Jumaat, 6 Januari 2012

Secebis Ingatan Buat Dia Yang Tercinta

Hari ni bukanlah harijadi dia. Bukan juga tarikh pemergiannya. Tapi entah kenapa sedang menelaah di tengah kesunyian malam ini jadi terlalu ingat kepadanya. Lalu saya ingin coretkan di sini sekilas ingatan terhadapnya yang saya tersangat cinta.

Nenek.

______________________________________________

Zuriah Haji Demang. Lahir 28 Mac 1926. Tinggal berteduh di rumah dhaif hadiah suami dengan 12 cahaya mata. Ibu saya yang kedua. Orang kampung memanggilnya Kak Ngah Joriah. Yang muda sikit panggil Mak Ngah Joriah. Aktif dengan kumpulan marhabannya dan sekali-sekala ikut membantu pengurusan jenazah. Di rumah dia hanya suri rumah biasa. Memasak, menjahit, mengaji Al-Quran, menulis. Mungkin untuk mengisi masa lapang, Nenek turut mengusahakan jualan sagun dan mengambil tempahan bahulu walaupun belanja dari anak-anak tak pernah putus.

Sejak kecil saya tinggal dengan Nenek. Sebagai ‘penyanyi bayi’ popular, saban hari melalak di telinga Nenek dan mencabar kesabarannya. Saya ada bersama dalam rutin hariannya. Menyusahkan dia terpaksa bangun di pagi buta mencuci cadar yang saya lencunkan. Dengarkan dia mengaji dan berbisik-bisik dalam solat malam dan siangnya. Tolong mengaduk hampas kelapa di atas kuali sebelum dia kisar menjadi sagun. Perhatikan dia menyulam pakaian dan safrah. Ya, saya cukup minat tengok Nenek menyulam dengan benang pelbagai warna. Sesekali bila dia ke dapur saya akan curi-curi menyambung jahitannya satu-dua mata. Dia tidur, saya ikut tidur sama. Kalau tak tidur pun setakat berbaring di sisi melihat bahunya turun-naik. Nenek orang pertama yang buat saya sedar rupanya orang lain pun bernafas, mengembang-kuncupkan dada seperti saya. Nenek juga orang pertama yang membiasakan saya tidur tengahari sebelum saya tahu bahawa amalan itu ialah sunnah Nabi s.a.w yang dipanggil 'qailulah'. Kadang-kadang sampai terpaksa umpan saya dengan macam-macam demi nak suruh dua kelopak mata ni pejam.

Teruja lihat titis-titis beras peram yang mengeras jadi bedak sejuk. Selera menjamu nasi basi yang dibasuh dan dikukus semula menjadi santapan. Asyik mengutip cebisan getah tayar basikal untuk dibuat umpan membakar sampah. Bersama Nenek, saya belajar manisnya hidup dalam kesusahan.

Keturunan sebelah ibu saya ini, asalnya orang beragama dari Palembang, Indonesia. Tak hairanlah Nenek sangat mahir menulis jawi dan banyak menghafal ilmu-ilmu Islam. Waktu lapangnya bila tidak menjahit dia akan menulis. Fekah, Tauhid, Tasauf Nenek catatkan dalam buku dan hadiahkan kepada anak-anak atau sekadar buat koleksi di rak buruknya. Kertas-kertas catatannya bercampur-aduk dengan benang dan jarum jahitan membuktikan cinta ilmu yang terlalu dalam. Nenek ajar saya menulis jawi. Saya masih ingat perasaan teruja waktu pertama kali saya dapat menulis ‘Nenek’ dalam tulisan jawi dan tunjukkan padanya. Nenek juga yang ajar saya melukis. Saya membesar dikelilingi lukisan bunga-bungaan yang Nenek buat contoh sulamannya. Bila koyak dan lunyai satu lukisan Nenek lukis yang lain, tekap di telekung dan safrah sebelum disulam. Cantik.

Lebih dari pengasuh, Nenek adalah guru mengaji saya. Dari muqaddam, menghafal ayat-ayat lazim sampai ke juzu' yang tinggi-tinggi Nenek bimbing. Apabila naik darjah satu dan siang saya sibuk dengan sekolah, saya jarang-jarang lagi ke rumah Nenek walaupun rumah kami cuma bersebelahan. Balik sekolah dengan rasa terpaksa, pergi juga mengusung quran ke rumah Nenek. Demi tak menyusahkan saya dan Kakak, selalu Nenek tunggu di luar rumah sahaja. Sambil mengupas kentang dan bawang dia duduk menunggu kami datang mengaji. Bila malas saya biar sahaja dia menunggu sampai petang walaupun dalam hati terasa sayu buat Nenek begitu. Lama sangat tak pergi mengaji Nenek akan membebel sampai saya datang. Menangis pun menangislah, yang penting mengaji. Nenek bukan Hafizah, tapi dia boleh semak bacaan kami tanpa memandang al-Quran buat saya kagum. Mungkin kerana terlalu kerap mengaji dan saya yakin ramai nenek orang lain begitu juga.

