Jumaat, 28 September 2012

Tanpa Islam Eropah tidak akan wujud

TANPA Islam, Eropah tidak akan wujud. Demikian salah sebuah makalah dalam buku berjudul Eropah: 50 fakta yang perlu diketahui. Lalu disebut betapa Islam pada masa lampau memerintah negara Sepanyol selama 800 tahun.

Buku ditulis oleh Emma Hartley. wartawan dan penulis yang telah bertugas dengan empat buah akhbar bahasa Inggeris - Daily Telegraph, Evening Standard, The Independent dan Times, London.
Sorotan mengenainya bermula dengan kisah Abu Abdullah, Raja Islam yang terakhir di Sepanyol manakala menunggang kuda dan berhenti di puncak sebuah bukit lalu memandang dari jauh bumbung Istana Alhamra. Ia berlaku pada abad ke-15 setelah tenteranya ditewaskan oleh laskar Raja Ferdinand dan Permaisuri Isabella.

Wajahnya begitu sedih dan ia menangis ketika memandang ke arah tempat tinggal nenek moyang yang dulu memerintah Andalusia sebegitu lama.

Ibu yang mengiring memarahinya: “Menangis, menangislah kau seperti betina kerana kau tak dapat mempertahannya seperti anak jantan.’’

Dalam pelbagai buku dunia Barat nama yang disebut ialah Boabdil. Para penulis tidak menyebut nama Abu Abdullah. Hal tersebut berupa satu penghinaan.

Menurut Emma Hartley, pemerintahan Islam selama 800 tahun itu sesuatu yang “terbaik sekali”. Kerana waktu itu Eropah mengalami Dark Ages manakala dunia Islam telahpun memiliki pelbagai perpustakaan yang menyimpan karya-karya sastera, mempraktik ilmu-ilmu kejuruteraan, perubatan dan lain-lain jurusan sains.
Seperti ditulis oleh Hartley: In many ways Europe is a product of Islam.

Lantas dicatat pendapat Dr. Tim Winter dari Universiti Cambridge: “Eropah yang kita kenali tidak mungkin lahir tanpa Islam. Bentuk rupa pelbagai bangunan berasal dari tenaga tukang-tukang bina mereka. Pelbagai teknik termasuk pemasangan cermin-cermin jendela yang cantik berasal dari mereka juga.
Begitu juga pelbagai jenis kain, permaidani, pembikinan kertas tulis, pembinaan hospital-hospital serta buku-buku teks perubatan dalam bahasa Arab.’’

Dr. Winter juga menyebut peranan Thomas Aquinas yang mengembangkan falsafah Barat: “Beliau menyebut pengarah tokoh yang dipanggil The Philosopher, iaitu Aristotle dan pengarah The Commentator iaitu Ibni Rushd yang menulis pelbagai pendapat Aristotle.

Tingkah-laku

Lihat saja tingkah-laku pembesar Inggeris bila bangun pagi lalu minum kopi yang berasal dari Turki. Kakinya melangkah permaidani Turki atau Parsi.

Beberapa ekor kuda kepunyaannya dibawa sejak abad ke-18 dari negara Arab. Jika sembahyang di gereja ia melakukannya dalam bangunan besar ciptaan idea dunia Islam”.

Seperti telah dicatat dalam buku sejarah, Sepanyol ditawan semula oleh golongan Kristian pada tahun 1492. Warga Yahudi dan Islam kemudian dipaksa menukar agama mereka. Kerana itu ramai membawa diri ke negara-negara lain termasuk di Afrika Utara, Mesir dan Turki.

Berlaku kemudiannya adalah Spanish Inquisition. Yang dicurigai keteguhan agama, mereka disiksa dan jika sabit kesalahannya maka dibakar hidup-hidup.

Abu Abdullah (Boabdil) mati di Afrika Utara dalam satu perjuangan lain. Mengenai nasib malangnya dikatakan: “Ia menjadi korban dalam satu perjuangan lain sedangkan dulunya ia mengelak maut dalam perjuangannya sendiri.’’

Pemberontakan berlaku di kalangan rakyatnya kerana ia berunding menyerah-kalah kepada Ferdinand dan Isabella.

Juga menjadi bahan cerita adalah catatan seorang sejarawan Barat bertajuk: Naik dan jatuhnya syurga dunia: Manakala Arab dan Yahudi bersama membina negara di Sepanyol. Lalu diceritakan: “Manakala Tuhan mengisi tempat-tempat kosong di alam semesta, Al-Andalus memohon lima kurniaan - langit biru, lautan cantik penuh dengan ikan, pohon-pohon buahan, wanita-wanita cantik dan sebuah kerajaan yang adil. Kesemuanya dikurniai kecuali yang terakhir. Sebabnya, jika yang lain-lain dikurnai beserta sebuah kerajaan adil, maka Andalusia akan menyaingi syurga’’.

Disebut antara lainnya adalah pengaruh Arab dalam muzik flamenco Sepanyol. Lalu muncul muzik Hispano-Arab. Tidak ada paksaan dalam pemerintahan Islam bersabit agama.

Menurut laporan Ayan Bayaumi, seorang penulis Mesir dalam sebuah akhbar Amerika, warga Islam di Britain telah meningkat hingga 1.6 juta, di Itali satu juta dan di negara Perancis antara 4 hingga 5 juta.
Lain negara, lain kisah, dugaan dan cabaran. Namun, ada kalanya penulis bukan Islam membela mereka.

Rabu, 26 September 2012

Lawatan Ziarah Para Syuhada' Bahnasa

22 September 2012

Alhamdulillah pada harijadi tahun ni diberi peluang yang tak disangka-sangka untuk menyertai rombongan ziarah para Syuhada’ Bahnasa. Rombongan kali pertama yang dianjurkan Syeikh Yusri sebelum ni saya terlepas peluang kerana lewat mendapat tahu hinggalah tarikh tutup penyertaan berlalu. Kali ni Alhamdulillah, dengan ‘ahli kelab penganggur Wilayah’ yang bertujuh kami bersama-sama menjejakkan kaki ke sana dengan rombongan HEWI PMRAM.

SEJARAH BAHNASA

Asal nama Bahnasa ialah perkataan Arab Bahaa’un Nisaa’ (kemegahan wanita). Dinamakan begini kerana ia menjadi tempat himpunan perempuan-perempuan cantik dari Rom pada suatu masa dahulu. Penempatan di Bahnasa telah wujud sejak zaman kegemilangan Tamadun Firaun. Sebatang sungai yang mengalir di perkampungan itu dinamakan ‘Bahru Yusufi’ sempena nama Nabi Yusuf Alaihis Salam yang pernah menjadi gabenor dalam kerajaan itu. Bahkan jasad Nabi Yusuf dikatakan turut disemadikan di sekitar sungai itu walaupun tiada kesan yang membuktikan kesahihannya.

Seperti bandar-bandar lain di Mesir, Bahnasa turut mengalami perpindahan kuasa dari satu dinasti ke dinasti lain yang berebut menguasai bumi bertuah ini. Selepas berlalu Tamadun Firaun, bandar ini dikuasai pemerintah Yunani dalam satu jangka masa sebelum jatuh ke tangan Empayar Rom. Pada waktu itu Bahnasa dikatakan menjadi bandar ketiga terpenting di Mesir selepas Iskandariah dan Coptic Cairo. Kemudian apabila Islam sampai ke Mesir pada zaman Khalifah Umar ibn Al-Khattab r.a, Bahnasa menjadi saksi pertempuran hebat antara dua kuasa Timur dan Barat ini hinggalah akhirnya ia berjaya dibebaskan dari cengkaman Rom. Dengan terbebasnya Bahnasa, bermulalah dakwah Islam mengalir damai menuju wilayah selatan hinggalah ke Aswan dan Sudan.

Dalam catatan sejarah moden, nama Bahnasa tidak timbul hinggalah penemuan timbunan manuskrip papyrus oleh sekumpulan pengkaji sejarah Barat. Manuskrip itu yang rata-ratanya bertulisan Arab dan Latin dikatakan berasal dari zaman kerajaan Rom dan Islam. Sebahagiannya turut mengandungi catatan Injil yang belum pernah ditemui dalam mana-mana catatan sebelum ini.

PERJALANAN KE BAHNASA

Kami bertolak ke Bahnasa pada awal dinihari dengan menaiki dua buah bas. Seawal subuh kami tiba di Mantiqah Syuhada’ – sebuah masjid yang bersih dengan kompleks perkuburan yang luas mengelilinginya. Udara pagi awal musim gugur mula terasa memamah kulit. Usai menunaikan fardhu Subuh dan bersarapan, kami mendengar diskusi kitab Futuhat Bahnasa (Pembukaan Bahnasa) yang disampaikan salah seorang musyrif rombongan. Walaupun mengantuk dek perjalanan semalaman kami tahankan mata untuk mendengar supaya ziarah selepas ini lebih bermakna dengan maklumat yang jelas.

Menjelang waktu dhuha kami memulakan ziarah menerokai kompleks perkuburan. Perkuburan yang luas ni dianggarkan menampung ribuan jenazah muslimin yang mendiami sekitar pekan Bahnasa, bercampur dengan jenazah ribuan pejuang Islam yang bersemadi di sini sejak seribu tahun lepas. Para syuhada’ ini ialah mereka yang gugur dalam peperangan membebaskan Bahnasa dari kuasa Rom dahulu. Sebahagian besar darinya ialah para Sahabat Nabi s.aw, Tabi’en dan Tabi’ Tabi’en radhiyAllahu anhum ajma’in. Jenazah mereka dipercayai bertebaran di seluruh kawasan itu dalam makam yang tidak bertanda. Rasa sayu hati mendengarkan bahawa masjid yang kami singgahi itu juga kemungkinan besar dibina di atas jasad-jasad insan mulia ini.

KEMBARA JELAJAH KUBUR

Menjejakkan kaki ke tanah perkuburan itu, hati merasa tenang yang tak diketahui. Terlalu banyak makam yang kami ziarahi, antaranya ialah anak kepada Saidina Ali Zainal Abidin r.a (piut Nabi s.a.w), Saidina Ubaidah bin Ubadah bin Shamit r.a (perawi hadis), para ulama’ dan lain-lain yang tak dapat diingat nama mereka. Di celah-celah makam itu saya sempat singgah berdoa di kubur seorang ulama’ Azhar yang wafat pada 2003. Bukan doa mintak jodoh @ nombor ekor okey, tapi mendoakan semoga guru kami ini dicucuri rahmat di persemadiannya. Entahlah, saya macam ada satu rasa sentimental dengan istilah ‘ulama’ Al-Azhar’. Walaupun saya tidak pernah berguru dengan mereka tapi bagi saya semuanya adalah guru2 saya yang telah menghidupkan universiti tempat saya tumpang berteduh ni.

Makam yang kami ziarahi sebahagiannya dibuatkan binaan menutupinya, siap dengan papan tanda Majlis Antikuiti Mesir yang menandakan makam itu adalah bahan sejarah terpelihara. Sebahagian lain walaupun tidak mempunyai papan tanda Majlis Antikuiti, tetap juga dipelihara oleh penduduk tempatan yang telah sebati dengan budaya mencintai orang soleh.  Juga di perkarangan masjid terdapat sebatang pohon agam yang dikatakan menjadi tempat berteduh Saiyidah Maryam Al-Batuul dan Baginda Isa a.s sewaktu persinggahan keluarga mulia ini di Mesir. Tanah perkuburan yang kami ziarahi ni, boleh la kalau nak dikatakan sebuah kampung sekalipun kerana lingkungannya yang sangat luas. Naik bukit – turun bukit - masuk kampung – keluar kampung – redah semak – harung sampah, memang satu perjalanan yang menarik untuk diingati.

Terutamanya perjalanan melalui kampung badwi moden yang terbentang di pesisir Bahru Yusufi, kami dapat berinteraksi secara langsung dengan orang kampung yang tak dapat ditemui di bandar besar seperti Kaherah. Mereka semuanya sangat mesra, kanak-kanaknya sangat polos walaupun comot dengan lalat menghurung mata. Orang-orang tuanya peramah dan seronok bila ditala kamera. Mereka tinggal di rumah flat batu bertingkat sama seperti di lain-lain perkampungan, siap dengan lembu kambing dan lain-lain ternakan di depan pintu rumah. Di salah sebuah rumah yang kami lalui dapat dilihat longgokan buah anggur segar bergayut-gayut di anjungnya. Lagi yang menarik ialah penempatan mereka ini berdiri dalam lingkungan tapak runtuhan kota lama Tamadun Firaun dan Roman – Greek.

TINGGALAN SEJARAH YANG DILUPAKAN

Bercakap tentang tinggalan sejarah di sini, terasa kesal yang tak terluah. Tak ada lagi kesan sejarah yang tinggal di sini, semuanya musnah secara total melainkan puing-puing tembok reput yang dengan mudah dapat dikenalpasti terdapat ciri senibina Rom padanya. Mungkin semuanya sudah musnah sejak zaman silam, atau mungkin ia musnah kerana batu-batunya diambil untuk membuat kediaman yang baru. Tiang granit merah yang biasanya digunakan pada binaan Tamadun Mesir dan Yunani dapat dilihat jelas digunakan di beberapa makam. Bahnasa yang ada kini macam padang jarak padang tekukur dan tidak dapat dibayangkan bagaimanakah rupa tempat ini sebagai bandar ketiga terpenting suatu masa dulu. Patutlah bandar ini dilupakan zaman. Hanya satu yang diingati ialah penemuan manuskrip papyrus dalam timbunan sampah yang menjadikan Bahnasa sebagai tapak penemuan manuskrip terbanyak setakat ni.

MAKAM PUTERI BERTUJUH (SAB’U BANAAT سَبْعُ بَناتٍ)

Bukan puteri tujuh cerita dongeng, tapi ini ialah kisah tujuh pahlawan wanita yang gugur dalam perang pembukaan Bahnasa. Mereka ialah tujuh orang perempuan (dikatakan adik-beradik) yang telah menyamar untuk menyertai pertempuran. Apabila semuanya gugur syahid baru la orang tahu yang mereka bukan lelaki. Kesemuanya dimakamkan berhampiran antara satu sama lain. Makam mereka menjadi persinggahan terakhir kami sebelum pulang ke Kaherah. Menariknya makam ini ia terjaga cantik dalam satu kawasan berpagar dengan empat panji-panji hijau berkibar megah menghiasinya.

Tidak seperti program ziarah makam yang biasa saya ikuti sebelum ni, ziarah ke Bahnasa kali ni terasa berbeza. Ketenangan yang dikecap saat berkunjung di laman para syuhada’ itu terasa masih berbekas di hati. Mungkinlah kerana bumi Bahnasa itu sendiri subur dengan pepohon, maka ziarah ke perkuburan mereka dirasa bagai melawat ke taman. Mungkin juga kerana mereka tu insan-insan mulia yang hidup di sisi Allah, lalu rahmat yang dicucuri ke atas mereka dapat dirasa tempiasnya oleh manusia yang masih berkelana di atas dunia. Tak dapat diungkapkan syukur saya dengan kurniaan hari ini – walaupun tidak mendapat ucapan harijadi mencurah2 di FB namun limpahan rahmat Allah lebih menggembirakan dari segalanya. Dapat berkunjung ke tempat mulia dengan sahabat saya yang dah lama tak berjumpa menjadikan harijadi tahun ni yang paling istimewa dalam seumur hidup saya. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Sampai bertemu lagi, Tuan-Tuan kami para syuhada’ yang mulia.
Inna ilaikum laahiquun.

Isnin, 24 September 2012

Empat Hariku Dalam Praktikal Summer Pre-Chambering (SPC)

Sebelum tu biarlah saya jelaskan sikit apakah makhluk yang dinamakan SPC ni? Bagi setiap mahasiswa perundangan, diorang dikehendaki menjalani latihan amali selama 9 bulan yang dipanggil 'chambering' atau 'pupillage', sama macam doktor2 kena HO selama 2 tahun untuk melengkapkan pengajian masing2. SPC ni boleh la dikatakan 'mini' chambering yang diadakan khusus buat pelajar Syariah di Mesir dan Jordan untuk mendedahkan kita dengan dunia perundangan Syariah di tanahair. Untung2 jika berminat, pelajar Timur Tengah boleh la ramai2 isi tempat kosong dalam dunia perundangan kita :)

Untuk SPC ni, saya dan kawan2 telah memohon sejak musim bunga yang lepas sekitar bulan 3-4 dan programnya dijalankan di Malaysia selama sebulan pada waktu cuti musim panas. Berikut serba-sedikit al-kisah yang dapat dikongsi.

Hari 1

selesai lapor diri dengan penyelia, berkenalan dengan staf-staf Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat (MRSHL). tunggu sorang lagi pelatih akhawat Mesir yang sepatutnya lapor diri haritu. rupanya Yan dah tersilap lapor diri ke Majlis Agama kat sebelah mahkamah. hari pertama dah buat lawak budak ni.... :D selain beberapa orang s

taff tetap, ada sorang pembantu am dan empat orang pelatih perempuan dari UKM bersama kami. empat orang ni dah mulakan praktikal dorang sejak dua bulan lepas dan minggu tu adalah minggu terakhir dorang di MRSHL. oleh kerana staf2 sibuk dengan kerja masing2, pelajar2 praktikal ni la yang banyak bagi tunjuk ajar kat kami tentang kerja2 yang patut dilakukan.

antaranya 'berkenalan' dengan borang2 pendaftaran kes yang pelbagai. kes wali hakim saja ada beberapa borang berasingan ikut kategori taraf perempuan yang minta diwalikan. berjinak2 dengan urusan di kaunter, mendengar aduan orang awam yang rata2nya tak tahu prosedur mahupun xtahu hukum syarak. sangat membuka minda. dari sini dapat lihat tahap pemahaman syariat muslimin kita di tanahair.

Hari 2

mempelajari urusan kepejabatan dengan lebih giat. update laman e-Syariah untuk rujukan pentadbiran agama negeri dan membuat daftar fail kes-kes baru dan lama. memang kene banyak menulis. sebagai pelatih baru kitorang tunjukkan komitmen dan kerajinan tahap gaban (ye lah, bawak nama Al-Azhar pulak kan...) sambil dibantu sikit2 dek teman2 dari UKM. dorg dah jemu dua bulan ngadap fail2 tu, sekarang tiba giliran pelatih Mesir ni buat pulak! lagi, buat notis tangguhan kes untuk dihantar kepada pihak2 yang perbicaraan mereka ditangguhkan. tiga hari hakim out-station pergi kursus, so takde perbicaraan. jadi hal jugak bila orang2 yang tak dapat panggilan makluman penangguhan ni, datang ke mahkamah dan marah2.huhu.

hari kedua ni masih juga 'disoal-siasat' dek staf2. diorang heran selama ni tak pernah budak Mesir datang buat praktikal. tempoh sebulan je pulak tu berbanding pelajar U tempatan selama dua bulan. duk la ulang cerita yang sama tentang Persatuan Peguam Muslim Malaysia dan Kelab Peguam Muda Mesir. ada juga pegawai yang pandang rendah dan sinis bila dengar kami seolah2 dapat short-cut untuk jadi peguam. bukan short-cut la pokcik....dan bukan pokcik sorang je yang salah faham tentang praktikal ni. member2 mesir pun bila saya cakap nak pergi praktikal terus cop saya nak jadi peguam. huhu. saya nak ilmu je la, takde bakat nak jadi peguam.

dan suasana baru pada hari kedua ni, ofis lebih meriah dan kecoh dengan gurau-senda staff bila ketua pendaftar tak ada. haha...

Hari 3

hari ni kerja menaip di kamar perbicaraan, buat senarai kes untuk perbicaraan esok. pegawai pembantu hakim bagi tunjuk ajar dengan baik dan mesra. alhamdulillah. memang semua mesra2 pun. belajar guna mesin fotostat yang lebih besar dari mesin basuh tu. hari kedua dan ketiga ni kurang duduk di kaunter sebab bimbang melambatkan kerja orang lain. yalah, orang datang nak buat urusan segera, kita pulak baru terkial-kial nak belajar. nyemak jer. tapi sebenarnya kerja di kaunter sangat menarik dan mencabar. sebab orang awam yang datang adukan macam-macam rupa kes yang sangat menguji pengetahuan kita. yang paling diingati ialah aduan tentang simpanan KWSP yang tak dapat difaraidkan kerana sekatan undang-undang. huh tergeliat lidah nak jawab. mujur la dapat tolak ke Mahkamah Tinggi sebab kes di luar bidang kuasa Mahkamah Rendah -_-" aduan yang lucu pulak bila sorang anak datang minta harta bapanya difaraidkan. bila kami tanya bapanya dah meninggal ke belum, dia jawab : "belum, bapak saya la yang suruh faraidkan ni..." sabo je la. jangan ketawa, dorg xtau.... :)

yang kelakarnya lepas kerja tu bila nak balik, saya ter-salam kawan2 baru dengan style Mesir laga pipi dan genggam ibu jari. laga pipi nampak cam sangat loving dan genggam ibu jari macam nak lawan karate. hahaha~ macam2 la dorg ni. buat muka dinding je la kene gelak :D

Hari 4

khamis, hari terakhir di MRSHL. memandangkan hakim mula bertugas semula hari tu, ramai la orang datang hadiri perbicaraan. pagi saya membantu serba sedikit urusan di kaunter, tolong pembantu hakim kemas fail2 kes. hati menendang2 nak masuk dengar perbicaraan tapi keadaan tak mengizinkan sebab kamar penuh. terlepas banyak kes menarik yang dibicarakan sebelah pagi. hampir tengahari barulah dapat menyelinap masuk ke Dewan 2. perbicaraan makan masa lama juga sampai hangus waktu rehat tapi xpe la, ni hari terakhir yang saya kena manfaatkan sebaiknya.

lihat satu pasangan muda bercerai depan hakim, semua yang ada dalam kamar tu menangis termasuk dengan lelaki sekali. hakim dengan pembantu beliau xde la, dah hari2 hadap kes camtu kan. saya dapat satu perspektif baru tentang perkahwinan, ibrah dari perceraian pasangan muda ni. paling xtahan tengok bila hakim suruh pasangan ni bersalam dan bermaafan sebelum rasmi mereka berpisah. sedih. insan yang pernah sayangi kita, bersama dalam susah senang, kita ikrarkan taat setia untuk hidup bersama dia, akhirnya lepaskan kita jadi macam orang asing semula. huhu~ (rasa patah hati macam aku pernah kawen plak.......)

lepas nangis tengok orang bercerai, senyum semula tengok orang mohon bernikah. anak tak sah taraf mohon hakim jadi wali satukan dia dengan pilihan hati. Alhamdulillah, terasa baiknya Allah. setiap hamba telah ditentukan kebahagiaan untuknya walau apa pun status mereka di mata manusia. Alhamdulillah :) lepas keluar kamar perbicaraan, uruskan sorang lagi bakal pengantin yang mohon wali hakim sebab wali dia enggan. esok dah nak kawen, hari tu baru urusan dia selesai. Alhamdulillah. ramai2 kami ucapkan tahniah dan slamat pengantin baru kat dia :)

habis waktu keje sambil tunggu ayah datang, borak dengan sorang staff pasal perkahwinan dia. katanya dia dah bercinta bertahun2 dengan hubby-nya, miliki banyak persamaan yang dikongsi bersama, tapi akhirnya keluarga hubby xterima dia sebab bukan orang senegeri. akhirnya masing2 nikah dengan orang lain. dia pun tengah hamil anak sulung. Alhamdulillah. pesan dia, jodoh setiap orang tu dah ada, tunggu je dia datang. bila dia datang terima je dengan redha. walaupun tak cinta, walaupun tak ada persamaan, tapi bila ada keberkatan insyaAllah perkahwinan tu bahagia.

okey, hari terakhir praktikal ni rasa macam kursus kawen pulak :)

Hari 5

time to say good bye. awal pagi pergi mahkamah nak serah surat penarikan diri dari SPC dan salam dengan kengkawan, rupanya dorang tengah mesyuarat. dapat jumpa pelatih2 UKM yang berempat tu je, kebetulan diorang pun habis praktikal hari tu. mujur semalam dah sempat jumpa penyelia maklumkan yang saya terpaksa tarik diri. sedih tak dapat habiskan sebulan. apapun syukur banyak2 sebab dalam 4 hari tu pun bayak ilmu yang dapat dikutip. Alhamdulillahi robbil 'alamin.

Kesimpulan

sejujurnya pandangan saya, apa yang kita pelajari di Mesir ni akan jadi tak berguna bila kita tak sesuaikan dengan waqi' pengamalan syariat di Malaysia. kuncinya, ilmu. dah berlambak telan teori kat sini sebaiknya kita lengkapkan pengetahuan dengan tinjauan lapangan di tanahair. banyak mahasiswa Mesir jadi terkebelakang sebab ni la, kurangnya pemahaman tentang waqi' di Malaysia berbanding lepasan U tempatan yang memang terdidik dalam persekitaran. dalam 4 hari praktikal ni pun saya sempat rasa rendah diri ni apatah lagi pelatih2 UKM tu semuanya muda dari saya.

ni bukan nak promote, sekadar kongsi pengalaman. pelajar2 syariah ambik la peluang joint SPC ni taun depan. SANGAT SANGAT SANGAT rugi kalau kita lepaskan peluang menimba pengalaman bekerja di Malaysia. selama ni kita tengok doktor2 je ada attachment kan, ni dah ada peluang terbuka luas rebutlah. jangan takut, tak ada orang nak marah kalau silap sebab dorg tau kita belajar. yang penting bersikap terbuka dan berani masuk dengan suasana baru.

untuk sahabat2 SPC yang akan ber-praktikal hingga Disember ni, dan Yan yang sedang berjuang sendirian di MRSHL, siiiru 'ala barakatillah :)
 

— at Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Kajang.

Berkhilaf Cara Imam Abu Hanifah


Pada zaman awal Islam, di waktu ilmu Islam sedang pesat berkembang telah muncul dua aliran pendidikan fiqh termasyhur. Satunya dikenali sebagai Madrasah Ra’yi di Iraq, dan satu lagi Madrasah Hadis di Madinah Al-Munawwarah. Para ulama’ di Madrasah Ra’yi terkenal dengan cara pengistinbatan hukum melalui qiyas manakala ulama’ di Madrasah Hadis lebih berpegang teguh dengan hadis Rasulullah s.a.w. Antara alim yang tersohor di Madrasah Ra’yi pada masa itu ialah Imam Abu Hanifah r.a, seorang tabi’en dan peniaga kain yang berjaya di Iraq. Manakala alim yang menjadi rujukan di Madrasah Hadis pula ialah Imam Muhammad Al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin Husin bin Ali Karamallahu wajhah, ahli bait Rasulullah s.a.w.
Suatu masa, Imam Abu Hanifah telah datang ke Madinah buat pertama kalinya. Selepas menziarahi makam Rasulullah s.a.w, beliau mengunjungi para sahabat yang masih hidup dan para ulama’ Madinah antaranya Imam Muhammad Al-Baqir sendiri. Lalu bertemulah dua orang taiko fiqh ini dan telah berlaku satu perbualan hangat antara mereka…

“Engkaulah orangnya yang telah mengubah agama datukku dan membaharukannya dengan qiyas?” tanya Imam Muhammad Al-Baqir, suam-suam kuku.
“Duduklah dengan selayaknya kedudukanmu, dan aku duduk dengan kedudukanku. Sesungguhnya kehormatan engkau bagiku seperti kehormatan datukmu di atas para sahabat ketika hayat Baginda,” balas Imam Abu Hanifah dengan tawadhu’ sambil cuba meredakan keadaan. Imam Muhammad Al-Baqir pun duduk, lalu dituruti Imam Abu Hanifah. Bahkan Imam Abu Hanifah merapati cicit Rasulullah itu, duduk berhadapan hingga kedua lutut mereka bertemu.
“Aku ingin bertanyakanmu tiga perkara, jawablah soalanku,” pinta Imam Abu Hanifah, memulakan. “Antara lelaki dan perempuan, siapakah yang lebih lemah?”
Jawab Imam Muhammad Al-Baqir “Perempuan.”
“Lalu berapakah bahagian perempuan? (di dalam pembahagian Mirath*)”
“Untuk lelaki dua bahagian dan perempuan satu bahagian.”
Imam Abu Hanifah menyimpulkan “Itulah kata datukmu, Alaihissolatu wassalam. Jika aku merubah agama datukmu, maka saham lelaki akan berubah dengan qiyas menjadi satu dan saham perempuan menjadi dua, kerana perempuan lebih lemah dari lelaki.”

Imam Abu Hanifah bertanya lagi “Solat lebih afdhal atau puasa?”
“Solat lebih afdhal,” jawab Imam Muhammad Al-Baqir.
“Itulah kata datukmu. Jika aku mengubah agama datukmu, maka perempuan yang suci dari haid akan kusuruh mengqadha’ solat, bukan puasa kerana mengqiyaskan solat lebih utama dari puasa.”

Kemudian Imam Abu Hanifah bertanya lagi “Antara air kencing dan mani, mana satu yang lebih najis?”
“Air kencing,” jawab Imam Muhammad Al-Baqir.
“Jika aku benar-benar mengubah agama datukmu dengan qiyas, nescaya aku akan menyuruh orang mandi wajib selepas membuang air kecil dan berwudhu’ sahaja selepas keluar mani. Akan tetapi aku berlindung dengan Allah daripada mengubah agama datukmu dengan qiyas.” Imam Abu Hanifah menegaskan, akhirnya. Sebaik mendengar jawapan itu, Imam Muhammad Al-Baqir bingkas merangkul leher Imam Abu Hanifah dengan penuh kesyukuran lalu mencium wajahnya.

Selepas pertemuan itu, kedua-dua aliran madrasah fiqh ini terus berkembang maju dengan tanpa sebarang salah faham mahupun salah sangka dan melahirkan ulama’ yang tersohor di seantero dunia. Dari Madrasah Hadis inilah Imam Malik bin Anas r.a telah dilahirkan, sementara Madrasah Ra’yi pula melahirkan Imam Muhammad bin Hassan As-Syaibani. Daripada kedua-dua ‘hasil cemerlang’ Madrasah Hadis dan Ra’yi ini kemudiannya lahirlah Imam kita As-Syafi’e radhiallahu’anhu…

Demikian keindahan akhlak yang ditunjukkan oleh para ulama’ kita -radhiyAllahu 'anhum ajma'in- dalam menghadapi khilaf. Mudah-mudahan dapat kita ambil iktibar dan contohi, terutamanya dalam kita berforum dan berkongsi ilmu mahupun menyampaikan ilmu di kalangan masyarakat.


Catatan :
- Mirath atau Ilmu Faraidh adalah ilmu pembahagian harta pusaka di dalam islam.
- Ra’yi bermaksud pandangan / logik.
- Perbuatan mencium muka di kalangan lelaki arab adalah biasa. Ia lambang   persaudaraan utuh, bukan gay…(memula datang mesir terkejut tengok)
- Imam Malik merupakan pengasas mazhab Maliki dan Imam Muhammad bin Hassan As-Syaibani adalah antara murid Imam Abu Hanifah yang terkenal. Kedua-duanya kemudian menjadi guru kepada Imam As-Syafi’e ra.

-Sumber : Nasy’atul Mazaahibil Fiqhiyyah (Perkembangan Mazhab-Mazhab Fiqh), Al-Ustaz Ad-Duktur Thala’at Abd Ghaffar.

Bahriyah - Satu Perjalanan Sejuta Keindahan

Ramai kawan-kawan tanya 'Ada apa kat Bahriyah?' Meh sini nak cerita.

The 1st thing, Bahriyah ni bukan laut. Ramai yang tertipu dengan namanya Bahr - Laut. Bahriyah ialah satu kawasan oasis dalam wilayah Giza, maknanya ia tak jauh dari Kaherah. Trip ke Bahriyah antara lawatan paling bermakna yang mengubah pandangan saya terhadap Mesir Ardhul Kinanah. Antara yang termanis sampai xtau macamana nak post kat FB. Tapi dah berjalan penat2 mahal2 tak share ngan orang rugi la kan....kene cerita jugak :)

Saya ke Bahriyah pada awal Julai lepas, waktu musim panas tengah merembang atas ubun-ubun kepala. Sebelum pergi rasa seram juga, macam buat kerja gila pergi ke gurun tengah2 musim panas. Tapi sebab dah rindu sangat nak tengok bintang banyak2 saya gagahkan diri dan anggap kepanasan tu satu cabaran nak tengok sejauh mana ketahanan diri.

Di Bahriyah rupanya tak adalah panas sangat. Matahari memang terik, tapi 'hidangan' angin sepoi tak reti bahasa membuat saya rasa selesa sampai tak sempat nak berpeluh pun. Rombongan kami tiba di sana sebaik azan Jumaat berkumandang, teruslah berhenti di masjid tunaikan kewajipan sebelum check-in ke hotel. Di hotel comel yang bumbungnya bulat2 tu kami berehat seketika sambil menunggu persiapan jip yang akan membawa kami ke tengah gurun. Perjalanan yang lebih seronok bermula selepas tu bila kami diangkut ke Taman Negara Sahara Putih.


Dalam perjalanan yang memakan masa 5 ke 6 jam tu kami berhenti di beberapa tumpuan lawatan antaranya :

1. Mata Air Panas. Kami singgah tengok dan rasa satu takungan air panas di tepi jalan. Suhunya sangat sesuai untuk dibuat merebus telur. Mandi? Kalau nak merasa kulit tanggal dari badan, silalah ;) Menurut Ust Sulaiman pemandu rombongan kami, suhu asal air tu kalau kat dalam perut bumi ialah 800 darjah selsius. Tapi selepas melalui perjalanan panjang menuju ke permukaan, suhunya pun beransur-ansur menyejuk hingga takat suhu air teh kat umah kita saja. Mana tau macam suhu air teh? Sebab saya lecurkan hujung jari untuk dapat maklumat tu ^_^' Mata air jernih tu airnya ditakung dan dialirkan ke kebun2 di sekitar.

2. Sand Dunes. Bukit pasir yang cantik beralur2 macam selalu kita tengok dalam gambar. Kata Ust. Sulaiman, pasir ni dialihkan dek ribut setiap 5 tahun sekali. Maknanya setiap lima tahun bukit pasir ni akan berubah ke tempat lain. Tapi jarak tiupan tu tak adalah jauh macam Kaherah ke Alex. Dia dekat jer. Tempat lama yang Ust Sulaiman tunjukkan pun sebelah bukit tu jer, sekarang cuma tinggal sikit2 timbunan pasir macam kena sapu dengan penyapu gergasi.
Dekat Sand Dunes ni kami (atau mungkin saya sorang jer... :D ) main pasir tak ingat dunia. Entah kenapa teruja sangat macam tak pernah tengok pasir, mingkin sebab pasir Sand Dunes ni bersih kot... Kali terakhir saya tengok pasir macam tu tiga tahun lepas masa melawat Faiyum. kat Faiyum lagi cantik padang pasir dia berlatar-belakangkan Tasik Qarun yang membiru. Ok balik ke Bahriyah. Kalau datang ke Bahriyah pada musim sejuk, kat Sand Dunes ni akan diadakan acara bermain luncur pasir. Musim panas ni takde la, baru merayap setengah jam pun dah berpinar2 biji mata.


Sand Dunes. Ada orang eksyen tak nak pakai kasut. Hangit kaki!

3. Banjaran gunung berapi Ajabaat. Baru tau rupanya Mesir ada gunung berapi! MasyaAllaaaah. Cantik2 pulak tu ( cantik la sebab dah mati....). Banjaran gunung berapi ni terletak dalam kawasan Sahara Hitam ( Black Desert ). Tanah di kawasan ni jadi hitam sebab taburan debu gunung2 berapi ni la. Ada ratusan gunung berapi kat sini macam jerawat batu. Kami singgah di kaki salah satu gunung ni dan melihat ke puncaknya yang retak beralur2 sebiji macam arang. Kata Ust Sulaiman, gunung yang kami tengok ni paling terkenal dari yang lain2 kerana kawah mati di dalamnya membentuk Black Canyon. Kami tak merasa nak tengok Black Canyon tu sebab masa tak mencukupi. Katanya kalau nak mendaki ke atas tu makan masa satu hari. ( huhu, kecewa ... )


Gunung yang berusia jutaan tahun. Tengok kesan hangus di puncak tu...

Canyon tu apa? Ringkasnya 'Canyon' ialah satu bentuk muka bumi yang terjadi akibat hakisan air ( @ cecair. Dalam citer ni, lava gunung berapi la kan ) sejak jutaan tahun lampau. Mudah fahamnya kita panggil alur, tapi canyon ni alur yang besar sampai tahap jadi gaung. Canyon kat muka bumi ni ada banyak, yang paling terkenalnya di Amerika - Grand Canyon. Kat tempat jiran kita, Indonesia pun ada satu di Bukit Tinggi.



Pondok Rehat & Rawat

Asar kami berhenti makan di R&R. Ada R&R kat gurun? Ada, versi badwi punya. Selepas tu meneruskan perjalanan ke tapak perkhemahan. Sampai di The Mushroom menjelang maghrib, kami berebut dengan masa merakamkan pemandangan indah kat situ sebelum ditelan kelam malam. Subhanallah, satu lagi pemandangan indah yang tak pernah terfikir akan dapat dilihat sepanjang hidup ni. Sahara Putih - ialah dataran batu kapur yang satu masa dahulu asalnya lantai laut. Selepas melalui proses jutaan tahun, lantai laut ni dah bertukar menjadi gurun memutih bak salji dengan 'monumen' semulajadi yang terbentuk dari hakisan angin. Mercu tanda utamanya - The Mushroom - ialah setongkol batu besar berbentuk cendawan gergasi. Pandang sana ada sphinx, sini ada kepala firaun, situ ada lagi kepala orang...berada di tengah-tengah dataran tu rasa macam dikelilingi pengawal gergasi pulak.



Merakam senja


Sebaik matahari terbenam, jutaan bintang-bintang muncul di langit. Bersinar-sinar dari timur ke barat, utara ke selatan sampai tak tahu mana arah nak tengok. Jam sembilan malam tibalah 'acara kemuncak'nya, kami menyaksikan purnama terbit. Merah bulat terapung naik dari horizon. Makin tinggi ke langit warnanya makin putih, makin terang sampai hilang semua bintang-bintang yang kami tengok tadi. Subhanallah wa bihamdih....saya takkan lupakan pemandangan ni sampai bila-bila (dapat cerita je la, gambar takde. Masing2 tergamam sampai lupa nak tangkap gambar -_-" ). Semakin malam merangkak jauh, pemburu padang pasir mula berkeliaran mendekati rombongan kami. Musang-musang kecil berekor kembang malu-malu datang nak mintak makan. hehee~ comel betul la. Tapi waktu tu saya takut sebab ingatkan dia makan orang. Rupanya su' zhan belaka. haha. Jauh di sekitar kami ada beberapa lagi rombongan pelancong mendirikan khemah. Boleh dengar suara diorang ketawa berkumandang satu dataran.


Satu lagi yang paling seronok dalam perkhemahan ni ialah kami dapat mempraktikkan ilmu tayammum yang dipelajari. Dah namanya gurun, memang tak adalah kemudahan tandas disediakan. Nak qadha hajat - pandai2 la sniri cari tempat nyorok dengan panduan yang Islam dah ajar. Nak wudhu', selak pintu khemah dan tayammum dengan pasir depan khemah je. Nak solat pun sempoi je, sembahyang atas pasir pun tak jadi hal. Tapi kami bentang selimut la. Tak pernah rasa ibadah solat semudah ni. Sujud menghadap ke langit pulak, lagi la terasa doa-doa yang dibaca menyusup ke hati. Alhamdulillah.


Menikmati hening subuh di Sahara Putih :)


Selepas subuh kami manfaatkan masa menjelajah dataran sampailah kami temui 'The Mushroom' yang diperkatakan. Waktu sampai semalam dapat tengok dari jauh je, pagi tu baru dapat dekati dan lihat rupanya betul2. Jalan lebih jauh ke depan, kami temui banyak lagi rupa hakisan yang menarik. Debu gunung berapi yang bertaburan atas dataran putih ni nampak cantik macam tiramisu atas buih :) Penat berjalan kami duduk setempat melihat matahari terbit. Tak la secantik bulan semalam sebab cahaya matahari ni terik sangat. Lihat batu2 yang kami duduki, lagi terkejut rupanya ada fosil hidupan laut melekat2 kat situ! MasyaAllah banyak betul kejutan. Kami pun cuba nasib mengorek satu fosil berdekatan. Entah binatang apa tak dapat dipastikan sebab cengkerangnya pecah. Makin kami korek makin banyak yang pecah, al-maklum la dah takde peralatan yang sesuai.


Kerang dan err....xtau apa tu.


Fosil yang berjaya dirosakkan :(

~ Fosil : Sisa hidupan zaman lampau yang tersimpan dalam batu / tanah. Tulang2 dinosaur yang orang korek tu namanya fosil la tu.

Bila waktu dhuha mula panas kami berangkat menyambung lawatan semalam. Keluar dari The Mushroom, kami kembali memasuki kawasan Sahara Hitam. Tempat pertama yang disinggahi ialah Flower Mountain. Tak ada bunga pun kat situ, tapi taburan debu gunung berapi kat kawasan tu berbentuk cantik macam bunga2 kecil. Lagi menarik, debu2 tu bila dipecahkan boleh nampak galian bumi macam perak dan kuprum kat dalamnya. Bila kata debu ni jangan bayangkan debu halus macam kat rumah kita tu. Debu gunung berapi ni besar macam batu kerikil. Paling halus pun saiznya macam pasir. Sebab tu kalau kapal terbang lalu kat gunung berapi kipasnya boleh rosak dan terhempas. Manusia sedut boleh sakit paru2 dan mati.

Taburan debu gunung berapi

Menyambung perjalanan selepas tu kami melalui kawasan The Tent. The Tent ni bukan tempat sewa khemah. Tak lain tak bukan ialah hakisan2 batu yang membentuk se-kumpulan / kelompok / kawasan (sila pilih mana yang sesuai) khemah2 yang comel. Subhanallah, satu gurun sejuta keindahan.


The Tent. Sayang tak dapat turun tengok dari dekat.

Persinggahan seterusnya ialah Crystal Mountain. Bukit ni ialah sebongkah besar kristal mentah yang terjulur keluar dari permukaan bumi. Menarik sangat rupanya. Dari jauh nampak macam batu biasa. Dekat2 rupanya memang kristal. Tapi jangan la bayangkan satu bukit berkilau2 macam harta karun dalam cerita kartun. Kristal mentah kat sini tak bersinar pun. Yang jadi bersinar tu kalau dah digilap dan dicanai macam kristal Asfour. Ahli rombongan ada yang kutip taburan kristal ni untuk dibuat kenang2an, sama la macam kita kutip garam berkati2 kat Siwa. :)


Bukit Kristal. Lekuk2 unik kat batu hasil tekanan dalam perut bumi

Akhir sekali sebelum balik ke hotel, kami singgah di kolam mandian Ain Ibrahim. Ni satu lagi kawasan mata air yang terkenal di kawasan Bahriyah. Tapi Ain Ibrahim ni sejuk, tak panas macam yang kami tengok semalam. Airnya disedut dengan motor dari dalam bumi dan ditakung ke sebuah kolam mandian. Unik sangat pengalaman mandi kolam kat tengah2 gurun, siap berlatar-belakang gunung berapi. Pengalaman budak lelaki la. Kami yang perempuan ni dapat tengok je kolam tu sambil terliur :),




Kembali ke hotel comel berbumbung bulat, berakhirlah perjalanan kami. Kalau tengok dalam internet, Bahriyah sebenarnya turut mengandungi monumen bersejarah sejak dari zaman Rom dan tinggalan Tamadun Firaun. Tapi dalam pakej ni kami cuma dibawa melihat 'monumen' alam semulajadi sahaja. Alhamdulillah. Dalam perjalanan keluar dari Bahriyah, kami melalui 'Panorama Oasis', satu replika penempatan asal Bahriyah sebelum disapa kemodenan. Kalau di Siwa, perkampungan badwi sebenar yang dibina dari tanah liat ni masih dapat dilihat sampai sekarang. Bahriyah ni agaknya moden sikit dari Siwa, so rumah2 tanah liat sume dah tinggal kenangan je.

Lawatan ke Bahriyah walaupun antara yang tersingkat tapi meninggalkan kesan yang sangat dalam pada saya. Dataran batu kapur, bulan terbit, gunung berapi, bukit kristal, sand dunes, semua tu pemandangan yang selama ni saya cuma dapat tengok dalam Nat Geo je dan tak sangka akan dapat dilihat dengan mata kepala. Semuanya serba indah. Merenung debu-debu yang menyelimuti Sahara Hitam buat saya terfikir, betapa jauh bezanya ciptaan Allah dan ciptaan manusia. Ciptaan manusia selepas habis had tempoh yang boleh digunakan, benda tu rosak jadi sampah sarap tak berguna. Tapi ciptaan Allah tak ada had tempoh. Hatta gunung berapi yang dulu menakutkan, selepas matinya jadi perhiasan yang indah dan monumen yang mengagumkan. Dasar laut dalam yang dulunya menampung kehidupan, selepas kering jadi halwa mata dan sumber ilmu yang berguna bagi manusia. SUBHANALLAH.

Teringin nak tengok sendiri? Datanglah ke Bahriyah. U're invited! :)))