Selasa, 17 Januari 2012

Salji, kubu lama dan ibrah* – Cerita suatu pagi di Abu Qir


Katanya salji turun di Tusun Basya. Ajaib, tak pernah dengar lagi salji turun belah-belah Iskandariah ni. Dekat dengan Mandarah pula tu. Patutlah kami sejuk bukan main sampai dalam rumah pun mulut berasap-asap. Gambar daripada carian internet menambah asyik. Saya dengan terujanya ajak kawan mencari salji. Tak tahu ke mana nak dibawa kaki, tapi hati tergerak nak naik keretapi ayam* ke Abu Qir. Heret Nazneen sekali buat teman, risau pagi-pagi cuti nak naik keretapi sunyi ke hujung Iskandariah. Dalam perjalanan mata sentiasa menatap ke luar keretapi kot-kot dapat tengok kelibat salji, tapi sampai ke sudah tak nampak pemandangan yang diharap-harapkan. Turun di perhentian terakhir, Abu Qir, hujan turun sedikit lebat. Masih harap dapat melihat salji di mana-mana walaupun tak tahu nak ke mana. Selepas berteduh empat-lima minit di depan mahattah* kami buat keputusan untuk meredah hujan menuju ke arah perhentian tremco*. Kalau tak ada apa-apa yang menarik kami balik aje.

Konon nak pergi ke tremco melencong pula ke pantai. Geram tengok ombak laut melambai-lambai di celah blok apartment. Kesiankan Nazneen yang jarang-jarang berada di Alex, saya turutkan jua kaki melangkah ke sana walaupun angin sejuk mengalahkan peti ais. Pantai pada musim sejuk dengan hujan ributnya bukanlah tempat yang menarik untuk dikunjungi. Saya dan Nazneen menapak menyusur gigi pantai menikmati siraman gerimis lebat. Di tengah laut samar-samar kelihatan kapal berlabuh dalam kabus tebal. Sampai di hujung berpagar kami keluar dari pantai dan berpatah balik ke pekan. Tak ramai orang berada di luar rumah pada waktu-waktu hujan begitu. Tiga-empat ammu* yang lalu-lalang di depan kedai masing-masing memandang hairan kepada kami yang tegar ‘bersiar-siar’ di tengah hujan gerimis.

Rezeki terpijak dalam hujan

Sambil menapak, mata menangkap pemandangan sebuah tembok lama. Terletak jauh di hujung sana, ia hanya terlihat sebahagian sahaja melalui celah blok rumah yang bersusun rapat. Keadaan tembok tu tak ubah macam binaan lama yang biasa saya tengok di tapak-tapak arkeologi sekitar Iskandariah ni. Bahkan dalam peta arkeologi yang saya beli, kawasan Abu Qir ni ditandakan dengan tiga kawasan tinggalan sejarah. Adakah tembok yang saya lihat tu salah satu darinya? Dengan penuh rasa ingin tahu saya dan Nazneen mengubah haluan ke sana, terjingkit-jingkit meredah air lecak yang mengalir di jalan. Mesir tak ada longkang. Bila hujan beginilah jadinya. Bila sampai di situ, yang ada hanyalah pagar dawai bertutup rapat siap dengan menara kawalan di hujung tembok lama.

“Apa ni Neen, tempat askar kot?” teka saya sambil memerhati menara kawalan yang dipenuhi radar di atas bumbungnya.

“Tapi kalau tempat askar selalu kan diorang letak amaran mamnu’ taswir*” balas Nazneen. Betul juga, fikir saya. Mana-mana kawasan tentera yang bersepah di seluruh Mesir ni pasti akan ada letak amaran larangan bergambar di luar temboknya. Tambah pula di pagar buruk hujung sana ada papan tanda lusuh bertulis : ‘Narhabu Bikum’. Isy tak pernah pulak tengok kawasan tentera ada papan tanda selamat datang!

Kami berlegar-legar di situ hingga bertemu seorang ‘ammu* berdiri kesejukan di luar kedainya.

Ammu, wara’ jidar dah makan eih*?” dah la bahasa pasar, bedal pulak lagi. Memang jadi rojak pasembor! Nasib baik ‘ammu faham. Dia kata dia tak tahu tempat apa di depan kami ni. Tapi tak ada pulak dia sebut pasal kem tentera.

Hal yugad makan atsaar hena*?” tanya saya lagi, mencuba nasib kalau-kalau ada rezeki dapat tengok tapak arkeologi. Ammu kata ada! Kau jalan terus, hujung sana kau belok kiri naik atas bukit.

Macam ada lampu berkelip-kelip atas kepala. Terima kasih ‘ammu!

Yumkin ziyarah walal la’a?*” soalan terakhir nak pastikan tempat tu boleh dilawat ke tidak. Sebab ada tapak arkeologi yang tak dibuka untuk lawatan umum. Kalau yang dibuka pula tiketnya mahal, saya cuma bawa syiling beberapa genih* sahaja. Ammu kata tak tahu, kau pergi situ tanyalah penjaganya boleh lawat ke tak. Aik, pelik pulak rasa. Apa-apalah…. Sebelum kami beredar, seorang mama* berhenti di depan kami bertiga.

“Budak-budak ni cari tempat sejarah ke?” dia tanya ‘ammu, macam tu la yang saya faham. ‘Ammu iyakan lalu mama tu senyum pandang kami.

“Kami pun tak biasa pergi tempat bersejarah kat sini, cuma tengok dalam tv je”. Kami senyum saja lalu beredar mengekor mama yang kebetulan sama-sama mahu ke hujung jalan. Masih belum lupa tentang salji, saya tanya mama tentang khabar yang mengatakan salji turun di situ. Mama iyakan, tapi katanya salji cuma turun sikit saja pada jumaat. Waktu kami datang tu mungkin dah cair…sebab iklim Iskandariah asalnya memang tak bersalji. Sampai di hujung jalan mama menunjuk ke kiri yang jalannya bercabang dua. Satu jalan tanah merah memanjat bukit, satu lagi jalan bertar yang menghala terus ke kem tentera laut dan pelabuhan.

“Tu, tempatnya atas bukit tu. Kamu naik je terus”

Baik, terima kasih mama ;)

Kami berpisah. Jalan tanah merah yang kelihatan tak terurus buat saya tertanya-tanya. ‘Amud Sawari a.k.a Pompeii’s Pillar di Karmus, tempatnya di atas bukit juga tapi terjaga baik siap dengan papan tanda menunjukkan di situ ada monumen bersejarah. Yang ni sangat mencurigakan dan mencuit rasa ingin tahu saya. Makin menapak ke atas nampaklah sebuah kompleks bangunan usang yang buruk dimakan usia. Temboknya berlapis-lapis sangat tebal dan kelihatan kukuh walaupun batu-batanya sudah reput terhakis. Di sebahagian tempat dindingnya masih baik dengan cat kuning jelas kelihatan. Melihat senibina tingkap dan pintu besar yang kelihatan dari jauh, rasanya bangunan ni bukanlah binaan kuno zaman Greek atau Rom. Tapi apa? Kami terlalai sejenak dengan rumput unik yang di tepi jalan sebelum meneruskan langkah ke depan bangunan. Masih tak jumpa papan tanda, saya mencerlung tunak penanda kecil berwarna putih di atas gerbang.

Kousa Pasha Fort. Kubu perang kurun ke-18 zaman Muhammad Ali Pasha!

Kubu aneh yang sedih

Sebelah dalam tembok rupanya ada parit besar mengelilingi kompleks. Di pintu utama ada jambatan kayu yang kelihatan baru, menghubungkan laluan masuk di tembok dengan pintu gerbang. Wow, betul macam rupa istana-istana dalam cerita fairytale. Kami perhatikan parit kering yang dipenuhi rumput menghijau dan sampah-sarap. Nampaknya macam menghala ke laut tapi tak ada air masuk. Macam-macam perkara bermain dalam benak melihat kubu aneh ni. Nampak tak terurus tapi macam ada orang tinggal. Nak kata tengah baik pulih tak ada pulak nombor pendaftaran antikuiti. Biasanya Kementerian Antikuiti yang akan menjalankan proses baik pulih monumen bersejarah, macam Masjid Ibrahim Terbana di Manshiyah. Kesiannya kubu ni, kenapa terbiar macam ni? Boleh ke masuk tengok? Ada orang ke kat dalam? Kang kena serkap ke apa macam mana? Seorang pemuda tegap yang muncul dari dalam gerbang tak kelihatan mesra untuk diajak berbual. Dia berjalan pulas ke arah kami yang melilau di laluan masuk. Selepas memberi salam barulah dia mengangkat muka macam baru perasan kami di situ.

Mumkin nazuur henak?*” minta izin, sambil takut-takut tengok muka dia. Pemuda tu angguk sekali dan tangannya isyaratkan supaya kami masuk saja. Dia terus berlalu pergi tanpa basa-basi. Kami menapak ke dalam penuh hati-hati sambil mata liar ke kiri-kanan. Haha sangat scary, tapi sangat nak tahu apakehalnya bangunan pelik ni..... Melepasi gerbang, masih ada satu lagi parit di sebelah dalam. Dua lapis tembok dan parit mengepung kubu - serius ni kubu perang. Tapi parit belah dalam juga dipenuhi rumput dan sampah. Apalah nasib kau kubu..... Kami tercegat sejenak memerhati sekitar kawasan dalam. Halamannya tak adalah luas mana. Di sebelah belakang ada dua-tiga blok usang kediaman yang kelihatan diduduki orang. Di bahagian depan tanah membukit naik dengan meriam besar bersusun menghala ke laut. Wow, how exciting! Kami teruja mahu ke situ tapi melihatkan seekor anjing coklat sedang duduk memerhati, hasrat saya sedikit terbantut. Kami ubah perhatian kepada titi-titi kayu buruk yang menyeberangi parit dalam, terus ke pintu-pintu di dinding tembok yang sebenarnya adalah rumah. Jelas-jelas ada orang tinggal kat sini! Siap ada kandang kambing lagi. Pengalaman baru. Tak pernah tengok tapak sejarah macam ni didiami orang.

Anjing coklat beredar naik ke bukit. Nazneen terus berlari-lari anak memanjat juga, teruja nak terkam meriam yang meniarap dengan macho di situ. Selepas bermain aci - cak dengan anjing-anjing yang rupanya ramai ‘berkawal’ di atas bukit tu akhirnya kami ‘diizinkan’ melawat. Tak dapat membelek semua meriam, satu pun cukuplah kami buat teman bergambar. Di bahagian depan kubu ialah cerun bukit dengan parit besar melintang di bawahnya. Rupanya parit yang kami lihat di gerbang depan tadi bersambung mengelilingi kubu ni, cuma di sebelah barat mungkin sudah ditimbus untuk dibina penempatan awam. Di puncak bukit kecil itu kami dapat melihat hampir separuh pekan Abu Qir, dari tempat kami berbual dengan ammu tadi hinggalah pelabuhan di hujung sana. Abu Qir sebenarnya adalah sebuah tanjung yang terjulur keluar dari tebing laut Iskandariah. Sebab itu boleh nampak pantainya berada di utara dan selatan, berbeza dengan tanah besar yang pantai hanya berada di utara sahaja.

Lawatan singkat penuh rahmat

Babak seterusnya ialah Nazneen terkantoi dengan anjing, langsung kami hilang selera nak menjelajah. Rasanya anjing-anjing ni dipelihara penghuni kubu untuk menjaga kediaman mereka yang terpencil ni. Saya putuskan mahu sudahkan lawatan dan keluar saja...tak enjoy langsung nak melawat dengan tangan menggigil dan jantung nak tercabut macam ni. Tapi usaha menyelinap keluar dari kubu pun bukan mudah sebab anjing-anjing tu beralih ke gerbang pula. Kami melilau keliling kalau ada pintu keluar lain. Tak ada! Semua dikelilingi parit besar melainkan kawasan menara kawalan yang kami lihat dari luar tadi. Takkan nak ke situ kot. Kena tembak kang.......

Sempat pula Nazneen tala kamera shoot muka cuak saya time tu. Bertuah budak Neen ni! Nasib baik saya sempat sengih jugak :D

Tak ada orang di keliling. Tiga ekor budak ‘comel’ di pintu keluar satu-satunya. Nak batuk pun tak berani, takut ter-provoke anjing-anjing tu yang tengah mengushar dengan siaga. Parit besar melintang di keliling tak boleh ke mana-mana. Check mate. Matilah kau!

Waktu begitulah, berduyun-duyun isyarat S.O.S dihantar ke langit. Ya Allah, tolong la. Kitorang datang ziarah je, bukan nak buat jahat.......Ya Allah, tu anjing-anjing Kau. Tolong jangan bagi dia gigit kitorang. Ya Allah, tolong kitorang keluar dengan selamat!

Tak lama pun nak tunggu reply... Sedang kami bertenang-tenang mencari idea, kelihatan seorang lelaki berseragam memerhati kami dari atas menara kawalan di hujung tembok. Askar kot, saya senyum dan lambai kepadanya supaya tak timbul curiga. Jangan main-main dengan pasukan keselamatan Mesir. Bukan kerana mereka jahat, tapi kerana tahap kewaspadaan mereka sangat tinggi! Maklumlah 30 tahun mengawal negara yang berstatus darurat, mestilah imej keras dan tegas tu melekat kuat. Macam mana pun mereka adalah para penghafal Qur’an yang baik hati, sebab tu saya lebih tenang untuk senyum kepada mereka berbanding memandang dengan takut. Balasannya, askar tu lambai semula. Agaknya dia nampak kami tengah bermain police entry dengan anjing di depan gerbang, dia pun joint sekali tolong jadi satelit. Bila anjing-anjing hilang dari pandangan kami, askar tu buat isyarat tangan supaya kami turun dari bukit. Berlindung dengan surah yasin yang berbuih-buih di mulut dan keberanian Nazneen, kami mencicit lari keluar. Alhamdulillah!

Sambil menyusur luar tembok menuruni bukit saya toleh ke menara. Askar tu masih di situ melihat kami. Saya lambai lagi. Terima kasih kamu. Terima kasih banyak! Dia balas lambai dari kejauhan. (Askar, hanyalah seorang manusia seperti saya...cuma mereka memilih untuk berada di barisan pertahanan negara lalu dengan mudahnya dipergunakan oleh kuasa-kuasa politik zalim. Tak adil bila mereka dilabelkan dengan tohmahan yang jahat-jahat sedangkan mereka hanyalah orang awam seperti kita. Mahukan keadilan. Cintakan kedamaian. Mereka buktikan kecintaan dengan berkorban mempertahankannya. Kita ni yang hanya tahu menikmati keamanan hasil jerih payah dan berjaga malam seorang tentera, dengan enaknya meludah mereka bila mereka diperalatkan tangan-tangan zalim. Tersepit antara anak watan yang dikasihi dan pimpinan yang dipatrikan taat setia, macam mana perasaan diorang agaknya?)

Terima kasih, tentera. Jaish. Armed Forces. Personally. Baik buruk kamu hanya Allah lah membalasnya. Mengenangkan krisis rakyat-tentera yang berlaku sejak revolusi ni, tiba-tiba ter-touching pulak dengan pertolongan askar tadi.

Dan terima kasih Ya Allah, dengan bantuanMu kami selamat keluar....

“Terima kasih kak, bawak saya jalan” Nazneen ucapkan dengan gembira saat kami menuruni jalan tanah merah menuju ke pekan.

“Apa pulak, terima kasih kat Neen la sanggup teman akak berjalan. Kalau sorang memang akak tak datang sini kot.....” Tambahan ni fatrah imtihan* pulak, siapa yang merayap-rayap tengah orang sibuk study ni memang cari pasal!

Bila dah hilang takut, semua yang saspen-saspen bertukar jadi bahan ketawa. Dengan buku qawaid fiqh yang sudah kembang dek hujan, kami menaiki tremco pulang ke Mandarah. Alhamdulillah, alhamdulillah. Walaupun tak jumpa salji tapi dapat banyak pengajaran dari kembara singkat pagi ni. Lain yang dicari lain yang jumpa. Bak kata orang, kita minta rama-rama tapi Allah bagi beluncas. Rupanya ada benda lebih baik yang Dia jadikan ganti kepada permintaan kita. Yang lebih besar hikmah dan ibrahnya. Kita tak tahu apa yang Tuhan sediakan untuk kita di depan sana. Yang penting harapan padaNya jangan mati, till the very end. Apapun saya janji takkan jejak lagi kubu pelik ni....cukuplah sekali. Terima kasih Allah!

(Segala rasa cemas dan cuak dalam kisah ini tiada kena-mengena dengan sahabat saya Nazneen kerana beliau masih boleh ketawa riang selepas disergah anjing! ‘-_- Sekian)

Fakta Kubu Kousa Pasha (Abou Kir Fort)

- Telah dibina pada kurun ke-18 Masihi.
- Digunakan dalam dua peperangan : Empayar Usmaniah vs. Perancis & Perancis vs. British.
- Kini digunakan oleh angkatan tentera Mesir.

Indeks rojak pasembor :

Keretapi ayam -Keretapi awam dalam bandar. Dipanggil ‘keretapi ayam’ kerana Arab selamba membawak ayam-itik mereka naik keretapi ni sekali.

‘Ammu - Pakcik.

Mama - Makcik.

Mahattah - Stesyen.

Tremco - Van pengangkutan awam.

Mamnu’ taswir - Dilarang mengambil gambar.

Genih/ Junaih - Pound Mesir.

Fatrah Imtihan - Waktu peperiksaan.

Ibrah - Pengajaran.

‘Ammu, wara’ jidar dah makan eih? - Pakcik, kat sebalik tembok ni tempat apa?

Hal yugad makan atsaar hena? - Ada tak kawasan bersejarah/tapak arkeologi kat sini?

Mumkin ziyarah walal la’a? - Boleh melawat tak?

Mumkin nazuur henak? - Kitorang nak melawat boleh?

4 ulasan:

  1. nanti kalau nak pi lagi..ajak..
    jgn lupa..

    BalasPadam
  2. kalau kubu tu tobat tak pegi dah kot ;)

    BalasPadam
  3. assalamualaikum, bagaimana dengan perkhidmatan internet.ok tak

    BalasPadam
  4. waalaikumsalam. perkhidmatan internet di mesir sangat baik dan murah berbanding malaysia. ada macam2 plan untuk internet di handset. tanpa melanggan sebarang plan pun kita masih boleh guna internet dengan harga yg berpatutan.internet line pun laju dengan bayaran sekitar 30 pound/RM 15 sebulan :)

    BalasPadam