Jumaat, 28 Disember 2012

Saidina Abu Ayyub Al-Ansori

Kita biasa dengar kisah tentang Saidina Abu Ayyub Al-Ansori menjadi tuan rumah kepada Nabi s.a.w apabila Baginda berhijrah ke Madinah.

Dalam muhadharah baru-baru ni Syeikh ceritakan MENGAPA RUMAH SAIDINA ABU AYYUB TERPILIH UNTUK DIDIAMI BAGINDA.

Kisahnya ialah berkenaan niat suci seorang Arab Yaman bernama Tubba'.

Beliau mendengar bahawa seorang Nabi akhir zaman akan dibangkitkan dan akan mendiami Yathrib. Lalu beliau berpindah ke Yathrib dan membeli sebuah rumah di situ lalu berdoa; "Ya Allah, mudah-mudahan rumah ini akan menjadi kediaman Nabi akhir zaman bila Baginda berpindah ke sini kelak".

Tahun demi tahun berlalu. Tubba' meninggal dunia sebelum sempat menemui Nabi akhir zaman yang dinantikan. Zuriatnya lahir dan wafat. Hinggalah pada masa zuriatnya bernama Khalid bin Zaid r.a, Nabi akhir zaman itu pun bangkit dan berhijrah ke Yathrib seperti yang dijanjikan dalam kitab-kitab terdahulu. Allah mengilhamkan kepada Qaswaa', unta Baginda untuk berhenti di hadapan rumah pusaka Tubba' supaya Nabi akhir zaman ini turun mendiaminya.

Nabi akhir zaman itulah Nabi kita Saiyiduna Muhammad sollAllahu'alaihi wasallam dan zuriat Tubba' yang bertuah itulah sahabat Baginda, Saiyiduna Abu Ayyub, Khalid bin Zaid Al-Ansori radhiyAllahu anhu.

Inilah sebabnya rumah Saiyiduna Abu Ayyub r.a terpilih untuk didiami Nabi s.a.w. Ia bermula dari niat yang baik dari seorang insan yang baik.

Di akhir kisah, Syeikh menyebut: "Niat yang baik tak akan dipersiakan Allah. Lihatlah, walaupun selepas beberapa generasi berlalu ia tetap ditunaikan".

Meremang bulu roma, bergenang air mata saya mendengar kisah ni. SubhanAllah wabihamdih....
Allahumma solli 'ala Saiyidina Muhammad wa 'ala aalihi wasohbihi ajma'iin.

Baca lagi kisah Saidina Abu Ayyub Al-Ansori di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan