Khamis, 27 Oktober 2011

Rehlah ke Matruh & Siwa

Katakanlah : Perhatikanlah apa yang ada di langit dan bumi. Tidaklah bermanfaat tanda-tanda kekuasaan Allah dan rasul-rasul yang memberi peringatan bagi orang-orang yang tidak beriman” Surah Yunus, 101.

Pada September lepas Alhamdulillah berkesempatan mengikuti rehlah tahunan yang dianjurkan HEWI PMRAM ke Matruh dan Siwa. Istimewanya rehlah pada tahun ini diadakan pada penghujung musim panas berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya pada bulan Julai. Cuaca sederhana dan lawatan menjadi sangat selesa. Matruh dan Siwa menawarkan pakej pelancongan yang lengkap daripada keindahan alam hingga kesan-kesan peninggalan sejarah. Walaupun terletak di wilayah paling barat negara Mesir namun lawatan ke sana memberikan pengalaman berharga dan terasa sangat berbaloi. Tambah menyeronokkan apabila rehlah kali ini turut disertai pelajar perubatan.

Info Matruh

Marsa Matruh merupakan sebuah wilayah Mesir yang bersempadan dengan Negara Libya. Ia terletak di persisiran laut Mediterranean dan berjiran dengan Iskandariah. Di pertengahan antara Marsa Matruh dan Iskandariah ialah bandar Al-‘Alamin yang pernah menjadi medan pertempuran Perang Dunia Kedua. Pusat bandarnya, Matruh merupakan bandar pelancongan yang hanya ‘dibuka’ pada musim panas. Sebaik musim panas berakhir Matruh akan lengang dari pelancong hingga tiba musim panas berikutnya. Dengan berlatarbelakangkan laut biru dan pasir pantai memutih, Matruh dihuni tidak sampai sejuta penduduk dan sumber pendapatan penduduk bandar ini sebahagian besarnya ialah pelancongan.

Perjalanan ke Matruh

Malam 24 September, kami berkumpul di Rumah Kedah Haiyu Sabie’. Kenderaan yang disediakan ialah sebuah bas dan koster (mini bus dengan air-cond). am 12 malam rombongan bertolak. Perjalanan ke Marsa Matruh memakan masa enam jam merentas padang pasir. Melalui lebuh raya sahrawi Cairo - Alex, kami mengambil susur keluar ke Al-‘Alamin menuju Marsa Matruh. Lebih kurang tiga jam berjalan, pukul satu lebih saya terjaga. Kiri - kanan, atas – bawah dan belakang gelap gelita. Hanya di depan ada tempias cahaya lampu bas dan besi penanda berjalur di atas tar. Kami di tengah lebuh raya padang pasir yang sunyi sepi. Atas langit taburan bintang kelihatan sangat jelas seolah-olah berada di angkasa. Subhanallah, Subhanallah sangat kagum pada mulanya tapi selepas itu terasa sayu mencucuk-cucuk dalam hati. Terfikir beginikah perjalanan Hijrah yang dilalui Baginda Nabi? Tentunya lebih teruk tanpa bas laju seperti yang saya naiki. Dalam sunyi padang pasir seperti di planet Marikh, benar-benar terasa Tuhan itu dekat. Patutlah doa orang musafir itu makbul. Patutlah dibolehkan berbuka puasa Ramadhan dan meng-qasar solat. Memanglah sesuai bumi tandus ini menjadi tapak turunnya wahyu. Keadaannya yang ekstrim menjadi rahmat untuk umat manusia di belahan dunia lain. Melihat jalan panjang tak berpenghujung yang gelap – gelita bertambah2 sayu hati.

Ya Allah, beginikah titian sirat? Ini hanya lebuhraya dunia yang saya lalui dengan bas yang nyaman dengan teman di kiri - kanan sudah terasa sangat sayu, bagaimana titian sirat kelak yang akan ditempuh seorang diri? Bagaimana?

Mesej ke Ibu di Malaysia melepaskan sayu hati. Dah rasa lega saya pejam semula. Kalau boleh nak menikmati sinaran bintang hingga ke pagi tapi takut tak cukup rehat untuk lawatan besok di Matruh. Terima kasih Ya Allah kerana bangunkan saya. Sangat berharga pengajaran malam ini.

