Selasa, 8 Mei 2012

Ar-Rihlah - Catatan Kembara Musim Bunga episod 1, 2 & 3


Perjalanan ni taklah sehebat Ibn Batutah. Tapi saya berminat meminjam tajuk kitab idola saya tu untuk diabadikan dalam catatan ni. Sesetengah orang mungkin merasa puas dengan berjalan mengikut rombongan sahaja. Tapi bagi saya meneroka secara bebas lebih memberi kepuasan. Kembara kali ni berputar sekitar Kaherah dan Giza, dua bandar utama di tebing Sungai Nil. Sebulan sebelum perjalanan saya membuat study ringkas tentang kawasan Kaherah dan berbincang dengan sahabat maya yang kebetulan mempunyai minat sama. Waktu itu bajet belum masuk, jadi rancangan terpaksa diperap dalam fail dulu buat simpanan arkib. Menjelang Mac barulah mendapat kelapangan waktu dan rezeki lalu bermula episod perjalanan mencari ibrah di bumi barakah….

EPISOD 1 – MALU BELI PETA, SESAT JALAN

10 Mac 2012

Perkara ketiga (selepas duit dan kamera) yang penting bagi saya semestinya peta…sebab tanpa peta macam mana nak tahu arah perjalanan. Tambahan pula peta mengandungi banyak maklumat yang tidak diketahui dalam rombongan. Contohnya peta arkeologi yang saya beli di Iskandariah merakamkan kawasan-kawasan bersejarah yang tidak ramai tahu, lalu tidak dikunjungi. Sayang!
Dari Kaherah pulang ke Iskandariah semata-mata nak dapatkan peta di Amud Sawari. Sejak datang ke situ pada musim panas yang lepas, saya sudah aim sebuah peta Kaherah yang kelihatan lengkap. Tapi waktu itu tidak dibeli sebab teringat pesta buku yang akan berlangsung pada musim sejuk. Mungkin di pesta buku ada dijual yang lebih baik dan lebih murah. Namun akhirnya saya kembali ke situ semula kerana peta yang dicari tiada di tempat lain. 40 pound? Layan je lah…..
Sangat mengejutkan ketika melangkah masuk ke Amud Sawari, tempat itu menghijau tak macam tahun lepas. Sewaktu lawatan saya pada musim panas, tempat ini tandus tiada sekeping daun pun kelihatan. Tapi kali ni bunga-bunga berkembang meliar di sana-sini hingga menutup rupa asal sesetengah tapak arkeologi yang dipamerkan.

Tiang pada musim panas

Tiang musim bunga

Nilometer musim panas
Nilometer pada musim bunga
Subhanallah. Ketara sungguh perubahan musim. Ingatkan cuma pokok tak berbunga akan keluar bunga. Rupanya tempat tandus tak berpokok pun jadi mekar menghijau. Subhanallah! (macam ni kot kita dah hancur jadi tanah nanti bleh bangun semula sebagai manusia yang hidup…...)

Sejarah Amud Sawari @ Tiang Pompeii:

- Di tapak ini mulanya dibina kuil pagan yang menyembah tuhan2 kerajaan Firaun. Kemudian apabila Iskandar Agung mendirikan kota Iskandariah, dewa-dewa Yunani ‘diubahsuai’ dengan dewa tempatan lalu dijadikan sembahan di sini. Sebuah patung lembu hitam bernama Serapis (gabungan dewa Apis mesir kuno dan Zeus dewa Yunani) masih wujud dan dipamerkan di galeri bawah tanah.Kuil ini pernah dihancurkan oleh penganut Yahudi dalam perang Trajan namun dibina semula oleh Raja Hadrian dari kerajaan Rom.
- Perpustakaan bawah tanah di kuil ini menjadi arkib kerajaan menggantikan Perpustakaan Iskandariah yang musnah dalam peperangan.
- Ketika Empayar Rom mengubah anutan kepada agama Kristian, Iskandariah turut menerima tempias. Kuil Serapium dimusnahkan oleh pemerintah dan ditentang penduduk tempatan lalu mencetuskan pergeseran agama. Gereja St. John dibina di atas tapak runtuhan menggantikan Serapeum hingga akhirnya dimusnahkan oleh gempa bumi.
- Tiang Pompeii antara monument yang masih berdiri di tapak ini dan menjadi monument tertinggi di Iskandariah. Dengan keinggian 26.85 meter, tiang ini didedikasikan kepada maharaja Yunani pada akhir kurun ke 4 sebelum Masihi. Beberapa cubaan untuk mencuri tiang ini telah dijalankan oleh penjajah (sepertimana mereka mencuri sejumlah artifak Mesir yang lain) namun gagal.

Saat membaca sejarah ini hanya satu yang terlintas di benak saya, bahawa mesej agama Samawi itu sama – MENTAUHIDKAN ALLAH. Baik penganut Yahudi mahupun Kristian, kedua-duanya menentang penyembahan berhala dan pengkhianatan kepada akal manusia. Namun kita maklum, semua itu berlaku di awal kemunculan agama tersebut dan kedua-duanya bukanlah seperti apa yang ada sekarang. Kesimpulannya, Amud Sawari bukanlah sekadar sebatang tiang berdiri. Bukit kecil ini menjadi saksi pertembungan wahyu dan khurafat yang dirakamkan sejak sebelum junjungan kita S.A.W lahir ke dunia.


Bila peta sudah di tangan, saya mula study dengan lebih gigih. Monumen bersejarah yang mahu dilawati saya tandakan, lihat laluannya dan rancang perjalanan. Hitch n hiking, (kalaulah istilah ni sesuai digunakan) perlu dirancang sebaik mungkin supaya perjalanan tak sia-sia dan yang paling penting – selamat kembali ke rumah!

EPISOD DUA – JALAN-JALAN SURVEY JALAN.

16 Mac 2012

Yang seronok di Mesir ni pengangkutan awamnya tak putus-putus. Ada macam-macam pilihan kenderaan, tinggal lagi kita kena tahu ke mana arah tujuan. Hari ni saya bercadang mahu survey laluan ke Kubu Salahuddin dan Saiyidah Aisyah. Dalam pelancongan, tempat ni dipanggil Islamic Cairo. Kawasannya luas bermula dari pinggir Abbasiyah di sebelah utara, Muqattam di sebelah timur, Fustat di selatan dan Pulau Rudhah di barat. Yang biasa menjadi tumpuan pelajar Malaysia ialah Masjid Al-Azhar di Husain dan Masjid Amru di Fustat. Ada juga rombongan menziarahi makam orang soleh sekitar Saiyidah Aisyah dan Muqattam. Saya juga pernah ke sana waktu di tahun satu. Tetapi ziarah saya kali ini mahu melihat kesan-kesan orang hidup dan peradaban yang mereka tinggalkan.
Berbekal panduan dari kawan-kawan yang biasa menaiki bas, saya beranikan diri berkelana. Dalam panas terik menunggu akhirnya bas yang dinanti tiba. Setiap kilometer yang dilalui saya perhati dan setiap bangunan, lorong, tanda jalan saya camkan kemas-kemas. Sesekali bila hilang arah, curi2 saya tanya kawan baik – encik peta – tentang lokasi terkini. Depan-depan orang tak berani buka peta. Takut ada yang perasan saya sedang merayau tak tahu arah, dicekupnya pulak kang.....

Masjid Muhammad Ali, pandangan dari Medan Sultan Hasan
Melalui lebuhraya Autostrade, bas membelok turun ke Saiyidah Aisyah betul-betul lalu di hadapan Kubu Salahuddin. Aduh, saya dah lama mengidam masuk dalam kubu ni. Ikut hati mahu turun di situ tapi nanti tergendala pula rancangan asal. Bas membelok masuk ke Masjid Sultan Hassan dan Masjid Rifa’ie yang besar agam, jalan terus menyusur penempatan awam yang sesak dan bersimpang-siur. Cantik sungguh senibina bangunan lama yang masih digunakan. Melihat orang-orang tua santai di kedai kopi beranjung rendah dengan ukiran seni Memalik buat mata tak mahu berkelip. Kalau tidak kerana gadis-gadis berpakaian sendat ala barat, saya sudah percaya yang saya kembali ke zaman silam. Melepasi keindahan muzium hidup di Saiyidah Aisyah, bas menyeberang sungai Nil, melintas Pulau Raudhah lalu masuk ke bandar Giza. Jangan bayangkan Piramid Agung Khufu, itu letaknya di padang pasir. Giza yang ini hidup dan makmur. Kampus Universiti Kaherah dengan kubah bulat ala Bangunan Capitol megah berdiri menjadi mercu tanda.

Sampai di stesyen akhir saya turun, tukar ke bas lain yang akan berpatah balik ke Madinah Nasr. Sementara menunggu bas penuh, peta saya buka luas-luas melihat laluan yang dilalui bas tadi. Ada beberapa kesan sejarah yang terletak sekitar laluan tapi tadi bas tak lalu pula. Dalam perjalanan pulang ke Haiyu Sabie’ rupanya bas mengikut jalan lain yang berbeza dari laluan pertama. Sebaik menyeberang sungai Nil saya menangkap kelibat Majral ‘Uyun (aqueduct / laluan air) zaman lampau berdiri megah di tepi jalan menghadap Pulau Raudhah. Alhamdulillah, nampaknya satu lagi monument bakal dikunjungi! Bas membelok ke Saiyidah Zainab. Di kawasan ini terdapat ramai pelajar perubatan Malaysia yang menuntut di Universiti Kaherah. Di celah kepadatan masyarakat Arab, saya terlihat dua gadis Melayu berbaju kurung berselisih di jalan lalu berjabat tangan sebelum berpisah semula. Indah, bak kuntum bunga tropika mekar dikelilingi kaktus padang pasir.

Sungai Nil dan Kubri Sayala, dari tebing barat Pulau Rhoda.

Melalui Masjid Ibn Tulun yang terkenal, bas keluar dari Saiyidah Aisyah dan kembali ke Haiyu Sabie’ melalui lebuhraya Autostrade. Sekali lagi Kubu Solahuddin melambai-lambai dari seberang jalan buat azam saya makin kuat mahu ke situ satu hari nanti. Melihat dua wajah Kaherah yang berbeza terasa mengujakan. Lebih teruja lagi kerana kos merayau di tapak bersejarah dan menyeberang sungai Nil hanya empat pound sahaja! Jimat, jimat....... ;)

EPISOD TIGA – REZEKI TERPIJAK KE BAB NASR & BAB FUTUH

25 Mac 2012

Kita tak tahu apa Allah nak bagi dalam setiap hari baru yang kita lalui. selalu berlaku perkara yang baik dan buruk di luar dugaan namun yang pasti semuanya dah disusun rapi dalam rancangan Tuhan. ziarah saya ke Bab Futuh dan Bab Nasr adalah aturcara yang tak dirancang seperti selalu. dalam perjalanan pulang dari muzakarah di Masjid Azhar tiba-tiba rasa tergerak hati hendak ke kawasan tembok lama tu yang terbentang sepanjang Jalan Kamil Sidqi, tidak jauh dari Darrasah. kali pertama lalu di situ secara tak sengaja juga ketika menaiki teksi. melihat tembok agam dengan dua gerbang berdiri berdampingan, saya terus jatuh cinta. mesti datang, kena datang juga satu hari nanti.
dan harinya tiba tak diduga. tanpa peta di tangan saya berjalan dengan agakan dalam kepala sahaja. hanya berjalan lurus dan belok kiri, tak susah mana kot. cuma perlu berani dan nekad sahaja kerana kawasan situ sunyi. singgah sebentar beli kushari berlauk kuftah (makaroni dengan bebola daging dan kuah tomato) dari peniaga berkereta tolak di tepi jalan, berangan-angan nak makan tengahari berlatarbelakangkan kota lama. hehe.

Bahagian luar kota

Dingin angin musim bunga kalah dengan terik tengahari Kaherah. rasa hendak ditanggalkan baju sejuk yang tergantung di bahu tapi malas pula hendak dijinjing. lebih kurang sepuluh minit berjalan mata sudah ternampak hujung tembok yang dicari. jauh di depan sana Bab Futuh dan Bab Nasr berdiri megah berdampingan. beberapa biji bas pelancong tersadai di bahu jalan menunggu penumpang. nun di depan sana manusia mengerumuni gerbang 'dua bersaudara'. sambil menyusur jalan saya menikmati senibina indah di sebelah kiri. tak berapa indah pun sebenarnya sebab ia hanya dinding batu yang sudah dibaikpulih. binaan asal yang berukir ayat suci al-quran hanya dapat dilihat sebaik menghampiri gerbang pertama, Bab Nasr.


Sejarah Bab Nasr (Gate of Victory) dan Bab Futuh (Gate of Conquest) :

- kedua-duanya terletak di tembok utara bandar lama Kaherah. dibina oleh Panglima Badr al-Jamali dari Kerajaan Fatimiyah sebagai sebahagian dari kubu pertahanan kota Kaherah pada zaman tersebut. bahagian atas tembok dilengkapi ruang pemanah dan dinding terbuka untuk menyiram air panas.
- pada zaman dahulu, Bab Futuh digunakan sebagai laluan keluar bagi tentera yang akan berperang dan Bab Nasr sebagai gerbang yang menyambut kepulangan mereka dengan kemenangan. juga dikatakan, Bab Futuh dinamakan sempena nama sebuah gerbang di Maghribi kerana ia menjadi laluan pedagang Mahribi masuk ke kota Kaherah.
- bagaimanapun terdapat tiga lagi gerbang (Bab Mahruq, Bab Khaukhah dan Bab Hadid) yang diberi nama serupa dengan gerbang di Fes, Maghribi seolah-olah pemerintah di zaman itu menginginkan agar Kaherah dan Al-Azhar menjadi bandar ilmu seperti Fes dengan Universiti Qurawiyin-nya.

saya berdiri mendongak di satu sudut cuba membaca ukiran di tembok. terlampau seni sampai sukar dibaca. oh, ayat Kursi....dan di satu sudut lain ialah kalimah syahadah dan syair qasidah. kerajaan Fatimiyah yang membina tembok ni bermazhab Syiah. tak hairanlah bila catatan di dinding ini memuji-muji Saidina Ali dan ahli keluarga Nabi. berputar-putar di luar gerbang, saya menyusur terus ke hujung sambil mengintai-intai ruang yang sesuai hendak menjamu selera. lapar betul perut ni.....kushari pun dah nak sejuk. bahagian luar gerbang itu dipenuhi anak-anak muda luar dan tempatan bersantai, segan pula hendak duduk makan. sampai ke hujung jalan, tembok membelok masuk ke kiri dan terdapat pintu kecil di dinding. mulanya ragu juga hendak menapak tapi saya lekas-lekas mengikut seorang mama di depan masuk dengan anaknya. di belakang saya muncul seorang ammu muda mengekor dengan muka kering. saya sangka penduduk tempatan. biarkan aje. tapi tak lama selepas itu bila menoleh, dia masih di belakang dan memandang tepat ke arah saya!

Bahagian dalam kota
Lain macam ammu ni.....saya lajukan langkah segera bersaing dengan mama tadi. Assalamualaik.....mama taskuni hena? ana min iskandariah....buat manis muka, tegur sapa sepatah dua sebelum menikmati kawasan dalam kota. rumah penduduk berupa flat dhaif yang padat tetapi sangat bersih tidak seperti lazimnya. mungkin sebab sini tapak pelancongan makanya dijaga rapi mewakili imej negara. menarik! rasa macam bukan di mesir pulak. teringin nak bersembang banyak dengan mama ni tapi nampak dia macam semput je berjalan jauh. tak lama, mama dan anaknya sampai ke rumah mereka dan saya kembali bersendirian di jalan itu. toleh belakang, ammu ada lagi. masih menatap saya dengan muka keringnya! saya kembali ke mode jogathon hingga mendekati Bab Futuh, berhenti sekejap gara-gara terpesona dengan pemandangan ni :

Gambar snap tengah takut

sekali lagi toleh ke belakang, ammu dah tak ada. hilang sekelip mata. saya benar-benar sendirian tak ada bunyi seorang manusia pun di jalan itu. ah,sudah......jin ke apa tadi? malaikat maut? dalam hairan saya rasa lega teramat. barulah bebas semula meneroka kawasan sekitar hingga tiba di depan Bab Futuh. kawasan situ tanahnya berturap kemas menghala ke dalam. arah mana perginya tak pasti pula sebab saya belum study kawasan tembok utara ni. kelihatan sekumpulan pelajar perempuan berskirt labuh dengan kemeja dan tudung biru gelap berjalan keluar dari dalam. rasa hati menarik-narik hendak ke dalam tetapi pandangan aneh ammu-ammu di tepi jalan membantutkan niat. kenapa la dengan orang lelaki kat kawasan ni? tak pernah tengok perempuan pakai purdah warna terang? atau tak pernah tengok perempuan jalan sorang-sorang? mustahil la tak pernah tengok pelancong, dah tempat ni kawasan pelancongan. saya yang tak ada rupa pelancong agaknya? atau diorang nampak jin bertenggek atas kepala saya ke? tiba-tiba rasa macam bersalah pulak kerana berada di situ.

Pedulikan ammu-ammu bermata pelik, saya mengundur ke belakang hendak menangkap gambar keseluruhan Bab Futuh sebelum tersedar ammu yang mengekor tadi, yang konon-konon dah hilang tadi rupanya ada di belakang saya! Ya lahwi.....kali ni dah tak ada toleh-toleh lagi saya terus keluar, tahan teksi, naik dan cabut! rancangan hendak berpatah balik ke stesyen bas Darrasah rasa dah tak relevan untuk dipakai. biar la hangus 15 geneh asalkan tak nampak lagi muka kering ammu tu. huhu....empat tahun tak pernah kena escort macam ni. terima kasih la sebab berjaya buat saya menggigil!

Apapun perjalanan hari ni sangat menyeronokkan. seronok. surprise. sebab saya tak rancang dan tiba-tiba Allah bawa ke tempat yang saya idam-idamkan. walaupun ada gangguan pulak akhir-akhir tu kan tapi kira okey la daripada tak dapat sampai langsung. alhamdulillah. malam itu saya lepak dengan sahabat baik - my mappy - dan study kawasan yang saya baru pergi tadi. oh, jalan berturap cantik tadi tu boleh tembus ke Husain dan Azhar rupanya...dan sepanjang jalan tu beratur binaan bersejarah untuk dilawati.


next time, insyaAllah............

bersambung :)