Rabu, 7 April 2010

Tanyalah pada ortopedik moral...

Hishamuddin Rais
Feb 25,05 12:57pm

Pada pagi Hari Kekasih (Feb 14) yang lalu, saya terserempak dengan seorang anak muda di perhentian SKR (sistem keretapi ringan) di Pasar Seni. Di saku belakang seluar anak muda ini terselit sebatang bunga ros yang terbungkus indah dalam balutan plastik kaca putih.

Kami sama-sama menunggu keretapi. Saya ingin ke Bangsar dan saya tidak mengetahui ke mana pula arah tuju anak muda ini. Saya tersenyum apabila ternampak kuntum bunga ini. Pastilah ianya akan dihadiahkan kepada si kekasih sebagai tanda cinta.

Saya gembira kerana saya sendiri yang kekurangan cinta, telah bertemu dengan seorang anak muda yang sedang bercinta. Dalam perjalanan itu, saya bayangkan betapa nikmatnya dunia percintaan.

Alangkah indahnya jika saya dapat mengalami kembali alam putih bersih tanpa cakaran pengetahuan tentang berahi seksual. Saya mengelamun tetapi belum sampai ke tahap mengenepikan hubungan seksual seperti Boy George yang 'memilih secawan teh daripada bercumbu berahi '.

Pada sebelah petang, saya ketawa terbahak-bahak apabila ada klip berita yang menggambarkan polis di sebuah kota negara Arab sedang mengejar anak-anak muda kerana mereka membawa kuntuman bunga pada Hari Kekasih.

Saya pecah perut ketawa kerana dalam kota Arab ini sering berlaku rompakan dan pembunuhan, tetapi para pegawai polisnya lebih selesa membuang masa untuk berkejaran memburu anak-anak muda yang membawa bunga. Jika ini bukan perangai Pak Pandir, pastilah ini perangai Pak Bengong.

Kemudian saya terbaca tentang para ortopedik moral yang telah menjalankan operasi di sebuah kelab malam. Kisah ortopedik moral ini menjadi bertambah lucu apabila kesah ini terus merapati diri saya.

Panggilan di awal pagi

Dua hari setelah tangkapan berlaku, saya bertemu dengan kenalan baik saya yang memiliki seorang anak gadis. Mengikut si ayah, anak gadisnya telah menerima panggilan di awal pagi meminta si anak datang untuk ikatjamin beberapa kenalannya.

Rupa-rupanya para ortopedik moral ini telah memiliki bilik kurungan yang khusus di mana para banduan yang bergetah lagi cun, telah ditahan. Dari apa yang saya difahamkan, para banduan yang comel lote ini telah dipotret, diukur dan ditimbang.

Apabila ini disurahkan, maka saya teringatkan perkara yang sama juga telah dilakukan kepada para penjenayah dan tahanan ISA. Apakah anak-anak gadis yang ranggi lagi bergetah ini, sedang mengancam keselamatan negara.

Apa yang menjadi lucu ialah cerita si ayah yang bersurah tentang bagaimana anak gadisnya di awal pagi telah kelam kabut mencari sepasang baju kurung dan kain tudung dan bergegas memandu ke rumah kurungan para ortopedik moral. Si ayah dan saya ketawa kerana anaknya memakai baju kurung; jika memakai pakaian yang lain, besar kemungkinan anaknya juga akan diberkas sama.

Kisah ortopedik moral ini bukan sesuatu yang baru. Semasa saya di Universiti Malaya pada tahun 1971 dahulu , telah wujud proto-ortopedik moral. Cuma ketika itu, ruang demokrasi kaum mahasiswa tidaklah sesempit hari ini. Lembaga kemahasiswaan masih wujud bebas. Ertinya, langkah-langkah para proto-ortopedik moral ketika itu dapat dihujah secara terbuka dan ditangkis secara demokratis.

Di luar kampus pula, parti-parti politik ketika itu belum dihinggapi oleh sawan siapa yang lebih alim dari siapa. Agenda politik ketika itu jelas memperjuangkan hak petani miskin, hak para peneroka bandar dan hak kaum buruh.

Agenda menentang rasuah pula adalah agenda induk mahasiswa dan anak-anak muda ketika itu. Suasana menentang kuasa imperial Anglo-Amerika yang sedang menceroboh di Vietnam juga sedang ampuh.

Agenda moral

Ketika ini agenda moral dijadikan tempat berlindung oleh para mahasiswa yang tidak turun bersama ombak rakyat. Mahasiswa proto-ortopedik moral ini memakai jubah hijau untuk melindungi keengganan mereka untuk bersama rakyat tertindas.

Dalam masa yang sama, mereka agak malu dan segan untuk bersama kuasa pemerintah yang terbukti sedang mengamalkan rasuah, penyalahangunaan kuasa dan zalim. Sesekali para proto-otopedik moral ini akan melaung-laungkan juga isu bahasa sebagai semboyan moral untuk mereka berkumpul agar mereka dapat dikenali oleh para pemimpin kerajaan.

Apabila diajak bersama bangun mendobrak kaum penindas, kuasa pemerintah atau menggalang gerakan anti-imperialis, maka jubah moralnya tercabut lucut. Para proto-ortopedik moral ini rupa-rupanya memakai seluar dalam berjenama 'hidup Melayu.'

Kemunculan para ortopedik moral ini mempunyai pensejarahan yang panjang. Tidak dapat tidak, ianya ada kaitan dengan strategi kuasa imperial Anglo-Amerika yang pada satu ketika di era Perang Dingin, telah menggunakan pandangan agama kanan yang ortodok untuk melawan arus kebangkitan rakyat yang sedang menentang kuasa imperialis.

Di Timur Tengah, di Indonesia, di Pakistan dan di Iran, Islam telah digunakan untuk menumpaskan kebangkitan rakyat. Kajilah secara ilmiah tentang keintiman hubungan kuasa imperial Anglo-Amerika dengan keluarga Saud yang bertanggungjawab menabur dana kepada pelbagai bentuk gerakan Islam jumud di negara-negara yang penduduknya beragama Islam.

Di Amerika Latin, pandangan Kristian yang jumud lagi ortodok, telah dijadikan tembok untuk mempertahan dan menghalalkan kuasa ditaktor para junta tentera dari Chile, Panama, Uruguay, Paraguay hingga ke Argentina.

Kuasa imperial Amerikalah yang menjadi pusat pengeraman pandangan kanan yang telah menetaskan para ortopedik moral ini. Dari perhitungan kaum zionis dan imperialis, secara jangka panjang adalah lebih selamat jika yang ditentang oleh rakyat hanyalah manifestasi moral dan bukan penentangan terhadap kuasa, modal dan asas ekonomi yang didukung oleh kaum pemodal antarabangsa.

Kumpulan terpinggir

Tindak-tanduk dan kritikan para ortopedik moral ini hanya ditujukan kepada pinggiran kulitan kuasa. Apa yang mereka lawan hanyalah manifestasi dan fenomena. Mereka tidak berkeupayaan untuk menentang modal yang melahirkan kuasa itu sendiri. Malah apa yang mereka semboyankan sering mengalihkan pandangan umum dari agenda induk kepada agenda yang remeh lagi temeh.

Mari kita teliti aktiviti-aktiviti para ortopedik moral ini. Yang sering menjadi mangsa dan diancam oleh mereka hanya kumpulan-kumpulan yang paling lemah dalam masyarakat kita. Kumpulan Mak Nyah, Mat Pondan, Mat Gian, Mat Gay, Mat Rempit, Minah Karan, Mak Janda dan anak-anak muda.

Kumpulan ini adalah yang terpinggir, tertekan, dan terkebawah ukuran ekonomi mereka. Kumpulan ini juga sentiasa disewelkan oleh pandangan masyarakat umum. Mereka dilihat sebagai ' others/ orang lain' – yang bukan sebahagian daripada kita.

Perkara awal wahid yang diheboh hebahkan oleh ortopedik moral ini ialah hubungan seksual dan keberahian kumpulan tertindas ini. Para ortopedik moral ini terlalu obses dengan cita-cita untuk membetulkan tulang rangka moral kumpulan-kumpulan ini.

Mereka sanggup membawa lampu picit dan mengintai-intai untuk memastikan kumpulan yang tidak berdana lumayan ini tidak akan dapat merasai nikmat berahi jantina tubuh badan mereka.

Saya tidak dapat melihat bagaimana seorang Minah Cun yang bergetah dan Mat Ranggi yang segak duduk berdua-duaan di sebuah warong di Bangsar, akan menjadikan harga ikan di Pasar Borong Selayang naik mendadak. Atau seorang Mat Duda Kerinchi yang cuba mengurat dan merapati seorang Minah Janda Gombak, akan menjatuhkan harga pasaran kelapa sawit negara.

Saya tidak dapat melihat logik atau rasional akaliah yang menunjukkan bahawa aktiviti individu ini akan membawa mudarat kepada orang ramai. Burung punai saya adalah milik peribadi. Kita tidak seharusnya menswastakan harta peribadi kita.

Mengapa pakaian sahaja?

Keberahian kita adalah hak kita dan ini adalah asas wujudiah setiap insan. Senjata sulit saya bukan lagi menjadi senjata sulit jika ianya dimiliki oleh orang ramai atau dimiliki oleh daulah. Saya rasa bukan tugas daulah untuk mengawal ke mana burung punai saya ingin melayang.

Kepada anak muda yang mungkin satu ketika nanti cuba dibedah oleh para ortopedik moral ini, saya ada satu ingatan. Sila tanyakan kepada mereka kenapa hanya pakaian sahaja yang mahu dijaga. Kenapa mereka tidak ambil berat tentang bil telefon, sewa bilik, duit yuran kolej, cukai jalan, bil makanan, duit poket dan duit percutian ke Istanbul?

Nyatakan kepada para ortopedik ini agar mereka juga akan menjaga dan mengambil berat semua hal-hal ini. Dan, jangan hanya ingin mengambil tahu jenis pakaian anak-anak muda ini ketika mereka berlibur dan mengoncangkan punggung.

Kepada yang dituduh berkhalwat dan jika dipaksa kahwin, cuba tanya kepada ortopedik moral ini apakah mereka sudi menyediakan duit untuk kenduri nikah kahwin. Apakah mereka telah menyediakan rumah yang siap sedia dengan tilam empok dunlopilo untuk pasangan yag baru bernikah.

Dan tanya pula apakah mereka juga akan membelikan tiket AirAsia untuk berbulan madu ke Phuket. Dan bila anak lahir nanti, adakah mereka akan sama-sama menyusukan anak itu.

Jika ruang demokrasi di negara kita ini luas terbuka, saya akan meminta ahli sains masyarakat dan para psikologis bertanya kepada para otopedik moral ini, kenapa mereka hanya ingin menjaga perjalanan 'anu' kita sahaja. Kenapa mereka merasa risau dan gundah gelana jika 'anu' kita merayau-rayau bebas ke hulu ke hilir.

Apa sebabnya mereka cuba menghalang kita merayakan keberahian kita dan tidak menghalang tanah yang runtuh-rantah. Tidak peduli hutan yang digondoli. Tidak peduli kereta yang menyesak nafas.

Kalau para ortopedik moral ini memiliki kesedaran moral insaniah, pasti mereka akan memberi perhatian kepada semua hal. Kekuataan moral adalah kepedulian pada mereka yang ditindas. Inilah sekuntum bunga sebagai tanda kasih kepada manusia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan