Selasa, 21 Januari 2014

Jawatan Kosong Di Ummah Universe

Saya graduan yang baru tamat belajar. Lepasan dari pesantren yang biasa-biasa sahaja, bukanlah kolej apatah lagi universiti. Saya mengembara ke serata dunia mencari peluang pekerjaan yang sesuai dengan kelulusan saya. Akhirnya langkah kaki berhenti di hadapan sebuah bangunan agam yang usang. Warna catnya lusuh, rumput semak memanjat ganas di beberapa bahagian dinding dan temboknya-masyaAllah-menggelupas dengan bata yang berlubang bak tulang diserang osteoporisis. Saya senyum senget menatap satu-satunya benda yang kelihatan megah di situ-papan tanda bertulis Ummah Universe Pte.Ltd.

            Oh, mengapa kaki berhenti di rumah hantu ini? Tuhan, syarikat apakah begini?

            Selamat datang ke Ummah Universe. Saya Nuur.

            Manis sekali senyumnya. Saya memperkenalkan diri kepada Nuur, pegawai perhubungan awam  yang ayu berhijab dengan selendang lilit arab. Walaupun teragak-agak saya nyatakan jua hasrat di hati, saya graduan pesantren mahu memohon jawatan kosong.

            Ahlan wa sahlan, Ummah Universe sangat mengalu-alukan anda! Di sini terdapat banyak jawatan kosong dengan pelbagai kelulusan untuk anda isi. Anak syarikat kami terdapat di serata dunia, bahkan di tanahair anda sendiri. Kami tidak memilih anda, sebaliknya anda sendiri boleh pilih untuk bekerja di mana-mana cawangan yang anda suka.

            Oh, saya semakin teruja. Tidak memilih kelulusan? Terdapat anak syarikat di seluruh dunia? Memang syarikat gigantic. Tetapi apakah jenis perniagaan yang dijalankan di rumah hant…..er,syarikat ni?

            Syarikat kami menjalankan perkhidmatan menyebarkan Tuhid dan keamanan di muka bumi. Dengan motto ‘Tiada Tuhan Selain Allah, Nabi Muhammad Pesuruh Allah’ , perkhidmatan kami  tersebar merentasi sempadan negara dan benua. Setiap pelanggan yang mendukung aspirasi kami diberikan gelaran ‘Muslim’ dengan persaudaraan global tanpa syarat. Syarikat kami mempunyai profil yang hebat dengan sejarah perniagaan yang sangat panjang. Bagaimana? Jika Cik berminat, saya akan bawa Cik melawat ke dalam syarikat.

            Saya berfikir-fikir sejenak. Oh,jadi syarikat ini menjalankan perniagaan yang hebat. Pasaran sangat luas dan mencabar. Musuh perniagannya pun bukan calang-calang. Sekularis Holdings Pte.Ltd, Mason Brothers Unversal Pte.Ltd, Church & Synagogue International, Capitalist Interest Institution, Missionary Multilevel dan lain-lain nama yang mengerikan. Jika begini pasti pengalamannya hebat, dan gajinya pun………ehm,ehm.

            Baiklah, saya berminat.

            Nuur membawa saya ke ruangan dalam. Tiada set perabot mahupun sofa empuk. Hanya kerusi biasa dan skrin lutsinar tergantung sebesar dinding mengelilingi ruang. Dengan remote control di tangan, Nuur membawa saya menjelajah ke dunia virtual Ummah Universe.

            Syarikat kami mempunyai beberapa lapisan pengurusan. Tertinggi, Syura, Pentadbiran dan Lapangan. Tiga lapisan teratas dianggotai oleh pegawai-pegawai Lapangan yang telah dinaikkan pangkat ataupun graduan-graduan yang mendapat pengajian khusus. Maklumatnya sulit dan tidak didedahkan kepada umum. Yang dibuka kepada umum cuma bahagian Lapangan.

            Saya menatap tulisan-tulisan di skrin. Carta aliran kerja dan jawatan.

            Di Lapangan, kami mempunyai beberapa buah jabatan iaitu Jabatan Sumber Manusia, Jabatan Bekalan dan Lojistik, Jabatan Kajian dan Pembangunan  dan Jabatan Perhubungan Luar. Di Jabatan Sumber Manusia kami menyediakan tenaga penggerak baru untuk Ummah Universe. Ia meliputi Pusat Kajian Sumber yang meneroka potensi-potensi baru dan Institut Latihan Khusus untuk tenaga kerja yang mahu mengambil pengkhususan jawatan mahupun memohon kenaikan pangkat. Di jabatan ini terdapat banyak jawatan kosong untuk para pensyarah dalam pelbagai jurusan ilmu tetapi diutamakan kepada pelanggan Ummah Universe.

            Saya senyum sahaja. Saya hanya graduan pesantren yang biasa-biasa, tak mungkin berkhidmat di situ.

            Di Jabatan Bekalan dan Lojistik, kami membekalkan segala keperluan harian untuk pelanggan Ummah Universe, dan keperluan operasi syarikat sendiri. Dari sekecil-kecil pemadam hingga sebesar bangunan pencakar langit, kami akan memastikan segala dana datang dari sumber yang halaalan untuk mendapatkan natijah yang thoiyibah. Jabatan Bekalan dan Lojistik ini baru sahaja ditubuhkan, belum pun berusia seratus tahun dan ia merangkumi bahagian yang luas antaranya perniagaan borong dan runcit, perbankan, industri pengangkutan, pembuatan barangan, makanan dan ubat-ubatan. Tidak ketinggalan industri perladangan dan penternakan, untuk menjamin bekalan barang mentah yang halal lagi baik kepada kilang-kilang kami. Di jabatan ini kami memerlukan peniaga-peniaga kecil dan besar untuk menerajui anak-anak syarikat dan perusahaan, terutamanya yang menjadi pelanggan Ummah Universe. Tetapi setakat ini tenaga amat kurang. Diulangi, amat kurang. Jumlah yang sedikit itu pula menghadapi saingan teramat sengit dari musuh terutamanya Syarikat Capitalist Interest Institution. Selain itu cabaran datang dari pelanggan Ummah Universe sendiri yang kurang memberi sokongan kepada produk kami. Mereka lebih meyakini produk musuh yang lebih berjenama walaupun tidak diyakini halalnya.

            Ops, adakah Nuur maksudkan saya di situ?

            Kemudian Jabatan Kajian dan Pembangunan. Dengan kekuatan enam jentera kami menyediakan keperluan sosial terpenting kepada pelanggan Ummah Universe antaranya pendidikan pelbagai peringkat, kesihatan, multi- teknologi, guaman dan pentadbiran pelbagai bidang. Di bawah jabatan ini kami mempunyai pelbagai institusi yang tidak terhitung bilangannya, begitu juga keperluan tenaga di sini tak pernah mencukupi. Kami perlukan guru-guru, doktor perubatan mahupun doktor falsafah,wartawan, majistret, ahli politik, saintis, kerani, diplomat, alim-ulama’, penasyid, pelakon, jururawat, penulis, jurutera perisian….…..

            Baik, saya faham. Yang penting ia berkaitan dengan jabatan tu, kan?

            Nuur mengangguk. Diutamakan kepada pelanggan Ummah Universe, tambahnya. Kerana jabatan ini antara sayap terpenting Ummah Universe yang menerima saingan hebat musuh. Bahagian Multi-Teknologi umpamanya, bahkan menjadi perisai dalam menghadapi serangan propaganda musuh yang menggunakan media untuk menjatuhkan Ummah Universe. Oleh itu sudah pastilah hanya pelanggan Ummah Universe yang mampu bekerja semula dengan kami. Di jabatan ini kami turut mengalami masalah kekurangan tenaga penggerak. Sedikit tenaga yang ada itu pula kualitinya kurang memuaskan tetapi kami terpaksa terima untuk menutup kelompangan yang serius.

            Ya….yang penting bukan saya orangnya. Saya hanya graduan pesantren taraf rendah.

            Yang terakhir, Jabatan Perhubungan Luar yang terpenting dalam operasi Ummah Universe, juga mengalami masalah kekurangan tenaga paling kritikal.

            Oh, mungkin saya boleh bantu?

            Di jabatan ini kami menjalankan misi utama kami, Tauhid. Kami memerangi ideologi dan teori-teori musuh yang cuba melenyapkan Tauhid di mukabumi. Di bawah pentadbiran jabatan ini kami tubuhkan pusat-pusat kajian untuk melawan setiap ideologi yang ada. Cik sebutkan apa sahaja, sekularisme, nasionalisme, nazisme, marxisme, scientology, semua ada. Zionis dengan Kabbalah-nya pun ada! Cik pernah dengar nama Darwin? Kenal Stephen Hawking? Tahu teori evolusi Darwinisme? Saintis-saintis kami di Institut Adnan Oktar sedang melawan teori syirik ini. Dalam masa yang sama di jabatan ini kami sedang bertarung dengan Mason Brothers Universal Pte.Ltd. untuk mendapatkan semula saham kami yang telah tergadai di cawangan Al-Quds.

            Apa tu semua? Saya hanya melopong mendengarnya.

            Satu lagi fungsi terpenting Jabatan Perhubungan Luar, kami berhubungan secara langsung dengan cawangan-cawangan Ummah Universe di serata dunia. Di sini kami mengumpul data maklumat setiap cawangan dan memberikan bantuan yang diperlukan oleh cawangan tersebut serta-merta. Lain cawangan, lain keperluan, lainlah pula pengalamannya. Kalau Cik berminat untuk berkhidmat di mana-mana cawangan bolehlah saya tunjukkan.

