Jumaat, 16 Disember 2011

Kembalikan Persaudaraan Islam di Nusantaraku.

PADANG 23 Mei - Kira-kira enam bulan selepas dilanda gempa yang meranapkan kediaman dan pelbagai kemudahan asas, kini tersergam indah klinik awam di Kampung Gasan Gadang, Padang Pariaman, kira-kira dua jam perjalanan dari Kota Padang.

Pegawai Daerah Padang Pariaman, Drs. Muslim Kasim ketika berucap pada majlis penyerahan bangunan itu berkata, klinik berkenaan merupakan yang terbaik dibina di kawasannya dan ia dibangunkan dengan penuh semangat dan perasaan kemanusiaan.

Muslim yang berterima kasih kepada kerajaan dan rakyat Malaysia serta pasukan Mercy Malaysia atas sumbangan itu, turut memuji tindakan cepat Mercy Malaysia dalam membantu masyarakat di situ melalui waktu paling mencabar dalam kehidupan pasca gempa bumi itu.

Pada sidang akhbar selepas itu, beliau berkata, usaha dilakukan oleh Mercy itu mewakili perasaan sebenar rakyat Malaysia terhadap rakyat Indonesia yang sentiasa menganggap sebagai saudara serumpun.

"Inilah kenangan yang indah buat kami daripada masyarakat dan kerajaan Malaysia," katanya.

Menurut beliau, pelbagai isu negatif yang dibangkitkan oleh segelintir pihak sebenarnya tidak menggambarkan situasi sebenar di akar umbi, sebaliknya ia lebih kepada kepentingan pihak tertentu bagi mendapatkan sokongan politik.

Mercy Malaysia katanya, telah membina "jambatan" perhubungan rakyat Malaysia dan Indonesia melalui misi bantuan kemanusiaan yang sekali gus menyampaikan perasaan prihatin rakyat Malaysia kepada saudara mereka di Republik itu di saat pertolongan itu sangat-sangat diperlukan.

(Petikan Akhbar Utusan Malaysia selepas bencana gempa bumi Padang)

Islam sudah lama menyatukan bangsa yang beradab sopan di Nusantara ini di bawah satu naungan.walapun nama dan pimpinan berganti tapi hakikatnya panji islam tak pernah jatuh.kejatuhan Samudera-Pasai disambut kasih oleh Melaka dan kejatuhan Melaka disambut ta'zim oleh Acheh.hinggalah tentera salib datang melanggar secara besar-besaran lalu kita pun menjadi dua saudara yang lupakan agama,lupakan sejarah dan saling bercakaran.....

TETAPI,bagaimanapun manusia mahu memotong aliran sungai,alirannya tetap akan bertemu di muara.bagaimanapun penjajah KAFIR BARAT mahu menghancurkankan UMAT ISLAM-MELAYU di nusantara,memecahkan tanah kita dengan batas sempadan,melagakan kita dengan persengketaan,hati kita akan tetap bersatu atas kasih seagama dan fitrah kemanusiaan....

SEBARKAN MESEJ KASIH SAYANG INI KEPADA TEMAN-TEMAN MALAYSIA/INDONESIA ANDA.AYUH GENERASI MUDA BANGKITLAH DARI TIPUDAYA MUSUH.KITA BINA SEMULA EMPAYAR MELAKA DAN ACHEH DI BUMI BERTUAH INI!

Kesultanan Melaka

Empayar Muslim Aceh

Khamis, 27 Oktober 2011

Rehlah ke Matruh & Siwa

Katakanlah : Perhatikanlah apa yang ada di langit dan bumi. Tidaklah bermanfaat tanda-tanda kekuasaan Allah dan rasul-rasul yang memberi peringatan bagi orang-orang yang tidak beriman” Surah Yunus, 101.

Pada September lepas Alhamdulillah berkesempatan mengikuti rehlah tahunan yang dianjurkan HEWI PMRAM ke Matruh dan Siwa. Istimewanya rehlah pada tahun ini diadakan pada penghujung musim panas berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya pada bulan Julai. Cuaca sederhana dan lawatan menjadi sangat selesa. Matruh dan Siwa menawarkan pakej pelancongan yang lengkap daripada keindahan alam hingga kesan-kesan peninggalan sejarah. Walaupun terletak di wilayah paling barat negara Mesir namun lawatan ke sana memberikan pengalaman berharga dan terasa sangat berbaloi. Tambah menyeronokkan apabila rehlah kali ini turut disertai pelajar perubatan.

Info Matruh

Marsa Matruh merupakan sebuah wilayah Mesir yang bersempadan dengan Negara Libya. Ia terletak di persisiran laut Mediterranean dan berjiran dengan Iskandariah. Di pertengahan antara Marsa Matruh dan Iskandariah ialah bandar Al-‘Alamin yang pernah menjadi medan pertempuran Perang Dunia Kedua. Pusat bandarnya, Matruh merupakan bandar pelancongan yang hanya ‘dibuka’ pada musim panas. Sebaik musim panas berakhir Matruh akan lengang dari pelancong hingga tiba musim panas berikutnya. Dengan berlatarbelakangkan laut biru dan pasir pantai memutih, Matruh dihuni tidak sampai sejuta penduduk dan sumber pendapatan penduduk bandar ini sebahagian besarnya ialah pelancongan.

Perjalanan ke Matruh

Malam 24 September, kami berkumpul di Rumah Kedah Haiyu Sabie’. Kenderaan yang disediakan ialah sebuah bas dan koster (mini bus dengan air-cond). am 12 malam rombongan bertolak. Perjalanan ke Marsa Matruh memakan masa enam jam merentas padang pasir. Melalui lebuh raya sahrawi Cairo - Alex, kami mengambil susur keluar ke Al-‘Alamin menuju Marsa Matruh. Lebih kurang tiga jam berjalan, pukul satu lebih saya terjaga. Kiri - kanan, atas – bawah dan belakang gelap gelita. Hanya di depan ada tempias cahaya lampu bas dan besi penanda berjalur di atas tar. Kami di tengah lebuh raya padang pasir yang sunyi sepi. Atas langit taburan bintang kelihatan sangat jelas seolah-olah berada di angkasa. Subhanallah, Subhanallah sangat kagum pada mulanya tapi selepas itu terasa sayu mencucuk-cucuk dalam hati. Terfikir beginikah perjalanan Hijrah yang dilalui Baginda Nabi? Tentunya lebih teruk tanpa bas laju seperti yang saya naiki. Dalam sunyi padang pasir seperti di planet Marikh, benar-benar terasa Tuhan itu dekat. Patutlah doa orang musafir itu makbul. Patutlah dibolehkan berbuka puasa Ramadhan dan meng-qasar solat. Memanglah sesuai bumi tandus ini menjadi tapak turunnya wahyu. Keadaannya yang ekstrim menjadi rahmat untuk umat manusia di belahan dunia lain. Melihat jalan panjang tak berpenghujung yang gelap – gelita bertambah2 sayu hati.

Ya Allah, beginikah titian sirat? Ini hanya lebuhraya dunia yang saya lalui dengan bas yang nyaman dengan teman di kiri - kanan sudah terasa sangat sayu, bagaimana titian sirat kelak yang akan ditempuh seorang diri? Bagaimana?

Mesej ke Ibu di Malaysia melepaskan sayu hati. Dah rasa lega saya pejam semula. Kalau boleh nak menikmati sinaran bintang hingga ke pagi tapi takut tak cukup rehat untuk lawatan besok di Matruh. Terima kasih Ya Allah kerana bangunkan saya. Sangat berharga pengajaran malam ini.

Jam empat pagi kami berlabuh di perhentian di Al-‘Alamin menunaikan solat subuh. Syeikh Umar Mukhtar, hero Libya melawan penjajah Itali pada Perang Dunia Kedua diabadikan namanya pada sebuah kafeteria bersebelahan masjid. Dalam samar-samar subuh saya lihat sebuah binaan agam di seberang jalan, betul-betul berhadapan perhentian. Hairan juga tengok bangunan apa gelap-gelita, rupanya tugu peringatan tentera Itali yang terkorban dalam peperangan. Oh, tugu tentera Itali vs. kafe Syeikh Umar Mukhtar – ‘pertempuran’ yang menarik.

Dari Al-Alamin sambung tiga jam lagi perjalanan ke Matruh. Kami menyusur pantai tandus Mediterranean sambil menikmati fajar yang segan-segan di balik awan mendung. Kelihatan projek pembinaan resort dan kediaman musim panas sedang rancak berjalan. Hacienda Bay dan Emirates Height yang bersepah iklannya di Kaherah rupanya sedang dibangunkan di Matruh. Memang mewah. Ketibaan kami pada jam tujuh disambut hujan renyai dan ombak bergelora. Pusat bandar Matruh lanskapnya betul-betul mirip Iskandariah. Cuma keadaan terlalu sunyi dan tak ada seorang manusia pun kelihatan di jalan kecuali tentera berkawal di beberapa kawasan.

Waktu lapang hingga zohor kami manfaatkan dengan menjelajah pantai. Langit mula cerah menampakkan wajah sebenar Matruh – laut sebiru langit dan pasir putih macam Tohinah! (Tohinah ialah sos kacang arab berwarna putih macam sagun. Apa? Tak tau sagun? Cari sendiri la). Selepas zohor lawatan bermula di pantai Cleopatra. Dalam perjalanan ke pantai Cleopatra kami melalui markaz tentera udara Mesir. Sepanjang temboknya ditulis puisi patriotik yang sangat mengujakan. Kekuatan persenjataan Mesir memang tak boleh diragukan lagi. Di setiap wilayah ada kem mereka hatta Matruh yang sunyi sepi!

Masih dalam wilayah Matruh, Pantai Cleopatra tak jauh beza dengan yang lainnya. Cuma di sini ombak sangat kuat dan pengunjung tak dibenarkan mandi. Tarikan utama ialah ‘Hamam’ ataupun tempat mandi Cleopatra yang ditebuk dalam sebuah batu besar. Di dalam Hamam tak ada apa-apa ukiran atau lukisan purba melainkan contengan pengunjung. Ada dua tebukan lubang di depan dan belakang Hamam untuk air masuk dan keluar mengikut arah ombak. Betul bijak arkitek dia ni... Lawatan disambung ke Pantai ‘Ajibah di hujung Matruh. Bas berhenti di puncak bukit dan pantai terletak jauh di bawah sana. Lihat dari atas, pantai ni berupa teluk yang cantik dengan tebing bukitnya dihakis angin seperti canyon. Subhanallah, memang ‘ajib! Saya luangkan masa melukis di sini sambil ‘bergaduh’ dengan buku yang asyik nak terbang. Sebelum balik sambar air tin dua biji berharga sepuluh geneh. Punyalah mahal tapi memikirkan kepayahan diorang mengangkut air tin tu enam jam lalu padang pasir, tak apalah. Tolong la sikit, dah la industri pelancongan tengah merudum ni.....

Pulang ke pusat bandar, hari merangkak maghrib. Barulah nampak bandar hidup dengan manusia berkeliaran. Kami dilepaskan bershopping di Suq (pasar) Libya. Dengar bunyi macam jual barang import dari Libya tetapi rupanya lebih banyak barang keperluan harian. Adalah dua-tiga kedai cenderahati dan kedai pakaian yang mencetak t-shirt segera. Aqilah sempat menyambar sehelai t-shirt­ bercetak gambar Pantai ‘Ajibah yang diambil dari kameranya sendiri. Macam mana pun Suq Libya ni tetap unik dengan pilihan barangannya yang sangat banyak seolah2 penduduk Matruh 20 juta orang. Dari rempah ratus, kasut - beg, alat tulis sampai pakaian dalam memang berpinar mata nak buat pilihan!

Suasana di dalam Hamam Cleopatra.Lubang air masuk.

Pantai Ajibah


Salah satu gerai di Suq Libya

Oasis Siwa

Puas berehat semalaman, besoknya seawal pagi kami bertolak ke Siwa. Dari pesisir pantai kami menempuh enam jam lagi perjalanan menuju ke tengah gurun sahara. Siwa ialah sebuah oasis atau dataran hijau di tengah padang pasir. Kedudukannya yang lebih rendah dari paras laut menyebabkan kawasan ini sangat subur dengan air segar dari bumi. Siwa seperti tak terkesan dengan musim gugur – cuacanya sangat terik mengalahkan musim panas di Iskandariah. Sekali lagi menempuh padang pasir, di setiap beberapa kilometer (xkira pulak) kelihatan stesen ambulan dan menara pemancar. Sampai ke Siwa, tempat pertama yang dilawati ialah Jabal Mauta (Mountain of The Dead). Tempat ini ialah sebuah bukit batu yang ditebuk menjadi kuburan. Makam Si-Amun, raja Greek berketurunan firaun satu-satunya yang dijaga rapi di sini. Bumbung dan dinding makam dipenuhi lukisan bercirikan tamadun Yunani dengan pengaruh dari tamadun firaun. Dari puncak Jabal Mauta dapat dilihat pemandangan keseluruhan Oasis Siwa – dataran subur dikelilingi hamparan gurun tandus. Sangat menakjubkan!

Dari Jabal Mauta kami melalui pekan Siwa menuju ke dalam kebun kurma. Pekan Siwa sangat comel dan tradisional. Kebanyakan binaan termasuk kediaman masih berdindingkan lumpur dan beratapkan pelepah kurma. Suasana lebih tenang dan sunyi dari Matruh. Rata-rata penduduknya berkulit gelap dan bertubuh kecil seperti orang Melayu. Syariat Islam diamalkan dengan teguh seiring cara hidup badwi. Perempuan-perempuan mereka tidak kelihatan di jalan-jalan dan kalau ada pun, berkelubung hitam seluruh tubuh. Kami melawat Kuil Amun yang terletak jauh di dalam rimbunan kebun kurma. Kuil yang ‘memanjat’ tinggi ke puncak bukit ni dikatakan pernah disinggahi Alexander The Great, pengasas Iskandariah. Kemudian dari kuil Amun rombongan bergerak ke kolam Cleopatra. Di tengah perjalanan kami berhenti di satu lagi runtuhan kuil firaun. Tiada apa yang tinggal melainkan gerbang yang dipenuhi ukiran hidup dan timbunan tiang-tiang agam menyembah bumi. Di belakang gerbang itu kerja-kerja ekskavasi masih dijalankan. Memandangkan cuaca panas terik, tak ada peserta yang mahu turun di sini. Saya? Mujur bateri kamera sudah habis di kuil pertama tadi. Kalau tak memang dua bas ni kena tunggu saya turun melawat!

Terdapat dua kolam Cleopatra di Siwa. Satu yang besar sedalam lima meter, satu yang kecil sikit sedalam tujuh meter. Kami cuma melawat kolam yang besar sahaja memandangkan bas tidak boleh masuk ke kawasan kolam kedua. Kolam ini airnya sangat jernih dengan dasarnya dipenuhi keladak seperti kolam air panas. Tebing kolam dibina tinggi dan kami langsung tidak dapat mencecah airnya. Di tepi kolam berdiri sebuah kafe dengan dekorasi arab badwi asli, siap dengan meja pool dan sofa kayu di bawah teduhan pokok kurma. Sweet sangat! Kami berhenti makan tengahari di sini. Selepas itu lawatan disambung ke tasik garam. Dalam perjalanan ke sana kami ditunjukkan sebuah paip besar yang memancutkan air deras ke dalam sebuah takungan. Menurut musyrif yang memimpin rombongan, paip itu ditanam sejauh 40 meter ke dalam tanah dan airnya keluar sendiri tanpa sedutan pam. Memancut-mancut kalah paip Syabas pecah!

Pemandangan di tasik garam tak kalah hebat. Tasik air masin terbentang di kiri-kanan jalan dengan dua keadaan berbeza, sebelah masih berupa tasik dengan genangan air jernih dan sebelah lagi airnya kering menjadi garam memutih. Kagum lagi. Maha suci Allah yang Kursinya-Nya meliputi langit dan bumi. Kami turun ke tasik yang kering mengutip garam. Sambil kutip sambil ketawakan member yang kakinya terbolos masuk dalam garam rapuh. Garam tu tak adalah tebal bermeter-meter macam salji. Paling tebal pun lima-enam cm, tak tahulah kawasan tengah macam mana. Sudah berdarah tangan korek garam, sambung lagi berjalan ke destinasi terakhir, kota lama Siwa. Kota lama ni terletak di sebuah bukit. Dari bawah sampai ke puncak dapat dilihat dinding-dinding lumpur yang senget-benget dan sesetengahnya masih kukuh menyokong atap batang kurma. Kota ini asalnya dihuni penduduk Siwa kemudian ditinggalkan apabila rumah-rumah moden dibina. Menjelang asar kami berhenti solat di pekan Siwa. Sambil musyrif sibuk mendapatkan tempahan kurma, kami bersantai menikmati air mineral asli. Air mineral Aman Siwa – bukan tak ada jual di tempat lain tapi nikmat berbeza bila diminum di tempat asalnya. Lewat petang barulah kami keluar dari oasis Siwa, menempuh lagi enam jam perjalanan kembali ke Matruh. Lawatan ditutup dengan satu lagi panorama indah – matahari terbenam di gurun. Subhanallah, indah nian!



Makam raja Si-Amun di Jabal Mauta




Al – Alamin battlefield

Pagi hari ketiga kami dilepaskan bermandi-manda di pantai. Jam sebelas keluar dari penginapan, kami singgah ke destinasi penutup, Al-Alamin. Kawasan ini terletak berhadapan laut. Tapi jangan bayangkan macam Port Dickson, dari Alex Ke Matruh pantai Mesir ni memang tak ada pokok! Al-Alamin boleh juga dipanggil ‘bandar orang mati’ kerana di sekitarnya terdapat beribu-ribu kubur tentera antarabangsa yang cuba menjajah Mesir pada Perang Dunia Kedua. Bandar ini saban tahun menerima kunjungan ahli keluarga tentera yang terkorban dalam peperangan. Di sini kami melawat ke satu tempat sahaja iaitu muzium perang.

Istimewanya muzium ini, di lamannya dipamerkan kenderaan-kenderaan yang pernah digunakan dalam WW-II. Dari pesawat, kereta perisai, meriam anti pesawat, trak askar dan kereta kebal semua dipamerkan semula. Dewan pameran pula dibahagikan mengikut negara penjajah bermula dari Itali hingga British. Suasana muzium benar-benar hidup dengan sebahagian besar bahan pameran adalah sisa tinggalan medan perang. Dari peluru hingga diari tentera yang terlibat, melihat tinggalan ini buat hati lebih tersayat pilu dari berputik bangga. Muzium Al-Alamin yang dibina dengan tajaan Eropah jelas cuba mewar-warkan kehebatan mereka. Dialog-dialog kemenangan dicatatkan dengan megah tapi yang tersirat adalah kesombongan melampaui batas. Tentera-tentera ini mungkin anak-anak muda yang ikhlas ingin pertahankan negara, atau sekadar anak-anak petani biasa tetapi dipaksa terjun ke medan. Yang puasnya ialah politikus tamak di kerusi empuk. Dari awal sampai akhir pameran saya hanya terfikir, peperangan ni memang sia-sia.....

Peace, no war!


Antara pameran di Muzium Al-Alamin

Beg tinggalan medan perang

Antara kenderaan perang yang dipamerkan

Memoir...........

Selepas makan tengahari di kafe muzium, kami bertolak pulang ke Kaherah. Tak banak yang menarik dalam perjalanan pulang dek masing-masing peserta tertidur keletihan. Sampai semula ke Haiyu Sabie’ jam lapan malam. Alhamdulillah ‘alas salamah. Tak puas tiga hari. Rehlah ke Matruh dan Siwa benar-benar satu pengalaman yang bermakna. Semoga pengalaman yang dikutip menjadi ibrah buat menempuh hidup mendatang.

Jumaat, 21 Oktober 2011

Ke arah minat sains yang mendalam

JIKA membaca akhbar-akhbar utama negara, berita-berita tentang Bajet 2012 dan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU) merupakan antara topik yang mendapat perhatian.

Manakan tidak, kedua-duanya, secara langsung atau tidak amat berkaitan dengan kehidupan bermasyarakat di Malaysia. Namun, mari kita berehat sebentar dan alihkan perhatian terhadap perbincangan lain pula.

Perbincangan yang dimaksudkan adalah tentang dunia sains, yang sebenarnya penting tetapi kelihatan amat terasing dalam kehidupan bermasyarakat di Malaysia. Perhatikan sekeliling.

Bila bercakap tentang bajet mahupun PRU, semua orang merasakan mereka layak dan boleh berbicara tentang dua isu itu tetapi bila bercakap tentang dunia sains, ramai berasakan biarlah pihak pakar sahaja yang menguruskannya.

Ini satu cara berfikir yang salah kerana peranan ahli masyarakat sebenarnya penting dalam usaha melonjakkan dunia sains negara ke arah kejayaan dan dalam masa sama dapat dipastikan bahawa aktiviti sains berjalan pada landasan yang benar.

Dalam sebuah buku bertajuk Science and Ethics yang ditulis oleh Bernard E. Rollin, seorang profesor dalam bidang veterinar dan kini memberi tumpuan terhadap persoalan nilai dan etika dalam dunia sains, terdapat beberapa perkara menarik yang boleh dikongsikan bersama.

Di dalam buku ini dinyatakan bahawa satu ketika dulu, dunia sains merupakan satu dunia yang hebat dan dikagumi di Barat. Maka, tidak hairanlah, ada kumpulan yang menganggap sains sebagai satu "agama" baru. Namun, kehebatan dunia sains itu semakin terhakis dan tercemar.

Menurut Rollin, hal ini berlaku kerana pengabaian terhadap aspek-aspek nilai dan etika dalam sains. Beliau merujuk contoh permasalahan alam sekitar kini sebagai sebahagian daripada pengabaian terhadap nilai dan etika sains.

Oleh itu, Rollin menyeru ahli sains kembali kepada nilai dan etika kerana dengan cara ini, bukan sahaja dapat mengelakkan salah laku dalam kegiatan sains tetapi dalam masa sama dapat mengembalikan kepercayaan dan minat masyarakat terhadap sains.

Katanya, jika ahli sains tidak cuba membincangkan serta melibatkan nilai dan etika dalam kegiatan sainsnya, maka persoalan itu akan dibincangkan oleh "orang lain" yang bukan pakar dalam sains.

Perbincangan oleh orang lain ini akan hanya memburukkan keadaan, iaitu melemahkan imej sains dan saintis. Antara 'orang lain' yang dimaksudkan Rollin ialah golongan agama.

Dalam masa sama, Rollin melihat bahawa ahli sains perlu bergaul dengan pakar-pakar atau individu dari pelbagai bidang lain. Ini kerana kesepaduan pelbagai pakar atau ahli dalam pelbagai bidang boleh membentuk aspek check and balance dalam kegiatan sains.

Hal ini perlu kerana bagi Rollin, saintis kadang kala gagal melihat sesuatu perkara atau kegiatannya dari sudut etika, maka kumpulan dalam bidang lain itu akan bertindak sebagai 'tukang tegur'.

Berdasarkan penerangan di atas, elok juga kita lihat perbincangan Rollin ini dalam konteks negara Malaysia. Secara umumnya, penulis tidak nampak masyarakat Malaysia hilang keyakinan terhadap sains dan saintis. Ini kerana, pada asalnya pun, masyarakat Malaysia seolah-olah tidak peduli akan sains dan apa yang dilakukan oleh saintis.

Antara masyarakat dan dunia sains di Malaysia seolah-olah ada satu jurang. Malah boleh dikatakan bahawa masyarakat tidak tahu (dan mungkin tidak peduli) apa yang dilakukan saintis. Jika ini diterima maka persoalan hilang keyakinan sebenarnya tidak wujud langsung.

Namun, dari satu sudut lain, banyak perkara yang berlaku di sekeliling memerlukan penjelasan dan penyelesaian dari sudut sains. Malah, jika dilihat dalam konteks masyarakat Muslim di Malaysia, penjelasan dan penyelesaian sains demi kelangsungan dan kelancaran hidup masyarakat Muslim, adalah amat diperlukan.

Pada masa kini, dengan perkembangan sains dan teknologi yang pesat, penjelasan dan penyelesaian sains dalam aspek-aspek pemakanan dan perubatan amat diperlukan. Misalnya, isu makanan ubah suai genetik, biofarmaseutikal, pendermaan organ, kesan merokok, pengklonan, bank genetik, kaedah persenyawaaan tiruan dan yang terbaru Bank Susu Ibu, semuanya memerlukan penjelasan dan penyelesaian sains.

Penjelasan dan penyelesaian sains ini pula tidak seharusnya berdiri sendiri tetapi perlu dibantu dari sudut syariah Islam. Dengan itu, peranan ahli agama amat diperlukan.

Oleh itu, dalam konteks masyarakat Islam di Malaysia, golongan agamawan tidak boleh dianggap sebagai "memburukkan keadaan" seperti mana yang dijelaskan di atas.

Sewajarnya, golongan ini dianggap sebagai pelengkap kepada kegiatan dan dunia sains demi kesejahteraan umat Islam di Malaysia.

Malah, golongan saintis seharusnya melihat golongan agama sebagai salah satu 'rakan pergaulan dari pelbagai bidang' seperti mana yang disarankan Rollin.

Dalam hal ini, kerjasama saintis dan ahli-ahli dalam pelbagai bidang bukan bersifat 'sekali-sekali'. Malah, sewajarnya menjadi budaya dalam masyarakat kita, saintis dan ahli-ahli dalam pelbagai bidang berbincang dan berdebat tentang pelbagai persoalan sains pada setiap masa. Walaupun ini agak sukar dilakukan namun jaringan hubungan seperti ini wajar diusahakan, sama ada dalam keadaan formal mahupun tidak.

Akhirnya, kesepaduan seperti ini akan memberi manfaat besar kepada umat Islam terutamanya dari segi menyelesaikan masalah sains yang berkaitan dengan kehidupan masyarakat Muslim.

Di Malaysia, terdapat pelbagai isu berkaitan sains yang memerlukan pandangan dan penyelesaian dari sudut syariah Islam, misalnya dalam bentuk fatwa. Pada ketika ini, masyarakat bukan sahaja perlu mematuhi apa-apa fatwa yang dikeluarkan tetapi dalam masa sama memahami sebab-sebab fatwa tersebut dikeluarkan dan kesannya dalam kehidupan mereka.

Bukan itu sahaja, dengan perkembangan pesat dunia sains dan teknologi masa kini, perbincangan, penjelasan dan penyelesaian dari sudut sains dan syariah Islam dapat digerakkan secara bersepadu dan segera jika wujudnya kerjasama yang baik antara saintis, golongan agama dan pakar-pakar dalam bidang lain seperti sosial, ekonomi, budaya dan sebagainya.

PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman IslamMalaysia (IKIM)

(Rencana Utusan Malaysia)

Perpaduan kaum di sebalik kisah Natrah

ESOK hari Sabtu 22 Oktober 2011, akan menjadi hari Himpunan Sejuta Umat (Himpunan) yang aman buat pertama kali bagi orang Islam setelah berlalu 60 tahun sejarah memurtadkan Natrah oleh penjajah. Kecuali isu murtad, banyak bezanya himpunan ini dengan apa yang ada dalam sejarah Natrah.

Apa hebatnya sejarah Natrah? Apa kaitannya sejarah agenda penjajah memurtadkan Natrah dengan perpaduan antara kaum? Sejarah Natrah sebenarnya adalah sejarah yang sangat istimewa - bukti cintakan agama bagi bangsa Melayu dan India Muslim ketika itu.

Sejarah Natrah juga adalah bukti perpaduan orang Melayu yang berbeza fahaman politik, berbeza latar belakang pendidikan dan berbeza status kedudukan - bergabung membela agama yang dihina penjajah sehingga sanggup mengorbankan kepentingan diri tahap tertinggi iaitu nyawa mereka sendiri.

Setelah 60 tahun berlalu, apa jadi kepada perpaduan orang Melayu ini? Nampaknya dalam isu murtad yang begitu aggresif terhadap orang Melayu kini, ia belum berjaya menghimpunkan atau menyatukan pelbagai perbezaan kedudukan orang Melayu hari ini untuk bersatu membela Islam.

Sehingga rencana ini ditulis - Parti Pas terang-terangan menolak untuk bersama Himpunan ini, padahal isu murtad jelas berkepentingan Islam yang dikatakan diperjuangkan oleh Pas.

Sejarah Natrah juga menjadi bukti gabungan semangat kerjasama dan perpaduan luar biasa kepada bangsa-bangsa yang bergabung dengan Melayu atas nilai-nilai murni sejagat dan hak asasi manusia. Ketika itu dengan rela hati, tanpa ada kepentingan diri bangsa-bangsa Cina, India dan Serani ikut berjuang menentang penjajah Inggeris yang menzalimi hak asasi anak kecil bernama Natrah.

Sekiranya kita menyemak kembali isu perpaduan bangsa ini, selepas 60 tahun sejarah itu berlalu, kita hairan melihat betapa biadapnya kini sesetengah bangsa bukan Melayu ini mempersoalkan hak kedudukan Melayu, hak kedudukan raja/sultan mahupun hak Islam sebagai agama rasmi yang ada di dalam Perlembagaan.

Kalau dulu kita pernah berlaku jujur dan bersatu menentang musuh yang satu yakni penjajah dalam sejarah Natrah. Kenapa bangsa Melayu kini diasak pula dan dianggap sebagai musuh? Padahal tiada bangsa sebaik Melayu yang memberikan hak kewarganegaraan semudah itu dan tiada bangsa semulia Melayu dalam hal kompromi dan tolak ansur.

Sebagai imbasan kembali betapa hebatnya penyatuan Melayu dan bangsa-bangsa lain dulu, lihatlah bukti semangat berkorban ketika rusuhan Natrah. Dalam senarai 14 kematian di tempat kejadian pada hari pertama yang dilaporkan oleh akhbar The Straits Times 13 Disember 1950 - lima kematian adalah daripada bangsa Cina dan India, tiga orang bangsa Melayu manakala selebihnya adalah bangsa Eropah. Dalam senarai 138 orang yang cedera dalam kejadian rusuhan itu - 52 orang berbangsa China, 19 Melayu, 14 India, 11 Serani sementara selebihnya seramai 42 orang adalah bangsa Eropah.

Bagi saya sebagai pengkaji sejarah ini, gabungan bangsa-bangsa yang sanggup mati dalam sejarah Natrah ini adalah perpaduan luar biasa dan cukup hebat bagi sebuah negara yang belum lagi merdeka ketika itu.

Unsur perpaduan yang jujur dan kukuh ini telah wujud begitu lama - 60 tahun lalu, lama sebelum kerajaan menjadikan slogan 1Malaysia, empat tahun yang lalu.

Gelombang globalisasi, dunia tanpa sempadan - internet, telefon tangan - telah menukar corak budaya hidup dan pegangan agama generasi kedua bangsa Melayu, Cina, India dan Serani yang tidak kenal hidup susah dan tidak pernah tahu pengorbanan dan perpaduan antara bangsa dalam sejarah Natrah dulu.

Musuh dari luar yang menggunakan media eletronik - tv, pawagam, internet dan komputer, dunia sukan dan hiburan sebagai agenda melunturkan pegangan terhadap akidah agama, termasuk Islam. Oleh itu struktur budaya, pemikiran dan pegangan terhadap agama berubah, kerana perubahan kemewahan hidup dan faham kebendaan yang mengambil tempat.

Hal ini meresap masuk ke segenap aspek dan institusi kehidupan bangsa-bangsa besar Malaysia ini - sama ada politik, ekonomi, sosial mahupun institusi agama. Agenda musuh dari luar yang datang bersama globalisasi dalam mencairkan pegangan agama, mengambil tempat dengan mudah untuk menawarkan hidup mewah dan kaya raya apabila nilai pegangan agama boleh ditukarkan dengan nilai kebendaan.

Jadi pada pandangan saya, inilah isu sebenarnya - sikap melampau dalam agama - sama ada Kristian, Islam, Buddha atau Hindu dan sikap pentingkan diri sendiri di kalangan bangsa-bangsa itu yang akhirnya bertukar menjadi musuh dalam selimut kepada perpaduan kaum - yang menjadi nilai hebat dan utama sejak zaman Natrah itu lagi.

Jadi musuh dalam selimut ini berusaha sehingga berlaku usaha-usaha aggresif memurtadkan orang Melayu sejak zaman Aishah Bukhari, Lina Joy hingga kepada usaha yang melampaui batas - kes gereja Damansara Utama sangat mendatangkan kemarahan orang Melayu.

Kita percaya banyak lagi usaha senyap yang berjalan terus untuk memurtadkan orang Melayu yang tidak dapat dihidu.

Mengapa sejak 20 tahun kebelakangan ini begitu menjadi-jadi agenda memurtadkan bangsa Melayu ini? Mengapa bangsa yang dulunya pernah bersatu dalam isu memurtadkan Natrah oleh penjajah kini beria-ia mahu berusaha memurtadkan sahabat dan saudaranya sendiri bangsa Melayu dengan taruhan wang ringgit dan air suci (holly water)?

Mengapa mahu menggadaikan perpaduan seluruh bangsa dengan nilai kepentingan diri kelompok minoriti daripada bangsa-bangsa tersebut?

Kita harus cermat menilai isu memurtadkan orang Melayu atau orang Islam ini untuk mengelakkan ia menjadi fahaman perkauman yang sempit yang merugikan semua pihak. Kita tidak mahu bangkit satu lagi tragedi seperti rusuhan Natrah yang musuhnya adalah sesama kita sendiri.

Alangkah ruginya rupa bangsa yang telah beratus tahun hidup bersatu padu dan harmoni jika saling menikam diri sendiri, saling bermusuh sesama sendiri atas kepentingan peribadi dan faham agama yang melampau dari kelompok minoriti bangsa-bangsa itu.

Faham kepentingan diri dan faham memperalatkan agama yang melampaui batasan ini juga ada di kalangan orang Melayu/Islam. Demikian juga mereka yang bernafsu besar terhadap wang ringgit, kebendaan dan kelazatan melakukan maksiat.

Teladan buruk peringkat pimpinan atasan membawa kesan buruk kepada rakyat pertengahan dan bawahan yang hidup sempit. Mereka menjadi peniru yang baik terhadap amalan buruk beragama peringkat atasan itu. Kesempitan hidup tidak lagi ditanggapi sebagai ujian Allah untuk memberikan erti redha dan erti ikhtiar hidup.

Kesempitan hidup dengan mudah pula boleh ditukar dengan iman untuk mendapatkan kesenangan dan kemewahan seperti orang lain daripada pendakwah-pendakwah Kristian yang menangguk di air keruh.

Jadi pada pandangan saya, inilah musuh utama semua bangsa di Malaysia hari ini. Oleh itu semua bangsa dan semua penganut agama terutama kelompok pimpinan agama seperti ulama, paderi atau sami mesti menyemak dengan serius unsur faham melampau agama dan faham melampau pentingkan diri sendiri yang ada dalam penganut agama masing-masing.

Kita mesti berusaha membendung fahaman yang melampaui batasan ini sebelum terlambat. Bunga-bunga ke arah kehancuran perpaduan kaum dan perdamaian antara bangsa di Malaysia sudah jelas kelihatan dengan usaha-usaha melampaui batas memurtadkan orang Melayu kini.

Dalam hal seberat ini, kelompok pimpinan tertinggi politik dan pimpinan agama dan pimpinan pertubuhan agama bukan politik harus duduk semeja menangani persoalan murtad yang melampaui batas ini. Ketepikan persoalan percaturan politik dan percaturan kuasa, demi keutuhan agama.

Undang-undang murtad yang baru harus diusahakan agar dengan tegas boleh mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang sengaja mendakwahkan orang Islam kepada Kristian atau kepada agama lain di negara ini.

Sesungguhnya Islam itu wajib dibela oleh semua pihak, terutama kepada pihak yang memegang kuasa. Bagi saya, Islam mesti diletak di atas segala-galanya melebihi kepentingan politik, melebihi kepentingan peribadi. Parti Pas atau UMNO sepatutnya menanggalkan kepentingan politik apabila isu murtad ini diketengahkan. Survival Islam sebenarnya adalah makna survival bangsa bernama Melayu. Hancur bangsa Melayu belum lagi menghancurkan Islam. Tetapi hancur Islam sudah pasti menghancurkan bangsa bernama Melayu ini.

Orang Melayu patut insaf akan nilai perjuangan mengorbankan kepentingan diri demi agama daripada sejarah Natrah. Kalau dulu kita berani dan kuat dalam ketiadaan kuasa, mengapa kini kita lemah setelah merdeka, sedangkan kerajaan dalam pegangan kita?

Semoga matlamat Himpunan Sejuta Umat ini membuka mata bangsa Melayu, terutama para pemimpin politik yang sedang lalai dan masih leka bermain politik dalam isu survival serius agama dan bangsa ini.

(Rencana Utusan Malaysia)

Rabu, 19 Oktober 2011

TAPAK ARKEOLOGIKAL ISKANDARIAH – MAKAM PURBA EL-ANFOUSHI

Alhamdulillah berkesempatan menjengah sebuah lagi tapak arkeologi Iskandariah di El-Anfoushi. Dah lama cari tempat ni tapi tak jumpa (yang sebenarnya tak berani nak explore). Mujur bas dua tingkat yang baru ni jalan sampai Anfushi, lalu terjumpalah tempat yang dicari tanpa disangka2…

Serba sedikit tentang tapak.

Kubur kali ni berbeza dari Syatbi. Di sini tapaknya lebih besar dan mempunyai banyak bilik termasuk sebahagian yang sudah ranap dek hakisan. Ada lima buah bilik semuanya macam yang diterangkan oleh papan ni.

Tapak perkuburan ni wujud sejak kurun ketiga sebelum masihi dan telah melalui zaman peralihan dari Dinasti Ptolemi (Yunani) ke Empayar Rom. Ia turut merakamkan kesan asimilasi dua kerajaan ni dengan kebudayaan Firaun yang menjadi identiti asal penduduk Mesir melalui lukisan di dinding makam. Bagaimanapun banyak lukisan yang dah musnah terhakis dan hanya beberapa tempat sahaja masih berbaki sempurna. Yang lebih mengujakan, kat sini kami bertemu dengan tiga orang ahli arkeologi dari Universiti Kaherah – Mr. Khaled, Syaimaa’ dan Ibtihaal. Tak sangka-sangka dapat jumpa ahlinya! Dengan bantuan Syaimaa’ dan Ibtihaal, kami dapat masuk ke makam ketiga yang berkunci, siap dia tunjukkan laluan rahsia ke bilik kubur yang lebih dalam dan benarkan kami menangkap gambar kuburan. Asalnya di mana-mana tapak tinggalan purba tidak dibenarkan menangkap gambar sebab cahaya flash kamera boleh merosakkan teksturnya. Tapi Syaimaa’ dengan selamba “..because it is you, it’s okey”.

Ahah, macam Pooh dapat madu!

Jom tengok gambar…

Makam pertama yang paling besar dan paling teruk dimakan hakisan. Runtuh!

Bilik yang masih tinggal di makam pertama.

Minumlah susu…..kalau tak tulang korang jadi macam ni!

Kesan kebudayaan Firaun - lukisan di tangga turun ke makam kedua. Lukisan sebenarnya menggambarkan proses mumifikasi (membuat mumia) tapi sayangnya sebahagian besar dah rosak dan hilang. Lagi sekali sayang…….

Salah satu bilik yang masih elok sempurna di makam kedua.

Pemandangan dalam sebuah bilik di makam ketiga. Kerandanya tak dibawa keluar.

Tengok dinding kubur yang berlukis-lukis ni saya sangka kubur raja atau para pembesar macam di Luxor. Sangkaan saya dibetulkan oleh Syaimaa’, katanya ni kubur orang awam je. Macam mana pun berdasarkan binaan yang berbeza-beza mesti diorang ada kelaskan ikut pangkat dan darjat jugak sebab ada kubur yang kelihatan mewah, ada kubur yang sekadar lubang sahaja macam rak buku. Lagi yang menarik dalam makam kedua, di satu sudut kelihatan dua lapisan cat bertindih menandakan dua zaman yang dilalui. Lapisan pertama yang ditutup adalah lukisan dari zaman kerajaan Yunani dan lapisan kedua di permukaan adalah lukisan dari zaman empayar Rom. Tak ada pulak tangkap gambar dia bagi kome tengok. Bayangkan sendiri je la ye ;) Yang jelas, lukisan dari Tamadun Rom dan Yunani lebih tertumpu kepada corak-corak geometri berbanding lukisan dari Tamadun Firaun, diorang lebih kerap melukis figur manusia dan merakamkan situasi zaman tersebut. Kelihatan lebih menarik seolah2 diorang nak cerita : “Anak cucu, inilah dunia kami!”



Makam keempat yang dah separuh tertimbus. Bumbungnya disokong dengan besi.




Dah separuh berkulat…….


Antara bilik yang masih utuh di makam keempat. Ada cahaya masuk dari lubang di atas bumbung.

Bilik yang sama, tanpa cahaya flash. Seram~

Makam kelima yang digenangi air – tidak dibuka untuk lawatan. Boleh tengok dari atas je.

Keranda orang kaya.

Keranda orang miskin. Haha memandai je aku.

‘Pemandangan’ dalam keranda orang miskin.

“Apa ni ammu? Khinzir ke?” “Bukan, anjing laut……”

Oh, rasanya anjing laut xde kaki. Apapelah………

Tab mandi pun ada! Tak tahu apa fungsinya kat kubur ni, tak teringat pulak nak tanya Syaimaa’. Boleh jadi dari tapak lain tapi saje buat pameran kat sini bagi tambah bahan. Tak mungkin tab mandi mayat kan…..

Persamaan tapak kubur ni dengan yang berada di Syatbi – kedua-duanya berhampiran pantai dan digenangi air (kesian mayat2 dorg mati lemas…..). Menurut Syaimaa’, ada qaul lain mengatakan air ni berasal dari kumbahan penduduk sekeliling tapak. Tapi pendapat yang masyhurnya kata air laut la, dah dekat dengan laut. Dalam arkeologi pun ade khilaf… Apa pun sumbernya, amat sayang sebab kelihatan kesan-kesan sejarah ni kurang terjaga. Masalah kos mungkin? Syaimaa’ cadangkan saya melawat ke sebuah tapak kubur yang lain – Kom El-Shokafa berhampiran Tiang Pompeii di Karmus. Di sana kesan sejarahnya boleh dilihat dengan jelas. Tempat itu memang saya cari-cari. Insya allah ada rezeki sampailah.

The Bride of The Mediterranean, The Pearl of The Mediterranean, Madinatul Ahlam……patutlah macam-macam nama gelaran. Iskandariah sememangnya sangat kaya dengan tinggalan sejarah. Lebih unik kerana ia menjadi bandar pertembungan empat kebudayaan : Firaun, Yunani, Rom dan tamadun Islam. Cuma sayangnya kebanyakan tempat tinggalan ni tidak diletakkan papan tanda arah jadi payah orang nak jumpa. Tapi tak apa, bawak peta dan tanyalah penduduk setempat. Diorang mesti sudi membantu.

Kome, jom jalan!


Dari kanan : Syaimaa’, Mr. Khaled, K.Ngah dan Ibtihaal. Terima kasih kamu!

Rabu, 9 Februari 2011

Mengenang Persaudaraan Yang Manis


Alhamdulillah. Hampir seminggu sudah berada di tanah kelahiran, pulang bercuti menziarah keluarga. Sambil bersantai-santai malam menanti lelap, tiba-tiba ringan kaki mahu melepak di depan televisyen. Rupanya ada siaran langsung bual-bicara Ops Piramid di TV1, dengan pimpinan pelajar Mesir menjadi antara ahli panelnya. Namun dek kelewatan mengikuti rancangan, siaran tamat beberapa minit selepas itu.
Bagaimanapun saya sempat tertarik dengan cerita seorang wartawan yang turut menjadi panel, katanya:

“ Di Cairo Airport, ketika sedang menguruskan kepulangan para pelajar, saya lihat ada seorang Arab tua menangis. Saya tarik seorang pelajar yang tahu berbahasa arab supaya menanyakan masalah orang tua itu. Lalu si tua menjawab, beliau sedih kerana orang Malaysia yang baik-baik ni sudah pulang beramai-ramai. Beliau sangat kesal dengan kekacauan yang berlaku di Mesir hingga kerajaan Malaysia menarik rakyatnya pulang.”

Memang sudah diduga.
Saya terimbau ingatan seminggu lepas sewaktu masih berada di Ardhul Kinanah. Ketika segelintir rakyat Malaysia sedang gelabah biawak mahu lari pulang, seorang sahabat mengeluh kepada saya “ Aduh, inikah namanya persaudaraan Islam? Saat saudara Misriyun kita bergolak, kita lari beramai-ramai meninggalkan mereka. Bukankah tindakan ini akan menjatuhkan moral mereka? Walaupun tidak dapat menolong apa-apa, tapi bukankah kebersamaan kita akan meniup semangat kepada mereka?”
Saya tidak menyalahkan siapa-siapa. Terpulang kepada diri masing-masing. Tapi sejenak difikirkan, memang banyak benarnya.
Ada orang Britain menangis untuk pelajar Malaysia?
Ada orang Ireland atau Rusia menangis?
Orang Jepun, Australia atau India?
Indonesia yang serumpun itu, pernah mensyukuri kewujudan kita?
Tiada. Tapi Misriyun, saudara Islam di sana menangisi kehilangan kita.
Malizia, Ahsan Naas…..

Saya kira pujian itu berakar-umbi sejak perang Ramadhan 1973. Saat Ardhul Kinanah gontai diasak dua penjuru, saudara dari Nusantara sebelah sini menyinsing lengan terjun ke medan. Yang tidak mampu, berlumba-lumba menyumbang darah. Wanitanya bertungkus-lumus menjahit seragam angkatan. Tapi itu kenangan lama, cerita ayah dan emak kita. Generasi anak-anak hanya tersenyum simpul dipuji ‘Ahsan Naas’….

Memperingati persaudaraan yang manis, saya mengimbau lagi.
Hari ‘Jumaat Kemarahan’, 28 Januari. Saya berada di Jaami’ Al-Azhar saat saudara Misriyun merancang muzhaharat besar-besaran. Sengaja ingin mengucup tanah mulia di masjid tua itu sebelum bermusafir ke tanah air. Jemaah wanita berkurangan tak seperti selalu. Saya jangkakan khutbah hari itu akan panas berapi-api, rupanya hanya nasihat pendek sedingin air di kali. Imam mengingatkan muslimin bahawa insan yang paling mulia adalah yang terindah akhlaknya. Topik sesuai dengan demonstrasi yang akan meletus sebentar lagi. Usai salam terakhir, di luar masjid mula bingit. Saya panjangkan doa biar gelombang manusia itu pergi dulu. Sambil-sambil menunggu, muslimah di sebelah saya menegur. Dukturah Ibtisam, pensyarah Tibb Asnan di kuliyah banat Al-Azhar. Kami berbual sepatah-dua, lalu saya khabarkan minggu depan saya akan pulang bercuti. Selepas solat akan ke Husain mencari buah tangan buat keluarga. Segera dia menawarkan diri mahu menemani, tapi saya tolak dengan baik. Khuatir dia tidak selesa dengan langkah saya yang meraban sesuka hati. Sebelum berpisah, beliau minta saya mendoakannya. Saya senyum sahaja, berjanji akan mendoakannya dalam musafir kelak.
Rupanya di Khan El-Khalili sedang ribut. Lorong perniagaan menjadi tempat persembunyian mutazhahirin yang lari dari kejaran polis. Kedai-kedai ditutup. Saya hanya berdiri di kaki lima bersama sekumpulan ‘Arabi, kami menonton drama kejar-mengejar sambil menikmati semburan gas pemedih mata. Seorang gadis Arab menarik saya ke dalam kedai. Pakcik-pakcik bertanya saya adakah di Malaysia juga rakyat ber-demo begitu? Saya iyakan sahaja.

Hampa tak dapat semua yang dicari, jalan pulang ke Madinah Nasr juga menguji kesabaran. Dari Zuhur bawa ke Asar tiada kenderaan awam yang boleh ditumpang. Menjelang petang barulah dapat menahan teksi seorang ‘ammu tua. Rezeki saya dapat melihat perkampungan di celah-celah kuburan Muqattam, terasa makin faham dengan apa yang diminta para mutazhahirin. Ah, di celah kematian itu mereka menumpang hidup.
Berbual dalam perjalanan pulang, ‘ammu driver bertanya apa saya buat di Husain pada hari begitu, tak tahukah ada muzhaharat? Saya senyum saja. Jawab saya, ‘aiza syuf. Saje nak tengok. Bahkan saya minta kepada Allah supaya izinkan saya tengok. Pakcik driver senyum. Seperti Dukturah Ibtisam, dia juga minta saya doakannya dalam permusafiran nanti.
Dua tahun lepas di Iskandariah, juga di bulan Januari, saya saksikan demonstrasi anti-israel. Bayarannya saya dimarahi exco DPMI, sebelum disental pula dek UMI. Tak apa, kalau buahnya ialah pengalaman, persefahaman dan persaudaraan, saya rela. Melihat mereka dengan mata kepala, sama-sama takbir dan berdoa, saya kecapi ukhuwah yang tak dapat diterangkan. Jauh beza dengan apa yang disiar dek televisyen dan akhbar, mereka hanya meniup ketakutan yang tak bertempat.
Lantaran itu, Malizia Ahsan Naas lari pulang beramai-ramai.
Arab tua di lapangan terbang menangis kehilangan.

Mengenang persaudaraan yang manis….
Minggu lepas di Ardhul Kinanah. Bila saya menatap akhbar, pujian kepada syabab Misr yang keluar membenteng negara buat saya teringat ayah-ayah yang terjun ke medan, 38 tahun lalu. Bila saya lihat iklan derma darah, saya kenangkan pakcik-pakcik yang memberi infaq. Membaca kisah wanita Mesir menjaga rumah dengan dengan air panas buat menyimbah pencuri, saya teringatkan makcik-makcik Melayu yang bersama menjahit seragam jihad. Persaudaraan yang manis ini, satu anugerah yang tak ternilaikan. Namun 38 tahun kini, Malizia Ahsan Naas lari beramai-ramai….
Arab tua di lapangan terbang menangis kehilangan. Mungkin beliau adalah veteran perang Ramadhan 1973, siapa tahu.

Hanya secebis ingatan buat saudara-saudara di Perlembahan sana.
Takut susah, takut mati , ia adalah normaliti seorang insan, meskipun satu keanehan bagi seorang mukmin. Kerana junjungan mulia Rasulullah s.a.w sudah mengkhabarkan bahawa umat bongsunya ini akan menderita penyakit Wahn…
Allahumma asleh ummata Muhammadin s.a.w…
Ardhul Kinanah, kami akan kembali.