Khamis, 19 Disember 2013

Kehidupan Pelajar Malaysia di Mesir IV–Kaleidoskop.

Sebelumnya : Pergi Lebih Jauh

Satu wadah pelbagai warna. Itulah sebab saya namakan ‘waktu itu’: Kaleidoskop.

BIRU

BKAWM ni satu BKAN yang unik. Macam bandaraya KL yang dipenuhi ‘pendatang’ dari negeri-negeri lain seluruh Malaysia, begitu juga BKAWM didukung oleh pelajar dari BKAN lain. Sebabnya di Malaysia, sekolah agama di Wilayah Persekutuan sangat sedikit. Jadi pelajar2 dari Wilayah Persekutuan terpaksa berhijrah ke negeri lain untuk bersekolah agama. Ramainya di Kelantan, Kedah dan Selangor. Bila diorang datang ke Mesir, diorang akan ikut sekolah diorang dan tak ramai yang nak menyertai persatuan negeri sendiri. Mana yang datang menyertai BKAWM biasanya dah berpengalaman terlibat dengan BKAN lain sebelum itu. Jadi gabungan idea dan pengalaman antara kami mebuatkan suasana bekerja jadi menarik dan lebih seimbang. Sesetengah BKAN lain mungkin terlalu tegas mengawal ahli tapi kami di BKAWM nak tak nak kena pandai tarik tali. Hubungan dengan semua pihak mesti dijaga, terutamanya antara dua penaung kami – PMRAM dan MAIWP.

HIJAU

Namanya di Mesir, bukanlah bebas dari masalah sosial. Jika sebelumnya kami selesa dengan sesama pelajar pengajian Islam, tahun 2009 membuka lembaran baru bila pelajar yang datang majoritinya mengambil kuliah perubatan. Pelajar2 ni rata-ratanya tidak berlatarbelakangkan sekolah agama. Terkejut juga kami bila menyambut ketibaan mereka tengok pakaian masing2 dengan jeans ketat dan t-shirt sendat. Yang berpakaian sopan pun ada, tapi tak ramai.

Lantas, tugas kami pada tahun tu banyak tertumpu pada nak membentuk adik2 baru. Tapi adik2 ni pun memang bagus. Ramai yang sedia berubah mengikut tatatertib pakaian dan akhlak yang digariskan Islam. Ada juga yang susah nak berhijrah, itu semua bahagian masing2 yang ditentukan Allah. Apapun tugas kami ialah melayan semua dengan sama rata.

KELABU

Alhamdulillah di Kaherah, pelajar lebih mudah diurus kerana menetap dalam satu bumbung. Tapi di cawangan lain seperti Mansurah, saya dengar masalah sosial di sana teruk juga memandangkan jumlah pelajar pengajian Islam dan perubatan yang tidak seimbang. Saya tidak maksudkan pelajar perubatan semuanya bermasalah sosial. Tapi seperti yang dijelaskan di atas, ramai antara mereka datang dari sekolah biasa, jadi bila tidak dibimbing dengan betul mereka mudah tersasar di luar negara. Ejen-ejen penghantaran pelajar turut memburukkan keadaan. Demi nak mengaut duit, mereka tidak menapis pelajar yang hendak datang belajar tu adakah betul2 layak. Asalkan mampu bayar, boleh pergi. Segelintir mereka yang datang cuma nak merasa pengalaman duduk luar negara, bila sampai ke sini tidak belajar bersungguh2 langsung merosakkan nama baik pelajar lain.

Masalah pelajar tak bersungguh2 ni sebenarnya lebih ketara di kalangan pelajar Pengajian Islam. Ini disebabkan kelemahan kami yang tidak pandai menyesuaikan diri dengan sistem Universiti Al-Azhar yang tidak mewajibkan kehadiran kuliah. Cumanya pelajar pengajian Islam yang tidak belajar bersungguh2 ni mereka buat ‘kerja lain’ yang pelbagai. Apa benda ‘kerja lain’ tu tak perlu la saya tuangkan di sini. Apapun kesemua ‘kerja lain’ tu tersasar dari tujuan asal seorang pelajar, tak kisah la ia tersasar sikit atau banyak.

UNGU

Selain bertugas dalam unit dan asrama, kami juga memantau ahli BKAWM yang belajar di cawangan lain. Setiap dari kami dipertanggungjawabkan dengan satu cawangan. Macam saya dan seorang kawan exco perempuan, Cik SAHEERA ditugaskan memantau cawangan Iskandariah. Jadi bila ada program persatuan kami akan maklumkan kepada ahli yang tinggal di sana. Begitu juga bila mereka bermasalah dengan apa-apa yang berkaitan negeri, mereka akan mencari kami.

Ahli BKAWM di Iskandariah sebenarnya sangat sedikit. Tapi demi tanggungjawab, mesti juga adakan lawatan walaupun sekali dalam satu sesi. Nak mengatur pertemuan pula bukannya mudah, sebab pelajar di cawangan tinggal di rumah sewa dan masing2 ada program sendiri. Kalau lima orang dapat hadir pun dah rasa cukup beruntung.

Perjumpaan kami yang pertama dan terakhir kebetulan jatuh pada hari lahir seorang ahli. Kami membuat jamuan kecil-kecilan dan bertukar khabar berita sambil mempromosikan program yang akan berlangsung dalam masa terdekat. Paling saya ingati, seorang ahli yang sebaya dengan saya. Dia kurang berpersatuan kerana masanya penuh dengan pengajian di masjid bersama Syeikh Arab. Orang macam dia selalu kami panggil ‘budak talaqqi’. Tapi saya kagum kerana dia sudi luangkan masa dalam perjumpaan tu sebab biasanya pelajar2 talaqqi ni langsung menjauhkan diri dari persatuan. Mungkin Allah dah tentukan rezeki saya berjumpa dengan dia, kerana lepas tu bila saya jadi ‘budak talaqqi’, dia ni la kawan baik saya dalam kelas!

COKLAT

Antara program wajib persatuan pada setiap sesi ialah menganjurkan sambutan hari keluarga dan hari raya. Dua program ni dianggap program mega yang selalu dapat menarik ahli cawangan pulang berkumpul di Kaherah. Selain yang dua ni, program mega lain juga akan dianjurkan mengikut keperluan setiap sesi. Macam pada tahun 2008 sebelum saya naik menjadi exco, BKAWM menganjurkan sambutan ulang tahun 10 tahun (SEDEKAD). Dalam program selama tiga minggu ni saya terlibat sebagai AJK Unit Makanan. Lunyai! Memang tak sempat nak ikut pengisian pun sebab sepenuh masa berada di dapur. Demam pun rasa macam tak demam. Desakan kerja menuntut kami terus bergerak walaupun letih. Tapi SEDEKAD memang kenangan manis yang tak dapat dilupakan. Saya kenal dengan ramai orang2 yang sporting dan juga senior masa di Malaysia (Kak Anem, apa cerita la akak sekarang?).

Antara yang paling best dalam SEDEKAD bila saya dipertanggungjawabkan untuk mengurus jamuan VIP dari Malaysia. Sudahlah saya orang baru di BKAWM. Tak ramai kenal orang, stok pinggan mangkuk pun saya tak tahu diorang simpan kat mana! Tiba-tiba ditugaskan menyelia jamuan VIP memang buat saya gelabah. Mujur saya dibimbing seorang senior yang pakar. Dalam SEDEKAD itu dia ditugaskan di Unit Persiapan tapi dalam masa yang sama dia menjadi mentor saya merancang dan menyusun atur jamuan.

Saya ni dari kecik duduk asrama, bab protokol meja makan memang bawah tapak kaki la. Kat asrama dulu kalau tak ada sudu nak makan bubur, cedok la dengan jari! Tak ada pinggan nak buat alas makan Koko Crunch, guna buku pun boleh! Masuk rumah sewa pulak kalau rasa malas nak hidang lauk dalam mangkuk, angkut je kuali naik atas meja! Huhu. Macam tu la sempoinya saya masa DULU. Bila kena uruskan jamuan VIP ni baru la mata hati terbukak nak belajar protokol meja makan. Memang leceh, tapi sebenarnya ia ilmu asas yang penting juga untuk diketahui agar kita tak kekok nak bercampur dengan pelbagai golongan manusia.

Inilah penglibatan pertama saya sebagai penggerak program BKAWM sebelum dilantik ke barisan kepimpinan. Sekali lagi saya terlibat dengan sambutan VIP dari Malaysia ialah pada akhir 2010, sebaik saya turun dari kepimpinan. Kali ini saya diamanahkan menjadi Timbalan Pengarah 2 untuk majlis perasmian asrama Wilayah Persekutuan. Tugas tak adalah seberat di Unit Makanan, tapi dapat satu lagi pengalaman baru bila saya diminta menguruskan ucapan VIP.

Jika SEDEKAD menjadi pengalaman manis bagi saya, majlis perasmian asrama pula adalah kenangan pahit yang menyakitkan hati. VIP kami pada waktu itu ialah Pengerusi MAIWP, Dato’ Jamil Khir Baharom dan lain-lain pengiring beliau. Kebetulan sebelum kedatangan beliau, seorang mahasiswa telah ditamatkan pengajiannya dari Darul Iftaa’ Misriyah kerana masalah tertentu. Jadi pada hari perasmian, sekumpulan pelajar membuat demonstrasi kecil di depan asrama Wilayah untuk menyampaikan memorandum membela siswa tersebut.

Saya tak mahu mengulas tentang isu tu. Cuma minta awak bayangkan tetamu diserbu di depan rumah awak. Agaknya apa perasaan awak sebagai tuan rumah?

DSC00227

Saya memang terperanjat besar. Patutlah sebelum majlis berlangsung saya lihat ramai pelajar bukan Wilayah hadir ke situ. Mereka kawan-kawan saya juga. Saya bersalam dan bertegur sapa dengan mereka, saya layan mereka macam tetamu walaupun saya tak pasti adakah mereka dijemput. Rupanya mereka datang nak buat demo! Saya minta penjelasan dari pimpinan yang baru naik pada tahun itu. Diorang buat muka innocent. Saya pun tak berminat nak korek lebih dalam. Apa yang pasti saya sangat kesal dan kecewa dengan apa yang berlaku. Sampai sekarang pun bila diingat semula boleh naik marah.

