Isnin, 24 September 2012

Berkhilaf Cara Imam Abu Hanifah


Pada zaman awal Islam, di waktu ilmu Islam sedang pesat berkembang telah muncul dua aliran pendidikan fiqh termasyhur. Satunya dikenali sebagai Madrasah Ra’yi di Iraq, dan satu lagi Madrasah Hadis di Madinah Al-Munawwarah. Para ulama’ di Madrasah Ra’yi terkenal dengan cara pengistinbatan hukum melalui qiyas manakala ulama’ di Madrasah Hadis lebih berpegang teguh dengan hadis Rasulullah s.a.w. Antara alim yang tersohor di Madrasah Ra’yi pada masa itu ialah Imam Abu Hanifah r.a, seorang tabi’en dan peniaga kain yang berjaya di Iraq. Manakala alim yang menjadi rujukan di Madrasah Hadis pula ialah Imam Muhammad Al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin Husin bin Ali Karamallahu wajhah, ahli bait Rasulullah s.a.w.
Suatu masa, Imam Abu Hanifah telah datang ke Madinah buat pertama kalinya. Selepas menziarahi makam Rasulullah s.a.w, beliau mengunjungi para sahabat yang masih hidup dan para ulama’ Madinah antaranya Imam Muhammad Al-Baqir sendiri. Lalu bertemulah dua orang taiko fiqh ini dan telah berlaku satu perbualan hangat antara mereka…

“Engkaulah orangnya yang telah mengubah agama datukku dan membaharukannya dengan qiyas?” tanya Imam Muhammad Al-Baqir, suam-suam kuku.
“Duduklah dengan selayaknya kedudukanmu, dan aku duduk dengan kedudukanku. Sesungguhnya kehormatan engkau bagiku seperti kehormatan datukmu di atas para sahabat ketika hayat Baginda,” balas Imam Abu Hanifah dengan tawadhu’ sambil cuba meredakan keadaan. Imam Muhammad Al-Baqir pun duduk, lalu dituruti Imam Abu Hanifah. Bahkan Imam Abu Hanifah merapati cicit Rasulullah itu, duduk berhadapan hingga kedua lutut mereka bertemu.
“Aku ingin bertanyakanmu tiga perkara, jawablah soalanku,” pinta Imam Abu Hanifah, memulakan. “Antara lelaki dan perempuan, siapakah yang lebih lemah?”
Jawab Imam Muhammad Al-Baqir “Perempuan.”
“Lalu berapakah bahagian perempuan? (di dalam pembahagian Mirath*)”
“Untuk lelaki dua bahagian dan perempuan satu bahagian.”
Imam Abu Hanifah menyimpulkan “Itulah kata datukmu, Alaihissolatu wassalam. Jika aku merubah agama datukmu, maka saham lelaki akan berubah dengan qiyas menjadi satu dan saham perempuan menjadi dua, kerana perempuan lebih lemah dari lelaki.”

Imam Abu Hanifah bertanya lagi “Solat lebih afdhal atau puasa?”
“Solat lebih afdhal,” jawab Imam Muhammad Al-Baqir.
“Itulah kata datukmu. Jika aku mengubah agama datukmu, maka perempuan yang suci dari haid akan kusuruh mengqadha’ solat, bukan puasa kerana mengqiyaskan solat lebih utama dari puasa.”

Kemudian Imam Abu Hanifah bertanya lagi “Antara air kencing dan mani, mana satu yang lebih najis?”
“Air kencing,” jawab Imam Muhammad Al-Baqir.
“Jika aku benar-benar mengubah agama datukmu dengan qiyas, nescaya aku akan menyuruh orang mandi wajib selepas membuang air kecil dan berwudhu’ sahaja selepas keluar mani. Akan tetapi aku berlindung dengan Allah daripada mengubah agama datukmu dengan qiyas.” Imam Abu Hanifah menegaskan, akhirnya. Sebaik mendengar jawapan itu, Imam Muhammad Al-Baqir bingkas merangkul leher Imam Abu Hanifah dengan penuh kesyukuran lalu mencium wajahnya.

Selepas pertemuan itu, kedua-dua aliran madrasah fiqh ini terus berkembang maju dengan tanpa sebarang salah faham mahupun salah sangka dan melahirkan ulama’ yang tersohor di seantero dunia. Dari Madrasah Hadis inilah Imam Malik bin Anas r.a telah dilahirkan, sementara Madrasah Ra’yi pula melahirkan Imam Muhammad bin Hassan As-Syaibani. Daripada kedua-dua ‘hasil cemerlang’ Madrasah Hadis dan Ra’yi ini kemudiannya lahirlah Imam kita As-Syafi’e radhiallahu’anhu…

Demikian keindahan akhlak yang ditunjukkan oleh para ulama’ kita -radhiyAllahu 'anhum ajma'in- dalam menghadapi khilaf. Mudah-mudahan dapat kita ambil iktibar dan contohi, terutamanya dalam kita berforum dan berkongsi ilmu mahupun menyampaikan ilmu di kalangan masyarakat.


Catatan :
- Mirath atau Ilmu Faraidh adalah ilmu pembahagian harta pusaka di dalam islam.
- Ra’yi bermaksud pandangan / logik.
- Perbuatan mencium muka di kalangan lelaki arab adalah biasa. Ia lambang   persaudaraan utuh, bukan gay…(memula datang mesir terkejut tengok)
- Imam Malik merupakan pengasas mazhab Maliki dan Imam Muhammad bin Hassan As-Syaibani adalah antara murid Imam Abu Hanifah yang terkenal. Kedua-duanya kemudian menjadi guru kepada Imam As-Syafi’e ra.

-Sumber : Nasy’atul Mazaahibil Fiqhiyyah (Perkembangan Mazhab-Mazhab Fiqh), Al-Ustaz Ad-Duktur Thala’at Abd Ghaffar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan