Sabtu, 30 Oktober 2010

Akhirnya, kita tak jadi apa-apa

Panas sekali pertemuan semalam dengan isu Malaysia. IFF, Adam Lambert, tsunami, ETP, pub dan spa, penyelewengan sejarah, sitem pendidikan, Sufiah dan Amalina, sampai berpatah balik ke ARMA. Berderau-derau darah mahasiswa melepas amuk. Tersembur-sembur.

Akhirnya ada yang bertanya, apakah penyelesaiannya?

"Kerajaanla! Kalau kerajaan baik insya Allah la boleh ubah semua ni. Macam sekarang kita duduk bawah ni tak ada kuasa, tengok je la."

Pulak!
Lepastu apa gunanya berorganisasi? Lepastu apa hasilnya bertahun-tahun dalam organisasi? Yang terpenting apa kesudahannya sijil yang dibawa pulang kalau sekadar untuk tengok di bawah?

Pagi sebelumnya,berbual dengan adik dari kuliah pergigian yang takut-takut menyuarakan kesal,
"Kat kawasan rumah saya tu ada je budak-budak yang balik mesir. Tapi senyap je. Tak buat apape pun. Kenapa kat sini bukan main lagi ligat sampai bermusuh-musuh,tapi balik Malaysia tak buat apape?"

Pagi ini, seorang adik lain bertanya pula..."kenapa tak ada tabung untuk menderma? bila rasa nak berderma takkan nak cari orang kot?"
si kakak membalas, "sabar la, sabar la dulu...memang ada tapi sabar la dulu"-menjawab sambil bergulung dengan bantal dan selimut.

Bila diseru memboikot pihak itu dan ini yang suka membuat onar, dengan lantang sekali kita menyahut dengan sepenuh semangat. Tetapi bila diseru -oleh pihak yang sama- untuk memboikot ekonomi kuffar, yang sah lidahnya tidak megucap dan dahinya tidak bersujud, dengan lantang juga kita berdalih dengan pelbagai hujah yang bersimpang-siur.

Dengan segala jerit lantang, akhirnya kita tak jadi apa-apa...

Liqa' bersama perantis saya malam tadi, satu demi satu wasiat saya bentangkan. Belas melihat wajahnya yang pening dengan lambakan kerja, lantas saya membuat kesimpulan,
"Dik, jangan pening-pening. Apa yang akak cerita dari mula tadi awak lupakan. Yang itu akak boleh cerita semula bila awak tanya. Cuma satu akak nak awak ingat, benda yang awak pegang ni adalah wasilah. Matlamatnya ialah dakwah. Ramai orang disibukkan dengan wasilah ni sampai terlupa matlamat. Dik, tanamkan dalam hati segala yang awak kutip tahun ni adalah senjata jihad awak di Malaysia. Kalau tidak, satu tahun ni hanya sia-sia. Ingat dik."

Suka saya kongsikan perbualan dengan Ust. Lah, Penasihat Agama di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah. Orangnya lembut dan ke-ayah-an, tetapi sebenarnya seorang penyelidik untuk Jabatan Mufti pada masa lalu. Dia bertanya kami, seorang demi seorang "Kamu anak Kolumpo? Kamu? Kamu?"
Kami semua mengangguk - walaupun saya tinggal di Selangor- lalu pakcik yang sempoi itu tersenyum penuh makna. Haru, puas.....
"Dulu, tak ada orang Kolumpo yang datang ngaji Mesir. Tak macam Kedah, Kelantan. Orang Kolumpo yang ada empat lima orang je. Yang empat lima orang ni balik Malaysia berceramah kat masjid-masjid, ajar agama, bagi kefahaman kat orang kampung. Sekarang alhamdulillah, anak-anak Kolumpo sampai dah boleh dapat bangunan sendiri. Ni la hasil perjuangan generasi kami, akhirnya ramai orang Kolumpo hantar anak mengaji agama."

Dunia adalah tempat persinggahan, akhiratlah yang kekal abadi.
Mesir adalah tempat mengumpul bekalan, Malaysialah medan perjuangan yang hakiki.
Allahumma arinal Haqqa Haqqan, wa arinal Baatila Baatilan........

Isnin, 25 Oktober 2010

IMHOTEP - NABI @ PENYIHIR ZAMAN FIRAUN?


Sihir merupakan salah satu elemen yang penting dalam peradaban Mesir Kuno. Ia berakar umbi ke zaman sebelum penulisan sejarah dan pengaruhnya begitu meluas hingga menjadi akidah yang diimani oleh pemimpin dan rakyat. Ia menguasai segenap sudut kehidupan dan peraturan-peraturan di zaman tersebut. Para penyihir dianggap ‘belahan tuhan’, diberi kedudukan istimewa di samping raja, menjadi teman berbincang dan tilikan mereka dijadikan sumber rujukan dalam setiap keputusan kerajaan.


Para dukun penyihir menisbahkan kuasa sihir mereka kepada dewa-dewi, seperti kuasa menyuburkan tanah disandarkan kepada dewi kesuburan (Isis). Begitu juga sihir yang menghasilkan kejahatan disandarkan kepada dewa-dewa jahat dan ia dipanggil ‘sihir gelap’. Kemudian kuasa-kuasa sihir yang telah ‘didewakan’ tersebut dijadikan nama-nama kuil seperti Kuil Isis, Kuil Horus dan sebagainya. Ini menjadi antara punca bagaimana terhasil sekian banyaknya dewa-dewi yang menjadi sembahan dalam kepercayaan Mesir Kuno.


Demikian juga kepercayaan mereka terhadap tangkal memberi kesan yang besar dalam pembinaan tamadun. Egyptologist Mesir, Salim Hasan menulis dalam ensaiklopedianya berkenaan tangkal, “Tangkal-tangkal sihir menjadi sumber hukum dan panduan yang memandu setiap perbuatan individu dalam kehidupan bermasyarakat”.

Hal ini berlanjutan hingga akhir fasa Kerajaan Lama.


Kemudian Imhotep muncul di Kuil Ptah di Menphis membawa risalah suci dan ilmu pengetahuan yang digelar ‘Triad Perubatan-Senibina-Seni Lagu’. Beliau dianggap ‘Dukun Sihir Agung’ apabila sihir ( baca: mukjizat )nya berjaya melampaui kebolehan dukun-dukun sihir pada masa tersebut. Beliau memulakan dengan sihir perubatan yang telah menyembuhkan pelbagai penyakit yang tidak ditemui penawarnya. Bersama sihir tersebut, Imhotep menyampaikan seruan dakwahnya yang tak lain tak bukan, ialah seruan kepada mentauhidkan Tuhan yang esa, Tuhan segala tuhan ( dewa-dewi sembahan mereka ) yang memberikan kesembuhan dan tidak meminta balasan atas segala nikmatNya. Imhotep, dalam melakukan perawatan tidak mengenakan sebarang bayaran bahkan meminta pesakitnya supaya tidak melakukan nazar hingga penyakit mereka sembuh, agar kelak kesembuhan itu menjadi penguat iman dan syukur mereka.


Kebolehannya ini tersebar ke seluruh dinasti, rakyat datang berduyun-duyun menemui beliau hingga akhirnya ibukota Mesir dipindahkan dari On ( yang sebelumnya menerima risalah tauhid Osiris )ke Menphis. Beliau menerima pengiktirafan yang tinggi dari Maharaja Djoser yang memerintah pada zaman tersebut dan diberi ruang mentadbir negara di sisi baginda.


Kemasyhuran Imhotep tidak terbatas setakat sihir perubatan yang telah menyebabkannya didewakan olah bangsa Rom dan Greek, bahkan kebolehan beliau melampaui disiplin ilmu lain dan membuktikan bahawa beliau adalah nabi, pesuruh Allah. Seorang pengkaji telah menulis di dalam bukunya, Imhotep’s Life : “ Ketika mana kuil-kuil di Mesir hanya tertumpu kepada satu-satu sihir tertentu, Imhotep dengan kebolehannya yang pelbagai telah mengalahkan Kuil Matahari di On dan mengangkat Kuil Ptah di Menphis menjadi pusat perhimpunan dukun-dukun besar. Mereka menggelarnya sebagai ‘Dukun Agung Kuil Ptah, Pembawa Mukjizat Ilmu Pengetahuan Suci’. Mereka beriman dengan mukjizat beliau yang melampaui kebolehan mereka dalam pelbagai bidang.


Antara bidang lain yang mendapat sentuhan mukjizat Imhotep ialah senibina. Sejarawan menyifatkan Imhotep sebagai ‘Dukun Senibina’ dan ‘Bapa Pembinaan’. Ini berdasarkan kepada binaan mukjizat beliau yang menimbulkan kehairanan setiap generasi zaman-berzaman. Beliaulah yang bertanggungjawab dalam pembinaan piramid pertama pada zaman Maharaja Djoser, yang mana sebelum itu kuburan raja-raja hanya dibuat daripada batu lumpur. Jika ditinjau pada pembinaan piramid, para saintis tidak dapat membongkar rahsia pembinaannya hingga ke hari ini. Bagaimanakah batu yang beratnya bertan-tan boleh dipotong, digilap dan diangkut dari gunung kemudian disusun mengikut kiraan yang tepat menjadi sebuah binaan kukuh? Semuanya menimbulkan tanda tanya lalu direkalah pelbagai teori untuk melenyapkan persoalan masing-masing.




Namun jauh dari pengetahuan umum, persoalan ini telah dijawab oleh ahli sihir Mesir Kuno seperti yang tertulis dalam sebuah skroll yang ditemui dalam kubur salah seorang dukun Kuil Ptah. Skroll yang usianya kembali ke zaman kegemilangan Kerajaan Lama itu, tercatat padanya nama ‘Dukun Sihir Agung’ dan kisah bagaimana beliau menggunakan sihirnya untuk memindahkan blok-blok batu tanpa melibatkan sebarang tenaga manusia!1. Ini cukup menjelaskan rahsia pembinaan Piramid Mesir yang selama ini menjadi teka-teki, sekaligus menyangkal teori-teori karut ciptaan saintis barat yang mendakwa piramid dibina dengan jentera kayu, gelongsor pasir mahupun buruh-buruh paksa. Catatan dalam skroll ini cukup memberitahu kepada umum bahawa segala teori barat adalah khayalan mereka semata-mata dan jauh tersasar dari hakikatnya.


Seorang saintis Swiss menulis komennya berkenaan catatan tersebut :


“ Apa yang disebut sebagai kuasa sihir itu membuktikan bahawa tamadun Mesir kuno sudah menemui tenaga janaan alam semesta. Mereka telah mengetahui perbezaan setiap pancaran, had laju dan fungsinya yang membolehkan mereka mamanipulasi medan magnet secara teknikal mahupun dengan perantaraan sihir. Secara tidak langsung ini turut membenarkan penemuan para pengkaji bahawa mereka – Tamadun Mesir Kuno- telah menemui pancaran laser dan menggunakannya dalam pembuatan alat perhiasan dan perubatan”.


Pada abad lepas, dunia industri telah memasuki fasa baru dengan penemuan uranium di pergunungan Laut Merah, yang mana penemuan ini berpandukan peta lombong dari tamadun Mesir kuno. Lokasi-lokasi ini disebut “Biakhu”, atau logam-logam terkumpul. Rahsia ini telah lama disimpan rapi oleh para dukun (@saintis) dan ia memainkan peranan penting dalam pembinaan peradaban Mesir kuno.


Ahli sejarah memberi pelbagai sanjungan kepada Imhotep. Masing-masing menggelarnya sebagai pendamping Osiris, anak Dewa Ptah, Penyihir lagu dan sebagainya. Bahkan beliau diangkat menggantikan dewa Nefertem lantas menjadi salah satu daripada triniti kepercayaan Kuil Ptah – Ptah-Sekhmet- Imhotep. Seorang pengkaji, K.Seetha, menyifatkan kemunculan Imhotep di Menphis telah meletakkannya setaraf dengan dewa-dewi, hatta ‘tuhan’ sembahan di Kuil Ptah sendiri. Kebolehannya tak lain adalah mukjizat dan kekuatan langit yang dikurniakan Allah kepada pembawa-pembawa risalah tauhid, yang menjadi menjadi pelindung para rasul dan nabi-nabi.




Maka,sihir yang menjadi senjata perisai syirik itu digunakan olah Imhotep untuk menundukkan pendewaan makhluk dan menegakkan akidah Tauhid di muka bumi.


- Artikel dipetik dari kitab :

Min Asrar Hadhaarah Faraa’inah – As-Sihr was Saharah ‘Inda Qudama’ Misriyyin (Rahsia Peradaban Firaun - Sihir dan Penyihir Mesir Kuno), Dr.Saiyid Karim2, Maktabah Nahdhatu Misr, 2006.


1 Catatan turut ditemui pada skroll yang tersimpan di Muzium Lofer di Paris.

2 Dr. Saiyid Karim, Pensyarah Senibina Universiti Kaherah dan Egyptologist muslim Mesir.



Selasa, 12 Oktober 2010

Suatu Masa Dulu, Suatu Masa Kini.........

(Bet dengan abang, post seterusnya ialah terjemahan artikel arab. Kerana xtertahan nak menulis saya langgar permintaannya. Sori bang, terjemahan artikel akan menyusul dalam post berikutnya, insyaAllah)


Suatu Masa Dulu...
Budi adalah sakti
Budi tak dijual beli
Budi sangat diingati

Suatu Masa Dulu...
Atas Budi ditambat janji
Janji setia Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun
Takkan mengaib dan berbunuh

Suatu Masa Dulu...
Atas Budi, raja didaulat
Air kaki raja menjadi ubat
Ketulahan raja China yang tak kenal pangkat

Suatu Masa Dulu...
Budi bahasa diberi percuma
Budi bahasa maruah harganya
Budi bahasa tiada galang gantinya

Suatu Masa Dulu....
Atas Budi, nenek moyang bergurindam

Pisang emas dibawa berlayar
Masak sebiji di atas peti
Hutang emas boleh dibayar
Hutang budi dibawa mati


Suatu Masa Kini,
Budi tiada nilai erti
Yang ada hanya tuan dan kuli
tunjuk sana tunjuk sini

Suatu Masa Kini,
Budi hanya hiasan di akhbar
Jadi lencana menteri dan pembesar
Ditolak tarik ikut selera besar

Suatu Masa Kini,
Budi bahasa harganya diletak
Aku bayar, kau bergerak
No Money, No Talk

Suatu Masa Kini,
Budi itu gantinya duit
Diberilah istilah menyelit-nyelit
Panggil rasuah kang, orang hamun bukan sikit

Suatu Masa Kini,
Budi itu andalnya ringgit
Aku dah kredit, ngko kene debit
Belakang hari jangan ngko menguit

Suatu Masa Kini,
Kerana budi hilang maruah
Idea tenaga habis ditarah
Balasnya bukan ukhuwah mahupun hadiah
Tapi ludah dan sampah

Suatu Masa Dulu....
Budi itu hadiah
Dari tuhan yang maha pemurah
Budi pencetus saudara dan ukhuwah
Budi membina masyarakat bermaruah

Suatu Masa Kini,
Budi itu sampah
Pemberinya dilayan tak bermaruah
Dicampak ke tepi mahupun ke bawah
Dek ulat dan lintah-lintah

Alahai Budi.........