Saya harap generasi cerdik pandai lagi terpelajar di Mesir ni suatu hari nanti akan lebih menghayati budaya Arab, betapa mereka amat menghormati tetamu walaupun yang datang itu adalah wakil musuh!

MERAH

Bila bekerja dalam satu pasukan, susah nak percaya kalau tak ada pergeseran. Mesti ada, walaupun sikit. Macam tu juga saya dan ketua yang kedua2nya bersemangat, tapi banyak idea dan sudut pandang berbeza. Mungkin kerana masing-masing masih mentah. Dia mentah dari segi umurnya. Saya pula mentah dengan budaya persatuan di Mesir. Bila berlaga ribut dengan taufan, baru separuh sesi kami dah meletup. Entah macam mana kami dapat bekerja dalam separuh sesi yang berbaki saya pun tak tahu la. Sedar2 dah habis tahun.

Tapi yang saya tak boleh lupakan kebaikan ketua saya, dia satu2nya yang stand-up waktu saya dimalukan dalam mesyuarat agung tahunan persatuan induk. Waktu tu kami membahas berkenaan masalah sosial yang meruncing di kalangan pelajar. Ada seorang senior yang lama terlibat dalam ‘operasi serbuan’ membahaskan tajuk hampir sejam. Tapi sepanjang waktu tu dia bukan mencadangkan penyelesaian, sebaliknya melondehkan satu demi satu kes yang pernah dihadapi. Tapi disebabkan dia orang lama, tiada siapa minta dia berhenti bercakap walaupun pengerusi mesyuarat. Tak ada siapa bangkitkan soal masa berjalan.

Selepas itu bangun beberapa lagi perwakilan ikut bahaskan. Saya tertarik dengan cadangan seorang perwakilan supaya si pelajar yang sudah ‘dicekup’ bersumpah takkan buat lagi.  Cuma terfikir…budak remaja yang tiada kesedaran dan lepas bebas dari kawalan keluarga, agaknya apa diorang peduli dengan sumpah?

Kemudian saya ikut bangun memberi cadangan iaitu menambahkan silibus tasauf dalam usrah kendalian persatuan. Tak sampai suku saya ulas cadangan tu tiba-tiba pengerusi mesyuarat membidas cadangan saya dan berkata, “Kita kat sini nak berbahas, bukan nak buat ceramah”. Dia minta saya pendekkan ucapan kerana kesuntukan masa. Di depan hampir 700 perwakilan dia ‘sound’ macam la saya merepek keluar tajuk. Sedangkan yang tadinya si polan melondehkan aib orang hampir sejam dia boleh diam saja. Memang tak faham. Memang malu. Tapi peristiwa ni antara yang membuka mata saya tentang cara berfikir mereka.

Lama lepas tu baru saya tahu rupanya segelintir golongan haraki ni anti dengan sufi. Patutlah bila saya bercakap tentang tasauf si pengerusi mesyuarat a.k.a presiden pada waktu tu langsung melenting!

Lepas mesyuarat dalam perjalanan balik ke asrama, si ketua sorang ni la hantar mesej dan comfort saya, sedangkan exco perempuan yang lain pun buat tak reti je. Kebaikan dia tu saya ingat sampai sekarang, walaupun lepas tu kami asyik berselisih faham sampai dekat hujung sesi.

KUNING

Dalam tegang waktu bekerja, kami ada juga waktu berseronok. Selain hari keluarga dan program2 santai bersama ahli, kami sesama exco pun turut merancang cuti sambil bekerja. Kami biasanya membuat mesyuarat bulanan di Kaherah. Jadi yang belajar di cawangan macam saya dan beberapa kawan lain mesti pulang ke Kaherah pada waktu mesyuarat dan program. Cuma pada sesi saya, julung-julung kalinya kami membuat mesyuarat di luar Kaherah, iaitu di Iskandariah. Sebab sebahagian besar exco perempuan belajar di Iskandariah dan kebetulan waktu tu jatuh pada akhir musim peperiksaan, jadi kami sepakat membuat mesyuarat di Iskandariah untuk meringankan exco yang belum selesai peperiksaan.

Sudah mesyuarat, apa lagi. Kami semua terjun laut! Ahli dari Kaherah yang dah habis imtihan pun ikut datang mandi laut, walaupun mereka tidak boleh menyertai mesyuarat. Memang seronok. Itu antara kenangan manis dengan kawan-kawan exco yang saya tak boleh lupa.

Catatan Kaleidoskop berhenti di sini. Panjang sangat menulis rasa bosan pulak orang nak baca. Tapi cerita saya belum habis lagi! Episod seterusnya Hitam Putih Pelangi menyusul lepas ni.

Terima kasih sebab sudi penatkan mata kamu. Moga bermanfaat Winking smile

Tiada ulasan:

Catat Ulasan