Jumaat, 28 Disember 2012

Saidina Abu Ayyub Al-Ansori

Kita biasa dengar kisah tentang Saidina Abu Ayyub Al-Ansori menjadi tuan rumah kepada Nabi s.a.w apabila Baginda berhijrah ke Madinah.

Dalam muhadharah baru-baru ni Syeikh ceritakan MENGAPA RUMAH SAIDINA ABU AYYUB TERPILIH UNTUK DIDIAMI BAGINDA.

Kisahnya ialah berkenaan niat suci seorang Arab Yaman bernama Tubba'.

Beliau mendengar bahawa seorang Nabi akhir zaman akan dibangkitkan dan akan mendiami Yathrib. Lalu beliau berpindah ke Yathrib dan membeli sebuah rumah di situ lalu berdoa; "Ya Allah, mudah-mudahan rumah ini akan menjadi kediaman Nabi akhir zaman bila Baginda berpindah ke sini kelak".

Tahun demi tahun berlalu. Tubba' meninggal dunia sebelum sempat menemui Nabi akhir zaman yang dinantikan. Zuriatnya lahir dan wafat. Hinggalah pada masa zuriatnya bernama Khalid bin Zaid r.a, Nabi akhir zaman itu pun bangkit dan berhijrah ke Yathrib seperti yang dijanjikan dalam kitab-kitab terdahulu. Allah mengilhamkan kepada Qaswaa', unta Baginda untuk berhenti di hadapan rumah pusaka Tubba' supaya Nabi akhir zaman ini turun mendiaminya.

Nabi akhir zaman itulah Nabi kita Saiyiduna Muhammad sollAllahu'alaihi wasallam dan zuriat Tubba' yang bertuah itulah sahabat Baginda, Saiyiduna Abu Ayyub, Khalid bin Zaid Al-Ansori radhiyAllahu anhu.

Inilah sebabnya rumah Saiyiduna Abu Ayyub r.a terpilih untuk didiami Nabi s.a.w. Ia bermula dari niat yang baik dari seorang insan yang baik.

Di akhir kisah, Syeikh menyebut: "Niat yang baik tak akan dipersiakan Allah. Lihatlah, walaupun selepas beberapa generasi berlalu ia tetap ditunaikan".

Meremang bulu roma, bergenang air mata saya mendengar kisah ni. SubhanAllah wabihamdih....
Allahumma solli 'ala Saiyidina Muhammad wa 'ala aalihi wasohbihi ajma'iin.

Baca lagi kisah Saidina Abu Ayyub Al-Ansori di sini.

Kebaikan Sinaran Matahari


Banyak laporan menyatakan bahawa sinaran matahari tidak baik untuk kita. Ia sebenarnya salah faham yang membahayakan. Sinaran matahari memberi banyak manfaat kepada manusia dalam pelbagai aspek kehidupan. Walaupun pendedahan melampau boleh membahayakan tetapi ia bukan alasan untuk kita elakkan dari terdedah kepada sumber alam yang hebat ini.

Jom teliti kebaikan sinar matahari :)
  • Antara kebaikan utamanya ialah membantu pertumbuhan setiap organisma hidup baik tumbuhan, haiwan mahupun manusia sendiri.
  • Pendedahan yang mencukupi kepada sinaran matahari boleh menyihatkan kulit dan mencantikkannya secara semulajadi.
  • Pendedahan berterusan pada kadar biasa dapat membina ketahanan kulit terhadap pancaran sinar ultra-ungu, jangkitan kulit mahupun kesan lecuran berbanding kulit yang tidak biasa terdedah kepada matahari.
  • Sinar ultra-ungu yang terkandung dalam cahaya matahari merupakan ejen pembunuh kuman semulajadi. Ia bertindak membunuh bakteria dan kuman yang hidup di udara dan setiap permukaan termasuk kulit kita. Pncaran matahari pada kadar yang berpatutan sangat baik untuk membantu pesakit kulit (bergantung atas nasihat doktor). Ia juga dapat menggalakkan pertumbuhan sel darah putih yang bertindak sebagai perisai tubuh dari serangan kuman dan penyakit. Oleh itu ia dianggap antara ejen penyembuh terbaik di dunia.
  • Cahaya matahari dapat merangsang selera makan dan memperbaiki sistem pencernaan dan metabolisma tubuh, selain meningkatkan penghasilan darah merah yang membawa oksigen di dalam tubuh kita.
  • Bukan saja kesan terhadap fizikal, sinaran matahari juga mempunyai faedah yang baik kepada mood dan psikologi manusia. Ia dapat merangsang penghasilan hormon endorfin dan serotonin yang memberi kesan baik kepada minda manusia.
  • Pendedahan kepada matahari pada waktu siang dapat membantu kita tidur dengan nyenyak pada waktu malam. Ini kerana otak dapat membezakan perubahan waktu dengan tepat seterusnya menjalankan fungsinya dengan lebih baik pada waktu malam.
  • CAHAYA MATAHARI JUGA MEMBANTU TUBUH KITA MENUKAR KOLESTROL KEPADA VITAMIN D. VITAMIN D SANGAT PENTING UNTUK PERTUMBUHAN TULANG YANG SIHAT, SELAIN PENGHASILANNYA DAPAT MENGURANGKAN JUMLAH KOLESTROL DALAM TUBUH KITA.
SubhanAllah. Hebatkan? Alat penyembuh tu sebenarnya Allah dah sediakan secara percuma di sekeliling kita. Tinggal diri kita menentukan hendak menjalani hidup dengan baik secara fitrah atau mengikut kehendak diri yang merugikan. Jika sebelum ini kita suka bersengkang mata hingga pagi dan tidur di sebelah siang, atau mengelak dari sinaran matahari kerana takut hitam dsb, ubahlah kebiasaan ni untuk kebaikan diri dan kesinambungan hayat kita.

Robbana ma khalaqta haaza baatila….

Selasa, 18 Disember 2012

Tomboy Bukan Tak Boleh Berubah

Isu lelaki lembut dan perempuan kasar ni memang takkan padam sampai berakhirnya generasi manusia di muka bumi, sebab dua jenis manusia ni memang Allah cipta untuk menguji manusia. Bila berkaitan dengan nafsu dan kecenderungan ni lagi la manusia susah nak lawan dan kena pilih antara Tuhan @ kehendak.

Saya kata boleh berubah bukan ikut sedap mulut, tapi saya sendiri pernah mengalaminya. Mengubah diri yang berkecenderungan lelaki kepada perempuan asli bukan mudah, tapi kita boleh. Ibu cerita dulu yang waktu dia mengandungkan saya, Ibu hendak anak lelaki. Siap sediakan nama Mohd Ainuddin Ariff untuk saya. Bila saya tanya siapa Ainuddin Ibu kata menteri pelajaran waktu tu. Tapi bila lahir perempuan Alhamdulillah Ibu Ayah terima juga dengan rasa syukur cuma tak sangka keinginan Ibu tu membentuk siapa saya selepas itu.


Memang dari kecil saya terkenal lasak. Sebab saya lasak tu Ibu selalu potong rambut saya pendek, biar saya bebas main dan tak berserabai. Kali pertama saya dapat bela rambut panjang bila berumur 12 tahun, dah masuk asrama. Mainan saya kalau tak redah semak @ terjun parit, mesti panjat pokok. Ya, dulu masa kecil saya tak takut tikus. Saya boleh kejar dan tangkap ekor dia, buang dalam sungai gitu je. Sekarang dengar orang sebut 'tikus' je saya dah ready nak lari... Waktu filem Starwars tengah meletup saya pun tak nak ketinggalan susun kusyen, lukis kotak - berangan macam jadi pilot kapal angkasa. Huhu....lagi seronok dari main Barbie!

Mujur la sejak kecil lagi Ayah sekolahkan saya dan kakak di sekolah perempuan. Jadi kecenderungan saya tidaklah merebak sampai menjadi tomboy dan berpakaian lelaki. Cuma minat dan kelasakan saya tak berubah. Daripada kasut comel saya prefer pakai sandal. Daripada jam tangan kartun2 saya prefer jam second-hand abang dan ayah saya. Walaupun sudah berambut panjang saya selesa ber-Tshirt dan seluar panjang berbanding baju kurung. Cakap masih juga kasar dan selamba walaupun saya tak suka menjerit-jerit. Time Kakak sibuk belajar jahit baju kurung, saya sibuk menajamkan skill membaling selipar. Time budak2 perempuan batch saya sibuk buat kes cari 'balak', saya punya kes lari main dalam hutan. Sebab tu nakal macam mana pun saya tak pernah kena rotan dalam perhimpunan! ;) Macam mana pun, secara tak sedar kecenderungan ni mempengaruhi fikiran saya juga. Saya lebih suka bercakap tentang idea daripada bergosip. Bukan nak masuk bakul angkat sendiri. Saya memang tak suka berbual tentang gosip dari dulu lagi. Kalau tiba-tiba dah terperangkap dalam perbualan gosip saya layan je lah, sekadar ambik tahu. Nak panjang-panjangkan tu tidak la. Bosan. Apatah lagi bila dah belajar agama ni saya dapat tahu yang mengata hal orang tu berdosa, lagi la saya jadi xminat.

 Tapi bila asrama kami mula kecoh dengan kes lesbian dan pengkid, Alhamdulillah saya tak terjebak sekali. Mungkin sebab ada Kakak yang mengawal. Saya pernah disukai dua orang pengkid tapi Alhamdulillah Allah selamatkan saya dari terlajak jauh dengan berkat garangnya Kakak saya. huhu.

Bila usia meningkat remaja, Ayah mula berbunyi bila tengok saya selekeh dan tidak kisahkan penampilan. Walaupun Ibu Ayah layan kami sama rata tapi sekali-dua terlepas juga diorang bandingkan saya dengan Kakak yang ayu dan 'perempuan'. Mula-mula saya bengang dan buat tak tahu juga. Tapi lama-lama saya pun terfikir juga diam-diam. Kakak saya perempuan, saya pun perempuan. Tapi kenapa kami berbeza? Lebih tepatnya, SAYA berbeza? Kenapa saya tak kemas dan pandai melawa macam Kakak? Bila tengok perempuan lain duduk ayu bersimpuh, saya segan dan lekas-lekas bersimpuh juga daripada tadinya bersila. Bila tengok perempuan lain cakap lemah-lembut saya cemburu. Diorang perempuan dan saya pun perempuan. Tapi kenapa SAYA berbeza?

Dari situ saya mula sedar dan mula belajar mengubah kebiasaan saya yang tidak sesuai. Saya mula belajar menggunakan aksesori perempuan walaupun saya tak tahu nak pilih mana yang sesuai untuk saya. Belajar pakai kasut perempuan walaupun saya rasa ia tidak tahan untuk dibuat berlari. Belajar duduk bersimpuh dalam majlis. Belajar cakap sopan-sopan dan senyum, bukan macam saya sebelum ni yang selamba melahirkan ekspresi tanpa mengira tempat.

Sejenak hati mengutuk, saya hipokrit! Tapi bagi saya ini bukanlah hipokrit. Saya memang perempuan dan saya cuma belajar apa yang perempuan buat. Hipokrit ke? Tidak. Bagi saya ini adalah pembaikan. Improvement.
Anak burung belajar terbang. Hipokrit ke? Tidak.
Anak monyet belajar bergayut. Hipokrit ke? Tidak.
Anak harimau belajar memburu. Hipokrit ke? Tidak.
Seorang perempuan belajar menjadi perempuan. Hipokrit ke? Tidak.
Hatta khunsa pun perlu memilih satu jantina untuk dia hidup hingga akhir hayatnya. Apatah lagi kita yang dilahirkan dengan jantina tetap, cuma kecenderungan berbeza.

Kita boleh berubah. Dan Alhamdulillah, inilah saya sekarang.
Ini bukan cerita Princess Diaries atau Miss Congeniality. Saya tak ada la jadi perempuan ayu cun-melecun macam dalam citer tu pun, tapi saya jadi apa yang sepatutnya saya jadi. Alhamdulillah.

Minat saya pada benda yang lasak-lasak masih ada walaupun tak macam dulu. Saya enjoy panjat gunung bila berkesempatan. Saya masih rindu nak panjat pokok macam kecil-kecil dulu walaupun badan dah berat. Masih juga tak minat menjahit walaupun dah berapa kali masuk kelas. huhu. Saya yang di dalam ni masih saya yang dulu. Apa yang tidak bertentangan dengan Syariat dan norma masyarakat Melayu, masih saya kekalkan....bahkan ia memberi banyak kebaikan kepada saya.

Contohnya di Mesir ni, hidup saya sangat mudah bila saya berani bergerak sendiri. Nak berjalan? Tak payah upah travel. Cukup beli peta dan rayaulah sendiri sampai penat. Cuma tempat yang jauh-jauh sangat tu tak ada la kan. Bahaya pulak. Bila ada hal penting pun tak payah terhegeh-hegeh nak bergerak dalam grup dan susahkan orang nak teman kita. Cukuplah kita pastikan keadaan selamat, doa dan tawakallah kapada Allah. InsyaAllah.


Kepada tomboy2 di luar sana janganlah jadikan alasan yang keadaan anda tu sudah wujud sejak lahir. Benda tu sebenarnya Allah nak uji kita je, tengok kita hendak kembali kepada fitrah kejadian kita @ tak. Fikirlah yang kita takkan selamanya dapat memuaskan hawa nafsu kita. Kalau dari muda ni kita tak ubah haluan kita ke landasan yang betul, satu masa nanti kita akan menyesal yang amat sangat.

Tapi kepada tomboy2 yang pernah mengalami trauma tu, saya tidak memperkecilkan apa yang kamu lalui. Cuma nasihat saya janganlah kita benarkan diri kita dikalahkan dek masa lampau yang buruk. Setiap manusia dah Tuhan janjikan masa depan yang baik asalkan kita berusaha dengan cara yang betul. Usaha-doa-tawakal dan kembali padaNya. InsyaAllah kehidupan kita akan jadi lebih baik dari apa yang pernah kita bayangkan.

Semoga kita semua selalu mendapat hidayahNya. Amin :)

Jumaat, 14 Disember 2012

Pengalaman Cuba Berniaga.

Berniaga kecil-kecilan selalu dipandang rendah masyarakat kita. Nampak miskin dan terdesak, tanpa memahami keseronokan dalam dunia perniagaan tu. Sebelum ni saya pun berpandangan yang sama. Kadang-kadang beli barang peniaga kecil ni bukan sebab nak barang tu pun, tapi sebab kesian. Keluarga saya yang berlatar-belakang kerja kerajaan dengan segala bonus dan pencen, lebih-lebih lagi memandang peniaga kecil ini sebelah mata. Ayah cukup tak suka bila saya suarakan hendak berniaga sendiri satu masa dulu.

Tapi Allah beri saya peluang merasai sendiri jerih payah peniaga. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan tak sangka rupanya berniaga sangat seronok. Walaupun cuma dua hari sahaja tapi saya dapat banyak, sangat banyak pengajaran dari kerja ni. Sebelum ni bukan tak pernah berniaga. Kat kolej dulu kalau ada karnival tu kami bergotong-royong juga berniaga buka gerai dengan kawan-kawan. Jualkan buku untuk persatuan pun pernah, ke hulu-ke hilir menghantar buku. Tapi bezanya kali ni saya sendiri yang buat semua. Dari keluarkan modal, membuat bahan, mengedar dan mengutip hasil. Pemacunya ialah desakan belanja. Waktu tu zakat belum masuk dan belanja di tangan semakin menyusut, nak tak nak kenalah fikir cara menyara diri sendiri. Alhamdulillah, hasilnya saya bukan saja dapat duit. Yang lebih penting dari tu ialah pengajaran.

Dengan bermodal lima puluh junaih (RM25) saya beranikan diri memulakan usaha. Mujur bahan mentah kat Mesir ni murah. Sasaran pengguna saya ialah pelajar perubatan yang sibuk belajar di kuliah dan tak sempat keluar makan tengahari. Kesian dengar diorang punya tough belajar tu. Jadi saya dapat mencapai dua matlamat : bekalkan makanan tengahari kat diorang dan diorang pulak tambah ekonomi saya. Alhamdulillah.

Awal-awal pagi saya bangun masak lauk dan nasi, bungkus dan hantar kepada seorang adik yang akan tolong jualkan di kuliah dia. Sepanjang hari saya tunggu dia balik dengan rasa khuatir memikirkan habis ke tidak nasi yang saya jual tu. Waktu menyediakan makanan, doa tak putus2 dalam hati moga diberi keberkatan atas usaha saya ni. Doa semoga makanan yang saya masak tu jadi rezeki yang halal dan baik untuk adik-adik. Doa kalau masakan saya tu tak sedap sekalipun janganlah sampai terbuang dan dibazirkan.

Selesai masak sesi pagi, saya rehat kejap dan mulakan kerja sesi petang pula - jual kuih karipap. Memandangkan tiada tenaga sokongan, jadi saya buat kuihnya besar-besar gedabak biar cepat habis. Dekat tiga jam juga berdiri mengelim bunga karipap. Siap digoreng, panas-panas saya bawa pergi round jual dalam asrama. Alhamdulillah semua habis.

Jualan nasi di kuliah Tibb pun habis. Alhamdulillah. Lega rasa. Satu hari tu saja dekat seratus genih pulangan saya dapat. Alhamdulillah.

Besoknya saya berniat tidak mahu berniaga lagi. Letih! Semalam satu hari saya duduk di dapur saja, solat pun dengan baju berbau masakan. Tapi memikirkan barangan mentah yang masih berbaki, saya gagahkan diri memasak untuk sehari lagi. Hari ni Nasi lemak telur mata kerbau. Telur sebiji okey, tak main la telur dadar kerat sepuluh! Then hasil hari tu habis semua macam semalam juga. Saya rasa bukanlah sebab saya masak sedap pun, tapi sebab memang adik2 tu yang lapar. Huhu.

PRAKTIS TEORI DI KULIAH.

Dalam dua hari saja saya berniaga ni, saya dapat gambaran jelas berkenaan teori-teori pengurusan mal (harta) yang selama ini dipelajari di kuliah. Banyak benda yang bermain dalam fikiran saya bila perkara yang saya pelajari di kuliah Syariah cuba disesuaikan dengan amali di dunia sebenar. Memang berniaga bukan mudah. Sebab itulah para ulama' sangat tegas meletakkan garis panduan untuk menjaga maslahat dua pihak - peniaga dan pengguna. Watak yang paling saya ingati dalam dua hari berniaga ni ialah Imam Abu Hanifah, Nu'man bin Thabit radhiAllahu'anhu. Saya sangat teringatkan beliau kerana beliau adalah seorang peniaga, selain dari tugasnya sebagai obor umat. Patutlah Mazhab Hanafi terkenal lebih longgar dalam perbahasan harta, kerana Imamnya sendiri adalah seorang saudagar yang merasai sepak-terajang perniagaan dan meneliti segala masalahnya dari dalam. 'Loggar' di sini bukanlah maksudnya bermudah-mudah. Tetapi longgar kerana meraikan maslahat orang awam, supaya tercapai matlamat Syariat Islam ini sebagai cara hidup bagi seluruh alam tanpa mengira bangsa dan budaya.

MENJUAL DENGAN SENTIMEN PEMBELI

Sewaktu saya menjual, saya sedaya-upaya cuba mengekalkan sentimen pengguna dalam diri. Mengapa? Supaya saya tidak tamak dan dapat menyediakan yang terbaik kepada pembeli. Sepanjang hidup ini saya sudah beribu kali terkena dengan peniaga tamak yang menjual barangan tidak seberapa dengan harga mahal. Justeru saya tidak mahu mengulanginya saat saya sendiri berada di posisi peniaga. Sebagai pembeli, saya sukakan barangan berkualiti walaupun harganya sedikit mahal. Jadi begitu juga yang saya buat bila saya berniaga. Dari sudut kebersihan, kuantiti dan rasa, saya usahakan supaya berbaloi. Saya pernah lihat depan mata seseorang membuat karipap pusing untuk dijual. Saiznya hanya sebesar tiga jari, kempis tak berisi tapi dijual dengan harga satu pound. Walaupun dalam hati kata tak patut tapi kat mulut senyum je la kan...kawan kita sendiri.

Tipulah kalau tak ada terdetik langsung rasa tamak dalam hati. Sehari berniaga dapat seratus! Tak juling bijik mata?! Tapi saya cuba belajar dari kerajinan orang Cina. Biar bermula dengan sedikit dan lambat, asalkan kukuh dan bertahan lama. Lebih dari itu biarlah berkat....walaupun sedikit.

MENGIKIS SIFAT BOROS

Saya ni pemboros dari kecil lagi. Tapi Alhamdulillah dengan berniaga ni dapat mengekang sikap boros saya. Terus hilang selera nak beli benda-benda yang saya sangat suka sebelum ni. Saya fikir juga kenapa berniaga berjaya mengubah saya secara tiba-tiba? Sedangkan saya sudah berusaha selama bertahun-tahun untuk mengekang sikap boros ni. Rupanya ia adalah perubahan mindset. Bila mula berniaga saya asyik memikirkan cara menambah untung dan mengembangkan hasil, bukan lagi memikirkan benda-benda untuk memuaskan hati saya. Di situlah suisnya yang saya cari-cari selama ni. Membuang duit - lawannya ialah - mengumpul duit!

Jadi kalau ada anak nanti saya hendak ajar diorang berniaga. Supaya diorang tahu susahnya usaha bukan untuk memenuhkan perut sendiri sahaja.

BERNIAGA AMALAN SUNNAH


Ada satu hadis Nabi s.a.w yang terkenal mengatakan 9 per sepuluh rezeki datangnya dari berniaga. Rezeki di situ saya suka menterjemahkannya kepada makna yang lebih luas. Bukan terbatas kepada rezeki berbentuk wang sahaja, tapi rezeki dapat pengalaman, dapat travel bagi yang berniaga jauh, dapat mengekang diri dari pembaziran, semua adalah rezeki yang selalu manusia terlepas pandang. Paling utama ialah bila kita sentiasa bergantung kepada Allah dalam usaha kita, itu adalah rezeki tak ternilai yang bukan semua orang dapat menikmatinya. Ya, mentaati Allah dan bergantung kepadaNya juga adalah rezeki.

Dan saya dapat merasainya. Alhamdulillah...saya harap dapat merasainya lagi kelak :)

BERNIAGA - JAWATAN KOSONG YANG SENTIASA TERBUKA

Kebetulan saya berniaga ni sementara menganggur tunggu keputusan periksa. Saya dapat lebih menghayati bagaimana masa saya terisi dengan perkara yang bermanfaat dan mendatangkan hasil. Terlintas di minda yang berniaga ni pekerjaan yang sentiasa available. Kita boleh jual apa yang kita suka, di mana yang kita suka, dengan berapa pun modal yang kita ada. Budaya niaga di Malaysia yang seolah2 mewajibkan berniaga tu mesti buat pinjaman sebenarnya hanya membunuh daya juang individu. Berniaga sebenarnya mudah. Dengan modal kecil pun boleh berniaga, asalkan ada usaha dan tawakal kepada Allah.

Masyarakat miskin di Mesir ni mengajar saya bahawa berniaga tu mudah. Tak perlu bajet besar, jual tisu di tepi jalan pun boleh mendatangkan hasil. Sebab tu di Mesir ni boleh nampak terlalu ramai peniaga kecil merata-rata di tempat awam. Kalau di Malaysia mungkin kita selamba panggil diorang pengemis. Tapi sebenarnya tidak. Diorang berniaga, walaupun cuma gula-gula dan chewing gum. Orang-orang muda berbadan tegap dengan wajah kacak tiada istilah malu menolak troli menjual surat khabar. Hatta kanak-kanak yang tiada modal berniaga pun cukup membawa tuala mengelap cermin kereta untuk mendapatkan upah. Inilah budaya niaga kecil-kecilan yang sangat rancak di Mesir, memberi sejuta pengajaran bermakna kepada saya.

Dua hari saja dapat berniaga. Lepas tu bila balik ke Alex tak dapat menjual dah sebab sasaran pembeli tak ada. huhu. Kesian juga adik2 tanya "Kak, tak ada nasi ke harini?". Saya tau diorang lapar. Tapi saya nak stay Kaherah lama2 pun tak boleh, bukan tempat saya.

Setiap kali tengok orang jual aksesori kat laman Kuliah Banat Kaherah, saya rasa geram nak duduk sekali kat situ jual nasi. Kalau ada orang Melayu yang sanggup berniaga macam tu kan bagus. Tak ada la doktor2 masa depan kita kelaparan nak belajar setiap hari. Sian diorang.
Apakan daya...