Khamis, 3 Julai 2014

Pornografi: Dugaan Generasi Y

Golongan muda di zaman moden ini menikmati kemudahan teknologi komunikasi yang begitu menakjubkan. Daripada asal telefon bimbit sebesar beg kerja yang perlu dijinjing ke sana-sini, kini iPad dan telefon pintar memungkinkan komunikasi berlangsung dengan satu sentuhan sahaja. Di samping manfaat yang diperolehi, jaringan komunikasi tanpa batasan juga telah membuka pintu kepada sebaran penyakit sosial yang menghancurkan, antaranya ialah pornografi.

Pornografi - istilah yang digunakan untuk sebarang paparan lucah dan cenderung ke arah perlakuan seksual. Bahan ini disebarkan dengan begitu meluas oleh media tanpa mempedulikan adat budaya dan batas agama. Jika dua puluh tahun dulu perkara seksual adalah tabu dan terlindung dari masyarakat, kini anak-anak sekolah rendah pun sudah didapati melakukan hubungan terlarang. Belum lagi dikira jumlah kes pembuangan bayi, kecurangan pasangan dan kehancuran institusi keluarga akibat pornografi. Perkara ini amat membimbangkan. Jika tidak dibendung, ia bakal memusnahkan struktur social masyarakat muslim di Malaysia. Ibarat tikus melubangi empangan, lambat-laun empangan akan pecah dan mengundang malapetaka.

            
Jika hendak menuding jari mencari salah, pelbagai pihak boleh dipersalahkan hingga kitarannya berpanjangan. Kesimpulannya, penyebaran pornografi adalah plot terancang yang dijalankan suatu pihak untuk merosakkan penduduk dunia, khususnya yang muslim. Jadi langkah yang sepatutnya diambil ialah individu sendiri perlu merasa bertanggungjawab melindungi dirinya dari pornografi. Namun usaha menjauhinya bukanlah mudah. Ini kerana pornografi amat berkait rapat dengan fitrah manusia yang ingin melakukan hubungan jenis. Hanya dengan sedikit pendedahan sahaja manusia akan mula tertarik mendekatinya, terutamanya golongan lelaki.

Allah SWT sudah menerangkan perkara ini dalam firman-Nya bermaksud: “Dan janganlah kamu hampiri zina…”. Allah tidak berkata ‘jangan lakukan’. Kerana manusia boleh saja melakukan perbuatan ‘ringan-ringan’ tetapi tidak melakukan zina yang sebenarnya. Sebaliknya Allah melarang lebih awal dari itu dengan berkata, ‘jangan hampir’. Kerana, apabila manusia menghampiri perangkap zina – seperti pornografi dan pergaulan liar – mereka tidak mampu berpatah balik kerana kuatnya tarikan nafsu terhadap perkara tersebut. Bererti segala pintu yang menuju ke arah zina mesti ditutup serapatnya; baik hubungan liar antara jantina, percakapan dan perbuatan yang tidak sesuai, mahupun paparan media bermesej lucah.

Orang Melayu biasanya akan berkias apabila menyebut perkara seksual. Istilah ‘Kelapa ditebuk tupai’ adalah contoh untuk mengaburi perlakuan seksual yang telah berlaku sebelum nikah. Ini untuk menjauhkan fikiran pendengar dari membayangkan perkara lucah terutamanya golongan yang belum berkahwin. Budaya yang sangat manis ini sangat menepati arahan Allah SWT supaya manusia menjauhi zina. Ia patut dihidupkan semula terutamanya oleh pihak media, sebagai salah satu usaha mengekang penyebaran pornografi.

Antara usaha yang patut dipergiatkan ialah melarang penggunaan telefon pintar kepada anak-anak di bawah umur. Penggunaan telefon pintar di kalangan kanak-kanak dan remaja sudah terbukti mengakibatkan kemurungan, hilang tumpuan terhadap pelajaran dan menjadi sebab utama mereka terdedah kepada pornografi. Ini kerana mereka belum matang untuk menilai perkara yang baik dan buruk, justeru mereka belum bersedia untuk didedahkan kepada jaringan komunikasi tanpa batasan. Cukuplah mereka mempelajari internet melalui computer sahaja. Ia lebih mudah dikawal dan dipantau.

            
Langkah terpenting ialah ibubapa perlu membekali anak-anak dengan didikan agama sebagai pedang dan perisai mereka menghadapi dugaan pornografi. Ibubapa tidak selamanya dapat memantau anak-anak. Dengan keimanan dan ketaqwaan yang disuntik ke dalam jiwa mereka, insya-Allah mereka mampu menjaga diri sendiri dari terjatuh ke jurang pornografi dan zina. Sekurang-kurangnya dengan didikan agama yang mantap, anak-anak akan bijak memilih lingkungan social yang bersesuaian dengan jiwa dan amalan agamanya. Kawan-kawan yang baik adalah ‘talian hayat’ terkuat yang dapat melindungi remaja dari terjerumus ke lubang dosa. Apabila mereka sibuk dengan aktiviti bermanfaat dan saling mengambil berat, secara tak langsung mereka akan terhindar dari pornografi dan lain-lain penyakit social yang sewaktu dengannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan