Ahad, 14 Oktober 2012

Kebangkitan Islam Di Eropah – Antara Realiti dan Mimpi Ngeri



Kurun ke 21 menyaksikan kebangkitan Islam yang pesat di merata dunia. Benua Eropah antara yang paling hangat merasakan kesannya. Jika kebangkitan Islam di timur lebih menumpukan kepada spek pengamalan syariat, di belahan dunia barat pula Islam mendapat tempat di hati insan-insan yang kekosongan jiwa dan mencari lmpu buat menyuluh kehidupan.  Artikel kali ini memfokuskan kebangkitan Islam di Barat yang amat menarik untuk diteliti.

FAKTOR KEBANGKITAN

                Kebangkitan Islam di Eropah tidak terjadi dengan sendiri. Ia dicetuskan oleh beberapa situasi yang melanda benua Eropah beberapa dekad sebelum itu. Dengan lambakan hiburan, desakan keperluan hidup dan persaingan meraih pangkat dan status dalam masyarakat melahirkan sistem kehidupan yang celaru di sana. Walaupun zahirnya masyarakat mereka kelihatan teratur (bahkan lebih hebat dari masyarakat muslim sendiri) namun dek kekontangan spiritual akhirnya segala pembangunan dilihat kosong tak bererti. Pasca tragedi 911, Islam mula dikenali secara meluars di dunia barat. Walaupun media meletakkan label yang buruk-buruk kepada agama suci ini namun masyarakat Barat yang gemar mengkaji akhirnya menemui intisari sebenar di sebalik gambaran Islam yang diwar-warkan.
                Di sebalik nama-nama besar seperti Yusuf Islam, Michael Jackson dan Kristiane Backer, penduduk Eropah yang memeluk Islam sebenarnya sedang bertambah melebihi jangkaan. Data terbaru menunjukkan anggaran bilangan muslimin di Eropah kini berjumlah hampir  50 juta orang, iaitu 4% bilangan keseluruhan penduduk benua Eropah. Antara yang terbanyak menampung penduduk muslim ialah Bosnia dan Turkey di Eropah Timur manakala Perancis, Jerman dan United Kingdom di Eropah Barat. Trend memeluk Islam di kalangan warga Eropah kebiasaannya disebabkan perkahwinan antara muslim dan bukan muslim selain pertimbangan intelek dan feminisme. Tetapi kebelakangan ini trend ini mula berubah kepada memeluk Islam kerana mencari pengisian jiwa dan ketenangan spiritual.

ISLAM DALAM SEJARAH EROPAH

                Menyoroti catatan sejarah, kita maklum bahawa Islam telah bertapak di Benua Eropah seawal kurun kelapan Masihi dengan ketibaan angkatan prajurit Islam pimpinan Panglima Thariq bin Ziyad ke selatan Sepanyol. Dengan berdirinya Negara Andalus di sana, Eropah telah menerima suntikan ilmu dan dan kemajuan yang merubah seratus-peratus wajah mundur benua itu hingga menjadi sehebat Eropah yang ada sekarang. Emma Hartley, seorang wartawan senior di Eropah menulis dalam bukunya, Eropah: 50 Fakta Yang Perlu Diketahui bahawa “Eropah takkan wujud tanpa Islam”.
                Kenyataan ini sangat tepat bagi menggambarkan sumbangan Agama Islam kepada benua Eropah dan seluruh penghuninya. Jika tidak kerana tamadun ilmu yang berdiri di Al-Andalus, Eropah akan kekal berada dalam kebodohan dek cengkaman gereja yang memisahkan urusan agama dari kemajuan dunia. Al-Andalus bukan saja menjadi jambatan yang menghubungkan pengetahuan Timur dan Barat, bahkan menjadi ‘replika’ ajaran Islam yang cintakan kedamaian, menghargai persamaan dan meletakkan akal manusia ke tempat yang selayaknya.
                Sesetengah sejarawan Barat dan Timur menyebut Al-Andalus sebagai tamadun yang dibina bersama oleh Muslimin dan Yahudi. Ia adalah kenangan manis buat bangsa Yahudi betapa mereka telah mendapat pengiktirafan dan menikmati kemajuan intelek di bawah naungan Islam. Jabatan-jabatan kerajaan di Andalus diisi bersama oleh Muslimin dan Yahudi, bahkan Al-Andalus turut membuka gerbang universitinya kepada penuntut ilmu dari seluruh dunia tanpa mengira latar belakang agama mahupun bangsa. Dengan kemajuan ilmu pengetahuan dan toleransi yang diamalkan di Andalus, benua Eropah menerima impak besar yang memacu kebangkitan mereka hingga menjadi kuasa yang disegani pada hari ini.

EURABIA – MIMPI NGERI ISLAMISASI EROPAH

                Namun bagi segelintir bangsa Eropah, kebangkitan Islam di sana dianggap satu bencana yang memudaratkan. Walaupun kadar pertumbuhan umat Islam amat sedikit ia tetap dikira ancaman yang perlu dibanteras. Gisele Littman, penulis British berbangsa Yahudi telah menulis satu teori penguasaan Islam ke atas Barat dengan menggambarkan bahawa ia didalangi pemimpin komunis haluan kiri Eropah. Dalam bukunya bertajuk: EURABIA – The Euro-Arab Axis beliau menuduh Islam menjadi punca tersbarnya sentimen anti-Amerika dan anti-Semitik di Eropah kini. Penulisannya mencetuskan kebimbangan tak bertempat di kalangan masyarakat Eropah yang tidak mendapat maklumat tepat mengenai Islam.
                Ekoran itu lahirlah tindakan-tindakan ganas terhadap umat Islam di sana. Antaranya larangan berhijab di Perancis, penyiaran karikatur menghina Nabi s.a.w yang tak berkesudahan di Denmark, pembunuhan Syahidah Hijab, Almarhumah Marwa El-Sharbini di Jerman, serangan ganas di Norway, pembakaran masjid di United Kingdom dan lain-lain kes yang tidak mendapat liputan media. Muslimin baik yang merantau dari luar Eropah mahupun penduduk asal benua itu yang memeluk Islam menerima kesan langsung atas situasi yang berlaku.
                Tidak dinafikan, sikap muslimin di dunia Timur sendiri menyebabkan salah tanggapan ini berlaku. Jika diteliti lontaran idea para pendukung teori Eurabia ini, jelas sekali mereka menjadikan keganasan dan sikap buruk Muslimin di Timur sebagai asbab untuk mereka membenci dan menentang kehadiran Islam di Barat. Umat Islam Timur yang mudah melatah dengan mainan isu, pantang dicuit terus terlompat menjerit di jalanraya menjadi bahan ejekan dalam media mereka di Barat. Ucapan-ucapan pemimpin Islam yang ekstrim baik di Asia mahupun Afrika turut dijadikan dalil bahawa Islam menangani segala-galanya dengan keganasan. Dalam dunia tanpa sempadan kini, tanpa disedari kesilapan segolongan manusia di tempat lain menyebabkan insan di tempat lain pula menerima bencana.

MENUJU AL-ANDALUS KEDUA

                Meskipun dilimgkari keserabutan yang tak kunjung reda, namun harapan buat Islam sentiasa menyala di Eropah. Kekosongan jiwa insan yang mencari dahan berpaut akhirnya akan tetap akur akan kebenaran wahyu Sang Pencipta. Islam di Eropah benar-benar kembali ke titik asalnya sewaktu diturunkan ke dunia. Tanpa sebarang pangkat dan kuasa, dakwah Islam menyebar damai dengan usaha halus dan akhlak mulia yang dipamerkan saudara-saudara kita di sana. Muslimin di dunia Timur sepatutnya menyokong usaha ini dengan kembali berpegang dengan ajaran agama yang sebenar. Bukan saja pada pengamalan Syariat, yang lebih penting dan terutama dari tiu ialah pemurnian Akidah dan Akhlak seperti sabda Baginda s.a.w mafhumnya, “Sesungguhnya aku dibangkitkan untuk menyempurnakan Akhlak”.
                Dwngan usaha berterusan dan bersepadu antara Muslimin di Timur dan Barat, cahaya Islam akan kembali memancarterang bukan sahaja di Eropah, bahkan dunia seluruhnya. InsyaAllah.

Khamis, 4 Oktober 2012

Antara Sihir dan Kanser

Terkesan dengan pemergian seorang sahabat baru-baru ni buatkan saya keburu memikirkan kaitan antara sihir dan kanser. Sihir yang selama ini dikatakan sebagai penyakit spiritual, adakah boleh menyebabkan mudharat nyata kepada fizikal?

