Jumaat, 14 Disember 2012

Pengalaman Cuba Berniaga.

Berniaga kecil-kecilan selalu dipandang rendah masyarakat kita. Nampak miskin dan terdesak, tanpa memahami keseronokan dalam dunia perniagaan tu. Sebelum ni saya pun berpandangan yang sama. Kadang-kadang beli barang peniaga kecil ni bukan sebab nak barang tu pun, tapi sebab kesian. Keluarga saya yang berlatar-belakang kerja kerajaan dengan segala bonus dan pencen, lebih-lebih lagi memandang peniaga kecil ini sebelah mata. Ayah cukup tak suka bila saya suarakan hendak berniaga sendiri satu masa dulu.

Tapi Allah beri saya peluang merasai sendiri jerih payah peniaga. Alhamdulillah, saya sangat bersyukur dan tak sangka rupanya berniaga sangat seronok. Walaupun cuma dua hari sahaja tapi saya dapat banyak, sangat banyak pengajaran dari kerja ni. Sebelum ni bukan tak pernah berniaga. Kat kolej dulu kalau ada karnival tu kami bergotong-royong juga berniaga buka gerai dengan kawan-kawan. Jualkan buku untuk persatuan pun pernah, ke hulu-ke hilir menghantar buku. Tapi bezanya kali ni saya sendiri yang buat semua. Dari keluarkan modal, membuat bahan, mengedar dan mengutip hasil. Pemacunya ialah desakan belanja. Waktu tu zakat belum masuk dan belanja di tangan semakin menyusut, nak tak nak kenalah fikir cara menyara diri sendiri. Alhamdulillah, hasilnya saya bukan saja dapat duit. Yang lebih penting dari tu ialah pengajaran.

Dengan bermodal lima puluh junaih (RM25) saya beranikan diri memulakan usaha. Mujur bahan mentah kat Mesir ni murah. Sasaran pengguna saya ialah pelajar perubatan yang sibuk belajar di kuliah dan tak sempat keluar makan tengahari. Kesian dengar diorang punya tough belajar tu. Jadi saya dapat mencapai dua matlamat : bekalkan makanan tengahari kat diorang dan diorang pulak tambah ekonomi saya. Alhamdulillah.

Awal-awal pagi saya bangun masak lauk dan nasi, bungkus dan hantar kepada seorang adik yang akan tolong jualkan di kuliah dia. Sepanjang hari saya tunggu dia balik dengan rasa khuatir memikirkan habis ke tidak nasi yang saya jual tu. Waktu menyediakan makanan, doa tak putus2 dalam hati moga diberi keberkatan atas usaha saya ni. Doa semoga makanan yang saya masak tu jadi rezeki yang halal dan baik untuk adik-adik. Doa kalau masakan saya tu tak sedap sekalipun janganlah sampai terbuang dan dibazirkan.

Selesai masak sesi pagi, saya rehat kejap dan mulakan kerja sesi petang pula - jual kuih karipap. Memandangkan tiada tenaga sokongan, jadi saya buat kuihnya besar-besar gedabak biar cepat habis. Dekat tiga jam juga berdiri mengelim bunga karipap. Siap digoreng, panas-panas saya bawa pergi round jual dalam asrama. Alhamdulillah semua habis.

Jualan nasi di kuliah Tibb pun habis. Alhamdulillah. Lega rasa. Satu hari tu saja dekat seratus genih pulangan saya dapat. Alhamdulillah.

Besoknya saya berniat tidak mahu berniaga lagi. Letih! Semalam satu hari saya duduk di dapur saja, solat pun dengan baju berbau masakan. Tapi memikirkan barangan mentah yang masih berbaki, saya gagahkan diri memasak untuk sehari lagi. Hari ni Nasi lemak telur mata kerbau. Telur sebiji okey, tak main la telur dadar kerat sepuluh! Then hasil hari tu habis semua macam semalam juga. Saya rasa bukanlah sebab saya masak sedap pun, tapi sebab memang adik2 tu yang lapar. Huhu.

PRAKTIS TEORI DI KULIAH.

Dalam dua hari saja saya berniaga ni, saya dapat gambaran jelas berkenaan teori-teori pengurusan mal (harta) yang selama ini dipelajari di kuliah. Banyak benda yang bermain dalam fikiran saya bila perkara yang saya pelajari di kuliah Syariah cuba disesuaikan dengan amali di dunia sebenar. Memang berniaga bukan mudah. Sebab itulah para ulama' sangat tegas meletakkan garis panduan untuk menjaga maslahat dua pihak - peniaga dan pengguna. Watak yang paling saya ingati dalam dua hari berniaga ni ialah Imam Abu Hanifah, Nu'man bin Thabit radhiAllahu'anhu. Saya sangat teringatkan beliau kerana beliau adalah seorang peniaga, selain dari tugasnya sebagai obor umat. Patutlah Mazhab Hanafi terkenal lebih longgar dalam perbahasan harta, kerana Imamnya sendiri adalah seorang saudagar yang merasai sepak-terajang perniagaan dan meneliti segala masalahnya dari dalam. 'Loggar' di sini bukanlah maksudnya bermudah-mudah. Tetapi longgar kerana meraikan maslahat orang awam, supaya tercapai matlamat Syariat Islam ini sebagai cara hidup bagi seluruh alam tanpa mengira bangsa dan budaya.

MENJUAL DENGAN SENTIMEN PEMBELI

Sewaktu saya menjual, saya sedaya-upaya cuba mengekalkan sentimen pengguna dalam diri. Mengapa? Supaya saya tidak tamak dan dapat menyediakan yang terbaik kepada pembeli. Sepanjang hidup ini saya sudah beribu kali terkena dengan peniaga tamak yang menjual barangan tidak seberapa dengan harga mahal. Justeru saya tidak mahu mengulanginya saat saya sendiri berada di posisi peniaga. Sebagai pembeli, saya sukakan barangan berkualiti walaupun harganya sedikit mahal. Jadi begitu juga yang saya buat bila saya berniaga. Dari sudut kebersihan, kuantiti dan rasa, saya usahakan supaya berbaloi. Saya pernah lihat depan mata seseorang membuat karipap pusing untuk dijual. Saiznya hanya sebesar tiga jari, kempis tak berisi tapi dijual dengan harga satu pound. Walaupun dalam hati kata tak patut tapi kat mulut senyum je la kan...kawan kita sendiri.

Tipulah kalau tak ada terdetik langsung rasa tamak dalam hati. Sehari berniaga dapat seratus! Tak juling bijik mata?! Tapi saya cuba belajar dari kerajinan orang Cina. Biar bermula dengan sedikit dan lambat, asalkan kukuh dan bertahan lama. Lebih dari itu biarlah berkat....walaupun sedikit.

MENGIKIS SIFAT BOROS

Saya ni pemboros dari kecil lagi. Tapi Alhamdulillah dengan berniaga ni dapat mengekang sikap boros saya. Terus hilang selera nak beli benda-benda yang saya sangat suka sebelum ni. Saya fikir juga kenapa berniaga berjaya mengubah saya secara tiba-tiba? Sedangkan saya sudah berusaha selama bertahun-tahun untuk mengekang sikap boros ni. Rupanya ia adalah perubahan mindset. Bila mula berniaga saya asyik memikirkan cara menambah untung dan mengembangkan hasil, bukan lagi memikirkan benda-benda untuk memuaskan hati saya. Di situlah suisnya yang saya cari-cari selama ni. Membuang duit - lawannya ialah - mengumpul duit!

Jadi kalau ada anak nanti saya hendak ajar diorang berniaga. Supaya diorang tahu susahnya usaha bukan untuk memenuhkan perut sendiri sahaja.

BERNIAGA AMALAN SUNNAH


Ada satu hadis Nabi s.a.w yang terkenal mengatakan 9 per sepuluh rezeki datangnya dari berniaga. Rezeki di situ saya suka menterjemahkannya kepada makna yang lebih luas. Bukan terbatas kepada rezeki berbentuk wang sahaja, tapi rezeki dapat pengalaman, dapat travel bagi yang berniaga jauh, dapat mengekang diri dari pembaziran, semua adalah rezeki yang selalu manusia terlepas pandang. Paling utama ialah bila kita sentiasa bergantung kepada Allah dalam usaha kita, itu adalah rezeki tak ternilai yang bukan semua orang dapat menikmatinya. Ya, mentaati Allah dan bergantung kepadaNya juga adalah rezeki.

Dan saya dapat merasainya. Alhamdulillah...saya harap dapat merasainya lagi kelak :)

BERNIAGA - JAWATAN KOSONG YANG SENTIASA TERBUKA

Kebetulan saya berniaga ni sementara menganggur tunggu keputusan periksa. Saya dapat lebih menghayati bagaimana masa saya terisi dengan perkara yang bermanfaat dan mendatangkan hasil. Terlintas di minda yang berniaga ni pekerjaan yang sentiasa available. Kita boleh jual apa yang kita suka, di mana yang kita suka, dengan berapa pun modal yang kita ada. Budaya niaga di Malaysia yang seolah2 mewajibkan berniaga tu mesti buat pinjaman sebenarnya hanya membunuh daya juang individu. Berniaga sebenarnya mudah. Dengan modal kecil pun boleh berniaga, asalkan ada usaha dan tawakal kepada Allah.

Masyarakat miskin di Mesir ni mengajar saya bahawa berniaga tu mudah. Tak perlu bajet besar, jual tisu di tepi jalan pun boleh mendatangkan hasil. Sebab tu di Mesir ni boleh nampak terlalu ramai peniaga kecil merata-rata di tempat awam. Kalau di Malaysia mungkin kita selamba panggil diorang pengemis. Tapi sebenarnya tidak. Diorang berniaga, walaupun cuma gula-gula dan chewing gum. Orang-orang muda berbadan tegap dengan wajah kacak tiada istilah malu menolak troli menjual surat khabar. Hatta kanak-kanak yang tiada modal berniaga pun cukup membawa tuala mengelap cermin kereta untuk mendapatkan upah. Inilah budaya niaga kecil-kecilan yang sangat rancak di Mesir, memberi sejuta pengajaran bermakna kepada saya.

Dua hari saja dapat berniaga. Lepas tu bila balik ke Alex tak dapat menjual dah sebab sasaran pembeli tak ada. huhu. Kesian juga adik2 tanya "Kak, tak ada nasi ke harini?". Saya tau diorang lapar. Tapi saya nak stay Kaherah lama2 pun tak boleh, bukan tempat saya.

Setiap kali tengok orang jual aksesori kat laman Kuliah Banat Kaherah, saya rasa geram nak duduk sekali kat situ jual nasi. Kalau ada orang Melayu yang sanggup berniaga macam tu kan bagus. Tak ada la doktor2 masa depan kita kelaparan nak belajar setiap hari. Sian diorang.
Apakan daya...

9 ulasan:

  1. Bismillah. LIKE! Sekarang sy setuju dengan kenyataan " Kalau orang kata kita lahir dengan 'qarin', maka 'qarin' saya ialah PEN".

    IN syaAllah, Semoga awak sentiasa di redhai Allah. AMin2.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Assalam saudari..
      Tahniah..bertambah ilmu saya sbgai peniaga..saya juga mengusahan bisnes dari rumah secara kecil kecilan sambil berkejar2 dgn kesibukan menguruskan anak dan rumahtangga..alhamdulillah..ada kberkatan dan kpuasan.

      Padam
  2. Assalamualaikum

    Wah! Seronok kan bisnes?! Tak sgka jumpa blog pelajar Mesir. Saya pun ada 2 org adik di sana. Kulliyah tib Dan kuliyah ulum. Haha!

    Saya pun berniaga juga. Jemput dtg ke blog utk lihat koleksi kami.

    Tshirt Muslimah yg sweet
    Wideshawl limited design (labuh confirmed!)
    Anak tudung cotton selesa
    Shawl cotton Turkiye
    Dan berbagai lagi..

    Jemput ya! ;)

    Wafaswear

    Moga sukses selalu!

    BalasPadam
  3. sy suka baca blog adeq ni seb sy pon suro ank bizniss kecil kecilan,dan kdg2 sy pon tlg, bnyk pengalaman dn pengajaran nya, kita imprufkn apa yg kurang dan dpt elakkn drp sifat boros mcm adeq ckp kan tu, memang betol sgt.walau pun untung sikit tp redho jer dengan rezeki Allah, mudah2an lama kelamaan akn berkembang maju, yg penting usaha doa dan tawakkal..

    BalasPadam
  4. blog yg best di baca dan santai..

    BalasPadam
  5. berniaga memang best sbb kita boleh tingkatkan skill komunikasi kita dan kita diajar berdisiplin secara x langsung.bagi saya berniaga ni macam main game.sentiasa memikirkan strategi kreatif dan bersaing secara sihat degan pesaing.yang bestnya income sentiasa ada perubahan.x macam makan gaji income susah nak naik.ada orang makan gaji kerja dari sebelum terbit matahari sampai lewat tengah malam,gaji beribu tapi kalau bisness sendiri pada kadar kerja bukan saja beribu malah siap tingkatkan ilmu perniagaan lagi..silalah berkunjung ke blog saya www.rayflexs.blogspot.com jika sudi

    BalasPadam