Ahad, 29 Disember 2013

Bila Sampai Soal Jodoh........

Kawan-kawan, harini saya tak tahu nak ketawa atau apa.
Susah betul ye bila usia dah meningkat. Selama ni cuma baca novel orang sibuk pasal jodoh, sekarang saya pulak berhadapan masalah yang sama.
Orang tua ni kan, memang tak tenang agaknya selagi anak dia tak kahwin.
Masalahnya orang tua sendiri bergaduh dari muda sampai ke tua, macam mana anak-anak nak berfikiran positif pasal perkahwinan?

Ayah berkenan dengan sorang budak yang ayah jumpa di masjid.
Graduan Al-Azhar Tanta.
Guru KAFA. Orang Johor.
Tak pasal-pasal ajak datang rumah, kenalkan dengan abang dan ibu.
Ayah memang gitu, kalau benda dia dah suka, dia rembat je tak kira apa orang cakap. Sampai budak tu terkulat2. Cepat2 bagitahu yang dia akan balik menetap di Johor. Biar ayah faham yang dia tak nak jadi menantu ayah.
Tu cerita sebelum saya balik la.

Datang musim buah, tiba2 ajak budak tu datang ambik rambutan. Budak tu datang jugak la bawak sorang kawan dia. Takkan nak tolak pelawaan orang tua kan.
Nasib baik saya takde kat rumah waktu tu.

Hari ni katanya nak suruh datang lagi ambik rambutan (padahal aku tau galah dah hilang, nak ambik cemana ntah?). Sebelum ambik rambutan nak sarapan dulu sama2.
Hahahaha mujur tak datang. Alhamdulillah.

Selama ni saya selalu melawan ayah. Saya tak boleh sabar dengan baran dia. Ni la baru nak belajar sabar. Maklum la saya sniri pun umur dah meningkat. Sampai bila nak hilang sabar?

Tapi ayah buat macam ni pulak, nak sorong2 saya kat orang. Ingat saya takde muka ke? Saya takut saya jadi memberontak macam dulu. Takut pecah benteng kesabaran yang saya bina sejak lima tahun berkelana di Mesir.

Saya bisik pada hati, it's gonna be okay. Budak tu awal2 dah cakap tak nak, so takde apa yang perlu kau takutkan. Buat selamba je la macam kau tegur kawan2 kursus kau semalam.

Then ayah tak tau saya tak suka budak Mesir. Saya dah duduk sana, saya tahu macamana kepala otak budak Malaysia di Mesir.
Saya tak nak, tak suka.
Saya juga tak nak kahwin dengan orang yang lebih muda dari saya. Lelaki ni dah la lambat matang. Saya sendiri pun tak berapa nak matang. Kawin dengan orang muda kang lagi la siksa.

Rasa nak dapatkan nombor telefon budak tu dan warning siap-siap jangan layan ayah saya. Saya pasti kalau dia kenal siapa ayah sure dia tak nak masuk dalam kuarga ni!
Hahaha.

Robbuna yusahhil. Robbuna yuslihul haal.
Selamatkan la saya Ya Allah dari disorong2 macam tong dram.
Mungkin ayah rasa terbeban dengan saya. Sebab tu nak lekas2 lepaskan saya kat orang.
Okey la mulai esok kita merayap cari kerja. Okeh.

(Aku dah dapat kerja sebelum ni tak kasi pergi!)
(Hmmm...)

Ahad, 22 Disember 2013

Saya Dan Dia, Entah Bila Dapat Bersatu

Antara kenangan lama yang masih maujud dalam simpanan.
Bukan bersatu dengan kekasih hati. Saya masih single available lagi.

Entah bila dapat bersatu dengan minat saya - menulis. Saya bercita-cita menjadikannya profesion, walaupun secara separuh masa. Saya fikir sudah tamat belajar inilah waktu saya merealisasikannya. Nampaknya semakin jauh dari gapai. Di blog sajalah, bila berkesempatan.

Seingat saya, saya mula menulis panjang sejak di tadika. Waktu tu mak andak pindah rumah. Saya tulis surat rindu kepada mak andak, meniarap sedih depan tv.

Masuk sekolah tahfiz, di usia sepuluh tahun saya mula menulis cerita pengembaraan. Waktu tu saya tak tahu bagaimana format cerpen. Ambik jalan mudah, saya buat cerita berbentuk dialog saja. Berbelas tahun lepas tu baru saya tahu rupanya format begitu ialah skrip drama. Darjah lima saya mula tulis cerpen. Agaknya waktu tu dah mula banyak membaca.

Sekolah tahfiz dulu2, kami hanya ngadap quran je. Parents kasi surat khabar pun kena rampas dek warden. So nak dapat baca buku harap waktu cuti yang dua kali setahun tu je la. Kalau muda2 dah masuk tahfiz macam saya ni, alamat memang xsempat kenal dunia. Itu tahfiz dulu la. Tahfiz sekarang lain.

Memang tension....... :D
Cerita yang saya tulis dapat sambutan kawan2. Diorang la tulang belakang saya. Sampai berpindah ke sekolah tahfiz yang lain.

Di RTA saya lebih rancak menulis. Maklum la dah meningkat remaja, idea dah macam2. Bacaan pun dah semakin banyak. Tulisan saya jadi rebutan yang ditunggu2. Belum habis tulis orang dah nak baca. Kadang2 saya tengah menulis pun member dah duduk depan untuk jadi orang pertama yang baca. Lepas dia baca, orang lain berderet2 menempah giliran. Lagi teruk bila saya mintak buku nak sambung tulis, diorang tak nak bagi sebab takut terputus giliran! Hahah tergelak sendiri mengingatkannya. Saya memang sayang diorang, kawan-kawan a.k.a peminat pertama saya. Mananya tak sayang, dengan xde sokongan keluarga mahupun warden yang xhenti2 merampas buku saya, kawan2 ni la penyokong setia yang buat saya terus bersemangat nak menulis. Tak peduli berapa kali buku kena rampas, tak kisah berapa kali kena denda sebab menulis waktu mengaji. Saya sayang korang, sangat2.

Hobi menulis cerita akhirnya jadi ikutan kawan2 lain. Muncul 4-5 penulis di asrama kami. Ada yang bawa idea sendiri. Ada yang meniru novel2 yg diorang pernah baca. Ada jugak yang tiru idea saya! Tapi saya tak kisah. Bagi saya karya asli orang akan tetap cari. Tak payah kalut nak marah orang ciplak idea. Lagipun saya menulis bukan kerana nak femes. Saya menulis sebab saya nak menulis. Sebab idea2 yang berserabut dalam kepala nak kasi tuang kat buku, biar quran pulak boleh masuk (poyo sket). Orang baca ke tidak, itu nombor 10.

Buku matematik pun jadi la!
Memang seronok bila kawan berkongsi hobi. Kami siap duduk semeja menulis sama2 (meja tu ialah katil kosong yang kami jadikan 'meja kerja') . Nak kasi over sikit lagi, kami gelar diri kami Novelist Association. Main bedal je, bukan tahu makna dia pun. Hoho. Kami ada empat orang waktu tu, besfren saya Fatehah, Kak Siti Nazihah dan sorang lagi saya lupa. Macam hebat je cerita kan? Padahal bukan tulis apa pun, kami cuma tulis cerpen merepek je. Waktu tu zaman kegemilangan sis Liyana Afiera Malik dengan bro Ahadiat Akashah. So sedikit sebanyak idea kami terkesan juga la dengan karya taiko2 ni.

Part yang paling susah bila nak menulis ialah mereka tajuk dan memilih nama watak. Sebab tu cerita saya dulu xpernahnya bertajuk. Nama watak dipikir sampai berhari2. Part tak cerdiknya pulak; bila idea  muncul dalam kepala saya asyik nak tersengih2 selagi tak ditulis. Waktu tulis pun boleh tersengih dan ketawa sorang2. Macam senget je. Tapi itulah, bila kita menulis dengan hati, masuknya ke hati juga. Apa yang saya tulis dengan tersengih dan ketawa, mesti kengkawan akan baca dengan tersengih dan ketawa juga. Kenangan...

Episod kelima. Buku lapuk dimakan usia :')
Sampailah kami dapat warden baru, Ustazah Asiah. Warden ni la satu yang menunjukkan minat dengan hobi saya. Walaupun tulisan saya pasal cerita merapu2 (mungkin ustazah baca buku2 saya yang kena rampas. hehe) tapi ustazah tetap menyokong dan sarankan saya kembangkan bakat. Ustazah suruh saya hantar tulisan ke akhbar. Tapi saya, budak mentah yang membesar dalam hutan tahu apa pasal menghantar karya? Saya tahu, menulis untuk lapangkan kepala je. Sebab bila idea datang, memang kepala rasa semak!

Masuk kolej, barulah peluang terbuka untuk saya hantar karya ke majalah dan pertandingan. Majalah kolej je la, bukan majalah apa pun. Sangat seronok bila puisi panjang lebar yang saya tulis tentang anak dan ayah memenangi pertandingan dan langsung di-deklamasikan oleh pengetua dan presiden persatuan pelajar. It feels sooooooooo goooooooooooood, lepas bertahun2 karya saya hanya mampu menyorok bawah tilam agar tidak dirampas warden. Alhamdulillah.

Sayangnya bila meningkat remaja tua, saya mula hilang kebolehan menulis. Entah di mana mulanya. Saya fikir sejak berpindah ke Pulau Pinang, waktu saya ditimpa stress bertimbun-timbun sampai waktu berangkat ke Mesir. Sejak tu saya dah tak boleh menulis lagi. Idea dalam kepala samar2. Bukak buku pegang pen, termenung dua-tiga jam lepas tu tutup buku tanpa hasil. Sedih sangat. Mungkin juga sebab saya pun dah kurang baca buku berBahasa Melayu, bila menulis langsung ayatnya macam sampah. Dah beli laptop saya cuba menulis dengan papan kekunci. Tak sedap. Rasanya tak sama dengan pen. Perasaan saya tak dapat mengalir, mungkin ditendang dek arus elektrik dalam laptop ni. Memandai je. Akhirnya saya menulis dengan pen dan taip semula. Baru sedap. Alang2 boleh mahirkan jari menaip pantas.

Bila dah takde idea, habis gitu je la. Padahal baru prolog.
Dah tahun tiga di Al-Azhar baru saya dapat asah balik. Dek terkesan dengan pengorbanan Rachel Corrie di Palestin, saya rakamkan kisahnya dalam cerita panjang. Lepas tu idea cerpen Tunggu Saya Di Syurga datang mencurah2 macam air terjun masuk dalam lubang telinga. Sakit kepala dibuatnya. Itulah kali pertama saya dihujani idea sejak beberapa tahun kemarau melanda . Agaknya sel2 otak yang dah lama hibernate tiba2 kena cas, gitu la jadinya.

Katanya, keluarga saya yang sebelah ibu memang ahli2 karya. Ada yang menebar sayap di Dewan Bahasa & Pustaka, ada yang mewarna pelangi di The New Strait Times. Ada juga yang mengumpul anugerah di sekolah saja, tak mahu diteruskan. Ada yang jadi penterjemah sambilan. Ada yang menubuhkan yayasan memulihara kitab2 turath Alam Melayu. Apapun saya bersyukur menjadi pewaris ahli2 karya ni dan bukan Waris Jari Hantu (keke....) Menulis ni memang kerja mulia, sebab diorang ni merakam ilmu dan maklumat untuk tatapan generasi seterusnya. Cuma agak sedih bila tengok sekarang ni banyak sungguh novel2 picisan membanjiri dunia penulisan tanahair. Tak salah nak menulis, cuma bagi saya penerbit tak patut la bersikap tamak menerbitkan apa jua karya tanpa memikirkan kesannya kepada minda pembaca.

Jika kita zaman ni berbangga dengan karya golongan tua yang penuh semangat patriotik, apa agaknya anak cucu fikir bila baca karya kita zaman ni? "Oh, atuk nenek kita dulu bercinta je kerjanya!". Oh tidak... Tapi apa boleh buat? Bak kata bro Zahiruddin Zabidi, "Dunia penulisan tanahair sekarang ni adalah pertembungan antara karyawan dan kapitalis". Gitu la bunyinya. Sesetengah karyawan yang ideanya bagus tapi tak popular, terpaksalah terbit buku sendiri kalau nak tengok karyanya sampai kepada khalayak.

Apapun, minat menulis saya tak pernah padam. Bahkan saya tengah survey nak terbit buku sendiri. Syukur sangat pengalaman pegang unit penerbitan di Mesir dulu banyak mengajar saya proses nak terbit buku. Mungkin saya ni serius sangat, tapi bagi saya: 'karya saya ibarat anak saya'. Berat hati sungguh nak jadikannya alat mengaut keuntungan oleh pihak lain. Saya lebih rela karya saya dibaca percuma daripada dijadikan mesin duit. Mudah2an, suatu hari nanti, hasrat ni akan tercapai. Amin.

~Walaupun realitinya masih jauh, saya dah terbayang muka 'penyokong2 lama' yang saya nak bagi buku percuma!





ZAHRAH DE TIGRIS


Novel yang hidup.

Ini je yang dapat saya simpulkan. Walaupun kaver depannya tak ka-boom macam novel2 keluaran Alaf, tapi isi dalamnya lebih dari meletup. Tak rugi mengorek handbag bagai nak rak, mencari seposen untuk mencukupkan 20 ringgit membeli novel ni. Berhari-hari menyedut novel ni macam mengulum baklava-si halawiyat sarang burung. Sedap, manis, lively. Rasa macam terbang ke Baghdad, negara di mana latar cerita berdiri.

Buah tangan sulung Kak Khairyn memang ho liao!

Puji melangit ni apa ceritanya? Jangan bayangkan babak heroin pengsan dan hero bawak pergi hospital ye. Memang xde. Novel ni nampak je comel dengan teddy bear tergolek kat depan tu. Tapi di dalamnya penuh dengan bom-peluru-debu-darah-air mata yang berterbangan di Baghdad pada waktu kemuncak pendudukan Amerika.

Kisahnya tentang Nisa, pelajar Malaysia di Scotland yang terbang ke Iraq untuk menjadi guru kerana tertarik dengan tawaran gaji belasan ribu sebulan. Sampai di Baghdad dia terperangkap dalam peperangan dan langsung menyinsing lengan menjadi sukarelawan di hospital. Dalam sayu hiba peperangan, Nisa menyulam cinta dan persahabatan dengan insan-insan berhati mulia yang ditemui. Akhirnya Nisa pulang ke tanahair selepas dua insan kesayangannya terkorban dalam kes penculikan bersenjata di sana.

Tapi kisahnya belum berakhir. Perjalanannya menjadi sukarelawan tsunami di Acheh selepas itu membuka lembaran baru yang lebih indah, lebih manis dan tak terduga.

Apa yang 'asli' dalam novel ni ialah gambaran peperangan di Baghdad. Sebagai bekas wartawan, Kak Khairyn melakarnya dengan sangat hidup. Setiap ceruk Baghdad yang suram dan sedih buat saya terbayang bangunan2 hangus dek revolusi di Mesir. Kisah pilu tragedi Amiriya pada malam 14 Febuari juga buat hati meruntun. Mesej kemanusiaan boleh dikutip dari mana-mana bahagian novel ni tanpa perlu ditulis dalam bentuk esei panjang. Kak Khairyn memang karyawan sejati yang berkarya untuk membina manusia dan bukan semata2 mengaut royalti.

Tapi awas, susunan ceritanya tak mengikut urutan masa dan lebih mencabar lagi bila dicampur dengan catatan blog. Kalau tak peka mencantum peristiwa alamat cicir la. Memang tak kasi pembaca tido gamaknya.

Good job, sis! BarakAllahu fiik!

~Novel ni cetakan 2007. Tak tahu masih ada dalam pasaran atau dah licin. Kalau jumpa, ada duit lebih, korang boleh la beli. Memang lain dari lain!

Blog Kak Khairyn boleh diakses di sini.

Khamis, 19 Disember 2013

Kehidupan Pelajar Malaysia di Mesir IV–Kaleidoskop.

Sebelumnya : Pergi Lebih Jauh

Satu wadah pelbagai warna. Itulah sebab saya namakan ‘waktu itu’: Kaleidoskop.

BIRU

BKAWM ni satu BKAN yang unik. Macam bandaraya KL yang dipenuhi ‘pendatang’ dari negeri-negeri lain seluruh Malaysia, begitu juga BKAWM didukung oleh pelajar dari BKAN lain. Sebabnya di Malaysia, sekolah agama di Wilayah Persekutuan sangat sedikit. Jadi pelajar2 dari Wilayah Persekutuan terpaksa berhijrah ke negeri lain untuk bersekolah agama. Ramainya di Kelantan, Kedah dan Selangor. Bila diorang datang ke Mesir, diorang akan ikut sekolah diorang dan tak ramai yang nak menyertai persatuan negeri sendiri. Mana yang datang menyertai BKAWM biasanya dah berpengalaman terlibat dengan BKAN lain sebelum itu. Jadi gabungan idea dan pengalaman antara kami mebuatkan suasana bekerja jadi menarik dan lebih seimbang. Sesetengah BKAN lain mungkin terlalu tegas mengawal ahli tapi kami di BKAWM nak tak nak kena pandai tarik tali. Hubungan dengan semua pihak mesti dijaga, terutamanya antara dua penaung kami – PMRAM dan MAIWP.

HIJAU

Namanya di Mesir, bukanlah bebas dari masalah sosial. Jika sebelumnya kami selesa dengan sesama pelajar pengajian Islam, tahun 2009 membuka lembaran baru bila pelajar yang datang majoritinya mengambil kuliah perubatan. Pelajar2 ni rata-ratanya tidak berlatarbelakangkan sekolah agama. Terkejut juga kami bila menyambut ketibaan mereka tengok pakaian masing2 dengan jeans ketat dan t-shirt sendat. Yang berpakaian sopan pun ada, tapi tak ramai.

Lantas, tugas kami pada tahun tu banyak tertumpu pada nak membentuk adik2 baru. Tapi adik2 ni pun memang bagus. Ramai yang sedia berubah mengikut tatatertib pakaian dan akhlak yang digariskan Islam. Ada juga yang susah nak berhijrah, itu semua bahagian masing2 yang ditentukan Allah. Apapun tugas kami ialah melayan semua dengan sama rata.

KELABU

Alhamdulillah di Kaherah, pelajar lebih mudah diurus kerana menetap dalam satu bumbung. Tapi di cawangan lain seperti Mansurah, saya dengar masalah sosial di sana teruk juga memandangkan jumlah pelajar pengajian Islam dan perubatan yang tidak seimbang. Saya tidak maksudkan pelajar perubatan semuanya bermasalah sosial. Tapi seperti yang dijelaskan di atas, ramai antara mereka datang dari sekolah biasa, jadi bila tidak dibimbing dengan betul mereka mudah tersasar di luar negara. Ejen-ejen penghantaran pelajar turut memburukkan keadaan. Demi nak mengaut duit, mereka tidak menapis pelajar yang hendak datang belajar tu adakah betul2 layak. Asalkan mampu bayar, boleh pergi. Segelintir mereka yang datang cuma nak merasa pengalaman duduk luar negara, bila sampai ke sini tidak belajar bersungguh2 langsung merosakkan nama baik pelajar lain.

Masalah pelajar tak bersungguh2 ni sebenarnya lebih ketara di kalangan pelajar Pengajian Islam. Ini disebabkan kelemahan kami yang tidak pandai menyesuaikan diri dengan sistem Universiti Al-Azhar yang tidak mewajibkan kehadiran kuliah. Cumanya pelajar pengajian Islam yang tidak belajar bersungguh2 ni mereka buat ‘kerja lain’ yang pelbagai. Apa benda ‘kerja lain’ tu tak perlu la saya tuangkan di sini. Apapun kesemua ‘kerja lain’ tu tersasar dari tujuan asal seorang pelajar, tak kisah la ia tersasar sikit atau banyak.

UNGU

Selain bertugas dalam unit dan asrama, kami juga memantau ahli BKAWM yang belajar di cawangan lain. Setiap dari kami dipertanggungjawabkan dengan satu cawangan. Macam saya dan seorang kawan exco perempuan, Cik SAHEERA ditugaskan memantau cawangan Iskandariah. Jadi bila ada program persatuan kami akan maklumkan kepada ahli yang tinggal di sana. Begitu juga bila mereka bermasalah dengan apa-apa yang berkaitan negeri, mereka akan mencari kami.

Ahli BKAWM di Iskandariah sebenarnya sangat sedikit. Tapi demi tanggungjawab, mesti juga adakan lawatan walaupun sekali dalam satu sesi. Nak mengatur pertemuan pula bukannya mudah, sebab pelajar di cawangan tinggal di rumah sewa dan masing2 ada program sendiri. Kalau lima orang dapat hadir pun dah rasa cukup beruntung.

Perjumpaan kami yang pertama dan terakhir kebetulan jatuh pada hari lahir seorang ahli. Kami membuat jamuan kecil-kecilan dan bertukar khabar berita sambil mempromosikan program yang akan berlangsung dalam masa terdekat. Paling saya ingati, seorang ahli yang sebaya dengan saya. Dia kurang berpersatuan kerana masanya penuh dengan pengajian di masjid bersama Syeikh Arab. Orang macam dia selalu kami panggil ‘budak talaqqi’. Tapi saya kagum kerana dia sudi luangkan masa dalam perjumpaan tu sebab biasanya pelajar2 talaqqi ni langsung menjauhkan diri dari persatuan. Mungkin Allah dah tentukan rezeki saya berjumpa dengan dia, kerana lepas tu bila saya jadi ‘budak talaqqi’, dia ni la kawan baik saya dalam kelas!

COKLAT

Antara program wajib persatuan pada setiap sesi ialah menganjurkan sambutan hari keluarga dan hari raya. Dua program ni dianggap program mega yang selalu dapat menarik ahli cawangan pulang berkumpul di Kaherah. Selain yang dua ni, program mega lain juga akan dianjurkan mengikut keperluan setiap sesi. Macam pada tahun 2008 sebelum saya naik menjadi exco, BKAWM menganjurkan sambutan ulang tahun 10 tahun (SEDEKAD). Dalam program selama tiga minggu ni saya terlibat sebagai AJK Unit Makanan. Lunyai! Memang tak sempat nak ikut pengisian pun sebab sepenuh masa berada di dapur. Demam pun rasa macam tak demam. Desakan kerja menuntut kami terus bergerak walaupun letih. Tapi SEDEKAD memang kenangan manis yang tak dapat dilupakan. Saya kenal dengan ramai orang2 yang sporting dan juga senior masa di Malaysia (Kak Anem, apa cerita la akak sekarang?).

Antara yang paling best dalam SEDEKAD bila saya dipertanggungjawabkan untuk mengurus jamuan VIP dari Malaysia. Sudahlah saya orang baru di BKAWM. Tak ramai kenal orang, stok pinggan mangkuk pun saya tak tahu diorang simpan kat mana! Tiba-tiba ditugaskan menyelia jamuan VIP memang buat saya gelabah. Mujur saya dibimbing seorang senior yang pakar. Dalam SEDEKAD itu dia ditugaskan di Unit Persiapan tapi dalam masa yang sama dia menjadi mentor saya merancang dan menyusun atur jamuan.

Saya ni dari kecik duduk asrama, bab protokol meja makan memang bawah tapak kaki la. Kat asrama dulu kalau tak ada sudu nak makan bubur, cedok la dengan jari! Tak ada pinggan nak buat alas makan Koko Crunch, guna buku pun boleh! Masuk rumah sewa pulak kalau rasa malas nak hidang lauk dalam mangkuk, angkut je kuali naik atas meja! Huhu. Macam tu la sempoinya saya masa DULU. Bila kena uruskan jamuan VIP ni baru la mata hati terbukak nak belajar protokol meja makan. Memang leceh, tapi sebenarnya ia ilmu asas yang penting juga untuk diketahui agar kita tak kekok nak bercampur dengan pelbagai golongan manusia.

Inilah penglibatan pertama saya sebagai penggerak program BKAWM sebelum dilantik ke barisan kepimpinan. Sekali lagi saya terlibat dengan sambutan VIP dari Malaysia ialah pada akhir 2010, sebaik saya turun dari kepimpinan. Kali ini saya diamanahkan menjadi Timbalan Pengarah 2 untuk majlis perasmian asrama Wilayah Persekutuan. Tugas tak adalah seberat di Unit Makanan, tapi dapat satu lagi pengalaman baru bila saya diminta menguruskan ucapan VIP.

Jika SEDEKAD menjadi pengalaman manis bagi saya, majlis perasmian asrama pula adalah kenangan pahit yang menyakitkan hati. VIP kami pada waktu itu ialah Pengerusi MAIWP, Dato’ Jamil Khir Baharom dan lain-lain pengiring beliau. Kebetulan sebelum kedatangan beliau, seorang mahasiswa telah ditamatkan pengajiannya dari Darul Iftaa’ Misriyah kerana masalah tertentu. Jadi pada hari perasmian, sekumpulan pelajar membuat demonstrasi kecil di depan asrama Wilayah untuk menyampaikan memorandum membela siswa tersebut.

Saya tak mahu mengulas tentang isu tu. Cuma minta awak bayangkan tetamu diserbu di depan rumah awak. Agaknya apa perasaan awak sebagai tuan rumah?

DSC00227

Saya memang terperanjat besar. Patutlah sebelum majlis berlangsung saya lihat ramai pelajar bukan Wilayah hadir ke situ. Mereka kawan-kawan saya juga. Saya bersalam dan bertegur sapa dengan mereka, saya layan mereka macam tetamu walaupun saya tak pasti adakah mereka dijemput. Rupanya mereka datang nak buat demo! Saya minta penjelasan dari pimpinan yang baru naik pada tahun itu. Diorang buat muka innocent. Saya pun tak berminat nak korek lebih dalam. Apa yang pasti saya sangat kesal dan kecewa dengan apa yang berlaku. Sampai sekarang pun bila diingat semula boleh naik marah.

Saya harap generasi cerdik pandai lagi terpelajar di Mesir ni suatu hari nanti akan lebih menghayati budaya Arab, betapa mereka amat menghormati tetamu walaupun yang datang itu adalah wakil musuh!

MERAH

Bila bekerja dalam satu pasukan, susah nak percaya kalau tak ada pergeseran. Mesti ada, walaupun sikit. Macam tu juga saya dan ketua yang kedua2nya bersemangat, tapi banyak idea dan sudut pandang berbeza. Mungkin kerana masing-masing masih mentah. Dia mentah dari segi umurnya. Saya pula mentah dengan budaya persatuan di Mesir. Bila berlaga ribut dengan taufan, baru separuh sesi kami dah meletup. Entah macam mana kami dapat bekerja dalam separuh sesi yang berbaki saya pun tak tahu la. Sedar2 dah habis tahun.

Tapi yang saya tak boleh lupakan kebaikan ketua saya, dia satu2nya yang stand-up waktu saya dimalukan dalam mesyuarat agung tahunan persatuan induk. Waktu tu kami membahas berkenaan masalah sosial yang meruncing di kalangan pelajar. Ada seorang senior yang lama terlibat dalam ‘operasi serbuan’ membahaskan tajuk hampir sejam. Tapi sepanjang waktu tu dia bukan mencadangkan penyelesaian, sebaliknya melondehkan satu demi satu kes yang pernah dihadapi. Tapi disebabkan dia orang lama, tiada siapa minta dia berhenti bercakap walaupun pengerusi mesyuarat. Tak ada siapa bangkitkan soal masa berjalan.

Selepas itu bangun beberapa lagi perwakilan ikut bahaskan. Saya tertarik dengan cadangan seorang perwakilan supaya si pelajar yang sudah ‘dicekup’ bersumpah takkan buat lagi.  Cuma terfikir…budak remaja yang tiada kesedaran dan lepas bebas dari kawalan keluarga, agaknya apa diorang peduli dengan sumpah?

Kemudian saya ikut bangun memberi cadangan iaitu menambahkan silibus tasauf dalam usrah kendalian persatuan. Tak sampai suku saya ulas cadangan tu tiba-tiba pengerusi mesyuarat membidas cadangan saya dan berkata, “Kita kat sini nak berbahas, bukan nak buat ceramah”. Dia minta saya pendekkan ucapan kerana kesuntukan masa. Di depan hampir 700 perwakilan dia ‘sound’ macam la saya merepek keluar tajuk. Sedangkan yang tadinya si polan melondehkan aib orang hampir sejam dia boleh diam saja. Memang tak faham. Memang malu. Tapi peristiwa ni antara yang membuka mata saya tentang cara berfikir mereka.

Lama lepas tu baru saya tahu rupanya segelintir golongan haraki ni anti dengan sufi. Patutlah bila saya bercakap tentang tasauf si pengerusi mesyuarat a.k.a presiden pada waktu tu langsung melenting!

Lepas mesyuarat dalam perjalanan balik ke asrama, si ketua sorang ni la hantar mesej dan comfort saya, sedangkan exco perempuan yang lain pun buat tak reti je. Kebaikan dia tu saya ingat sampai sekarang, walaupun lepas tu kami asyik berselisih faham sampai dekat hujung sesi.

KUNING

Dalam tegang waktu bekerja, kami ada juga waktu berseronok. Selain hari keluarga dan program2 santai bersama ahli, kami sesama exco pun turut merancang cuti sambil bekerja. Kami biasanya membuat mesyuarat bulanan di Kaherah. Jadi yang belajar di cawangan macam saya dan beberapa kawan lain mesti pulang ke Kaherah pada waktu mesyuarat dan program. Cuma pada sesi saya, julung-julung kalinya kami membuat mesyuarat di luar Kaherah, iaitu di Iskandariah. Sebab sebahagian besar exco perempuan belajar di Iskandariah dan kebetulan waktu tu jatuh pada akhir musim peperiksaan, jadi kami sepakat membuat mesyuarat di Iskandariah untuk meringankan exco yang belum selesai peperiksaan.

Sudah mesyuarat, apa lagi. Kami semua terjun laut! Ahli dari Kaherah yang dah habis imtihan pun ikut datang mandi laut, walaupun mereka tidak boleh menyertai mesyuarat. Memang seronok. Itu antara kenangan manis dengan kawan-kawan exco yang saya tak boleh lupa.

Catatan Kaleidoskop berhenti di sini. Panjang sangat menulis rasa bosan pulak orang nak baca. Tapi cerita saya belum habis lagi! Episod seterusnya Hitam Putih Pelangi menyusul lepas ni.

Terima kasih sebab sudi penatkan mata kamu. Moga bermanfaat Winking smile

Selasa, 17 Disember 2013

Kehidupan Pelajar Malaysia di Mesir III - Pergi Lebih Jauh

Assalamualaikum w.b.t.

Saya mulakan dengan salam sebab dah lama tak update blog. Rasa macam balik kampung jumpa keluarga yang lama terpisah. Alhamdulillah sekarang dah kembali ke tanahair. Betul2 dah balik. Banyak perkara menanti di depan tapi buat masa ni Ardhul Kinanah masih dalam ingatan. Sebenarnya saya dah hilang mood nak menulis. Berkali2 hati berbisik, ‘kalau tak catatkan semua kenangan tu kau akan lupa someday!’. Tak kisah la orang baca ke tidak sume repekan saya kat sini tapi yang penting saya dah ada arkib simpanan yang boleh diselongkar bila-bila nak.

Yang buat saya nak menulis semula ialah novel Zahrah de Tigris tulisan Kak Khairyn Othman yang merakamkan kisah seorang guru sukarelawan di Iraq. Memang best novel tu. Lain dari lain. Nanti dah habis baca saya akan buat review. Nak cari di pasaran? Tak tahulah masih ada ke tidak, sebab novel ni cetakan 2007. Kalau tak, tanyalah terus ke syarikat Jemari Seni.

Balik kepada topik, saya nak mengimbau cerita saya waktu tahun ke-dua di Mesir. Tahun ke-dua ni agak sensitif dan saya tak tahu macam mana nak putarkannya dengan baik tanpa menyinggung mana-mana pihak. Bak kata Prof. Bukhari Lubis dalam bengkel semalam, “Just tell, no need to show”. Cerita je isinya tanpa merujuk mana-mana pihak. Cemana tu ye? Kang jadi cerita wayang kulit la pulak. huhu.

Tak apalah saya yakin kawan2 pembaca semua dah matang dan tak mudah melempar prejudis. Sebelum tu saya nyatakan dulu bahawa tulisan ni adalah berkenaan diri saya dan tidak mewakili seluruh pelajar Mesir yang lain. Setiap pelajar yang menuntut di Ardhul Kinanah ada ceritanya masing2 dan kisah ini cuma secebis darinya. Bimbang pulak kalau orang anggap semua budak Mesir berhidup (?) dan bersikap macam yang saya ceritakan. Tidak, tidak.

Macam yang saya pernah sentuh rambang sebelum ni, kami di Mesir ada banyak persatuan pelajar. Ada PMRAM, PERUBATAN, Kelab UMNO, ISMA, IKRAM, HALUAN, dan lain-lain yang sewaktu dengannya. Antara banyak organisasi ni ada yang mendukung fikrah dan ideologi tertentu sama ada berbau politik atau tidak. Ada pula yang berperanan sebagai pengurus pelajar sejak sebelum wujud Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) lagi.

Sebenarnya pertubuhan pelajar di Mesir memang tak dapat lari dari sentuhan fikrah dan ideologi perjuangan politik. Al-maklum lah, dah kami semua berkelana di tanah lahir Ikhwanul Muslimin. Nak tak nak mesti akan tertarik dengan idea pembangunan umat dan segala. Al-Azhar sendiri pun tidak sunyi catatan sejarah perlawanannya dengan penjajah dan sekularisme. Cuma bagaimana bentuk perjuangan Al-Azhar, bagaimana perjuangan Ikhwanul Muslimin dan di mana percanggahan & titik temu dua pihak ni saya tak berniat nak kongsikannya di sini.

Dipelawa menjadi exco BKAN.


DSC04473

BKAN ialah Badan Kebajikan Anak Negeri, iaitu persatuan pelajar negeri yang dinaungi PMRAM sebagai pertubuhan induk. Sebelum wujudnya Kedutaan Malaysia, bahkan sejak sebelum wujud Negara Malaysia lagi, pertubuhan inilah yang menyatukan anak2 Nusantara di Mesir. Cuma selepas itu bila Nusantara kita dipecahkan kepada beberapa negara, persekutuan ini ikut terpecah2. Indonesia dan lain-lain negara menubuhkan persatuan masing2 untuk memudahkan urusan.

Di bawah PMRAM ada 14 BKAN dengan asrama masing2 yang majoritinya turut diselia oleh pegawai dari Majlis Agama Islam Negeri. Macam BKAN Selangor yang berpusat di Rumah Selangor Haiyu Asyir diselia oleh pegawai Malaysia dari MAIS. BKAN Wilayah Persekutuan yang berpusat di Rumah Wilayah Haiyu Sabie’ diselia oleh pegawai dari MAIWP. Begitulah seterusnya. Setiap pegawai ni bekerjasama dengan persatuan pelajar dan pihak Kedutaan Malaysia. Bagaimana para pegawai ni menjalankan tugas pula tergantung kepada rezeki masing-masing. Ada pegawai yang lembut, ada yang terlalu tegas. Ada yang baik dengan pelajar, ada yang bergaduh dengan pelajar. Macam2. Nasiblah.

Waktu cuti musim panas tahun 2009, saya aktif menyertai aktiviti pelajar dengan BKAN Selangor. BKAN Selangor seperti kawan sekampung saya di Mesir. Biasalah bila dah senegeri, adat budaya lebih difahami walaupun kebanyakan pelajar Selangor ni berketurunan Jawa. Waktu itulah datang lamaran dari BKAN Wilayah Persekutuan (kami memanggilnya BKAWM-Badan Kebajikan Anak Wilayah Persekutuan Mesir) meminta saya menyertai mereka sebagai exco. Tak sempat fikir panjang, dengan kepala separuh mamai (dek penat ber-program) saya terima pelawaan tu.

Sebenarnya sejak dari Malaysia lagi memang saya dah niat nak terjun aktif dalam persatuan di Mesir. Sebabnya, saya terpengaruh dengan abang yang pernah menjawat jawatan YDP BKAN Wilayah. Bahkan sejak saya baru tiba di Mesir sudah ada wakil BKAN KL datang nak ambil saya ke asrama diorang atas permintaan abang. Tapi waktu tu saya tak ikut diorang sebab tengok kakak musyrifah yang menjaga saya macam bengang je orang nak ambik junior dia. So demi mengelakkan rasa tak puas hati saya terus tetap dengan Selangor. Tak sangka pula kehendak Allah menentukan saya akan berhijrah juga ke BKAN KL pada tahun berikutnya.

Unit Penerangan & Penerbitan (UPP)

Saya memang seronok bila diberi tugas mengendali UPP. Dari kecik saya memang berminat dengan buku dan penulisan, justeru bekerja dalam unit ni betul2 buat saya enjoy. Enjoy tak enjoy la kan, berliter jugak air mata tumpah sepanjang sesi. Dengan ketua saya si penulis muda yang dah biasa mengasah bakat sejak di tanahair, kami merancang pelbagai program untuk dijalankan sepanjang tahun. Ada yang berjaya dilaksanakan, banyak juga yang terbatal dan terbengkalai. Antara tugas wajib kami ialah mengeluarkan buletin untuk tatapan ahli BKAWM khususnya yang tinggal di asrama. Selain itu kami juga bertanggungjawab menyelia akaun blog dan Yahoo Messenger milik BKAWM (masa tu belum ada Tweeter dan What’s App).

pd ogos3

Selain menjalankan tugas dalam unit, kami juga terlibat dalam menyelia hal-ehwal penghuni asrama Wilayah. Kebetulan tahun kami tu hubungan dengan pihak MAIWP agak mencabar, dengan ketibaan ramai pelajar perubatan yang dihantar oleh ejen.

Maaf cakap, ejen-ejen penghantaran pelajar ni sebahagiannya (bukan semua) kurang bertanggungjawab. Dari Malaysia minta duit pengurusan beribu2, sampai di Mesir pelajar hanya dipantau dengan minimum atau lebih teruk lagi, dibiar terkontang-kanting! Mungkin diorang fikir di Mesir ada persatuan menguruskan pelajar, sebab tu selamba je nak ambik untung atas angin. Yang kami ni, tak boleh tak nak, kenalah uruskan adik-adik yang dah sampai. Takkan nak buat perangai macam ejen-ejen yang baik hati tu jugak kan.

Malangnya, ada antara ejen ni yang berlatar-belakang pertubuhan politik. So pelajar2 yang datang dengan diorang dicuci otak supaya menjauhi persatuan kerana disyaki mendukung idea politik berbeza. Masalahnya bila sampai di Mesir, bila budak tu dah terkontang-kanting, persatuan nak tolong pun susah. Inilah saya kira masalah utama yang memecah-belahkan orang Malaysia di Mesir (bahkan di tanahair juga). Dari sekecil-kecil hal hingga sebesar-besarnya bila dimasukkan perbezaan politik langsung jadi payah.
Mujur bukan semua yang berfikiran jumud macam ni. Ramailah juga (terutamanya generasi belakang ni) dah mula pandai membezakan pegangan politik dengan kesatuan muslimin. Kau UMNO, PAS, ISMA, atas pagar, sukati. yang penting kita semua solat menghadap Ka’bah, bila mati semua kena tanam, tak ada yang menentukan siapa lebih mulia melainkan TAQWA.

Ini baru kisah di permulaan saya melangkah ke tahun dua. Ada banyak lagi kisah suka-duka yang berlaku sepanjang sesi 2009-2010 berlangsung. InsyaAllah saya akan kongsikan secara ringkas dalam pos akan datang .

Jumpa lagi di Kaleidoskop Winking smile.

Sabtu, 16 November 2013

Cara Membuat Pengiktirafan Sijil Di JPA.


Ini adalah proses wajib bagi mahasiswa/wi luar negara untuk memudahkan kita memohon kerja dengan kerajaan. Sila semak antara dokumen yg diperlukan:

1) I/c dan salinan yg disahkan.

2) Semua pasport lama dan baru serta salinan muka depan dan visa2 yg disahkan.

3) Transkrip bahasa arab (kasyfu taqdirot) dan salinan yg disahkan.

4) Transkrip (kasyfu taqdirot ) terjemahan dari kedutaan Malaysia Mesir dan salinan yg disahkan.

5) Sijil asliyyah dan salinan yg disahkan.

6) Pengesahan sijil ijazah/master/phd dr kedutaan Malaysia Mesir serta salinan yg disahkan.

7) Sijil muaqqotah dan salinan yg disahkan.

8) Sijil spm dan salinan yg disahkan.

9) Sijil STAM serta salinan yg disahkan (kalau ada bahasa arab bawa bersama)

Segala kesulitan atau masalah boleh hubungi terus ke talian 03-88853682.
urusan ini boleh dibuat di pejabat JPA
, tingkat 6 Bahagian Pengiktirafan Sijil, Presint 1, Putrajaya .

Selamat berjaya, semoga dipermudahkn segala urusan. Semoga perkongsian ini dapat membntu sahabat2 semua.
P/S : Terima kasih sahabat saya Wan Noraishah yang mengongsikan panduan ni :)

Khamis, 3 Oktober 2013

Bukan Saidina Ali

Madinah pasca pembunuhan Saidina Usman sangat genting. Pemberontak yang jumlahnya puluhan ribu orang masih berkeliaran mengepung bandar. Ramai para sahabat keluar mengerjakan haji, justeru para pemberontak dengan megah menjadi imam di Masjid Nabi selepas mereka tumpahkan darah sahabat Baginda yang mulia.

Khalifah Ali yang baru memegang tampuk dapat membaca suasana tidak baik. Permintaan sahabatnya Az-Zubair dan Talhah supaya menuntut darah Usman terpaksa diketepikan dahulu menimbangkan keadaan darurat yang berlaku. Para pengikut asyik mendesak. Akhirnya dua sahabat mulia tidak dapat bertahan lagi, lantas safar ke Makkah menemui Saiyidah Aisyah mengharapkan srikandi itu akan mengepalai gerakan menuntut bela.

Di Makkah mereka memutuskan perkara. Pengikut dikumpulkan. Darah Usman akan terbela di Basrah.

* * *

Kamu bukan Saidina Ali. Dan saya bukan Saiyidah Aisyah.

Tapi impian kita sama.

Takkan sama. Permisi.

Begitu sahaja dia tinggalkan lamaran tak berbalas, dua puluh lima tahun dulu. Dia bahagia hidup dengan sepi buku-buku daripada hiruk-pikuk emosi. Dunia luar berlipat-gulung begitu ganas tapi dia aman saja dalam perpustakaan besar setinggi bumbung. Dr. Aisyah Siddiqah sibuk dengan terjemahan terbarunya.

Dato’ Seri Ali meraup ubun-ubun. Seperti mahu gila, hanya Allah yang tahu. Di luar sana marhaen berhimpun dengan sepanduk, sedia melancarkan tunjuk perasaan. Mahu pilihanraya yang bersih dan adil, katanya. Pemimpinnya si putih bermata sepet lantang mengepalai. Siapa dia, siapa keluarganya bernama Lau di Singapura tiada lagi yang peduli. Semua sudah tenggelam dalam gejolak emosi. Dato’ Seri Ali cuba tak terikut sama namun jiwanya tetap galau. Biarpun sudah diserah ke tangan polis tapi mana mungkin dia berlepas diri begitu sahaja. Itu rakyatnya, itu umatnya. Mereka itu yang dia perjuangkan tanpa pengetahuan mereka sendiri.

Saat kebuntuan yang amat sangat begitu entah kenapa dia terseret dalam kenangan. Terhumban dalam, seolah-olah dia kembali ke zaman itu dengan jasad usangnya yang sekarang.

* * *

Saat gelombang mahasiswa bangkit. Dia berdiri tegak di posisinya sebagai pimpinan proksi universiti. Kelabnya adalah sayap mahasiswa bagi parti kerajaan. Di kebanyakan universiti, kelabnya dicemuh dan dicaci kerana mengamalkan sikap yang sama korup dengan kerajaan memerintah. Tapi cawangan pimpinannya berbeza. Dengan imej bersih anti-rasuah, dia mendapat dukungan padu majoriti ahli mengalahkan pimpinan kelab lawan yang menjadi hero di universiti lain. Dengan deretan kerja kebajikan dan ilmiah dihasilkan dari dana kelab, dia membina karisma dengan penuh berhemah dan semakin dipercayai untuk menggantikan ayahnya yang sedang menjawat Perdana Menteri pada masa itu.

“Ah, apa namanya parti warisan anak-beranak.” Hanya orang itu yang berani meludah mukanya.

“Ya,memang warisan anak-beranak kerana semua anak membesar dengan bayang ibu bapanya. Cumanya aku sampai ke sini dengan kudrat sendiri,bukan taburan ringgit ayahku.” Selalu dengan bangga dia menjawab begitu kepada ‘orang itu’. Pepatah arab yang berbunyi ‘Bukanlah seorang pemuda itu yang berkata- ini ayahku. Tetapi seorang pemuda itu ialah yang berkata- ini aku’ diikat kemas dalam rusuknya.

Tapi ‘orang itu’ pun peduli apa, baginya semua orang politik adalah sama, apatah lagi yang berhubungan keluarga. Setiap kali diprovok itulah ayat sama yang diludah keluar. Parti warisan anak-beranak.

Ali tercabar sungguh dengan yang seorang itu. Hinaan dan cacian kelab lawan tak setajam lembing milik orang itu. Dengan orang itu dia rasa seperti dagingnya diratah hidup-hidup. Kerana orang itu adalah adik lawannya. Tokoh siswi yang saban tahun menawan pentas anugerah. Walaupun mengasingkan diri dari gerakan abangnya tapi dia tak juga ke pihak lawan. Baginya kebenaran adalah ilmu, bukan kelab dan parti. Justeru peribadi anehnya disanjung dalam caci – oleh masyarakat yang sudah tidak boleh menerima perkataan non-partisan. Tapi bagi Ali, dalam peribadi aneh itu dia melihat satu peluang.

* * *

“Saya bersama kamu. Tapi saya mahu berjalan di laluan ini. Tak salah kan?”

“Mahu cuci tong najis bukan dengan terjun ke dalamnya.”

“Tolonglah, jangan samakannya dengon tong najis.”

“Tong najis.”

Dr. Aisyah Siddiqah menggosok tengkuk. Aduh, tiba-tiba dia kehilangan fokus. Mungkin dek lamanya berteleku dengan meja, kerusi dan komputer. Dia bingkas menuju ke jendela. Terheret mengenang cerita lama.

“Awak lihat, saya sudah sampai ke sini. Saya pasti jika saya kekalkan momentum begini, saya akan dapat ubah keadaan jadi lebih baik.”

“Kamu fikir dalam politik sebenar begitu? Kamu fikir politikus berhati manusia? Saya pasti lambat-laun kamu akan dijerat.”

“Saya percayai awak sebagai penasihat, tolonglah bersikap positif.”

“Positif saya ialah supaya kamu keluar dari tong najis itu. Cucinya dari luar.”

“Saya faham, maksud awak ialah dakwah fardi. Tapi dalam barisan itu sendiri perlu ada yang mahu membaiki. Selama ini orang letakkan semua kesalahan kepada pemerintah. Mat rempit, anak zina, arak, semua kuasa pemerintah. Sekarang saya mahu sahut seruan itu dan jadi pemerintah yang mereka kehendaki!”

Angin sepoi membuai daun-daun di luar. Dia nampak betapa damainya alam di depan sana. Namun alam dalam hatinya tiba-tiba ribut dibadai ingatan sesuatu.

Dia pusingkan tubuh menghadap orang itu. “Kamu, kerana parti kamu adalah warisan anak-beranak maka saya fikir kamu lebih tahu betapa rosak keadaannya. Saya pasti kamu tahu bagaimana pemimpin-pemimpin kamu dijerat dengan skandal-skandal yang terpaksa mereka lakukan, tapi dikekalkan dalam jawatan supaya menjadi boneka. Saya pasti kamu tahu siapa tangan sebenar yang mengatur di belakang parti kamu,bahkan di belakang belakang ayah kamu sendiri! Langsung, kamu mahu ikut dijerat dan menjadi boneka seperti mereka semua?”

“Kamu kata ayah saya boneka?”

“Seperti semua presiden Amerika,bersumpah dengan sumpah palsu. Bekerja sebagai boneka yang dibius sambil menangis dalam hati. Kamu yang berhati putih begini mungkin langsung tak sempat menjadi boneka sudah ditanam hidup-hidup.”

“Kamu sudah lebih.”

“Lebih atau kurang, saya sudah beri apa yang kamu minta. Permisi”

DSC04546

Dr. Aisyah Siddiqah pejam mata. Sangat terkenang petang itu. Petang terakhir sebelum graduasi, terakhir sebelum dia dilamar. Kemudian deringan telefon memotong kenangan. Dia tenang menjawab panggilan. Orang itu yang sudah lama terbenam dalam sejarah. Ali!

“Kamu benar, Aisyah.”

“Apa? Tong najis?”

Diam sejenak di sebelah sana.

“Kamu tahu kita sedang disepit. Bagaimana? Takkan kamu sanggup biarkan umat kamu, dan abang kamu sekali terbawa arus?”

“Arus apa yang kamu maksudkan?” Dia tahu sebenarnya. Arus tunjuk perasaan yang sedang bergulung menjadi gelombang. Abangnya pimpinan kelima selepas Mr.Lau dan taulan akrab.

“Jangan tanya. Kamu dah tahu. Kamu tahu siapa Lau itu kan? Kamu tahu apa yang mereka mahu sebenarnya di sebalik kerahan tenaga anak watan kita. Kamu tahu mereka tidak jujur. Mengapa kamu biarkan?”

“Siapa biarkan? Bukankah kamu yang biar ketidak-adilan berleluasa dalam barisan kamu, makanya terlahir keadaan seperti ini?”

“Kalau semuanya dalam tangan saya sendiri, kamu tahu ini takkan terjadi”

“Itu kamu yang dua puluh lima tahun dulu. Kamu yang sekarang politikus biasa sahaja.”

“Baiklah, walau siapa jua saya kamu tahu saya terpaksa untuk berada di sini. Sekarang saya perlu bantuan kamu Aisyah, satukan semula umat kita.”

Dia diam sejenak.

“Itu tugas kamu. Kamu yang mencetuskan keadaan ini maka hanya kamu yang dapat hentikannya.”

“Ya. Saya tahu bahagian saya. Tapi saya mohon kamu, sedarkan mereka yang keliru. Mereka yang tidak tahu di belakang siapa mereka berdiri!”

* * *

Rakyat yang naif… kalaulah mereka tahu apa yang berlaku sebenarnya kepada pimpinan mereka. Dato’ Seri Ali genggam telefon kemas-kemas. Kesal.

Dua puluh lima tahun dulu. Kerana cabaran Aisyah Siddiqah, dia cuba bertahan di pentas politik. Dia tidak mahu dikambus hidup-hidup bak kata si pujaan hati namun akhirnya terpaksa akur sebagai boneka. Wajahnya tersenyum di kerusi TPM tapi siapa tahu tangisannya dalam kelambu. Berapa banyak wang rasuah yang akhirnya terpaksa ditelan demi mempertahankan jawatan. Berapa banyak airmata rakyat yang ditumpahkan demi mendaki ke puncak. Berapa banyak amanah yang dikhianati demi menjadi PM. Impiannya bila sudah menjadi PM segala hutang akan dilunaskan. Dia akan tunjuk wajah sebenarnya. Dia mahu ubah segala, batalkan projek yang merugikan rakyat, memotong elaun-elaun terlampau, mengerah segala jentera yang ada untuk melaksanakan amar-ma’ruf nahi mungkar. Biar terpempan pihak-pihak yang menjadikan dia boneka. Biar mereka tahu anak watan ini masih penyembah Tuhan, bukan wang dan syaitan!

Tapi itu hanya tinggal cita-cita. Dia tahu rancangannya akan gagal, kerana ‘pihak’ yang jahat itu sudah menyusup ke sebelah sana. Menyamar menjadi pembangkang untuk melagakan sesama muslim. Sedangkan dia tahu siapa ‘mereka’ yang membangkang itu. ‘Mereka’ adalah orang yang sama yang menjamin kedudukannya takkan terjejas jika kerajaan tumbang!

* * *

“Aisyah, hanya kamu yang boleh betulkan abang kamu. Suruh dia keluar dari rancangan itu. Dia tidak tahu siapa mereka.”

“Saya tak boleh.”

“Aisyah, kamu jangan lupa peranan srikandi idola kamu ketika zamannya dilanda fitnah.”

“Tapi saya bukan dia. Saya takkan campur perkara ni.”

Ali ketap bibir.

“Baiklah, jika kamu pilih untuk menjadi Ibnu Umar saya tiada hak menghalang….”

Aisyah Siddiqah kelu.

“Saya akan jadi Ali dan hentikan semua ni.”

Nada yakin yang pertama kali didengar sejak 25 tahun berlalu. Namun dia tak yakin. Apa yang Ali boleh lakukan dengan bersendirian? Dia pasti perbualan telefon mereka itu pun sudah dipintas.

“Khalifah Ali dengan para sahabat yang ramai tetap jua terjebak dalam fitnah. Kamu yang berseorangan ini apa boleh buat?”

“Beri hak mereka. Benarkan mereka berdemo dengan aman. Saya sendiri akan turun mendengar permintaan mereka pada hari itu nanti.”

“Terlalu mulus. Saya kagum jika ‘mereka’ akan biar kamu berdamai dengan rakyat”

“Kerana saya bukan Khalifah Ali, jadi kamu tunggu dan lihat.”

Dr. Aisyah Siddiqah kehabisan kata. “Ali,”

Dato’ Seri Ali tak jadi meletak telefon. “Ya?”

“Ali, taubatlah. Hanya Allah yang dapat menolong kita semua.”

Taubat. Tak semena-mena bertakung air di tubir mata. Hatinya bagai ditusuk sembilu.

“Terima kasih. Assalamualaikum” Dia letak telefon dengan azam. Namun bagi boneka seperti dia, keazaman hanyalah satu mimpi indah.

* * *

Mendengar para sahabatnya bergerak ke Basrah, Khalifah Ali dipujuk supaya ikut sama berangkat. Langsung tiada niat berperang melainkan al-Islah bainal mu’minin. Para pemberontak sebahagian menyusup masuk dalam barisannya. Sebahagian lagi awal-awal sudah menyelinap bersama rombongan Az-Zubair dan Talhah. Di Basrah dua pasukan bertemu. Musyawarah lalu sebulat suara bersedia menyokong apa jua tindakan Khalifah Ali. Hari yang diberkati itu berakhir dengan damai. Rombongan berehat dan sedia berangkat pulang ke Madinah keesokan hari.

Namun tanpa disedari, ada pihak yang panas hati melihat perdamaian. Pengkhianat dalam dua pasukan sepanjang malam mengatur rancangan. Dalam gelap subuh mereka mencetuskan kekecohan, lalu terjadilah fitnah yang tak terelakkan. Khalifah menyangka dikhianati para sahabat. Az-Zubair dan Talhah menyangka dikhianati Khalifah. Berbunuhanlah mereka sesama muslim dalam gelap pagi. Hingga fajar menyinsing barulah semua jelas duduk perkara, namun sudah terlambat kerana Talhah dan Az-Zubair sudah dijemput pergi. Saiyidah Aisyah nyaris terbunuh, namun untanya menjadi galang ganti.

Perang Jamal. Fitnah pertama yang menumpahkan darah sesama mukmin. Lantaran tidak diambil iktibar ia langsung berulang zaman demi zaman. Yang bahagia tetaplah pihak ketiga, ketawa melihat kucing sama kucing saling bercakaran.

* * *

Dr. Aisyah Siddiqah terpempan membaca akhbar keesokan harinya – Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Muhammad Ali Zulfiqar meninggal dunia di pejabatnya malam tadi akibat serangan jantung.

Mereka hentikan dia dengan maut. Arahannya supaya perhimpunan dibenarkan berjalan dengan aman ditarik semula. Memang pihak ketiga takkan berpuas hati jika melihat umat ini berdamai.

Demonstrasi berjalan seperti diduga. Pihak ketiga yang menyelinap di barisan penunjuk perasaan licik mencipta huru-hara. Polis dengan arahan pihak atasan terpaksa memukul dan menggunakan kekerasan terhadap anak bangsa tercinta. Marhaen yang naif bagai dirasuk melawan pula dengan apa yang ada. Kecoh dan ribut. Pemimpin mati akal, saat itu baru insaf melihat anak bangsa bercakaran sesama sendiri. Di bilik 666 hotel Burj Dubai, dari pancaran tv satelit Datuk Lau tersenyum bangga melihat cucunya Lau Jr. sedang berlakon dengan begitu jadi. Ais dalam gelas araknya digoncang riang. Sambil menjeling rakan sekutu yang berselubung hitam dia bergumam,

“Our New World Order…..coming next”

* * *

“Pejuang sebenar takkan sempat berfikir tentang kahwin.”

Terdengar-dengar suara dua puluh lima tahun dulu, dia menolak lamaran yang datang selepas majlis graduasi. “Maaf, saya belum sedia.”

Muhammad Ali Zulfiqar, tokoh siswa berkarisma tunduk kecewa.

“Kalau macam tu saya akan tunggu…..bagi saya Aisyah hanya untuk Muhammad.”

Janji itu terpatri hingga ajal menjemput. Dato’ Seri Muhammad Ali Zulfiqar membujang ke akhir hayat. Dr. Aisyah Siddiqah menyapu nisan yang comot dek tanah merah. Menatap sepotong nama si mati dengan sayu meruap-ruap.

“Ali, hari ini saya tinggalkan buku-buku. Saya sambut pedang yang kamu tinggalkan. Sampai bertemu lagi.”

TAMAT

Jumaat, 27 September 2013

Buyut Kembali, Dari Puzzle Kerjasama.

Hari ketiga BuyutCat face tak balik. Sejak keluar merayau pada malam Selasa, dia tak balik-balik buat kami risau terutamanya Kak Ti yang diamanahkan menjaga BuyutCat face. BuyutCat face kucing rumah yang jarang keluar sejak kecil. Makanannya khas untuk kucing, tak main makan sampah-sarap dan sisa orang. Tiga hari tak balik, apa dia makan kat luar sana? Kami bimbang. Memikirkan dia pulang dengan luka-luka seperti sebelum ini -atau mungkin dilanggar kereta- buat kami tambah tak keruan. Kesian Kak Ti. Tidur, BuyutCat face. Bangun tidur, BuyutCat face. Makan, BuyutCat face. Keluar rumah, BuyutCat face. Balik rumah, BuyutCat face. Nama buyutCat face jadi zikir Kak Ti 2-3 hari ni.

Sebelum ni Kak Ti dah cuba cari BuyutCat face ditemani Kak Faizah, sahabat Thailand kami di Masjid Amru. Tak jumpa. “InsyaAllah, malam Jumaat dia balik la tu,” kata Kak Faizah.

Bosan bila BuyutCat face tak ada di rumah. Selalu dia jadi objek kami menghilangkan stress. Perhati lenggok jalannya saja buat hati asyik, Maha Suci Allah menciptakan kucing sebagai teman manusia yang menenangkan. Belum lagi tengok dia terguling2 cuba lepaskan penyepit baju di telinga, memang gelak besar! (sayalah si joker terlampau tu) Jujurnya saya tak berapa gusar dengan kehilangan BuyutCat face, sebab sebelum ini biasa dengar kucing merayau balik rumah lepas seminggu. Tapi bila meletakkan diri di tempat Kak Ti sebagai penjaga amanah, memang gelabah juga dibuatnya.

Petang tadi kami cari dia lagi. Kali ini rayau lebih jauh hingga ke lorong entah mana. Sebelum pergi, sempat Kak Ti menjamu seekor anak kucing jalanan dengan cheese spread. Kami main redah ikut hati. Tak tahu ke mana hendak dibawa kaki kerana tak dapat menduga ke mana BuyutCat face merayau. Intai celah kereta, panjat vila orang, tak jumpa. Kucing2 jalanan lepas satu-satu kami sapa, alangkah baiknya kalau semua tu boleh bercakap. Akhirnya kami sampai ke jalan besar menghadap laut. Tak sedar rupanya hampir ke Mandarah kami merayau. Saya singgah beli manisan, alang-alang dah terjumpa kedainya yang saya cari selama ni. Dalam pada itu Kak Ti sibuk buat panggilan kepada kawan-kawan rapat minta petua dan minta didoakan si ‘budak nakal’Cat face tu balik.

DSC04430  ~Kami Shiro dan Tuti…kami tak kenal sape BuyutCat face. Saje tumpang iklan diri kat sini ~

Sambil Kak Ti sibuk bercakap dengan Syeikh di talian, kami berdua membuat carian terakhir di lorong yang belum dimasuki. Hari sudah di ambang senja. Tiba-tiba saya rasa terdesak hendak mencari BuyutCat face. Bimbang dia tak makan….kesian! Juga sejujurnya saya kurang gemar mencari-cari dalam keadaan tidak tahu arah begitu. Dalam hati melantun istighfar berkali-kali. Saya kira ini semua balasan kerana saya bergurau terlebih dengan BuyutCat face. Seronok tengok dia menggeliat cuba lepaskan lilitan tasbih di badan dan penyepit baju di telinga buat saya tak perasan ‘cop zalim’ menepek di dahi. Ya, walaupun hanya binatang tapi Buyut juga makhluk Allah yang terpelihara haknya dalam keadilan Sang Pencipta. Kerana saya manusia tidak bermakna saya bebas menjadikan haiwan sebagai bahan ketawaCrying face.

Astaghfirullahal’aziim. Ya Allah, tunjukkanlah kat mana budak BuyutCat face ni….tolonglah. Saya tak buat lagi!

Mengintai-intai ke sana-ke mari, saya terpandang kelibat seekor kucing di celah pokok. Rupa macam BuyutCat face dah. Saya panggil nama dia, dia mengiau. Saya pergi dekat lagi dan cuba sentuh dia untuk pastikan, sebab kucing liar kat Mesir ni selalu mengelak dan jarang dapat disentuh. Tapi kucing di depan ni tak mengelak walaupun dia nampak takut-takut. Saya usap dia, saya cium muka dia. Saya selalu buat macam tu di rumah. Kalau dia tak mengelak maknanya dia memang BuyutCat face. Sememangnya dia tak mengelak. Tapi nak bawa dia balik bukan senang. Bila didukung dia asyik melompat turun berpatah balik ke garaj tempat kami jumpanya. Ada banyak kucing di situ, dah jadi kawan baik gamaknya. Sudahnya Kak Ti dukung sambil cengkam tengkuknya macam anak kucing, sambil saya tutup matanya. Melekat kami jalan berdua sampai rumah.

Minta maaf BuyutCat face. Nak lepaskan diri nantilah tunggu tuan kau balik. Kami cuma jaga kau je.

Di rumah BuyutCat face makan dengan laju, memang dia tak makan sepanjang berada di luar nampaknya. Kesian… Sambil mencangkung teman dia makan, kami saling meluah lega. “Agaknya sebab Kak Ti bagi anak kucing tadi makan kot, Alhamdulillah dapat jumpa BuyutCat face”, kata Kak Ti. Saya iyakan aje. Memang amalan baik tu sentiasa menarik rahmat dan pertolongan Allah. Kak Ti telefon teman-teman yang dihubunginya tadi memaklumkan kepulangan Buyut. Ust Abdullah Rojul Soleh yang memberi petua mencari benda hilang dan Kak Faizah Al-Mala’ikah yang meramalkan Buyut akan balik malam ini. MasyaAllah…memang tak salah Syeikh ‘Alaa gelar kamu ‘Malaikat’!

DSC04404DSC04403DSC04405

Lega dengan kepulangan BuyutCat face, kepala saya jadi tak henti melamun hingga ke tikar sejadah. Siap mengadap kiblat hendak solat maghrib, berdiri terpaku memikir apa yang baru berlaku.

Kehilangan BuyutCat face yang sekejap beri makna besar pada saya. Bukan saja pada dosa menzalimi haiwan, lebih dari itu Allah menunjukkan betapa besarnya peranan taubat dan kerja Islah yang dilakukan bersama-sama. Kak Faizah dan Ustaz Abdullah yang mendoakan kepulangannya, sedekah Kak Ti kepada si kitten dan penyesalan hamba zalim ini seperti cantuman puzzle menarik perkenan Allah untuk mengembalikan BuyutCat face. Ia buat saya teringat pensyariatan taubat beramai2 sebelum solat sunat Istisqa’ (solat sunat minta hujan). Kali pertama dengar, saya rasa aneh apa kaitan hujan dengan taubat. Beginilah rupanya Allah tunjukkan…betapa DOSA ITU MENYEKAT RAHMAT dan HANYA TAUBAT MAMPU MENGUBAHNYA.

Ya Rabbi, apatah lagilah bencana yang sedang kami hadapi sekarang di seluruh dunia Islam…dengan pergolakan, pembunuhan, penindasan, kenaikan harga barang dan kesempitan rezeki, tak lain tak bukan adalah berpunca dari dosa-dosa kami semua.

Tapi bila ada suara yang menyeru kepada taubat, kami perlekehkannya. Maafkan kami Ya Allah, kami bukan ingkar. Kami cuma tidak faham….kerana kami tidak diberitahu bahawa meraih bahagia itu mesti dengan kembali padaMu. Ya Allah berilah hidayah kepada kami semua untuk bertaubat dan meraih redhaMu. Amin.

Usolli fardhal maghrib. Allahu akbar.

Khamis, 26 September 2013

Terbaik dari Windows Live Essential

Sebelum ni saya pernah berangan hendak mengemaskini blog dengan menggunakan templatnya tanpa memerlukan sambungan internet. Kerana jarang mendapat capaian internet, blog jadi bersawang lama tak jenguk. Tapi projek penterjemahan baru-baru ni memberi kejutan sewaktu saya memuat turun perisian Windows Movie Maker yang baru. Program ringkas kegemaran saya ni bukan saja dikemaskini dengan sangat menarik, ia turut diletakkan dalam satu pakej dengan beberapa program lain dari Windows. Antaranya ialah perisian yang saya idam-idamkan; Windows Live Writer!

Windows Live Writer (WLW) adalah ubahsuaian Microsoft Word, khusus buat penulis2 blog. Dengan sambungan internet pada kali pertama, WLW akan memuat naik tema blog kita dan menetapkannya sebagai gambar latar belakang. Selepas itu kita bebas membuat catatan blog dengan gambar latar belakang tersebut seolah2 kita memang sedang menaip di blog. Jika mempunyai sambungan internet, catatan boleh terus disiarkan atau dimuatnaik sebagai simpanan draf di akaun blog. Tetapi jika tidak mempunyai sambungan internet, catatan boleh disimpan dulu untuk dimuatnaik kemudian. Gambar latarbelakang ini boleh dikemaskini setiap kali kita mengemaskini tema di blog sebenar.

Dengan perasaan seperti menaip di blog sendiri, tak adalah rasa bosan mengadap papan Word yang kosong tu. Menariknya, WLW menyediakan beberapa format penulisan Microsoft Word seperti tetapan paragraf, gaya HTML, Word Count, Spelling Check, Word Find dan Clear Formatting. Perisian ini turut menyediakan fungsi blog yang lain seperti hyperlink dan memuatnaik media selain menambah fungsi baru seperti peta, emoticon yang bermacam2 dan post tags. Jom kita cuba kat bawah.

1) Emoticon - Hot smileAngry smileEmbarrassed smileConfused smileVampire batDevilPrincessAlienCat faceBirthday cakeWilted roseMug
~Kete tadi jalan lambat gila macamTurtle
~Lapar la, nak megiBowl satu!
~Kau kacau lagi budak tu, kan dia dah Storm cloud

2) Map – Kat sinilah kampung saya di Iskandariah. Syari’ Nabawi Muhandis.
Map picture

3) Video – Macam biasa la kan.
 
4) Gambar – Tambah menarik bila boleh letak ‘water mark’. Tak payah lagi kerja tu dibuat berasingan dengan Photoshop! Cuma tak ada fungsi caption macam di blog sebenar. Nak caption boleh la ubahsuai semula melalui blog.

DSC04935

Selain tu kerja menaip juga boleh disemak dalam dua mod; Ubahsuai (Edit) dan Pratonton (Preview) sama macam di blog sebenar. Catatan yang disiarkan melalui WLW boleh diubahsuai melalui akaun blog sendiri atau menggunakan WLW dengan sambungan internet. WLW menyokong hampir semua penyedia blog popular seperti Wordpress, Blogger, LiveJournal dan lain2.

Macam mana, best kan Thumbs up. Nak cuba? Muat turun Windows Live Essential di sini.