di negara-negara Arab tidak memiliki apa-apa perbezaan.

Saya bukan peniaga perang. Tetapi saya sedar empayar Amerika ini hanya akan dapat ditundukkan jika lebih banyak pentas perang terbuka. Seperti empayar Rom – koloni-koloni wajib bangun untuk mematahkan kuasa Ceaser. Pentas yang paling mustahak dibuka ialah di Amerika sendiri. Suasana anti-perang di tahun-tahun 60-an dahulu wajib dimunculkan kembali. Suasana ini hanya akan berlaku jika Bush Jr meneruskan dasar memerangi rakyat Arab dan rakyat dunia.

Empayar Amerika

Hari ini di Iraq ada 140,000 soldadu Amerika dari pelbagai ketumbukan. Sebenarnya jumlah ini tidak mencukupi untuk menundukkan penentangan rakyat Iraq. Paksaan untuk khidmat tentera seperti di zaman perang Vietnam dahulu akan berlaku sekali lagi. Anak-anak muda akan dijadikan umpan perang. Jika ini berlaku, maka anak-anak muda di Amerika akan bangun memberontak. Mereka akan meninggalkan Britney Spears, Beyonce, N'Sync dan menyambut seruan Bruce Springsteen atau Willie Nelson untuk turun kembali ke jalan-jalanraya.

Pertentangan dan kontradiksi di antara kuasa empayar Amerika dan rakyat dunia wajib ditajamkan. Malah, kenyataan awal Bush Jr - either you are with us or against us - adalah satu kenyataan yang amat jujur dari hati seorang Ceaser. Perkataan 'crusade - perang salib' yang digunakan oleh Bush Jr sesudah 9/11 itu adalah niat sebenarnya empayar Amerika. Hanya Bush Jr yang berani berkata lurus tanpa menyorok-nyorokan niat busuknya.

Saya mengalu-alukan Bush untuk terus mengelodakkan dan mengeruhkan lagi suasana politik dunia. Kuasa unipolar empayar Amerika Syarikat di bawah Bush pasti akan mendapat saingan. Kesatuan Eropah dengan 25 negara mungkin tidak memiliki kekuatan tentera seperti empayar Amerika tetapi kuasa Euronya semakin kuat dan pasti akan memberi tentangan yang hebat terhadap hegemoni dollar.

Hari ini, saya sering terbaca perkataan kapitalisma, imperialisma Amerika, neo konservatif, empayar dan kabal zionist. Bagi saya, perkataan dan konsep-konsep ini bukan satu yang asing. Ini perkataan dan konsep yang menjadi asas perjuangan anak-anak muda di zaman era perang Vietnam. Saya senyum gembira apabila membaca Parti Pas juga telah pandai menggunakan konsep imperialisma. Dan minggu ini saya terbaca juga bagaiman Abim telah cuba menunjukkan peranan CIA dalam krisis di Pattani di selatan Siam. Semua ini adalah hasil kerja politik Bush.

Jika Bush Jr menang pasti suku sakat, kaum kerabat dan tali-tali barut empayar Amerika yang berselirat ini akan menjadi agak cuak untuk merapati Rumah Putih. Mereka tidak ingin dituduh sebagai lembu Amerika. Syeikh-syeikh Arab, ditaktor di Afrika, jeneral di Amerika Latin, suku sakat Saud dan pemimpin yang dunia ketiga yang menyimpan sentimen pro-Amerika, pasti akan berhati-hati. Individu dan parti-pati politik pasti akan berfikir seratus kali untuk bersekongkol dengan puluhan Yayasan dan badan NGO seperti Heritage Foundations – yayasan-yayasan yang menjadi 'muka indah' kabal zionist di Rumah Putih.

Generasi X yang pada satu ketika dahulu diperlekehkan pandangan dunia mereka, kini telah menjadi barisan hadapan dalam penentangan terhadap empayar Amerika. Zaman hedonisma mereka telah berakhir. Rock mereka kini adalah rock untuk menumpas hegemoni Amerika. Kini mereka telah sebaris dalam gerakan anti-globalisasi dan anti perang.

Saya berterima kasih kepada Presiden George W Bush kerana telah berjaya menyedarkan kawan baik saya Charlotte Green. Dari seorang gadis manis yang sesat budaya dalam kota London, kini telah sanggup bangun berjuang. Sebagai tanda terima kasih, saya mempersilakan George W Bush untuk terus menginap di Rumah Putih. Naga besar dari laut seberang akan dikalahkan ular lidi tempatan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan