Ahad, 30 Mei 2010

Kepada 'Kafir Bangga' : MELOGIKKAN PERISTIWA ISRA’ MI’RAJ

Isra’ Mi’raj adalah salah satu peristiwa penting dalam sejarah agama Islam yang mana kisahnya telah dirakamkan oleh Allah s.w.t secara ringkas pada permulaan surah Al-Israa’. Peristiwa besar ini berlaku pada malam 27 Rejab, sekitar tahun 621 masihi iaitu beberapa tahun sebelum Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah. Dalam peristiwa ini Baginda Rasulullah s.a.w telah diperjalankan pada malam hari dari Mekah ke Baitul Maqdis bersama sahabatnya Jibril a.s sebelum diangkat ke Sidratul Muntaha. Dalam peristiwa ini juga Rasulullah s.a.w telah menerima kewajipan solat lima waktu ke atas Baginda dan umat Islam seluruhnya. Kisah peristiwa Isra’ Mi’raj ini selain telah direkodkan di dalam Al-Quran dan hadis, turut diriwayatkan dengan sangat masyhur oleh para ulama’ dan ianya tertulis dalam kitab-kitab rujukan muktamad. Ia merupakan salah satu daripada sekian banyak mukjizat Rasulullah s.a.w yang mana umat islam wajib beriman dengannya dan mengingkari mukjizat rasul dikira kafir dan wajib bertaubat.

Namun begitu seperti biasanya musuh Islam yang mendewakan akal (atau sebenarnya syaitan) amat gemar menjadikan perkara-perkara mencarik adat ini sebagai tohmahan kepada agama Islam sedangkan jika dinilai semula ianya jelas menzahirkan kesilapan pihak yang mendakwa,bahkan semestinya agama Islam itu tiada kekurangan kerana datangnya dari tuhan yang mencipta sekelian alam. Lebih menyedihkan apabila tohmahan itu datangnya dari umat Islam sendiri yang tidak memahami agama anutannya lalu ketidakfahamannya itu menjadikan dia kufur sebelum bertanya.

LOGIK AKAL vs LOGIK TUHAN

Sebelum bercakap tentang Isra’ Mi’raj, lebih baik dijelaskan kedudukan akal manusia dan batas fikirannya. Islam merupakan agama yang paling mengiktiraf kedudukan akal manusia lantaran itu di dalam Al-Quran terdapat banyak sekali nas-nas yang menyuruh manusia merenung dan berfikir. Allah yang maha pemurah sentiasa mahu mengurniakan hikmah dan pengetahuan kepada hamba-hambanya yang mahu berfikir dan mencari rahsia di sebalik setiap kejadian alam ini. Di dalam satu ayat Al-Quran Allah telah menyebutkan bahawa sesiapa yang diberi hikmah maka sesunguhnya dia telah mendapat kebaikan yang banyak, dan hikmah ini tidaklah diperolehi percuma melainkan dengan berfikir dan merenung ciptaan tuhan.

Buktinya dengan kemajuan sains dan teknologi pada zaman ini telah banyak sekali ilmu Allah disingkapkan kepada manusia. Jika umat dahulu mengimani pengharaman arak dengan semata-mata ayat Al-Quran, umat hari ini diperlihatkan mudharatnya kepada akal dan jasad. Jika umat Islam dahulu hanya boleh membaca proses penciptaan manusia daripada setitis mani kepada seorang bayi di dalam Al-Quran, umat Islam kini bahkan sudah boleh menontonnya di dalam Youtube. Semuanya adalah rahmat daripada Allah s.w.t yang menyingkapkan ilmuNya kepada hamba yang mahu berfikir dan mengkaji. Apa yang tidak dibukakan kepada umat dahulu telah dibuka kepada umat hari ini mengikut perkembangan tingkat akal fikiran mereka. Namun begitu dengan nisbah kemampuan akal manusia yang terbatas, mereka hanya dapat memikirkan beberapa perkara sahaja dan selebihnya diserahkan kepada kebijaksanaan Allah s.w.t. Perkara-perkara ini jika disingkap kepada manusia boleh jadi akan punah akalnya yang kecil kerana mahu menampung ilmu Allah yang maha luas, seperti karamnya bot-bot pendatang asing yang terlebih muatan.

Buktinya, dengan kecanggihan teknologi di zaman ini masih ada perkara yang tidak dapat dijelaskan oleh kajian sains iaitu alam roh dan perkara ini awal-awal sudah dibataskan oleh Allah s.w.t pada 1400 tahun silam melalui firmannya yang bermaksud :
“…katakanlah (hai Muhammad) ruh itu adalah daripada urusan tuhanku, dan kamu tidak diberikan ilmunya melainkan sedikit” –Surah Al-Israa’,85.

MELOGIKKAN PERISTIWA ISRA’ MI’RAJ

Peristiwa Isra’ Mi’raj seperti yang telah diterangkan di atas, adalah mu’jizat Rasulullah s.a.w yang mana mu’jizat ini jika ditinjau fungsinya, sememangnya adalah untuk melemahkan atau melawan akal manusia. Bukan sahaja peristiwa Isra’ Mi’raj, bahkan sekian banyak mukjizat yang pernah dikurniakan kepada rasul-rasul tidak ada yang dapat dibuktikan oleh sains, seperti unta Nabi Soleh yang keluar daripada batu dan tongkat Nabi Musa yang bertukar menjadi ular. Apatah lagi perjalanan Rasulullah s.a.w yang naik ke langit dan pulang semula ke bumi dalam sekejap masa -hanya satu malam- dengan tanpa menaiki pesawat apatah lagi space shuttle. Perkara ini jika ditimbang dengan keterbatasan akal manusia, semestinya tidak logik, mustahi dan tidak masuk akal. Akan tetapi jika ditimbang dengan ilmu dan kuasa tuhan yang tiada batasan, maka tiada apa yang mustahil di atas dunia ini.

Namun begitu dalam menghadapi tohmahan daripada pihak kafir mulhidin yang tidak percayakan tuhan dan tidak menerima sebarang penjelasan berbentuk sami’na wa ato’na, mahu tidak mahu perkara begini perlu diberikan logiknya. Bukan mustahil….kerana sebenarnya semua perkara di dalam dunia ini logik dan masuk akal belaka. Cumanya ia tidak dibukakan kepada manusia (mungkin) kerana sebab yang telah dijelaskan di atas – akal manusia tidak tergagah untuk memahami logik tuhan. Hanya sesetengah perkara dibukakan kepada sesetengah hambaNya yang terpilih, seperti Imam Abu Hanifah yang dapat mengumpamakan kewujudan Allah seperti lemak di dalam susu – akal mengakui kewujudannya tapi tidak boleh menerangkan kedudukannya.

Begitu halnya peristiwa Isra’ Mi’raj. Perumpamaannya boleh dilihat dalam satu rakaman sirah perbualan Rasulullah dan para sahabat Baginda. Pada suatu hari Rasulullah s.a.w telah mengkhabarkan kepada para sahabatnya keadaan di akhir zaman di mana besi akan berterbangan di langit. Para sahabat pada waktu itu sangat hairan dan takjub apakah halnya besi berterbangan di langit sedangkan mereka pada waktu itu hanya menggunakannya sebagai senjata atau perkakasan. Kehairanan para sahabat r.a telah terjawab pada hari ini di mana Allah telah membukakan ilmuNya kepada umat akhir zaman lantas mereka mengenali besi-besi yang berterbangan ini sebagai KAPAL TERBANG.

Seperti juga kehairanan seorang fakir apabila mendengar perihal raja-raja yang berpinggan-mangkukkan emas walhal dia yang fakir, mahu memiliki emas pun tidak mampu. Pasti tidak masuk akalnya sebagai seorang fakir hendak berpinggan-mangkukkan emas sedangkan jika ditimbang dengan keadaan seorang raja yang sangat kaya, perkara itu langsung tidak mustahil.

Demikianlah jika Allah mahu membukakan rahsinya kepada manusia, tiada apa yang mustahil dan tidak masuk akal pada peristiwa Isra’ Mi’raj…..dan sekian banyak mukjizat para rasul.

MUKJIZAT MENGUJI KEIMANAN


Kembali kepada pokok pangkal perkara, tujuan utama mukjizat dijadikan ialah untuk menguji keimanan manusia terhadap tuhan. Puak-puak yang mengingkari mukjizat ini sebenarnya bukan mahu mencari kebenaran, sebaliknya ingin memalingkan manusia daripada mengimani kewujudan Allah Ta’ala. Mereka tidak akan mempertikaikan kewujudan Allah secara terus kerana ia telah dijawab oleh Imam Abu Hanifah pada kurun lampau, sebaliknya mereka beralih kepada mempertikaikan kuasa Allah dan keadilanNya dengan mendakwa ia tidak masuk akal dan sebagainya.Namun walau apa pun hujah yang cuba dibangkitkan oleh manusia, sama ada tuhan tidak adil mahupun tidak masuk akal atau apa sahaja; mereka tidak dapat menipu bahawa sememangnya ada kuasa yang dapat mengalahkan mereka, bahkan mencipta dan membataskan akal mereka dan kuasa itu adalah Allah ‘azzawajalla. Apa yang mendorong mereka untuk ingkar ialah keangkuhan mereka sendiri dan juga kepatuhan terhadap makhluk paling angkuh semesta alam – syaitan la’natullah alaih. Apabila keangkuhan dan kepatuhan ini yang menjadi penyebab, maka tiada guna segala penjelasan logik melainkan mereka perlu kembali merenung ke dalam diri dan mencari sisa tauhid yang masih berbekas di dalam hati.

Lebih dikesalkan apabila gejala ini turut menjangkiti umat islam yang tidak terdidik dengan agama (mahupun yang terdidik), yang mana mulanya sekadar mengikut pertikaian puak-puak syaitan ini kerana tidak faham tetapi lama kelamaan mereka benar-benar menjadi angkuh dan mengingkari kewujudan Allah s.w.t. Perkara ini sewajarnya diberi perhatian khusus oleh seluruh umat islam, dari alim ulama’ - supaya mereka turun mememberi kefahaman kepada umat; hingga orang awam - supaya mereka berusaha mencari ilmu dan meningkatkan kefahaman terhadap agama agar pohon iman tidak mudah patah saat direngkuh hasutan puak kafirin mulhidin.

Akhirnya mari bersama kita selami maksud daripada firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran, mafhumnya :
“…tiadalah kami menjadikan kiblat kamu yang dahulu itu melainkan supaya Kami ketahui orang-orang yang mengikuti Rasul daripada orang yang kembali kepada kekafiran. Sesungguhnya yang demikian itu amat berat, kecuali atas orang-orang yang ditunjuki Allah. Dan (sungguh) Allah tidak menyia-nyiakan keimanan kamu, sesungguhnya Allah sangat pengasih dan penyayang terhadap manusia” – surah Al-Baqarah, 143

p/s : Sekadar perkongsian ilmu. Sahabat-sahabat yang rajin bertalaqqi (yang xrajin pun boleh) silalah tambah tolak apa2 yang xkena dalam artikel ni. Teguran anda amat dialu2kan. Yang penting jom sama2 kita galas beban selamatkan umat islam dari kufur…alfu syukran.

Jumaat, 28 Mei 2010

Penghinaan Isra' Mi'raj -Rasulullah tunggu jawapan ANDA!

'Kafir bangga' hina Islam di Facebook, Youtube
Muhammad Yazid Othman Mei 4, 10 10:29am

Assalamualaikum,

Satu laman web Facebook seperti alamat berikut yang menggunakan 'ID' ataua nama samaran 'Kafir Bangga' telah menghina kesucian agama Islam melalui kenyataannya seperti di bawah:

'Israk & Mikraj Aku masih tak boleh faham macam mana manusia yang berakal boleh percaya akan cerita yang sebegini bodoh.'
Dari kenyataan tersebut secara jelas beliau menghina persitiwa Israk & Mikraj yang terdapat di dalam Islam.

Beliau juga telah mencipta sebuah klip video bagi menghina persitiwa Israk & Mikraj dan seterusnya menghina Junjungan Besar Nabi Muhammad S.A.W.

Beliau juga secara bangga mencabar pihak berkuasa menahannya melalui kenyataannya:

Kafir Bangga
eh, suka hati aku lah nak buat video. memang aku nak mempengaruhi orang lain. kau tau tak betapa susahnya aku nak hidup sebagai seorang murtad? orang islam di negara ni dah banyak menjahanamkan kehidupan manusia yang tidak bersalah. jadi aku rasa, aku ada hak untuk menyatakan kebenaran."
Kafir Bangga
aku pun harap polis dan jabatan agama islam jumpa video aku.


Kafir Bangga
jabatan agama islam campak orang2 murtad dalam 'pusat pemulihan' takda pulak kau nak kata menyentuhi sensitiviti agama. nak campak aku dalam ISA? campak arh! hahaha... tapi kena cari aku dulu la.
pergi talipon polis. pergi.... tekan 999. lepastu kata "encik, ada orang buat video youtube.". tak ka bodoh bunyinya?


Demi maruah dan kesuciaan Islam yang juga merupakan agama rasmi Persekutuan Malaysia, maka saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya ke atas beliau.

Disalin dari laman Malaysiakini http://malaysiakini.com/letters/130880

Rabu, 19 Mei 2010

Badi'uzzaman Said Nursi - Panglima Perang Saraf Menentang Sekularisme


Badi'uzzaman Said Nursi dilahirkan pada tahun 1873 di sebuah kampung bernama Nurs, di timur Anatolia. Gelaran 'Nursi' adalah sempena nama kampung ini. Beliau menerima pendidikan asas daripada para ulama' terkenal didaerahnya. Ketika masih muda, beliau telah menunjukkan kecerdikan dan kemampuan yang luar biasa untuk belajar. Hal ini membuatkannya terkenal di kalangan guru-guru,kawan-kawan dan orang ramai. Ketika berusia 16 tahun, beliau mengalahkan beberapa ulama' terkemuka yang telah menjemputnya ke satu majlis perbahasan (ketika itu perbahasan ialah satu amalan biasa di kalangan para ulama'). Kemudian beliau terus mengalahkan berbagai kumpulan ulama' lain sebanyak beberapa kali dalam majlis perbahasan. Selepas peristiwa ini, beliau pun digelar Badi'uzzaman (Kekaguman Zaman).

Pengalaman pendidikan yang beliau lalui telah membuka fikirannya untuk memikirkan cara bagi menghasilkan sebuah sistem pendidikan bersepadu. Ketika itu,dunia sedang memasuki satu zaman baru yang membawa angin perubahan. Satu zaman di mana sains dan logik memainkan peranan penting. Beliau berpendapat ilmu agama perlu diajar di sekolah-sekolah moden dan sekular, sebaliknya ilmu sains moden perlu diajar di sekolah-sekolah agama. Katanya: "..dengan cara ini, para pelajar di sekolah moden dilindungi dari kekufuran dan para pelajar di sekolah agama akan dilindungi dari sikap ta'asub".

Dalam usaha merealisasikan cita-citanya, beliau telah pergi ke Istanbul sebanyak dua kali. Kali pertama adalah pada tahun 1896 dan kali keduanya adalah pada tahun 1907. Beliau cuba meyakinkan Sultan Abdul Hamid agar membina sebuah universiti di Anatolia yang mengajar ilmu agama dan ilmu sains secara bersepadu. Tetapi ketika berbincang dengan Sultan Abdul Hamid, Badi'uzzaman telah menggunakan bahasa yang agak kasar sehingga menyebabkan beliau dibicarakan di mahkamah tentera. Di mahkamah tentera pula, beliau masih menggunakan bahasa yang sama. Lantaran terkejut dengan hal ini, para hakim mahkamah tentera telah menghantarnya ke sebuah hospital sakit jiwa untuk diperiksa. Walaubagaimanapun, doktor yang memeriksanya melaporkan "..jika Badi'uzzaman gila, maka tiada seorang manusia pun yang siuman di dunia ini". Dengan ini,beliau pun dibebaskan.

Kebebasan Pertama.

Seringkali Badi'uzzaman menjadi sasaran tuduhan (fitnah) yang bertentangan dengan niat dan cita-citanya. Ketika berlakunya pemberontakan 31 Mac 1909, beliau telah ditangkap dan dibicarakan di mahkamah tentera atas tuduhan mencetuskan kekacauan. Sebenarnya, beliau telah cuba mententeramkan keadaan dan telah berjaya melakukannya pada satu peringkat tertentu. Ketika mayat-mayat orang yang dihukum gantung masih di tiang gantung di luar mahkamah, Badi'uzzaman telah berjaya berhujah mempertahankan diri dan akhirnya telah dibebaskan.

Selepas itu beliau kembali ke timur Anatolia dan melawat kawasan-kawasan terpencil untuk menerangkan kepada rakyat bahawa gerakan pembebasan yang yang sedang ditubuhkan di Turki tidak bertentangan dengan islam. Beliau telah memberitahu mereka bahawa semua bentuk pemerintahan kuku besi (diktator) ditolak oleh undang-undang islam. Perundangan islam akan berkembang dan menunjukkan kemuliaannya di dalam suasana bebas merdeka. Kemudian beliau telah mengumpulkan syarahan-syarahannya itu di dalam sebuah buku bertajuk Perbahasan.

Pada musim sejuk tahun 1911, Badi'uzzaman pergi ke Damsyik untuk menyampaikan khutbah di Masjid Umayyad. Para pendengarnya termasuklah 100 ulama' yang terkenal. Dalam ceramahnya, beliau berkata bahawa tamadun sebenar yang berada pada islam akan berdiri tegak di dunia moden ini. Selepas itu, beliau pergi ke Istanbul sekali lagi untuk meneruskan usahanya agar sebuah universiti didirikan di Anatolia Timur. Badi'uzzaman kemudian menjadi wakil bagi timur Turki mengiringi Sultan Muhammad Resyad melawat Rumelia (sebuah daerah di Balkan). Ketika di Metohija, Kosovo, di mana Sultan bercadang untuk membina sebuah universiti, beliau pun berkata "…kawasan timur lebih memerlukan sebuah universiti kerana ia merupakan pusat dunia islam". Beliau berjaya meyakinkan Sultan Muhammad Resyad agar menyediakan peruntukan sebanyak 19,000 lira untuk tujuan itu. Beliau kemudian pergi ke Van dan meletakkan batu asas universiti tersebut. Tetapi malangnya, pembinaan universiti tersebut tidak dapat diteruskan kerana Perang Dunia Pertama meletus.

Dalam Perang Dunia Pertama, Badi'uzzaman menjadi pemimpin pasukan sukarelawan di medan perang Kaukasia dan Anatolia Timur. Keperwiraan yang telah ditunjukkan oleh beliau di medan pertempuran mendapat pujian dari para panglima tentera Turki Uthmaniah, termasuklah Anwar Pansya, Menteri Perang dan Ketua Turus Tentera ketika itu. Pasukannya telah digelar 'Pasukan Topi Bulu'. Pasukan ini telah menggerunkan tentera Rusia dan pengganas Armenia. Di medan perang inilah beliau telah menulis tafsirnya Isyaaratul I'jaaz di dalam bahasa Arab. Karyanya ini ditulis ketika beliau menunggang kuda di barisan hadapan dan di dalam kubu-kubu pertahanan. Tafsir ini kemudiannya mendapat penghargaan daripada para ulama' terkenal.

Keberanian dikagumi kawan dan lawan.

Dalam satu pertempuran menentang pencerobohan tentera Rusia, Badi'uzzaman dan 90 orang pegawai lain ditawan. Beliau dihantar ke khemah tahanan perang di Konsturna, di barat laut Rusia dan ditahan di situ selama dua tahun. Beliau pernah dijatuhkan hukuman tembak sampai mati kerana menghina Jeneral Nicholas Nicolavich, Ketua Turus Tentera Rusia di medan perang Kaukasia, yang juga merupakan bapa saudara Czar, raja Russia. Walaubagaimanapun, hukuman itu telah dibatalkan. Kisahnya diceritakan seorang saksi :

Pada suatu hari, Jeneral Nicholas Nicolavich melawat khemah tahanan tersebut dan berjalan di hadapan Badi'uzzaman tetapi ulama' itu tidak bangun menghormatinya. Bila ditanya mengapa beliau berbuat demikian, beliau lantas berkata "…saya seorang ulama' islam dan di dalam hati saya ada iman. Sesiapa sahaja yang ada iman di dalam hatinya adalah lebih mulia dari mereka yang tiada. Saya tidak boleh bertindak bertentangan dengan iman saya". Akibat dari peristiwa itu beliau kemudiannya dibicarakan di mahkamah tentera dan dijatuhkan hukuman mati. Sebelum hukuman dijalankan, beliau telah bersolat di hadapan pasukan penembak. Jeneral Nicholas Nicolavich yang melihat kelakuannya itu lantas sedar bahawa Badi'uzzaman bertindak demikian semata-mata kerana ingin berpegang teguh kepada imannya. Jeneral lalu datang meminta maaf kepada beliau atas gangguan tersebut.

Kekacauan yang meletus kerana Revolusi Komunis memberi peluang kepada Badi'uzzaman untuk melepaskan diri. Selepas melalui satu perjalanan yang jauh, beliau pun sampai ke Istanbul dalam tahun 1918. Di Istanbul, beliau dianugerahkan sebuah pingat penghormatan atas sumbangannya di medan perang. Anwar Pasya telah menawarkan kepadanya beberapa jawatan di dalam kerajaan tetapi beliau menolak. Namun begitu, atas cadangan pihak tentera beliau dilantik menjadi anggota Drul Hikmah Al-Islamiah tanpa pengetahuannya. Beliau tidak membantah kerana jawatan ini adalah jawatan ilmiah semata-mata.



Semasa negara Turki diceroboh oleh tentera penjajah selepas kalah dalam Perang Dunia Pertama, Badi'uzzaman telah menunjukkan penentangan yang terang-terangan kepada penjajah British. Hal ini hampir membuatkan nyawa beliau melayang. Di antara kata-kata yang ditujukan kepada British yang ditulis di dalam akhbar harian ialah "…wahai anjing yang dianjingkan ke pringkat anjing tertinggi.." dan "..ludahlah muka British yang terkutuk dan tidak tahu malu itu..". Lantaran itu beliau menjadi sasaran komplot bunuh pihak British. Namun dengan pemeliharaan Allah, beliau terhindar dari daripada ancaman tersebut dan terus berhadapan dengan tugas dan cabaran yang sedang menunggunya.

Penglibatan dalam politik.

Dalam tahun 1922, kerajaan Turki telah menjemputnya ke Ankara (waktu itu ibu negara Turki sudah berpindah dari Istanbul ke Ankara) tetapi beliau menolak. Akhirnya, selepas dijemput sebanyak 18 kali, barulah beliau bersetuju pergi ke Ankara. Beliau disambut oleh Dewan Perhimpunan Kebangsaan (Parlimen Turki) di Ankara dengan penuh istiadat. Namun apa yang dilihat di Ankara tidak seperti yang diharapkannya. Kebanyakan para perwakilan di Dewan Perhimpunan Kebangsaan lalai menunaikan kewajipan agama. Pada 19 Januari 1923, beliau mengeluarkan satu kenyataan untuk para perwakilan mengajak mereka menunaikan kewajipan bersolat. Hasilnya, 50 hingga 60 daripada mereka mula menunaikan solat dan kemudiannya angka ini semakin bertambah.

Badi'uzzaman meluangkan masanya selama lapan bulan di Ankara dan kemudian ke Van. Beliau menghabiskan dua tahun di Van dengan mengasingkan diri, beribadat dan berzikir. Sementara itu, satu pemberontakan berlaku di timur Turki. Para pemberontak meminta sokongan Badi'uzzaman kerana beliau sangat berpengaruh di kalangan rakyat tetapi beliau menolak dengan berkata "…pedang hendaklah digunakan ke atas musuh dari luar. Ia bukanlah untuk digunakan di dalam negeri. Hentikan usaha kamu itu kerana ia akan gagal. Bahkan akan mengakibatkan beribu-ribu orang yang tidak bersalah terbunuh lantaran tindakan beberapa orang penjenayah.."

Sekali lagi Badi'uzzaman difitnah dan mengakibatkannya dibuang ke Burdur. Di Burdur, beliau dikenakan pengawasan ketat dan menderita akibat penindasan dari pihak berkuasa. Hal ini langsung tidak menyekatnya dari menyebarkan kebenaran iman kepada orang ramai di sekeliling dan membukukan segala hasil penulisannya. Kegiatannya ini kemudian telah dikesan dan dilaporkan ke Ankara lalu satu rancangan diatur untuk menyekatnya. Pihak berkuasa kemudian menghantarnya ke Barla pula, sebuah tempat terpencil di bahagian tengah Anatolia. Tempat tersebut dikelilingi bukit-bukau dan mereka berharap Badi'uzzaman akan mati di situ dalam keadaan tidak bermaya dan keseorangan.

Di Barla, pengawasan ketat sedang menunggu Badi'uzzaman. Musuh-musuhnya masih belum mengenalinya lagi. Inilah orang yang ditakuti tentera Rusia ketika Perang Dunia Pertama. Inilah orang yang sanggup meludah muka British yang menjajah Istanbul. Inilah orang yang berjaya melepaskan diri dari tali gantung sebanyak beberapa kali. Akhirnya mereka mengenalinya juga apabila terpaksa berkata "…segala apa yang kami lakukan selama 25 tahun yang lepas tidak berjaya menyekat Said Nursi dari meneruskan kegiatannya".

Transformasi Mujaddid Iman : Kemunculan Risale-i Nur (Risalah yang Bercahaya)

Selepas itu berikutan kejatuhan Khilafah Uthmaniah, Negara Turki mula diselubungi kegelapan dan kezaliman. Azan telah diharamkan. Beratus-ratus masjid dihapuskan fungsinya sebagai tempat ibadah lalu dijalankan kegiatan bukan keagamaan. Pelbagai perancangan telah dijalankan untuk memutuskan Negara Turki daripada zaman silamnya yang terkenal dengan nilai-nilai akhlak yang mulia. Sesiapa yang bercakap mengenai agama memerlukan keberanian. Ketua Jabatan Percetakan Kerajaan boleh mengarah sidang pengarang akhbar supaya memotong sebarang makalah yang menyentuh isu agama dalam tempoh sepuluh hari atas alasan merbahaya kerana boleh menyemai konsep beragama dalam fikiran para belia.

Dalam suasana beginilah Badi'uzzaman Said Nursi memasuki fasa kedua hidupnya yang digelar 'Said Jadid' (Said yang Baru). Bahagian kedua dalam hidupnya ini ditumpukan sepenuhnya kepada penulisan dan penyebaran mengenai Iman dan Islam. Kebenaran Iman ialah kebenaran sejagat yang terpenting. Membangkitkan semula Iman dan Islam menjadi matlamatnya apabila beliau berkata "…saya akan buktikan kepada dunia bahawa Al-Quran adalah matahari rohani yang tidak akan luntur dan tidak akan padam", maka itulah yang diperjuangkannya. Badi'uzzaman tidak mati keseorangan di Barla, bahkan yang muncul ialah 'Said Jadid' yang imannya seumpama matahari, menyuluh hati berjuta-juta manusia dan menyinari dunia sains dan budaya.

Beliau telah menghabiskan hidupnya di Barla selama lapan tahun setengah di bawah penindasan yang dahsyat. Dalam tempoh tersebut, beliau sempat menulis tiga suku daripada Risale-i Nurnya. Kitab ini kesemuanya ditulis dengan tangan kerana pengarang dan para pelajarnya tidak mampu menyediakan belanja percetakan. Sekalipun mereka mampu, mereka tidak diberi kebebasan berbuat demikian lantaran keadaan yang merbahaya pada ketika itu. Sesiapa yang didapati berbuat demikian akan disiksa di penjara dan balai-balai polis. Pada masa yang sama, berbagai usaha dilakukan untuk menyekat orang ramai dari menghubungi Badi'uzzaman.



600,000 naskhah ditulis dengan tangan.

Pada 1935, Badi'uzzaman bersama 125 pelajarnya telah ditahan dan dibicarakan di Mahkamah Jenayah Eskisehir. Dalam tempoh perbicaraan berlangsung, mereka terpaksa menghabiskan 11 bulan dalam penjara Eskisehir yang penuh penderitaan. Beliau kemudian dipindahkan ke Kastamonu selama 7 tahun. Di sana, beliau masih terus menulis dan menyebarkan Risale-i Nur. Dari dalam tahanan, mereka telah menubuhkan rangkaian pengirim Risale-i Nur yang dipanggil 'Posmen Nur' (Nurju). Dengan usaha merekalah maka sebanyak 600,000 naskhah Risale-i Nur berjaya disebarkan ke seluruh Anatolia.

Ketika itu penulisan atau penyebaran walaupun hanya satu karya agama bukanlah sesuatu yang sesiapa pun berani lakukan. Inilah perjuangan berani yang berterusan yang menjadi pilihan Badi'uzzaman dan para pelajarnya. Apabila keadaan di mana Risale-i Nur ditulis dan disebarkan ke seluruh Anatolia diambil kira, maka betapa benarlah kata Maryam Jameelah, "…tidaklah keterlaluan untuk mengatakan bahawa apa saja keimanan Islam yang masih ada di Turki pada ketika itu adalah atas usaha tanpa penat dari Badi'uzzaman Said Nursi".

Perjuangannya tidak pernah reda sama ada di dalam buangan mahupun di penjara. Di dalam penjara, beliau telah bertindak memulihkan para banduan dan penjenayah yang dianggap tidak berguna oleh masyarakat. Beliau juga telah berjaya menghasilkan karya-karya baru walaupun kertas dan pen tidak dibenar masuk ke dalam penjara. Jadi, karyanya ditulis pada cebisan-cebisan yang dikoyak dari pembungkus kertas dan diseludup keluar di dalam kotak-kotak mancis. Karyanya yang berjudul 'Buah-Buah Iman' telah ditulis dengan cara ini.

Pada tahun 1943 beliau sekali lagi dibicarakan. Kali ini di Mahkamah Jenayah Denizli, atas tuduhan mencetak secara rahsia satu risalah mengenai kewujudan tuhan. Perbicaraan berakhir dengan keputusan beliau dibebaskan sebulat suara. Namun dengan arahan pihak berkuasa di Ankara, beliau dihantar pula ke Emirdag. Keadaan di Emirdag serupa seperti sebelum ini; beliau diawasi, diancam dan ditindas. Tempohnya di Emirdag sekali lagi berakhir dengan penahanannya beserta 53 pelajarnya lalu mereka dibicarakan di Mahkamah Jenayah Afyon selama 20 bulan. Kali ini kekejaman di Afyon lebih teruk berbanding yang lain. Badi'uzzaman yang sudah berusia 75 tahun dan menderita pelbagai penyakit telah dipenjarakan berseorangan di dalam sel yang tidak bertingkap. Di dalam sel inilah beliau menghadapi dua musim sejuk yang sangat mencabar. Apabila melihat musim sejuk pun tidak dapat membunuhnya, pihak musuh lalu meracuni Badi'uzzaman. Ada pendapat mengatakan beliau telah diracun sebanyak 19 kali.

Kepulangan.

Akhirnya pada tahun 1956, hukuman ke atas Badi'uzzaman dan pengikutnya telah dibatalkan oleh Mahkamah Agung dan mereka diisytiharkan tidak bersalah. Pada waktu itu Turki sudah beransur pulih dari zaman kegelapannya. Pemerintahan kejam Parti Republikan yang bencikan agama telah tamat dan pelbagai bentuk hak kebebasan mula diiktiraf. Dalam tahun-tahun berikutnya Badi'uzzaman terlibat dalam perbicaraan hanya sekali sahaja dan kali ini beliau dibebaskan dengan sebulat suara.

Selepas hampir seabad berkhidmat untuk Iman dan Islam, Badi'uzzaman Said Nursi dijemput pulang ke pangkuan Allah pada pagi 23 Mac 1960. Beliau telah pergi dengan penuh kemuliaan dan kemenangan. Hasil karyanya akan terus menyuluh alam dengan cahaya keimanan dan kasih sayang hingga ke nafas terakhir manusia di atas dunia.

Rabu, 12 Mei 2010

Kari Kumbang dan Jawapan Allah

Suatu petang pada fasa 1 yang lepas,saya bersendirian di bilik menapis2 kenangan lama.Teringat perangai-perangai buruk sejak kecil yang banyak melukakan hati orang sekeliling saya.Ada yang sudah berjaya di-nyahkan,ada yang saya masih terkial-kial mencari ubatnya.Perangai buruk,bukan semata2 melukakan hati orang lain tapi sebagai balasannya,hati sendiri menjadi gundah-gulana.Ini selalu saya rasai setiap kali tersilap menegur orang.Kerana merasa di pihak yang benar,kadang-kadang saya terlupa hati sahabat perlu dijaga.
Ya,sikap suka menegur ini adakalanya saya rasa bukan satu anugerah,bahkan satu nasib malang...kadang-kala saya teringin menjadi lembu yang dicucuk hidung daripada terlalu lantang menegur kebejatan di depan mata saya.

Sambil melayan blues-sambil bermuhasabah,satu persoalan hinggap di benak saya.Bagaimanakah uslub menegur yang terbaik,supaya yang menegur berpuas hati dan yang ditegur tidak terkilan?Saya tidak menemukan orang yang terbaik untuk menjawabnya kecuali satu...lalu soalan saya catatkan ke dalam nota hati saya-buku tulis bergambar dolfin yang manja itu.

Ya Allah,ajarkan aku uslub yang baik untuk menegur sahabat-saudaraku. Jangan teguranku membuat mereka semakin tertutup hati dan menjauhi kebenaran...dan jangan sampai aku menanggung dosa ghibah...

Selepas itu Faizah,adik bongsu kami memanggil makan.Saya keluar menyertai ahli bait menjamu hidangan malam kami-kari ikan yang baunya enak mencucuk selera.Sahabat-sahabat serumah seperti biasa riuh berceloteh mengelilingi talam sedang saya hanya diam memerhatikan hidangan.

Apa tu,dalam kuah kami ada butiran2 hitam sedang terapung mengorbit nasi.

Ahli bait turut melihat benda yang sama tetapi tiada seorang pun yang peduli.Saya mengesyaki sesuatu.Seusai mengaminkan doa makan,saya cuit sebutir dari talam dan saya cerlung tunak.

Ah,kumbang bubuk rempah.Mesti Faizah pakai rempah lama yang tak ber'seal' kat dalam kabinet tu...

Saya lihat ke talam yang digenangi kuah.Adik-beradik dah mula menyuap nasi (dan kumbang2 itu) ke mulut.Saya lihat pula ke periuk.Lauk (dan kumbang2 itu) masih banyak.Kalau saya katakan sekarang,pasti mereka semua akan berhenti makan dan membuang lauk itu serta-merta.Saya faham mereka semua sangat penggeli orangnya.Lauk akan terbazir dan Faizah akan malu.Sedangkan kumbang2 ini kalau dijamah tidakpun membawa mudarat.Cuma.....geli la~

Saya serba salah.Ahli bait perasan muka saya yang serba salah.Kak Wan mula membelek biji hitam yang menjadi perhatian saya.
"Awatnya,Syah? Apedia ni?"
"Takdak pa la Kak Wan,rempah dia...."
Akhirnya dengan senyum kelat,saya turut menyuap bersama mereka.Melihat saya makan,mereka turut menyambung makan dengan tanpa was-was.Dalam hati saya mengulum kesal,juga lucu.Kesal dengan sikap sambil lewa adik beradik saya terhadap makanan dan lucu kerana kami sedang melahap kumbang dengan gembira!

Sambil makan saya berfikir2.Betapa bahayanya sikap tidak peduli.Bagaimanakah jika yang terapung di dalam gulai ini adalah racun,kami semua akan mati beramai2 dengan gembira...Betapa bahaya juga teguran tidak berhikmah,kalau saya tegur direct ni sah2 lauk terbazir dan kami semua kelaparan malam ni.Tiba-tiba saya tersedar soalan saya tadi sudah terjawab.Uslub menegur terbaik yang saya minta sudah Allah tunjukkan tanpa saya sedari.Hati bertahmid dan bertasbih.Subhanallah,sungguh Engkau sangat dekat dengan hamba...

Selepas makan,saya kembali kepada buku nota saya yang comel.Sambil melepaskan ketawa yang saya tahan sejak tadi,saya catatkan sesuatu di muka surat sebelah...

Ya Allah,betapa Engkau nak mengajar aku rupanya...Aku kelu,masya Allah....dapat pengajaran terus dariMu..Ya Allah,terima kasih..
Kesimpulannya,jangan berhenti berfikir dan mengislah...syaratnya mestilah dengan penuh pertimbangan dan budi bicara.Kalau tak,teguran tu xkan jadi amar ma'ruf...tapi semata2 mengikut hawa nafsu..
Terima kasih Ya Allah


Lusa,selepas subuh berjemaah dan membaca Ar-Rahman-Waqi'ah,dan semestinya selepas kari kumbang Faizah habis licin,barulah saya membuka cerita.

"Korang tau tak apa benda yang hitam2 dalam kuah kari haritu?"
"Tak...."Faizah lekas menjawab dengan muka saspennya.Yalah,dia tukang masaknya.
"Kumbang"
"Haaaaaa?????"masing-masing terpekik."Tapi K.Aisyah makan!"
"Yelah,kalau akak tak makan kang,korang tau la tu kumbang...kang tak pasal2 lauk tu kena buang"
Geli hati saya tengok kerut herot di muka masing-masing.Ya,kerut herot itu yang saya tunggu,supaya pengajaran lebih diingati.
"Akak kesal betul tengok korang semasing sambil lewa je dengan makanan...dah terang2 benda tu pelik tapi xde yang nak belek.Tu nasib baik kumbang bubuk.Kalau racun,cemana?Mati kita ramai-ramai"
"Yelah,ingatkan rempah..."sorang menjawab.
"Benda pelik lain kali kena tengok betul2...bukan tengok sambil lalu je.Akak memang saje nak bagi korang rasa,biar korang ingat.Benda ni bukan soal makanan je,tapi berkaitan dengan cara korang menilai kehidupan.Nampak benda tak kena,kita fikir...kaji...bukan main telan je bulat2"
Masing-masing diam,saling berpandangan.
"Akak mintak maaf la biarkan korang makan kumbang.Tapi takpe la kan,akak pun makan jugak"
Barulah masing-masing tersengih.
"Ntah,K.Aisyah siap cicah dengan roti pulak lepas tu!Hiiii....."
Saya senyum senget.Saya makan tak memilih...Kami bising selepas itu menguja Faizah yang bingkas ke dapur mengambil bungkusan kari yang digunakannya.Memang karinya sudah berbubuk,tapi tak kelihatan kerana sudah bergelumang dengan warna merah.
"Lepas ni dah pakai rempah tu simpan terus dalam bekaslah.Letak luar tak tahan" musyrifah mengingatkan kami.
"Ha'ah,makan pun kene tengok2..jangan sambil lewa" saya menyambung.
Kami ketawa bersama-sama sebelum bersurai kembali ke 'sarang' masing-masing.

Ya Allah,mudah-mudahan kami akan selalu ingat...amin.