            Tak apa, tak apa, banyak betul. Saya dah pening. Sekarang saya cuma nak tau macam mana dengan gaji?

            Nuur senyum.

            Gaji dunia, ia berbeza-beza mengikut ketentuan setiap cawangan. Tapi yang lebih baik dari tu, kami tawarkan kelepasan dari api neraka di akhirat, dan kemewahan abadi di syurga yang kekal. Bagaimana?

            *                       *                       *

            “ Wei! Hang ni laa….mengadap laptop pun boleh tidoq. Pi naik atas katil la.”

            Hilang wajah Nuur. Hilang skrin besar di Ummah Universe. Saya, mahasiswa tahun akhir Universiti Al-Azhar sedang berada di rumah sewa, tertidur ketika meninjau jawatan kosong di laman MalaysianJob. Jawatan kosong…Ummah Universe…ah,mimpi rupanya! Basyirah di belakang menggeleng-geleng.

            Ummah Universe, bukankah itu agama Islam…

            Pelanggan Ummah Universe, bukankah itu saya yang bergelar Muslim…

            Rumah hantu yang usang itu, bukankah wajah umat ini yang lemah dan terhina…

            Saya termangu bingung. Mimpi apa begitu. Bukankah sebenarnya teguran Allah kepada saya. Ummah ini sangat banyak jawatan kosong, sangat memerlukan saya untuk berkhidmat, tapi saya sibuk mencari habuan dunia yang sebentar…. yang hanya membuat ulat penuh di dalam kubur.
            Astaghfirullahal’azim…..

“ Wahai orang-orang yang beriman, mahukah kamu aku tunjukkan satu perniagaan yang akan menyelamatkan kamu dari azab yang pedih? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan rasulNya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu, sesungguhnya itu lebih baik bagimu jika kamu mengetahui. Nescaya Allah mengampunkan dosa-dosamu dan memasukkanmu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, dan ke tempat tinggal yang baik di Syurga ‘Adn, itulah kemenangan yang agung ” – Surah As-Soff, 10-12

“ Sesungguhnya Allah membeli harta dan jiwa Mu’min itu dengan Syurga (sebagai bayarannya), mereka berperang di jalan Allah sehingga mereka membunuh atau terbunuh, (demikianlah) janji yang benar-benar terdapat di dalam Taurat, Injil dan Al-Quran, dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual-beli yang telah kamu lakukan, sesungguhnya itulah kemenangan yang agung ” – Surah As-Taubah, 111.

Ahad, 5 Januari 2014

Hanya Jauhari Mengenal Manikam


Pada tahun terakhir kewujudanku di Timur Tengah, aku saksikan pertembungan dua cendekiawan agung Islam zaman ini - Al-Fadhil Dr. Yusuf Qaradhawi dan Al-'Allamah Syahiidul Mimbar Syeikh Ramadhan Al-Buthi radhiyAllahu 'anhuma. Kedua-duanya hebat, kedua-duanya lantang, kedua-duanya berdiri atas asas yang kukuh. Paling hebat sekali pada keduanya ialah : KEDUA-DUANYA TEGUH MEMPERTAHANKAN KEHORMATAN SAUDARANYA WALAUPUN BERTEMBUNG DALAM PERANG IDEOLOGI.

As-Syahid Syeikh Al-Buthi apabila hendak menegur Dr. Al-Qaradhawi, dimulai pujian dan menyebut kelebihan-kelebihan beliau.

Begitu juga Al-Fadhil Dr. Al-Qaradhawi apabila hendak menyangkal pendapat As-Syahid, kalamnya sentiasa dihiasi pujian dan penghormatan yang tinggi.



Dengan akhlak beginilah Allah mengangkat keduanya ke singgahsana ilmu, walaupun apa yang berlaku kemudian sungguh pahit dan hanya Allah mengetahui hikmahnya.

Kebelakangan ini ilmuwan di tanahairku pula terjerlus dalam pertembungan idea. Malang, sudahlah bilangan sedikit. Mudah benar yang sedikit ini di-anjing babi-kan layaknya orang politik, di-kau aku-kan layaknya kawan-kawan sekolah. Di mana agaknya bangsa Melayu yang sopan santun mendapat perangai begini? Bukankah bangsa ini hatinya lembut, hingga Islam datang ke sini dulu langsung tiada pertumpahan darah?

Benar, hanya jauhari mengenal manikam. Hanya lalat menghurung tahi. Begitulah hanya orang-orang berperibadi mulia yang tahu menghormati para ulama' dan perdebatan ilmu. Begitu juga orang-orang berperibadi rendah hanya tahu memaki dan mencela perkara yang mereka tidak faham dan tak ingin dengar.

Mari belajar hormati orang lain. Penghormatan yang kita lotarkan tak jauh perginya melainkan kepada diri kita sendiri juga.
اللهم صل على سيدنا رسول الله وعلى آله...