Jumaat, 6 Januari 2012

Kehidupan Pelajar Malaysia di Mesir

Orang Melayu sudah berada di Mesir sejak akhir kurun ke-19. Umumnya mereka datang ke Mesir untuk mendalami agama Islam memandangkan fungsi Negara Mesir sebagai ‘kiblat ilmu’ yang khazanahnya tidak pernah terjejas oleh peperangan sejak mula dibuka oleh sahabat Nabi s.a.w, Saidina Amr Al-Ash. Bilangan pelajar Melayu di Mesir bertambah meningkat mengikut tahun dan sejak selepas merdeka jumlahnya sudah mencecah ribuan orang dari seluruh nusantara.
Institusi yang paling mendapat perhatian para penuntut di sini ialah Universiti Al-Azhar. Bukan sahaja penuntut pengajian Islam, pelajar perubatan juga turut menuntut di universiti ini sebelum Kerajaan Malaysia mengembangkannya kepada universiti lain seperti Universiti Ain Shams, Universiti Kaherah dan Universiti Iskandariah (sekadar menyebut beberapa tempat). Istimewanya di Universiti Al-Azhar para pelajar dikehendaki menghafaz al-Quran mengikut silibus yang ditetapkan selain mengambil subjek asas agama Islam seperti Tafsir, Fiqh dan Sastera Arab.

Kehidupan sosial
Pelajar Malaysia di Mesir biasanya tinggal berkelompok di sesebuah kawasan tertentu yang terletak berhampiran universiti. Hanya di beberapa kawasan yang harga rumahnya terlalu mahal menyebabkan pelajar terpaksa mencari kediaman yang lebih murah walaupun terletak agak jauh dari kampus. Pelajar Malaysia kebanyakannya kurang bercampur dengan masyarakat arab melainkan dalam urusan penting seperti di kuliah, berjual-beli dan sewa rumah. Sebab utama yang menyumbang kepada keadaan ini ialah tidak mahir berbahasa Arab dan sikap tidak mahu bercampur. Namun tidak dinafikan ramai juga yang selesa bergaul dengan orang arab bahkan ada yang berkahwin dengan anak-anak mereka.
Menyebut tentang pelajar Malaysia pasti tidak dapat dipisahkan dari organisasi dan persatuan. Terdapat begitu banyak organisasi pelajar di Mesir dan sebahagian besarnya berdaftar di bawah Jabatan Penuntut Malaysia Kaherah / Education Malaysia Egypt (EME). Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) bertindak sebagai bapa kepada para pelajar di sini dan menguruskan kes-kes yang timbul di kalangan pelajar dengan kerjasama persatuan-persatuan yang ada.

Makanan
Ke mana pergi sekalipun pasti makanan akan menjadi soalan utama. Orang yang belum pernah sampai ke Mesir pasti akan menyangkakan tiada makanan Melayu di sini. Kalau lima puluh tahun dulu mungkin ya, tetapi kini suasana sudah jauh berbeza. Di Kaherah, terdapat ramai anak Melayu Malaysia, Indonesia dan Thailand mengusahakan kedai makanan. Kebanyakannya tertumpu di sekitar kewasan Rumah Negeri di Haiyu Sabi’e, Madinah Nasr. Selain itu makanan Arab sendiri tidaklah begitu aneh dengan selera orang Melayu. Walaupun makanan ruji mereka ialah roti dan keju tetapi Ayam panggang dengan nasi, roti kebab dan pelbagai sandwich ayam dan daging ada dijual di sini. Harganya juga tidak jauh beza dengan hidangan di restoran Melayu. Selain itu bahan mentah di sini juga sangat segar walaupun kurang bervariasi dan sesetengahnya agak berbeza. Contohnya beras Mesir yang lebih menyerupai beras pulut kurang digemari penuntut Melayu. Kebiasaan pelajar Malaysia di sini ialah memasak sendiri di rumah dengan mendapatkan bekalan beras asia dari peniaga tertentu untuk menjimatkan kos. Jenis ikan juga tidak sebanyak di Malaysia namun sudah cukup untuk memenuhi keperluan harian.

Rumah Negeri.
Tidak seperti pelajar Malaysia di lain-lain negara, Pelajar Malaysia di Mesir menikmati kemudahan Rumah Negeri yang terletak di Kaherah. Setiap negeri di Malaysia mempunyai asrama untuk pelajar tajaan masing-masing yang dipanggil ‘Rumah Negeri’ namun fungsinya tidaklah terhad kepada para pelajar tajaan mereka sahaja. Rumah Negeri biasanya menjadi kampung halaman bagi seluruh pelajar Melayu yang bertebaran di merata Mesir. Pelajar yang menuntut di kampus luar Kaherah biasanya akan pulang berhari raya di Rumah Negeri masing-masing bersama para pegawai negeri dan sahabat handai. Bukan itu sahaja, Rumah Negeri turut menjadi singgahan para tetamu Malaysia yang berkunjung ke Mesir sama ada mereka pelajar Malaysia yang menuntut di UK , ahli keluarga yang datang menziarahi anak-anak, pegawai kerajaan yang mengikuti kursus di Jabatan Mufti Mesir mahupun sekadar pelancong persendirian.
Rumah-Rumah Negeri diusahakan kewujudannya oleh persatuan-persatuan Negeri yang bernaung di bawah Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM). Sebelum kewujudan Rumah Negeri, para pelajar Melayu sudah mempunyai sebuah bangunan asrama di Abbasiah. Namun berikutan pertambahan jumlah pelajar yang semakin meningkat, mereka mengambil inisiatif untuk mengumpulkan para pelajar yang bertaburan lalu timbullah idea penubuhan rumah negeri. Pembinaan Rumah Negeri umumnya dibiayai oleh majlis agama negeri masing-masing dengan permohonan dari persatuan pelajar di sini, selain sumbangan ikhlas individu dan lain-lain pihak di Malaysia. Rumah Negeri ditadbir oleh para pelajar sendiri dalam sebuah organisasi yang dipanggil Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN). Namun sejak tahun 90-an pihak majlis agama telah menghantar pegawai masing-masing untuk mentadbir Rumah Negeri dan kini hanya beberapa buah Rumah Negeri sahaja yang tidak ditadbir pegawai seperti Rumah Pulau Pinang dan Rumah Perlis.

Kehidupan di Muhafazah
Penuntut Malaysia di Mesir bukan sahaja tertumpu di Kaherah bahkan bertebaran di banyak muhafazah (wilayah) lain. Kebanyakan mereka ialah pelajar yang mengikuti kursus Pengajian Islam Universiti Al-Azhar di kampus luar Kaherah selain pelajar perubatan. Antara muhafazah yang didiami penuntut Malaysia ialah Iskandariah (kampus siswi Al-Azhar dan perubatan Universiti Iskandariah), Mansurah (kampus siswa & siswi Al-Azhar dan perubatan Universiti Mansurah), Tanta طنطا (kampus siswa Al-Azhar dan perubatan Universiti Tanta) dan lain-lain. Setiap muhafazah mempunyai keistimewaan yang berbeza antara satu sama lain contohnya muhafazah Iskandariah yang terkenal dengan kecantikan pantai Mediterranean dan muhafazah Mansurah yang terkenal dengan lapangan pertanian yang indah. Kos sara hidup juga sangat berbeza antara setiap muhafazah. Di muhafazah yang agak maju seperti Kaherah dan Iskandariah biasanya perbelanjaan lebih tinggi berbanding muhafazah pertanian seperti Mansurah dan Tanta. Bagaimanapun bagi pelajar pengajian Islam, Kaherah adalah yang paling kaya dengan sumber ilmu pengetahuan memandangkan kota itu sudah dibanjiri para ilmuan sejak ratusan tahun silam. Bukan sahaja Masjid Al-Azhar menjadi tumpuan pelajar menadah ilmu, bahkan terdapat ribuan masjid di Kaherah menawarkan pengajian kitab tradisional dan moden secara percuma dengan bimbingan para ulama’ ‘alimin terkemuka.
Pemandangan senja di Iskandariah
Kanak-kanak Arab kampung yang mesra
Kehidupan sosial di muhafazah juga secara khususnya agak berbeza dari Kaherah. Di muhafazah Iskandariah contohnya, sikap penduduk di sini sedikit lebih lembut dan sopan berbanding penduduk Kaherah. Jarang kedengaran hon kereta bertalu-talu di jalanraya dan kadar kecurian di kediaman dan dalam pengangkutan awam juga lebih rendah. Begitu juga di muhafazah lain yang belum rancak dengan kemajuan, penduduknya lebih tenang dan santai. Di muhafazah biasanya pelajar Malaysia lebih banyak berinteraksi dengan orang awam. Tidak sedikit yang diajak bertamu ke rumah dan berbalas kunjungan sesama mereka. Namun sejak 2010 penghantaran penuntut Pengajian Islam ke muhafazah telah dihentikan dan hanya pelajar jurusan perubatan akan berada di muhafazah selepas ini.

Penuntut Melayu dalam sejarah Mesir
Ramai yang tidak tahu, anak-anak Melayu dari Nusantara pernah mendapat kepujian yang tinggi dari kerajaan dan rakyat Mesir. Sejarahnya tercatat pada tahun 60-an ketika Mesir terlibat dalam peperangan tiga serangkai antara Negara Arab, Inggeris dan Israel. Dalam peperangan ini anak-anak Melayu telah ikut terjun menyumbang tenaga dalam membantu peperangan, mendermakan darah dan menjahit seragam tentera. Setelah Mesir menang dalam peperangan tersebut Presiden Jamal Abdul Nasir telah menghadiahkan sebidang tanah di Abbasiah untuk pembinaan asrama pelajar Malaysia dan tanah tersebut telah didaftarkan di atas nama kerajaan Malaysia. Mungkin ekoran catatan sejarah tersebut, atau kerana sikap pelajar Malaysia sendiri rakyat Mesir telah menggelar mereka sebagai ‘ahsan naas’. Panggilan ini masih wujud hingga kini walaupun jarang-jarang didengari kerana perubahan corak interaksi penuntut kini berbanding generasi terdahulu.
Menurut sumber di Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK), jumlah rakyat Malaysia di Mesir adalah yang kedua terbesar selepas United Kingdom. Itu belum termasuk bilangan penuntut Indonesia dan Selatan Thailand. Lantaran itu proses menjalani kehidupan di sini tidaklah terlalu sukar kerana wajah Melayu boleh ditemui di mana-mana. Walaupun budaya dan sistem sangat berbeza namun ia bukanlah masalah besar kerana persamaan agama menjadikan negara Mesir amat selesa didiami. Di bandar-bandar besar mungkin sikap penduduknya agak kasar dan ‘terdesak’ oleh persaingan hidup, namun secara umumnya bangsa Arab Mesir sangat ramah dan suka membantu tanpa dipinta. Anda pandai bercakap Arab? Siaplah mereka akan ajak anda berbual dan bergurau tak kering gusi!

11 ulasan:

  1. Assalamualaikum,
    Kalau boleh, tolong terangkan mengenai khidmat perubatan di sana. Anak saya mungkin diberi peluang untuk belajar di meir. Jadi, saya ingin tahu sekiranya memerlukan khidmat hospital, bagaimana dan juga dai segi kosnya. Jazakaallah

    BalasPadam
  2. waalaikumsalam.terima kasih atas respon.
    sejujurnya saya belum pernah mendapatkan khidmat rawatan di sini.cuma setakat menceritakan pengalaman kawan-kawan bolehlah.umumnya perkhidmatan kesihatan di sini tidaklah sebaik di negara kita.ada perkhidmatan yang baik,tapi kosnya juga bukan calang-calang.kebiasaan pelajar jika menghidap penyakit teruk @ memerlukan pembedahan mereka akan pulang ke Malaysia.jika untuk sakit ringan yang tidak memerlukan rawatan panjang tak mengapa.

    satu lagi,dos ubat2an di sini sesetengahnya sangat kuat dan tidak sesuai dengan fizikal orang melayu.jika anak tuan/puan memerlukan pergantungan ubat saya cadangkan supaya membawa bekalan dari Malaysia untuk jangka pendek sebelum mendapatkan ganti yang sesuai di sini.

    BalasPadam
  3. Mesir dlm kenangan...indahnya :-)

    BalasPadam
    Balasan
    1. Mesir memang kenangan manis bagi sesiapa yang pernah sampai. bumi barakah kan :)

      Padam
  4. sedikit sebanyak saya dapat info ni ya. syukran

    BalasPadam
  5. Bismillah..

    Kalau lah di sini ada butang 'like'. tentu sudah saya tekan. =)
    Barakallahufik~ In syaAllah.

    BalasPadam
  6. assalamualaikum,,ank sye brminat
    brlajar di mesir dalam bidang al-quran dan qiraat ..ingin dapat kn maklumat

    BalasPadam
  7. Assalam... berminat berlajar al-quran dan qiraat di mesir.. perlukan maklumat lanjut..

    BalasPadam
  8. waalaikumsalam Atikah :)
    ahlan wasahlan. bumi Mesir alu2kan ukhti. sori sy belum sempat study lebih dalam tentang kuliah Takhassus Qiraat. setakat yg saya maklum dari kawan2, kuliah ni dijalankan selama 3tahun, kurang setahun dari Pengajian Islam & Bahasa Arab. kampus perempuan terletak di Mansurah, sebuah muhafazah kampung yg sangat tenang untuk pengajian Al-Quran. maklumat lanjut cuba semak di sini - http://farraoshin.blogspot.com/2010/03/pengajian-takhassus-quran-dan-qiraat.html

    BalasPadam