Sabtu, 27 Jun 2015

Kisah Aku Editor - Part 1: Impian Yang Jauh


Bismillahirrohmanirrohim.

(Dulu waktu aku jadi cikgu, banyak pengalaman yang tak sempat aku tulis sebab terlalu sibuk. Sekarang dah takde mende aku nak kenang tentang pengalaman tu kecuali secebis di sana-sini.
Sama juga bila aku jadi editor. Nak tulis diari pun dah malas.)

Kesahnya.

Sejak kecik aku memang suka menulis. Aku tak boleh lupa sekolah tahfiz aku yang anti dengan segala aktiviti mental selain menghafal Quran. Berapa kali karya yang aku tulis dalam buku latihan buruk dirampas warden. Warden bertukar ganti, itu jua yang aku lalui.

Sampailah kepada Ustazah Asiah, mualaf Sabah yang tetiba kagum tengok aku suka mengarang lalu nasihatkan aku cari peluang untuk pergi jauh dalam bidang ni. Dengan hutan banat keliling kami, apalah peluang yang ada? Nasihatnya habis sampai situ jelah. Aku tanam impian tu jauh-jauh dalam hati memandangkan orang tua pun tak menyokong minat aku.

Aku naik kolej. Panjat menara gading. Terbang lompat-lompat benua. Minat tu makin jauh aku tinggalkan. Lima tahun bergelumang kat padang pasir sampai tahap aku dah tak boleh menulis lagi. Bukan lumpuh. Cuma perbendaharaan kata dah hilang sebab dah lama tak baca buku berbahasa Melayu.

Apa yang dapat aku catatkan hanya repekan di laman sosial. Kadang-kadang travelog, kadang-kadang gaduh politik, kadang-kadang status dungu yang mengharap puluhan like.

Ironinya, cinta aku makin tebal kepada dunia penulisan. Sebab bidang pengajian Islam memberitahu bahawa penalah yang menjaga agama ini. Kalau bukan sebab ulama’ dulu suka mengarang, suka menjelajah, suka menterjemah, tak adalah Andalus yang melahirkan Eropah moden.

Al-Quran pun dipelihara dengan tulisan, selepas para penghafaznya syahid dalam perang. Ayat pertama yang turun pun kata: Bacalah dengan Nama Tuhanmu Yang Maha Agung. Yang mengajar manusia dengan PENA. (Al-‘Alaq)

Aku bulatkan hati nak bekerja dengan pen. Waktu lapang selepas grad aku ambil sijil menterjemah Bahasa Arab di ITBM. Buat resume dan hantar kepada syarikat-syarikat penerbitan yang aku fikir sesuai.

Sambil jadi fasilitator dan volunteer sana-sini, aku mula dapat job terjemahan dari kawan sekursus di ITBM. Tapi sebab terlalu hijau mentah dalam bidang ni, aku tak berani nak ambil upah walaupun dia kata terjemahan aku lebih baik dari yang dia buat. Bagi aku, pengalaman lebih mahal dari duit.

Enam bulan. Tujuh bulan. Lapan bulan.

Krik… Krik… Krik…

Aku belum kerja (dalam ofis bergaji tetap, mengikut fahaman tipikal Melayu).

¬’Kilat’ sabung-menyabung kat rumah aku jangan cakaplah. Tak tahu kenapa ‘petir’ hanya melanda rumah aku waktu tu. 24/7. ¬

Aku selalu doa kepada Tuhan, jadikan aku tentera yang berkhidmat untuk Dia. Mestilah bukan dengan senapang. Aku sedar medan jihad tu luas walaupun tak tahu aku fit kat mana. J-Corp buat jihad ekonomi. Menteri Asas Tani berjihad lawan orang tengah. Mesti ada celah mana-mana yang aku boleh menyelit dalam medan jihad yang luas ni.

Dalam masa menunggu peluang jihad tu aku sempat jadi kerani. Sempat jadi cleaner. Sempat jadi petugas kemanusiaan. Sempat jadi ustazah. Sempat jadi penterjemah. Sempat jadi pembuat kuih yang menjual di pejabat. Sempat jadi promoter. Sempat jadi event crew. Sempat dibuang kerja. Alhamdulillah, Allah bagi aku rasa semua pahit manis yang aku nak… sambil Dia sentiasa di sisi dan pujuk bila aku menangis.

(Selama ni aku selesa sangat dalam jubah ‘ustazah,’ sekarang aku dah tanggalkan jubah tu dan sedia diterajang oleh dunia.)

Satu hari, abang bagitahu kompeni O tengah cari editor Syariah. Abang suruh aku cuba interviu. Sebenarnya waktu tu aku dah putus asa kepada dunia. Tapi sebab tak putus asa kepada Tuhan, aku pergi jugak interviu. Aku tak nak jadi gagal sebab tak cuba.

Aku jalani interviu dengan sangat selamba. Sebab aku tak menaruh harapan apa-apa. Lancar, lancarlah. Gagap, gagaplah. Sebelah kiri aku ialah puan bos yang lemah-lembut dan anggun. Nak keluar dari bilik tu sempat aku salam puan bos seolah-olah dia tuan rumah dan aku tetamu yang datang beraya.

Dalam banyak-banyak contoh kerja yang aku bawa, puan bos berminat dengan cerpen yang aku tulis pasal percintaan dua anak Palestin berbeza agama. Cerpen Tunggu Saya Di Syurga yang aku tulis dengan sepenuh jiwa tu, walaupun tatabahasanya terabur sebab publish dalam blog, rasanya berjaya menambat hati puan bos.

Tak lama kemudian aku diterima bekerja. Alhamdulillah. Tapi dengan selamba juga aku minta tangguh lapor diri sebab dah ada janji nak jadi fasi kem cuti sekolah.

(Sampai sini dulu. Panjang-panjang kang korang boring. Rasa nak tahu lagi cemana tunggang-terbalik editor boleh baca kat sini – PART II)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan