Rabu, 19 Mei 2010

Badi'uzzaman Said Nursi - Panglima Perang Saraf Menentang Sekularisme


Badi'uzzaman Said Nursi dilahirkan pada tahun 1873 di sebuah kampung bernama Nurs, di timur Anatolia. Gelaran 'Nursi' adalah sempena nama kampung ini. Beliau menerima pendidikan asas daripada para ulama' terkenal didaerahnya. Ketika masih muda, beliau telah menunjukkan kecerdikan dan kemampuan yang luar biasa untuk belajar. Hal ini membuatkannya terkenal di kalangan guru-guru,kawan-kawan dan orang ramai. Ketika berusia 16 tahun, beliau mengalahkan beberapa ulama' terkemuka yang telah menjemputnya ke satu majlis perbahasan (ketika itu perbahasan ialah satu amalan biasa di kalangan para ulama'). Kemudian beliau terus mengalahkan berbagai kumpulan ulama' lain sebanyak beberapa kali dalam majlis perbahasan. Selepas peristiwa ini, beliau pun digelar Badi'uzzaman (Kekaguman Zaman).

Pengalaman pendidikan yang beliau lalui telah membuka fikirannya untuk memikirkan cara bagi menghasilkan sebuah sistem pendidikan bersepadu. Ketika itu,dunia sedang memasuki satu zaman baru yang membawa angin perubahan. Satu zaman di mana sains dan logik memainkan peranan penting. Beliau berpendapat ilmu agama perlu diajar di sekolah-sekolah moden dan sekular, sebaliknya ilmu sains moden perlu diajar di sekolah-sekolah agama. Katanya: "..dengan cara ini, para pelajar di sekolah moden dilindungi dari kekufuran dan para pelajar di sekolah agama akan dilindungi dari sikap ta'asub".

Dalam usaha merealisasikan cita-citanya, beliau telah pergi ke Istanbul sebanyak dua kali. Kali pertama adalah pada tahun 1896 dan kali keduanya adalah pada tahun 1907. Beliau cuba meyakinkan Sultan Abdul Hamid agar membina sebuah universiti di Anatolia yang mengajar ilmu agama dan ilmu sains secara bersepadu. Tetapi ketika berbincang dengan Sultan Abdul Hamid, Badi'uzzaman telah menggunakan bahasa yang agak kasar sehingga menyebabkan beliau dibicarakan di mahkamah tentera. Di mahkamah tentera pula, beliau masih menggunakan bahasa yang sama. Lantaran terkejut dengan hal ini, para hakim mahkamah tentera telah menghantarnya ke sebuah hospital sakit jiwa untuk diperiksa. Walaubagaimanapun, doktor yang memeriksanya melaporkan "..jika Badi'uzzaman gila, maka tiada seorang manusia pun yang siuman di dunia ini". Dengan ini,beliau pun dibebaskan.

Kebebasan Pertama.

Seringkali Badi'uzzaman menjadi sasaran tuduhan (fitnah) yang bertentangan dengan niat dan cita-citanya. Ketika berlakunya pemberontakan 31 Mac 1909, beliau telah ditangkap dan dibicarakan di mahkamah tentera atas tuduhan mencetuskan kekacauan. Sebenarnya, beliau telah cuba mententeramkan keadaan dan telah berjaya melakukannya pada satu peringkat tertentu. Ketika mayat-mayat orang yang dihukum gantung masih di tiang gantung di luar mahkamah, Badi'uzzaman telah berjaya berhujah mempertahankan diri dan akhirnya telah dibebaskan.

Selepas itu beliau kembali ke timur Anatolia dan melawat kawasan-kawasan terpencil untuk menerangkan kepada rakyat bahawa gerakan pembebasan yang yang sedang ditubuhkan di Turki tidak bertentangan dengan islam. Beliau telah memberitahu mereka bahawa semua bentuk pemerintahan kuku besi (diktator) ditolak oleh undang-undang islam. Perundangan islam akan berkembang dan menunjukkan kemuliaannya di dalam suasana bebas merdeka. Kemudian beliau telah mengumpulkan syarahan-syarahannya itu di dalam sebuah buku bertajuk Perbahasan.

Pada musim sejuk tahun 1911, Badi'uzzaman pergi ke Damsyik untuk menyampaikan khutbah di Masjid Umayyad. Para pendengarnya termasuklah 100 ulama' yang terkenal. Dalam ceramahnya, beliau berkata bahawa tamadun sebenar yang berada pada islam akan berdiri tegak di dunia moden ini. Selepas itu, beliau pergi ke Istanbul sekali lagi untuk meneruskan usahanya agar sebuah universiti didirikan di Anatolia Timur. Badi'uzzaman kemudian menjadi wakil bagi timur Turki mengiringi Sultan Muhammad Resyad melawat Rumelia (sebuah daerah di Balkan). Ketika di Metohija, Kosovo, di mana Sultan bercadang untuk membina sebuah universiti, beliau pun berkata "…kawasan timur lebih memerlukan sebuah universiti kerana ia merupakan pusat dunia islam". Beliau berjaya meyakinkan Sultan Muhammad Resyad agar menyediakan peruntukan sebanyak 19,000 lira untuk tujuan itu. Beliau kemudian pergi ke Van dan meletakkan batu asas universiti tersebut. Tetapi malangnya, pembinaan universiti tersebut tidak dapat diteruskan kerana Perang Dunia Pertama meletus.

Dalam Perang Dunia Pertama, Badi'uzzaman menjadi pemimpin pasukan sukarelawan di medan perang Kaukasia dan Anatolia Timur. Keperwiraan yang telah ditunjukkan oleh beliau di medan pertempuran mendapat pujian dari para panglima tentera Turki Uthmaniah, termasuklah Anwar Pansya, Menteri Perang dan Ketua Turus Tentera ketika itu. Pasukannya telah digelar 'Pasukan Topi Bulu'. Pasukan ini telah menggerunkan tentera Rusia dan pengganas Armenia. Di medan perang inilah beliau telah menulis tafsirnya Isyaaratul I'jaaz di dalam bahasa Arab. Karyanya ini ditulis ketika beliau menunggang kuda di barisan hadapan dan di dalam kubu-kubu pertahanan. Tafsir ini kemudiannya mendapat penghargaan daripada para ulama' terkenal.

Keberanian dikagumi kawan dan lawan.

Dalam satu pertempuran menentang pencerobohan tentera Rusia, Badi'uzzaman dan 90 orang pegawai lain ditawan. Beliau dihantar ke khemah tahanan perang di Konsturna, di barat laut Rusia dan ditahan di situ selama dua tahun. Beliau pernah dijatuhkan hukuman tembak sampai mati kerana menghina Jeneral Nicholas Nicolavich, Ketua Turus Tentera Rusia di medan perang Kaukasia, yang juga merupakan bapa saudara Czar, raja Russia. Walaubagaimanapun, hukuman itu telah dibatalkan. Kisahnya diceritakan seorang saksi :

Pada suatu hari, Jeneral Nicholas Nicolavich melawat khemah tahanan tersebut dan berjalan di hadapan Badi'uzzaman tetapi ulama' itu tidak bangun menghormatinya. Bila ditanya mengapa beliau berbuat demikian, beliau lantas berkata "…saya seorang ulama' islam dan di dalam hati saya ada iman. Sesiapa sahaja yang ada iman di dalam hatinya adalah lebih mulia dari mereka yang tiada. Saya tidak boleh bertindak bertentangan dengan iman saya". Akibat dari peristiwa itu beliau kemudiannya dibicarakan di mahkamah tentera dan dijatuhkan hukuman mati. Sebelum hukuman dijalankan, beliau telah bersolat di hadapan pasukan penembak. Jeneral Nicholas Nicolavich yang melihat kelakuannya itu lantas sedar bahawa Badi'uzzaman bertindak demikian semata-mata kerana ingin berpegang teguh kepada imannya. Jeneral lalu datang meminta maaf kepada beliau atas gangguan tersebut.

Kekacauan yang meletus kerana Revolusi Komunis memberi peluang kepada Badi'uzzaman untuk melepaskan diri. Selepas melalui satu perjalanan yang jauh, beliau pun sampai ke Istanbul dalam tahun 1918. Di Istanbul, beliau dianugerahkan sebuah pingat penghormatan atas sumbangannya di medan perang. Anwar Pasya telah menawarkan kepadanya beberapa jawatan di dalam kerajaan tetapi beliau menolak. Namun begitu, atas cadangan pihak tentera beliau dilantik menjadi anggota Drul Hikmah Al-Islamiah tanpa pengetahuannya. Beliau tidak membantah kerana jawatan ini adalah jawatan ilmiah semata-mata.



Semasa negara Turki diceroboh oleh tentera penjajah selepas kalah dalam Perang Dunia Pertama, Badi'uzzaman telah menunjukkan penentangan yang terang-terangan kepada penjajah British. Hal ini hampir membuatkan nyawa beliau melayang. Di antara kata-kata yang ditujukan kepada British yang ditulis di dalam akhbar harian ialah "…wahai anjing yang dianjingkan ke pringkat anjing tertinggi.." dan "..ludahlah muka British yang terkutuk dan tidak tahu malu itu..". Lantaran itu beliau menjadi sasaran komplot bunuh pihak British. Namun dengan pemeliharaan Allah, beliau terhindar dari daripada ancaman tersebut dan terus berhadapan dengan tugas dan cabaran yang sedang menunggunya.

Penglibatan dalam politik.

Dalam tahun 1922, kerajaan Turki telah menjemputnya ke Ankara (waktu itu ibu negara Turki sudah berpindah dari Istanbul ke Ankara) tetapi beliau menolak. Akhirnya, selepas dijemput sebanyak 18 kali, barulah beliau bersetuju pergi ke Ankara. Beliau disambut oleh Dewan Perhimpunan Kebangsaan (Parlimen Turki) di Ankara dengan penuh istiadat. Namun apa yang dilihat di Ankara tidak seperti yang diharapkannya. Kebanyakan para perwakilan di Dewan Perhimpunan Kebangsaan lalai menunaikan kewajipan agama. Pada 19 Januari 1923, beliau mengeluarkan satu kenyataan untuk para perwakilan mengajak mereka menunaikan kewajipan bersolat. Hasilnya, 50 hingga 60 daripada mereka mula menunaikan solat dan kemudiannya angka ini semakin bertambah.

Badi'uzzaman meluangkan masanya selama lapan bulan di Ankara dan kemudian ke Van. Beliau menghabiskan dua tahun di Van dengan mengasingkan diri, beribadat dan berzikir. Sementara itu, satu pemberontakan berlaku di timur Turki. Para pemberontak meminta sokongan Badi'uzzaman kerana beliau sangat berpengaruh di kalangan rakyat tetapi beliau menolak dengan berkata "…pedang hendaklah digunakan ke atas musuh dari luar. Ia bukanlah untuk digunakan di dalam negeri. Hentikan usaha kamu itu kerana ia akan gagal. Bahkan akan mengakibatkan beribu-ribu orang yang tidak bersalah terbunuh lantaran tindakan beberapa orang penjenayah.."

Sekali lagi Badi'uzzaman difitnah dan mengakibatkannya dibuang ke Burdur. Di Burdur, beliau dikenakan pengawasan ketat dan menderita akibat penindasan dari pihak berkuasa. Hal ini langsung tidak menyekatnya dari menyebarkan kebenaran iman kepada orang ramai di sekeliling dan membukukan segala hasil penulisannya. Kegiatannya ini kemudian telah dikesan dan dilaporkan ke Ankara lalu satu rancangan diatur untuk menyekatnya. Pihak berkuasa kemudian menghantarnya ke Barla pula, sebuah tempat terpencil di bahagian tengah Anatolia. Tempat tersebut dikelilingi bukit-bukau dan mereka berharap Badi'uzzaman akan mati di situ dalam keadaan tidak bermaya dan keseorangan.

Di Barla, pengawasan ketat sedang menunggu Badi'uzzaman. Musuh-musuhnya masih belum mengenalinya lagi. Inilah orang yang ditakuti tentera Rusia ketika Perang Dunia Pertama. Inilah orang yang sanggup meludah muka British yang menjajah Istanbul. Inilah orang yang berjaya melepaskan diri dari tali gantung sebanyak beberapa kali. Akhirnya mereka mengenalinya juga apabila terpaksa berkata "…segala apa yang kami lakukan selama 25 tahun yang lepas tidak berjaya menyekat Said Nursi dari meneruskan kegiatannya".

Transformasi Mujaddid Iman : Kemunculan Risale-i Nur (Risalah yang Bercahaya)

Selepas itu berikutan kejatuhan Khilafah Uthmaniah, Negara Turki mula diselubungi kegelapan dan kezaliman. Azan telah diharamkan. Beratus-ratus masjid dihapuskan fungsinya sebagai tempat ibadah lalu dijalankan kegiatan bukan keagamaan. Pelbagai perancangan telah dijalankan untuk memutuskan Negara Turki daripada zaman silamnya yang terkenal dengan nilai-nilai akhlak yang mulia. Sesiapa yang bercakap mengenai agama memerlukan keberanian. Ketua Jabatan Percetakan Kerajaan boleh mengarah sidang pengarang akhbar supaya memotong sebarang makalah yang menyentuh isu agama dalam tempoh sepuluh hari atas alasan merbahaya kerana boleh menyemai konsep beragama dalam fikiran para belia.

Dalam suasana beginilah Badi'uzzaman Said Nursi memasuki fasa kedua hidupnya yang digelar 'Said Jadid' (Said yang Baru). Bahagian kedua dalam hidupnya ini ditumpukan sepenuhnya kepada penulisan dan penyebaran mengenai Iman dan Islam. Kebenaran Iman ialah kebenaran sejagat yang terpenting. Membangkitkan semula Iman dan Islam menjadi matlamatnya apabila beliau berkata "…saya akan buktikan kepada dunia bahawa Al-Quran adalah matahari rohani yang tidak akan luntur dan tidak akan padam", maka itulah yang diperjuangkannya. Badi'uzzaman tidak mati keseorangan di Barla, bahkan yang muncul ialah 'Said Jadid' yang imannya seumpama matahari, menyuluh hati berjuta-juta manusia dan menyinari dunia sains dan budaya.

Beliau telah menghabiskan hidupnya di Barla selama lapan tahun setengah di bawah penindasan yang dahsyat. Dalam tempoh tersebut, beliau sempat menulis tiga suku daripada Risale-i Nurnya. Kitab ini kesemuanya ditulis dengan tangan kerana pengarang dan para pelajarnya tidak mampu menyediakan belanja percetakan. Sekalipun mereka mampu, mereka tidak diberi kebebasan berbuat demikian lantaran keadaan yang merbahaya pada ketika itu. Sesiapa yang didapati berbuat demikian akan disiksa di penjara dan balai-balai polis. Pada masa yang sama, berbagai usaha dilakukan untuk menyekat orang ramai dari menghubungi Badi'uzzaman.



600,000 naskhah ditulis dengan tangan.

Pada 1935, Badi'uzzaman bersama 125 pelajarnya telah ditahan dan dibicarakan di Mahkamah Jenayah Eskisehir. Dalam tempoh perbicaraan berlangsung, mereka terpaksa menghabiskan 11 bulan dalam penjara Eskisehir yang penuh penderitaan. Beliau kemudian dipindahkan ke Kastamonu selama 7 tahun. Di sana, beliau masih terus menulis dan menyebarkan Risale-i Nur. Dari dalam tahanan, mereka telah menubuhkan rangkaian pengirim Risale-i Nur yang dipanggil 'Posmen Nur' (Nurju). Dengan usaha merekalah maka sebanyak 600,000 naskhah Risale-i Nur berjaya disebarkan ke seluruh Anatolia.

Ketika itu penulisan atau penyebaran walaupun hanya satu karya agama bukanlah sesuatu yang sesiapa pun berani lakukan. Inilah perjuangan berani yang berterusan yang menjadi pilihan Badi'uzzaman dan para pelajarnya. Apabila keadaan di mana Risale-i Nur ditulis dan disebarkan ke seluruh Anatolia diambil kira, maka betapa benarlah kata Maryam Jameelah, "…tidaklah keterlaluan untuk mengatakan bahawa apa saja keimanan Islam yang masih ada di Turki pada ketika itu adalah atas usaha tanpa penat dari Badi'uzzaman Said Nursi".

Perjuangannya tidak pernah reda sama ada di dalam buangan mahupun di penjara. Di dalam penjara, beliau telah bertindak memulihkan para banduan dan penjenayah yang dianggap tidak berguna oleh masyarakat. Beliau juga telah berjaya menghasilkan karya-karya baru walaupun kertas dan pen tidak dibenar masuk ke dalam penjara. Jadi, karyanya ditulis pada cebisan-cebisan yang dikoyak dari pembungkus kertas dan diseludup keluar di dalam kotak-kotak mancis. Karyanya yang berjudul 'Buah-Buah Iman' telah ditulis dengan cara ini.

Pada tahun 1943 beliau sekali lagi dibicarakan. Kali ini di Mahkamah Jenayah Denizli, atas tuduhan mencetak secara rahsia satu risalah mengenai kewujudan tuhan. Perbicaraan berakhir dengan keputusan beliau dibebaskan sebulat suara. Namun dengan arahan pihak berkuasa di Ankara, beliau dihantar pula ke Emirdag. Keadaan di Emirdag serupa seperti sebelum ini; beliau diawasi, diancam dan ditindas. Tempohnya di Emirdag sekali lagi berakhir dengan penahanannya beserta 53 pelajarnya lalu mereka dibicarakan di Mahkamah Jenayah Afyon selama 20 bulan. Kali ini kekejaman di Afyon lebih teruk berbanding yang lain. Badi'uzzaman yang sudah berusia 75 tahun dan menderita pelbagai penyakit telah dipenjarakan berseorangan di dalam sel yang tidak bertingkap. Di dalam sel inilah beliau menghadapi dua musim sejuk yang sangat mencabar. Apabila melihat musim sejuk pun tidak dapat membunuhnya, pihak musuh lalu meracuni Badi'uzzaman. Ada pendapat mengatakan beliau telah diracun sebanyak 19 kali.

Kepulangan.

Akhirnya pada tahun 1956, hukuman ke atas Badi'uzzaman dan pengikutnya telah dibatalkan oleh Mahkamah Agung dan mereka diisytiharkan tidak bersalah. Pada waktu itu Turki sudah beransur pulih dari zaman kegelapannya. Pemerintahan kejam Parti Republikan yang bencikan agama telah tamat dan pelbagai bentuk hak kebebasan mula diiktiraf. Dalam tahun-tahun berikutnya Badi'uzzaman terlibat dalam perbicaraan hanya sekali sahaja dan kali ini beliau dibebaskan dengan sebulat suara.

Selepas hampir seabad berkhidmat untuk Iman dan Islam, Badi'uzzaman Said Nursi dijemput pulang ke pangkuan Allah pada pagi 23 Mac 1960. Beliau telah pergi dengan penuh kemuliaan dan kemenangan. Hasil karyanya akan terus menyuluh alam dengan cahaya keimanan dan kasih sayang hingga ke nafas terakhir manusia di atas dunia.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan