Selasa, 17 Januari 2012

Salji, kubu lama dan ibrah* – Cerita suatu pagi di Abu Qir


Katanya salji turun di Tusun Basya. Ajaib, tak pernah dengar lagi salji turun belah-belah Iskandariah ni. Dekat dengan Mandarah pula tu. Patutlah kami sejuk bukan main sampai dalam rumah pun mulut berasap-asap. Gambar daripada carian internet menambah asyik. Saya dengan terujanya ajak kawan mencari salji. Tak tahu ke mana nak dibawa kaki, tapi hati tergerak nak naik keretapi ayam* ke Abu Qir. Heret Nazneen sekali buat teman, risau pagi-pagi cuti nak naik keretapi sunyi ke hujung Iskandariah. Dalam perjalanan mata sentiasa menatap ke luar keretapi kot-kot dapat tengok kelibat salji, tapi sampai ke sudah tak nampak pemandangan yang diharap-harapkan. Turun di perhentian terakhir, Abu Qir, hujan turun sedikit lebat. Masih harap dapat melihat salji di mana-mana walaupun tak tahu nak ke mana. Selepas berteduh empat-lima minit di depan mahattah* kami buat keputusan untuk meredah hujan menuju ke arah perhentian tremco*. Kalau tak ada apa-apa yang menarik kami balik aje.

Konon nak pergi ke tremco melencong pula ke pantai. Geram tengok ombak laut melambai-lambai di celah blok apartment. Kesiankan Nazneen yang jarang-jarang berada di Alex, saya turutkan jua kaki melangkah ke sana walaupun angin sejuk mengalahkan peti ais. Pantai pada musim sejuk dengan hujan ributnya bukanlah tempat yang menarik untuk dikunjungi. Saya dan Nazneen menapak menyusur gigi pantai menikmati siraman gerimis lebat. Di tengah laut samar-samar kelihatan kapal berlabuh dalam kabus tebal. Sampai di hujung berpagar kami keluar dari pantai dan berpatah balik ke pekan. Tak ramai orang berada di luar rumah pada waktu-waktu hujan begitu. Tiga-empat ammu* yang lalu-lalang di depan kedai masing-masing memandang hairan kepada kami yang tegar ‘bersiar-siar’ di tengah hujan gerimis.

Rezeki terpijak dalam hujan

Sambil menapak, mata menangkap pemandangan sebuah tembok lama. Terletak jauh di hujung sana, ia hanya terlihat sebahagian sahaja melalui celah blok rumah yang bersusun rapat. Keadaan tembok tu tak ubah macam binaan lama yang biasa saya tengok di tapak-tapak arkeologi sekitar Iskandariah ni. Bahkan dalam peta arkeologi yang saya beli, kawasan Abu Qir ni ditandakan dengan tiga kawasan tinggalan sejarah. Adakah tembok yang saya lihat tu salah satu darinya? Dengan penuh rasa ingin tahu saya dan Nazneen mengubah haluan ke sana, terjingkit-jingkit meredah air lecak yang mengalir di jalan. Mesir tak ada longkang. Bila hujan beginilah jadinya. Bila sampai di situ, yang ada hanyalah pagar dawai bertutup rapat siap dengan menara kawalan di hujung tembok lama.

“Apa ni Neen, tempat askar kot?” teka saya sambil memerhati menara kawalan yang dipenuhi radar di atas bumbungnya.

“Tapi kalau tempat askar selalu kan diorang letak amaran mamnu’ taswir*” balas Nazneen. Betul juga, fikir saya. Mana-mana kawasan tentera yang bersepah di seluruh Mesir ni pasti akan ada letak amaran larangan bergambar di luar temboknya. Tambah pula di pagar buruk hujung sana ada papan tanda lusuh bertulis : ‘Narhabu Bikum’. Isy tak pernah pulak tengok kawasan tentera ada papan tanda selamat datang!

Kami berlegar-legar di situ hingga bertemu seorang ‘ammu* berdiri kesejukan di luar kedainya.

Ammu, wara’ jidar dah makan eih*?” dah la bahasa pasar, bedal pulak lagi. Memang jadi rojak pasembor! Nasib baik ‘ammu faham. Dia kata dia tak tahu tempat apa di depan kami ni. Tapi tak ada pulak dia sebut pasal kem tentera.

Hal yugad makan atsaar hena*?” tanya saya lagi, mencuba nasib kalau-kalau ada rezeki dapat tengok tapak arkeologi. Ammu kata ada! Kau jalan terus, hujung sana kau belok kiri naik atas bukit.

Macam ada lampu berkelip-kelip atas kepala. Terima kasih ‘ammu!

Yumkin ziyarah walal la’a?*” soalan terakhir nak pastikan tempat tu boleh dilawat ke tidak. Sebab ada tapak arkeologi yang tak dibuka untuk lawatan umum. Kalau yang dibuka pula tiketnya mahal, saya cuma bawa syiling beberapa genih* sahaja. Ammu kata tak tahu, kau pergi situ tanyalah penjaganya boleh lawat ke tak. Aik, pelik pulak rasa. Apa-apalah…. Sebelum kami beredar, seorang mama* berhenti di depan kami bertiga.

“Budak-budak ni cari tempat sejarah ke?” dia tanya ‘ammu, macam tu la yang saya faham. ‘Ammu iyakan lalu mama tu senyum pandang kami.

“Kami pun tak biasa pergi tempat bersejarah kat sini, cuma tengok dalam tv je”. Kami senyum saja lalu beredar mengekor mama yang kebetulan sama-sama mahu ke hujung jalan. Masih belum lupa tentang salji, saya tanya mama tentang khabar yang mengatakan salji turun di situ. Mama iyakan, tapi katanya salji cuma turun sikit saja pada jumaat. Waktu kami datang tu mungkin dah cair…sebab iklim Iskandariah asalnya memang tak bersalji. Sampai di hujung jalan mama menunjuk ke kiri yang jalannya bercabang dua. Satu jalan tanah merah memanjat bukit, satu lagi jalan bertar yang menghala terus ke kem tentera laut dan pelabuhan.

“Tu, tempatnya atas bukit tu. Kamu naik je terus”

Baik, terima kasih mama ;)

Kami berpisah. Jalan tanah merah yang kelihatan tak terurus buat saya tertanya-tanya. ‘Amud Sawari a.k.a Pompeii’s Pillar di Karmus, tempatnya di atas bukit juga tapi terjaga baik siap dengan papan tanda menunjukkan di situ ada monumen bersejarah. Yang ni sangat mencurigakan dan mencuit rasa ingin tahu saya. Makin menapak ke atas nampaklah sebuah kompleks bangunan usang yang buruk dimakan usia. Temboknya berlapis-lapis sangat tebal dan kelihatan kukuh walaupun batu-batanya sudah reput terhakis. Di sebahagian tempat dindingnya masih baik dengan cat kuning jelas kelihatan. Melihat senibina tingkap dan pintu besar yang kelihatan dari jauh, rasanya bangunan ni bukanlah binaan kuno zaman Greek atau Rom. Tapi apa? Kami terlalai sejenak dengan rumput unik yang di tepi jalan sebelum meneruskan langkah ke depan bangunan. Masih tak jumpa papan tanda, saya mencerlung tunak penanda kecil berwarna putih di atas gerbang.

Kousa Pasha Fort. Kubu perang kurun ke-18 zaman Muhammad Ali Pasha!

Kubu aneh yang sedih

Sebelah dalam tembok rupanya ada parit besar mengelilingi kompleks. Di pintu utama ada jambatan kayu yang kelihatan baru, menghubungkan laluan masuk di tembok dengan pintu gerbang. Wow, betul macam rupa istana-istana dalam cerita fairytale. Kami perhatikan parit kering yang dipenuhi rumput menghijau dan sampah-sarap. Nampaknya macam menghala ke laut tapi tak ada air masuk. Macam-macam perkara bermain dalam benak melihat kubu aneh ni. Nampak tak terurus tapi macam ada orang tinggal. Nak kata tengah baik pulih tak ada pulak nombor pendaftaran antikuiti. Biasanya Kementerian Antikuiti yang akan menjalankan proses baik pulih monumen bersejarah, macam Masjid Ibrahim Terbana di Manshiyah. Kesiannya kubu ni, kenapa terbiar macam ni? Boleh ke masuk tengok? Ada orang ke kat dalam? Kang kena serkap ke apa macam mana? Seorang pemuda tegap yang muncul dari dalam gerbang tak kelihatan mesra untuk diajak berbual. Dia berjalan pulas ke arah kami yang melilau di laluan masuk. Selepas memberi salam barulah dia mengangkat muka macam baru perasan kami di situ.

Mumkin nazuur henak?*” minta izin, sambil takut-takut tengok muka dia. Pemuda tu angguk sekali dan tangannya isyaratkan supaya kami masuk saja. Dia terus berlalu pergi tanpa basa-basi. Kami menapak ke dalam penuh hati-hati sambil mata liar ke kiri-kanan. Haha sangat scary, tapi sangat nak tahu apakehalnya bangunan pelik ni..... Melepasi gerbang, masih ada satu lagi parit di sebelah dalam. Dua lapis tembok dan parit mengepung kubu - serius ni kubu perang. Tapi parit belah dalam juga dipenuhi rumput dan sampah. Apalah nasib kau kubu..... Kami tercegat sejenak memerhati sekitar kawasan dalam. Halamannya tak adalah luas mana. Di sebelah belakang ada dua-tiga blok usang kediaman yang kelihatan diduduki orang. Di bahagian depan tanah membukit naik dengan meriam besar bersusun menghala ke laut. Wow, how exciting! Kami teruja mahu ke situ tapi melihatkan seekor anjing coklat sedang duduk memerhati, hasrat saya sedikit terbantut. Kami ubah perhatian kepada titi-titi kayu buruk yang menyeberangi parit dalam, terus ke pintu-pintu di dinding tembok yang sebenarnya adalah rumah. Jelas-jelas ada orang tinggal kat sini! Siap ada kandang kambing lagi. Pengalaman baru. Tak pernah tengok tapak sejarah macam ni didiami orang.

Anjing coklat beredar naik ke bukit. Nazneen terus berlari-lari anak memanjat juga, teruja nak terkam meriam yang meniarap dengan macho di situ. Selepas bermain aci - cak dengan anjing-anjing yang rupanya ramai ‘berkawal’ di atas bukit tu akhirnya kami ‘diizinkan’ melawat. Tak dapat membelek semua meriam, satu pun cukuplah kami buat teman bergambar. Di bahagian depan kubu ialah cerun bukit dengan parit besar melintang di bawahnya. Rupanya parit yang kami lihat di gerbang depan tadi bersambung mengelilingi kubu ni, cuma di sebelah barat mungkin sudah ditimbus untuk dibina penempatan awam. Di puncak bukit kecil itu kami dapat melihat hampir separuh pekan Abu Qir, dari tempat kami berbual dengan ammu tadi hinggalah pelabuhan di hujung sana. Abu Qir sebenarnya adalah sebuah tanjung yang terjulur keluar dari tebing laut Iskandariah. Sebab itu boleh nampak pantainya berada di utara dan selatan, berbeza dengan tanah besar yang pantai hanya berada di utara sahaja.

Lawatan singkat penuh rahmat

Babak seterusnya ialah Nazneen terkantoi dengan anjing, langsung kami hilang selera nak menjelajah. Rasanya anjing-anjing ni dipelihara penghuni kubu untuk menjaga kediaman mereka yang terpencil ni. Saya putuskan mahu sudahkan lawatan dan keluar saja...tak enjoy langsung nak melawat dengan tangan menggigil dan jantung nak tercabut macam ni. Tapi usaha menyelinap keluar dari kubu pun bukan mudah sebab anjing-anjing tu beralih ke gerbang pula. Kami melilau keliling kalau ada pintu keluar lain. Tak ada! Semua dikelilingi parit besar melainkan kawasan menara kawalan yang kami lihat dari luar tadi. Takkan nak ke situ kot. Kena tembak kang.......

Sempat pula Nazneen tala kamera shoot muka cuak saya time tu. Bertuah budak Neen ni! Nasib baik saya sempat sengih jugak :D

Tak ada orang di keliling. Tiga ekor budak ‘comel’ di pintu keluar satu-satunya. Nak batuk pun tak berani, takut ter-provoke anjing-anjing tu yang tengah mengushar dengan siaga. Parit besar melintang di keliling tak boleh ke mana-mana. Check mate. Matilah kau!

Waktu begitulah, berduyun-duyun isyarat S.O.S dihantar ke langit. Ya Allah, tolong la. Kitorang datang ziarah je, bukan nak buat jahat.......Ya Allah, tu anjing-anjing Kau. Tolong jangan bagi dia gigit kitorang. Ya Allah, tolong kitorang keluar dengan selamat!

Tak lama pun nak tunggu reply... Sedang kami bertenang-tenang mencari idea, kelihatan seorang lelaki berseragam memerhati kami dari atas menara kawalan di hujung tembok. Askar kot, saya senyum dan lambai kepadanya supaya tak timbul curiga. Jangan main-main dengan pasukan keselamatan Mesir. Bukan kerana mereka jahat, tapi kerana tahap kewaspadaan mereka sangat tinggi! Maklumlah 30 tahun mengawal negara yang berstatus darurat, mestilah imej keras dan tegas tu melekat kuat. Macam mana pun mereka adalah para penghafal Qur’an yang baik hati, sebab tu saya lebih tenang untuk senyum kepada mereka berbanding memandang dengan takut. Balasannya, askar tu lambai semula. Agaknya dia nampak kami tengah bermain police entry dengan anjing di depan gerbang, dia pun joint sekali tolong jadi satelit. Bila anjing-anjing hilang dari pandangan kami, askar tu buat isyarat tangan supaya kami turun dari bukit. Berlindung dengan surah yasin yang berbuih-buih di mulut dan keberanian Nazneen, kami mencicit lari keluar. Alhamdulillah!

Sambil menyusur luar tembok menuruni bukit saya toleh ke menara. Askar tu masih di situ melihat kami. Saya lambai lagi. Terima kasih kamu. Terima kasih banyak! Dia balas lambai dari kejauhan. (Askar, hanyalah seorang manusia seperti saya...cuma mereka memilih untuk berada di barisan pertahanan negara lalu dengan mudahnya dipergunakan oleh kuasa-kuasa politik zalim. Tak adil bila mereka dilabelkan dengan tohmahan yang jahat-jahat sedangkan mereka hanyalah orang awam seperti kita. Mahukan keadilan. Cintakan kedamaian. Mereka buktikan kecintaan dengan berkorban mempertahankannya. Kita ni yang hanya tahu menikmati keamanan hasil jerih payah dan berjaga malam seorang tentera, dengan enaknya meludah mereka bila mereka diperalatkan tangan-tangan zalim. Tersepit antara anak watan yang dikasihi dan pimpinan yang dipatrikan taat setia, macam mana perasaan diorang agaknya?)

Terima kasih, tentera. Jaish. Armed Forces. Personally. Baik buruk kamu hanya Allah lah membalasnya. Mengenangkan krisis rakyat-tentera yang berlaku sejak revolusi ni, tiba-tiba ter-touching pulak dengan pertolongan askar tadi.

Dan terima kasih Ya Allah, dengan bantuanMu kami selamat keluar....

“Terima kasih kak, bawak saya jalan” Nazneen ucapkan dengan gembira saat kami menuruni jalan tanah merah menuju ke pekan.

“Apa pulak, terima kasih kat Neen la sanggup teman akak berjalan. Kalau sorang memang akak tak datang sini kot.....” Tambahan ni fatrah imtihan* pulak, siapa yang merayap-rayap tengah orang sibuk study ni memang cari pasal!

Bila dah hilang takut, semua yang saspen-saspen bertukar jadi bahan ketawa. Dengan buku qawaid fiqh yang sudah kembang dek hujan, kami menaiki tremco pulang ke Mandarah. Alhamdulillah, alhamdulillah. Walaupun tak jumpa salji tapi dapat banyak pengajaran dari kembara singkat pagi ni. Lain yang dicari lain yang jumpa. Bak kata orang, kita minta rama-rama tapi Allah bagi beluncas. Rupanya ada benda lebih baik yang Dia jadikan ganti kepada permintaan kita. Yang lebih besar hikmah dan ibrahnya. Kita tak tahu apa yang Tuhan sediakan untuk kita di depan sana. Yang penting harapan padaNya jangan mati, till the very end. Apapun saya janji takkan jejak lagi kubu pelik ni....cukuplah sekali. Terima kasih Allah!

(Segala rasa cemas dan cuak dalam kisah ini tiada kena-mengena dengan sahabat saya Nazneen kerana beliau masih boleh ketawa riang selepas disergah anjing! ‘-_- Sekian)

Fakta Kubu Kousa Pasha (Abou Kir Fort)

- Telah dibina pada kurun ke-18 Masihi.
- Digunakan dalam dua peperangan : Empayar Usmaniah vs. Perancis & Perancis vs. British.
- Kini digunakan oleh angkatan tentera Mesir.

Indeks rojak pasembor :

Keretapi ayam -Keretapi awam dalam bandar. Dipanggil ‘keretapi ayam’ kerana Arab selamba membawak ayam-itik mereka naik keretapi ni sekali.

‘Ammu - Pakcik.

Mama - Makcik.

Mahattah - Stesyen.

Tremco - Van pengangkutan awam.

Mamnu’ taswir - Dilarang mengambil gambar.

Genih/ Junaih - Pound Mesir.

Fatrah Imtihan - Waktu peperiksaan.

Ibrah - Pengajaran.

‘Ammu, wara’ jidar dah makan eih? - Pakcik, kat sebalik tembok ni tempat apa?

Hal yugad makan atsaar hena? - Ada tak kawasan bersejarah/tapak arkeologi kat sini?

Mumkin ziyarah walal la’a? - Boleh melawat tak?

Mumkin nazuur henak? - Kitorang nak melawat boleh?

Khamis, 12 Januari 2012

Bertamu Ke Rumah Arab

Arab Mesir walaupun terkenal lebih keras berbanding Arab di negara lain namun identiti mereka sebagai bangsa yang menghormati tetamu tetap terpelihara. Sepanjang menetap di Iskandariah ini saya pernah beberapa kali merasai pengalaman bertamu ke rumah Arab atas jemputan mereka dan kunjungan paling kerap ialah ke rumah tuan rumah kami sendiri yang terletak berdekatan.
Baba dan Mama
Baba Ahmad dan Mama Tahani, pasangan suami-isteri yang baik hati dan melayan kami tak ubah seperti anak-anak sendiri. Setiap kali tiba Aidilfitri dan Aidiladha, kunjungan ke rumah mereka adalah agenda wajib. Bukan itu sahaja, pada bulan Ramadhan juga pasti kami dijemput berbuka puasa di rumah mereka. Melalui kunjungan begini sedikit sebanyak kami dapat mengetahui budaya dan cara pemakanan mereka yang berbeza dengan kita di Malaysia. Contohnya amalan mereka yang tidak meminum air ketika makan. Mulanya agak susah bagi kami kerana Mama langsung tidak menghidangkan air di meja makan melainkan sup. Selepas itu pada kunjungan lain kami bawa air masak sendiri dan Mama pula menyediakan sedikit jus sekadar buat pembasah tekak. Kebiasaan lain mereka ialah meminum air paip mentah-mentah. Oleh sebab itu kami tidak akan minta air kosong bila bertamu kerana air kosong mereka ialah air paip. Selain itu bila bertamu ke rumah Arab, janganlah buat-buat kenyang atau tak selera. Kerana bagi mereka, hidangan yang tidak habis dijamah adalah keaiban pada tuan rumah. Makanlah biarpun hidangan terlalu banyak atau terlalu pelik yang tak boleh ditelan. Kena makan juga!
Bagaimanapun setakat beberapa kunjungan ke rumah Mama dan Baba, kami tak pernah dikecewakan. Untuk meraikan ‘perut Melayu’ kami Mama selalu menghidangkan nasi sebagai hidangan utama dengan lauk ayam panggang dan salad arab. Sampingannya ialah sup ayam atau sup tomato dan ‘kentang berlada’ yang tak pedas langsung. Inilah menu yang paling kerap Mama sediakan. Walaupun sama sahaja tapi kami tak pernah jemu menikmatinya. Masakan Mama sedap sangat! Ramadhan baru-baru ini jamuan berbuka kami disertai sekumpulan pelajar Universiti Malaya yang datang mengambil kursus bahasa di sini. Turut bersama mereka ialah seorang pelajar dari Madrid, Sepanyol yang beragama kristian. Jamuan bertambah meriah bila ‘anak angkat’ Mama dan Baba dari Rusia ikut serta walaupun terlewat sampai. Bila empat bangsa berlainan benua berkumpul di ruang tamu kecil Mama terasa manisnya rahmat Ramadhan dan perpaduan se-ummah.
Macam mana pun bukan semua tuan rumah sebaik Baba dan Mama kami. Yang ‘tak berapa’ pun ada juga, ikut nasib. Sebab itu sekali-sekala kami ajak juga kawan-kawan yang tinggal di rumah lain bertamu dengan kami. Namun pengalaman yang paling tidak boleh saya lupakan ialah bertamu ke rumah dua orang kawan Arab, Iman dan Fatma. Mereka tinggal di Hanouville, bersebelahan bandar pelabuhan Ajamy di pinggir Iskandariah. Kunjungan kali ini atas jemputan Fatma yang baru melahirkan putera sulungnya. Sewaktu kenduri walimahnya beberapa bulan sebelum itu Fatma turut menjemput kami tetapi saya tidak hadir. Rugi tak dapat tengok pesta Arab kahwin!

Dengan keluarga Iman
Sebelum ke rumah Fatma, kami berlapan terlebih dulu berkunjung ke rumah Iman. Perjalanan jauh ke rumahnya melalui pekan dan bandar yang tidak biasa dikunjungi pelajar Malaysia. Dari pekan kecil yang tenang, pasar barangan terpakai di belakang pelabuhan, depoh minyak dengan paip besar melintang seperti jejambat di atas lebuhraya hinggalah bandar Ajamy yang sesak dan padat. Hampir sejam perjalanan, kami turun di pekan Hanouville tunggu Iman datang menjemput. Iman, gadis kecil molek yang berdarah asli Mesir datang dari keluarga penyokong kuat Ikhwanul Muslimin. Penampilannya dengan berkelubung hitam seluruh tubuh sedikit pun tidak menimbulkan rasa kekok di mata kami kerana sudah biasa melihat orang arab berpakaian begitu. Sampai di rumah Iman kami berbual dengan ibu dan adik perempuannya di ruang tamu sambil menyangka persinggahan di situ cuma sebentar. Rupanya Mama Iman sudah menyediakan agenda supaya kami berlama-lama di situ menjadi tetamunya.
Daripada berbual dan bertukar fikiran tentang Mesir, kami berpindah ke dalam bilik melihat gambar dan video majlis pertunangan Iman. Majlis diadakan di kampung mereka di Aswan dan disambut meriah dengan jamuan dan joget lambak! Selepas upacara menyarung cincin, Iman yang memakai gaun ungu dalam video nampak malu-malu dan kekok bila ditarik supaya menari dengan bakal ibu mertuanya. Aksi tambah melucukan selepas itu bila dua orang besan menari di tengah kerumunan sanak saudara. Baru majlis pertunangan sudah begitu meriah. Tapi apa yang lebih menarik ialah majlis dan joget lambak mereka hanya dalam kelompok ahli keluarga perempuan sahaja. Sangat manis.
Sambil melihat gambar-gambar percutian keluarga mereka di Aswan, kami dihidangkan dengan sandwich ringkas. Roti, hirisan daging lancheon (daging mampat seperti sosej tapi besar), sayur jeruk, hirisan keju dan potongan timun dan karot mentah. Bagi tekak Melayu yang biasa menjamah nasi di tengah-tengah hari begitu memang kelihatan sandwich kurang menyelerakan. Tapi dah nama pun bertamu, makan sajalah apa yang tuan rumah hidang! Inilah hidangan biasa orang Arab bahkan saya kira hirisan daging yang ada tu sudah dikira mewah. Sebab biasa yang saya lihat mereka hanya makan roti dengan keju sahaja. Apapun hidangan sandwich ringkas tu sangat berkhasiat dan mengenyangkan. Mama Iman menyangka kami akan datang lebih ramai lalu dia menyediakan sandwich dengan banyak. Jenuhlah kami menghabiskan semuanya. Sambil makan melarat-laratlah berbual dan bergurau senda. Mama Iman ikut bersantai dengan kami di atas katil. Waktu itu segala tudung dan stokin sudah terbang. Kami melepak macam di rumah sendiri. Selepas sandwich mereka jamu pula dengan kek dan biskut kelapa. Kenyang teramat sangat sampaikan masing-masing tak larat berdiri. Inilah bahananya bertamu dengan Arab!
Menjelang asar bertalu-talu panggilan datang dari Fatma. Sejak zohor dia sudah menelefon tetapi sengaja diabaikan Mama Iman supaya kami bersantai lebih lama dengan mereka. Bila kami jelaskan yang kami perlu pulang sebelum malam, Mamanya akur dan barulah kami dapat bersiap ke rumah Fatma pula. Iman, Mamanya dan adiknya Sumayyah ikut bersama kami. Rupanya mereka sekeluarga sama berkelubung hitam seperti Iman. Selama ini saya hanya melihat perempuan-perempuan berkelubung ni dari luaran sahaja dan ini kali pertama dapat bergaul rapat dengan orang seperti mereka. Kelihatan penampilan mereka sangat mudah dan ringkas. Walaupun ‘menyeramkan’ di luar tapi di dalam rumah mereka tetap juga perempuan biasa yang ber-skirt jeans, ber-blouse pendek dan bergaya menawan. Siapa kata yang bertutup tu tak cantik!
Di rumah Fatma
Seperti sardin, kami berhimpit dalam sebuah van kecil ke rumah Fatma. Rupanya dua keluarga ini saling mengenali dan sangat rapat. Mungkin juga kerana sama-sama bergiat aktif dengan gerakan Ikhwanul Muslimin. Fatma tinggal berdua dengan suaminya. Tetapi petang itu ibu, makcik dan adik-adiknya turut serta meraikan kedatangan kami. Selepas solat asar kami berkumpul di ruang tamu berbual dengan keluarga Fatma. Semua perempuan yang pastinya. Di situ kami lihat rupa fizikal keluarga Fatma sangat berbeza dari keluarga Iman. Jika Iman kecil molek berkening hitam lebat dengan kulit sawo matang, Fatma pula tinggi lampai berkulit cerah dengan kening coklat lebat. Katanya darah keturunan keluarganya berasal dari Turki. Inilah antara keunikan negara Mesir yang bangsa Arabnya dibina dari pelbagai campuran keturunan.
Sambil berbual Fatma menjamu kami dengan sebakul buah-buahan segar dan kurma muda yang rangup. Selepas itu dihidang pula mughaat ( مغاط ), sejenis ‘jamu’ buatan sendiri. Mughaat ini teksturnya seperti nestum bayi dan rasanya seperti minyak gamat. Ia dihidangkan panas dengan taburan kelapa kisar dan kismis di atasnya. Tak ada rasa manis atau masin, berkerut-kerut muka kami nak menelannya. Kata Mama Fatma, mughaat ni makanan tambahan yang baik untuk kesihatan tulang dan tubuh keseluruhannya. Lebih baik dimakan oleh perempuan yang baru bersalin macam Fatma. Rempahnya sangat mahal hampir seratus geneh sekilo! Dengar bunyi mahal sangat macam tu rasa kesianlah pula kalau tak habis. Kami makanlah juga, kongsi seorang sedikit dan campur dengan buah-buah bagi hilang rasa minyak gamatnya tu.
Sebelum maghrib kami dihidangkan dengan makan malam. Adik Fatma, Khadijah yang menuntut di tahun satu kuliah syariah Al-Azhar baru pulang dari kelas petangnya. Lagi sekali kami tenggelam dalam keriuhan, kali ini lebih dahsyat lagi dengan pertemuan dua keluarga. Mama Iman, Mama Fatma dan makciknya makan bertiga di muka pintu sedang kami berlonggok di dalam bilik mengelilingi nasi dan ikan talapia bakar. Mereka berbual tak ingat dunia sampai kami semua selesai makan mereka masih di situ. Walaupun tak berapa faham dengan bahasa pasar mereka tapi bila sekali ketawa kami semua ikut ketawa lihat gelagat mereka. Satu lagi kebiasaan orang Arab yang saya lihat ialah melangkah hidangan dan lalu di depan muka orang. Rasa janggal lihat adik-adik Fatma melangkah ibu mereka yang sedang makan di muka pintu. Kami berlapan segan dan takut-takut nak lalu. Bila minta lalu di belakang mereka tak faham pula, suruh langkah saja makanan yang melintang di tengah jalan. Bagi orang Melayu kita perbuatan begini memang tak sopan dan silap haribulan kaki dikutil. Tapi bagi Arab ia perbuatan biasa.
Selepas maghrib, selepas kekenyangan dengan makanan dan gelak ketawa barulah kami bertolak pulang ke Mandarah. Iman, ibu dan adiknya menemani kami sampai mendapat bas dan siap membayarkan tambang. Memandangkan Mandarah adalah stesyen terakhir kami terus melelapkan mata sepanjang perjalanan. Seharian bertamu ke rumah Arab dengan macam-macam kerenah dan gaya, memang pengalaman manis yang takkan dilupa. Inilah sikap bangsa Arab yang sangat memuliakan tetamu. Selalu hanya dibaca dalam syair-syair yang kami pelajari di kuliah namun kali ini sangat beruntung dapat melaluinya sendiri. Rugi sesiapa yang terlalu memandang skeptikal terhadap orang Arab ni sampai tak nampak langsung kebaikan mereka. Benar ada terlalu banyak perbezaan budaya, mentaliti dan sikap tapi semua perbezaan tu tak lebih sekadar warna-warna pelangi yang Allah jadikan buat menghias dunia. Yang penting seakidah seagama, dengan positif dan terbuka segala perbezaan akan mudah dilalui.

Jumaat, 6 Januari 2012

Secebis Ingatan Buat Dia Yang Tercinta

Hari ni bukanlah harijadi dia. Bukan juga tarikh pemergiannya. Tapi entah kenapa sedang menelaah di tengah kesunyian malam ini jadi terlalu ingat kepadanya. Lalu saya ingin coretkan di sini sekilas ingatan terhadapnya yang saya tersangat cinta.

Nenek.

______________________________________________

Zuriah Haji Demang. Lahir 28 Mac 1926. Tinggal berteduh di rumah dhaif hadiah suami dengan 12 cahaya mata. Ibu saya yang kedua. Orang kampung memanggilnya Kak Ngah Joriah. Yang muda sikit panggil Mak Ngah Joriah. Aktif dengan kumpulan marhabannya dan sekali-sekala ikut membantu pengurusan jenazah. Di rumah dia hanya suri rumah biasa. Memasak, menjahit, mengaji Al-Quran, menulis. Mungkin untuk mengisi masa lapang, Nenek turut mengusahakan jualan sagun dan mengambil tempahan bahulu walaupun belanja dari anak-anak tak pernah putus.

Sejak kecil saya tinggal dengan Nenek. Sebagai ‘penyanyi bayi’ popular, saban hari melalak di telinga Nenek dan mencabar kesabarannya. Saya ada bersama dalam rutin hariannya. Menyusahkan dia terpaksa bangun di pagi buta mencuci cadar yang saya lencunkan. Dengarkan dia mengaji dan berbisik-bisik dalam solat malam dan siangnya. Tolong mengaduk hampas kelapa di atas kuali sebelum dia kisar menjadi sagun. Perhatikan dia menyulam pakaian dan safrah. Ya, saya cukup minat tengok Nenek menyulam dengan benang pelbagai warna. Sesekali bila dia ke dapur saya akan curi-curi menyambung jahitannya satu-dua mata. Dia tidur, saya ikut tidur sama. Kalau tak tidur pun setakat berbaring di sisi melihat bahunya turun-naik. Nenek orang pertama yang buat saya sedar rupanya orang lain pun bernafas, mengembang-kuncupkan dada seperti saya. Nenek juga orang pertama yang membiasakan saya tidur tengahari sebelum saya tahu bahawa amalan itu ialah sunnah Nabi s.a.w yang dipanggil 'qailulah'. Kadang-kadang sampai terpaksa umpan saya dengan macam-macam demi nak suruh dua kelopak mata ni pejam.

Teruja lihat titis-titis beras peram yang mengeras jadi bedak sejuk. Selera menjamu nasi basi yang dibasuh dan dikukus semula menjadi santapan. Asyik mengutip cebisan getah tayar basikal untuk dibuat umpan membakar sampah. Bersama Nenek, saya belajar manisnya hidup dalam kesusahan.

Keturunan sebelah ibu saya ini, asalnya orang beragama dari Palembang, Indonesia. Tak hairanlah Nenek sangat mahir menulis jawi dan banyak menghafal ilmu-ilmu Islam. Waktu lapangnya bila tidak menjahit dia akan menulis. Fekah, Tauhid, Tasauf Nenek catatkan dalam buku dan hadiahkan kepada anak-anak atau sekadar buat koleksi di rak buruknya. Kertas-kertas catatannya bercampur-aduk dengan benang dan jarum jahitan membuktikan cinta ilmu yang terlalu dalam. Nenek ajar saya menulis jawi. Saya masih ingat perasaan teruja waktu pertama kali saya dapat menulis ‘Nenek’ dalam tulisan jawi dan tunjukkan padanya. Nenek juga yang ajar saya melukis. Saya membesar dikelilingi lukisan bunga-bungaan yang Nenek buat contoh sulamannya. Bila koyak dan lunyai satu lukisan Nenek lukis yang lain, tekap di telekung dan safrah sebelum disulam. Cantik.

Lebih dari pengasuh, Nenek adalah guru mengaji saya. Dari muqaddam, menghafal ayat-ayat lazim sampai ke juzu' yang tinggi-tinggi Nenek bimbing. Apabila naik darjah satu dan siang saya sibuk dengan sekolah, saya jarang-jarang lagi ke rumah Nenek walaupun rumah kami cuma bersebelahan. Balik sekolah dengan rasa terpaksa, pergi juga mengusung quran ke rumah Nenek. Demi tak menyusahkan saya dan Kakak, selalu Nenek tunggu di luar rumah sahaja. Sambil mengupas kentang dan bawang dia duduk menunggu kami datang mengaji. Bila malas saya biar sahaja dia menunggu sampai petang walaupun dalam hati terasa sayu buat Nenek begitu. Lama sangat tak pergi mengaji Nenek akan membebel sampai saya datang. Menangis pun menangislah, yang penting mengaji. Nenek bukan Hafizah, tapi dia boleh semak bacaan kami tanpa memandang al-Quran buat saya kagum. Mungkin kerana terlalu kerap mengaji dan saya yakin ramai nenek orang lain begitu juga.

Nenek ajar saya, sebelum mengaji sebutlah ‘adik baca quran ni untuk arwah Atuk’. Pahit untuk dikenang bahawa suatu hari nanti saya akan sebutkan ayat itu untuk Nenek...

Nenek garang, bukannya tak garang. Nak dengar dia mengaum cubalah cari pasal. Bukan sekali-dua suara petirnya meleraikan pergaduhan saya dan Kakak. Suatu kali bergaduh teruk, Nenek datang rumah kami bawa parang. Bukan nak takik saya atau Kakak, tapi nak umpil pintu gril yang kami hempas sampai ‘tergeliat’. Huhu~ Lepas bergaduh kadang-kadang Nenek bawa saya balik ke rumahnya dan buat saya perasan yang dia sebelahkan saya. Sebenarnya tidak, Nenek cuma nak sambung ceramahnya kepada saya yang nakal suka mengacau Kakak.

Darjah tiga bila masuk ke asrama saya makin jauh dengan Nenek. Saya curi satu kain baju kurungnya bawa pergi ke asrama untuk dipeluk - cium bila rindu. Kain licin berkilat warna oren yang atasnya disambung dengan kain kapas biasa, saya ingat lagi. Sempena masuk asrama Nenek jahitkan sehelai telekung kosong untuk saya. Langsung tak ada renda mahupun sulaman tapi saya terima dengan air mata bertakung. Saya sayang Nenek.... Telekung buruk itu saya pakai dengan bangga sampai ia singkat dan tak boleh diguna lagi. Kadang-kadang Nenek bekalkan saya dan Kakak dengan bedak batu untuk dijual di asrama. Hasil jualannya untuk kami sendiri buat belanja.

Makin membesar makin Nenek terasa jauh dari hati. Sekali-sekala pulang bercuti tak rajin lagi berkunjung ke rumah Nenek. Tak betah lagi santai berlama-lama di biliknya yang bersepah dengan benang dan kertas – gubuk buruk tempat saya dibesarkan. Setiap saat berlalu saya semakin menjadi kacang yang melupakan kulit. Nenek tak penting lagi. Cuti jarang-jarang mesti pulun tengok tv dan baca komik. Macam mana pun Nenek sebagai guru mengaji tak mungkin saya lupakan. Sewaktu mengkhatamkan hafazan Al-Quran orang yang saya cium ialah Nenek, bukan guru hafazan saya. Terima kasih Nenek kerana ajar saya mengaji. Rasa macam baru semalam kena bebel dan menangis tadah quran depan Nenek, rupanya hari ini al-Quran itu sudah berada dengan saya. Terima kasih Nenek.

Masuk kolej. Saya berpindah-randah merantau ke utara menjalani usia dewasa. Makin luas pergaulan. Makin jauh dari kampung halaman. Nenek makin hilang dari ingatan. Saya sebagai gadis dewasa, Nenek di hati saya tak lebih dari emak kepada ibu saya. Orang tua yang tinggal di sebelah rumah saya. Bayang dia membesarkan saya hanya tinggal di lubuk hati terdalam yang buat saya masih terlalu sayangkannya walaupun tiada lagi kemesraan dan kunjungan santai. Kami berjiran, tapi rumah Nenek macam rumah orang asing, tak betah saya ke situ tanpa ibu. Paling tidak pun saya layan dia berbual di anjung rumah. Nenek suka bercerita dan saya pula tak pandai diamkan orang bercakap. Duduklah berjam-jam dengar ceritanya sampai Nenek puas dan saya pun tak keluar-keluar lagi lepas tu demi mengelak berbual dengan Nenek. Tapi hati terdalam saya selalu rindu. Diam-diam saya suka intai Nenek bersantai di buaian. Nak pergi kepadanya tak larat hadap dia berborak lama, jadi saya yang pentingkan diri ni sekadar melepas rindu di balik tingkap rumah.

Nenek sebagai orang tua sebenarnya terlalu sepi. Cucu yang dia dodoi, suap dan mandikan dengan tangannya ada di sebelah tapi sembunyi dalam rumah buat berlagak. Saya tahu ini tak boleh dibuat alasan, tapi waktu itu saya betul-betul tak faham mahupun peduli dengan sunyi orang tua. Apa yang saya faham dan peduli waktu itu ialah komik dan astro.....hiburan orang muda selepas jenuh belajar dan mengejar masa depan. Dalam pada itu mata selalu perhatikan Nenek. Setiap kali ke surau dan masjid saya akan perasan sepasang mata kelabu Nenek merenung sepi dari sebalik tingkap. Kadang-kadang saya pandang sahaja. Kadang-kadang senyum. Kadang-kadang buat tak pandang. Itu saya yang Nenek bela dari sebesar tapak tangan.

Mei Empat tahun lepas, tamat pengajian di kolej. Waktu pulang bercuti saya lihat Nenek berkemas-kemas. Segala lukisan sulamannya yang cantik-cantik mahu dibuang, katanya sudah tidak mahu menjahit lagi. Saya jadi pelik dengar Nenek mahu tinggalkan hobi tercintanya. Langsung semua kertas lukisan itu saya selamatkan, biar saya guna buat contoh menyulam bila berkelapangan. Nenek hadiahkan saya sebuah buku tulis yang tebal, dalamnya tercatat beberapa cebisan Tauhid dan Fiqh buat panduan saya. Nenek cerita hal tanah yang buat dia bergeser dengan adik-beradiknya. Saya dengar saja dan langsung tidak terfikir apa-apa. Nenek bukan orang penting untuk saya terlalu mengambil tahu, fikir saya waktu itu.

September 2007, Ramadhan. Saya sedang bergelut dengan STAM. Lulus STAM ni saya akan terbang ke Mesir, begitu mimpi saya sejak lama yang hanya tinggal beberapa langkah untuk digapai. Asyik dengan cita-cita sampai saya lupa dunia sekeliling. Tergerak hati mahu kembali mengaji dengan Nenek sempena Ramadhan tapi saya abaikan. Waktu itu belum percaya dengan gerak hati. Nenek jatuh sakit pada awal Ramadhan. Katanya gastrik. Okey. Saya buat biasa. Makin buruk sakit Nenek, ulang-alik mak cik dan pak cik bawa pergi hospital dan saya hanya lihat dari ruang tamu sambil tonton Astro. Pertengahan Ramadhan Nenek terus ditahan di hospital. Siapa tahu rupanya itulah langkah terakhirnya meninggalkan rumah menuju barzakh.....

Saya yang bengap dan obses dikelilingi pelangi angan-angan, berasa sangat optimis Nenek akan sembuh. Biasalah orang tua sakit, fikir saya. Suasana bilik hospital Nenek yang selalu ceria dengan kunjungan kami juga menghalau jauh fikiran buruk-buruk. Saya terlalu pasti Nenek hanya sakit biasa dan akan sembuh. Sewaktu giliran saya menemani Nenek, seorang mak cik memberikan saya sepotong doa untuk dibacakan kepada Nenek. Doa memudahkan roh keluar. No! Roh siapa yang nak keluar ni? Nenek akan sembuh okey.....dia akan lihat saya berangkat ke Mesir. Saya pasti. Yang sebenarnya, mungkin mereka semua dah tahu yang Nenek tiada harapan sembuh dari darah tingginya. Cuma saya seorang masih dikelabui mimpi indah. Malam terakhir Nenek sakit tenat hingga tak mampu lagi membuka mata. Lihat semua orang murung, Mak Andak mengaji dengan linangan air mata di samping Nenek, baru saya percaya Nenek sakit kuat. Baru nak percaya! Baru menggelabah! Saya berdiri semalaman di luar ICU mengulang-ulangkan Yasin untuk Nenek. Letih, duduk. Dah lega berdiri lagi renung Nenek yang tak sedarkan diri dari luar cermin. Tak mahu lepas dari pandangan. Nenek, tolong sembuh!

Sempat beberapa hari kami seluruh keluarga berkampung di laman Hospital Kajang. Hanya Pak Teh Jo di London. Kakak di Indonesia pun sempat pulang jenguk Nenek. Tengah malam 25 Ramadhan, ditemani semua lima anak perempuannya Nenek tinggalkan dunia. Wad lelaki di luar ICU itu haru dengan air mata kami. Saya temankan Mak Tam balik siap-siapkan rumah untuk menyambut jenazah Nenek. Bentang tikar dan angkat katil dengan air mata berjurai di pipi. Tapi entah macam mana yang Tuhan aturkan, jenazah Nenek tak balik semula ke rumah yang dia tinggalkan hidup-hidup. Katanya Nenek yang doa begitu, tak tahulah.

Kami semua berkampung pula di rumah Mak Teh temankan jenazah Nenek. Siang besok baru akan diuruskan. Semalaman lagi saya di sisi Nenek membacakan Yasin untuknya. Tapi malam ini, semuka pun tak dapat saya habiskan. Baca, menangis. Baca, menangis. Baca, menangis. Bangun cuci muka, bila duduk tepi jenazah menangis lagi.

Manakan tidak, waktu di sebelah jasad terbujur itu barulah ingatan lama saya keluar mencurah macam empangan pecah. Hari-hari saya bersama Nenek yang selama ini hilang terpapar semula satu per-satu. Saya buli Nenek, minta buatkan susu yang saya tak minum... Saya menangis minta dia keluarkan putik kapas yang tertinggal dalam telinga... Nenek berlari-lari dapatkan saya yang melalak dicakar Leo... Saya mengamuk baling duit bila Nenek potong rambut saya macam tembikai.... sampailah renungan sepi Nenek setiap kali kami lalu depan rumahnya... semua seolah ditayang atas lembaran mushaf yang saya riba.

Minta maaf Nenek, Adik biarkan Nenek sunyi.....minta maaf.

Di sebelah jenazah Nenek, baru saya ingat yang dia sayangkan saya dan saya balas dengan mengabaikan dia di hari tuanya. Sejurus selepas dia pergi baru saya sedarkan diri. Langsung tak guna. Ini, lidah yang melafazkan ayat suci ini Nenek yang lentur. Macam mana saya nak gunakan lidah ini untuk ‘mengajikan’ gurunya? Butir tulisan al-quran hilang dikaburi air mata. Orang nampak satu malam saya mengaji sebelah Nenek. Sebenarnya satu malam saya gagal mengaji dan asyik dihanyutkan kenangan!

7 Oktober 2007 Nenek pulang kepada pencipta. Tinggal keluarga, dan saya yang dengan siksa meneruskan perjuangan di dewan STAM. Sebulan selepas itu bila pulang semula ke Kajang, rasa kehilangan Nenek kembali mencengkam. Seharian lagi menangis dibelenggu rindu dan rasa bersalah yang tak tertanggung. Saat itu saya sungguh-sungguh doa semoga Allah temukan saya dengan Nenek, hatta kalau ‘hantu’ dia balik pun saya tak takut. Malam itu benar-benar Nenek pulang dalam mimpi saya. Lengkap bertudung dengan cermin mata seperti imejnya sewaktu saya kecil. Nenek diam sahaja dengan senyum di bibir, bersantai di katilnya macam orang baru balik dari jauh. Saya peluk dan cium pipinya. Hanya sebentar tapi buat saya bangun pagi dengan lega.

Terima kasih Ya Allah. Tenanglah saya kalau Nenek damai di persemadian. Saya lupa, dunia hanyalah penjara bagi mukmin. Tiada yang lebih membahagiakan mukmin selain berada dalam jagaan Tuhannya. Sebanyak mana pun saya sayangkan Nenek, sayang Allah lebih besar lagi dan pemeliharaanNya jauh lebih sempurna dari dunia dan seisinya. Tenanglah saya selepas lihat senyuman Nenek. Saya tahu Allah tidak biarkannya.... seperti saya.

Pemergian Nenek seperti penampar yang bangunkan saya dari kelalaian zaman remaja. Tuhan, saya benar-benar rasa seperti diterajang bangun dari mimpi indah. Saya kian sedar betapa singkatnya hidup ini. Saya mulai hargai setiap detik yang berlalu dan tak betah lagi berhibur-hibur membuang masa. Saya mula pandang sekeliling dan sayangi orang-orang yang hadir dalam hidup saya. Bila-bila masa saya atau mereka akan dibawa pergi sekelip mata seperti Nenek. Pahit sekali pengajaran ini Tuhan...Nenek yang jadi bayarannya untuk bangunkan saya dari lena.

Maafkan Adik, Nenek. Semoga damai, sampai bertemu lagi di akhirat...

___________________________________________

Secebis ingatan di awal dinihari... saya kongsikan dengan kamu mudah-mudahan ada pelajaran darinya. Al-Fatihah buat Nenek, dengan sepenuh cinta.

Iskandariah, 5 Januari 2012 4.22 pagi.

Kehidupan Pelajar Malaysia di Mesir

Orang Melayu sudah berada di Mesir sejak akhir kurun ke-19. Umumnya mereka datang ke Mesir untuk mendalami agama Islam memandangkan fungsi Negara Mesir sebagai ‘kiblat ilmu’ yang khazanahnya tidak pernah terjejas oleh peperangan sejak mula dibuka oleh sahabat Nabi s.a.w, Saidina Amr Al-Ash. Bilangan pelajar Melayu di Mesir bertambah meningkat mengikut tahun dan sejak selepas merdeka jumlahnya sudah mencecah ribuan orang dari seluruh nusantara.
Institusi yang paling mendapat perhatian para penuntut di sini ialah Universiti Al-Azhar. Bukan sahaja penuntut pengajian Islam, pelajar perubatan juga turut menuntut di universiti ini sebelum Kerajaan Malaysia mengembangkannya kepada universiti lain seperti Universiti Ain Shams, Universiti Kaherah dan Universiti Iskandariah (sekadar menyebut beberapa tempat). Istimewanya di Universiti Al-Azhar para pelajar dikehendaki menghafaz al-Quran mengikut silibus yang ditetapkan selain mengambil subjek asas agama Islam seperti Tafsir, Fiqh dan Sastera Arab.

Kehidupan sosial
Pelajar Malaysia di Mesir biasanya tinggal berkelompok di sesebuah kawasan tertentu yang terletak berhampiran universiti. Hanya di beberapa kawasan yang harga rumahnya terlalu mahal menyebabkan pelajar terpaksa mencari kediaman yang lebih murah walaupun terletak agak jauh dari kampus. Pelajar Malaysia kebanyakannya kurang bercampur dengan masyarakat arab melainkan dalam urusan penting seperti di kuliah, berjual-beli dan sewa rumah. Sebab utama yang menyumbang kepada keadaan ini ialah tidak mahir berbahasa Arab dan sikap tidak mahu bercampur. Namun tidak dinafikan ramai juga yang selesa bergaul dengan orang arab bahkan ada yang berkahwin dengan anak-anak mereka.
Menyebut tentang pelajar Malaysia pasti tidak dapat dipisahkan dari organisasi dan persatuan. Terdapat begitu banyak organisasi pelajar di Mesir dan sebahagian besarnya berdaftar di bawah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah / Education Malaysia Egypt (EME). Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) bertindak sebagai bapa kepada para pelajar di sini dan menguruskan kes-kes yang timbul di kalangan pelajar dengan kerjasama persatuan-persatuan yang ada.

Makanan
Ke mana pergi sekalipun pasti makanan akan menjadi soalan utama. Orang yang belum pernah sampai ke Mesir pasti akan menyangkakan tiada makanan Melayu di sini. Kalau lima puluh tahun dulu mungkin ya, tetapi kini suasana sudah jauh berbeza. Di Kaherah, terdapat ramai anak Melayu Malaysia, Indonesia dan Thailand mengusahakan kedai makanan. Kebanyakannya tertumpu di sekitar kewasan Rumah Negeri di Haiyu Sabi’e, Madinah Nasr. Selain itu makanan Arab sendiri tidaklah begitu aneh dengan selera orang Melayu. Walaupun makanan ruji mereka ialah roti dan keju tetapi Ayam panggang dengan nasi, roti kebab dan pelbagai sandwich ayam dan daging ada dijual di sini. Harganya juga tidak jauh beza dengan hidangan di restoran Melayu. Selain itu bahan mentah di sini juga sangat segar walaupun kurang bervariasi dan sesetengahnya agak berbeza. Contohnya beras Mesir yang lebih menyerupai beras pulut kurang digemari penuntut Melayu. Kebiasaan pelajar Malaysia di sini ialah memasak sendiri di rumah dengan mendapatkan bekalan beras asia dari peniaga tertentu untuk menjimatkan kos. Jenis ikan juga tidak sebanyak di Malaysia namun sudah cukup untuk memenuhi keperluan harian.

Rumah Negeri.
Tidak seperti pelajar Malaysia di lain-lain negara, Pelajar Malaysia di Mesir menikmati kemudahan Rumah Negeri yang terletak di Kaherah. Setiap negeri di Malaysia mempunyai asrama untuk pelajar tajaan masing-masing yang dipanggil ‘Rumah Negeri’ namun fungsinya tidaklah terhad kepada para pelajar tajaan mereka sahaja. Rumah Negeri biasanya menjadi kampung halaman bagi seluruh pelajar Melayu yang bertebaran di merata Mesir. Pelajar yang menuntut di kampus luar Kaherah biasanya akan pulang berhari raya di Rumah Negeri masing-masing bersama para pegawai negeri dan sahabat handai. Bukan itu sahaja, Rumah Negeri turut menjadi singgahan para tetamu Malaysia yang berkunjung ke Mesir sama ada mereka pelajar Malaysia yang menuntut di UK , ahli keluarga yang datang menziarahi anak-anak, pegawai kerajaan yang mengikuti kursus di Jabatan Mufti Mesir mahupun sekadar pelancong persendirian.
Rumah-Rumah Negeri diusahakan kewujudannya oleh persatuan-persatuan Negeri yang bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Sebelum kewujudan Rumah Negeri, para pelajar Melayu sudah mempunyai sebuah bangunan asrama di Abbasiah. Namun berikutan pertambahan jumlah pelajar yang semakin meningkat, mereka mengambil inisiatif untuk mengumpulkan para pelajar yang bertaburan lalu timbullah idea penubuhan rumah negeri. Pembinaan Rumah Negeri umumnya dibiayai oleh majlis agama negeri masing-masing dengan permohonan dari persatuan pelajar di sini, selain sumbangan ikhlas individu dan lain-lain pihak di Malaysia. Rumah Negeri ditadbir oleh para pelajar sendiri dalam sebuah organisasi yang dipanggil Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN). Namun sejak tahun 90-an pihak majlis agama telah menghantar pegawai masing-masing untuk mentadbir Rumah Negeri dan kini hanya beberapa buah Rumah Negeri sahaja yang tidak ditadbir pegawai seperti Rumah Pulau Pinang dan Rumah Perlis.

Kehidupan di Muhafazah
Penuntut Malaysia di Mesir bukan sahaja tertumpu di Kaherah bahkan bertebaran di banyak muhafazah (wilayah) lain. Kebanyakan mereka ialah pelajar yang mengikuti kursus Pengajian Islam Universiti Al-Azhar di kampus luar Kaherah selain pelajar perubatan. Antara muhafazah yang didiami penuntut Malaysia ialah Iskandariah (kampus siswi Al-Azhar dan perubatan Universiti Iskandariah), Mansurah (kampus siswa & siswi Al-Azhar dan perubatan Universiti Mansurah), Tanta طنطا (kampus siswa Al-Azhar dan perubatan Universiti Tanta) dan lain-lain. Setiap muhafazah mempunyai keistimewaan yang berbeza antara satu sama lain contohnya muhafazah Iskandariah yang terkenal dengan kecantikan pantai Mediterranean dan muhafazah Mansurah yang terkenal dengan lapangan pertanian yang indah. Kos sara hidup juga sangat berbeza antara setiap muhafazah. Di muhafazah yang agak maju seperti Kaherah dan Iskandariah biasanya perbelanjaan lebih tinggi berbanding muhafazah pertanian seperti Mansurah dan Tanta. Bagaimanapun bagi pelajar pengajian Islam, Kaherah adalah yang paling kaya dengan sumber ilmu pengetahuan memandangkan kota itu sudah dibanjiri para ilmuan sejak ratusan tahun silam. Bukan sahaja Masjid Al-Azhar menjadi tumpuan pelajar menadah ilmu, bahkan terdapat ribuan masjid di Kaherah menawarkan pengajian kitab tradisional dan moden secara percuma dengan bimbingan para ulama’ ‘alimin terkemuka.
Pemandangan senja di Iskandariah
Kanak-kanak Arab kampung yang mesra
Kehidupan sosial di muhafazah juga secara khususnya agak berbeza dari Kaherah. Di muhafazah Iskandariah contohnya, sikap penduduk di sini sedikit lebih lembut dan sopan berbanding penduduk Kaherah. Jarang kedengaran hon kereta bertalu-talu di jalanraya dan kadar kecurian di kediaman dan dalam pengangkutan awam juga lebih rendah. Begitu juga di muhafazah lain yang belum rancak dengan kemajuan, penduduknya lebih tenang dan santai. Di muhafazah biasanya pelajar Malaysia lebih banyak berinteraksi dengan orang awam. Tidak sedikit yang diajak bertamu ke rumah dan berbalas kunjungan sesama mereka. Namun sejak 2010 penghantaran penuntut Pengajian Islam ke muhafazah telah dihentikan dan hanya pelajar jurusan perubatan akan berada di muhafazah selepas ini.

Penuntut Melayu dalam sejarah Mesir
Ramai yang tidak tahu, anak-anak Melayu dari Nusantara pernah mendapat kepujian yang tinggi dari kerajaan dan rakyat Mesir. Sejarahnya tercatat pada tahun 60-an ketika Mesir terlibat dalam peperangan tiga serangkai antara Negara Arab, Inggeris dan Israel. Dalam peperangan ini anak-anak Melayu telah ikut terjun menyumbang tenaga dalam membantu peperangan, mendermakan darah dan menjahit seragam tentera. Setelah Mesir menang dalam peperangan tersebut Presiden Jamal Abdul Nasir telah menghadiahkan sebidang tanah di Abbasiah untuk pembinaan asrama pelajar Malaysia dan tanah tersebut telah didaftarkan di atas nama kerajaan Malaysia. Mungkin ekoran catatan sejarah tersebut, atau kerana sikap pelajar Malaysia sendiri rakyat Mesir telah menggelar mereka sebagai ‘ahsan naas’. Panggilan ini masih wujud hingga kini walaupun jarang-jarang didengari kerana perubahan corak interaksi penuntut kini berbanding generasi terdahulu.
Menurut sumber di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK), jumlah rakyat Malaysia di Mesir adalah yang kedua terbesar selepas United Kingdom. Itu belum termasuk bilangan penuntut Indonesia dan Selatan Thailand. Lantaran itu proses menjalani kehidupan di sini tidaklah terlalu sukar kerana wajah Melayu boleh ditemui di mana-mana. Walaupun budaya dan sistem sangat berbeza namun ia bukanlah masalah besar kerana persamaan agama menjadikan negara Mesir amat selesa didiami. Di bandar-bandar besar mungkin sikap penduduknya agak kasar dan ‘terdesak’ oleh persaingan hidup, namun secara umumnya bangsa Arab Mesir sangat ramah dan suka membantu tanpa dipinta. Anda pandai bercakap Arab? Siaplah mereka akan ajak anda berbual dan bergurau tak kering gusi!