Nenek ajar saya, sebelum mengaji sebutlah ‘adik baca quran ni untuk arwah Atuk’. Pahit untuk dikenang bahawa suatu hari nanti saya akan sebutkan ayat itu untuk Nenek...

Nenek garang, bukannya tak garang. Nak dengar dia mengaum cubalah cari pasal. Bukan sekali-dua suara petirnya meleraikan pergaduhan saya dan Kakak. Suatu kali bergaduh teruk, Nenek datang rumah kami bawa parang. Bukan nak takik saya atau Kakak, tapi nak umpil pintu gril yang kami hempas sampai ‘tergeliat’. Huhu~ Lepas bergaduh kadang-kadang Nenek bawa saya balik ke rumahnya dan buat saya perasan yang dia sebelahkan saya. Sebenarnya tidak, Nenek cuma nak sambung ceramahnya kepada saya yang nakal suka mengacau Kakak.

Darjah tiga bila masuk ke asrama saya makin jauh dengan Nenek. Saya curi satu kain baju kurungnya bawa pergi ke asrama untuk dipeluk - cium bila rindu. Kain licin berkilat warna oren yang atasnya disambung dengan kain kapas biasa, saya ingat lagi. Sempena masuk asrama Nenek jahitkan sehelai telekung kosong untuk saya. Langsung tak ada renda mahupun sulaman tapi saya terima dengan air mata bertakung. Saya sayang Nenek.... Telekung buruk itu saya pakai dengan bangga sampai ia singkat dan tak boleh diguna lagi. Kadang-kadang Nenek bekalkan saya dan Kakak dengan bedak batu untuk dijual di asrama. Hasil jualannya untuk kami sendiri buat belanja.

Makin membesar makin Nenek terasa jauh dari hati. Sekali-sekala pulang bercuti tak rajin lagi berkunjung ke rumah Nenek. Tak betah lagi santai berlama-lama di biliknya yang bersepah dengan benang dan kertas – gubuk buruk tempat saya dibesarkan. Setiap saat berlalu saya semakin menjadi kacang yang melupakan kulit. Nenek tak penting lagi. Cuti jarang-jarang mesti pulun tengok tv dan baca komik. Macam mana pun Nenek sebagai guru mengaji tak mungkin saya lupakan. Sewaktu mengkhatamkan hafazan Al-Quran orang yang saya cium ialah Nenek, bukan guru hafazan saya. Terima kasih Nenek kerana ajar saya mengaji. Rasa macam baru semalam kena bebel dan menangis tadah quran depan Nenek, rupanya hari ini al-Quran itu sudah berada dengan saya. Terima kasih Nenek.

Masuk kolej. Saya berpindah-randah merantau ke utara menjalani usia dewasa. Makin luas pergaulan. Makin jauh dari kampung halaman. Nenek makin hilang dari ingatan. Saya sebagai gadis dewasa, Nenek di hati saya tak lebih dari emak kepada ibu saya. Orang tua yang tinggal di sebelah rumah saya. Bayang dia membesarkan saya hanya tinggal di lubuk hati terdalam yang buat saya masih terlalu sayangkannya walaupun tiada lagi kemesraan dan kunjungan santai. Kami berjiran, tapi rumah Nenek macam rumah orang asing, tak betah saya ke situ tanpa ibu. Paling tidak pun saya layan dia berbual di anjung rumah. Nenek suka bercerita dan saya pula tak pandai diamkan orang bercakap. Duduklah berjam-jam dengar ceritanya sampai Nenek puas dan saya pun tak keluar-keluar lagi lepas tu demi mengelak berbual dengan Nenek. Tapi hati terdalam saya selalu rindu. Diam-diam saya suka intai Nenek bersantai di buaian. Nak pergi kepadanya tak larat hadap dia berborak lama, jadi saya yang pentingkan diri ni sekadar melepas rindu di balik tingkap rumah.

Nenek sebagai orang tua sebenarnya terlalu sepi. Cucu yang dia dodoi, suap dan mandikan dengan tangannya ada di sebelah tapi sembunyi dalam rumah buat berlagak. Saya tahu ini tak boleh dibuat alasan, tapi waktu itu saya betul-betul tak faham mahupun peduli dengan sunyi orang tua. Apa yang saya faham dan peduli waktu itu ialah komik dan astro.....hiburan orang muda selepas jenuh belajar dan mengejar masa depan. Dalam pada itu mata selalu perhatikan Nenek. Setiap kali ke surau dan masjid saya akan perasan sepasang mata kelabu Nenek merenung sepi dari sebalik tingkap. Kadang-kadang saya pandang sahaja. Kadang-kadang senyum. Kadang-kadang buat tak pandang. Itu saya yang Nenek bela dari sebesar tapak tangan.

Mei Empat tahun lepas, tamat pengajian di kolej. Waktu pulang bercuti saya lihat Nenek berkemas-kemas. Segala lukisan sulamannya yang cantik-cantik mahu dibuang, katanya sudah tidak mahu menjahit lagi. Saya jadi pelik dengar Nenek mahu tinggalkan hobi tercintanya. Langsung semua kertas lukisan itu saya selamatkan, biar saya guna buat contoh menyulam bila berkelapangan. Nenek hadiahkan saya sebuah buku tulis yang tebal, dalamnya tercatat beberapa cebisan Tauhid dan Fiqh buat panduan saya. Nenek cerita hal tanah yang buat dia bergeser dengan adik-beradiknya. Saya dengar saja dan langsung tidak terfikir apa-apa. Nenek bukan orang penting untuk saya terlalu mengambil tahu, fikir saya waktu itu.

September 2007, Ramadhan. Saya sedang bergelut dengan STAM. Lulus STAM ni saya akan terbang ke Mesir, begitu mimpi saya sejak lama yang hanya tinggal beberapa langkah untuk digapai. Asyik dengan cita-cita sampai saya lupa dunia sekeliling. Tergerak hati mahu kembali mengaji dengan Nenek sempena Ramadhan tapi saya abaikan. Waktu itu belum percaya dengan gerak hati. Nenek jatuh sakit pada awal Ramadhan. Katanya gastrik. Okey. Saya buat biasa. Makin buruk sakit Nenek, ulang-alik mak cik dan pak cik bawa pergi hospital dan saya hanya lihat dari ruang tamu sambil tonton Astro. Pertengahan Ramadhan Nenek terus ditahan di hospital. Siapa tahu rupanya itulah langkah terakhirnya meninggalkan rumah menuju barzakh.....

Saya yang bengap dan obses dikelilingi pelangi angan-angan, berasa sangat optimis Nenek akan sembuh. Biasalah orang tua sakit, fikir saya. Suasana bilik hospital Nenek yang selalu ceria dengan kunjungan kami juga menghalau jauh fikiran buruk-buruk. Saya terlalu pasti Nenek hanya sakit biasa dan akan sembuh. Sewaktu giliran saya menemani Nenek, seorang mak cik memberikan saya sepotong doa untuk dibacakan kepada Nenek. Doa memudahkan roh keluar. No! Roh siapa yang nak keluar ni? Nenek akan sembuh okey.....dia akan lihat saya berangkat ke Mesir. Saya pasti. Yang sebenarnya, mungkin mereka semua dah tahu yang Nenek tiada harapan sembuh dari darah tingginya. Cuma saya seorang masih dikelabui mimpi indah. Malam terakhir Nenek sakit tenat hingga tak mampu lagi membuka mata. Lihat semua orang murung, Mak Andak mengaji dengan linangan air mata di samping Nenek, baru saya percaya Nenek sakit kuat. Baru nak percaya! Baru menggelabah! Saya berdiri semalaman di luar ICU mengulang-ulangkan Yasin untuk Nenek. Letih, duduk. Dah lega berdiri lagi renung Nenek yang tak sedarkan diri dari luar cermin. Tak mahu lepas dari pandangan. Nenek, tolong sembuh!

Sempat beberapa hari kami seluruh keluarga berkampung di laman Hospital Kajang. Hanya Pak Teh Jo di London. Kakak di Indonesia pun sempat pulang jenguk Nenek. Tengah malam 25 Ramadhan, ditemani semua lima anak perempuannya Nenek tinggalkan dunia. Wad lelaki di luar ICU itu haru dengan air mata kami. Saya temankan Mak Tam balik siap-siapkan rumah untuk menyambut jenazah Nenek. Bentang tikar dan angkat katil dengan air mata berjurai di pipi. Tapi entah macam mana yang Tuhan aturkan, jenazah Nenek tak balik semula ke rumah yang dia tinggalkan hidup-hidup. Katanya Nenek yang doa begitu, tak tahulah.

Kami semua berkampung pula di rumah Mak Teh temankan jenazah Nenek. Siang besok baru akan diuruskan. Semalaman lagi saya di sisi Nenek membacakan Yasin untuknya. Tapi malam ini, semuka pun tak dapat saya habiskan. Baca, menangis. Baca, menangis. Baca, menangis. Bangun cuci muka, bila duduk tepi jenazah menangis lagi.

Manakan tidak, waktu di sebelah jasad terbujur itu barulah ingatan lama saya keluar mencurah macam empangan pecah. Hari-hari saya bersama Nenek yang selama ini hilang terpapar semula satu per-satu. Saya buli Nenek, minta buatkan susu yang saya tak minum... Saya menangis minta dia keluarkan putik kapas yang tertinggal dalam telinga... Nenek berlari-lari dapatkan saya yang melalak dicakar Leo... Saya mengamuk baling duit bila Nenek potong rambut saya macam tembikai.... sampailah renungan sepi Nenek setiap kali kami lalu depan rumahnya... semua seolah ditayang atas lembaran mushaf yang saya riba.

Minta maaf Nenek, Adik biarkan Nenek sunyi.....minta maaf.

Di sebelah jenazah Nenek, baru saya ingat yang dia sayangkan saya dan saya balas dengan mengabaikan dia di hari tuanya. Sejurus selepas dia pergi baru saya sedarkan diri. Langsung tak guna. Ini, lidah yang melafazkan ayat suci ini Nenek yang lentur. Macam mana saya nak gunakan lidah ini untuk ‘mengajikan’ gurunya? Butir tulisan al-quran hilang dikaburi air mata. Orang nampak satu malam saya mengaji sebelah Nenek. Sebenarnya satu malam saya gagal mengaji dan asyik dihanyutkan kenangan!

7 Oktober 2007 Nenek pulang kepada pencipta. Tinggal keluarga, dan saya yang dengan siksa meneruskan perjuangan di dewan STAM. Sebulan selepas itu bila pulang semula ke Kajang, rasa kehilangan Nenek kembali mencengkam. Seharian lagi menangis dibelenggu rindu dan rasa bersalah yang tak tertanggung. Saat itu saya sungguh-sungguh doa semoga Allah temukan saya dengan Nenek, hatta kalau ‘hantu’ dia balik pun saya tak takut. Malam itu benar-benar Nenek pulang dalam mimpi saya. Lengkap bertudung dengan cermin mata seperti imejnya sewaktu saya kecil. Nenek diam sahaja dengan senyum di bibir, bersantai di katilnya macam orang baru balik dari jauh. Saya peluk dan cium pipinya. Hanya sebentar tapi buat saya bangun pagi dengan lega.

Terima kasih Ya Allah. Tenanglah saya kalau Nenek damai di persemadian. Saya lupa, dunia hanyalah penjara bagi mukmin. Tiada yang lebih membahagiakan mukmin selain berada dalam jagaan Tuhannya. Sebanyak mana pun saya sayangkan Nenek, sayang Allah lebih besar lagi dan pemeliharaanNya jauh lebih sempurna dari dunia dan seisinya. Tenanglah saya selepas lihat senyuman Nenek. Saya tahu Allah tidak biarkannya.... seperti saya.

Pemergian Nenek seperti penampar yang bangunkan saya dari kelalaian zaman remaja. Tuhan, saya benar-benar rasa seperti diterajang bangun dari mimpi indah. Saya kian sedar betapa singkatnya hidup ini. Saya mulai hargai setiap detik yang berlalu dan tak betah lagi berhibur-hibur membuang masa. Saya mula pandang sekeliling dan sayangi orang-orang yang hadir dalam hidup saya. Bila-bila masa saya atau mereka akan dibawa pergi sekelip mata seperti Nenek. Pahit sekali pengajaran ini Tuhan...Nenek yang jadi bayarannya untuk bangunkan saya dari lena.

Maafkan Adik, Nenek. Semoga damai, sampai bertemu lagi di akhirat...

___________________________________________

Secebis ingatan di awal dinihari... saya kongsikan dengan kamu mudah-mudahan ada pelajaran darinya. Al-Fatihah buat Nenek, dengan sepenuh cinta.

Iskandariah, 5 Januari 2012 4.22 pagi.

4 ulasan:

  1. Kak Cu,
    Fa pun dapat mimpi yang sama. Nenek keluar dari bilik depan, duduk di sofa. Lengkap bertelekung. Diam pandang cucu-cucu yang ada di rumah.

    Terkilan Fa tak banyak membesar dengan Nenek tu masih ada. Tapi that dream, that memory. I cherish it. Mungkin Nenek datang balik nak bantu sedapkan hati.

    InsyaAllah Nenek damai di sana. Harap dapat jumpa lagi.

    BalasPadam
    Balasan
    1. xpe Fa, xbesar dengan nenek pun Fa tetap cucu nenek yang special ;)

      bab mimpi2 ni memang rezeki yang kita xtau pun nak dapat.alhamdulillah. hakikatnya yang wafat tu xkemana pun, cuma berpindah ke dimensi lain yang xdapat kita capai....

      Padam