Jam empat pagi kami berlabuh di perhentian di Al-‘Alamin menunaikan solat subuh. Syeikh Umar Mukhtar, hero Libya melawan penjajah Itali pada Perang Dunia Kedua diabadikan namanya pada sebuah kafeteria bersebelahan masjid. Dalam samar-samar subuh saya lihat sebuah binaan agam di seberang jalan, betul-betul berhadapan perhentian. Hairan juga tengok bangunan apa gelap-gelita, rupanya tugu peringatan tentera Itali yang terkorban dalam peperangan. Oh, tugu tentera Itali vs. kafe Syeikh Umar Mukhtar – ‘pertempuran’ yang menarik.

Dari Al-Alamin sambung tiga jam lagi perjalanan ke Matruh. Kami menyusur pantai tandus Mediterranean sambil menikmati fajar yang segan-segan di balik awan mendung. Kelihatan projek pembinaan resort dan kediaman musim panas sedang rancak berjalan. Hacienda Bay dan Emirates Height yang bersepah iklannya di Kaherah rupanya sedang dibangunkan di Matruh. Memang mewah. Ketibaan kami pada jam tujuh disambut hujan renyai dan ombak bergelora. Pusat bandar Matruh lanskapnya betul-betul mirip Iskandariah. Cuma keadaan terlalu sunyi dan tak ada seorang manusia pun kelihatan di jalan kecuali tentera berkawal di beberapa kawasan.

Waktu lapang hingga zohor kami manfaatkan dengan menjelajah pantai. Langit mula cerah menampakkan wajah sebenar Matruh – laut sebiru langit dan pasir putih macam Tohinah! (Tohinah ialah sos kacang arab berwarna putih macam sagun. Apa? Tak tau sagun? Cari sendiri la). Selepas zohor lawatan bermula di pantai Cleopatra. Dalam perjalanan ke pantai Cleopatra kami melalui markaz tentera udara Mesir. Sepanjang temboknya ditulis puisi patriotik yang sangat mengujakan. Kekuatan persenjataan Mesir memang tak boleh diragukan lagi. Di setiap wilayah ada kem mereka hatta Matruh yang sunyi sepi!

Masih dalam wilayah Matruh, Pantai Cleopatra tak jauh beza dengan yang lainnya. Cuma di sini ombak sangat kuat dan pengunjung tak dibenarkan mandi. Tarikan utama ialah ‘Hamam’ ataupun tempat mandi Cleopatra yang ditebuk dalam sebuah batu besar. Di dalam Hamam tak ada apa-apa ukiran atau lukisan purba melainkan contengan pengunjung. Ada dua tebukan lubang di depan dan belakang Hamam untuk air masuk dan keluar mengikut arah ombak. Betul bijak arkitek dia ni... Lawatan disambung ke Pantai ‘Ajibah di hujung Matruh. Bas berhenti di puncak bukit dan pantai terletak jauh di bawah sana. Lihat dari atas, pantai ni berupa teluk yang cantik dengan tebing bukitnya dihakis angin seperti canyon. Subhanallah, memang ‘ajib! Saya luangkan masa melukis di sini sambil ‘bergaduh’ dengan buku yang asyik nak terbang. Sebelum balik sambar air tin dua biji berharga sepuluh geneh. Punyalah mahal tapi memikirkan kepayahan diorang mengangkut air tin tu enam jam lalu padang pasir, tak apalah. Tolong la sikit, dah la industri pelancongan tengah merudum ni.....

Pulang ke pusat bandar, hari merangkak maghrib. Barulah nampak bandar hidup dengan manusia berkeliaran. Kami dilepaskan bershopping di Suq (pasar) Libya. Dengar bunyi macam jual barang import dari Libya tetapi rupanya lebih banyak barang keperluan harian. Adalah dua-tiga kedai cenderahati dan kedai pakaian yang mencetak t-shirt segera. Aqilah sempat menyambar sehelai t-shirt­ bercetak gambar Pantai ‘Ajibah yang diambil dari kameranya sendiri. Macam mana pun Suq Libya ni tetap unik dengan pilihan barangannya yang sangat banyak seolah2 penduduk Matruh 20 juta orang. Dari rempah ratus, kasut - beg, alat tulis sampai pakaian dalam memang berpinar mata nak buat pilihan!

Suasana di dalam Hamam Cleopatra.Lubang air masuk.

Pantai Ajibah


Salah satu gerai di Suq Libya

Oasis Siwa

Puas berehat semalaman, besoknya seawal pagi kami bertolak ke Siwa. Dari pesisir pantai kami menempuh enam jam lagi perjalanan menuju ke tengah gurun sahara. Siwa ialah sebuah oasis atau dataran hijau di tengah padang pasir. Kedudukannya yang lebih rendah dari paras laut menyebabkan kawasan ini sangat subur dengan air segar dari bumi. Siwa seperti tak terkesan dengan musim gugur – cuacanya sangat terik mengalahkan musim panas di Iskandariah. Sekali lagi menempuh padang pasir, di setiap beberapa kilometer (xkira pulak) kelihatan stesen ambulan dan menara pemancar. Sampai ke Siwa, tempat pertama yang dilawati ialah Jabal Mauta (Mountain of The Dead). Tempat ini ialah sebuah bukit batu yang ditebuk menjadi kuburan. Makam Si-Amun, raja Greek berketurunan firaun satu-satunya yang dijaga rapi di sini. Bumbung dan dinding makam dipenuhi lukisan bercirikan tamadun Yunani dengan pengaruh dari tamadun firaun. Dari puncak Jabal Mauta dapat dilihat pemandangan keseluruhan Oasis Siwa – dataran subur dikelilingi hamparan gurun tandus. Sangat menakjubkan!

Dari Jabal Mauta kami melalui pekan Siwa menuju ke dalam kebun kurma. Pekan Siwa sangat comel dan tradisional. Kebanyakan binaan termasuk kediaman masih berdindingkan lumpur dan beratapkan pelepah kurma. Suasana lebih tenang dan sunyi dari Matruh. Rata-rata penduduknya berkulit gelap dan bertubuh kecil seperti orang Melayu. Syariat Islam diamalkan dengan teguh seiring cara hidup badwi. Perempuan-perempuan mereka tidak kelihatan di jalan-jalan dan kalau ada pun, berkelubung hitam seluruh tubuh. Kami melawat Kuil Amun yang terletak jauh di dalam rimbunan kebun kurma. Kuil yang ‘memanjat’ tinggi ke puncak bukit ni dikatakan pernah disinggahi Alexander The Great, pengasas Iskandariah. Kemudian dari kuil Amun rombongan bergerak ke kolam Cleopatra. Di tengah perjalanan kami berhenti di satu lagi runtuhan kuil firaun. Tiada apa yang tinggal melainkan gerbang yang dipenuhi ukiran hidup dan timbunan tiang-tiang agam menyembah bumi. Di belakang gerbang itu kerja-kerja ekskavasi masih dijalankan. Memandangkan cuaca panas terik, tak ada peserta yang mahu turun di sini. Saya? Mujur bateri kamera sudah habis di kuil pertama tadi. Kalau tak memang dua bas ni kena tunggu saya turun melawat!

Terdapat dua kolam Cleopatra di Siwa. Satu yang besar sedalam lima meter, satu yang kecil sikit sedalam tujuh meter. Kami cuma melawat kolam yang besar sahaja memandangkan bas tidak boleh masuk ke kawasan kolam kedua. Kolam ini airnya sangat jernih dengan dasarnya dipenuhi keladak seperti kolam air panas. Tebing kolam dibina tinggi dan kami langsung tidak dapat mencecah airnya. Di tepi kolam berdiri sebuah kafe dengan dekorasi arab badwi asli, siap dengan meja pool dan sofa kayu di bawah teduhan pokok kurma. Sweet sangat! Kami berhenti makan tengahari di sini. Selepas itu lawatan disambung ke tasik garam. Dalam perjalanan ke sana kami ditunjukkan sebuah paip besar yang memancutkan air deras ke dalam sebuah takungan. Menurut musyrif yang memimpin rombongan, paip itu ditanam sejauh 40 meter ke dalam tanah dan airnya keluar sendiri tanpa sedutan pam. Memancut-mancut kalah paip Syabas pecah!

Pemandangan di tasik garam tak kalah hebat. Tasik air masin terbentang di kiri-kanan jalan dengan dua keadaan berbeza, sebelah masih berupa tasik dengan genangan air jernih dan sebelah lagi airnya kering menjadi garam memutih. Kagum lagi. Maha suci Allah yang Kursinya-Nya meliputi langit dan bumi. Kami turun ke tasik yang kering mengutip garam. Sambil kutip sambil ketawakan member yang kakinya terbolos masuk dalam garam rapuh. Garam tu tak adalah tebal bermeter-meter macam salji. Paling tebal pun lima-enam cm, tak tahulah kawasan tengah macam mana. Sudah berdarah tangan korek garam, sambung lagi berjalan ke destinasi terakhir, kota lama Siwa. Kota lama ni terletak di sebuah bukit. Dari bawah sampai ke puncak dapat dilihat dinding-dinding lumpur yang senget-benget dan sesetengahnya masih kukuh menyokong atap batang kurma. Kota ini asalnya dihuni penduduk Siwa kemudian ditinggalkan apabila rumah-rumah moden dibina. Menjelang asar kami berhenti solat di pekan Siwa. Sambil musyrif sibuk mendapatkan tempahan kurma, kami bersantai menikmati air mineral asli. Air mineral Aman Siwa – bukan tak ada jual di tempat lain tapi nikmat berbeza bila diminum di tempat asalnya. Lewat petang barulah kami keluar dari oasis Siwa, menempuh lagi enam jam perjalanan kembali ke Matruh. Lawatan ditutup dengan satu lagi panorama indah – matahari terbenam di gurun. Subhanallah, indah nian!



Makam raja Si-Amun di Jabal Mauta




Al – Alamin battlefield

Pagi hari ketiga kami dilepaskan bermandi-manda di pantai. Jam sebelas keluar dari penginapan, kami singgah ke destinasi penutup, Al-Alamin. Kawasan ini terletak berhadapan laut. Tapi jangan bayangkan macam Port Dickson, dari Alex Ke Matruh pantai Mesir ni memang tak ada pokok! Al-Alamin boleh juga dipanggil ‘bandar orang mati’ kerana di sekitarnya terdapat beribu-ribu kubur tentera antarabangsa yang cuba menjajah Mesir pada Perang Dunia Kedua. Bandar ini saban tahun menerima kunjungan ahli keluarga tentera yang terkorban dalam peperangan. Di sini kami melawat ke satu tempat sahaja iaitu muzium perang.

Istimewanya muzium ini, di lamannya dipamerkan kenderaan-kenderaan yang pernah digunakan dalam WW-II. Dari pesawat, kereta perisai, meriam anti pesawat, trak askar dan kereta kebal semua dipamerkan semula. Dewan pameran pula dibahagikan mengikut negara penjajah bermula dari Itali hingga British. Suasana muzium benar-benar hidup dengan sebahagian besar bahan pameran adalah sisa tinggalan medan perang. Dari peluru hingga diari tentera yang terlibat, melihat tinggalan ini buat hati lebih tersayat pilu dari berputik bangga. Muzium Al-Alamin yang dibina dengan tajaan Eropah jelas cuba mewar-warkan kehebatan mereka. Dialog-dialog kemenangan dicatatkan dengan megah tapi yang tersirat adalah kesombongan melampaui batas. Tentera-tentera ini mungkin anak-anak muda yang ikhlas ingin pertahankan negara, atau sekadar anak-anak petani biasa tetapi dipaksa terjun ke medan. Yang puasnya ialah politikus tamak di kerusi empuk. Dari awal sampai akhir pameran saya hanya terfikir, peperangan ni memang sia-sia.....

Peace, no war!


Antara pameran di Muzium Al-Alamin

Beg tinggalan medan perang

Antara kenderaan perang yang dipamerkan

Memoir...........

Selepas makan tengahari di kafe muzium, kami bertolak pulang ke Kaherah. Tak banak yang menarik dalam perjalanan pulang dek masing-masing peserta tertidur keletihan. Sampai semula ke Haiyu Sabie’ jam lapan malam. Alhamdulillah ‘alas salamah. Tak puas tiga hari. Rehlah ke Matruh dan Siwa benar-benar satu pengalaman yang bermakna. Semoga pengalaman yang dikutip menjadi ibrah buat menempuh hidup mendatang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan