Ahad, 30 Mei 2010

Kepada 'Kafir Bangga' : MELOGIKKAN PERISTIWA ISRA’ MI’RAJ

Isra’ Mi’raj adalah salah satu peristiwa penting dalam sejarah agama Islam yang mana kisahnya telah dirakamkan oleh Allah s.w.t secara ringkas pada permulaan surah Al-Israa’. Peristiwa besar ini berlaku pada malam 27 Rejab, sekitar tahun 621 masihi iaitu beberapa tahun sebelum Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah. Dalam peristiwa ini Baginda Rasulullah s.a.w telah diperjalankan pada malam hari dari Mekah ke Baitul Maqdis bersama sahabatnya Jibril a.s sebelum diangkat ke Sidratul Muntaha. Dalam peristiwa ini juga Rasulullah s.a.w telah menerima kewajipan solat lima waktu ke atas Baginda dan umat Islam seluruhnya. Kisah peristiwa Isra’ Mi’raj ini selain telah direkodkan di dalam Al-Quran dan hadis, turut diriwayatkan dengan sangat masyhur oleh para ulama’ dan ianya tertulis dalam kitab-kitab rujukan muktamad. Ia merupakan salah satu daripada sekian banyak mukjizat Rasulullah s.a.w yang mana umat islam wajib beriman dengannya dan mengingkari mukjizat rasul dikira kafir dan wajib bertaubat.

Namun begitu seperti biasanya musuh Islam yang mendewakan akal (atau sebenarnya syaitan) amat gemar menjadikan perkara-perkara mencarik adat ini sebagai tohmahan kepada agama Islam sedangkan jika dinilai semula ianya jelas menzahirkan kesilapan pihak yang mendakwa,bahkan semestinya agama Islam itu tiada kekurangan kerana datangnya dari tuhan yang mencipta sekelian alam. Lebih menyedihkan apabila tohmahan itu datangnya dari umat Islam sendiri yang tidak memahami agama anutannya lalu ketidakfahamannya itu menjadikan dia kufur sebelum bertanya.

LOGIK AKAL vs LOGIK TUHAN

Sebelum bercakap tentang Isra’ Mi’raj, lebih baik dijelaskan kedudukan akal manusia dan batas fikirannya. Islam merupakan agama yang paling mengiktiraf kedudukan akal manusia lantaran itu di dalam Al-Quran terdapat banyak sekali nas-nas yang menyuruh manusia merenung dan berfikir. Allah yang maha pemurah sentiasa mahu mengurniakan hikmah dan pengetahuan kepada hamba-hambanya yang mahu berfikir dan mencari rahsia di sebalik setiap kejadian alam ini. Di dalam satu ayat Al-Quran Allah telah menyebutkan bahawa sesiapa yang diberi hikmah maka sesunguhnya dia telah mendapat kebaikan yang banyak, dan hikmah ini tidaklah diperolehi percuma melainkan dengan berfikir dan merenung ciptaan tuhan.

Buktinya dengan kemajuan sains dan teknologi pada zaman ini telah banyak sekali ilmu Allah disingkapkan kepada manusia. Jika umat dahulu mengimani pengharaman arak dengan semata-mata ayat Al-Quran, umat hari ini diperlihatkan mudharatnya kepada akal dan jasad. Jika umat Islam dahulu hanya boleh membaca proses penciptaan manusia daripada setitis mani kepada seorang bayi di dalam Al-Quran, umat Islam kini bahkan sudah boleh menontonnya di dalam Youtube. Semuanya adalah rahmat daripada Allah s.w.t yang menyingkapkan ilmuNya kepada hamba yang mahu berfikir dan mengkaji. Apa yang tidak dibukakan kepada umat dahulu telah dibuka kepada umat hari ini mengikut perkembangan tingkat akal fikiran mereka. Namun begitu dengan nisbah kemampuan akal manusia yang terbatas, mereka hanya dapat memikirkan beberapa perkara sahaja dan selebihnya diserahkan kepada kebijaksanaan Allah s.w.t. Perkara-perkara ini jika disingkap kepada manusia boleh jadi akan punah akalnya yang kecil kerana mahu menampung ilmu Allah yang maha luas, seperti karamnya bot-bot pendatang asing yang terlebih muatan.

Buktinya, dengan kecanggihan teknologi di zaman ini masih ada perkara yang tidak dapat dijelaskan oleh kajian sains iaitu alam roh dan perkara ini awal-awal sudah dibataskan oleh Allah s.w.t pada 1400 tahun silam melalui firmannya yang bermaksud :
“…katakanlah (hai Muhammad) ruh itu adalah daripada urusan tuhanku, dan kamu tidak diberikan ilmunya melainkan sedikit” –Surah Al-Israa’,85.

MELOGIKKAN PERISTIWA ISRA’ MI’RAJ

Peristiwa Isra’ Mi’raj seperti yang telah diterangkan di atas, adalah mu’jizat Rasulullah s.a.w yang mana mu’jizat ini jika ditinjau fungsinya, sememangnya adalah untuk melemahkan atau melawan akal manusia. Bukan sahaja peristiwa Isra’ Mi’raj, bahkan sekian banyak mukjizat yang pernah dikurniakan kepada rasul-rasul tidak ada yang dapat dibuktikan oleh sains, seperti unta Nabi Soleh yang keluar daripada batu dan tongkat Nabi Musa yang bertukar menjadi ular. Apatah lagi perjalanan Rasulullah s.a.w yang naik ke langit dan pulang semula ke bumi dalam sekejap masa -hanya satu malam- dengan tanpa menaiki pesawat apatah lagi space shuttle. Perkara ini jika ditimbang dengan keterbatasan akal manusia, semestinya tidak logik, mustahi dan tidak masuk akal. Akan tetapi jika ditimbang dengan ilmu dan kuasa tuhan yang tiada batasan, maka tiada apa yang mustahil di atas dunia ini.

Namun begitu dalam menghadapi tohmahan daripada pihak kafir mulhidin yang tidak percayakan tuhan dan tidak menerima sebarang penjelasan berbentuk sami’na wa ato’na, mahu tidak mahu perkara begini perlu diberikan logiknya. Bukan mustahil….kerana sebenarnya semua perkara di dalam dunia ini logik dan masuk akal belaka. Cumanya ia tidak dibukakan kepada manusia (mungkin) kerana sebab yang telah dijelaskan di atas – akal manusia tidak tergagah untuk memahami logik tuhan. Hanya sesetengah perkara dibukakan kepada sesetengah hambaNya yang terpilih, seperti Imam Abu Hanifah yang dapat mengumpamakan kewujudan Allah seperti lemak di dalam susu – akal mengakui kewujudannya tapi tidak boleh menerangkan kedudukannya.

Begitu halnya peristiwa Isra’ Mi’raj. Perumpamaannya boleh dilihat dalam satu rakaman sirah perbualan Rasulullah dan para sahabat Baginda. Pada suatu hari Rasulullah s.a.w telah mengkhabarkan kepada para sahabatnya keadaan di akhir zaman di mana besi akan berterbangan di langit. Para sahabat pada waktu itu sangat hairan dan takjub apakah halnya besi berterbangan di langit sedangkan mereka pada waktu itu hanya menggunakannya sebagai senjata atau perkakasan. Kehairanan para sahabat r.a telah terjawab pada hari ini di mana Allah telah membukakan ilmuNya kepada umat akhir zaman lantas mereka mengenali besi-besi yang berterbangan ini sebagai KAPAL TERBANG.

Seperti juga kehairanan seorang fakir apabila mendengar perihal raja-raja yang berpinggan-mangkukkan emas walhal dia yang fakir, mahu memiliki emas pun tidak mampu. Pasti tidak masuk akalnya sebagai seorang fakir hendak berpinggan-mangkukkan emas sedangkan jika ditimbang dengan keadaan seorang raja yang sangat kaya, perkara itu langsung tidak mustahil.

Demikianlah jika Allah mahu membukakan rahsinya kepada manusia, tiada apa yang mustahil dan tidak masuk akal pada peristiwa Isra’ Mi’raj…..dan sekian banyak mukjizat para rasul.

MUKJIZAT MENGUJI KEIMANAN


Kembali kepada pokok pangkal perkara, tujuan utama mukjizat dijadikan ialah untuk menguji keimanan manusia terhadap tuhan. Puak-puak yang mengingkari mukjizat ini sebenarnya bukan mahu mencari kebenaran, sebaliknya ingin memalingkan manusia daripada mengimani kewujudan Allah Ta’ala. Mereka tidak akan mempertikaikan kewujudan Allah secara terus kerana ia telah dijawab oleh Imam Abu Hanifah pada kurun lampau, sebaliknya mereka beralih kepada mempertikaikan kuasa Allah dan keadilanNya dengan mendakwa ia tidak masuk akal dan sebagainya.Namun walau apa pun hujah yang cuba dibangkitkan oleh manusia, sama ada tuhan tidak adil mahupun tidak masuk akal atau apa sahaja; mereka tidak dapat menipu bahawa sememangnya ada kuasa yang dapat mengalahkan mereka, bahkan mencipta dan membataskan akal mereka dan kuasa itu adalah Allah ‘azzawajalla. Apa yang mendorong mereka untuk ingkar ialah keangkuhan mereka sendiri dan juga kepatuhan terhadap makhluk paling angkuh semesta alam – syaitan la’natullah alaih. Apabila keangkuhan dan kepatuhan ini yang menjadi penyebab, maka tiada guna segala penjelasan logik melainkan mereka perlu kembali merenung ke dalam diri dan mencari sisa tauhid yang masih berbekas di dalam hati.

Lebih dikesalkan apabila gejala ini turut menjangkiti umat islam yang tidak terdidik dengan agama (mahupun yang terdidik), yang mana mulanya sekadar mengikut pertikaian puak-puak syaitan ini kerana tidak faham tetapi lama kelamaan mereka benar-benar menjadi angkuh dan mengingkari kewujudan Allah s.w.t. Perkara ini sewajarnya diberi perhatian khusus oleh seluruh umat islam, dari alim ulama’ - supaya mereka turun mememberi kefahaman kepada umat; hingga orang awam - supaya mereka berusaha mencari ilmu dan meningkatkan kefahaman terhadap agama agar pohon iman tidak mudah patah saat direngkuh hasutan puak kafirin mulhidin.

Akhirnya mari bersama kita selami maksud daripada firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran, mafhumnya :
“…tiadalah kami menjadikan kiblat kamu yang dahulu itu melainkan supaya Kami ketahui orang-orang yang mengikuti Rasul daripada orang yang kembali kepada kekafiran. Sesungguhnya yang demikian itu amat berat, kecuali atas orang-orang yang ditunjuki Allah. Dan (sungguh) Allah tidak menyia-nyiakan keimanan kamu, sesungguhnya Allah sangat pengasih dan penyayang terhadap manusia” – surah Al-Baqarah, 143

p/s : Sekadar perkongsian ilmu. Sahabat-sahabat yang rajin bertalaqqi (yang xrajin pun boleh) silalah tambah tolak apa2 yang xkena dalam artikel ni. Teguran anda amat dialu2kan. Yang penting jom sama2 kita galas beban selamatkan umat islam dari kufur…alfu syukran.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan