Rabu, 26 September 2012

Lawatan Ziarah Para Syuhada' Bahnasa

22 September 2012

Alhamdulillah pada harijadi tahun ni diberi peluang yang tak disangka-sangka untuk menyertai rombongan ziarah para Syuhada’ Bahnasa. Rombongan kali pertama yang dianjurkan Syeikh Yusri sebelum ni saya terlepas peluang kerana lewat mendapat tahu hinggalah tarikh tutup penyertaan berlalu. Kali ni Alhamdulillah, dengan ‘ahli kelab penganggur Wilayah’ yang bertujuh kami bersama-sama menjejakkan kaki ke sana dengan rombongan HEWI PMRAM.

SEJARAH BAHNASA

Asal nama Bahnasa ialah perkataan Arab Bahaa’un Nisaa’ (kemegahan wanita). Dinamakan begini kerana ia menjadi tempat himpunan perempuan-perempuan cantik dari Rom pada suatu masa dahulu. Penempatan di Bahnasa telah wujud sejak zaman kegemilangan Tamadun Firaun. Sebatang sungai yang mengalir di perkampungan itu dinamakan ‘Bahru Yusufi’ sempena nama Nabi Yusuf Alaihis Salam yang pernah menjadi gabenor dalam kerajaan itu. Bahkan jasad Nabi Yusuf dikatakan turut disemadikan di sekitar sungai itu walaupun tiada kesan yang membuktikan kesahihannya.

Seperti bandar-bandar lain di Mesir, Bahnasa turut mengalami perpindahan kuasa dari satu dinasti ke dinasti lain yang berebut menguasai bumi bertuah ini. Selepas berlalu Tamadun Firaun, bandar ini dikuasai pemerintah Yunani dalam satu jangka masa sebelum jatuh ke tangan Empayar Rom. Pada waktu itu Bahnasa dikatakan menjadi bandar ketiga terpenting di Mesir selepas Iskandariah dan Coptic Cairo. Kemudian apabila Islam sampai ke Mesir pada zaman Khalifah Umar ibn Al-Khattab r.a, Bahnasa menjadi saksi pertempuran hebat antara dua kuasa Timur dan Barat ini hinggalah akhirnya ia berjaya dibebaskan dari cengkaman Rom. Dengan terbebasnya Bahnasa, bermulalah dakwah Islam mengalir damai menuju wilayah selatan hinggalah ke Aswan dan Sudan.

Dalam catatan sejarah moden, nama Bahnasa tidak timbul hinggalah penemuan timbunan manuskrip papyrus oleh sekumpulan pengkaji sejarah Barat. Manuskrip itu yang rata-ratanya bertulisan Arab dan Latin dikatakan berasal dari zaman kerajaan Rom dan Islam. Sebahagiannya turut mengandungi catatan Injil yang belum pernah ditemui dalam mana-mana catatan sebelum ini.

PERJALANAN KE BAHNASA

Kami bertolak ke Bahnasa pada awal dinihari dengan menaiki dua buah bas. Seawal subuh kami tiba di Mantiqah Syuhada’ – sebuah masjid yang bersih dengan kompleks perkuburan yang luas mengelilinginya. Udara pagi awal musim gugur mula terasa memamah kulit. Usai menunaikan fardhu Subuh dan bersarapan, kami mendengar diskusi kitab Futuhat Bahnasa (Pembukaan Bahnasa) yang disampaikan salah seorang musyrif rombongan. Walaupun mengantuk dek perjalanan semalaman kami tahankan mata untuk mendengar supaya ziarah selepas ini lebih bermakna dengan maklumat yang jelas.

Menjelang waktu dhuha kami memulakan ziarah menerokai kompleks perkuburan. Perkuburan yang luas ni dianggarkan menampung ribuan jenazah muslimin yang mendiami sekitar pekan Bahnasa, bercampur dengan jenazah ribuan pejuang Islam yang bersemadi di sini sejak seribu tahun lepas. Para syuhada’ ini ialah mereka yang gugur dalam peperangan membebaskan Bahnasa dari kuasa Rom dahulu. Sebahagian besar darinya ialah para Sahabat Nabi s.aw, Tabi’en dan Tabi’ Tabi’en radhiyAllahu anhum ajma’in. Jenazah mereka dipercayai bertebaran di seluruh kawasan itu dalam makam yang tidak bertanda. Rasa sayu hati mendengarkan bahawa masjid yang kami singgahi itu juga kemungkinan besar dibina di atas jasad-jasad insan mulia ini.

KEMBARA JELAJAH KUBUR

Menjejakkan kaki ke tanah perkuburan itu, hati merasa tenang yang tak diketahui. Terlalu banyak makam yang kami ziarahi, antaranya ialah anak kepada Saidina Ali Zainal Abidin r.a (piut Nabi s.a.w), Saidina Ubaidah bin Ubadah bin Shamit r.a (perawi hadis), para ulama’ dan lain-lain yang tak dapat diingat nama mereka. Di celah-celah makam itu saya sempat singgah berdoa di kubur seorang ulama’ Azhar yang wafat pada 2003. Bukan doa mintak jodoh @ nombor ekor okey, tapi mendoakan semoga guru kami ini dicucuri rahmat di persemadiannya. Entahlah, saya macam ada satu rasa sentimental dengan istilah ‘ulama’ Al-Azhar’. Walaupun saya tidak pernah berguru dengan mereka tapi bagi saya semuanya adalah guru2 saya yang telah menghidupkan universiti tempat saya tumpang berteduh ni.

Makam yang kami ziarahi sebahagiannya dibuatkan binaan menutupinya, siap dengan papan tanda Majlis Antikuiti Mesir yang menandakan makam itu adalah bahan sejarah terpelihara. Sebahagian lain walaupun tidak mempunyai papan tanda Majlis Antikuiti, tetap juga dipelihara oleh penduduk tempatan yang telah sebati dengan budaya mencintai orang soleh.  Juga di perkarangan masjid terdapat sebatang pohon agam yang dikatakan menjadi tempat berteduh Saiyidah Maryam Al-Batuul dan Baginda Isa a.s sewaktu persinggahan keluarga mulia ini di Mesir. Tanah perkuburan yang kami ziarahi ni, boleh la kalau nak dikatakan sebuah kampung sekalipun kerana lingkungannya yang sangat luas. Naik bukit – turun bukit - masuk kampung – keluar kampung – redah semak – harung sampah, memang satu perjalanan yang menarik untuk diingati.

Terutamanya perjalanan melalui kampung badwi moden yang terbentang di pesisir Bahru Yusufi, kami dapat berinteraksi secara langsung dengan orang kampung yang tak dapat ditemui di bandar besar seperti Kaherah. Mereka semuanya sangat mesra, kanak-kanaknya sangat polos walaupun comot dengan lalat menghurung mata. Orang-orang tuanya peramah dan seronok bila ditala kamera. Mereka tinggal di rumah flat batu bertingkat sama seperti di lain-lain perkampungan, siap dengan lembu kambing dan lain-lain ternakan di depan pintu rumah. Di salah sebuah rumah yang kami lalui dapat dilihat longgokan buah anggur segar bergayut-gayut di anjungnya. Lagi yang menarik ialah penempatan mereka ini berdiri dalam lingkungan tapak runtuhan kota lama Tamadun Firaun dan Roman – Greek.

TINGGALAN SEJARAH YANG DILUPAKAN

Bercakap tentang tinggalan sejarah di sini, terasa kesal yang tak terluah. Tak ada lagi kesan sejarah yang tinggal di sini, semuanya musnah secara total melainkan puing-puing tembok reput yang dengan mudah dapat dikenalpasti terdapat ciri senibina Rom padanya. Mungkin semuanya sudah musnah sejak zaman silam, atau mungkin ia musnah kerana batu-batunya diambil untuk membuat kediaman yang baru. Tiang granit merah yang biasanya digunakan pada binaan Tamadun Mesir dan Yunani dapat dilihat jelas digunakan di beberapa makam. Bahnasa yang ada kini macam padang jarak padang tekukur dan tidak dapat dibayangkan bagaimanakah rupa tempat ini sebagai bandar ketiga terpenting suatu masa dulu. Patutlah bandar ini dilupakan zaman. Hanya satu yang diingati ialah penemuan manuskrip papyrus dalam timbunan sampah yang menjadikan Bahnasa sebagai tapak penemuan manuskrip terbanyak setakat ni.

MAKAM PUTERI BERTUJUH (SAB’U BANAAT سَبْعُ بَناتٍ)

Bukan puteri tujuh cerita dongeng, tapi ini ialah kisah tujuh pahlawan wanita yang gugur dalam perang pembukaan Bahnasa. Mereka ialah tujuh orang perempuan (dikatakan adik-beradik) yang telah menyamar untuk menyertai pertempuran. Apabila semuanya gugur syahid baru la orang tahu yang mereka bukan lelaki. Kesemuanya dimakamkan berhampiran antara satu sama lain. Makam mereka menjadi persinggahan terakhir kami sebelum pulang ke Kaherah. Menariknya makam ini ia terjaga cantik dalam satu kawasan berpagar dengan empat panji-panji hijau berkibar megah menghiasinya.

Tidak seperti program ziarah makam yang biasa saya ikuti sebelum ni, ziarah ke Bahnasa kali ni terasa berbeza. Ketenangan yang dikecap saat berkunjung di laman para syuhada’ itu terasa masih berbekas di hati. Mungkinlah kerana bumi Bahnasa itu sendiri subur dengan pepohon, maka ziarah ke perkuburan mereka dirasa bagai melawat ke taman. Mungkin juga kerana mereka tu insan-insan mulia yang hidup di sisi Allah, lalu rahmat yang dicucuri ke atas mereka dapat dirasa tempiasnya oleh manusia yang masih berkelana di atas dunia. Tak dapat diungkapkan syukur saya dengan kurniaan hari ini – walaupun tidak mendapat ucapan harijadi mencurah2 di FB namun limpahan rahmat Allah lebih menggembirakan dari segalanya. Dapat berkunjung ke tempat mulia dengan sahabat saya yang dah lama tak berjumpa menjadikan harijadi tahun ni yang paling istimewa dalam seumur hidup saya. Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah.

Sampai bertemu lagi, Tuan-Tuan kami para syuhada’ yang mulia.
Inna ilaikum laahiquun.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan