Selasa, 7 Mei 2013

PRU 13 - Satu Catatan

SATU

- Ayah saya, seorang wira negara. Pada akhir dekad 60'an Ayah telah menyertai pasukan pengaman PBB ke Congo. Cerita Ayah, sewaktu pasukan mereka mula-mula tiba sudah dikepung puak pemberontak. Ayah lah manusia yang paling gerun kerana kedudukannya waktu itu menjaga machine gun atau senapang automatik yang boleh menembak beratus peluru dalam beberapa minit. Jika puak pemberontak hendakkan senjata itu, pasti nyawa ayah yang pertama jadi galang ganti. Kata Ayah, waktu itu memang dia MEMINTA NYAWA kepada Tuhan. Tapi selepas beberapa hari ditahan, pasukan mereka dibebaskan dengan selamat. Sebab utamanya ialah MEREKA ISLAM dan PUAK PEMBERONTAK ITU JUGA ISLAM. Atas nama SAUDARA yang datang sebagai pengawal keamanan, pasukan Ayah dibebaskan.

- Dalam satu insiden di Sarawak, Ayah menyertai konvoi menghantar seorang pegawai tinggi Angkatan Tentera yang telah bersara pulang ke Semenanjung. Sewaktu melalui jalan hutan berbukit, konvoi mereka diserang hendap puak komunis. Ayah yang duduk di bahagian belakang trak segera menunduk dan dengan kuasa Allah, terselamat dari sebutir peluru sesat. Sebaliknya peluru mengenai kawan sebelahnya yang langsung meninggal di tempat kejadian. Sekali lagi kata Ayah, dia MEMINTA NYAWA kepada Allah dan Allah memanjangkan usianya hingga kini. Alhamdulillah.

DUA

-Ibu saya salah satu jentera ekonomi negara. 22 tahun Ibu berkhidmat di sebuah syarikat swasta dalam memakmurkan ekonomi negara.

- Pada 13 Mei 1969, Ibu berada di Lembah Klang untuk menghadiri temuduga kerja. Secara tak sengaja menjadi saksi hari malang perbalahan kaum antara DAP dan UMNO. Pada hari tersebut ramai orang hilang, tapi Allah kembalikan Ibu dengan selamat untuk menceritakan ini kepada saya.

TIGA

Kalau saya kata saya sayangkan Malaysia, Ayah dan Ibu lebih lagi. Kalau saya berjanji hendak berkorban untuk tanahair, Ayah dan Ibu sudah pun melakukannya.

Tapi dalam hal POLITIK, Ayah Ibu tak pernah menzahirkan kepada kami atau cuba menghasut untuk menyokong mana-mana parti. Ayah melazimkan kami ke masjid dan ceramah-ceramah agama tanpa menjustifikasi bahawa hendakkan Islam mesti sokong PAS. Ibu mengajar kami cintakan negara dan tanahair umat Islam SELURUHNYA, tanpa mendoktrin bahawa BN adalah wajib diundi.

Ayah Ibu ajarkan kami, kecintaan terhadap Islam adalah berbeza dari kecintaan terhadap PAS. Begitu juga ketaatan terhadap negara bukanlah bermakna ketaatan terhadap BN. Agama dan tanahair adalah dua entiti yang wujud sebelum lahir PAS & UMNO. PAS & UMNO (sekarang PR & BN) hanya nama-nama kerusi yang muncul tak sampai seratus tahun. Tapi Nusantara ini dan Muslimin yang mendiaminya sudah wujud sejak lapan kurun silam.

EMPAT

Penjajah datang dan pergi. Islam gagal dicabut dari tanahair ini. Kini ia datang lagi dengan bungkusan baru dengan label 'Demokrasi'. Tak sampai seratus tahun Muslimin bercerai-berai dibuatnya. Barisan yang dulu siaga membenteng Kota Melaka tinggal catatan bisu dalam buku teks. Muslimin terabur bersepah-sepah dikeliru dek satu tafsiran : Melayu itu Islam? Islam itu Melayu? Melayu itu bukan Islam dan Islam bukan Melayu? Atau macam mana?

Tafsiran yang baru muncul tak sampai seratus tahun. Sedangkan sepuluh kurun lepas Muslimin hidup di rantau ini dengan aman tanpa mempersoalkan kamu Melayu atau tidak. Bahkan sewaktu atuk-nenek kita bangkit mempertahankan Natrah, dalam kepala mereka hanya kerana anak itu seorang Muslimah. Tak perlu sebut apa bangsanya. Muslimin adalah saudara yang dialu-alukan di Nusantara ini.

Isu kebangsaan hanya wujud sejak merdeka. Memang ia ideologi sekular yang cuba merubah persaudaraan kita daripada satu ummah kepada satu bangsa. Dari situlah berpecahnya tafsiran para pemikir yang buahnya bala hingga kini. Yang di sana mengambil nama Islam tanpa nilai. Yang di sini mengambil nilai Islam tanpa nama. Kemudian bertekak mengatakan aku lebih Islam dari kamu. Tak sampai seratus tahun, kita sudah bertelagah dengan tafsiran agama-bangsa. Sedangkan sepuluh kurun lepas, Islam adalah jantung bagi bangsa yang mendiami Nusantara ini tanpa apa-apa tafsiran.

Melayu mudah lupa - bak kata Tun Mahathir yang kita panggil keling mamak itu. Beliau bukan mengutuk Melayu kerana Beliau Mamak, tapi kerana Beliau Muslim dan kita Muslim. Kerana beliau generasi tua yang merasa perit di bawah penjajahan dan kita generasi muda yang hanya memaki hamun di depan laptop dan tab. Oh Tun, sebenarnya Melayu bukan mudah lupa. Kami cuma TERLAMPAU RAJIN membaca buku......

LIMA

Bila merantau ke luar negara, dua identiti inilah yang dibawa. Bangsa Melayu beragama Islam yang berasal dari Asia Tenggara. Tak ada rasanya yang hanya mengaku dia Muslim tanpa bangsa dan tanahair. Di luar negara, kita tak peduli tentang PAS & UMNO. Di tempat asing kita lebih sedar diri bahawa Melayu adalah jasad dan Islam adalah roh, dua entiti yang membina wujud kita sebagai manusia. Kita hanya fikir untuk bertahan dengan Islam dan keMelayuan hingga kita pulang dengan kedua-dua identiti ini. Dengan dua identiti ini kita hidup dengan harmoni sebagai warga dunia. Terasa cantiknya firman Allah s.w.t di dalam Al-Quran : "Dan antara tanda kekuasaanNya, dijadikan langit dan bumi, dan berbezanya bahasa dan warna kulit (bangsa) kamu, sesungguhnya yang demikian itu adalah tanda buat seluruh alam".

Sayangnya generasi muda kini terutamanya yang merantau tidak memahami maksud ini. Perantauan yang sepatutnya membuat fikiran kita lebih jernih, tidak berkesan seolah kita tak pernah ke luar negara. Kita diharapkan pulang menjadi penyelesai kepada perbalahan sepertimana Islam datang dari benua ini sepuluh kurun lepas. Sebaliknya kita pulang dengan minyak memarakkan api. Kita pulang bukan untuk mengembalikan perpaduan sepuluh kurun lepas, tapi kita pulang menggalakkan perang ideologi yang tak sampai seratus tahun ini.

Seorang tokoh berkata, "Perubahan pimpinan adalah lumrah yang sentiasa berlaku dalam sejarah". Benar, bukan sahaja lumrah, bahkan kita PERLU kepada perubahan pimpinan. Tapi perubahan yang kita perlu bukanlah yang begini. Saling mencaci. Taksub membuta tuli. Tak cukup buang kawan, keluarga juga dibuang dek berbeza ideologi. Perbahasan yang tidak harmoni. Bukan begini caranya Rasulullah s.a.w mengislamkan Madinah dan Makkah. Kalau kita ingin Islam tertegak di tanahair silalah renungkan. BUKAN BERGINI CARANYA.

ENAM

Kita mengaku kita generasi terpelajar. Kita bangga sudah menjejak kaki ke luar negara. Oleh itu pandanglah tanahair kita dengan saksama. Dari luar sempadan ini kita berpeluang menilai sekeping Tanah Melayu itu dari banyak sudut. Bukan saja memandang Malaysia dengan jiran-jiran Nusantara sahaja, bahkan kita mampu membuat perbandingan dengan negara tempat kita berteduh ini- Ardhul Kinanah.

Bahkan jika kita mendakwa ingin mendirikan Islam di tanahair, di sinilah tempat yang betul untuk kita renungi sirahnya. Sepuluh kurun lepas, Islam berlayar damai ke Nusantara. Kita bangga moyang kita menerima Islam tanpa perang dan permusuhan. Kita bangga raja kita pada masa itu menyambut para ulama' dengan tangan terbuka. Kita kagum kerana ulama' pada masa itu bukan datang untuk MERAMPAS kuasa pemerintah, tapi datang untuk MENGAJAK pemerintah dan rakyat ke syurga.

Begitulah dakwah Islam sebenar. Sebab itu pendakwah dipanggil 'Dai'e/Penyeru', bukan 'Qahir/Pemaksa'. Jika kita inginkan Islam, inilah yang perlu kita lakukan. Keluar dari perpecahan. Rapatkan jurang. Jernihkan yang kelabu. Terangi yang gelap. Itulah yang Islam buat kepada Aus dan Khazraj.

Jika kita kata inginkan Islam, bukan harga beras dan tol yang kita risaukan. Kerana bila kita menjaga solat lima waktu dan menunaikan zakat, rezeki akan mengalir masuk dengan sendiri ke dalam rumah kita.

Jika kita kata inginkan Islam, kita takkan lupa bahawa Melayu adalah Jasad, Islam adalah Roh. Bukan Melayu adalah UMNO dan Islam adalah PAS.

Jika kita inginkan Islam, kita pasti ingat bahawa yang mencetuskan tragedi 13 Mei itu adalah cemuhan kafir berbangsa Cina kepada Muslimin berbangsa Melayu. Kita juga takkan buta bahawa dalangnya masih wujud hingga kini dan kebenciannya terhadap Islam takkan luput walaupun dia hadir dengar ceramah kita.  
ولن ترضى عنك اليهود ولن نصارى حتى تتبع ملتهم....

Dan jika kita inginkan Islam, kita takkan terhanyut dalam perang ideologi ni sebaliknya berdiri sebagai pendamai antara sesama Muslim di mana pun kita berada.
 إنما المؤمنون إخوة فأصلحوا بين أخويكم....

AKHIR

Akhirnya saya menyedari, walaupun Ayah selalu memaksa kami mengikut kehendaknya, tapi Ayah tak pernah mengatur bagaimana cara kami berfikir. Walaupun Ibu sentiasa memberi ruang kebebasan, tapi Ibu selalu mengingatkan kami untuk tetap pendirian dan tidak mengikut arus. Ayah dan Ibu ajar kami : Gelas adalah gelas walaupun semua kata ia cawan. Kebenaran tetap kebenaran walau ia berada di pihak yang salah.

Buat umatku Muslimin yang mendiami Nusantara, salam seribu tahun perdamaian..

3 ulasan:

  1. Subhanallah catatan yang amat matang. Saya mendoakan semoga melayu Islam di Malaysia bersatu hati bertaut kembali hati2 yang terlerai.

    BalasPadam
  2. Subhanallah,semoga melayu Islam diMalaysia bersatu hati kembali seperti di waktu Malaysia tercari2 kemerdekaan dahulu.

    BalasPadam