Khamis, 11 September 2014

Pengalaman Kereta Kena Tunda...

Kelmarin, merasa kereta naik trak tunda. Selama ni bila tengok kereta orang terkandas di jalan, saya cuma mampu bisik 'kesiannya...mintak2 ada orang tolong dia'. Kelmarin diri sendiri merasa terkandas kat tengah2 lebuhraya. Al-Kisahnya...

EPISOD 1

Pagi selasa yang sibuk macam biasa, macam hari-hari lain. JLT2 (orang panggil MRR2) mula sibuk dan kereta berderet perlahan walaupun di lorong pertama. Saya la salah sorang yang beratur dalam ramai-ramai tu. Lokasi: Pandan Indah. Bawak kereta manual ni biasa la... Bila salah adjust clutch sikit mati la enjin. Enjin termati kat jalan adalah benda yang biasa saya hadapi. Kadang-kadang saya siap acah orang lain yang tak biasa dengan kereta saya.

Tiba pagi ni start2 tak hidup. Start2 tak hidup. Start start start start tak hidup juga. Aiyoh...mula la panik. Ni maknanya memang bermasalah. Saya fikir bateri yang memang dah nak kong tu dah inna lillah. Tapi bila guna air-cond, tingkap dan radio semua okey macam biasa takde tanda2 bateri lemah. Orang belakang mula hon2. Saya hidupkan hazard light. So bila tau saya dalam masalah, orang belakang pun potong.

Duduk tenang2 tarik nafas...huh. Syukur la Allah jadikan saya jenis boleh kawal perasaan bila cemas. Saya telefon abang, minta tolong abang carikan nombor syarikat insurans kereta saya. Harini saya insaf sebab tak pernah terfikir kepentingan syarikat insurans. Nombor dia pun takde dalam tipon!

Bila call syarikat, mesin jawab yang syarikat belum bukak. Oit, dah lapan setengah pagi staf belum masuk lagi ke? Cuba call HR ofis nak mintak cuti pun sama takde orang jawab. So tunggu la. Duduk dalam kereta diam2 tunggu semua orang masuk ofis. Tak lama tu satu kereta berhenti depan saya. Keluar sorang mamat berjanggut tanya apehal dengan kereta saya. Saya pun xboleh nak fokus sebab tengah call member.

Dia tengok enjin, tengok minyak, semua nampak normal. Dia fikir bateri saya kong. Tak lama lepas tu sorang lagi mamat naik motor berhenti dan cadangkan tolak kereta saya ke tepi. Kandas kat tengah2 lorong laju kot. Jem kat belakang macam gila katanya. Huhu mintak ampun la banyak2.
Saya macam tak percaya dia nak tolak kereta saya cross highway yang tengah sibuk tu. Percaya tak percaya, dia berjaya. Clap clap clap...

Dah sampai lorong 3. Tengah diorang sibuk cuba tolak kereta saya kasi hidup, saya pulak sibuk call insurans. Punya la banyak step nak sampai operator bahagian trak tunda. Hoho...menguji kesabaran betul. Kalau saya cedera parah agaknya dah mati nak tunggu diorang pass kan telefon.

Then saya cakap ngan dua mamat yang menolong tu, tak payah tunggu. Saya dah mintak trak dan abang pun dalam perjalanan. Okey diorang pun pergi. Saya rasa ralat sebab tak ambil nombor tipon diorang. Taktau macam mana nak ucapkan terima kasih. Saya cuma sempat ambik nombor plat kete mamat berjanggut tu. WRW****. Semoga Allah bantu diorang bila tiba giliran diorang pulak susah nanti. Amin.

Okey dipendekkan cerita, abang sampai, tow truck sampai, 'adik kelabu' saya kene dukung bawak ke bengkel kawan abang kat BTHO. Diorang tukar bateri, kereta hidup macam biasa. Alhamdulillah. Saya pun fikir nak masuk ofis petang nanti sebab kereta pun dah okey.

EPISOD 2

Pukul 12 saya bertolak dari BTHO nak pergi ofis di Desa Melawati. Hairannya, saya dengar bunyi yang baru muncul lepas tukar bateri tadi. Makin jauh jalan makin kuat pulak dia. Meter suhu tak naik, macam biasa je tengah2 tu. Masuk jalan Cheras yang sempit lagi jem tu, saya mula tangkap ada bau tak best. Hati berkira2 nak patah balik ke tidak? Nak patah balik ke tidak? Tak payah la. Nanti potong gaji pulak. Bulan lepas dah kena potong dah sebab kereta juga.

Saya masuk lorong 3, sedia nak susur masuk ke JLT2 (MRR2). Enjin bunyi makin kuat. Dalam jem tu juga tup! enjin mati. Start2 tak hidup. Haha tak payah nak try banyak kali la. Ni mesti ada masalah lagi. Lagi sekali saya hidupkan hazard light dan capai telefon. Tapi belum sempat buat call dah ada orang berhenti tolong tolak kereta masuk kawasan lapang tepi jalan. Sorang bai india dan sorang pakcik naik motor besar. Alhamdulillah. Waktu diorang sibuk tengok enjin saya call abang.

'Assalamualaikum... abang, nak tau cerita kelakar tak? KERETA MATI LAGI!'
Hahahaha...


Lepas tu saya call insurans minta trak tunda. Then call HR mintak cuti penuh sehari. Sama je ulang step pagi tadi. Kali kedua ni saya memang tak panik langsung. Rileks je tunggu trak datang. Selongkar beg tangan jumpa baki kacang semalam tak habis makan, saya habiskan. Tengah lepak baca buku tengah panas ada orang bagi salam hulur Mamee Monster. Hehe abang dah sampai. 

Tak lama lepas abang sampai, trak pun sampai juga. Saya dah malu gila takut orang pagi tadi yang datang tunda. Mesti dia gelak tengok saya 2x kena tarik kereta. Alhamdulillah orang lain yang datang. Lorinya pun lain dari pagi tadi. Sambil mengunyah Mamee saya gurau dengan abang, 'satu hari je dapat tengok dua jenis trak tunda'. Hehe. Abang sengih je.

Kali ni tarik kereta bawak balik Kajang, pergi bengkel Ah Low uncle. Biar la uncle yang tengok, mintak2 dapat la murah sikit. Huhu. Bila dia gobek2 enjin bawah kereta rupanya hos radiator dah bocor habis. Selama ni tengok air radiator surut tapi tak tahu pergi mana. Harini baru la jumpa. Agaknya yang berbau tadi tu bau hos terbakar la kot. Ya Robbi syukur la tak meletup. Ngeri bila ingat kes Perodua Alza dengan Proton meletup sendiri tak tahu punca.

Tengok kereta rosak rasa insaf dan sedih pulak. Kesian kereta. Saya bawak dia gila2 tapi tak pedulikan 'kesihatan' dia. Saya pernah bergurau dengan kakak, kalau kereta ni boleh bercakap mesti dia dah mengadu dengan orang macam mana saya bawak dia. Huhu. Sorry.

Apapun saya bersyukur sangat. Walaupun Allah uji saya tapi Dia ringankan ujian tu. Kali pertama kandas di MRR2, kereta mati betul2 dalam bayang flat tinggi. Dapat la saya berteduh daripada matahari yang sangat terik pagi tu. Kali kedua kandas di Jalan Cheras pulak, walaupun panas macam nak terkeluar otak, tapi trak cepat sampai. Alhamdulillah sangat. Saya berterima kasih dengan semua orang yang tolong saya hari tu. Yang muslim moga2 Allah gandakan amal kebaikan dia. Yang non-muslim moga2 Allah bukakan hati mereka terima hidayah. Amin.

Pengajaran: Simpan nombor syarikat insurans korang masing2 ye. Kalau jadi macam ni takde la kelam-kabut. Hee.



Khamis, 3 Julai 2014

Pornografi: Dugaan Generasi Y

Golongan muda di zaman moden ini menikmati kemudahan teknologi komunikasi yang begitu menakjubkan. Daripada asal telefon bimbit sebesar beg kerja yang perlu dijinjing ke sana-sini, kini iPad dan telefon pintar memungkinkan komunikasi berlangsung dengan satu sentuhan sahaja. Di samping manfaat yang diperolehi, jaringan komunikasi tanpa batasan juga telah membuka pintu kepada sebaran penyakit sosial yang menghancurkan, antaranya ialah pornografi.

Pornografi - istilah yang digunakan untuk sebarang paparan lucah dan cenderung ke arah perlakuan seksual. Bahan ini disebarkan dengan begitu meluas oleh media tanpa mempedulikan adat budaya dan batas agama. Jika dua puluh tahun dulu perkara seksual adalah tabu dan terlindung dari masyarakat, kini anak-anak sekolah rendah pun sudah didapati melakukan hubungan terlarang. Belum lagi dikira jumlah kes pembuangan bayi, kecurangan pasangan dan kehancuran institusi keluarga akibat pornografi. Perkara ini amat membimbangkan. Jika tidak dibendung, ia bakal memusnahkan struktur social masyarakat muslim di Malaysia. Ibarat tikus melubangi empangan, lambat-laun empangan akan pecah dan mengundang malapetaka.

            
Jika hendak menuding jari mencari salah, pelbagai pihak boleh dipersalahkan hingga kitarannya berpanjangan. Kesimpulannya, penyebaran pornografi adalah plot terancang yang dijalankan suatu pihak untuk merosakkan penduduk dunia, khususnya yang muslim. Jadi langkah yang sepatutnya diambil ialah individu sendiri perlu merasa bertanggungjawab melindungi dirinya dari pornografi. Namun usaha menjauhinya bukanlah mudah. Ini kerana pornografi amat berkait rapat dengan fitrah manusia yang ingin melakukan hubungan jenis. Hanya dengan sedikit pendedahan sahaja manusia akan mula tertarik mendekatinya, terutamanya golongan lelaki.

Allah SWT sudah menerangkan perkara ini dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu hampiri zina…”. Allah tidak berkata ‘jangan lakukan’. Kerana manusia boleh saja melakukan perbuatan ‘ringan-ringan’ tetapi tidak melakukan zina yang sebenarnya. Sebaliknya Allah melarang lebih awal dari itu dengan berkata, ‘jangan hampir’. Kerana, apabila manusia menghampiri perangkap zina – seperti pornografi dan pergaulan liar – mereka tidak mampu berpatah balik kerana kuatnya tarikan nafsu terhadap perkara tersebut. Bererti segala pintu yang menuju ke arah zina mesti ditutup serapatnya; baik hubungan liar antara jantina, percakapan dan perbuatan yang tidak sesuai, mahupun paparan media bermesej lucah.

Orang Melayu biasanya akan berkias apabila menyebut perkara seksual. Istilah ‘Kelapa ditebuk tupai’ adalah contoh untuk mengaburi perlakuan seksual yang telah berlaku sebelum nikah. Ini untuk menjauhkan fikiran pendengar dari membayangkan perkara lucah terutamanya golongan yang belum berkahwin. Budaya yang sangat manis ini sangat menepati arahan Allah SWT supaya manusia menjauhi zina. Ia patut dihidupkan semula terutamanya oleh pihak media, sebagai salah satu usaha mengekang penyebaran pornografi.

Antara usaha yang patut dipergiatkan ialah melarang penggunaan telefon pintar kepada anak-anak di bawah umur. Penggunaan telefon pintar di kalangan kanak-kanak dan remaja sudah terbukti mengakibatkan kemurungan, hilang tumpuan terhadap pelajaran dan menjadi sebab utama mereka terdedah kepada pornografi. Ini kerana mereka belum matang untuk menilai perkara yang baik dan buruk, justeru mereka belum bersedia untuk didedahkan kepada jaringan komunikasi tanpa batasan. Cukuplah mereka mempelajari internet melalui computer sahaja. Ia lebih mudah dikawal dan dipantau.

            
Langkah terpenting ialah ibubapa perlu membekali anak-anak dengan didikan agama sebagai pedang dan perisai mereka menghadapi dugaan pornografi. Ibubapa tidak selamanya dapat memantau anak-anak. Dengan keimanan dan ketaqwaan yang disuntik ke dalam jiwa mereka, insya-Allah mereka mampu menjaga diri sendiri dari terjatuh ke jurang pornografi dan zina. Sekurang-kurangnya dengan didikan agama yang mantap, anak-anak akan bijak memilih lingkungan social yang bersesuaian dengan jiwa dan amalan agamanya. Kawan-kawan yang baik adalah ‘talian hayat’ terkuat yang dapat melindungi remaja dari terjerumus ke lubang dosa. Apabila mereka sibuk dengan aktiviti bermanfaat dan saling mengambil berat, secara tak langsung mereka akan terhindar dari pornografi dan lain-lain penyakit social yang sewaktu dengannya.

Selasa, 24 Jun 2014

Keluarga Sukarelawan Hospital Kajang

Alhamdulillah.

Syukur tak terhingga. Ini sajalah yang mampu diucapkan bila mimpi jadi kenyataan. Sebagai kesinambungan minat saya hendak bekerja di hospital, hari ini secara rasminya saya telah berdaftar sebagai salah seorang sukarelawan Hospital Kajang. Hari ini adalah program pertama yang saya turut serta sebagai penyumbang tenaga iaitu porgram ramah mesra di wad kanak-kanak dan gotong-royong mengemas DSC03106Surau Ibnu Sina.

Perkara yang paling mengejutkan saya ialah sukarelawan yang hadir semuanya warga emas! Hanya saya dan dua orang staff saja yang boleh dikatakan muda belia. Huhu. Pasti ada sukarelawan muda tapi masing2 sibuk dengan kerja. Maklumlah program pun dibuat pada hari bekerja. Terharu tengok komitmen makcik2 ni…walaupun wajah dah berkedut seribu tapi tetap mencurah kudrat sebagai sukarelawan. Antara mereka ada yang sudah enam, lapan tahun berkhidmat sebagai sukarelawan di situ.

Kelab Sukarelawan Hospital Kajang

Sebelum ‘menemui’ kelab ni, saya lebih dulu dah pergi bertanya di Hospital Putrajaya. Pegawai di sana kata mereka tak ada buka khidmat sukarelawan. Saya macam tak puas hati…sebab saya selalu dengar makcik saya berkhidmat sukarela di hospital. Takkan hospital besar macam Putrajaya tak ada kan. Rupanya memang iya. Lepas tu waktu saya sedang berkhidmat sebagai petugas pembersihan di HSA JB, saya terbaca tentang pertandingan bowling kelab ni di akhbar. Saya terus simpan keratan berita tu dan berazam untuk berdaftar bila pulang ke Kajang nanti. Apalah, jauh2 cari kerja hospital sampai JB, rupanya dekat ‘depan rumah’ je ada kerja. Huhu.

Sejarah kelab ni saya belum maklum sepenuhnya. Jadi tak dapatlah cerita kat sini. InsyaAllah bila dah dapat maklumat, saya akan kemaskini. Secara ringkasnya kelab sukarelawan ni ditubuhkan untuk membantu kakitangan hospital dalam kerja-kerja penjagaan pesakit, menziarahi pesakit, membantu pesakit yang tiada waris, menghibur pesakit cilik. Bahkan tugasan mereka lebih meluas kepada menziarahi rumah pesakit, mengadakan lawatan dan juga bekerjasama dengan kelab sukarelawan dari hospital lain. Saya dengar program mereka yang terkini ialah seminar bersama sukarelawan Hospital Ampang. Menarik tu…tapi mungkin sebab saya belum daftar lagi jadi tak ada jemputan.

Berbalik kepada cerita hari ini. Sebenarnya pagi tadi saya dah terlewat sampai lalu berpatah balik sebab malu nak masuk dewan. Huhu. Mujurlah terjumpa seorang makcik sukarelawan baru sampai juga. Saya pun menyelit masuk sekali dengan dia. Majlis ramah mesra dah separuh berlangsung. Sukarelawan tengah bermain dengan pesakit kana-kanak yang hadir. Kelakarnya bila tiba pertandingan melukis, seorang demi seorang kanak-kanak dipanggil berjumpa doktor. Tinggal kami tercongok menengok kertas dan warna terdampar di tikar.

DSC03096

Selepas zohor, acara mengemas surau. Surau Ibnu Sina baru mendapat penyelia baru, Cik Nurul yang semua orang panggil ustazah. Dia perkenalkan diri dia Nurul je, so saya pun panggil Nurul jugak la. Dia bantu kami kemaskan stor surau yang dipenuhi barang lama. Entah sejak bila tak ada orang buka. Plastik pembungkus barang pun sampai reput. Ada banyak sejadah sedekah yang masih baru tapi tak digunakan, sebab sudah ada sejadah jenis karpet panjang. Kami ambil seorang sedikit dan bakinya akan disedekahkan kepada orang asli dalam lawatan akan datang.

Dekat asar juga kami siap mengemaskan barang. Terdetik dalam hati saya rasa lucu. Haritu di Mercy kami kemaskan stok ubat sedekah yang tak diguna sampai luput tarikh. Ni kat hospital kemas sejadah telekung pulak. Selepas bergotong-royong kami dijamu jamuan ringan yang dibawa peserta. Saya jadi orang pertama yang ‘angkat punggung’ sebab nak balik solat asar.

Alhamdulillah pengalaman pertama yang sangat menyeronokkan. Sempat juga saya ikut serta sebelum mula masuk kerja minggu depan. Saya berdoa semoga aktiviti terbaru ni akan lebih memajukan saya sebagai individu yag bermanfaat kepada ummah, wlaupun kesibukan menanti di depan sana…amin.

p/s: sesiapa berminat nak jadi sukarelawan hospital, bolehlah hubungi Jabatan Khidmat Sosial Perubatan Hospital Kajang. Selain tu ada juga di Hospital Ampang dan Sg. Buloh.

Jumaat, 18 April 2014

Pengalaman Menjadi Cleaner Hospital

Menjadi petugas pembersihan @ 'cleaner' adalah satu pengalaman manis untuk dikenang.

Awal tahun baru2 ni, tak tahan sangat ayah bising suruh cari kerja, saya nekad merantau ke Johor memohon kerja sebagai petugas pembersihan. Sebenarnya saya dah teringin nak cuba kerja ni sejak di Mesir lagi. Seronok tengok pelajar luar negara buat kerja sampingan tambah pendapatan. Tapi di Mesir kami tak dibenarkan bekerja. Jadi hasrat saya tak pernah kesampaian. Kemudian bila saya nampak iklan jadi cleaner di hospital, saya tak teragak2 terus hubungi agensi berkenaan. Saya pun memang suka dengan hospital. Suka tengok doktor. Tapi tak pernah ada kelayakan untuk pergi hospital walaupun sebagai pesakit (alhamdulillah...). Dapat jadi cleaner pun boleh la.

HOSPITAL SULTANAH AMINAH

Sebelum memulakan kerja saya buat kajian sikit berkenaan tempat baru yang akan saya pergi. Dapatlah tahu sikit2 latar belakang Hospital Sultanah Aminah sebagai hospital utama dan paling sibuk di negeri Johor. Dah tentulah hospital ni besar dan bersejarah. HSA juga dikenali sebagai 'Hospital Bata Merah' / 'Red Brick Hospital' kerana keunikan bangunan utamanya yang dibina dengan batu-bata merah. Selain itu kedudukan HSA yang menghadap Selat Tebrau juga buat saya tak sabar-sabar hendak ke sana.

IMAG1678

Walaupun saya seorang graduan, tapi saya tetap menganggap diri saya serba tak tahu bila melibatkan perkara di luar bidang saya. Contohnya sebagai 'cleaner' ni lah. Saya tak teragak nak buat muka tak reti bila masuk kerja sebab saya memang tak tahu benda tu. Hari pertama melapor diri, pegawai di pejabat mahupun penyelia memandang saya dengan hairan (@ skeptikal? entah..tak reti baca) sebab meminta kerja sebagai 'cleaner'. Tambah pulak bila tahu saya pernah jadi guru, makin diorang heran kenapa saya nak jadi 'cleaner'. Untuk tiga hari terawal memang jenuh saya nak jawab soalan sama yang ditanya berulang2. Kak Zura penyelia kami sampai fikir saya ni spy syarikat datang nak perhati diorang buat kerja. Haha memang gelak dibuatnya.

IMAG1627
Pemandangan Selat Tebrau dari wad
HARI PERTAMA KERJA

Hari pertama masuk kerja memang saya senyuuuuuuuuuuuuuum memanjang. Rasa seronok sangat masuk bekerja di hospital, bertegur sapa dengan pesakit. Rasa macam saya pulak yang doktor. Hoho. Saya diajar prosedur pembersihan di hospital, warna2 khusus mop dan kain buruk yang digunakan di tempat berlainan. Contohnya: mop kuning untuk tempat awam macam pantri dan koridor, mop merah untuk tandas, mop biru untuk wad biasa dan mop hijau untuk tempat2 berdarah macam ICU, wad kecemasan dan wad bersalin. Nak bancuh sabun pun ada sukatan tertentu, tapi saya tak diajar tentang tu sebab sume orang main bedal je! Haha.Yang penting kat tandas mesti kasi bau detol atau bau wangi. Saya tahu tentang sukatan tu pun sebab ternampak kat papan kenyataan. Nasib baik takde sape nak cek sukatan kami betul ke tidak.

12213Tugas pembersihan kami terbahagi kepada tiga sesi. Pagi, petang dan malam. Asalnya saya meminta sesi pagi, tapi agensi ni hanya menghantar pekerja petang. Terpaksalah saya terima juga. Sesi petang bermula jam 2 petang hingga 11 malam. Dalam waktu kerja itu pun dibahagi lagi tiga sesi. Pukul 2 sampai 4 kami ditugaskan membuat pengelapan perabot di tempat-tempat tertentu. Pukul 4 barulah kami masuk lokasi tugasan sebenar. Rehat pukul 7 hingga lapan malam. Pukul lapan masuk lokasi kedua. Kadang-kadang kami diberi lokasi 1 dan 2 berlainan. Contohnya lokasi 1 saya bersihkan wad kecemasan, lokasi 2 pukul 8 malam nanti saya bersihkan wad kelas dua pula. Tapi selalunya kami diberi lokasi yang sama untuk kedua-dua sesi pukul 4 petang dan 8 malam. Pening tak? Hehe.

Masuk hari ketiga saya dah mula dilepaskan bekerja seorang diri. Gila kau. Memang takut. Sebabnya HSA tu punyalah besar. Kalau wad Timur/Barat tu panjangnya sejauh mata memandang! Saya bimbang sangat kalau kerja tak sempurna dan ada tempat yang saya tak buat. Tambah pula banyak juga tempat yang saya belum ingat di mana letaknya. Wad ni kat mana, wad tu kat tingkat berapa. Tapi memandangkan kami kekurangan petugas, jadi nak tak nak terpaksa juga bertugas seorang diri. Redah je la!

 SOLAT.

Solat...nak solat kena pandai-pandailah. Zohor kalau sempat saya akan solat sebelum ke hospital. Kalau tak sempat saya solat di hospital sebelum memulakan tugas. Asar pula solat antara waktu kerja. Kalau kerja sikit boleh berhenti solat sekejap di musolla dalam wad. Kalau kerja banyak terpaksa lambatkan sedikit hingga waktu rehat. Sebabnya, saya yang bersiap lambat. Bila solat nak tanggalkan baju kerja dulu, lepas solat pakai semula. Jadi akan lambatkan tugas saya. Saya tak mahu orang kata saya kerja lambat kerana solat. Saya tak mahu orang tengok solat sebagai gangguan kerja. Tapi takkan nak solat dengan baju kotor pulak kan? Allah dah bagi waktu fleksibel, jadi gunakanlah supaya ibadah yang ditunaikan nanti sempurna. Bukan fikir solat awal dengan baju kotor, solat laju2 macam patuk ayam, siap. Baik tak payah.

Yang sedihnya ramai juga yang tak solat, kerana fikir mereka kotor. Saya faham kawan2 saya bukan dari latar belakang agama. Jadi tugas sayalah untuk tunjukkan bahawa ibadah tu mudah, tak ada alasan untuk kita tinggalkan walaupun kita kerja sebagai ‘cleaner’. Saya pun bawak baju spare dalam beg, khusus untuk saya pakai waktu solat. Baju kerja pula saya usahakan supaya tak kena kotoran. Memang mustahil la kan. Tapi saya cuba jugak kawal ke tahap paling minima, sebab kadang2 memang terpaksa solat dengan memakai baju tu. Paling saya tak suka ialah mencuci tandas, sebab air terpercik sana sini. Bila saya cuci sendiri memang saya akan buat dengan cermat jangan sampai terpercik ke baju. Tapi kalau buat dengan orang, cemana kerja dia terima je la dengan redha. Haha.
IMAG1683 
KAWAN-KAWAN YANG BEST

Dalam kumpulan saya sebagai petugas petang, ada dua orang makcik India yang sangat saya suka. Amma Patchiammah saya sukati panggil Amma P. Panjang sangat nama dia. Huhu. Lagi sorang ialah Amma Selvi. Dua orang ni saya lagi suka kawan berbanding semua kawan2 yang Melayu, sebab dua orang ni positif dan fokus dengan kerja. Saya boleh bertukar2 pandangan tentang agama dengan Amma P dan dia tak kekok puji saya sebagai ‘kuat sembahyang’. Dia ceritalah dia pun kuat sembahyang juga, macam mana kalau perempuan India period dan tak sembahyang, seronok juga saya dengar. Bukan seronok dengan kepercayaan dorg tu ye, tapi saya seronok dengan keterbukaan Amma P. Kalau semua bangsa saling menghormati macam Amma P, ni insyaAllah takde la gaduh2 macam DAP kan. Oppss…

Kawan-kawan Melayu pulak bukan la tak baik. Diorang sangat happening dan sporting. Cuma biasa la org Melayu dengan perangai korup dan suka bergosip. Sampai jadi ‘cleaner’ pun korup juga! Hahaha. Takdelah. Sebenarnya kerja sebagai ‘cleaner’ ni agak penat juga…terutamanya kami ni yang terpaksa cover banyak kawasan dengan tenaga yang sikit. Jadi bila ada waktu lapang sikit mulalah akak2 ni ajak ‘meng-ular’. Melepak la tu. Apa lagi. Sampaikan penyelia terpaksa kunci pintu bilik rehat sampai habis waktu kerja. Kalau tak, ade je la makhluk menghuni kat dalam tu Open-mouthed smile

RUTIN SEBAGAI CLEANER

Kalau kita kerja pejabat, rutin kita sama je. Tapi sebagai petugas pembersihan, saya sentiasa jumpa benda baru setiap hari. Walaupun dua-tiga hari bertugas di tempat yang sama, pesakitnya pulak bertukar ganti. Jadi saya tetap dapat pengalaman baru setiap hari.

Rutin saya ialah mengelap-menyapu-mengemop-kumpul sampah-tukar plastik sampah-cuci tandas. Yang paling memenatkan ialah tugas mengumpul sampah dari setiap katil. Bayangkan kalau ada lima puluh katil dalam satu wad besar, lima puluh kali kau tunduk-bangun macam ketuk-ketampi. Nak tolak troli pun satu hal. Bukan semuanya roda elok. Minggu pertama memang saya letih se-letih letihnya. Nak bangun solat subuh pun tak larat, rasa macam demam tenat!Ini tara saya yang biasa bersenam pun sakit badan. Makan jangan cakaplah. Memang cam rimau. Nak cover balik tenaga yang hilang masa kerja kan.

Minggu kedua dah okey, badan dah mula biasa. Tak rasa sakit lagi dan boleh bangun pagi dengan bertenaga. Cuma yang mula buat hal ialah ibu jari kaki. Mula2 berdenyut sikit. Naik sepuluh hari kerja, saya dah tak boleh berjalan dengan betul sebab sakit dua-dua ibu jari kaki. Mungkin sebab tolak troli keramat tu. Amma P lagi kesian. Dah lapan bulan dia kerja situ, daripada tak ada darah tinggi terus dapat darah tinggi. Kaki pun dah pakai pembalut sokongan je. Huhu.

New Microsoft Office Publisher Document

Penat ni sebenarnya biasalah, dah kerja guna tenaga. Yang memburukkan keadaan tu ialah kekurangan petugas. Sebelum saya masuk tu 14 orang pekerja berhenti. Alasan biasa ialah bayaran sikit. Yalah, 900 ringgit je nak hidup kat bandaraya kedua terbesar di Malaysia…ingat cukup? Yang jadi petugas pembersihan ni pulak biasanya ibu tunggal. Mana lagi nak bayar yuran sekolah anak, sewa rumah, makan-pakai. Tambahan lagi Singapore kat sebelah tu je tawarkan gaji 3+++ sebulan. Memang cabut la gamaknya.

Waktu bertugas saya tak pilih kerja. Kalau boleh saya memang nak cuba semua tugas yang dilakukan oleh seorang petugas pembersihan. Sebab dalam masa yang sama saya nak kumpul pengalaman kot2 boleh jadi bahan dalam penulisan saya. Huhu campak kat mana pun saya tetap sorang penulis anyway…. Sampai waktu berhenti, cuma dua tugas je yang saya tak dapat buat iaitu scrubbing (sental lantai pakai mesin macam vakum) dan bersihkan bilik bedah. Bilik bedah dah ada petugas tetapnya di kalangan lelaki, sebab bukan semua orang tahan nak masuk situ. Kata penyelia, kat bilik bedah bungkus tangan atau kutip otak tu adalah perkara biasa. Mengelap limpahan darah adalah rutin. Jadi bukan semua orang sanggup nak buat benda2 tu. Saya pun rasa tak sanggup juga tapi teringin sangat nak cuba. Syukur jugak tak dapat sebab sampai sekarang bila fikir pun rasa nak muntah.

Oh ya, satu lagi yang paling best ialah membersihkan wad diRaja. Di tingkat atas sekali ialah wad khas untuk kerabat Johor. Yang ditugaskan untuk bersihkan situ ialah orang-orang lama macam Amma P. Bahaya la kalau orang sembarangan masuk situ. Yang ni pun saya tak dapat buat.

STAFF NURSE VS DOKTOR

Bekerja di hospital, saya paling suka tengok doktor. Walaupun doktor tak pandang kami pun tapi saya tetap suka perati dorg buat kerja dan akan cuba buat-buat lalu kat tempat yang ada doktor. Haha bunyi gedik betul kan.  Tapi serius saya memang suka doktor dari kecik lagi. Malangnya takde doktor yang nak kat saya pun Smile with tongue out. Saya suka dorg ni sebab saya fikir profesyen kedoktoran bersifat kemanusiaan. Sorg doktor biasanya lebih berhati perut dari manusia lain walaupun ada juga yang korup. Saya sangat respek ngan diorang dan sakit hati betul bila dengar ada staff nurse maki2 doktor. Memanglah staff nurse berpangkat tinggi pengetahuan lebih banyak berkenaan hospital. Tapi dia jangan lupa cemana dia mendaki untuk jadi staff nurse, camtu juga sorg doktor mendaki untuk jadi doktor. Bukan main beli ijazah je terus dapat title. Maaf la emo sikit. Sebab kawan2 saya kat Mesir pun budak medik juga so saya tahu cemana dorg punya struggle untuk sampai ke tahap tu…

IMAG1625

Satu lagi tak senonohnya budaya kerja hospital ni, yang berpangkat suka memarah dan memaki yang lebih rendah. Baik doktor, baik nurse, mahupun nurse terhadap doktor muda. Saya fikir budaya kerja macam ni sangat tak sihat. Sebab kesihatan jiwa tu yang sebenarnya buat manusia boleh survive dengan penyakit. Kalau mati pun dia akan mati dengan tenang. Ini bila pesakit dengar kakitangan hospital menengking sana-sini, konon nak sembuh pun terus mati. Huhu. Paling kesian sekali kalau para doktor yang ditengking2. Macam mana dorg nak merawat dengan berkualiti kalau diri sendiri pun tertekan? Memanglah kengkadang kena marah baru nak berhati2 tapi kalau berterusan gitu bukan ke sorang doktor akan jadi bengis dan tak peduli dengan perasaan pesakit? Hal tak cukup rehat tu tak payah cakaplah kan. Saya tengok budaya kerja para doktor kerajaan kita memang kesian dan bahaya untuk jangka masa panjang.

Tapi janganlah bayangkan suasana hospital kacau-bilau macam ni ye. Majoriti kakitangan hospital sume baik-baik. Mana yang tak buat hal tak adalah kena kan. Apa yang saya cerita ni umpama api dalam sekam. Orang tak nampak tapi dia MAKAN DALAM!

IMAG1630
Kad-kad ucapan dan penghargaan buat para doktor di wad jantung.

 PAHIT-MANIS PETUGAS PEMBERSIHAN

Tak ada pahit-manis. Bagi saya semuanya belajar. Cuma ada beberapa kenangan yang tak dapat saya lupakan waktu bertugas:

1) Saya masuk satu bilik persendirian di wad kelas 1. Lepas tegur makcik yang terbaring atas katil, saya kutip sampah dari tong dia. Saya tengok ada banyak habuk biskut bertabur. Saya pun kutip dengan tisu, dan baki sikit2 saya kutip dengan tangan je. Bila dah nak selesai, saya angkat kepala dan ternampak tangan makcik tu. Baru saya perasan rupanya makcik tu sakit kulit. Entah psiorisis ke apa, tapi kulitnya berkuping dan tanggal. Maknanya yang saya kutip tadi tu bukan habuk biskut, tapi kulit makcik tu! Ayark…

2) Saya melangkah masuk ke wad neuro lelaki. Waktu tu saya baru kerja, semangat positif masih tinggi dan saya tersenyum2 sana-sini. Tiba-tiba saya ter-senyum kat sorang pemuda yang kepalanya diskru dengan bingkai besi. Mungkin dia bedah tengkorak ke apa. Baru saya nak rasa ngeri tiba-tiba dia senyum balik kat saya! Ya Robbi tersentuh hati tengok betapa tabahnya abang tu. Di celah bingkai besi tu senyumannya ikhlas sangat…

3) Saya tengah mop lantai wad ICU Selatan. Dalam wad ICU selalunya pesakit disambungkan dengan mesin yang bermacam-macam bunyi. Tengah saya mop antara dua katil tiba-tiba dua mesin berbunyi serentak teeeeeeeeeeeeeeeeetttttttt…….. macam bunyi orang mati yang biasa kita tonton dalam drama. Hoi panik saya dibuatnya. Bila tengok, takde siapa yang mati pun. Atau mungkin saya yang terlanggar wayar? Rupanya mesin tu kehabisan ubat! Haha. Berlari-lari nurse tutup bunyi tu dan isi semula ubat. Diorang pun ketawa sebab masing-masing terkejut agaknya.

4) Saya dan Kak Syidah disuruh membersihkan tandas di lobi kecemasan. Kami pun pergilah dengan berat hati, sebab tandas lobi ni biasanya busuk ya amat sebab ramai orang guna. Kadang-kadang pam tandas rosak. Sekali masuk tandas lelaki, kami bau najis semerbak. Saya cakap dengan Kak Syidah, “Iee…..sape la b*r*k tak pam ni?!”. Sekali di tandas hujung ada orang berdehem. Alamak wei…rupanya ada orang tengah membuang. Sumpah tak perasan! Waktu uncle tu keluar kami buat tak pandang je. Rasa bersalah sebab laser sangat gi tegur. Kesian dia mesti malu.

5) Standard kebersihan & keselamatan. Bila bekerja dengan sisa pesakit, kami ditekankan soal kebersihan diri dengan ketat. Mesti basuh tangan dengan sabun dan keringkan. Buat kerja mesti pakai sarung tangan getah dan topeng muka. Tak boleh kutip sampah dari dalam tong dengan tangan kosong, sebab kadang2 ada jarum suntikan dalam tu. Tong sampah hospital pun dikelaskan. Tong kecik adalah tong biasa di setiap katil. Tong kelabu untuk sisa rawatan. Tong kuning untuk sisa badan pesakit macam lampin dan tisu berdarah. Untuk jarum suntikan pulak ada tong khas yang tak boleh dikitar semula. Bila penuh terus ganti dengan tong baru. Dengan standard kebersihan ni rasa persekitaran lebih selamat  dan terurus. Kalau dalam cerita doktor2 biasanya dorg sangat berhati2 dengan tusukan jarum suntikan terpakai. Memang begitu la halnya di dunia realiti pun. Kami petugas pembersihan pun ditekankan perkara yang sama.

PETUGAS PEMBERSIHAN KERJAYA MULIA

“Kebersihan sebahagian dari iman,” sabda Nabi s.a.w. Sebab itu saya rasa seronok buat kerja ni apatah lagi di hospital. Sebab di hospital, kebersihan adalah segala-galanya. Kalau hospital kotor, nyawa pesakit boleh terancam dek jangkitan kuman. Dengan semangat ni saya boleh bertugas dengan bangga tanpa rasa malu.

Cuma sedih bila kerja ni dipandang hina. Bayaran pun tidak setimpal dengan kerja. Mungkin negara kita mengukur upah kerja mengikut tahap pelajaran sedangkan sesetengah kerja orang SPM lebih teruk daripada kerja profesor. Cukuplah kita tengok betapa bersihnya Jepun, kerana mereka layan petugas pembersihan dengan sangat terhormat. Mereka tak dipanggil tukang cuci, tukang pungut, sebaliknya ‘Jurutera Kesihatan’.

Walaupun sekejap saja saya buat kerja ni tapi pengalamannya tinggalkan kesan mendalam bagi saya. Saya harap suatu hari nanti nasib petugas pembersihan hospital akan lebih dititik beratkan macam mana kerajaan menjaga doktor dan jururawat.

Selasa, 21 Januari 2014

Jawatan Kosong Di Ummah Universe

Saya graduan yang baru tamat belajar. Lepasan dari pesantren yang biasa-biasa sahaja, bukanlah kolej apatah lagi universiti. Saya mengembara ke serata dunia mencari peluang pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan saya. Akhirnya langkah kaki berhenti di hadapan sebuah bangunan agam yang usang. Warna catnya lusuh, rumput semak memanjat ganas di beberapa bahagian dinding dan temboknya-masyaAllah-menggelupas dengan bata yang berlubang bak tulang diserang osteoporisis. Saya senyum senget menatap satu-satunya benda yang kelihatan megah di situ-papan tanda bertulis Ummah Universe Pte.Ltd.

            Oh, mengapa kaki berhenti di rumah hantu ini? Tuhan, syarikat apakah begini?

            Selamat datang ke Ummah Universe. Saya Nuur.

            Manis sekali senyumnya. Saya memperkenalkan diri kepada Nuur, pegawai perhubungan awam  yang ayu berhijab dengan selendang lilit arab. Walaupun teragak-agak saya nyatakan jua hasrat di hati, saya graduan pesantren mahu memohon jawatan kosong.

            Ahlan wa sahlan, Ummah Universe sangat mengalu-alukan anda! Di sini terdapat banyak jawatan kosong dengan pelbagai kelulusan untuk anda isi. Anak syarikat kami terdapat di serata dunia, bahkan di tanahair anda sendiri. Kami tidak memilih anda, sebaliknya anda sendiri boleh pilih untuk bekerja di mana-mana cawangan yang anda suka.

            Oh, saya semakin teruja. Tidak memilih kelulusan? Terdapat anak syarikat di seluruh dunia? Memang syarikat gigantic. Tetapi apakah jenis perniagaan yang dijalankan di rumah hant…..er,syarikat ni?

            Syarikat kami menjalankan perkhidmatan menyebarkan Tuhid dan keamanan di muka bumi. Dengan motto ‘Tiada Tuhan Selain Allah, Nabi Muhammad Pesuruh Allah’ , perkhidmatan kami  tersebar merentasi sempadan negara dan benua. Setiap pelanggan yang mendukung aspirasi kami diberikan gelaran ‘Muslim’ dengan persaudaraan global tanpa syarat. Syarikat kami mempunyai profil yang hebat dengan sejarah perniagaan yang sangat panjang. Bagaimana? Jika Cik berminat, saya akan bawa Cik melawat ke dalam syarikat.

            Saya berfikir-fikir sejenak. Oh,jadi syarikat ini menjalankan perniagaan yang hebat. Pasaran sangat luas dan mencabar. Musuh perniagannya pun bukan calang-calang. Sekularis Holdings Pte.Ltd, Mason Brothers Unversal Pte.Ltd, Church & Synagogue International, Capitalist Interest Institution, Missionary Multilevel dan lain-lain nama yang mengerikan. Jika begini pasti pengalamannya hebat, dan gajinya pun………ehm,ehm.

            Baiklah, saya berminat.

            Nuur membawa saya ke ruangan dalam. Tiada set perabot mahupun sofa empuk. Hanya kerusi biasa dan skrin lutsinar tergantung sebesar dinding mengelilingi ruang. Dengan remote control di tangan, Nuur membawa saya menjelajah ke dunia virtual Ummah Universe.

            Syarikat kami mempunyai beberapa lapisan pengurusan. Tertinggi, Syura, Pentadbiran dan Lapangan. Tiga lapisan teratas dianggotai oleh pegawai-pegawai Lapangan yang telah dinaikkan pangkat ataupun graduan-graduan yang mendapat pengajian khusus. Maklumatnya sulit dan tidak didedahkan kepada umum. Yang dibuka kepada umum cuma bahagian Lapangan.

            Saya menatap tulisan-tulisan di skrin. Carta aliran kerja dan jawatan.

            Di Lapangan, kami mempunyai beberapa buah jabatan iaitu Jabatan Sumber Manusia, Jabatan Bekalan dan Lojistik, Jabatan Kajian dan Pembangunan  dan Jabatan Perhubungan Luar. Di Jabatan Sumber Manusia kami menyediakan tenaga penggerak baru untuk Ummah Universe. Ia meliputi Pusat Kajian Sumber yang meneroka potensi-potensi baru dan Institut Latihan Khusus untuk tenaga kerja yang mahu mengambil pengkhususan jawatan mahupun memohon kenaikan pangkat. Di jabatan ini terdapat banyak jawatan kosong untuk para pensyarah dalam pelbagai jurusan ilmu tetapi diutamakan kepada pelanggan Ummah Universe.

            Saya senyum sahaja. Saya hanya graduan pesantren yang biasa-biasa, tak mungkin berkhidmat di situ.

            Di Jabatan Bekalan dan Lojistik, kami membekalkan segala keperluan harian untuk pelanggan Ummah Universe, dan keperluan operasi syarikat sendiri. Dari sekecil-kecil pemadam hingga sebesar bangunan pencakar langit, kami akan memastikan segala dana datang dari sumber yang halaalan untuk mendapatkan natijah yang thoiyibah. Jabatan Bekalan dan Lojistik ini baru sahaja ditubuhkan, belum pun berusia seratus tahun dan ia merangkumi bahagian yang luas antaranya perniagaan borong dan runcit, perbankan, industri pengangkutan, pembuatan barangan, makanan dan ubat-ubatan. Tidak ketinggalan industri perladangan dan penternakan, untuk menjamin bekalan barang mentah yang halal lagi baik kepada kilang-kilang kami. Di jabatan ini kami memerlukan peniaga-peniaga kecil dan besar untuk menerajui anak-anak syarikat dan perusahaan, terutamanya yang menjadi pelanggan Ummah Universe. Tetapi setakat ini tenaga amat kurang. Diulangi, amat kurang. Jumlah yang sedikit itu pula menghadapi saingan teramat sengit dari musuh terutamanya Syarikat Capitalist Interest Institution. Selain itu cabaran datang dari pelanggan Ummah Universe sendiri yang kurang memberi sokongan kepada produk kami. Mereka lebih meyakini produk musuh yang lebih berjenama walaupun tidak diyakini halalnya.

            Ops, adakah Nuur maksudkan saya di situ?

            Kemudian Jabatan Kajian dan Pembangunan. Dengan kekuatan enam jentera kami menyediakan keperluan sosial terpenting kepada pelanggan Ummah Universe antaranya pendidikan pelbagai peringkat, kesihatan, multi- teknologi, guaman dan pentadbiran pelbagai bidang. Di bawah jabatan ini kami mempunyai pelbagai institusi yang tidak terhitung bilangannya, begitu juga keperluan tenaga di sini tak pernah mencukupi. Kami perlukan guru-guru, doktor perubatan mahupun doktor falsafah,wartawan, majistret, ahli politik, saintis, kerani, diplomat, alim-ulama’, penasyid, pelakon, jururawat, penulis, jurutera perisian….…..

            Baik, saya faham. Yang penting ia berkaitan dengan jabatan tu, kan?

            Nuur mengangguk. Diutamakan kepada pelanggan Ummah Universe, tambahnya. Kerana jabatan ini antara sayap terpenting Ummah Universe yang menerima saingan hebat musuh. Bahagian Multi-Teknologi umpamanya, bahkan menjadi perisai dalam menghadapi serangan propaganda musuh yang menggunakan media untuk menjatuhkan Ummah Universe. Oleh itu sudah pastilah hanya pelanggan Ummah Universe yang mampu bekerja semula dengan kami. Di jabatan ini kami turut mengalami masalah kekurangan tenaga penggerak. Sedikit tenaga yang ada itu pula kualitinya kurang memuaskan tetapi kami terpaksa terima untuk menutup kelompangan yang serius.

            Ya….yang penting bukan saya orangnya. Saya hanya graduan pesantren taraf rendah.

            Yang terakhir, Jabatan Perhubungan Luar yang terpenting dalam operasi Ummah Universe, juga mengalami masalah kekurangan tenaga paling kritikal.

            Oh, mungkin saya boleh bantu?

            Di jabatan ini kami menjalankan misi utama kami, Tauhid. Kami memerangi ideologi dan teori-teori musuh yang cuba melenyapkan Tauhid di mukabumi. Di bawah pentadbiran jabatan ini kami tubuhkan pusat-pusat kajian untuk melawan setiap ideologi yang ada. Cik sebutkan apa sahaja, sekularisme, nasionalisme, nazisme, marxisme, scientology, semua ada. Zionis dengan Kabbalah-nya pun ada! Cik pernah dengar nama Darwin? Kenal Stephen Hawking? Tahu teori evolusi Darwinisme? Saintis-saintis kami di Institut Adnan Oktar sedang melawan teori syirik ini. Dalam masa yang sama di jabatan ini kami sedang bertarung dengan Mason Brothers Universal Pte.Ltd. untuk mendapatkan semula saham kami yang telah tergadai di cawangan Al-Quds.

            Apa tu semua? Saya hanya melopong mendengarnya.

            Satu lagi fungsi terpenting Jabatan Perhubungan Luar, kami berhubungan secara langsung dengan cawangan-cawangan Ummah Universe di serata dunia. Di sini kami mengumpul data maklumat setiap cawangan dan memberikan bantuan yang diperlukan oleh cawangan tersebut serta-merta. Lain cawangan, lain keperluan, lainlah pula pengalamannya. Kalau Cik berminat untuk berkhidmat di mana-mana cawangan bolehlah saya tunjukkan.

            Tak apa, tak apa, banyak betul. Saya dah pening. Sekarang saya cuma nak tau macam mana dengan gaji?

            Nuur senyum.

            Gaji dunia, ia berbeza-beza mengikut ketentuan setiap cawangan. Tapi yang lebih baik dari tu, kami tawarkan kelepasan dari api neraka di akhirat, dan kemewahan abadi di syurga yang kekal. Bagaimana?

            *                       *                       *

            “ Wei! Hang ni laa….mengadap laptop pun boleh tidoq. Pi naik atas katil la.”

            Hilang wajah Nuur. Hilang skrin besar di Ummah Universe. Saya, mahasiswa tahun akhir Universiti Al-Azhar sedang berada di rumah sewa, tertidur ketika meninjau jawatan kosong di laman MalaysianJob. Jawatan kosong…Ummah Universe…ah,mimpi rupanya! Basyirah di belakang menggeleng-geleng.

            Ummah Universe, bukankah itu agama Islam…

            Pelanggan Ummah Universe, bukankah itu saya yang bergelar Muslim…

            Rumah hantu yang usang itu, bukankah wajah umat ini yang lemah dan terhina…

            Saya termangu bingung. Mimpi apa begitu. Bukankah sebenarnya teguran Allah kepada saya. Ummah ini sangat banyak jawatan kosong, sangat memerlukan saya untuk berkhidmat, tapi saya sibuk mencari habuan dunia yang sebentar…. yang hanya membuat ulat penuh di dalam kubur.
            Astaghfirullahal’azim…..

“ Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu aku tunjukkan satu perniagaan yang akan menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan rasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu, sesungguhnya itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. Nescaya Allah mengampunkan dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan ke tempat tinggal yang baik di Syurga ‘Adn, itulah kemenangan yang agung ” – Surah As-Soff, 10-12

“ Sesungguhnya Allah membeli harta dan jiwa Mu’min itu dengan Syurga (sebagai bayarannya), mereka berperang di jalan Allah sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (demikianlah) janji yang benar-benar terdapat di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran, dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual-beli yang telah kamu lakukan, sesungguhnya itulah kemenangan yang agung ” – Surah As-Taubah, 111.

Ahad, 5 Januari 2014

Hanya Jauhari Mengenal Manikam


Pada tahun terakhir kewujudanku di Timur Tengah, aku saksikan pertembungan dua cendekiawan agung Islam zaman ini - Al-Fadhil Dr. Yusuf Qaradhawi dan Al-'Allamah Syahiidul Mimbar Syeikh Ramadhan Al-Buthi radhiyAllahu 'anhuma. Kedua-duanya hebat, kedua-duanya lantang, kedua-duanya berdiri atas asas yang kukuh. Paling hebat sekali pada keduanya ialah : KEDUA-DUANYA TEGUH MEMPERTAHANKAN KEHORMATAN SAUDARANYA WALAUPUN BERTEMBUNG DALAM PERANG IDEOLOGI.

As-Syahid Syeikh Al-Buthi apabila hendak menegur Dr. Al-Qaradhawi, dimulai pujian dan menyebut kelebihan-kelebihan beliau.

Begitu juga Al-Fadhil Dr. Al-Qaradhawi apabila hendak menyangkal pendapat As-Syahid, kalamnya sentiasa dihiasi pujian dan penghormatan yang tinggi.



Dengan akhlak beginilah Allah mengangkat keduanya ke singgahsana ilmu, walaupun apa yang berlaku kemudian sungguh pahit dan hanya Allah mengetahui hikmahnya.

Kebelakangan ini ilmuwan di tanahairku pula terjerlus dalam pertembungan idea. Malang, sudahlah bilangan sedikit. Mudah benar yang sedikit ini di-anjing babi-kan layaknya orang politik, di-kau aku-kan layaknya kawan-kawan sekolah. Di mana agaknya bangsa Melayu yang sopan santun mendapat perangai begini? Bukankah bangsa ini hatinya lembut, hingga Islam datang ke sini dulu langsung tiada pertumpahan darah?

Benar, hanya jauhari mengenal manikam. Hanya lalat menghurung tahi. Begitulah hanya orang-orang berperibadi mulia yang tahu menghormati para ulama' dan perdebatan ilmu. Begitu juga orang-orang berperibadi rendah hanya tahu memaki dan mencela perkara yang mereka tidak faham dan tak ingin dengar.

Mari belajar hormati orang lain. Penghormatan yang kita lotarkan tak jauh perginya melainkan kepada diri kita sendiri juga.
اللهم صل على سيدنا رسول الله وعلى آله...