Jauh sebelum itu sewaktu saya berada di tahun satu, persoalan ini sudah timbul ekoran gangguan makhluk halus yang dialami seorang sahabat lain. Gangguan tu menyebabkan dia pening, sakit perut dan hilang kawalan otak. Waktu itu saya sudah mula percaya yang makhluk halus memang boleh menguasai jasad manusia. Tapi kali ini bila menyebabkan kematian, saya semakin terdesak hendak mengetahui hubungkaitnya.

Di mana sendi penghubung antara jasad manusia dan makhluk halus?
Bagaimana fenomena gangguan makhluk halus ni hendak dijelaskan secara saintifik?
Mengapa Allah mengatakan yang al-Quran adalah penyembuh bagi mukmin? Adakah ia boleh menyembuhkan penyakit fizikal seperti kanser?
Mengapa Rasulullah s.a.w mengatakan syaitan berjalan dalam tubuh manusia mengikut saluran darah?
Bagaimana sihir meyebabkan kanser secara saintifik-nya?

Semua ni berlegar2 dalam kepala dan buat saya tak boleh duduk diam nak cari jawapannya.
Ya Allah Ya Hakimun Alim, berilah jawapan....

Macam mana pun, generasi zaman ni bernasib baik sebab saintis dah mula menerima kewujudan alam ghaib. Dalam cabang sains dipanggil metafizik. Metafizik ni ikut yang saya faham, ia mengkaji perkara di sebalik fizikal. Yang saya faham la, kalau salah sila betulkan.

Jadi melalui cabang metafizik ni banyak benda halus mula dikaji dek saintis. Kat situ terkaitlah sekali String Theory, Parallel Universe dan yang sewaktu dengannya. Satu lagi ialah Noetic Science yang mengkaji minda, fikiran dan roh manusia. Walaupun cabang ni mula dikenalkan lewat novel dan bukan jurnal ilmiah, tapi ia memang ada dan sedang dijalankan secara kecil-kecilan kerana ia masih dipertikaikan oleh komuniti sains. Noetic Science ni ibaratnya melawan adat sains apabila cuba menerobos masuk ke sempadan spiritual yang tidak diakui oleh dunia sains janaan Darwin.

Tapi bagi saya sebagai muslim yang mempercayai kewujudan ghaibiyaat, cabang metafizik dan noetic ini sangat membantu dalam menjelaskan satu lagi kebesaran Allah. Saya tahu barat mengkaji dua cabang ini dalam misi khidmat kepada dajal, tapi secara tak langsung ia membuka jalan kepada mukmin untuk mengenali sisi spiritual dari Al-Quran. Melalui dua cabang ni kita turut mendapat ilmu bagaimana 'dunia halus' dapat dijelaskan dengan sains, seterusnya kita dapat faham dengan lebih jelas bagaimana Al-Quran dapat memberi kesan penyembuhan secara fizikal kepada jasad manusia. Dapat faham bagaimana Al-Quran sememangnya diturunkan untuk memerangi syaitan.

Jika selama ni perlawanan antara syaitan dan cahaya hanya terkandung dalam mitos-mitos samawi, tak lama lagi ia akan dapat difahami scara nyata melalui Metafizik dan  Sains Noetik. Subhanallah, saya rasa teruja. Wa makaru wa makarAllah, wAllahu Khairul maakiriin.....

Mungkin tulisan ini cacamarba berterabur topiknya. Maaf, kerana saya memang sangat serabut dan tidak dapat menyusun dengan betul ^_^"

Syukur saya dikurniakan rasa cinta sains yang mendalam. Walaupun saya tidak dididik dengannya, tapi saya harap belum terlambat untuk saya terjun menyelongkar dunia yang menakjubkan ni. Sekarang saya bersyukur dan mula faham kenapa Allah memberikan saya Al-Quran dan membiarkan minat saya ketepi. Rupanya sains dengan bimbingan Al-Quran kelihatan sangat jelas, sangat terpandu dan terasa ruhnya meresap ke hati. Subhanallah wa bihamdih...

Saya hendak gali cabang baru ni. Mudah-mudahan terpandu dengan redhaMu Ya Allah.